Content
JB-24NCvC-573-10/2025 Kand. 16 03/06/2026 11:28:15 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI MUAR DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM SAMAN PEMULA NO: JB-24NCVC-573-10/2025
JB-24NCvC-573-10/2025
High Court of Malaysia30 Mar 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
What the court ordered
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“sanguinis. [37] Thus in our view, the second appellant has not fulfilled the requirement to be a citizen by operation of law within the meaning of para 1(e) of Part II of the Second Schedule of the Federal Constitution (refer to Chin Kooi Nah (suing on behalf of himself and as litigation representative to Chin Jia Nee,”
“terancang termasuk pendaftaran palsu. [45] Saya bersetuju dengan pendekatan yang diambil dalam keskes Mahkamah Tinggi seperti Siow Chew Lian & Ors v Pendaftaran Besar Kelahiran dan Kematian Malaysia [2022] MLJU 2237 dan Ooi Thye Peng v Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, Malaysia & Ors [2023] MLJU 2486 bahawa tidak”
“lam keskes Mahkamah Tinggi seperti Siow Chew Lian & Ors v Pendaftaran Besar Kelahiran dan Kematian Malaysia [2022] MLJU 2237 dan Ooi Thye Peng v Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, Malaysia & Ors [2023] MLJU 2486 bahawa tidak setiap keadaan seseorang bayi kemudian dibesarkan oleh pihak lain akan serta-merta jatuh d”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
JB-24NCvC-573-10/2025 Kand. 16 03/06/2026 11:28:15 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI MUAR DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM SAMAN PEMULA NO: JB-24NCVC-573-10/2025
3
CHAN POI HONG (WAKIL LITIGASI UNTUK CHAN SHAN EN (BELUM DEWASA) Sijil kelahiran No. Daftar: 195949 XA) ...PEMOHON-PEMOHON
2
PENDAFTAR BESAR KELAHIRAN DAN KEMATIAN, MALAYSIA ..RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Ini adalah suatu permohonan oleh Pemohon-Pemohon melalui Saman Pemula bertarikh 29.10.2025 untuk, antara lain, mendapatkan suatu deklarasi bahawa Pemohon Ketiga, Chan Shan En ("kanak-kanak tersebut"), adalah seorang warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang dan seterusnya perintah perintah mandamus terhadap Responden-Responden untuk mengeluarkan sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen dokumen susulan yang berkaitan. [2] Permohonan tersebut disokong oleh Afidavit Sokongan yang diikrarkan oleh Chan Poi Hong, Tang Chai Hang dan Chan Poi Hong selaku wakil litigasi kepada kanak-kanak tersebut. Responden-Responden telah memfailkan Afidavit Jawapan melalui Ketua Pengarah Pendaftaran Negara. Pemohon-Pemohon kemudiannya memfailkan Afidavit Balasan. Kedua-dua pihak turut memfailkan hujahan bertulis. Perintah yang dipohon [3] Pemohon-Pemohon melalui Saman Pemula di Kandungan 1 telah memohon kepada Mahkamah perintah-perintah yang berikut :-
1
Deklarasi bahawa CHAN SHAN EN adalah seorang warganegara Malaysia melalui operasi undang-undang;
2
Perintah mandamus yang mengarahkan Responden-Responden, KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI dan/atau PENDAFTAR BESAR KELAHIRAN DAN KEMATIAN, MALAYSIA untuk mengeluarkan sijil kelahiran bagi CHAN SHAN EN dan mendaftarkan CHAN SHAN EN sebagai seorang warganegara Malaysia dalam 14 hari dari tarikh perintah;
3
Perintah mandamus yang mengarahkan Responden-responden, KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI dan/atau PENDAFTAR BESAR KELAHIRAN DAN KEMATIAN, MALAYSIA untuk mengeluarkan suatu kad pengenalan Malaysia yang sah bagi CHAN SHAN EN sebagai warganegara Malaysia dalam 14 hari dari tarikh perintah;
4
Perintah mandamus yang mengarahkan Responden-Responden, KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI dan/atau PENDAFTAR BESAR KELAHIRAN DAN KEMATIAN, MALAYSIA untuk mengeluarkan sijil kewarganegaraan dan/atau apa-apa dokumen yang diperlukan bagi tujuan mengeluarkan suatu kad pengenalan Malaysia dan sijil kelahiran yang sah bagi CHAN SHAN EN sebagai warganegara Malaysia dalam 14 hari dari tarikh perintah; dan
