Mana-mana orang yang melanggar perenggan (1)(b) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.”. [30] Semasa permohonan ini dibuat, Mahkamah ini memutuskan bahawa sekiranya keterangan diberikan dalam mahkamah terbuka, identiti saksi yang dilindungi akan terdedah dan telah membenarkan permohonan pihak Pendakwaan supaya perbicaraan dijalankan secara tertutup. Tambahan pula kebenaran Mahkamah ini juga adalah juga susulan daripada perintah Mahkamah ini yang lebih awal yang telah membenarkan permohonan pihak Pendakwaan di bawah seksyen 14(1) Akta 747 pada 20.2.2024 untuk keterangan PW1 diberikan secara bertaip dengan PW1 tidak dapat dilihat atau didengar oleh kesemua OKT dan Peguambela mereka. [31] Terdapat 2 peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan keterangan oleh saksi yang dilindungi (PW1) dalam kes ini. Peruntukan pertama adalah seksyen 14 Akta 747 manakala peruntukan kedua pula adalah seksyen 20 Akta 696. S/N r6zzupkGukaatuirVrSHRw [32] Seksyen 14 Akta 747 memberikan kuasa kepada Mahkamah ini untuk menentukan cara pengemukaan keterangan oleh seseorang saksi yang dilindungi, setelah suatu inkuiri dijalankan dan Mahkamah berpuashati bahawa identiti saksi yang dilindungi itu perlu dilindungi. Subseksyen 14(3) Akta 747 pula membenarkan Mahkamah untuk menentukan cara pengemukaan keterangan saksi yang dilindungi agar beliau tidak dapat dilihat mahupun didengar oleh OKT dan juga peguambela OKT. [33] Perenggan 20(1)(a) Akta 696 pula memperuntukkan kuasa budibicara Mahkamah untuk menjalankan prosiding perbicaraan secara tertutup, sekiranya identiti seseorang peserta menjadi isu atau mungkin didedahkan. [34] Dalam kes di hadapan Mahkamah ini, Mahkamah telah pada 20.2.2024 memerintahkan supaya keterangan PW1 diberikan secara bertaip, bagi melindungi identiti PW1. Selanjutnya pada 30.7.2024, Mahkamah telah memerintahkan supaya perbicaraan dijalankan secara tertutup. [35] Pengemukaan keterangan seseorang saksi semasa perbicaraan secara umumnya hendaklah dilakukan dengan kehadiran OKT ataupun Peguambela OKT, selaras dengan seksyen 264 KTJ. Dalam erti kata lain, OKT diberikan peluang untuk melihat dan mendengar keterangan saksi-saksi, sama ada keterangan tersebut memihak atau sebaliknya terhadap beliau. Dalam hal ini juga, pihak-pihak akan mempunyai peluang untuk melihat demeanor saksi-saksi semasa memberikan keterangan. S/N r6zzupkGukaatuirVrSHRw [36] Namun begitu, subseksyen 14(1) Akta 747 dengan jelas mengecualikan pemakaian seksyen 264 KTJ ini dan membenarkan pengemukaan keterangan saksi pendakwaan tanpa OKT mahupun peguambela OKT melihat mahupun mendengar keterangan yang akan dikemukakan oleh saksi yang dilindungi. [37] Dalam kes di hadapan Mahkamah ini, terdapat 4 orang saksi yang dilindungi yang telah dikemukakan kepada Mahkamah ini yang mana inkuiri telah pun dijalankan. Hasil daripada inkuiri-inkuiri tersebut, Mahkamah ini telah memutuskan supaya 3 daripada 4 orang saksi yang dilindungi tersebut dibenarkan memberi keterangan dalam Mahkamah secara video link, di mana saksi yang dilindungi tersebut akan ditempatkan di sebuah bilik berasingan dalam kompleks Mahkamah dan saksi yang dilindungi hanya akan dapat dilihat dan didengar oleh Mahkamah ini dan juga Jurubahasa 1 yang ditugaskan untuk menaip semula keterangan yang diberikan oleh saksi yang dilindungi untuk dipaparkan kepada pihak-pihak dalam Mahkamah. [38] Dalam mempertimbangkan permohonan pihak Pendakwaan di bawah seksyen 14 Akta 747 tersebut, Mahkamah telah mempertimbangkan peranan serta kesan sekiranya identiti saksi-saksi yang dilindungi didedahkan dan telah memutuskan bahawa terdapat keperluan untuk identiti mereka dilindungi. Bagi melindungi identiti mereka, Mahkamah ini tidak mencatat sebarang maklumat saksi-saksi mahupun soalan-soalan yang ditanya serta jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh saksi-saksi yang dilindungi semasa inkuiri tersebut. Mahkamah ini hanya mencatatkan hasil inkuiri sebagai rekod. S/N r6zzupkGukaatuirVrSHRw [39] Secara khususnya, bagi PW1 (yang merupakan saksi yang dilindungi ketiga), Mahkamah ini telah turut mempertimbangkan faktor bahawa PW1 merupakan sumber kepada APMM dalam memutuskan bahawa identiti PW1 perlu dilindungi. Namun begitu, semasa inkuiri dijalankan, Mahkamah ini tidak mempunyai maklumat mahupun pengetahuan tentang apakah keterangan yang akan didedahkan oleh PW1 tersebut semasa perbicaraan. [40] Hanya pada 29.7.2024, setelah keterangan PW1 mula diberikan, barulah didapati dengan jelas peranan serta keterangan yang dikemukakan oleh pihak Pendakwaan melalui PW1. Secara umumnya, keterangan PW1 dalam pemeriksaan utama beliau telah menerangkan bahawa PW1 adalah pihak yang dihubungi oleh OKT Aslam untuk membawa bot ke sebuah tempat di tengah lautan dipanggil Tukun Perak pada 22.5.2022 jam 11 pagi, bahawa PW1 adalah orang yang mengemudi BNT tersebut bersama-sama dengan OKT Razin, OKT Aslam, OKT Anas dan OKT Ibrahim, bahawa PW1 adalah orang yang telah pergi bersama-sama OKT Aslam dan OKT Ibrahim untuk membuat pembelian barangan makanan dan minuman di Lotus, Mergong, dan bahawa PW1 telah membuat perbincangan dengan OKT Faizal di kedai Haji Ghani di Jeti Kuala Perlis berkenaan kos minyak dari Kuala Kedah ke Tukun Perak. Berdasarkan pemerhatian Mahkamah ini, semua soalan-soalan yang dikemukakan oleh pihak Pendakwaan dalam keterangan utama serta jawapan yang diberikan oleh PW1 sendiri telah dengan sendirinya mendedahkan identiti PW1 iaitu sebagai pengemudi BNT yang ditahan oleh APMM pada malam kejadian. S/N r6zzupkGukaatuirVrSHRw [41] Pihak Pembelaan dalam hujahan mereka menegaskan bahawa berdasarkan soalan-soalan yang dikemukakan oleh Pendakwaan sendiri dan jawapan yang diberikan oleh PW1 kepada soalan-soalan tersebut, identiti PW1 telah boleh dikenalpasti dengan jelas. Dalam hal ini, Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan pihak Pembelaan dan berpendapat bahawa identiti PW1 telah didedahkan sendiri oleh pihak Pendakwaan dalam pemeriksaan utama mereka. [42] Dalam kes Yong Choo Kiong v. Public Prosecutor [2024] 3 MLJ 779, SM Komathy HMR dalam keputusan menentang (dissenting judgment) beliau telah memutuskan seperti berikut: “[70] Coming back to the instant case, I am not persuaded that a clear case of necessity was made out. There is no evidence that the victim had reason to fear that her safety was in jeopardy, since she was at the material time in the care and protective custody of the Indonesian embassy. Neither was there any evidence adduced that the appellant or someone on his behalf had threatened or approached her in any way. Moreover, and crucially, her identity was already known to the appellant. As such, there was no basis for a protection order on the ground that the identity of the victim needed to remain anonymous in order to be protected from disclosure for her safety.”. [penekanan ditambah] [43] Selain itu juga, berdasarkan keterangan PW1 sendiri setakat ini, Mahkamah mendapati bahawa peranan PW1 bukanlah hanya sekadar seorang pemberi maklumat (sumber), tetapi berperanan sebagai seorang agent provocateur yang telah memainkan peranan penting dalam aktiviti membawa masuk pendatang asing tanpa izin yang terlibat sebagaimana dalam pertuduhan. S/N r6zzupkGukaatuirVrSHRw [44] Adalah pendapat Mahkamah ini, keterangan seorang agent provocateur seperti PW1 perlulah diperhalusi serta dinilai dengan teliti kerana peranan beliau yang aktif dalam perlakuan kesalahan yang dipertuduhkan terhadap kesemua OKT-OKT dalam kes ini. Ini penting dan hanya dapat dilakukan sekiranya pihak Pembelaan dapat bersemuka dengan PW1 dan dapat mengemukakan soalan-soalan balas mereka dengan lebih berkesan. [45] Sebagaimana yang telah diputuskan dalam kes Aizz Aidie bin Aziz & Ors v. Public Prosecutor [2021] MLJU 444, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa: “[37] One can appreciate both the gargantuan and herculean task of cross-examining a witness whose identity is not disclosed and whom the accused cannot confront. [38] It is a valid question to ask how is the truth of what is being said under oath be tested if the witness dare not say it in the presence of the person he is accusing or giving evidence against and be heard by the accused.”