Lain-lain relif yang difikirkan wajar dan adil oleh Mahkamah Yang Mulia ini. KERTAS KAUSA [3] Kertas-kertas kausa bagi permohonan ini adalah seperti berikut: a. Saman Pemula Terpinda (Lampiran 10) bertarikh 27.12.2024 bagi meminda Saman Pemula (Lampiran 1) bertarikh 17.10.2024; b. Afidavit Sokongan Plaintif (Lampiran 2) yang diikrarkan oleh Plaintif Kedua bertarikh 17.10.2024; c. Afidavit Jawapan Defendan Kedua (Lampiran 4) bertarikh 18.11.2024; d. Afidavit Jawapan Defendan Ketiga (Lampiran 11) bertarikh 3.2.2025; e. Afidavit Jawapan Defendan Pertama (Lampiran 12) bertarikh 24.2.2025; dan f. Afidavit Balasan Plaintif (Lampiran 13 , 14 & 15) diikrarkan oleh Plaintif Kedua bertarikh 4.3.2025. Nota: Hujahan Bertulis difailkan oleh pihak-pihak kecuali Defendan Kedua. FAKTA DAN KRONOLOGI KES [4] Latarbelakang dan fakta kes ini boleh didapati daripada Afidavit-Afidavit yang difailkan. Tindakan Saman Pemula ini melibatkan Guaman Pembahagian No. JKPTG/PK/08/04/71/2005 (“guaman tersebut”) bagi si mati bernama Hassan bin Lebai Salleh yang meninggal dunia pada 26.6.1941 (selepas ini dirujuk sebagai “Si Mati”). Arwah Si Mati telah meninggalkan lot-lot tanah termasuk Lot GM 396, Lot 763, dan GM 530, Lot 917, Mukim Pengkalan Aor, Daerah Larut Matang, Perak (selepas ini dirujuk sebagai "Lot-Lot Yang Dipertikai" atau “Lot-Lot tersebut”). Seterusnya satu petisyen pembahagian harta pusaka telah dipohon di bawah Seksyen 8 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98] melalui Borang A bertarikh 7.2.2005 dan 23.3.2005 yang dimasukkan oleh Wahab Bin Hassan selaku Pempetisyen pada masa yang material kepada Defendan Pertama melibatkan 12 lot tanah dalam guaman tersebut. [5] Plaintif-Plaintif dalam tindakan ini merupakan cucu kepada Si Mati di mana ibu mereka bernama Halijah Binti Hassan telah meninggal dunia pada 12.2.2016. Defendan Pertama dan Defendan Kedua adalah agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri masing-masing. Defendan Ketiga adalah juga salah seorang waris Si Mati, yang mana ibunya Rogayah Binti Hassan telah meninggal dunia pada 29.2.1980. [6] Seterusnya, sebagai balasan atas Petisyen Borang A yang dimasukkan tersebut, satu perbicaraan bagi harta pusaka Si Mati telah diadakan pada pada 7.6.2005 dengan kehadiran Wahab Bin Hassan selaku Pempetisyen bersama dua (2) orang berkepentingan (pembeli) terhadap harta pusaka Si Mati berkaitan. Berdasarkan Nota Perbicaraan Pegawai bertarikh 7.6.2005, Wahab Bin Hassan selaku Pempetisyen menyatakan bahawa beliau adalah satu-satunya waris yang berhak ke atas harta pusaka Si Mati yang berkenaan dan terdapat harta tak alih Si Mati yang telah dijual kepada pembeli tetapi urusan pindahmilik tidak dapat dilaksanakan. Semasa perbicaraan tersebut berlangsung, memandangkan tiada bantahan daripada mana-mana pihak direkodkan maka keputusan yang dibuat dalam perbicaraan harta pusaka Si Mati adalah teratur dan Perintah Pembahagian (Borang E) bertarikh 7.6.2005 dikeluarkan oleh PPPK kepada waris Si Mati iaitu Wahab Bin Hasan. [7] Semakan Defendan Pertama pada masa yang material terhadap kesemua harta tak alih Si Mati tersebut mendapati bahawa ianya adalah merupakan hakmilik Si Mati namun ianya didaftarkan di atas nama Sariah binti Alang @ Che Ah binti Alang (isteri Si Mati) sebagai Pentadbir yang mana lantikan Pentadbir tersebut telah diperolehi melalui satu Pemberian Surat Mentadbir Harta Pusaka Si Mati daripada Mahkamah Tinggi Ipoh bertarikh 25.08.1972. Melalui surat bertarikh 5.1.2005 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh kepada Bahagian Pusat Pendaftaran Kuasa Mati dan disalinkan kepada Defendan Pertama dan Defendan Kedua bahawa kes harta pusaka Si Mati di Mahkamah Tinggi Ipoh telah dibatalkan dan kes harta pusaka Si Mati secara tersiratnya dipindahkan kepada pihak Defendan Pertama dan Defendan Kedua khususnya berdasarkan permintaan yang dibuat oleh