Berkenaan tindakan Tertuduh Pertama melarikan diri sewaktu serbuan SP4 melalui penyata saksi secara ringkas menyatakan seperti berikut; i. Semasa serbuan, Kedua-dua Tertuduh berada di luar kenderaan, menunggu kedatangan Yusuf. ii. Tertuduh tiba-tiba melihat lebih daripada 10 orang keluar daripada kenderaan-kenderaan yang telah tersedia berhenti di sana dan kesemuanya menuju ke arah mereka. iii. Pada saat itu, mereka ketakutan dengan situasi tersebut dan merasakan bahawa mereka akan dirompak. Oleh sebab itu, reaksi spontan Tertuduh Pertama adalah untuk melarikan diri untuk menyelamatkan dirinya. Tertuduh Pertama melihat Tertuduh Kedua juga melarikan diri dalam situasi tersebut. iv. Semasa melarikan diri, salah seorang daripada mereka yang mengejar telah menjerit, “stop we are police”. Apabila mendengar perkataan tersebut, Tertuduh Pertama berhenti melarikan diri dan kemudiannya ditahan oleh 4 anggota polis lelaki. v. Tertuduh Pertama menyatakan semasa tangkapan, tiada pergelutan berlaku dan dia telah memberikan kerjasama dengan polis. vi. Semasa tangkapan tersebut, anggota polis telah membuat ‘body search’ terhadap Tertuduh Pertama dan telah merampas kunci rumah dia yang tersimpan di dalam poket seluar yang dia pakai. vii. Tertuduh Pertama juga melihat salah seorang anggota polis mengutip kunci Honda City yang telah jatuh ke atas tanah dan dia menyatakan bahawa dia tidak sedar kunci tersebut telah terjatuh dan kemungkinan ianya terjatuh semasa Tertuduh Pertama melarikan diri.