Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO.: WA-12BNCvC-139-10/2022
WA-12BNCvC-139-10/2022
High Court of Malaysia7 Aug 2023
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO.: WA-12BNCvC-139-10/2022
1
DEENESHWARAN A/L SELLATHURAI [NO. K/P: 991005-04-5305]
2
ANJALA DEVI A/P N MUTHU [NO. K/P: 660115-10-6774] … PERAYU-PERAYU DAN NURSHAMIMIE SYUHADA BINTI RAIMEY seorang kurang upaya yang menuntut melalui bapanya RAIMEY BIN A RAHMAN sebagai wakil litigasi beliau [NO. K/P: 730905-11-5297] RAHIME BIN HARUN iaitu bapa dan/atau penjaga yang sah dan Wakil diri kepada harta pusaka simati, MUHAMMAD HAIQAL BIN RAHIME … RESPONDEN-RESPONDEN 21/11/2023 12:32:09 WA-12BNCvC-139-10/2022 Kand. 28 ALASAN PENGHAKIMAN A. PENDAHULUAN [1] Ini adalah rayuan Perayu-Perayu/Defendan-Defendan terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) Kuala Lumpur bertarikh 29.9.2022 ke atas liabiliti dan kuantum selepas perbicaraan penuh bagi kes tuntutan kemalangan jalan raya. [2] HMS memutuskan bahawa liabiliti adalah 50% terhadap Perayu-Perayu/Defendan-Defendan dan 50% terhadap Pihak Ketiga Muhammad Haiqal bin Rahime (simati) manakala liabiliti Perayu-Perayu/Defendan-Defendan terhadap Plaintif/Responden adalah 100%. Seterusnya diperintahkan juga Perayu-Perayu/Defendan-Defendan hendaklah membayar kepada Plaintif /Responden gantirugi seperti berikut:- [a] Gantirugi Am untuk kecederaan, kesakitan dan kehilangan ameniti sebanyak RM368,000.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Enam Puluh Lapan Ribu Sahaja) dengan faedah 5% setahun dari tarikh penyampaian Saman sehingga ke tarikh penghakiman; [b] Gantirugi Khas untuk kehilangan pendapatan sebenar sebanyak RM62,400.00 (Ringgit Malaysia: Enam Puluh Dua Ribu Empat Ratus Sahaja) dengan faedah 2.5% setahun dari tarikh kemalangan sehingga tarikh penghakiman; [c] Gantiirugi Khas untuk kehilangan pendapatan masa hadapan sebanyak RM168,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ratus Enam Puluh Lapan Ribu Sahaja); [d] Gantirugi Khas untuk "recommended therapeutic interventions to improve functional outcome" sebanyak RM28,600.00 (Ringgit Malaysia: Dua Puluh Lapan Ribu Enam Ratus Sahaja); [e] Gantirugi Khas untuk "occupational therapy" sebanyak RM78,375.00 (Ringgit Malaysia: Tujuh Puluh Lapan Ribu Tiga Ratus Tujuh Puluh Lima Sahaja); [f] Gantirugi Khas untuk "rehabilitation equipment and assistive devices" sebanyak RM69,825.00 (Ringgit Malaysia: Enam Puluh Sembilan Ribu Lapan Ratus Dua Puluh Lima Sahaja); [g] Gantirugi Khas untuk "recommendations for occupational therapy specific treatment therapy aids/exercises equipment as well as home adaptations" sebanyak RM39,600.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Puluh Sembilan Ribu Enam Ratus Sahaja); [h] Gantirugi Khas untuk "occupational therapy assistive/exercise devices to assist with home rehabilitation program" sebanyak RM1,347,250.00 (Ringgit Malaysia: Satu Juta Tiga Ratus Empat Puluh Tujuh Ribu Dua Ratus Lima Puluh Sahaja); [i] Faedah sebanyak 5% ke atas jumlah penghakiman RM2,162,050.00 (Ringgit Malaysia: Dua Juta Satu Ratus Enam Puluh Dua Ribu Lima Puluh Sahaja) dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh; [j] Kos tindakan ini sebanyak RM48,860.00 (Ringgit Malaysia: Empat Puluh Lapan Ribu Lapan Ratus Enam Puluh Sahaja); [k] Dan Pihak Ketiga perlu membayar kepada pihak Defendan-Defendan kes prosiding Pihak Ketiga serta kos tindakan sebanyak RM41,238.00 (Ringgit Malaysia: Empat Puluh Satu Ribu Dua Ratus Tiga Puluh Lapan Sahaja); [3] Untuk kemudahan rujukan dalam rayuan ini, pihak-pihak akan disebut sepertimana pihak-pihak dalam prosiding di Mahkamah Sesyen. B. LATAR BELAKANG KES [4] Tuntutan Plaintif di