Pentadbir Si Mati sendiri pada masa yang material, Wahab Bin Hassan. [8] Satu Pemohonan berikutnya yang pertama telah dipohon oleh Pempetisyen dibawah Seksyen 17 Akta 98 mengenai harta ketinggalan Si Mati melalui Borang P bertarikh 24.02.2006. Permohonan ini adalah berhubung wang pampasan melibatkan hakmilik GM530, Lot 917, Mukim Pengkalan Aor. Walau bagaimanapun permohonan tersebut tidak dapat diteruskan dan dibatalkan lanjutan wang pampasan tersebut telah merujuk kepada harta pusaka Che Ah binti Alang dan bukanlah di atas nama Si Mati, maka tindakan pembetulan hendaklah dilakukan terlebih dahulu mengenai pemilikan harta tersebut sebelum ianya dapat diteruskan. Wahab Bin Hassan setelah memperolehi Perintah bertarikh 7.6.2005, telah memindahkan seluruh harta pusaka Si Mati ke atas namanya dan seorang bernama Fatimah Binti Anang. Kemudian Wahab Bin Hassan meninggal dunia pada 14.10.2012 dan waris-warisnya telah cuba membuat pindahmilik harta pusaka kepada mereka tetapi dibantah oleh waris-waris yang lain. [9] Pada 16.5.2011, Halijah Binti Hassan telah membuat pindahmilik melalui Borang 14A secara balasan kasih sayang kepada Plaintif-Plaintif di mana Lot 763 dibahagi kepada ketiga-tiga mereka manakala Lot 917 dipindahmilik sepenuhnya kepada Plaintif Ketiga. Plaintif-Plaintif menyatakan bahawa pindahmilik tersebut adalah sah mengikut undang-undang dan mereka mempunyai indefeasible title terhadap kedua-dua lot tersebut sebagai waris yang sah Si Mati. Semakan mendapati Halijah Binti Hassan telah memperolehi hakmilik lot-lot tersebut melalui pindahmilik oleh adiknya Wahab Bin Hassan pada 5.7.2007. [10] Menurut Defendan Ketiga, pemilikan harta oleh Halijah binti Hasan adalah tidak sah dan terbatal atas sebab terdapat perintah-perintah pembatalan atau pindaan atau ulang bicara semula pembahagian harta tersebut oleh Mahkamah Tinggi Taiping iaitu pada tahun 2014, melalui Guaman Sivil No.21-NCVC-04-07/2013 dan satu perintah Mahkamah Tinggi yang sama pada tahun 2017 yang meletakkan hak kesemua harta-harta simati kepada waris-waris mengikut hukum faraid. Selain itu, Plaintif-Plaintif juga telah memulakan tindakan tuntutan hartanah yang sama iaitu di Mahkamah Sesyen Taiping, Guaman Sivil No. AB-A52NCVC-26-07/2017, yang mana isu yang diketengahkan adalah isu yang sama walaupun tuntutan terhadap waris yang berbeza. Mahkamah Sesyen telah pun menolak tuntutan Plaintif-plaintif untuk mendapatkan deklarasi pemilikan hartanah tersebut dengan kos (Perintah-Perintah Mahkamah dirujuk secara kolektif dalam Eksibit ZMD-3). [11] Seterusnya pada 27.9.2021, Defendan Ketiga telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Pentadbir bertarikh 7.6.2005 di Mahkamah Tinggi Taiping melalui Rayuan Sivil No. AB-16A-2-09/2021 untuk membatalkan keputusan tersebut atas alasan bahawa semasa perbicaraan pada tahun 2005 tersebut, Wahab Bin Hassan tidak memaklumkan bahawa terdapat waris-waris lain Si Mati, antaranya Rogayah binti Hassan (maklumat ini melalui carian rekod Mahkamah ini dalam sistem). Kes rayuan tersebut telah diselesaikan melalui Perintah bertarikh 1 April 2022 (Eksibit ZMD-1) yang membatalkan pemilikan lot-lot tersebut dan meletakkan semula ke atas nama Si Mati dan perintah supaya ulang bicara semula harta pusaka Si Mati. Perintah persetujuan tersebut direkodkan antara Defendan Ketiga (Perayu) dan Responden (Wahab Bin Hassan, Si Mati melalui wakilnya Abdul Razak Bin Wahab). Perintah bertarikh 1.4.2022 dipinda melalui satu perintah Mahkamah bertarikh 17.4.2023 kerana kesilapan perkeranian dan ketinggalan-ketinggalan dalam perintah asal. [12] Pada 23.10.2023 suatu permohonan kali kedua telah dibuat melalui Borang P (Petisyen di bawah Seksyen 17) dimasukkan oleh Defendan Ketiga yang melibatkan tiga (3) harta tidak alih Si Mati dan dua (2) tanah tersebut merupakan Lot Tanah Yang Dipertikaikan di dalam Saman Pemula ini. Defendan Ketiga