. [46] Berdasarkan keputusan menentang dalam kes Yong Choo Kiong v. Public Prosecutor (supra) di atas, dan memandangkan identiti PW1 telah pun dapat dikenalpasti dan diketahui dengan jelas, tiada keperluan untuk identiti PW1 tidak didedahkan atau diketahui. Sehubungan itu, Mahkamah ini telah memerintahkan agar keterangan lanjut PW1 hendaklah diberikan sebagaimana seorang saksi bersumpah dalam Mahkamah. S/N r6zzupkGukaatuirVrSHRw [47] Fakta kes Yong Choo Kiong v. Public Prosecutor (supra) di atas merujuk kepada peruntukan seksyen 265A KTJ yang serupa (pari materia) dengan seksyen 14 Akta 747. Dalam kes tersebut juga, keputusan majoriti Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang keputusan berkenaan isu yang sama sebaliknya lebih fokus kepada isu kesahan Perlembagaan (constitutionality) peruntukan tersebut. [48] Di samping itu juga, seksyen 7 KTJ memperuntukkan bahawa Mahkamah di mana sesuatu prosiding jenayah dijalankan adalah dianggap Mahkamah terbuka dan awam (open and public Court). Dalam kes Public Prosecutor v Tengku Adnan bin Tengku Mansor [2020] MLJU 2429, Mahkamah Tinggi telah memutuskan seperti berikut: “[150] The phrase “in camera” is Latin for “in chambers”, which connotes a Judge’s chambers when used in the context of legal proceedings. Proceedings are however not necessarily conducted in the Judge’s chambers and can be done in the courtroom. In camera proceedings are conducted in the presence of the Judge, counsel, and only the necessary parties involved in the litigation, sans the public. They are normally reserved for exceptional circumstances, such as those involving minors or matters of national security. These are just some of the instances. I do not propose to set out an exhaustive list. The discretion, however, lies with the court. [151] It is a general rule that court proceedings are open to the public and that the public has access to it to observe proceedings. That is provided for under section 15(1) CJA 1964. The requirement to hold S/N r6zzupkGukaatuirVrSHRw criminal proceedings in open court is specifically set out under section 7 CPC: Courts to be open 7. The place in which any criminal Court is held for the purpose of inquiring into or trying any offence shall be deemed an open and public Court to which the public generally may have access. [152] The word “may” in section 7 CPC suggests that there may be occasions where the court may restrict access to the public. Similarly, section 15(1) CJA 1964 too provides some exceptions for proceedings to be held in camera. The relevant provisos relied on by the accused come under “expedient in the interests ofjustice”, or “for other sufficient reason to do so”. In gist, the accused is fearful for his safety and that of his family, should their assets be made known to all and sundry.”. [penekanan ditambah] [49] Sehubungan itu, berdasarkan autoriti kes tersebut di atas, Mahkamah ini masih lagi mematuhi kehendak seksyen 20 Akta 696 dalam keputusan pada 30.7.2024, apabila memerintahkan supaya perbicaraan dijalankan tanpa kehadiran orang awam (public gallery), yang terjumlah kepada perbicaraan secara tertutup (in camera). Tambahan pula Mahkamah ini juga telah memerintahkan agar tiada sebarang maklumat berkenaan PW1 boleh didedahkan oleh mana-mana pihak dalam apa jua bentuk sekalipun. Apa yang berbeza adalah keputusan Mahkamah ini yang memerintahkan PW1 memberikan keterangan selanjutnya di Mahkamah ini sebagai seorang saksi bersumpah yang biasa dalam Mahkamah, iaitu dalam S/N r6zzupkGukaatuirVrSHRw keadaan PW1 dapat dilihat dan didengar oleh kesemua OKT dan Peguambela mereka. KESIMPULAN [50] Berdasarkan semua alasan-alasan dinyatakan di atas, Mahkamah ini berpendapat bahawa memandangkan identiti PW1 telah didedahkan sendiri oleh pihak Pendakwaan semasa proses pemeriksaan utama dijalankan dalam Mahkamah. Dengan itu tiada lagi keperluan untuk identiti PW1 dilindungi, dan PW1 diperintahkan untuk memberikan keterangan sebagai seorang saksi bersumpah biasa dalam Mahkamah. Evawani (Evawani Farisyta binti Mohammad) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Jenayah (2) Alor Setar, Kedah Bertarikh 6 Oktober 2024. Bagi Pihak Pendakwa Raya Iznina Hanim binti Hashim Najwa binti Bistamam Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Putrajaya S/N r6zzupkGukaatuirVrSHRw Bagi pihak OKT Razin Ravishankar a/l S N Gandhi Muhammad Nizam Adzha bin Zaidi Tetuan R. Shankar Gandhi & Associates Bagi pihak OKT Faizal Nur A’minahtul Mardiah binti Md. Nor Nur Izzati Hafieza binti Ismail Chambers of Aminahtul Mardiah Bagi pihak OKT Anas, OKT Aslam dan OKT Ibrahim Jamil bin Mohamed Shafie Nur Afifa binti Mohd Zamri Tetuan Jamil Mohamed Shafie & Associates S/N r6zzupkGukaatuirVrSHRw