Mahkamah Sesyen adalah berkenaan dengan tuntutan gantirugi akibat dari satu kemalangan jalanraya yang berlaku di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur pada awal pagi 20.05.2018. Plaintif merupakan pembonceng motosikal manakala simati adalah penunggang motosikal nombor pendaftaran VAP 3749 yang terlibat dalam kemalangan dengan motokar nombor pendaftaran WC 567 R yang dipandu oleh Defendan Pertama. Defendan Kedua merupakan pemilik berdaftar motokar WC 567 R tersebut. [5] Versi Plaintif menyatakan Defendan-defendan telah melanggar motosikal yang dipandu oleh simati dari arah belakang tetapi Defendan-defendan menyatakan bahawa mereka tidak terlibat langsung dalam kemalangan tersebut. Defendan-defendan mendakwa motosikal yang dipandu oleh simati telah terjatuh sebelum melanggar pembahagi jalan. Defendan Pertama dan kawan-kawannya semasa kejadian hanya berhenti untuk membantu simati dan Plaintif semasa kemalangan tersebut. [6] Defendan-defendan selanjutnya menyatakan bahawa kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kecuaian simati iaitu perlanggaran sendiri tanpa apa-apa sentuhan dan/atau geseran dengan motokar yang dipandu oleh Defendan Pertama pada masa kejadian. C. ALASAN RAYUAN [7] Defendan-Defendan di dalam Memorandum Rayuan mengemukakan alasan-alasan rayuan terhadap keseluruhan keputusan HMS berkenaan dengan isu Liabiliti dan Kuantum seperti berikut: [a] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai dan menentukan liabiliti pihak-pihak apabila meletakkan liabiliti 50% terhadap Defendan-Defendan dan 50% terhadap simati walaupun Defendan-Defendan dalam pembelaannya memplidkan penafian terhadap sebarang penglibatannya dalam kemalangan tersebut. [b] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai dan menentukan liabiliti pihak-pihak apabila menerima keterangan Ahli Kimia bahawa terdapatnya perlanggaran di antara kedua-dua kenderaan walaupun hanya terdapat pindahan cat satu hala sahaja dan bukannya dua hala di antara motosikal No VAP 3749 pada bahagian kanan motokar WC 1567 R; [c] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai dan menentukan liabiliti pihak-pihak apabila gagal mengambilkira fakta bahawa Ahli Kimia telah gagal mengemukakan laporan penuh di Mahkamah bagi membuktikan sama ada ujian kimia yang dijalankan telah mengikut piawaian atau "standard" bagi ujian kimia; [d] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai dan menentukan liabiliti pihak-pihak apabila gagal mengambilkira pernyataan Ahli Kimia bahawa terdapat kontaminasi ("contamination") di antara sample cat motosikal dan motokar kerana sample cat tersebut diletakkan dalam satu sampul surat yang sama; [e] HMS yang bijaksana telah terkhilaf clari segi fakta clan undang-undang dalam menilai dan menentukan liabiliti pihak-pihak apabila apabila gagal mengambilkira keterangan Pegawai Penyiasat bahawa kes telah diklasifikasikan sebagai "No further Action - NFA" kerana tidak dapat dipastikan bagaimana pindahan cat berlaku di antara kedua-dua kenderaan; [f] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai dan menentukan liabiliti pihak-pihak apabila tidak mengambilkira keterangan saksi Defendan-Defendan bahawa motosikal simati yang berada di hadapan mereka telah mengalami kemalangan secara sendiri ("self-accident'') apabila melanggar tembok/pembahagi yang berada di tengah jalan. Defendan-Defendan kemudiannya memberhentikan kenderaan mereka di bahu jalan bagi membantu simati dan Plaintif; [g] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai kuantum apabila membenarkan tuntutan gantirugi am yang "excessive" bagi severe traumatic brain injury with diffuse axonal injury sebanyak