5
Perintah-perintah dan/atau arahan-arahan sedemikian yang selanjutnya yang mungkin diberikan atau dibuat sebagaimana Mahkamah yang Mulia ini anggap sesuai dan adil dalam hal hal keadaan kes tersebut. Fakta-fakta asas yang tidak dipertikaikan [4] Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua ialah pasangan suami isteri dan kedua-duanya warganegara Malaysia. Kanak-kanak tersebut dilahirkan pada 02.07.2018 di KPJ Bandar Maharani Specialist Hospital, Muar, Johor. [5] Pada mulanya satu sijil kelahiran telah dikeluarkan yang meletakkan nama Chang Chaw Hiam sebagai bapa dan Le Thi Trien sebagai ibu serta mencatatkan kanak-kanak tersebut sebagai "warganegara". [6] Kemudian, susulan siasatan JPN, sijil kelahiran tersebut telah dipinda. Sijil kelahiran baharu No. Daftar 195949 XA menunjukkan bahawa ibu kanak-kanak tersebut ialah Cao Thi Hong Tham (No. Pasport Vietnam: C4245306), bapa ialah "Maklumat Tidak Diperolehi", dan taraf kewarganegaraan ialah Bukan Warganegara. [7] Tidak dipertikaikan juga bahawa Chang Chaw Hiam telah didakwa dan disabitkan atas kesalahan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 berhubung pemberian maklumat palsu ketika pendaftaran kelahiran tersebut. [8]Seterusnya, Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua telah memperoleh suatu Perintah Pengangkatan daripada Mahkamah Sesyen Muar pada 30.05.2025 dan nama kanak-kanak tersebut ditukar kepada Chan Shan En. [9] Permohonan semasa ini bukanlah suatu permohonan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan ("PP"), tetapi suatu tuntutan deklaratori bahawa kanak-kanak tersebut telah pun menjadi warganegara Malaysia melalui operasi undang-undang sejak lahir. Isu-isu untuk diputuskan [10] Setelah meneliti keseluruhan kertas kausa, afidavit-afidavit, ekshibit-ekshibit yang dilampirkan serta hujahan pihak-pihak, Mahkamah ini berpendapat bahawa isu sebenar yang timbul adalah suatu isu perlembagaan yang penting, iaitu: a) sama ada kanak-kanak tersebut layak kepada kewarganegaraan melalui operasi undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) PP dibaca bersama Jadual Kedua Bahagian II Seksyen 1(e) PP; b) sama ada kanak-kanak tersebut layak kepada kewarganegaraan melalui operasi undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) PP dibaca bersama Jadual Kedua Bahagian II Seksyen 1(a) PP; c) sama ada Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua PP terpakai kepada fakta kes ini; d) kesan pengangkatan dan dakwaan pelucutan kewarganegaraan; e) Kedudukan Mahkamah berhubung budi bicara dan simpati; dan f) berdasarkan dapatan di atas, sama ada relief-relief deklaratori dan mandamus yang dipohon wajar diberikan. [11] Perkara 14(1)(b) PP memperuntukkan bahawa :- Undang-undang yang terpakai Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang
14
(1) Tertakluk kepada peruntukan Bahagian ini, orang yang berikut ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:
a
tiap-tiap orang yang lahir sebelum Hari Malaysia yang menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa peruntukan yang terkandung dalam Bahagian I Jadual Kedua; dan
b
tiap-tiap orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana kelayakan yang dinyatakan dalam Bahagian II Jadual Kedua tiap-tiap orang yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana kelayakan yang ditentukan dalam Bahagian II Jadual Kedua adalah warganegara melalui operasi undang-undang. [12] Seksyen 1(a), Bahagian II, Jadual Kedua PP memperuntukkan :-
1
Tertakluk kepada peruntukan Bahagian III Perlembagaan ini, orang yang berikut yang lahir pada atau selepas Hari Malaysia ialah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu:
a
tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan sekurangkurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masakelahiran itu seorang warganegara atau bermastautin secara tetap di Persekutuan; [13] Secara dasarnya, tertakluk kepada Bahagian III, bahawa seseorang yang dilahirkan dalam Persekutuan adalah warganegara jika sekurang-kurangnya salah seorang ibu bapanya pada masa kelahiran ialah seorang warganegara atau pemastautin tetap dalam Persekutuan. [14] Seksyen 1(e), Bahagian II, Jadual Kedua PP pula memperuntukkan "tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini". Ini bermakna, kewarganegaraan kepada setiap orang yang dilahirkan dalam Persekutuan yang tidak dilahirkan sebagai warganegara mana-mana negara selain menurut perenggan itu. [15] Seksyen 2(3), Bahagian II, Jadual Kedua PP memperuntukkan bahawa bagi maksud Seksyen 1(e), seseorang hendaklah dianggap mempunyai pada masa lahir apa-apa kewarganegaraan yang diperolehnya dalam tempoh setahun selepas kelahiran. Ini dapat dilihat sebagaimana yang berikut :-
3
Bagi maksud perenggan (e) seksyen 1, seseorang akan dikira sebagai mempunyai, pada masa dia lahir, apa-apa kewarganegaraan yang diperolehnya dalam masa satu tahun kemudiannya menurut kuasa mana-mana peruntukan yang bersamaan dengan perenggan (c) seksyen itu atau selainnya. [16] Seksyen 19B, Bahagian III, Jadual Kedua PP memperuntukkan :-
19B
Bagi maksud Bahagian I atau II Jadual ini, mana-mana kanakkanak baru lahir yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan di mana-mana tempat hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan sebaliknya, telah lahir di tempat itu dan ibunya bermastautin secara tetap di tempat itu; dan jika kanak-kanak itu dikira menurut kuasa seksyen ini telah lahir sedemikian, maka tarikh dia dijumpai hendaklah dikira sebagai tarikh lahirnya. [17] Ini bermakna, suatu anggapan berhubung mana-mana bayi baru lahir yang dijumpai terdedah di mana-mana tempat, iaitu bahawa bayi itu dianggap telah dilahirkan di situ oleh seorang ibu yang bermastautin tetap di situ, sehingga dibuktikan sebaliknya. [18] Undang-undang jelas menyatakan bahawa pemakaian Seksyen 1(e) ini melibatkan unsur jus sanguinis. Ini bermakna, penentuan sama ada seseorang "tidak dilahirkan sebagai warganegara manamana negara" mestilah dinilai dengan merujuk kepada keturunan atau lineage orang itu pada masa kelahiran. [19]Sebagai contoh, Mahkamah Rayuan dalam kes Than Siew Beng & Anor v Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara & Ors [2017] 5 MLJ 662 dalam membincangkan pemakaian Seksyen 1(e) telah menyatakan seperti yang berikut :- [35] A plain reading of para 1(e) 'was not born a citizen of any country' refers to the relationship of the second appellant to his biological and lawful parents at the time of his birth. The only available documentary evidence, the second appellant's birth certificate ('exh TSB6') contained no information pertaining to the biological parents and the relevant particulars were endorsed with 'Maklumat Tidak Diperolehi'. [36] Since the identity of the child's lawful and biological parents are unknown, it is not possible to determine the lineage of the second appellant that would enable the second appellant to be conferred citizenship by lineage ie jus sanguinis. [37] Thus in our view, the second appellant has not fulfilled the requirement to be a citizen by operation of law within the meaning of para 1(e) of Part II of the Second Schedule of the Federal Constitution (refer to Chin Kooi Nah (suing on behalf of himself and as litigation representative to Chin Jia Nee, child) v Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, Malaysia [2016] 7 MLJ 717). [20] Manakala Mahkamah Rayuan dalam kes Lim Jen Hsian & Anor v Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara & Ors [2018] 6 MLJ 548 juga menyatakan :- [36] Paragraph 1(e) of Part II, Second Schedule of the Federal Constitution confers citizenship to a person born by jus sanguinis, by reference to his blood or lineage. Thus when a child has not, at