PEJABAT DAERAH & TANAH, BENTONG … DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Ini adalah suatu tindakan Plaintif-Plaintif untuk Defendan Ketiga memperbetulkan rekod ketuanpunyaan kepada tanah GM 4736 Lot 126125, Mukim Sabai, Kuala Telemong, Daerah Bentong, Negeri Pahang Darul Makmur dengan menambah dalam rekod ketuanpunyaan bahawa Defendan Pertama iaitu Chan Kwai Fong adalah sebagai pemegang amanah kepada bahagian tanah yang dipegang oleh Defendan Pertama dan Defendan Kedua. [2] Defendan Ketiga juga dikehendaki untuk mengeluarkan sesalinan geran hakmilik untuk diserahkan kepada Plaintif-plaintif dengan terteranya catatan Defendan Pertama sebagai pemegang amanah. Pada masa yang sama Plaintif-plaintif memohon agar catatan-catatan kini yang ada dalam suratan hakmilik diisytiharkan sebagai salah dan tidak teratur. [3] Asas permohonan Plaintif-plaintif telah disokong oleh Affidavit Sokongan Chan Yin Fatt yang diikrarkan pada 18.07.2023. Affidavit tersebut menyatakan bahawa terdapat suatu Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) bertarikh 01.03.1993. Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) tahun 1993 tersebut telah diekshibitkan sebagai “CFY-1” yang dinyatakan di dalam Affidavit Sokongan sebagai “CYF-1”. Pihak Plaintif menyatakan bahawa di dalam Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) tersebut terdapat persetujuan bahawa harta tanah EMR 2662 Lot 41 dan harta tanah EMR 2664 Lot 818 akan digabungkan dan dipisahkan kepada tiga bahagian iaitu Bahagian A, B dan C seperti yang terdapat dalam pelan dalam surat ikatan amanah tersebut. Pembetulan ini perlu dibuat kerana Defendan Pertama hanyalah merupakan pemegang amanah dan bukannya pemilik hartanah tersebut seperti yang dicatatkan di dalam suratan hakmilik yang ada masa ini. [4] Sebaliknya, Defendan Pertama di dalam Affidavit Jawapannya menyatakan bahawa Plaintif-plaintif adalah merupakan adik beradik kepada Defendan Pertama. Defendan Pertama menyatakan selain daripada Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) bertarikh 01.03.1993, terdapat satu lagi Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) yang dibuat pada 27.05.1987. Defendan Pertama menyatakan Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) bertarikh 01.03.1993 adalah lanjutan daripada Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) yang dibuat pada 27.05.1987. [5] Penelitian kepada Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) pada 27.05.1987 tersebut telah menunjukkan bahawa terdapat penama-penama seperti di perenggan [3] dan penerima lot yang berkaitan seperti di perenggan [1]. [6] Plaintif-Plaintif menyatakan bahawa Defendan Pertama yang namanya tertera pada suratan hakmilik adalah pemegang amanah bagi pihak Plaintif. Asas kepada dakwaan tersebut dapat dilihat dalam Affidavit Sokongan Plaintif pada perenggan [5] affidavit Chan Yin Fatt yang menyatakan bahawa tanah EMR 2662 Lot 41 telah dipindahkan kepada Plaintif, Chan Kwai Fong dan Loo Kook Leong pada 26.07.1987 melalui Nombor Perserahan 356/87 dan masing-masing memegang 1/3 bahagian tanah tersebut. Pada 14.09.1992 melalui Nombor Perserahan 710/92 1/3 bahagian tanah Loo Kook Leong telah dipindahkan kepada Chin Yap Tek @ Chin Yap Lek. Sementara itu bagi tanah EMR 2664 Lot 818 telah dipindahkan kepada Chan Yuen Chong dan Chan Yuen Teim. Masing-masing memegang 1/3 bahagian tanah tersebut. [7] Pihak Plaintif dalam Affidavit Sokongannya di perenggan [9] menyatakan dia mempercayai bahawa geran nombor hakmilik GM 4736 Lot 126125 Mukim Sabai, Kuala Telemong, Daerah Bentong yang telah diberikan pegangan bersama oleh Chan Kwai Fong dan Chin Yap Tek @ Chin Yap Lek adalah merupakan harta tanah yang telah dicantumkan iaitu melalui harta tanah EMR 2662 Lot 41 dan EMR 2664 Lot 818 melalui Nombor Perserahan 4461/2010 pada 