RM350,000.00; [h] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai kuantum apabila membenarkan tuntutan rehabilitasi masa hadapan yang "excessive" tanpa mengambilkira dapatan fakta yang diperoleh semasa perbicaraan; [i] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai kuantum apabila membenarkan tuntutan kos rehabilitasi masa hadapan di hospital swasta walaupun Plaintif menerima rawatan tersebut secara percuma di hospital kerajaan iaitu Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesihatan Rawatan Kusta Sungai Buloh; [j] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai kuantum apabila membenarkan tuntutan rehabilitasi masa hadapan tanpa 1/3 tolakan bagi "contingencies"; [k] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai kuantum apabila membenarkan tuntutan kehilangan pendapatan masa hadapan Plaintif pada kadar RM1,200.00 sebulan walaupun gaji bersihnya adalah RM1,182.14 sebulan; [l] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai kuantum apabila membenarkan tuntutan kehilangan pendapatan masa hadapan tanpa 1/3 tolakan bagi kos semasa bekerja seperti kos makanan dan kos perjalanan ke tempat kerja; [m] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang undang dalam menilai kuantum apabila membenarkan tuntutan kos perjalanan bagi rawatan yang tinggi sebanyak RM500.00 sebulan selama 48 tahun. Jumlah keseluruhan RM270,000.00 walaupun jarak antara hospital dan rumah Plaintif hanyalah 26.2 KM dan kadar rawatan setiap sebulan semakin berkurang bagi setiap tahun; [n] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai kuantum apabila membenarkan tuntutan kos penjaga berjumlah RM1,500.00 sebulan selama 48 tahun Jumlah keseluruhan RM864,000.00 walaupun dapatan pakar bahawa Responden Pertama tidak memerlukan "nursing service"; dan [o] HMS yang bijaksana telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam menilai kuantum apabila membenarkan tuntutan kos "home accessability" sebanyak RM150,000.00. D. ANALISA DAN KEPUTUSAN [8] Adalah undang-undang mantap bahawa Mahkamah yang mendengar rayuan tidak akan campur tangan dan mengubah keputusan HMS melainkan Mahkamah mendapati HMS telah secara nyata tersilap (plainly wrong) di dalam membuat dan/atau mencapai sesuatu keputusan. Prinsip ini telah ditentukan dalam kes Mahkamah Persekutuan di dalam kes Ng Hoo Kui & Anor v. Wendy Tan Lee Peng (administratix for the estate of Tan Ewe Kwang, deceased) & Ors [2020] 10 CLJ 1; [2020] 12 MLJ 67. [9] Mahkamah ini hanya akan campurtangan dan mengenepikan keputusan HMS sekiraya terdapat kekhilafan yang nyata. Dalam kes Lee Hock Lai v. Yeoh Wah Pein [1998] 1 LNS 364; [1999] 5 MLJ 172, Mahkamah memutuskan seperti berikut: "It is a basic principle of law that an appellate court should be slow in disturbing a finding of fact by a lower court. But it is also the principle that an appellate court should reverse a finding of fact by the lower court if such finding is clearly against the weight of evidence." [10] Mahkamah perlu memutuskan isu-isu rayuan yang berikut: [a] bagi isu liabiliti, sama ada HMS telah membuat penghargaan kehakiman yang mencukupi (sufficient judicial appreciation) keterangan yang dikemukakan apabila HMS memutuskan versi Plaintif adalah lebih berkemungkinan (more probable) dan Defendan adalah bertanggugan 100% atas kemalangan jalan raya tersebut; dan [b] bagi isu kuantum, sama ada penilaian gantirugi yang dibuat oleh HMS adalah betul tidak terlampau berlebihan berdasarkan laporan penilaian yang dikemukakan oleh pihak-pihak. Rayuan Terhadap Liabiliti [11] Saya telah meneliti alasan penghakiman HMS dalam mencapai penemuan terhadap liabiti. HMS telah membuat dapatan sebagaimana dinyatakan di dalam alasan penghakiman seperti berikut: “[16] Penglibatan kenderaan Defendan-defendan telah dinyatakan di dalam laporan polis yang dibuat oleh Rahime bin Harun iaiti bapa kepada penunggang motosikal. Menurut SP1, berdasarkan laporan polis tersebut menyatakan bahawa terdapat seorang saksi yang menyatakan bahawa motokar Defendan terlibat dengan perlanggaran ini. Namum begitu, butir-butir saksi tersebut tidak diketahui dan saksi tersebut tidak berjaya dijumpai kemudiannya. [17] Kemalangan berlaku pada awal pagi iaitu lebih kurang pukul 5.00 pagi. Bapa kepada Si Mati telah tiba di tempat kemalangan agak awal iaitu pada pukul 5.15 pagi dan Si Mati masih hidup dan berada di tempat kejadian dan masih belum dibawa ke hospital. [18] Maklumat yang diperoleh daripada saksi yang tidak dapat dikesan kembali tersebut bukanlah satu “hearsay” kerana bapa Si Mati berada di tempat kejadian dan mendapatkan maklumat tersebut daripada saksi yang berada di tempat kejadian dan memasukkan maklumat tersebut di dalam laporan polisnya. [19] Mahkamah menerima keterangan SP1 bahawa terdapatnya pelanggaran antara motosikal yang dibonceng oleh Plaintif dan kenderaan Defendan. Namun begitu, bagaimana pelanggaran berlaku dan siapakah yang bersalah dalam menyebabkan kemalangan ini tidak dapat dipastikan. [20] Mahkamah menerima keterangan ahli kimia SP3 serta laporan kimia P8 bahawa terdapat perpindahan cat motosikal Plaintif pada motokar Defendan. Sampel yang diambil telah diletakkan dalam plastik yang berasingan dan ditandakan sebagai M1 dan K1. Walaupun kedua-dua sampel diletakkan dalam sampul surat yang sama, kedua-dua sampel tersebut tidak bercampur dan ini bukanlah satu isu yang dipertikaikan oleh pihak Mahkamah. [21] Dalam kes ini, perpindahan cat yang dapat dikesan hanya pada badan motokar Defendan dan tiada kesan cat boleh dikesan pada motosikal Plaintif. SP3 telah pun memberi penjelasan mengenai perkara ini iaitu kerosakan motosikal yang teruk menyebabkan tiada kesan perpindahan cat boleh dikesan dan Mahkamah menerima penjelasan tersebut. [22] Mahkamah tidak dapat menerima hujahan Defendan bahawa kesan perpindahan cat motosikal didapati pada motokar Defendan kerana serpihan motosikal terpelanting dan mengenai motokar Defendan. Ini kerana mengikut penjelasan SP3, perpindahan cat akan berlaku apabila terdapatnya tekanan yang kuat antara dua buah objek pada jarak yang dekat. Oleh yang demikian, motokar Defendan perlulah berada dalam jarak yang dekar dengan motosikal Plaintif bagi membolehkan perpindahan car tersebut berlaku. Mahkamah juga berpuas hari hanya sample daripada badan motosikal dan motokar yang perlu dianalisa dan serpihan komponen motosikal tidak perlu dianalisa. [23] Mahkamah tidak berpuas hati mengenai percanggahan keterangan SD1 dan SP2 mengenai kesan kerosakan pada bahagian kanan motokar WCJ 567 R. SD1 menyatakan kesan tersebut akibat bergesel di tempat tinggal Defendan Kedua manakala SD2 pula memberi keterangan bahawa kerosakan tersebut terjadi akibat satu kejadian langar lari. [24] Kesan kerosakan tersebut merupakan perkara yang penting dalam kes ini tetapi SD1 dan SD2 memberi keterangan yang berbeza. Keterangan yang berbeza tersebut menjejaskan kredibiliti SD1 dan SD2 sebagai saksi. [25] Mahkamah berpuas hati bahawa terdapatnya perlanggaran antara kedua kenderaan yang terlibat. Namun begitu, mahkamah tidak dapat memastikan versi kemalangan mana yang lebih probable. Oleh yang demikian, mahkamah memutuskan bahawa penunggang motosikal iaitu Pihak Ketiga Simati serta pemandu motokar (SD1) sama-sama bertanggungan menyebabkan kemalangan ini. Memandangkan Plaintif merupakan seorang pembonceng, Plaintif berhak mendapat ganti rugi atas dasar 100% liability terhadap pihak Defendan. Mahkamah