birth, acquired citizenship of any country, this would render him/her not born a citizen of any country. [21] Dalam kes Azimah Hamzah v Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara & Anor [2023] 3 CLJ 475, Mahkamah Rayuan sekali lagi menegaskan bahawa jika bloodline atau parentage boleh dikenal pasti, maka kewarganegaraan semasa lahir perlu ditentukan dengan merujuk kepada kewarganegaraan ibu bapa kandung dan undang-undang kewarganegaraan negara berkenaan. Perkara ini dapat dilihat seperti yang berikut :- [22] Thus, if the bloodline or parentage can be ascertained, as in this case, then the appellant's nationality at her time of birth can be determined by reference to the nationality of her parents. Her lineage and the citizenship laws governing her parents' nationality would be relevant to determine whether or not the appellant fulfils the requirement that she 'was not born a citizen of any country'. In that event, the appellant though born on Malaysian soil, would be a person born a citizen of another country, ie, Cambodia, by virtue of the principle of jus sanguinis. Hence, she would not be stateless at the time of her birth. [22] Berhubung Seksyen 19B, Mahkamah Persekutuan dalam CCH & Anor v Pendaftar Besar bagi Kelahiran dan Kematian, Malaysia [2022] 1 CLJ 1 memang memberi tafsiran luas kepada frasa "found exposed". Walau bagaimanapun, seperti yang akan dihuraikan kemudian, pemakaian CCH tetap bergantung kepada fakta bahawa bayi itu benar-benar termasuk dalam kategori "newborn child found exposed" dalam makna peruntukan tersebut. Analisis dan Penemuan Mahkamah Isu (a) : Sama ada kanak-kanak tersebut layak kepada kewarganegaraan melalui operasi undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) PP dibaca bersama Jadual Kedua Bahagian II Seksyen 1(e) PP [23] Saya akan terlebih dahulu meneliti tuntutan Pemohon-Pemohon di bawah Seksyen 1(e), Bahagian II, Jadual Kedua PP. Terdapat tiga syarat asas yang perlu dipenuhi di bawah peruntukan tersebut: a) orang itu lahir pada atau selepas Hari Malaysia; b) orang itu lahir dalam Persekutuan; dan c) orang itu tidak dilahirkan sebagai warganegara mana-mana negara. [24] Dua syarat pertama tidak bermasalah dalam kes ini. Kanakkanak tersebut lahir pada 02.07.2018 di Muar, Johor. Oleh itu, persoalan sebenar tertumpu pada syarat ketiga. [25] Di sini, undang-undang adalah jelas bahawa beban pembuktian terletak pada pihak yang menyatakan fakta tersebut. Ini selari dengan prinsip umum pembuktian bahawa "he who asserts must prove", seperti yang ditegaskan dalam Than Siew Beng (Supra) dan Lim Jen Hsian (Supra). Mahkamah Rayuan dalam kedua-dua kes itu menegaskan bahawa pihak yang menuntut kewarganegaraan di bawah Seksyen 1(e) mesti terlebih dahulu membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa orang tersebut tidak dilahirkan sebagai warganegara mana-mana negara. [26] Pemohon-Pemohon berhujah bahawa kanak-kanak tersebut bukan warganegara mana-mana negara lain, adalah "stateless", tidak pernah memiliki pasport asing, tidak pernah diiktiraf oleh mana-mana kedutaan, dan oleh itu memenuhi Seksyen 1(e). [27] Dengan hormatnya, Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan tersebut. [28] Autoriti Mahkamah Rayuan jelas memutuskan bahawaungkapan "who is not born a citizen of any country" dalam Seksyen 1(e) tidak boleh diputuskan semata - mata berdasarkan keadaan de facto semasa seseorang hidup, atau berdasarkan fakta bahawa dia tidak pernah memegang pasport atau tidak pernah mendapat pengesahan daripada mana-mana kedutaan. Isu itu mesti ditentukan pada masa kelahiran, dan dengan merujuk kepada lineage, yakni keturunan dan status ibu bapa kandung. (Lihat Than Siew Beng (Supra), Lim Jen Hsian (Supra), dan Azimah Hamzah (Supra)). [29] Dalam kes di hadapan Mahkamah ini, maklumat keturunan tidak lagi berada dalam keadaan "tidak diketahui sepenuhnya". Sebaliknya, Sijil Kelahiran No. 195949 XA