Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO. JA-12B-18-06/2022
JA-12B-18-06/2024
High Court of Malaysia14 Oct 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
What the court ordered
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ur tanpa kelewatan tidak wajar, dan bahawa budi bicara lanjutan masa hanya untuk mencegah ketidakadilan yang benar-benar berpunca daripada pematuhan ketat. (Rujuk kes Chin Yoke Choong v Chan Mee Yon [1963] MLJ 371, di mana mahkamah menyatakan lanjutan masa boleh diberi **Note : Serial number will be used to verify the”
“17. Selanjutnya, prinsip “merit rayuan tidak boleh mengatasi ketidakpatuhan mandatori” disokong oleh beberapa keputusan. Dalam Lee Kok Kee lwn Ooi Chee Wee & Anor Appeal [2019] MLJU 1448, mahkamah menolak pemberian lanjutan masa walaupun perayu mendakwa mempunyai kes yang kukuh, dengan menyatakan bahawa mematuhi peratu”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO. JA-12B-18-06/2022
1
ABDUL HADI BIN ABDULLAH [NO. K/P :860713235951]
2
MOHD RODZI BIN SAKOR [NO. K/P: 970528015591] ….PERAYU-PERAYU DAN KALIMUTHU A/L GOVANASAMY [No. K/P.: 860713235951 ……RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN [Penghakiman: Permohonan Perayu (Lampiran 9) Lanjutan Masa Memfailkan Rekod Rayuan]
1
Permohonan ini dibuat oleh pihak Perayu susulan kegagalan memfailkan Rekod Rayuan dalam tempoh yang ditetapkan. Seperti dihuraikan dalam latar belakang di atas, tarikh akhir pemfailan Rekod Rayuan ialah pada 24 Julai
2024
Perayu hanya memfailkan Rekod Rayuan (berserta Memorandum Rayuan) pada 17 September 2024, iaitu melebihi 50 hari lewat daripada tarikh akhir tersebut (kelewatan 34 hari jika dikira sehingga 27 Ogos 2024, tarikh yang disebut dalam afidavit). Sebelum itu, pada 8 Ogos 2024, Perayu telah memfailkan Notis Permohonan (Lampiran 9) ini untuk mendapatkan perintah lanjutan masa memfailkan Memorandum Rayuan dan Rekod Rayuan di luar jangkamasa. Permohonan lanjutan masa ini difailkan ‘ex post facto’, iaitu selepas tempoh asal luput dan setelah Responden memfailkan permohonan untuk membatalkan rayuan.
2
Dalam Afidavit Sokongan Permohonan ini, Perayu menggariskan alasan-alasan kelewatan yang serupa dengan yang dinyatakan dalam permohonan Responden di Lampiran 3 untuk membatalkan Rayuan Perayu. Perayu menjelaskan bahawa Notis Rayuan telah difailkan dalam masa, dan kelewatan menyiapkan Rekod Rayuan adalah kerana faktor-faktor tidak disengajakan antaranya kerana menunggu Alasan Penghakiman Mahkamah Sesyen, tidak menerima Notis Pengurusan Kes, serta kesilapan kiraan tarikh oleh Peguamcara.Perayu menegaskan bahawa kelewatan tersebut hanyalah “34 hari” melebihi tempoh dibenarkan, satu tempoh yang dikatakan tidak terlalu panjang sehingga mengakibatkan prejudis serius. Perayu juga menyatakan telah berusaha dalam tempoh tersebut dengan menghantar surat kepada Mahkamah Sesyen memohon Alasan Penghakiman (pada 1 Julai 2024) dan menyediakan draf indeks Rekod Rayuan untuk disemak Responden. Justeru, Perayu memohon Mahkamah menggunakan budi bicara bagi melanjutkan masa pemfailan, agar rayuan boleh didengar atas meritnya.
3
Responden membantah permohonan ini. Dalam Afidavit Balasan dan Hujahan Lisan, Responden menekankan bahawa permohonan lanjutan masa ini sendiri dibuat di luar masa tanpa alasan yang memuaskan. Responden berhujah bahawa Perayu telah cuai menjaga haknya dan tiada halangan luar jangka atau ‘force majeure’ yang menyebabkan kelewatan, selain kecuaian peguam sendiri. Malah, Perayu hanya mengambil tindakan selepas Responden memfailkan permohonan pembatalan rayuan dan ini menunjukkan sikap acuh tak acuh terhadap peraturan Mahkamah. Responden merujuk prinsip undang-undang bahawa kelewatan yang tidak dijelaskan dengan afidavit munasabah tidak melayakkan pemohon mendapat lanjutan masa.
4
Responden juga berhujah bahawa alasan berdasarkan merit rayuan tidak boleh dijadikan alasan mengenepikan ketidakpatuhan prosedur yang mandatori, berdasarkan autoriti kes seperti Tan Siew Peng lwn OCBC Bank (M) Bhd [1998] 2 MLJ 420, Ratnam v Cumarasamy [1965] 1 WLR 8, Lee Kok Kee lwn Ooi Chee Wee [2021] dan Chuah Tim Lan (Teoh Tim Lian) lwn RHB Bank Bhd [2008] 6 MLJ 793. Menurut Responden, semua kes ini menegaskan bahawa Mahkamah hanya akan melanjutkan masa sekiranya pemohon menunjukkan sebab-sebab kukuh yang disokong keterangan, dan tidak semata-mata atas alasan ingin menentukan merit.
5
Isu yang perlu ditentukan ialah sama ada Mahkamah patut menggunakan budi bicara untuk memberikan lanjutan masa kepada Perayu bagi memfailkan Rekod Rayuan (dan Memorandum Rayuan) di luar tempoh yang ditetapkan. Penentuan isu ini bergantung kepada penilaian Mahkamah terhadap alasan kelewatan yang dikemukakan oleh Perayu, tahap keseriusan ketidakpatuhan, prejudis kepada pihak lawan, serta prinsip undang-undang berkaitan permohonan lanjutan masa. Secara ringkasnya, adakah Perayu telah menunjukkan alasan yang mencukupi dan munasabah untuk justifikasi lanjutan masa?
6
Mahkamah menimbang faktor-faktor releven berhubung permohonan ini. Pertama, tempoh masa kelewatan yang tidak dipatuhi iaitu kelewatan 34-50 hari (melebihi satu bulan) untuk memfailkan Rekod Rayuan bukanlah suatu tempoh yang singkat. Ini dianggap kelewatan yang material dalam konteks prosedur rayuan, lebih-lebih lagi apabila peraturan hanya memperuntukkan 1 bulan/30 hari pada asalnya.
7
Kedua, berdasarkan alasan yang diberikan dan satu-satunya alasan konkrit yang dikemukakan Perayu adalah kelekaan Peguamcara yang berupa salah faham tentang tarikh akhir dan terlepas pandang kerana tiada peringatan (notis) dari mahkamah. Tiada bukti dikemuka bahawa faktor luar seperti sakit tenat, bencana, atau halangan institusi menyebabkan kelewatan. Alasan “tersilap kira tarikh” pada dasarnya adalah kecuaian pihak Peguam yang boleh dielakkan dengan sedikit ketelitian dan alasan tiada peringatan dari Mahkamah adalah alasan yang cuba ditimbulkan oleh Perayu dengan menyalahkan pihak lain pula iaitu Mahkamah. Perlu ditegaskan Mahkamah tidak mengawal semua rekod kes yang difailkan dan bukan tugas Mahkamah untuk memperingati pihak-pihak yang berurusan dengan Mahkamah. Alasan sebegini seolah-olah Perayu telah hilang idea untuk menjustifikasikan sebab kelewatan yang sememangnya disebabkan oleh peguamcara Perayu sendiri. Oleh itu Mahkamah perlu memutuskan sama ada alasan sedemikian memadai untuk meluluskan lanjutan masa.
8
Ketiga, tindakan susulan oleh Perayu Adalah diakui Perayu akhirnya memfailkan permohonan lanjutan masa ini pada 8 Ogos 2024. Namun tindakan tersebut hanyalah selepas menerima desakan melalui permohonan pembatalan oleh Responden. Sepatutnya, jika Perayu sedar terdapat masalah atau risiko terlewat, permohonan lanjutan masa perlu dibuat segera apabila tempoh hampir luput atau sejurus selepas luput. Kelewatan memfailkan permohonan lanjutan masa itu sendiri menzahirkan sikap kurang peka.
9
Keempat, potensi memprejudiskan pihak-pihak. Responden mendakwa terganggu dari segi kepastian hak, kerana rayuan tergantung lebih lama daripada sepatutnya. Walaupun tiada prejudis substantif seperti kehilangan keterangan atau seumpamanya dibuktikan, kelewatan rayuan bermakna Responden terhalang menikmati hasil keputusan Mahkamah Sesyen yang memihak kepadanya. Prinsip keadilan menuntut bahawa pihak yang menang di peringkat pertama tidak ditangguhkan haknya tanpa alasan wajar.