juga membenarkan tuntutan Defendan terhadap Pihak Ketiga atas liability yang diputuskan oleh mahkamah terhadap pihak-pihak yang terlibat.” [12] Persoalan utama di sini, bagaimanakah kemalangan tersebut berlaku? Seperti mana yang dikatakan Defendan Pertama dalam pembelaannya menafikan terlibat langsung malah menyatakan kemalangan berlaku akibat dari perbuatan simati yang gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar tembok/pembahagi tepi jalan. [13] HMS dalam penemuannya menyatakan walaupun pelanggaran tidak dapat dipastikan bagaimana ianya berlaku dan siapakah yang bersalah dalam menyebabkan kemalangan tersebut, namun HMS menerima keterangan Ahli Kimia (SP3) serta laporan kimia P8 bahawa terdapat perpindahan cat motosikal Plaintif pada motokar Defendan. HMS juga menerima penjelasan SP3 bahawa kerosakan motosikal yang teruk menyebabkan tiada kesan perpindahan cat boleh dikesan pada motosikal tersebut. [14] HMS juga telah menyatakan bahawa beliau tidak menerima hujah Defendan bahawa cat pada motokar Defendan mungkin terjadi akibat serpihan motosikal yang telah terpelanting dan terkena badan motokar Defendan. Sebaliknya HMS menerima keterangan SP3 yang menyatakan untuk perpindahan cat berlaku, perlu ada tekanan yang kuat antara dua objek yang berada pada jarak yang dekat. Seterusnya, HMS menolak hujahan Defendan bahawa kedua-dua sample cat telah bercampur kerana kedua-dua sample yang diambil telah diletakkan dalam plastik yang berasingan dan kemudian diletakkan dalam sampul surat. [15] HMS juga mendapati terdapat percanggahan dalam keterangan saksi Defendan (SDI dan SD2) mengenai kesan kerosakan pada motokar Defendan dan keterangan yang berbeza mengenai laporan polis oleh Defendan Pertama dengan pleadingnya dan kesan kerosakan pada motokar yang mana HMS telah membuat keputusan bahawa SDI dan SD2 adalah tidak kredible. [16] Dari keterangan-keterangan yang dibawa kehadapannya, HMS membuat satu penemuan fakta dengan memutuskan bahawa terdapatnya satu perlanggaran antara motokar Defendan dengan motosikal yang dipandu oleh simati dan juga memutuskan kedua-duanya sama-sama bertanggungan menyebabkan kemalangan tersebut. [17] Oleh yang demikian, saya mendapati HMS tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam membuat pertimbangan yang sewajarnya serta menilai keterangan-keterangan yang material dan relevan yang telah dikemukakan dalam mencapai satu penemuan fakta yang betul. HMS juga tidak terkhilaf dalam membuat keputusan yang mendapati atas imbangan keberangkalian bahawa Defendan dan simati masing-masing bertanggungan setakat 50%. [18] Berkenaan dengan liabiliti terhadap Plaintif yang merupakan pembonceng motorsikal sebagai “penumpang yang tidak bersalah” (an innocent passenger), saya bersetuju bahawa HMS telah membuat keputusan yang betul dalam memutuskan bahawa Plaintif berhak mendapat ganti rugi pada kadar 100% liabiliti terhadap Defendan-Defendan. [19] Saya menerima pakai kes Muhamad Jafri Jantan & Ors v. Zainal Md Rais [2005] 1 CLJ 694 yang mana Mahkamah Rayuan memutuskan: [1] Plaintif kedua adalah seorang 'penumpang tidak berdosa' dan dengan itu berhak kepada gantirugi pada kadar 100%. Sebagai pembonceng, beliau tidak seharusnya didapati bertanggungan secara vicarious atas kecuaian yang disumbang plaintif pertama. Pesuruhjaya kehakiman dengan itu silap apabila membahagikan tanggungan pada kadar 50:50 di antara plaitnif kedua dan defendan. Rayuan Terhadap Kuantum [20] Adalah tidak dapat dinafikan bahawa bagi sesuatu kes yang melibatkan tuntutan ekoran daripada kemalangan jalan raya yang dikategorikan sebagai tuntutan di bawah undang-undang tort gantirugi yang boleh diberikan oleh mahkamah ialah gantirugi khas dan