Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: KA-22NCVC – 80 – 10/2019
KA-22NCvC-80-10/2019
High Court of Malaysia23 Oct 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: KA-22NCVC – 80 – 10/2019
1
CHAN AH SAI @ CHAN TEAN HOO
2
CHAN BOON SOON
3
CHAN BOON AUN
4
TAN SEW YEN (NO. K/P: 521004-02-5138/ 8106040) --- PLAINTIF-PLAINTIF DAN CHAN VOON HUK (NO. K/P: 680430-02-5825/ A0976072) --- DEFENDAN 23/07/2025 16:39:41 KA-22NCvC-80-10/2019 Kand. 160 ALASAN PENGHAKIMAN
1
Ini ialah Alasan Penghakiman Mahkamah terhadap dua tindakan sivil yang difailkan secara berasingan oleh Plaintif-Plaintif dalam Guaman Sivil No: KA-22NCvC-78-10/2019 dan Guaman Sivil No: KA-22NCvC-80-10/2019 yang telah kemudiannya diperintahkan untuk dibicarakan bersama kerana melibatkan pihak-pihak dan isu-isu yang sama.
2
Dalam kedua-dua tindakan ini Plaintif-Plaintif menuntut, antara lain untuk suatu deklarasi bahawa pemindahan hak milik ke atas dua bidang tanah, iaitu Lot 319 dan Lot 320, masing-masingnya oleh Defendan kepada dirinya sendiri adalah tidak sah dan terbatal.
3
Plaintif-Plaintif juga menuntut agar nama mereka dimasukkan semula sebagai pemilik berdaftar tanah-tanah tersebut dan bahawa Surat Kuasa Wakil (“SKW”) yang digunakan oleh Defendan adalah tidak sah dan/atau telah disalahgunakan.
4
Defendan, dalam Pembelaannya dan juga Tuntutan Balas, menafikan dakwaan Plaintif-Plaintif dan menyatakan bahawa pemindahan tersebut adalah sah serta dibuat atas persetujuan pihak-pihak yang berkaitan dan berdasarkan wang hasil jualan tanah lain milik keluarga yang telah digunakan untuk membeli Lot 319 dan Lot 320. Defendan telah memasukkan Tuntutan Balas terhadap Plaintif-Plaintif, antara lain berkenaan dengan ganti rugi yang dituntut atas kemasukan kaveat yang salah ke atas tanah tersebut, ganti rugi atas hasil tanah tersebut, bayaran RM500,00 untuk segala perbelanjaan yang dihabiskan untuk tanah tersebut serta wang pampasan sebanyak RM211,500 yang diberikan oleh Kerajaan atas pengambilan sebahagian daripada tanah tersebut.
5
Plaintif-Plaintif merupakan ahli keluarga kepada Defendan dan pemilik berdaftar bersama Lot 319 dan Lot 320 yang terletak di daerah Kubang Pasu, Kedah. Lot-lot ini didaftarkan atas nama beberapa ahli keluarga termasuk Defendan selepas urusan pembelian yang dikatakan menggunakan wang hasil jualan tanah keluarga (“Tanah Kedundung”).
6
Pada tahun 2018, satu SKW telah diberikan kepada Defendan oleh sebahagian daripada Plaintif. SKW ini dikatakan memberi kuasa kepada Defendan untuk mengurus hal-hal berkaitan hartanah termasuk urusan pentadbiran dan pembaharuan cukai tanah.
7
Pada tahun 2019, Defendan telah memindah hak milik ke atas Lot 319 dan Lot 320 kepada dirinya sendiri melalui dua Perserahan, iaitu No. 476/2019 dan No. 477/2019. Plaintif-Plaintif mendakwa tidak pernah memberikan kebenaran atau bersetuju dengan pemindahan tersebut dan bahawa mereka tidak mengetahui mengenai tindakan tersebut sehinggalah dimaklumkan kemudian.
8
Plaintif-Plaintif kemudian memfailkan tindakan ini untuk mendapatkan pemulihan hak milik serta perisytiharan bahawa SKW tersebut telah disalahgunakan oleh Defendan.
9
Mahkamah telah mengenal pasti isu-isu utama yang berikut untuk diputuskan:
a
Sama ada pemindahan hak milik Lot 319 dan Lot 320 kepada Defendan adalah sah atau tidak sah;
b
Sama ada SKW No. 0404-18B telah disalahgunakan oleh
c
Sama ada pemindahan tersebut boleh dibatalkan di bawah subseksyen 340(2) Kanun Tanah Negara 1965 (“KTN”);
d
Sama ada tuntutan balas Defendan berdasarkan dakwaan kontrak amanah dan kerugian boleh diterima.