dengan jelas merekodkan bahawa ibu kanak-kanak tersebut ialah Cao Thi Hong Tham, pemegang pasport Vietnam No. C4245306. Bapa pula direkodkan sebagai "Maklumat Tidak Diperolehi". [30] Pemohon-Pemohon cuba berhujah bahawa kewujudan individu bernama Cao Thi Hong Tham tidak pernah dibuktikan secara muktamad, bahawa identitinya masih samar, dan bahawa Responden-Responden tidak memanggil individu itu ke mahkamah. [31] Hujahan ini, pada hemat saya, tidak dapat diterima atas beberapa sebab: - Pertama, dokumen rasmi yang sedia ada, termasuk rekod kelahiran hospital dan sijil kelahiran yang dipinda, semuanya merujuk kepada nama ibu tersebut. Pemohon-Pemohon sendiri dalam Afidavit Sokongan mereka menerima bahawa kanak-kanak tersebut dilahirkan oleh seorang wanita bernama Cao Thi Hong Tham yang dikatakan memegang pasport Vietnam itu. Mereka tidak boleh pada satu ketika bergantung kepada naratif itu bagi menyokong kisah peninggalan bayi, tetapi pada masa yang sama menafikan terus nilai probatif butiran yang sama apabila ia tidak memihak kepada mereka. - Kedua, surat-surat kepada beberapa kedutaan asing yang dirujuk oleh Pemohon-Pemohon tidak, pada pandangan Mahkamah, membuktikan bahawa kanak-kanak tersebut bukan warganegara negara lain. Ketiadaan maklum balas atau pengesahan daripada kedutaan tidak boleh diangkat sebagai bukti konklusif bahawa kanak-kanak tersebut tidak mempunyai kewarganegaraan melalui keturunan. Seperti yang dihujahkan oleh Responden-Responden, jika pendaftaran kelahiran atau kewarganegaraan tidak pernah dibuat dengan negara tersebut, sememangnya tiada rekod akan ditemui. Itu tidak bermakna hak kewarganegaraan melalui undang-undang negara asal ibu kandung tidak wujud. - Ketiga, keputusan Mahkamah Rayuan dalam Azimah Hamzah (Supra) adalah secara langsung relevan. Dalam kes itu, Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa apabila keturunan atau asal-usul ibu bapa kandung dapat dikenal pasti, pemohon mesti menunjukkan mengapa dia tidak berhak kepada kewarganegaraan negara ibu atau bapanya pada masa kelahiran. Kegagalan berbuat demikian adalah fatal kepada tuntutan di bawah Seksyen 1(e). - Dalam kes ini, Pemohon-Pemohon langsung tidak mengemukakan apa-apa keterangan undang-undang pakar atau dokumen rasmi yang menunjukkan bahawa berdasarkan undang-undang Vietnam, kanak-kanak tersebut tidak layak atau tidak mungkin memperoleh kewarganegaraan Vietnam melalui ibunya pada masa kelahiran. - Sebaliknya, hujahan Pemohon-Pemohon lebih tertumpu kepada bahawa tiada siapa mengesahkan kanak-kanak tersebut ialah warganegara Vietnam. Pada hemat Mahkamah ini, perkara itu tidak memadai. Mahkamah ini berpendapat, tugas Pemohon-Pemohon adalah untuk membuktikan bahawa kanak-kanak itu tidak dilahirkan sebagai warganegara mana-mana negara. Ketiadaan pengesahan adalah bukan pembuktian. - Keempat, Mahkamah menerima hujahan Responden Responden bahawa oleh sebab kanak-kanak tersebut dilahirkan di luar perkahwinan yang sah, maka rujukan kepada "parent" atau "father" bagi tujuan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada Seksyen 17 Bahagian III Jadual Kedua. Ini bermaksud, bagi anak tidak sah taraf, rujukan tersebut hendaklah ditafsirkan sebagai rujukan kepada ibunya. Prinsip ini juga turut dibincangkan dalam kes Lim Jen Hsian (Supra) yang menyatakan seperti yang berikut :- [37] In the instant case, although the second appellant was born in the Federation, he does not acquire citizenship from his Malaysian biological father as being illegitimate, he acquires the citizenship of his biological mother who is a Thai national. The second appellant's biological mother named Rai-Putta Thippawan ('Rai Putta') is a citizen of Thailand (exh A of encl 10 (refer to Foo Toon Aik (suing on his own behalf and as representative of Foo Shi Wen, Child) v Ketua Pendaftar Kelahiran dan Kematian, Malaysia [2012] 9 MLJ 573). [38] The second appellant's lineage would