gantirugi am. Mahkamah Persekutuan di dalam kes Yang Salbiah & Anor v. Jamil bin Harun [1981] 1 LNS 106; [1981] 1 MLJ 292 memberikan panduan berkenaan gantirugi yang melibatkan kemalangan jalan raya seperti berikut: "It must be remembered that the purpose of damages is to try, so far as humanly possible, to put the victim back to the position he would have been in but for the accident. The damages must be fair, adequate and not excessive. A reasoned judgment must therefore be given by the judge, following legal principles and precedents. Other awards in other cases should normally be prayed in aid, but consideration must be given where the circumstances differ." [21] Sebagai panduan dalam perkara rayuan terhadap Kuantum, Mahkamah Persekutuan dalam kes United Plywood and Sawmill Ltd v. Lock Ngan Loi [1970] 1 LNS 164, menyatakan: "This Court normally does not interfere with an assessment of damages even where the award seemed much too high, so long as there has not been any error of principle discerned the sum manifestly excessive." [22] Dalam kes Mahmod bin Kailan v. Goh Seng Choon & Anor [1976] 2 MLJ 239 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan seperti berikut: “The Appellate Court can only interfere with the award of damages by the trial court if it is shown that the trial judge has acted on a wrong principle of law or that he has misapprehended the facts or he has made a wholly erroneous estimate of the damage suffered” [23] Defendan-Defendan dalam rayuannya tidak berpuas hati terhadap bagi beberapa award untuk kecederaan yang dibenarkan oleh HMS yang dikatakan kelebihan melampau (excessive). Gantirugi Am [a] Severe traumatic brain injury with diffuse axonal injury sebanyak RM 350,000.00 [i] Bagi severe traumatic brain injury with diffuse axonal injury HMS memutuskan award sebanyak RM350,000.00 adalah yang wajar dan memadai berlanjutan dengan kecederaan parah yang dialami oleh Plaintif sebagaimana tercatat didalam kedua-dua laporan perubatan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Laporan Perubatan oleh Plaintif GCS 5/15 on admission (8/15 at time of discharge) on tracheostomy from 23.5.2018 to 7.8.2018 3rd nerve palsy weaker right upper limb weaker both lower limb foot drop incontinent deficits in immediate and short term recall, concentration, executive functioning and information processing speed retrograde amnesia no capacity to stand and/or walk higher risk of delayed post traumatic seizures dysdiadochekinesia (is the inability to define, inability to perform rapid alternating muscle movements) dysmetria (is a condition in which there is improper measuring of distance in muscular acts) hyperreflexia (overactive or overresponsive reflexes) Laporan Perubatan oleh Defendan. a) She has a 3rd nerve palsy on the right side. b) She had mild upper motor neuron facial paresis on the right side. c) She had dysmetria and dysdiadokokinesia. She has incoordination in both upper limbs. The power and function has been described as above. She has no capacity to stand or walk. d) Cognitively, there are deficits in her immediate and short-term recall, concentration, executive functioning and information processing speed. e) There are no symptoms of headaches or giddiness. f) Behaviorally. The mother said that the patient is temperamental at times. She is also childish in her mannerism. [ii] Pada pengamatan saya, melihat kepada kecederaan yang dialami oleh Plaintif adalah satu kecacatan kekal, jumlah gantirugi tersebut adalah tidak boleh dianggap kelebihan melampau memandangkan Defendan-Defendan telah mencadangkan RM300,000.00 manakala Plaintif pula mencadangkan RM450,000.00. Oleh itu saya berpendapat bahawa jumlah award