MOHAMAD SAFUAN BIN ABDUL RAHMAN …PLAINTIF-PLAINTIF PRECIOUS ESSENCE SDN BHD …DEFENDAN 3 ALASAN PENGHAKIMAN (Kandungan 24) A. PENGENALAN [1] Plaintif telah memfailkan Saman Pemula (Kandungan 1) ini untuk mendapatkan perintah antara lain satu lanjutan masa untuk memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) bertarikh 7.6.2017 yang diputuskan di dalam Guaman Sivil No.A52-03-09/2013 (guaman tersebut). [2] Selepas daripada pemfailan Kandungan 1, Plaintif telah memfailkan satu permohonan sebagaimana dalam Kandungan 13 untuk meminda Kandungan 1nya bagi tujuan memasukkan intitulement berhubung peruntukan-peruntukan undang-undang yang disandarkan oleh Plaintif dalam membuat permohonan untuk perlanjutan masa. [3] Mahkamah ini pada 9.2.2018 telah membenarkan Kandungan 13 Plaintif. Plaintif kemudiannya telah memfailkan Saman Pemula Terpindanya di Kandungan 24. 4 B. LATAR BELAKANG KES [4] Plaintif-Plaintif (i.Ben Fourty Five Enterprise ii.Mohamad Safuan Bin Abdul Rahman) telah memfailkan satu tindakan sivil terhadap Defendan-Defendan (i. Rajaduray a/l Karupaiah (No. K.P 641014-10-7109 - berniaga di bawah nama dan gaya RS News Dot Com) ii. Precious Essence Sdn Bhd) di Mahkamah Sesyen Klang (Guaman Sivil No.A52-03-09/2013). [5] Dalam guaman tersebut Plaintif-Plaintif telah menuntut daripada Defendan-Defendan gantirugi khas sebanyak RM268,586.54 beserta gantirugi teruk dan teladan atas dakwaan-dakwaan salahnyata dan konspirasi yang dilakukan oleh Defendan-Defendan berhubung dengan perjanjian-perjanjian francais yang dimasuki oleh kedua-dua pihak Plaintif dan Defendan. [6] Selepas daripada ini Plaintif-Plaintif akan juga kadang kalanya dikenali sebagai Plaintif, manakala Defendan-Defendan juga akan kadang kala dikenali sebagai Defendan. 5 Guaman Sivil No.A52-03-09/2013 [7] Pada 21.12.2016 Defendan-Defendan telah memfailkan permohonan-permohonan untuk mambatalkan Writ dan Penyataan Tuntutan Terpinda Plaintif di dalam Kandungan 12 (permohonan oleh Rajaduray a/l Karupaiah) dan Kandungan 13 (permohonan oleh Precious Essence Sdn Bhd). [8] Pada 6.7.2017 HMS telah membenarkan permohonan Defendan-Defendan dalam Kandungan 12 dan Kandungan 13 tersebut dengan kos bagi setiap permohonan sebanyak RM450.00. [9] Plaintif yang tidak berpuashati terhadap keputusan HMS tersebut berhasrat untuk merayu terhadap kedua-dua keputusan HMS tersebut. Permohonan Pelanjutan Masa Plaintif [10] Adalah menjadi tegasan Plaintif bahawa mereka telah memberi arahan kepada peguamcara mereka untuk merayu terhadap keputusan HMS dan untuk itu kerani penghantaran dari firma peguamcara Plaintif En Krishnamoorthi a/l Subramaniam (En 6 Krishnamoorthy) telahpun hadir di kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen pada 14.6.2017 bagi memfailkan Notis-Notis Rayuan bagi kedua-dua keputusan HMS tersebut. [11] Menurut En Krishnamoorthi (kerani penghantaran Plaintif), kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen telah mengakui terima Notis-Notis Rayuan tersebut (2 set Notis Rayuan setiap satunya dalam 7 salinan) dengan meletakkan rubber stamp Mahkamah Sesyen/Majistret dengan pengakuan terima pada tarikh 15.6.2017 di atas surat iringan peguamcara Plaintif. {Eksibit “SVR-5”, Afidavit Sokongan (Kandungan 2)}. [12] Di samping itu peguamcara Plaintif juga telah menyerahkan salinan-salinan Notis Rayuan tersebut kepada peguamcara Defendan iaitu Tetuan Tetuan Hakem Arabi & Associates pada tarikh yang sama. Notis-Notis Rayuan tersebut telahpun dihantar kepada Peguamcara Defendan melalui faks dan salinan penerimaan faks pada jam 4.00 petang pada 14.6.2017. Bukti penerimaan salinan faks oleh Tetuan Hakem Arabi & Associates jelas telah dieksibitkan di eksibit “SVR-6”. {Eksibit “SVR-6”, Afidavit Sokongan (Kandungan 2)}. 