only be traceable to his Malaysian biological father provided that his parents was in a lawful marriage. In the case of an illegitimate child, the word 'parent' is construed to refer to his biological mother. Section 17 of Part III of the Federal Constitution states as follows: For the purposes of Part III of this Constitution references to a person's father or to his parent, or to one of his parents, are in relation to a person who is illegitimate to be construed as references to his mother, and accordingly section 19 of this Schedule shall not apply to such person. [32] Perkara ini diperkukuhkan lagi oleh Mahkamah Persekutuan dalam CTEB & Anor v Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Malaysia [2021] 4 MLJ 236 yang menegaskan bahawa status kanak-kanak pada masa kelahiran, dan bagi anak tidak sah taraf, kewarganegaraan adalah mengikut ibu. Ini dapat dilihat sebagaimana berikut :- [156] Section 17 provides for reference to the 'father' of an illegitimate child to refer to his 'mother'. The only clear meaning to be concluded therefore is that the child's citizenship follows that of his mother. There is nothing ambiguous about s 17 to permit other rules of interpretation. [33] Dalam kes ini, tiada bukti dikemukakan tentang kewujudan suatu perkahwinan yang sah antara ibu kandung dan bapa kandung. Maka, kanak-kanak tersebut hendaklah dianggap sebagai anak tidak sah taraf bagi tujuan peruntukan kewarganegaraan, dan keturunan yang material adalah keturunan melalui ibu. [34] Jika demikian, dan apabila ibu direkodkan sebagai seorang pemegang pasport Vietnam, Mahkamah tidak dapat menerima bahawa Pemohon-Pemohon telah berjaya membuktikan bahawa kanak-kanak tersebut "tidak dilahirkan sebagai warganegara manamana negara". Oleh itu, saya mendapati bahawa tuntutan Pemohon-Pemohon di bawah Seksyen 1(e), Bahagian II, Jadual Kedua PP adalah tidak berjaya dibuktikan. Isu (b): Sama ada kanak-kanak tersebut layak kepada kewarganegaraan melalui operasi undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) PP dibaca bersama Jadual Kedua Bahagian II Seksyen 1(a) PP [35] Pemohon-Pemohon juga bergantung pada Seksyen 1(a), Bahagian II, Jadual Kedua PP. [36] Peruntukan itu memerlukan bahawa pada masa kelahiran, sekurang-kurangnya salah seorang ibu bapa kanak-kanak tersebut ialah seorang warganegara atau pemastautin tetap dalam Persekutuan. [37] Dalam konteks kes ini, tidak ada bukti bahawa ibu kandung kanak-kanak tersebut ialah seorang warganegara Malaysia atau pemastautin tetap di Malaysia. Sebaliknya, dokumen rasmi yang ada menunjukkan bahawa ibu tersebut ialah seorang pemegang pasport Vietnam. [38] Pemohon-Pemohon cuba mengatasi kesukaran ini dengan berhujah bahawa Mahkamah patut mengaktifkan anggapan di bawah Seksyen 19B. Oleh itu, persoalan sama ada Seksyen 1(a) dapat membantu Pemohon-Pemohon bergantung sepenuhnya pada sama ada Seksyen 19B terpakai. Isu (c) : Sama ada Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua PP terpakai kepada fakta kes ini [39] Seksyen 19B memperuntukkan suatu anggapan khas bagi "any newborn child found exposed in any place". Pemohon-Pemohon menegaskan bahawa kanak-kanak tersebut ialah seorang anak terdampar, dibuang, ditinggalkan dan tidak dikehendaki, dan oleh itu tergolong dalam Seksyen 19B. [40] Responden-Responden pula berhujah bahawa fakta kes ini langsung tidak menunjukkan bahawa kanak-kanak tersebut "dijumpai terdedah" sebaliknya menunjukkan bahawa telah berlaku satu penyerahan bayi secara sengaja kepada Chang Chaw Hiam dan seterusnya suatu pengaturan pendaftaran palsu dibuat. [41] Saya menerima hujahan Responden-Responden. [42] Dalam CCH (Supra), Mahkamah Persekutuan memang memberikan tafsiran luas kepada frasa "found exposed". Walau bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan tetap bercakap tentang bayi yang ditinggalkan dan dijumpai tanpa jejak ibu bapa biologinya, termasuk bayi yang ditinggalkan