10
Kelima, prospek merit rayuan. Perayu secara tersirat menekankan bahawa rayuannya mempunyai merit (tanpa perincian dalam permohonan ini). Namun, sebagaimana dihujahkan Responden, pertimbangan merit tidak seharusnya didahulukan melangkaui kepatuhan prosedur, kecuali dalam situasi amat luar biasa.
11
Prinsip umum mengenai lanjutan masa termaktub dalam Aturan 3 Kaedah 5(1)
2012
Peruntukan ini memberikan Mahkamah kuasa untuk “melanjutkan atau memendekkan masa yang ditetapkan oleh Kaedah-Kaedah ini bagi melakukan sesuatu perbuatan”,walaupun permohonan dibuat selepas luput tempoh. Ini bermakna, dari segi undang-undang, Mahkamah mempunyai budibicara untuk membenarkan pemfailan Rekod Rayuan di luar masa, tertakluk kepada pertimbangan sewajarnya. Kuasa lanjutan masa ini bukan automatik dan ianya kuasa budi bicara yang perlu digunakan secara adil dan teratur.
12
Undang-undang melalui rujukan kes terdahulu dan juga kes di Mahkamah Atasan yang mengikat Mahkamah ini telah menggariskan panduan bagaimana budi bicara ini patut dilaksanakan. Mahkamah Rayuan dalam Tan Siew Peng lwn OCBC Bank (M) Bhd [1998] 2 MLJ 420 memutuskan, “Mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk melanjutkan masa yang ditetapkan bagi pemfailan atau penyampaian apa-apa dokumen di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan. Namun, adalah tertakluk bahawa beban terletak pada pemohon untuk mengemukakan bahan yang mencukupi bagi membolehkan mahkamah melaksanakan budibicara tersebut memihak kepadanya” [Penekanan ditambah]
13
Prinsip ini selari dengan pendekatan dalam kes Ratnam v Cumarasamy [1965] 1 WLR 8 (PC), yang sering dirujuk di Malaysia, bahawa “Kaedah mahkamah hendaklah dipatuhi untuk membolehkan lanjutan masa, mestilah ada alasan atau material yang membenarkan mahkamah berbuat demikian, jika tidak, memberi lanjutan tanpa sebab hanya merupakan satu kelonggaran kosong”. Dengan kata lain, tanpa alasan kukuh, lanjutan masa tidak patut diberikan kerana ia akan menggugurkan makna peraturan masa yang ditetapkan [Penekanan di tambah]
14
Mahkamah turut mengambil panduan daripada kes-kes terdahulu mengenai pemfailan rayuan yang lewat. Dalam kes Chuah Tim Lan (juga dirujuk sebagai Teoh Tim Lian) lwn RHB Bank Bhd [2008] 6 MLJ 793 (Mahkamah Rayuan), dimana Mahkamah menegaskan bahawa kelewatan yang panjang digabung dengan “sikap acuh tak acuh” pemohon terhadap peraturan akan menyukarkan Mahkamah melayan permohonan lanjutan masa.
15
Malah, dalam kes tersebut pemohon telah memfailkan Rekod Rayuan yang tidak lengkap dan melanggar pelbagai keperluan mandatori dan Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kegagalan mematuhi keperluan mandatori itu menjadikan rekod tersebut ‘null and void’, dan permohonan lanjutan masa adalah ditolak. Didalam kes Hock Seng Construction Sdn Bhd & Anor lwn Yong Kon Fatt & Anor [2001] 3 CLJ 561; [20021] 3 MLJ 499 (Mahkamah Rayuan) pula menunjukkan pendekatan berhemah Mahkamah dimana didalam kes ini, permohonan lanjutan masa untuk rekod tambahan ditolak kerana tiada penjelasan munasabah atas kelewatan Panjang. Samalah keadaannya di dalam kes kita ini.
16
Mahkamah mengutamakan prinsip bahawa “justice delayed is justice denied”, bahawa rayuan yang tidak diproses mengikut jadual menjejaskan keadilan kepada pihak yang satu lagi. Walaupun ada pandangan minoriti bahawa mahkamah perlu menimbang merit agar tidak berlaku ketidakadilan substantif, pandangan majoriti adalah prosedur tidak boleh dikompromi secara sewenang-wenangnya.
17
Selanjutnya, prinsip “merit rayuan tidak boleh mengatasi ketidakpatuhan mandatori” disokong oleh beberapa keputusan. Dalam Lee Kok Kee lwn Ooi Chee Wee & Anor Appeal [2019] MLJU 1448, mahkamah menolak pemberian lanjutan masa walaupun perayu mendakwa mempunyai kes yang kukuh, dengan menyatakan bahawa mematuhi peraturan masa adalah prasyarat untuk membolehkan sesuatu rayuan didengar. Kes-kes di Mahkamah Persekutuan juga memperakui bahawa objektif peraturan masa ialah memastikan prosiding berjalan teratur tanpa kelewatan tidak wajar, dan bahawa budi bicara lanjutan masa hanya untuk mencegah ketidakadilan yang benar-benar berpunca daripada pematuhan ketat. (Rujuk kes Chin Yoke Choong v Chan Mee Yon [1963] MLJ 371, di mana mahkamah menyatakan lanjutan masa boleh diberi jika kegagalan mematuhi masa akan menyebabkan ketidakadilan luar biasa kepada pemohon).
18
Secara kesimpulannya, undang-undang menghendaki pemohon menunjukkan “cause which is both sufficient and reasonable” bagi setiap hari kelewatan, disokong dengan keterangan. Kelewatan yang panjang memerlukan penjelasan yang lebih meyakinkan. Tanpa penjelasan yang menepati standard ini, lanjutan masa tidak patut diberi kerana ia akan menafikan maksud peraturan had masa yang dianggap mandatori.
19
Dengan mengguna pakai prinsip-prinsip kes di atas kepada fakta kes ini, Mahkamah mendapati Perayu gagal memenuhi beban untuk meyakinkan Mahkamah agar melanjutkan masa. Alasan yang dikemukakan iaitu kecuaian peguam tersilap kira tarikh akhir, pada hemat Mahkamah tidak mencapai tahap alasan yang cukup kukuh. Kelewatan selama lebih sebulan tidak boleh dianggap remeh, apatah lagi apabila langsung tiada justifikasi konkrit selain dari “silap sendiri”.
20
Mahkamah tidak meremehkan bahawa manusia boleh tersilap. Namun, dalam konteks prosedur mahkamah, kesilapan pengiraan tarikh oleh peguam bukanlah alasan luar kawalan (“uncontrollable factor”) tetapi ianya adalah sebahagian dari tugas profesional untuk memastikan pematuhan tarikh akhir. Seperti diingatkan dalam kes-kes terdahulu, kelalaian sedemikian biasanya dikategorikan sebagai “inadvertence of solicitor” yang tidak memaksa Mahkamah menggunakan belas ihsan. Dalam kes Hok Seng Construction Sdn Bhd & Anor v Yong Kon Fatt & Anor (supra), Mahkamah Rayuan menolak lanjutan masa walaupun Peguam tersilap kerana “kealpaan peguam tidak boleh dijadikan sandaran untuk melanjutkan masa secara rutin”. Mahkamah juga memutuskan bahawa kelewatan dalam pemfailan ‘perse’ tidak membawa padah, tetapi kelewatan tanpa alasan kelewatan tersebut (kecuaian peguam-peguam) yang membawa padah. Begitu juga prinsip dari Ratnam v Cumarasamy (supra) bahawa tanpa alasan kukuh, lanjutan masa ibarat memberi `indulgence’ kosong yang mengecualikan kewajipan mematuhi aturan masa.
21
Perayu juga tidak mengemukakan afidavit sokongan yang terperinci daripada pihak yang bertanggungjawab menjelaskan kelewatan. Tiada keterangan contohnya daripada kerani firma guaman tentang kegagalan sistem diari komputer atau apa-apa keadaan luar biasa. Keterangan hanya setakat pernyataan umum bahawa Peguam “terlepas pandang”. Mahkamah mendapati penjelasan sedemikian terlalu umum dan tidak disokong butiran. Sejurus prinsip dalam kes Tan Siew Peng (supra), pemohon seharusnya meletakkan cukup butiran dan bukti agar Mahkamah boleh menilai wajar tidaknya lanjutan. Ketiadaan alasan yang kukuh serta bukti memperlihatkan tiada `due diligence’ dilakukan untuk menjelaskan setiap hari kelewatan.
22
Selain itu, tiada tindakan proaktif oleh Perayu dalam lingkungan masa asal. Permohonan lanjutan masa ini hanya difailkan selepas Responden membawa isu ke perhatian. Ini menunjukkan Perayu tidak sensitif kepada kehendak peraturan. Andaikata Responden tidak memfailkan permohonan membatal, berkemungkinan rayuan akan terus terbiar melepasi tempoh tanpa tindakan. Sikap sedemikian adalah contoh “acuh tak acuh” yang disebut dalam kes Chuah Tim Lan (supra), di mana Mahkamah Rayuan enggan melayan permohonan lanjutan masa kerana pemohon menunjukkan sikap sambil lewa terhadap peraturan (walaupun telah diberi amaran). Situasi Perayu di sini hampir serupa iaitu hanya setelah “loceng amaran” dibunyikan pihak lawan/Responden, barulah Perayu bertindak. Itu pun, tempoh 24 Julai hingga 8 Ogos 2024 dibiarkan tanpa sebarang permohonan.