10
Selain isu-isu tersebut, Mahkamah juga telah membuat penentuan berhubung dengan isu di mana Defendan dalam penghujahan bertulisnya cuba membangkitkan bahawa tindakan Plaintif-Plaintif ini adalah defektif atas alasan kegagalan menamakan Chan Boon Chew selaku pemilik bersama atas Lot 319 dan Lot 320 sebelum itu dan selaku pemberi kuasa. Plaintif-Plaintif juga dikatakan gagal memasukkan Pemaju sebagai pihak dalam tindakan ini.
11
Dalam hal ini, Mahkamah walau bagaimanapun percaya bahawa undang-undang adalah mantap bahawa dalam mana-mana tindakan yang dibawa atas tanah yang dimiliki secara pemilikan bersama, adalah memadai untuk mana-mana penama dari kalangan pemilik bersama itu membawa suatu tindakan dan tiada keperluan untuk kesemua pemilik bersama itu menjadi pihak-pihak.
12
Berkenaan dengan Pemaju yang tidak dijadikan pihak-pihak, Mahkamah berpandangan bahawa dalam keadaan di mana perjanjian usahasama itu dimasuki antara Defendan selaku “tuan tanah” dengan Pemaju dan ditandatangani oleh Defendan atas kapasiti pemilik berdaftar atas Lot 319 dan Lot 320 tersebut pada masa itu, maka Pemaju tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Plaintif-Plaintif dan dengan itu tiada keperluan untuk memasukkan Pemaju sebagai pihak dalam tindakan ini. D. HUJAHAN PIHAK-PIHAK Isu Utama Plaintif-Plaintif 13. Plaintif-Plaintif menghujahkan bahawa pemindahan hak milik adalah tidak sah kerana tiada kewujudan amanah seperti yang didakwa oleh Defendan. Defendan tidak dapat membuktikan bahawa wang hasil jualan Tanah Kedundung berjumlah RM1.1 juta telah digunakan oleh bapa mereka untuk membeli Lot 319 dan Lot 320.
14
Plaintif-Plaintif juga menunjukkan bahawa SKW yang digunakan oleh Defendan tidak lengkap dan tidak didaftarkan secara sempurna, selain skopnya terhad kepada urusan pentadbiran sahaja. Tambahan pula, tindakan Defendan menandatangani Borang 14A tanpa kebenaran sah daripada semua pemilik melanggar prinsip keperluan persetujuan semua pihak seperti yang dinyatakan dalam kes Yong Tim dan M & J Frozen Food. Oleh itu, Plaintif-Plaintif berhujah bahawa subseksyen 340(2) KTN terpakai dan hak milik Defendan boleh dibatalkan. Isu Utama Defendan 15. Defendan mempertahankan bahawa Defendan bertindak sebagai pemegang amanah kepada hartanah tersebut, berdasarkan amanah yang diberikan oleh mendiang bapa mereka. Menurutnya, mendiang bapa telah menggunakan wang sendiri bagi membeli tanah tersebut atas nama anak-anak bagi tujuan pentadbiran, dan bukan pemberian mutlak.
16
Defendan menegaskan bahawa pemindahan hak milik dilakukan secara sah menggunakan SKW yang masih berkuat kuasa, dan telah diluluskan oleh Pejabat Tanah. Tambahan pula, Defendan berhujah bahawa tindakan Plaintif-Plainitif adalah lewat dan mereka gagal menamakan pemilik asal yang didakwa membiayai pembelian, iaitu Chan Boon Cheow dan pemaju. Hujahan Balasan Plaintif-Plaintif 17. Plaintif-Plaintif membalas hujahan Defendan dengan menyatakan bahawa dakwaan amanah adalah tidak berasas kerana tiada sebarang dokumen sokongan dikemukakan. Keterangan mengenai pembayaran RM1.1 juta hanya bersifat hearsay dan tidak disokong bukti dokumentari.
18
Plaintif-Plaintif turut menekankan bahawa dokumen SKW digunakan di luar skop dan tanpa persetujuan. Tambahan pula, tindakan Defendan memindah milik kepada dirinya sendiri adalah satu bentuk penipuan dan penyalahgunaan kuasa, yang membolehkan hak milik dibatalkan di bawah subseksyen 340(2)(a) dan (b) KTN.