juga difahamkan sedang dalam proses mendapatkan Sijil Faraid yang baru. [13] Satu perjumpaan telah diadakan di antara wakil Plaintif-Plaintif dan beberapa waris Si Mati yang lain di pejabat Tetuan Hanis Aziah Wahidah & Partners pada tarikh 22.5.2022 bagi menerangkan dan membincangkan cara pembahagian yang sebaiknya di antara mereka, namun tidak mendapat persetujuan Plaintif-Plaintif, dan Perintah bertarikh 1.4.2022 telah diserahkan kepada wakil mereka. Namun Plaintif-Plaintif tidak membuat apa-apa bantahan atau rayuan mengenai Perintah tersebut sehinggalah pada awal Januari 2024, perbicaraan semula pusaka simati ditetapkan oleh Pejabat Pusaka Kecil Kerian pada 8.1.2024. [14] Plaintif-Plaintif telah membantah perbicaraan semula yang ditetapkan pada 8.1.2024 dan tidak bersetuju dengan pembahagian harta, terutamanya yang melibatkan Lot-Lot tersebut. Perbicaraan semula pada 8.1.2024 telah gagal mencapai kata putus kerana bantahan Plaintif-Plaintif tentang pembahagian semula Lot-Lot tersebut. Akibatnya, Plaintif Kedua dan Defendan Ketiga telah dilantik sebagai Pentadbir Bersama bagi Lot-Lot Tanah Tersebut. [15] Ekshibit RH9 dalam Lampiran 2 adalah Borang 14A di mana pindahmilik antara Wahab Bin Hassan kepada Halijah Binti Hassan pada 5.7.2007 ialah secara “pemberian kasih sayang antara kakak dengan adik”. Oleh itu Plaintif-Plaintif memplidkan bahawa peruntukan pembahagian harta pusaka Si Mati, termasuk tanah GM 396, Lot 763, Mukim Pengkalan Aor, Daerah Larut Matang, Perak (1/2 bahagian), dan tanah GM 530, Lot 917, Mukim Pengkalan Aor, Daerah Larut Matang, Perak (1/2 bahagian) kepada Halijah binti Hassan, adalah sah dan berkuat kuasa menurut undang-undang. Plaintif Kedua mengikrarkan bahawa terdapat bangunan di atas tanah tersebut, termasuk rumah kediaman dan premis komersial, yang telah digunakan secara aktif oleh keluarganya. Selain itu, tanah tersebut juga telah diusahakan dengan tanaman dan kebun, yang menunjukkan penggunaan berterusan dan sah. Plaintif-Plaintif menyatakan bahawa kewujudan pembangunan ini mengukuhkan lagi hak milik mereka terhadap tanah tersebut, dan sebarang cabaran terhadap hak milik ini adalah tidak berasas. PENILAIAN DAN DAPATAN MAHKAMAH [16] Tiga isu yang berbangkit dalam tindakan ini seperti berikut: i. sama ada pindahmilik Lot-Lot tersebut kepada Halijah Binti Hassan adalah sah; ii. sama ada Perintah bertarikh 1.4.2022 telah menafikan hak Plaintif-Plaintif di bawah Perkara 13(1) PP; iii. sama ada prinsip res judicata terpakai. i. Sama ada pindahmilik Lot-Lot tersebut kepada Halijah Binti Hassan adalah sah [17] Plaintif-Plaintif menegaskan bahawa perintah Mahkamah ini bertarikh 1.4.2022 yang membabitkan tanah pusaka Si Mati adalah satu perintah yang tidak melibatkan semua waris berkepentingan, termasuk Plaintif-Plaintif kerana mereka tidak dijadikan pihak-pihak dalam prosiding rayuan tersebut. Tambahan pula, proses pembatalan dan pendaftaran baru hakmilik dibuat tanpa mempertimbangkan dokumen utama iaitu Borang 14A yang tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Mahkamah mendapati ayat terakhir ini tidak benar kerana sememangnya pindahmilik kepada Halijah Binti Hassan telah dicabar dalam prosiding di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini seperti ditunjukkan dalam Eksibit ZMD-3. Ini kerana pindahmilik pertama yang dibuat oleh Wahab Bin Hassan ekoran daripada bicara pusaka pada 7.6.2005 tidak melibatkan semua waris Si Mati dan boleh dipertikaikan. [18] Plaintif-Plaintif menegaskan bahawa mereka adalah pemilik sah kepada tanah-tanah yang dipertikaikan dan bahawa pemindahan hak milik tersebut tidak boleh disangkal mengikut peruntukan di bawah Seksyen 340 Kanun Tanah Negara (KTN) dan hak mereka telah “dinafikan” di bawah Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan (PP). Plaintif-Plaintif merujuk kepada kes Tan Ying Hong v Tan Sian San & Ors [2010] 2 MLJ