Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: DA-22NCvC-63-11/2023
DA-22NCvC-63-11/2023
High Court of Malaysia2 Mar 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“18. Begitu juga dalam kes Udiya Chandran Subramaniam v. Loo Tak Lam [2015] MLJU 2126 Mahkamah Rayuan juga mengatakan seperti berikut: [10] e. …….. In our view if the witness is available and he could have called but did not, then it is fair and just to draw an adverse inference. Bu”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: DA-22NCvC-63-11/2023
1
1.
2
CHE MAZENAH BINTI CHE HARON ... PLAINTIF-PLAINTIF DAN KHAIRUL AZAM BIN CHE SEMAN … DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan.
1
Tuntutan plaintif-plaintif terhadap defendan ini adalah bagi mendapatkan pampasan akibat dari suatu percerobohan tanah dan kemusnahan tanaman serta dusun buah-buahan. Latar Belakang Kes.
2
Plaintif-plaintif merupakan pemilik berdaftar bagi sebidang tanah yang dikenali sebagai Lot 77, Mukim Jeli, Daerah Jeli, Jajahan Jeli, Negeri Kelantan seluas lebih kurang 0.6680 hektar di mana keseluruhan tanah tersebut digunakan untuk tujuan dusun buah-buahan pelbagai jenis. 21/06/2026 09:02:41
3
Pada sekitar bulan Mac 2023 plaintif pertama telah mendapat tahu daripada seorang lelaki yang kenali sebagai Abang Din bahawa tanahnya telah diceroboh.
4
Plaintif pertama telah pergi melihat tanahnya dan mendapati 2/3 daripada tanah tersebut iaitu lebih kurang 1 ekar telah diceroboh dan lebih kurang 100 pokok buah-buahan telah ditebang dan dibersihkan.
5
Plaintif pertama mendakwa bahawa defendan telah mengupah Abang Din untuk membersihkan tanah yang bersebelahan dengan tanah plaintif dan pekerja defendan tersebut telah menceroboh dan merosakkan tanah dan tanaman dusun plaintif-plaintif.
6
Terdapat lima (5) isu untuk dibicarakan seperti berikut: i) Sama ada plaintif-plaintif adalah pemilik berdaftar bagi sebidang tanah yang juga dikenali sebagai Lot 77, Mukim Jeli, Daerah Jeli, Jajahan Jeli, Negeri Kelantan seluas lebih kurang 1.7 ekar di mana keseluruhan tanah tersebut digunakan untuk tujuan dusun buah-buahan pelbagai jenis di mana tanah tersebut terletak di Kg. Ulu Kera, Gemang, 17600 Ayer Lanas, Kelantan (“Tanah”). ii) Sama ada defendan melalui diri defendan sendiri, pekerja-pekerja defendan dan/atau wakil-wakil lantikan defendan telah melakukan pencerobohan ke atas tanah tersebut. iii) Sama ada defendan telah melakukan kerosakan kekal ke atas tanah tersebut apabila pihak defendan samada melalui diri defendan sendiri, pekerja-pekerja defendan dan/atau wakil-wakil lantikan defendan telah merosakkan dan menumbangkan pokok-pokok buah-buahan yang berada di atas tanah tersebut. iv) Jika ada, apakah kerosakan dan nilai kerosakan yang telah dilakukan defendan? v) Sama ada plaintif-plaintif berhak ke atas gantirugi bagi pencerobohan dan kerosakan yang dilakukan defendan ke atas tanah tersebut. Isu Pertama.
7
Berkenaan isu pertama ini, berdasarkan ekshibit P1 iaitu dokumen hakmilik tanah tersebut, Mahkamah ini mendapati ia tidak dipertikaikan bahawa plaintif-plaintif adalah pemilik berdaftar tanah tersebut dengan butir-butir berkenaan keluasan, lokasi serta syarat nyata sebagaimana yang dinyatakan dalam dokumen hakmilik tanah tersebut. Isu Kedua dan Ketiga.
8
Oleh kerana isu kedua dan ketiga ini adalah berangkai antara satu sama lain, maka Mahkamah ini mempertimbangkannya secara sekaligus.
9
Berkenaan isu kedua dan ketiga ini, plaintif pertama (SP1) dalam keterangannya mengatakan bahawa dia sendiri tidak melihat defendan telah menceroboh dan merosakkan tanaman dusunnya. Dia hanya mendapat tahu tentang pencerobohan tanahnya dan kemusnahan tanaman dusunnya melalui seorang yang dikenali sebagai Abang Din. Abang Din telah memberitahu plaintif pertama bahawa Abang Din telah diupah untuk membersihkan tanah defendan yang berada bersebelahan dengan tanah plaintif-plaintif dan pekerjanya telah menceroboh dan memusnahkan tanah plaintif-plaintif.
10
SP2 bukanlah salah seorang daripada tuan tanah berdaftar tetapi merupakan suami kepada salah seorang tuan tanah berdaftar iaitu plaintif kedua. Dalam keterangannya, SP2 mengatakan bahawa dia dan isterinya mendapat tahu bahawa tanah isterinya telah diceroboh setelah diberitahu oleh plaintif pertama.
11
SP2 dalam keterangannya mengatakan bahawa dia tahu defendan telah menceroboh tanah isterinya kerana Abang Din telah membawa defendan ke rumah plaintif pertama untuk berbincang.
12
Defendan pula dalam keterangannya mengatakan bahawa dalam tahun 2023 dia bekerja sebagai seorang guru dan tinggal di Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Dia tidak memiliki sebarang tanah di Daerah atau Jajahan Jeli. Dia tidak mempunyai sebarang tuntutan ke atas tanah tersebut dan tidak mengetahui lokasi tanah tersebut serta tidak pernah pergi ke lokasi tanah tersebut. Dia tidak pernah mengupah sesiapa untuk membersihkan tanah tersebut.
13
Mahkamah ini mendapati bahawa keseluruhan keterangan pihak plaintif-plaintif adalah berdasarkan maklumat yang diterima daripada Abang Din. Plaintif pertama hanya mengenali Abang Din dengan nama panggilan Abang Din sahaja tetapi tidak mengetahui nama sebenarnya. Melalui Abang Din ini, plaintif pertama mendapat maklumat-maklumat berikut: i) Abang Din yang telah memasuki tanah tersebut dan memusnahkan pokok buah-buahan di tanah tersebut; ii) Kemusnahan tanah tersebut dilakukan dengan jentera berat “excavator” kerana melibatkan pokok-pokok yang tinggi dan berakar tunjang; iii) Abang Din dibantu oleh 2 orang pekerja yang lain; iv) Abang Din diarahkan oleh defendan untuk memasuki tanah tersebut bagi tujuan menebang dan membersihkan pokok-pokok buah-buahan di situ;
14
Abang Din adalah satu watak penting dalam naratif plaintif-plaintif yang mana Abang Din dikatakan berperanan mengambil upah daripada defendan untuk membersihkan tanah tersebut dan Abang Din juga turut hadir dalam perbincangan antara plaintif-plaintif dan defendan.
15
Menurut keterangan plaintif pertama juga, Abang Din tinggal di kampung berdekatan dan jarak antara rumah plaintif pertama dengan rumah Abang Din lebih kurang 5 hingga 7 kilometer sahaja dan Abang Din masih boleh dihubungi.
16
Mahkamah ini mendapati bahawa Abang Din adalah seorang saksi penting dalam kes ini kerana dia mempunyai pengetahuan peribadi berkenaan keseluruhan kejadian pencerobohan tanah tersebut dan juga kerana dia sendiri terlibat dalam kerja-kerja membersihkan tanah tersebut. Kegagalan plaintif-plaintif memanggil Abang Din tanpa sebarang alasan dan dalam keadaan Abang Din boleh dihubungi dan dipanggil untuk memberi keterangan boleh membangkitkan anggapan bertentangan di bawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950.
17
Dalam kes Network Pet Product (M) Sdn Bhd v. Royal Canin Sas & Anor [2015] 4 MLJ 525, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa untuk membangkitkan suatu anggapan bertentangan atau anggapan yang memudaratkan di bawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950, mestilah terdapat satu penahanan keterangan atau bukti secara sedar (conscious withholding of the evidence).
18
Begitu juga dalam kes Udiya Chandran Subramaniam v. Loo Tak Lam [2015] MLJU 2126 Mahkamah Rayuan juga mengatakan seperti berikut: [10] e. …….. In our view if the witness is available and he could have called but did not, then it is fair and just to draw an adverse inference. But if he did not know, or could not find the witness, these explain why he did not call and that is unfair and unjust in the circumstances to draw an adverse inference;
19
Selanjutnya dalam kes Munusamy Vengadasalam v. PP [1986] 1 MLRA 292, Mahkamah Agung ketika itu menyatakan seperti berikut: “[2] … It is essential to appreciate the scope of s 114(g) lest it be carried too far outside its limit. Adverse inference under that illustration can only be drawn if there is withholding or suppression of evidence and not merely on account of failure to obtain evidence. It may be drawn from withholding not just any document, but material document by a party in his possession, or for non-production of not just any witness but an important and material witness to the case.” Penekanan ditambah.