7 [13] Peguamcara Plaintif kemudiannya telah dihubungi oleh Puan Mimi (kerani kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen) yang bertanyakan mengenai dua set Notis Rayuan yang telah difailkan oleh peguam dan peguam telah mengesahkan bahawa Plaintif adalah merayu terhadap kedua-dua keputusan Kandungan 12 dan Kandungan 13. [14] Namun telah timbul kekeliruan di kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen walaupun telah mengakui penerimaan Notis-Notis Rayuan tersebut, Puan Mimi telah mengembalikan Notis-Notis Rayuan tersebut kepada kerani penghantaran peguamcara Plaintif. [15] Apabila peguamcara Plaintif hadir ke kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen Klang pada 28.6.2017 untuk bertanyakan berkenaan alasan penghakiman HMS, peguamcara Plaintif baru mengetahui bahawa Notis-Notis Rayuan tersebut tidak berjaya diproses pada tarikh 15.6.2017. [16] Atas kekeliruan pemfailan Notis-Notis Rayuan tersebut, Plaintif kini memfailkan permohonan ini bagi memohon perlanjutan masa untuk 8 memfailkan Notis Rayuan kerana tempoh 14 hari memfailkan Notis Rayuan luput pada 21.6.2017. C. TENTANGAN DEFENDAN [17] Defendan telah menentang permohonan Plaintif dengan memfailkan afidavit jawapan mereka. Di peringkat permulaan, peguam Defendan telah membangkitkan satu bantahan awal bahawa Mahkamah ini tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan Plaintif ini kerana Plaintif-Plaintif tidak memfailkan Notis Rayuan. [18] Mahkamah ini menolak bantahan awal yang dibangkitkan oleh Defendan tersebut. Berdasarkan fakta-fakta dalam kes ini, bantahan awal Defendan tidak mempunyai asas. Lagipun, ketidakfailan Notis Rayuan bukanlah satu halangan kepada satu permohonan untuk lanjutan masa dibuat oleh mana-mana pihak ataupun menghalang penggunaan kuasa budi bicara Mahkamah dalam memberikan perintah perlanjutan masa. Oleh itu bantahan awal Defendan wajarlah ditolak. 9 [19] Defendan telah menentang permohonan Plaintif dengan hanya membangkitkan dua (2) alasan berikut: i. Plaintif adalah cuai dan gagal mengambil tindakan bagi memastikan Notis Rayuan-Notis Rayuan mereka difailkan dengan sempurna menurut tempoh 14 hari yang ditetapkan undang-undang. ii. Plaintif tidak langsung mempunyai kausa tindakan yang munasabah terhadap Defendan (the Plaintiffs’ claims are obviously unsustainable) / Plaintif tidak mempunyai rayuan bermerit dan kompeten terhadap Defendan. D. UNDANG-UNDANG [20] Aturan 55 kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (KKM 2012) jelas memperuntukkan bahawa semua rayuan ke Mahkamah Tinggi hendaklah dengan cara pendengaran semula dan hendaklah dibawa dengan memberikan suatu notis rayuan dalam empat belas hari dari tarikh keputusan itu dirayu. 10 [21] Dalam kes ini, peguam Plaintif sememangnya telah memfailkan Notis Rayuan-Notis Rayuannya di dalam tempoh 14 hari. Namun, Notis Rayuan-Notis Rayuan mereka telah tidak diproses oleh kaunter Pendaftaran Mahkamah dan dikembalikan. Apabila dimaklumkan mengenai Notis Rayuan-Notis Rayuan yang gagal diproses, tempoh masa empat belas (14) hari untuk merayu telahpun luput. Justeru bagi membolehkan atau meneruskan rayuan, Plaintif perlu mendapatkan satu perintah perlanjutan masa daripada Mahkamah ini. [22] Prinsip undang-undang berhubung dengan perlaksanaan budi bicara Mahkamah samada untuk membenarkan satu perlanjutan masa telah diputuskan dalam pelbagai otoriti. (Sila lihat i. Ratnam v. Cumarasamy & Anor [1964] 3 All ER 933. ii. Ong Guan Teck & Ors v. Hijjas [1982] 1 MLJ 105. iii. Punca Klasik Sdn Bhd v. Seok Kim Leow [1996] 5 MLJ 241. iv. Gan Hay Chong v Siow Kian Yuh & Anor [1975] 1 MLJ 41. v. Cheah Teong Tat v Ho Gee Seng & Ors [1974] 1 MLJ 31.) 11 [23] Pertimbangan utama yang perlu dipertimbangkan dan ditekankan oleh Mahkamah dalam perlaksanaan kuasa budi bicaranya adalah samada terdapatnya alasan-alasan yang munasabah di atas kelewatan ataupun samada kelewatan tersebut dapat dijustifikasikan. [24] Di dalam kes Abdul Rahim Ponniah bin Abdullah-v-Kulim Intensive Driving Centre Sdn. Bhd. [2000] 6 MLJ 584, Hakim Alauddin (YA ketika itu) telah memutuskan antara lain bahawa: “…In exercising the discretion, the following factors will be considered (1) whether the delay caused by the defendant company unjustified or unreasonable (2) what are the reasons for the delay (3) whether the defence raised by the defendant company had any merits; and (4) will the plaintiff prejudiced in any way should the application be granted.” E. KEPUTUSAN MAHKAMAH [25] Mahkamah ini telah meneliti Eksibit “SVR-5” dan Eksibit “SVR-6” yang telah dikemukakan oleh Plaintif. Adalah nyata dan jelas bahawa kedua-dua eksibit ini adalah merupakan surat-surat iringan firma peguamcara Plaintif (Tetuan Kamil Hashim Raj & Lim) yang 12 telah diendos dengan rubber stamp oleh Pejabat Pendaftaran Mahkamah Sesyen/Majistret Klang dan juga difakskan kepada Tetuan Hakem Arabi & Associates yang mewakili Defendan. Kandungan surat iringan Eksibit “SVR-5” dan “SVR-6” telah menyatakan bahawa bersama surat ini peguamcara Plaintif telah sertakan bersekali 2 set Notis Rayuan dalam tujuh salinan. [26] Mahkamah ini berpandangan bahawa apabila dokumen-dokumen yang dinyatakan dalam surat iringan tersebut telahpun diterima oleh kaunter Pejabat Pendaftaran Mahkamah Sesyen/Majistret dengan kaunter membuat pengendosan seperti berikut: RECEIVED 15 JUN 2017 MAHKAMAH SESYEN MAJISTRET KLANG. Maka, dengan endorsmen sebegitu bermakna bahawa sememangnya kaunter pendaftaran Mahkamah Rendah Klang telahpun menerima Notis Rayuan-Notis Rayuan tersebut, [27] Daripada fakta ini, adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa Plaintif sememangnya telah berhasrat merayu terhadap keputusan HMS tersebut dan hasrat itu telah direalisasikan dengan pemfailan Notis-notis Rayuan tersebut di kaunter pendaftaran Mahkamah. 13 [28] Hasrat dan perlakuan untuk merayu terhadap keputusan HMS dalam tempoh waktu yang diperuntukkan oleh undang-undang bertambah jelas dengan penyerahan salinan-salinan Notis Rayuan-Notis Rayuan tersebut kepada peguamcara Defendan yang mana telahpun dihantar melalui faks dan bukti penerimaan faks menunjukkan salinan notis rayuan diterima oleh peguamcara Defendan. [29] Berdasarkan apa yang telah berlaku dalam kes ini, adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa alasan-alasan Plaintif memohon satu perlanjutan masa untuk memfailkan Notis Rayuan terhadap keputusan-keputusan HMS adalah alasan-alasan yang menasabah dan mempunyai kewajaran / justifikasi. [30] Justeru itu, kuasa budi bicara yang ada pada Mahkamah ini wajarlah digunakan dengan membenarkan perlanjutan masa yang dipohon Plaintif. Mahkamah ini dengan ini membenarkan permohonan Plaintif di Kandungan 24. 14 ………………………………….. (AZIMAH BINTI OMAR) Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor Darul Ehsan Bertarikh 20hb April, 2018 Peguam Plaintif - Tetuan Kamil Hashim Raj & Lim Encik S. Prakash Encik V. Satchi Peguam Defendan - Tetuan Hakem Arabi & Associates