di tempat lahir oleh ibu kandung yang identitinya tidak diketahui. [43] Fakta kes ini adalah berbeza secara material. [44] Berdasarkan bahan di hadapan Mahkamah: a) kanak-kanak tersebut tidak dijumpai oleh orang awam di suatu tempat tanpa diketahui asal usulnya; b) sebaliknya, naratif Pemohon-Pemohon sendiri ialah bahawa seorang wanita bernama Cao Thi Hong Tham telah menyerahkan bayi itu kepada Chang Chaw Hiam; c) kemudian Chang Chaw Hiam telah membuat pendaftaran kelahiran palsu dengan meletakkan dirinya sebagai bapa dan isterinya sebagai ibu; d) terdapat juga pengakuan dalam siasatan JPN bahawa pendaftaran itu diuruskan melalui ejen dan sejumlah wang dibayar bagi tujuan tersebut; e) Dengan kata lain, ini bukanlah keadaan di mana seorang bayi baru lahir dijumpai terdedah di suatu lokasi tanpa pengetahuan sesiapa tentang bagaimana bayi itu berada di situ. Ini ialah suatu keadaan di mana, berdasarkan bukti yang ada, bayi itu diserahkan kepada seorang individu tertentu dan seterusnya dibawa ke dalam suatu rangkaian tindakan yang terancang termasuk pendaftaran palsu. [45] Saya bersetuju dengan pendekatan yang diambil dalam keskes Mahkamah Tinggi seperti Siow Chew Lian & Ors v Pendaftaran Besar Kelahiran dan Kematian Malaysia [2022] MLJU 2237 dan Ooi Thye Peng v Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, Malaysia & Ors [2023] MLJU 2486 bahawa tidak setiap keadaan seseorang bayi kemudian dibesarkan oleh pihak lain akan serta-merta jatuh dalam kategori "found exposed". [46] Dalam Ooi Thye Peng (Supra), Mahkamah Tinggi menekankan bahawa beban awal adalah pada pemohon untuk menunjukkan bahawa dia termasuk dalam makna literal atau luas frasa "found exposed". Hanya setelah itu barulah beban beralih. Jika fakta menunjukkan bayi itu diserahkan oleh ibu kandung kepada seseorang yang dikenali, maka Seksyen 19B tidak semestinya terpakai. [47] Itulah tepatnya keadaan di sini. Naratif Pemohon-Pemohon sendiri ialah bahawa bayi tersebut diserahkan oleh ibu kandung kepada Chang Chaw Hiam. Laporan polis yang dikemukakan juga tidak dibuat sejurus selepas kelahiran, sebaliknya beberapa tahun kemudian. Tiada rekod bahawa suatu laporan segera dibuat kepada pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Jabatan Pendaftaran Negara bahawa seorang bayi baru lahir telah dijumpai ditinggalkan. [48] Mahkamah tidak bersedia menerima bahawa Seksyen 19B boleh diperluas sehingga meliputi setiap kes di mana seorang ibu menyerahkan anaknya kepada pihak ketiga dan kemudiannya menghilangkan diri. Jika ditafsirkan demikian, Seksyen 19B akan melangkaui teksnya dan terpisah daripada konteks sebenar yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan dalam CCH (Supra). [49] Saya juga menerima hujahan Responden-Responden bahawa pemakaian Seksyen 19B di sini akan bercanggah dengan fakta bahawa maklumat ibu kandung telah direkodkan. Sama ada maklumat itu sempurna atau tidak, ia cukup untuk membezakan kes ini daripada kes di mana identiti ibu benar-benar tidak diketahui sama sekali. [50] Oleh itu, saya mendapati bahawa Pemohon-Pemohon gagal membuktikan bahawa kanak-kanak tersebut ialah "newborn child found exposed" dalam makna Seksyen 19B. [51] Maka, Seksyen 19B tidak dapat digunakan untuk membantu Pemohon-Pemohon. [52] Dengan kegagalan Seksyen 19B terpakai, tuntutan Pemohon-Pemohon di bawah Seksyen 1(a) turut gagal, kerana tiada bukti bebas bahawa mana-mana ibu bapa kandung kanak-kanak tersebut ialah seorang warganegara atau pemastautin tetap di Persekutuan pada masa kelahiran. Isu (d) : Kesan pengangkatan dan dakwaan pelucutan kewarganegaraan [53] Pemohon-Pemohon juga berhujah bahawa kanak-kanak tersebut pada asalnya telah didaftarkan sebagai "warganegara" dan hanya kemudian "dilucuthakkan" oleh Responden-Responden melalui pindaan sijil kelahiran. [54] Saya tidak dapat bersetuju dengan hujahan ini. [55] Apa yang berlaku dalam kes ini, berdasarkan bukti yang