19
Plaintif juga menyatakan bahawa mereka bertindak segera selepas mengetahui mengenai pemindahan tersebut, dan tidak pernah menandatangani Borang 14A yang membolehkan pemindahan dilakukan secara sah. Hujahan Balasan Defendan 20. Dalam hujahan balasnya, Defendan menegaskan bahawa pendaftaran hak milik yang telah lengkap tidak boleh dicabar kecuali dibatalkan melalui proses yang sah. Defendan menyatakan bahawa Plaintif-Plaintif gagal membuktikan secara konklusif wujudnya elemen penipuan kerana Plaintif-Plaintif tidak membawa keterangan sokongan daripada pihak seperti Pendaftar Mahkamah atau Pegawai Pejabat Tanah.
21
Defendan turut berhujah bahawa terdapat dua SKW dengan nombor yang sama, dan Plaintif-Plaintif gagal menjelaskan percanggahan tersebut. Oleh itu, Defendan memohon agar tuntutan Plaintif-Plaintif ditolak dan Mahkamah mengesahkan pemilikan Defendan ke atas tanah tersebut. E. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Isu 1: Sama ada pindah milik Lot 319 dan Lot 320 oleh Defendan kepada dirinya sendiri adalah sah di sisi undang-undang 22. PW1 (Chan Ah Sai) menyatakan dengan jelas bahawa dia dan ahli keluarga yang lain hanya memberi kuasa kepada Defendan melalui SKW untuk tujuan pentadbiran, termasuk pembaharuan cukai tanah dan urusan pentadbiran biasa sahaja. Menurutnya, tiada persetujuan diberi untuk apa-apa pindah milik tanah kepada Defendan.
23
Ini disokong oleh PW2 hingga PW4, yang turut menafikan terdapat apa-apa pengetahuan atau persetujuan tentang pemindahan tersebut.
24
Dalam pemeriksaan balas, saksi Defendan (DW1) menyatakan bahawa pemindahan itu dibuat atas arahan mendiang bapanya kerana wang hasil jualan Tanah Kedundung digunakan untuk membeli Lot 319 dan Lot 320. Namun dia gagal mengemukakan bukti pemindahan wang atau dokumen pembelian yang membuktikan perkara tersebut. Dakwaan ini bersifat hearsay dan tidak disokong oleh mana-mana dokumen atau keterangan saksi bebas.
25
Plaintif-Plaintif telah juga menghujahkan bahawa balasan RM500,000.00 yang dikatakan dibayar oleh bapa Defendan kepada Defendan sebagai balasan pindah milik Lot 319 dan Lot 320 kepada Defendan itu sebenarnya tidak wujud kerana tidak terdapat apa-apa bukti yang dikemukakan oleh Defendan di hadapan Mahkamah ini selain dengan merujuk kepada peruntukan dalam perjanjian jual beli antara Defendan dengan bapanya dalam Klausa 2.2 yang menyebut “fully settled”.
26
Tiada apa-apa mode transaksi kewangan yang ditunjukkan kepada Mahkamah semasa perbicaraan berlangsung. Oleh itu, Mahkamah berpandangan bahawa pindah milik tu adalah palsu dan telah diada-adakan bertujuan untuk membolehkan pindah milik diberikan kepada Defendan oleh bapanya. Malah, saksi Defendan sendiri juga tidak memberikan keterangan yang menyakinkan tentang perkara tersebut semasa perbicaraan apabila disoal.
27
Sehubungan dengan itu, Mahkamah mendapati bahawa tidak wujud balasan sebenar bagi pindah milik tersebut. Malah, tiada bukti pembayaran RM500,000 kepada mana-mana Plaintif. Dalam kes Tan Ying Hong v Tan Sian San [2010] 2 CLJ 269, Mahkamah Persekutuan menekankan bahawa apabila pendaftaran dibuat melalui representasi palsu atau penipuan, ia boleh dibatalkan di bawah subseksyen 340(2) KTN.
28
Oleh itu, Mahkamah mendapati bahawa pindah milik tanah oleh Defendan kepada dirinya sendiri adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang.