20
Prinsip dalam kes Munusamy Vengadasalam v. PP (supra) ini telah diulangi semula oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Muhammad Akmal Zuhairi & Yang Lain lwn. Pendakwa Raya & Satu Lagi Rayuan [2025] 3 MLRA 609, di mana Mahkamah menyatakan seperti berikut: “[126] Undang-undang mantap adalah jelas bahawa peruntukan s. 114(g) terpakai jika terdapat kegagalan mengemukakan dokumen atau saksi yang material dalam sesuatu kes tersebut. …”
21
Berdasarkan fakta kes ini dan berpandukan kepada autoriti-autoriti yang dirujuk di atas, Mahkamah ini mendapati bahawa Abang Din bukanlah seorang saksi biasa tetapi dia adalah seorang saksi penting dan material dalam kes ini. Dia adalah saksi yang masih wujud dan boleh dipanggil untuk memberi keterangan dan kegagalan plaintif-plaintif untuk memanggil Abang Din untuk memberi keterangan adalah suatu penahanan keterangan yang dibuat secara sedar dan disengajakan. Oleh itu, adalah adil dan saksama untuk Mahkamah ini membangkitkan anggapan bertentangan di bawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap kes plaintif-plaintif.
22
Selanjutnya, adalah menjadi undang-undang mantap menurut s. dan s. 103 Akta Keterangan 1950 bahawa pihak yang mendakwa atau mengatakan sesuatu fakta harus membuktikan fakta tersebut. Dalam kes ini plaintif-plaintif memikul beban untuk membuktikan bahawa defendanlah yang telah menceroboh tanah dan memusnahkan tanaman dusun mereka.
23
Kegagalan memanggil Abang Din untuk memberi keterangan menjadikan keseluruhan keterangan plaintif pertama (SP1) dan keterangan suami plaintif kedua (SP2) berkenaan kejadian pencerobohan dan pemusnahan tanaman dalam tanah tersebut adalah semata-mata keterangan dengar cakap yang tidak boleh diterima sebagai keterangan.
24
S. 60(1) (a) Akta Keterangan 1950 memperuntukkan seperti berikut: “Dalam segala hal apa jua pun, keterangan lisan hendaklah diberikan secara langsung, iaitu:
a
jika keterangan lisan itu merujuk kepada fakta yang boleh dilihat, ia mestilah keterangan saksi yang mengatakan dia telah melihat fakta itu;”
25
Keterangan SP1 dan SP2 yang menceritakan tentang kejadian pencerobohan tanah dan kemusnahan tanaman dusun mereka tanpa mereka melihat sendiri kejadian pencerobohan tersebut bukanlah satu keterangan secara langsung seperti yang dikehendaki oleh s. 60(1) (a) Akta Keterangan 1950.
26
Peguam plaintif-plaintif yang bijaksana berhujah dan cuba mengaitkan kehadiran defendan ke rumah plaintif pertama untuk berbincang sebagai bukti yang menunjukkan bahawa defendan telah melakukan pencerobohan tanah tersebut.
27
Defendan dalam keterangannya mengatakan bahawa dia telah menerima panggilan telefon daripada plaintif pertama yang memintanya hadir ke rumah plaintif pertama untuk berbincang dan atas pelawaan tersebut defendan telah pergi ke rumah plaintif pertama.
28
Dengan hormatnya, Mahkamah ini berpendapat bahawa semata-mata kehadiran defendan ke rumah plaintif pertama untuk berbincang tidaklah menjadikan tuntutan plaintif-plaintif telah berjaya dibuktikan atas imbangan kebarangkalian.
29
Atas perkara-perkara yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini mendapati bahawa plaintif-plaintif telah gagal membuktikan bahawa defendan telah menceroboh tanah plaintif-plaintif dah telah menyebabkan kemusnahan kepada tanaman dusun plaintif-plaintif. Oleh itu, isu kedua dan ketiga ini diputuskan secara negatif. Isu keempat dan kelima.
30
Oleh kerana Mahkamah ini telah mendapati bahawa plaintif-plaintif telah gagal membuktikan isu kedua dan ketiga, maka seharusnyalah isu keempat dan kelima juga di jawab secara negatif.
31
Berdasarkan kepada alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah mendapati pihak plaintif-plaintif telah gagal membuktikan tuntutan mereka atas imbangan kebarangkalian. Oleh itu tuntutan plaintif-plaintif adalah ditolak dengan kos sebanyak RM15,000.00 tertakluk kepada fee alokatur. Alasan Penghakiman ini disediakan pada 21 Jun 2026. (MOHD ROSLI BIN YUSOFF) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Kelantan. Bagi pihak Plaintif : En. Samir Zainal Bin Zainal, Tetuan Samir Sumathi Fernando & Co, Unit A-2-11, Block A, 8 Avenue, 8 Avenue Business Centre, Jalan Sungai Jernih 8/1, 46050 Petaling Jaya, Selangor. Bagi pihak Defendan : En. Muhammad Khairul Azwan Bin Azhan, Tetuan Afiq Aziz & Co, No. 10-2F, Pinggiran Mutiara Utama, Taman Mutiara Gombak 2, 53100 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.