23
Dari sudut prejudis, Mahkamah akur bahawa membenarkan lanjutan masa akan memberi peluang Perayu didengar rayuannya. Namun, Mahkamah perlu mengimbangi dengan prejudis terhadap Responden dan Sistem Kehakiman Negara. Responden berhak mendapat kepastian muktamad atas kemenangannya di Mahkamah Sesyen. Kelewatan lanjutan melambatkan pelaksanaan keadilan yang berhak diterimanya. Lebih meluas lagi, jika kelewatan sebegini mudah dimaafkan, ia menghantar isyarat kurang tegas Mahkamah ini terhadap pematuhan prosedur bagi semua kes Integriti proses kehakiman menuntut bahawa peraturan dipatuhi agar litigasi tidak berlarutan tanpa kawalan.
24
Akhir sekali, isu merit rayuan. Mahkamah mengambil pendirian bahawa meskipun mungkin ada merit dalam rayuan itu tidak relevan pada tahap ini. Merit hanya boleh dipertimbangkan jika prosedur asas telah dipatuhi atau lanjutan masa diberikan atas alasan kukuh. Dalam kes ini, syarat untuk melanjutkan masa tidak dipenuhi, maka perbicaraan merit tidak akan berlaku. Membiarkan merit mempengaruhi keputusan prosedur akan menjadikan peraturan had masa seolah-olah boleh diabaikan setiap kali pihak Perayu mendakwa kesnya kuat. Pendekatan sedemikian telah ditolak dalam banyak autoriti, termasuklah yang disebut oleh Responden. Kekuatan kes tidak boleh dijadikan “pasport” untuk melanggari peraturan prosedur. Oleh itu, Mahkamah menolak hujahan bahawa demi keadilan merit rayuan patut didengar juga. Keadilan juga merangkumi keadilan prosedural kepada pihak lawan dan kepatuhan kepada undang-undang.
25
Setelah menilai kesemua faktor-faktor di atas dan sebab kelewatan, ketiadaan alasan kukuh, tiada bukti sokongan yang memadai, sikap pemohon, serta impak kepada pihak lawan iaitu Responden dan proses Mahkamah, Mahkamah ini berpendapat kes ini tidak mewajarkan lanjutan masa diberi. Kegagalan Perayu adalah sepenuhnya akibat kecuaian sendiri yang boleh dielakkan. Tiada ketidakadilan akan berlaku ke atas Perayu jika permohonan ini ditolak, kerana Perayu sendiri yang mensia-siakan hak rayuannya melalui kelalaian. Sebaliknya, meluluskan lanjutan tanpa sebab kukuh akan mendatangkan ketidakadilan kepada Responden dan merosakkan prinsip pematuhan prosedur.
26
Mahkamah dengan itu memutuskan bahawa Perayu tidak menunjukkan alasan mencukupi untuk melewatkan pemfailan Rekod Rayuan. Menggunakan kuasa budi bicara dalam keadaan ini akan bertentangan dengan prinsip keadilan yang wajar dan mendisiplinkan pihak-pihak dalam mematuhi segala Aturan dan prosiding yang telah ditetapkan. Permohonan Perayu untuk lanjutan masa (Lampiran 9) dengan ini ditolak. Akibat penolakan ini, rayuan Perayu kekal terbatal dan tidak akan diteruskan ke pendengaran merit.
27
Permohonan Perayu (Lampiran 9) untuk lanjutan masa memfailkan Memorandum Rayuan dan Rekod Rayuan di luar masa adalah dengan ini ditolak. Perayu-Perayu hendaklah membayar kos permohonan ini kepada Responden sebanyak RM3000.00. Dengan penolakan permohonan lanjutan masa ini, Notis Rayuan Perayu yang telah dibatalkan kekal tidak sah dan rayuan dibatalkan. Responden boleh meneruskan pelaksanaan penghakiman Mahkamah Sesyen sesuai dengan undang-undang. BERTARIKH: 4 DISEMBER 2025 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Perayu Subashini Ganesan Tetuan Othman Hashim & Co Johor Bahru Peguam Bagi Pihak Responden Nithiyawathi a/p Subramaniam Tetuan S.N Wathi Chambers Selangor
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.