(xix) SP5 menimbang barang kes disyaki dadah yang berat keseluruhan adalah 3390 gram. SP5 membuat senarai pemeriksaan (P15, P16, P17) dan ditandatangan oleh Perayu-Perayu. SP5 juga membuat laporan polis (P14). SP5 kemudiannya menyerahkan barang kes dan Perayu-Perayu kepada pegawai penyiasat Inspektor Roszafirzaeffa Aniza binti Zakaria (SP15). [6] Pada 23.3.2016, SP15 telah menghantar serah 40 kotak berwarna hijau hitam bertulisan AC ADAPTER serta kandungannya (P1C 1 – P1C 40 dan P1A 1 - P1A 40) kepada ahli kimia, Dr. Saravana Kumar a/l Jayaram (SP8) untuk dianalisis. Selepas menjalankan pemeriksaan dan analisis, SP8 mengesahkan berat bersih bahan kristal jernih yang terdapat di dalam 40 kotak tersebut berjumlah 3105 gram yang mengandungi 2083 gram Methamphetamine, hal perkara pertuduhan. SP8 turut mengesahkan Methamphetamine ialah sejenis dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama kepada Akta. [7] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara telah mendapati bahawa Perayu-Perayu dengan niat bersama mempunyai jagaan dan kawalan serta pengetahuan ke atas kotak P1 dan dadah berbahaya yang dipertuduhkan yang berada di dalam kotak P1 tersebut. Memandangkan berat dadah berbahaya yang dipertuduhkan ialah 2083 gram, hakim bicara telah menggunapakai anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da)(xvi) Akta. Kami petik dapatan hakim bicara seperti berikut di muka surat 32 RRT Jilid 1: [33] Telah dibuktikan oleh pihak pendakwa bahawa tertuduh pertama dan tertuduh kedua dengan niat bersama mempunyai jagaan dan Rayuan Jenayah No: N-05(M)-475-09/2018 12 kawalan ke atas kotak tersebut (P1) yang mengandungi dadah tersebut maka anggapan di bawah seksyen 37(d) ADB adalah terpakai bahawa tertuduh pertama dan tertuduh kedua hendaklah dianggap sehingga dibuktikan sebaliknya memiliki dadah tersebut iaitu Methamphetamine dan bahawa tertuduh pertama dan tertuduh kedua hendaklah dianggap sehingga dibuktikan sebaliknya mengetahui sifat dadah Methamphetamine tersebut. Berat dadah Methamphetamine tersebut yang dalam milikan tertuduh pertama dan tertuduh kedua adalah 2083 gram melebihi berat 50 gram yang dinyatakan dalam seksyen 37(da)(xvi) ADB, maka anggapan di bawah seksyen 37(da)(xvi) ADB adalah terpakai bahawa tertuduh pertama dan tertuduh kedua hendaklah dianggap sehingga dibuktikan sebaliknya, mengedar dadah Methamphetamine tersebut. Seksyen 37A ADB membenarkan anggapan berganda digunapakai. [34] Pihak pendakwa telah membuktikan elemen kedua. [35] Setelah membuat penilaian maksimum ke atas semua keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa, saya mendapati bahawa suatu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwa terhadap tertuduh pertama dan tertuduh kedua bagi kesalahan yang dipertuduhkan sepertimana pertuduhan pindaan. Dalam membuat dapatan bahawa suatu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwa terhadap tertuduh pertama dan tertuduh kedua bagi kesalahan yang dipertuduhkan sepertimana pertuduhan pindaan, saya mendapati pihak pendakwa telah mengemukakan keterangan boleh dipercayai yang membuktikan setiap satu elemen kesalahan bagi pertuduhan pindaan.” [8] Berdasarkan kepada dapatan tersebut, Perayu-Perayu telah diperintahkan oleh hakim bicara untuk membela diri mereka. Rayuan Jenayah No: N-05(M)-475-09/2018 13 Kes pembelaan [9] Perayu pertama