29
Selain itu, Mahkamah mendapati bahawa pembelaan Defendan berkenaan dengan isu kontra telah tidak dapat dibuktikan. Walaupun Defendan menyatakan bahawa dia sebenarnya membeli tanah daripada bapanya, namun tiada apa-apa dokumen yang ditunjukkan kepada Mahkamah bahawa perkara itu berlaku, sebaliknya di pihak Plaintif-Plaintif, Plaintif-Plaintif telah mengemukakan bukti pembelian Lot 319 dan Lot 320 dengan transaksi pembayaran melalui cek, bank draf dan resit yang dikemukakan.
30
Plaintif-Plaintif menegaskan bahawa bapa mereka telah membeli tanah dan dipecahbahagikan serta diberikan secara percuma kepada mereka adik beradik termasuk bapa Defendan, maka Plaintif-Plaintif tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab untuk membuat kontra dengan Lot 319 dan Lot 320 atas keberhutangan yang dikatakan berlaku antara Plaintif-Plaintif dengan bapa Defendan apabila menerima hasil daripada penjualan tanah bapa mereka itu.
31
Mahkamah berpandangan bahawa isu kontra ini mula dibangkitkan untuk menjustifikasikan pindah milik yang telah dibuat oleh bapa Defendan kepada Defendan bagi membolehkan Defendan secara mutlak mengusahakan tanah yang selama ini enggan dipindah milik kepada bapa Defendan oleh Plaintif-Plaintif. Isu 2: Sama ada SKW No. 0404-18B telah disalahgunakan oleh Defendan 32. Plaintif-Plaintif menyatakan bahawa SKW hanya bertujuan membolehkan Defendan mengurus pentadbiran tanah seperti membayar cukai atau membuat carian, bukan untuk menjual atau memindah hak milik. Ini turut diakui dalam keterangan PW1 dan diperkuatkan melalui pembacaan secara harfiah (literal) kandungan SKW yang tidak memberi kuasa mutlak untuk menjual.
33
Dalam kes ini, Plaintif juga berhujah bahawa telah wujud “salah nyataan” oleh pihak Defendan tentang hak dan kepentingan Plaintif-Plaintif yang dijamin oleh Defendan masih kekal dalam Lot 319 dan 320 walaupun telah diberikan SWK itu kepada Defendan untuk menguruskan pemajuan tanah. Ini boleh dilihat dalam surat peguam cara Defendan terdahulu kepada Plaintif-Plaintif dan Surat Akuan yang dibuat. Malah semasa keterangannya di Mahkamah, Defendan juga telah cuba untuk menegaskan hal tersebut walaupun secara terangnya pindah milik telah pun berlaku sepenuhnya kepada Defendan. Keraguan akan timbul tentang bagaimana suatu jaminan tentang hak dan kepentingan itu boleh dikekalkan dalam keadaan tersebut.
34
Mahkamah sesungguhnya percaya bahawa tujuan SKW diberikan oleh Plaintif-Plaintif adalah untuk pemajuan tanah Lot 319 dan Lot 320 semata-mata, dan tidak sekali-kali untuk pindah milik kepada bapa Defendan dan kemudiannya kepada Defendan. Ini kerana daripada keterangan saksi-saksi Plaintif, jelas menunjukkan bahawa sememangnya sejak dari mula lagi Plaintif-Plaintf enggan menyerahkan Lot 319 dan Lot 320 kepada bapa Defendan walaupun berulang kali diminta sebelum itu. Bagaimana ia boleh berlaku jika tiada janji tentang jaminan hak dan kepentingan Plaintif-Plaintif diberikan oleh Defendan?
35
Mahkamah juga percaya dengan tingkah laku dan salah nyataan oleh Defendan tentang tujuan SKW dan jaminan yang diperoleh melalui surat peguam serta Surat Akuan yang dimasuki itulah yang menyebabkan Plaintif-Plaintif bersetuju untuk memberikan SKW kepada Defendan pada 3.3.2018 itu. Setelah mengetahui keadaan sebenar, maka dengan segera setelah mengetahui bahawa suatu Joint Venture Agreement dimasuki oleh Defendan dengan pihak pemaju pada 23.7.2019 atas kapasiti Defendan sebagai pemilik berdaftar Lot-Lot tersebut, carian telah dibuat pada hari yang sama oleh Plaintif-Plaintif pada 23.7.2019. Setelah mengetahui status pemilik berdaftar atas Lot 319 dan 320 telah berubah kepada Defendan, Plaintif Ketiga telah memasukkan Kaveat ke atas Lot 319 dan Lot 320 untuk menjaga kepentingan dan haknya.