RM350,000.00 tidak seharusnya diubah. [b] Kos Rehabilitasi Masa Hadapan [i] Defendan menghujahkan Plaintif boleh mendapat rawatan hospital Kerajaan secara percuma berbanding dengan di Hospital Swasta serta Kos rehabilitasi yang dibenarkan juga telah tidak mengambilkira 1/3 tolakan bagi "contingencies". Dalam menangani isu ini, HMS mengambil pendekatan berikut: “[52] Mahkamah walau bagaimanapun berpendapat Plaintif berhak mendapat rawatan yang terbaik untuk dirinya akibat kecederaan yang dialami. Hospital Kerajaan sememangnya mampu untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh Plaintif tetapi isu yang selalu berlaku di hospital kerajaan ialah kadar kekerapan rawatan yang boleh disediakan serta tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan. Oleh yang demikian, Mahkamah berpendapat dengan keadaan Plaintif yang tidak begitu sempurna, adalah lebih baik dan memudahkan pihak keluarga untuk Plaintif mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan kadar bayaran yang berpatutan. [53] Berdasarkan laporan pakar Defendan, Plaintif perlu dirujuk kepada multidisciplinary specialist consults dan rehab specialist consultations. Bagi multidisiplinary specialist consults jumlah kekerapan yang dicadangkan ialah 2 - 3 kali, untuk dua tahun yang pertama, 4 - 6 kali untuk satu tahun berikutnya dan sekali setahun untuk tahun-tahun berikutnya. [54] Bagi rehab specialist consultations jumlah kekerapan yang dicadangkan ialah 2 - 3 kali untuk tahun yang pertama, 1-2 kali untuk tiga tahun berikutnya dan sekali setahun untuk tahun-tahun berikutnya. Jumlah kos yang dicadangkan bagi setiap kali konsultasi ini adalah antara RM·150.00 - RM 400.00 “ [ii] Saya bersetuju dengan HMS bahawa Plaintif berhak mendapat rawatan yang terbaik untuk dirinya akibat kecederaan yang dialami setelah mengambil kira faktor yang sewajarnya sebagaimana yang dinyatakan diatas. [iii] Dalam hal menentukan tuntutan untuk rawatan perubatan masa hadapan, sama ada di hospital swasta atau awam, persoalan kewajaran dalam membuat apa-apa tuntutan perlu menjadi pertimbangan utama sebagaimana diputus oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Inas Faiqah Mohd Helmi (A Child Suing Through Her Father And Next Friend; Mohd Helmi Abdul Aziz) v. Kerajaan Malaysia & Ors [2016] 2 CLJ 885. Di sini saya berpendapat HMS telah mempertimbangkan dengan wajar alasan- alasan yang dikemukakan oleh Plaihtif dalam menuntut kos untuk rawatan perubatan akan datang di hospital swasta. [iv] Dalam membenarkan kos rehabilitasi, HMS telah memberi gantirugi tanpa tolakan 1/3 berdasarkan apa yang dicadangkan dalam laporan pakar dengan mengambil kira jangka hayat Plaintif selama 48 tahun. Dalam hal ini, saya bersetuju dengan dapatan HMS dan tidak memerlukan campurtangan dari Mahkamah ini dalam mempertikaikan laporan pakar tersebut. Gantirugi Khas [a] Kehilangan Pendapatan. [i] Kesemua laporan pakar perubatan mengesahkan bahawa Plaintif tidak boleh kembali bekerja kepada sedia asal akibat kecederaan yang dialami. Gaji kasar Plaintif sebagai juruwang adalah RM1,200.00 tetapi Defendan-Defendan dalam kes ini tidak mengambil kira bahawa Plaintif memperolehi elaun kerja lebih masa dan juga elaun sebagai juruwang. Pada pendapat saya adalah wajar apabila HMS telah mengambil kira elaun-elaun yang diperolehi sebagai kos hidup Plaintif sejumlah RM1,200.00 sebagai kehilangan pendapatan masa hadapan tanpa dibuat 1/3 tolakan dari gaji bersih untuk kos sara hidup. [b] Tuntutan Kos Perjalanan Bagi Rawatan. [i] Defendan mencadangkan sejumlah RM100.00 untuk pemeriksaan berkala setiap bulan manakala Plaintif mencadangkan RM500.00 sebulan dengan mengambilkira jarak perjalanan ke hospital dari kediamannya