30.12.20210. Pencantuman tersebut telah didaftarkan pada 23.09.2011 melalui Nombor Perserahan 531/2011 dan hakmilik sambungan HSM 5033 PT 7505 Mukim Sabai, Daerah Bentong telah dikeluarkan. [8] Berdasarkan kepada fakta tersebut pihak Plaintif mempercayai bahawa nama Defendan Pertama di dalam hakmilik tersebut adalah sebagai pemegang amanah kepada ½ bahagian dan bukannya sebagai pemilik ½ bahagian hartanah tersebut. Pada masa yang sama pihak Plaintif juga menyatakan bahawa Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) bertarikh 01.03.1993 itu dilakukan untuk tujuan melakukan pemecahan sempadan dan ia harus dilakukan seperti yang terdapat di dalam Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) tersebut. [9] Sebaliknya, Defendan Pertama di dalam affidavitnya menyatakan Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) bertarikh 01.03.1993 adalah merupakan lanjutan daripada Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) bertarikh 27.05.1987. Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) bertarikh 01.03.1993 itu adalah hanya berkaitan dengan hartanah EMR 2662 Lot 41 dan EMR 2664 Lot 818 sahaja. Sementara Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) bertarikh 27.05.1987 adalah berkaitan hartanah EMR 2662 Lot 41, EMR 2663 Lot 817 dan EMR 2664 Lot 818. [10] Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) pada 27.05.1987 tersebut melibatkan seorang individu yang bernama Loo Kook Leong. Nama Loo Kook Leong tidak berada dalam Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) baharu yang dibuat pada tahun 1993. Inilah yang menyebabkan Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) baharu pada 1993 perlu dilakukan dengan tujuan untuk mengeluarkan Loo Kook Leong daripada perjanjian Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) tahun 1987 tersebut. [11] Defendan Pertama juga menyatakan bahawa ekoran daripada Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) pada 27.05.1987 tersebut telah berlaku peminjaman wang dan gadaian diberikan kepada Malayan Banking Berhad bagi hartanah-hartanah yang berkenaan sebanyak RM 147,000.00. Pinjaman wang tersebut telah dipersetujui untuk dibayar oleh pihak-pihak seperti yang dinyatakan dalam Surat Ikatan Amanah (Deed of Trust) bertarikh 27.05.1987. [12] Seterusnya Defendan Pertama menyatakan bahawa Plaintif-Plaintif telah menghadapi masalah untuk membuat pembayaran bagi pinjaman bank tersebut. Ekoran daripada itu Plaintif-Plaintif dan Defendan Pertama bersama bapa kepada pihak-pihak bersetuju agar Plaintif-Plaintif melepaskan hak mereka ke atas hartanah EMR 2662 Lot 41 dan EMR 2664 Lot 818 tersebut kepada Defendan Pertama dan Defendan Kedua dan satu tanah milik bapa diberikan sebagai pampasan kepada Plaintif-Plaintif. Oleh itu Defendan Pertama menegaskan bahawa tanah GM 4736 Lot 126125, Mukim Sabai, Kuala Telemong, Daerah Bentong, Negeri Pahang (Lot 126125) tersebut sememangnya dipegang bersama oleh Defendan Pertama dan Defendan Kedua. [13] Defendan Pertama menegaskan bahawa kapasiti Defendan Pertama seperti yang dinyatakan dalam GM 4736 Lot 126125 Mukim Sabai, Kuala Telemong, Daerah Bentong tersebut adalah jelas dan tepat iaitu Defendan Pertama sebagai pemilik kepada ½ bahagian dan Defendan Kedua sebagai pemengang amanah bagi ½ bahagian. Analisa dan Dapatan [14] Adalah menjadi undang-undang yang mantap di dalam system pentadbiran tanah di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 catatan-catatan yang terdapat di dalam suratan hakmilik adalah menunjukkan urus niaga hakmilik yang melibatkan sesuatu hartanah. Ia jelas dinyatakan di bawah seksyen 89 KTN seperti yang berikut: 89 Conclusiveness of register documents of title Every register document of title duly registered under this Chapter shall, subject to the provisions of this Act, be conclusive evidence—