36
Dalam kes Yong Tim v Hoo Kok Cheong & Anor [2005] 3 CLJ 229, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa salah guna surat kuasa wakil untuk pindah milik tanpa kebenaran benefisiari adalah perbuatan fraud yang membatalkan pendaftaran.
37
DW1 mengakui bahawa dia tidak mendapat pengesahan bertulis atau kebenaran lanjut daripada Plaintif-Plaintif sebelum pemindahan dibuat, dan dia sendiri melengkapkan Borang 14A bagi pihak semua pemilik. Ini bertentangan dengan prinsip yang dinyatakan dalam M & J Frozen Food Sdn Bhd v Siland Sdn Bhd [1994] 1 MLJ 294, bahawa wakil kuasa tidak boleh bertindak melebihi skop yang dibenarkan.
38
Mahkamah telah meneliti keterangan saksi berkaitan dengan SKW yang diberikan oleh Plaintif-Plaintif kepada Defendan di mana telah dihujahkan oleh Plaintif-Plaintif sebagai tidak sah dan terbatal atas dua alasan, iaitu ia tidak disaksikan di hadapan peguam menurut kehendak seksyen 3 Akta Perwakilan Kuasa dan nombor pendaftaran kedua-dua SKW itu diragui apabila menggunakan nombor yang sama untuk dua SKW yang berbeza.
39
Hujahan Defendan adalah Plaintif-Plaintif telah menandatangani SKW itu dengan rela hati. Namun begitu, Mahkamah berpandangan bahawa isu rela hati dan kehendak untuk mematuhi peruntukan undang-undang yang relevan adalah dua perkara yang berbeza. Seseorang itu boleh dikatakan secara rela hati menandatangani SKW walaupun dengan tidak mengetahui terdapat peruntukan undang-undang sedia ada yang menggariskan prosedur yang sepatutnya dalam memastikan SKW yang ditandatangani itu menjadi suatu yang sah di sisi undang-undang.
40
Malah, hujahan Defendan bahawa fakta kedua-dua SKW itu telah pun didaftarkan dengan sewajarnya setelah ditandatangani oleh Plaintif-Plaintif tidak menjadikannya suatu instrumen yang sah jika sejak dari awalnya ia telah pun merupakan suatu dokumen yang teratur dan tidak sah. Mahkamah berpandangan bahawa Defendan telah gagal untuk mematahkan keterangan Plaintif tersebut dengan hanya menggunakan alasan “rela hati” Plaintif-Plaintif.
41
Hal ini ditambah pula dengan keadaan di mana Defendan gagal untuk menyangkal hakikat bahawa kedua-dua SKW itu telah didaftarkan atas nombor pendaftaran yang sama. Isu bagaimana keadaan itu boleh berlaku tidak dijawab oleh Defendan dan telah seterusnya menimbulkan keraguan yang menjejaskan kesahihan status dokumen tersebut.
42
Selain itu, hujahan Defendan bahawa kedua-dua SKW dalam tindakan ini adalah merupakan dokumen yang telahpun dipersetujui untuk dimasukkan dalam Bahagian A Ikatan Dokumen Bersama. Maka dengan itu tidak sepatutnya dipertikaikan semasa perbicaraan.
43
Dalam hal ini, Mahkamah menegaskan bahawa kemasukan apa-apa dokumen dalam mana-mana Bahagian yang dipersetujui sekalipun tidak menghalang untuk Mahkamah ini membuat penelitian terhadap dokumen-dokumen itu kerana menjadi tugas Mahkamah untuk membuat penilaian menyeluruh atas kandungan keterangan dokumen yang dikemukakan di hadapan Mahkamah ini semasa perbicaraan penuh, sama ada oleh saksi Plaintif-Plaintif atau Defendan dan bukan semata-mata atas penetapan dokumen dalam ikatan yang dipersetujui semata-mata.
44
Tambahan pula, kegagalan ketidakpatuhan undang-undang adalah jelas dan telah diakui oleh saksi peguam bahawa dia tidak menyaksikan penandatangan oleh pihak-pihak dalam kedua-dua SKW tersebut dan hanya diuruskan oleh seorang kakitangan/pengurus firmanya. Maka Mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta pengakuan tersebut sewenang-wenangnya.
45
Sehubungan dengan itu, Mahkamah percaya kesahan kedua-dua SKW itu boleh diragui dengan kebarangkalian yang tinggi wujudnya unsur-unsur penipuan dan fraud dalam urusan pemberian dan pendaftaran SKW Plaintif-Plaintif kepada Defendan.