memilih memberi keterangan membela dirinya secara bersumpah. Keterangan pembelaan Perayu pertama dapat diringkaskan seperti berikut. Dia bekerja di sebuah restoran Afrika di Kolej Lagenda, Nilai. Pada 14.3.2016 jam 7.00 malam Patrick, seorang pelanggan tetap restoran itu telah datang berjumpa dengannya memberitahu barangnya dari China telah sampai di Gdex dan meminta Perayu pertama untuk tolong pergi mengambil barang tersebut pada keesokan hari (15.3.2016) oleh kerana masa Gdex menghantar barang itu pada hari itu (14.3.2016), Patrick tidak berada di rumah. [10] Perayu pertama selanjutnya menyatakan bahawa Patrick ada menyerahkan sebuah telefon bimbit (P4) kepadanya dan memintanya untuk menunjukkan nombor tracking dalam P4 semasa mengambil barang itu. Patrick turut memberitahunya bahawa seorang warga Pakistan akan meminjamkan sebuah kereta Myvi untuk kegunaannya mengambil barang tersebut. [11] Setelah mendapat kebenaran dari majikannya, Madam Grace, dia telah memandu kereta Myvi tersebut untuk pergi mengambil barang milik Patrick di Gdex hub. Dalam perjalanan ke sana, dia telah bertemu dengan kawannya, Perayu kedua yang sedang berjalan kaki untuk ke Tesco. Dia telah menumpangkan Perayu kedua kerana Gdex hub turut berada di kawasan yang sama dengan Tesco. [12] Setelah meletakkan kereta, dia keluar dan terus masuk ke dalam Gdex. Rakannya, Perayu kedua turut keluar. Dia telah berjumpa dengan seorang pekerja wanita (SP10) dan memberitahu tujuannya untuk Rayuan Jenayah No: N-05(M)-475-09/2018 14 mengambil bungkusan sambil menunjukkan nombor tracking. Setelah menyemak dalam sistem komputer, SP10 memberitahu bungkusan tersebut telah dihantar ke alamat penerima. [13] Setelah itu dia keluar dan memandu kereta Myvi tersebut untuk menghantar Perayu kedua ke Tesco setelah melihat Perayu kedua masih berada di situ untuk menunggu teksi. Dalam perjalanan ke Tesco, telah berlaku kesesakan jalan raya. Dia telah menghubungi Patrick dan memberitahu barang telah dihantar ke alamat rumah Patrick. Bagaimanapun, Patrick memberitahu bahawa barang itu masih berada di Gdex. Oleh itu dia berpatah balik dan pergi semula ke Gdex. Setelah sampai di Gdex, Perayu kedua keluar membawa haluan sendiri. Perayu pertama telah masuk semula ke dalam Gdex dan berjumpa dengan SP10. Dia memberitahu SP10 barang itu bukan miliknya tetapi telah diminta oleh kawannya untuk mengambil barang itu. SP10 telah memintanya untuk memberikan nombor pasport kawannya itu. [14] Dia keluar semula dari Gdex dan telah membuat panggilan kepada Patrick untuk memberikan nombor pasport Patrick. Setelah nombor pasport diberikan, dia masuk semula ke dalam Gdex. Oleh kerana pekerja-pekerja Gdex sedang sibuk, dia keluar semula dan berdiri di tepi Gdex dan menunggu di situ. [15] Semasa berdiri di luar Gdex, dia melihat kereta Myvi tersebut telah diletakkan secara tidak betul. Dia pergi membetulkan kedudukan kereta Myvi tersebut. SP12 memintanya untuk terus menunggu sebab mereka sedang sibuk. Selepas 3 - 4 minit kemudian, SP13 telah memanggilnya untuk masuk. Setelah masuk, dia telah disuruh menurunkan tandatangan Rayuan Jenayah No: N-05(M)-475-09/2018 15 pada sehelai kertas dan menulis nombor pasport. Dia telah tandatangan dan telah menulis nombor pasport yang dihantar oleh Patrick sebelumnya. Setelah itu SP13 menunjukkan kepadanya satu kotak (P1) yang