ada, ialah pembetulan rekod pendaftaran yang pada asalnya diperoleh berdasarkan maklumat palsu. Seseorang yang direkodkan tersilap sebagai warganegara hasil penipuan atau salah nyataan tidak dengan itu memperoleh hak perlembagaan yang tidak boleh diperbetulkan apabila maklumat sebenar diketahui. [56] Dengan hormatnya, tindakan pembetulan rekod kelahiran dalam keadaan sedemikian tidak boleh disamakan dengan "perlucutan" kewarganegaraan dalam erti kata perlembagaan. Perlucutan mengandaikan bahawa orang itu sememangnya mempunyai kewarganegaraan yang sah pada mulanya. Dalam kes ini, isu yang perlu diputuskan ialah sama ada kanak-kanak tersebut sememangnya layak sebagai warganegara melalui operasi undangundang, dan Mahkamah telah memutuskan bahawa beliau tidak berjaya membuktikan kelayakan tersebut. [57] Pengangkatan yang kemudiannya diperoleh oleh Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua juga tidak membantu isu kewarganegaraan melalui operasi undang-undang. Kedudukan undang-undang adalah jelas bahawa kewarganegaraan melalui Perkara 14 ditentukan pada masa kelahiran dan bukan diubah secara retrospektif melalui pengangkatan. Lihat prinsip yang dibincangkan dalam CTEB dan autoriti-autoriti yang dirujuk oleh Responden-Responden. Isu (e) : Kedudukan Mahkamah berhubung budi bicara dan simpati [58] Mahkamah ini tidak menafikan bahawa fakta kes ini membangkitkan rasa simpati terhadap kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak tersebut jelas tidak bersalah dan telah dibesarkan oleh Pemohon Pertama dan Pemohon Kedua dengan penuh kasih sayang. [59] Namun begitu, Mahkamah tidak boleh menggantikan syaratsyarat nyata yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dengan pertimbangan simpati semata-mata. [60] Seperti yang ditegaskan dalam beberapa keputusan, termasuk Mahisha Sulaiha Abdul Majeed v Ketua Pengarah Pendaftaran & Ors And Another Appeal [2022] 8 CLJ 697, Mahkamah tidak boleh menulis semula teks Perlembagaan atas nama keadilan subjektif jika bahasa peruntukan dan autoriti yang mengikat menunjukkan sebaliknya. [61] Jika fakta-fakta ini menimbulkan suatu kes yang patut dipertimbangkan atas dasar belas ihsan atau kebajikan di bawah saluran lain seperti Perkara 15A PP, itu adalah perkara yang berlainan. Tetapi itu bukanlah isu di hadapan Mahkamah ini. Kesimpulan [62] Berdasarkan keseluruhan alasan di atas, Mahkamah membuat dapatan berikut: a) Pemohon Ketiga gagal membuktikan bahawa beliau memenuhi syarat di bawah Seksyen 1(e), Bahagian II, Jadual Kedua PP kerana beliau gagal membuktikan bahawa pada masa kelahirannya beliau tidak dilahirkan sebagai warganegara mana-mana negara; b) keturunan melalui ibu kandung adalah relevan dalam kes ini, dan dokumen yang ada menunjukkan ibu kandung direkodkan sebagai seorang pemegang pasport Vietnam; c) Pemohon-Pemohon gagal membuktikan mengapa kanakkanak tersebut tidak berhak kepada kewarganegaraan negara ibunya pada masa kelahiran; d) Pemohon-Pemohon juga gagal membuktikan bahawa kanakkanak tersebut tergolong dalam kategori "newborn child found exposed" bagi maksud Seksyen 19B; e) Oleh itu Seksyen 19B tidak terpakai, dan tuntutan di bawah Seksyen 1(a) turut gagal; dan f) pengangkatan serta pembetulan sijil kelahiran tidak mengubah analisis perlembagaan tersebut. [63] Dengan itu, Mahkamah mendapati bahawa Pemohon-Pemohon telah gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa Pemohon Ketiga ialah seorang warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.
para
[64] Saman Pemula Pemohon-Pemohon adalan dengan ini ditolak Kos RM1,500.00 tertakluk fi alukator. BERTARIKH PADA 30 MAC 2026 YA DATUK ZAMRI BIN BAKAR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI (1) MUAR JOHOR DARUL TAKZIM Peguam bagi Pihak Pemohon-Pemohon: TETUAN ALVIN'S CHANG CHAMBER Kaunsel bagi Pihak Responden-Responden: PEGUAM KANAN PERSEKUTUAN MELAKA
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.