46
Oleh itu, Mahkamah berpendapat bahawa SKW tersebut telah disalahgunakan secara nyata dan tidak sah digunakan untuk tujuan pemindahan hak milik kepada diri sendiri oleh Defendan. Isu 3: Sama ada subseksyen 340(2) KTN terpakai ke atas pemindahan hak milik ini
47
Subseksyen 340(2) KTN memperuntukkan bahawa sesuatu pendaftaran boleh dibatalkan jika diperolehi melalui penipuan (fraud), penyata palsu (misrepresentation), atau jika pemberi hak tidak mempunyai kuasa sah untuk memindah hak milik.
48
Berdasarkan dapatan Mahkamah terhadap keterangan saksi, serta pengesahan bahawa tiada balasan sebenar, dan SKW disalahgunakan, maka dua keadaan dalam subseksyen 340(2)(a) dan (b) jelas dipenuhi.
49
Dalam kes Adorna Properties Sdn Bhd v Boonsom Boonyanit [2001] 1 MLJ 241 dan Tan Ying Hong (supra), prinsip bahawa hak milik boleh dibatalkan walaupun telah didaftarkan jika diperolehi melalui fraud adalah telah diperkukuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.
a
Pendaftaran dilakukan hasil daripada representasi palsu oleh Defendan yang menggunakan SKW di luar skop;
b
Pemindahan dibuat oleh seseorang yang tidak mempunyai kuasa sah di mana SKW tidak memberikan kuasa menjual kepada Defendan.
50
Oleh itu, Mahkamah berpuas hati bahawa hak milik Defendan adalah 'voidable title' dan tertakluk kepada pembatalan mengikut subseksyen 340(2) KTN. Isu 4: Sama ada tuntutan balas Defendan berasaskan kontrak amanah dan kerugian adalah berasas 51. Defendan menyatakan bahawa dia bertindak sebagai wakil kepada bapanya dan mendakwa telah mengalami kerugian akibat tindakan Plaintif-Plaintif. Namun tiada dokumen sokongan dikemukakan bagi membuktikan kewujudan amanah atau kerugian sebenar yang dialami.
52
Dalam pemeriksaan balas, DW1 gagal menjawab dengan jelas sumber dana dan hubungan perjanjian yang didakwa wujud. Tiada surat amanah, pengesahan pembayaran atau dokumen kewangan dikemukakan. Malah, tindakan Defendan memindah kepada dirinya sendiri tanpa sebarang catatan fiduciari menjejaskan dakwaannya sendiri.
53
Mahkamah merujuk prinsip dalam Low Gim Har v Thomas Yew Seng Wah [2011] 1 LNS 1037 bahawa beban untuk membuktikan amanah khas atau kontrak adalah terletak pada pihak yang mendakwa, dan ia perlu dibuktikan secara konkrit.
54
Maka Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan balas Defendan adalah tidak berasas, bersifat rekaan semata-mata, dan ditolak sepenuhnya. F.
55
Sehubungan dengan itu, berdasarkan penilaian yang terperinci dan dapatan yang dibuat terhadap semua keterangan saksi-saksi serta hujahan pihak-pihak, dan setelah mempertimbangkan keseluruhan fakta kes, kesemua dokumen yang dikemukakan, nas-nas dan kehendak undang-undang sedia ada, Mahkamah dengan ini membenarkan permohonan Plaintif-Plaintif dalam kedua-dua kes KA-22NCvC-78-10/2019 dan KA-22NCvC-80-10/2019 dengan kos sebanyak RM20,0000, yang hendaklah dibayar kepada Plaintif-Plaintif secara bersesama. Tiada perintah untuk ganti rugi teladan.
56
Mahkamah dengan ini juga memutuskan bahawa Tuntutan Balas Defendan dalam kedua-dua tindakan KA-22NCvC-78-10/2019 dan KA-22NCvC-80-10/2019 ditolak tanpa perintah untuk kos. Bertarikh : 22 Julai 2025 ……………………………………………… (YA PUAN MAHAZAN BINTI MAT TAIB) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA ALOR SETAR, KEDAH Peguam bagi pihak Plaintif : Dato’ Kevin (Tetuan Kevin & Co) Peguam bagi pihak Defendan : Shazwani Ilyana Iskandar Nur Izzatul Hijannah Azizam (Tetuan Jamil Mohamed
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.