terletak di tepi sebuah meja. [16] Dia telah mengambil kotak P1 tersebut dan meletakkannya di tempat duduk belakang kereta Myvi tersebut. Semasa dia hendak beredar dari situ, beberapa buah kereta telah menghalangnya. Dia turun dari kereta dan melarikan diri kerana dia menyangka orang ramai yang datang itu untuk merompaknya. Bagaimanapun dia kemudiannya telah ditangkap dan baru sedar orang yang menangkapnya adalah pegawai polis. [17] Perayu pertama menafikan dia telah memperkenalkan dirinya sebagai Raymond Young tetapi memberitahu bahawa Patrick yang memintanya untuk mengambil kotak itu dan Patrick memberitahunya kotak itu berisi seluar jeans dan baju. Perayu pertama juga menafikan pengetahuan terhadap dadah yang tersimpan di dalam kotak P1 tersebut. [18] Perayu kedua turut memberi keterangan secara bersumpah. Dalam keterangannya, Perayu kedua menyatakan bahawa pada hari kejadian dia hendak pergi ke Tesco dan sedang menunggu teksi. Dia telah diajak oleh Perayu pertama untuk menaiki kereta Myvi tersebut. Setelah tiba di Gdex dia keluar dari kereta dan berdiri di tepi sebatang tiang untuk menunggu teksi. Tidak lama kemudian, Perayu pertama keluar dari Gdex dan mempelawa untuk menghantarnya ke Tesco tetapi dalam perjalanan, Perayu pertama telah berpatah balik ke Gdex. Rayuan Jenayah No: N-05(M)-475-09/2018 16 [19] Dia turun dari kereta dan menunggu teksi semula di tempat yang sama. Sedang dia menunggu teksi, sebuah kereta datang dan berhenti di hadapannya. Turun 4 orang terus menangkapnya. Dia langsung tidak ada cuba meronta atau melarikan diri. Dia tidak pernah masuk ke dalam Gdex dan tidak pernah melihat kotak P1. Dia juga tidak tahu apa barangan yang berada di dalam kotak P1 itu. [20] Di akhir perbicaraan, hakim bicara mendapati teras pembelaan Perayu pertama adalah bahawa dia hanya seorang pembawa yang tidak bersalah (innocent carrier) dan tidak ada pengetahuan terhadap dadah berbahaya yang dipertuduhkan (impugned drugs). Bagaimanapun hakim bicara memutuskan setelah menilai keseluruhan keterangan bahawa Perayu pertama bukanlah seorang pembawa yang tidak bersalah. Sebaliknya, hakim bicara memutuskan Perayu pertama bersalah kerana telah menutup matanya kepada fakta dan keadaan yang nyata yang menimbulkan syak wasangka terhadap keseluruhan skima yang berlaku. Hakim bicara mendapati Perayu pertama “guilty of wilful blindness”. [21] Hakim bicara mendapati pembelaan Perayu kedua sebagai satu penafian semata-mata dan gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Hakim bicara seterusnya mendapati Perayu-Perayu telah gagal untuk mematahkan anggapan di bawah seksyen 37(d) dan 37(da) Akta atas imbangan kebarangkalian. Hakim bicara juga mendapati Perayu-Perayu gagal untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap elemen niat bersama Perayu-Perayu dalam memiliki dan memperedarkan dadah berbahaya yang dipertuduhkan. Rayuan Jenayah No: N-05(M)-475-09/2018 17 [22] Hakim bicara sebaliknya mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya terhadap Perayu-Perayu melampaui sebarang keraguan yang munasabah. Perayu-Perayu telah disabitkan dan dihukum gantung di leher sehingga mati atas pertuduhan yang dihadapkan. Dengan itu, rayuan Perayu-Perayu di hadapan kami. Rayuan Perayu-Perayu [23] Di hadapan kami, peguam bela terpelajar kepada Perayu pertama telah membangkitkan tiga isu berikut: