MOHAMAD ASRI BIN SUDIN Tertuduh-tertuduh haruslah diberikan peluang untuk mengemukakan apa-apa pembelaan sekiranya mereka ingin berbuat demikian. Dalam kes ini, kesemua Tertuduh masing-masing telah mengemukakan percakapan dalam pemeriksaan di bawah Seksyen 37B(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“PDP”) mereka. Persoalannya adalah sama ada Mahkamah ini perlu mempertimbangkan apa yang dinyatakan di dalam PDP-PDP tersebut. Kes Prasit Punyang v. PP [2014] 7 CLJ 392 menyatakan seperti berikut: “It is true that generally a self-serving or exculpatory cautioned statement is not in itself evidence of the truth asserted therein. But then, it is the duty of learned JC to consider and to analyse the cautioned statement that has been tendered as evidence by the appellant in support of his defence, that he had no prerequisite knowledge about the impugned cannabis found in the boat. Learned JC must consider carefully whether the cautioned statement is capable of raising a reasonable doubt on the prosecution case. The appellant's cautioned statement was recorded a day after the arrest of the appellant. It is important, therefore, to point out that the appellant had mentioned the basic facts of his defence at a very early stage of the police investigation against him.” (penekanan ditambah) Berpandukan kes ini, Mahkamah ini berpendapat bahawa sekiranya Tertuduh-tertuduh mengemukakan PDP-PDP mereka, maka ia menjadi obligasi Mahkamah ini untuk mempertimbangkan dan menganalisa PDP-PDP tersebut untuk menentukan sama ada ia merupakan keterangan sokongan kepada kes pembelaan. Pertimbangan yang harus dilakukan oleh Mahkamah semasa meneliti PDP-PDP inter alia adalah untuk menimbangkannya terhadap pembelaan yang dikemukakan oleh Tertuduh-tertuduh di Mahkamah. Dalam penelitian ini, Mahkamah juga dapat menentukan sama ada pembelaan yang dikemukakan oleh Tertuduh-tertuduh semasa kes pembelaan di Mahkamah merupakan satu rekaan terkini (“recent fabrication”) atau tidak. Ini adalah kerana pernyataan-pernyaaan berkenaan pembelaan Tertuduh-tertuduh sebenarnya boleh diberikan dalam PDP-PDP pada peringkat siasatan lagi. Dalam kes di hadapan Mahkamah ini, adalah jelas kesemua Tertuduh telah mengemukakan PDP-PDP mereka sejak daripada kes pihak pendakwaan lagi (D25, D26, D27 dan D28). Namun begitu, setelah meneliti setiap D25, D26, D27 dan D28, Mahkamah ini mendapati kandungan PDP-PDP tersebut adalah hampir serupa terutamanya jawapan kepada soalan “Katakan apa yang hendak kamu perkatakan mengenai tangkapan ke atas kamu pada 26/6/2021 sepertimana K/Krau Repot:854/21 dan Temerloh report:5273/21”. Tambahan pula, pegawai perakam berlainan yang merakam PDP setiap Tertuduh yang mana Insp Syed Syrill bin Syed Sulaiman merupakan pegawai perakam kepada Tertuduh Pertama (D26), Insp Azrul Nizam bin Zainudin merupakan pegawai perakam kepada Tertuduh Kedua (D25), Insp Nini bt Yusof merupakan pegawai perakam kepada Tertuduh Ketiga (D27), dan satu Insp Zahir (tanpa nama penuh) merupakan pegawai perakam kepada Tertuduh Keempat (D28). Situasi sebegini telah menimbulkan satu keraguan sama ada adakah benar PDP-PDP ini telah diambil oleh pegawai-pegawai perakam daripada Tertuduh-tertuduh. Mahkamah ini mendapati, sekiranya benar PDP-PDP ini diambil bebas dan tidak bergantung antara satu sama lain (“independent of one another”), maka perkataan-perkataan yang tertera dan digunakan dalam setiap PDP tidak akan begitu serupa antara satu sama lain memandangkan pegawai perakam adalah pegawai yang berlainan. Kandungan PDP-PDP tersebut yang hampir serupa menimbulkan persoalan sama ada pegawai-pegawai perakam ini sebenarnya telah dibekalkan dengan set soalan dan jawapan yang telah disediakan dari sumber yang sama (“pre-prepared question and answer set from the same source”) untuk direkodkan ke dalam PDP-PDP setiap Tertuduh. Keadaan ini juga menyebabkan Mahkamah ini mendapati bahawa keterangan yang dikemukakan oleh Tertuduh-tertuduh yang menyatakan bahawa mereka tidak pernah menjumpai pegawai perakam mereka serta disuruh oleh pegawai/anggota polis untuk hanya menandatangani beberapa dokumen (termasuk PDP) tanpa dibenarkan untuk menyemaknya barangkali benar. Maka, boleh disimpulkan di sini bahawa kenyataan di dalam D25, D26, D27 dan D28 ini barangkali tidak diambil daripada Tertuduh-tertuduh. Mahkamah ini mempercayai bahawa kandungan PDP-PDP ini ditandatangani oleh Tertuduh-tertuduh dengan desakan daripada pihak polis tanpa disemak. Seterusnya, adalah munasabah untuk menyatakan bahawa Tertuduh-tertuduh tidak diberikan peluang untuk menyatakan apakah fakta asas pembelaan Tertuduh pada peringkat siasatan pihak polis. Sekali lagi kes Prasit Punyang (supra) dirujuk yang mana kes tersebut menyatakan seperti yang berikut: “In the context of the present case, the cautioned statement tendered by the appellant is one of the evidence which learned JC should take into consideration in order to make a finding whether or not the prosecution has proved its case beyond reasonable doubt. The aim of this provision is obviously to make certain that an accused person gets a fair trial. In the recent case of Ahmad Mukamal Abdul Wahab & Ors v. PP [2013] 4 CLJ 949, Hamid Sultan Abu Backer, JCA in delivering the judgment of this court has explained that the trial court has a duty and obligation to fairly and justly weigh the defence version and evidence (including the cautioned statement of the accused) or for that matter a story by the accused to reach a just result.” (penekanan ditambah) Sekiranya seseorang tertuduh mengemukakan PDP sebagai keterangan, maka Mahkamah mempunyai tugas untuk menelitinya dan membandingkannya dengan pembelaan beliau di Mahkamah untuk menentukan sama ada pembelaan yang dikemukakan adalah inter alia konsisten dari awal siasatan sehingga kes pembelaan semasa perbicaraan. Mengambil kira Tertuduh-tertuduh dalam kes ini tidak diberikan peluang untuk menyatakan apakah fakta asas pembelaan Tertuduh pada peringkat siasatan polis, maka hak mereka untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil telah dinafikan. Ini adalah kerana Mahkamah ini tidak berupaya meneliti pendirian atau pembelaan awal mereka (semasa siasatan) dan membandingkannya dengan keterangan yang diberikan oleh mereka pada perbicaraan peringkat pembelaan demi mencapai satu keputusan yang adil. Oleh itu, berdasarkan kepada alasan-alasan di atas serta dapatan Mahkamah ini bahawa tindakan pihak polis telah menafikan Tertuduh-tertuduh untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil, maka Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah. Pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Demikian, Tertuduh-tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dipertuduhkan di Mahkamah ini. Wang jaminan dikembalikan. TAN CHIEW KING Majistret Mahkamah Majistret (1) Temerloh 26 Mac 2025 *Penghakiman ini diberikan secara lisan pada 26 Mac 2025 dan bukanlah alasan keputusan penuh Mahkamah ini. Alasan keputusan bertulis penuh akan disediakan sekiranya rayuan difailkan. Pihak-pihak: Adriana binti Azrin (Timbalan Pendakwa Raya) untuk pihak Pendakwaan Richard Bong Chong Fook & Bong Hongjie, Ivan (Bong & Co.) untuk Tertuduh Pertama, Ketiga dan Keempat Abdullah bin Sidek (Radzi & Abdullah) untuk Tertuduh Kedua