yang mengambil masa 25 minit. Saya juga sependapat dengan HMS bahawa jumlah RM500.00 sebulan adalah wajar dan berpatutan memandangkan Plaintif perlu mendapatkan beberapa kali konsultasi dengan doktor pakar yang berlainan setiap bulan. Tambahan pula, pada pendapat saya, melihat kepada kecederaan yang dialami oleh Plaintif, ia memerlukan kenderaan khas seperti ambulan untuk membawanya ke hospital dengan kebiasaan kos ambulan sebanyak RM300.00 untuk satu perjalanan. [c] Kos Penjaga [i] HMS membenarkan RM1,500.00 sebulan sepertimana jumlah yang dicadangkan oleh Plaintif sedangkan Defendan-Defendan cuma mencadangkan RM1,000.00 sebulan. Saya bersetuju dengan HMS dan mendapati RM1,500.00 adalah wajar dan munasabah dengan mengambilkira gaji minimum sebagai garis ukur pada masa sekarang. [d] Home Accessability [i] HMS menolak cadangan oleh Defendan-Defendan sejumlah RM121,000.00 bagi Plantif membuat pengubahsuaian rumah ataupun mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai dengan keadaan Plaintif tetapi sebaliknya HMS membenar sebanyak RM150,000.00. Saya bersetuju bahawa jumlah yang dibenarkan ini adalah wajar setelah mengambilkira kos bahan-bahan binaan dan upah pekerja bagi pengubahsuaian yang telah meningkat pada masa kini apatah lagi untuk membeli satu kediaman yang baru. [24] Oleh yang demikian, bagi kuantum sebagaimana dirayu, saya berpendapat HMS tidak terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam mengawadkan jumlah ganti rugi am dan khas yang dirayu oleh Defendan-Defendan. Jumlah tersebut adalah wajar dan tidak dikira melampau (excessive) berdasarkan kecacatan kekal dan masalah kesihatan yang berpanjangan yang dialami oleh Plaintif. [25] Dalam kes Tan Kuan Yau v. Suhindrimani [1985] CLJ Rep 323; [1985] 1 CLJ 429; [1985] 2 MLJ 22 seperti berikut: "The principle that could guide this court in determining whether it should interfere with the quantum of damages is crystal clear. What is also clear is that much depends on the circumstances of each case, in particular the amount of the award. In a particular case therefore it is for the appeal court to consider whether in the light of the circumstances of that case there is an erroneous estimate of the amount of the damage in that, either there was an omission on the part of the Judge to consider some relevant materials, or he had admitted for purposes of assessment some irrelevant considerations. If the court is satisfied or convinced that the Judge has acted upon wrong principles of law then it is justified in reversing; indeed, it is its duty to reverse the finding of the trial Judge." [26] Dalam erti kata lain, Mahkamah yang mendengar rayuan harus tidak sewenang-wenangnya mengubah dapatan hakim bicara berkenaan kuantum semata-mata disebabkan berpendapat bahawa kuantum itu terlalu rendah atau terlalu tinggi. Mahkamah yang mendengar rayuan tidak boleh menggantikan dapatan kuantum semata-mata berpendapat bahawa sekiranya beliau mendengar perbicaraan tersebut kuantum yang akan diberikan adalah berbeza dengan kuantum yang diberikan oleh Mahkamah bicara. Mahkamah yang mendengar Rayuan harus meneliti sama ada dapatan berkenaan kuantum itu telah diasaskan kepada keterangan yang dikemukakan atau berdasarkan fakta yang telah dikemukakan di hadapan Mahkamah. Sekiranya hakim bicara telah tergelincir daripada penelitian keterangan dan fakta dalam menentukan kuantum maka Mahkamah Rayuan berkewajiban untuk menggantikan dapatan kuantum tersebut. Ia juga perlu dilakukan sekiranya hakim bicara telah terkhilaf dengan tidak mematuhi prinsip undang-undang yang mantap berkenaan dengan penentuan kuantum gantirugi. Saya berpendapat melainkan dalam keadaan tersebut saya sewajarnya tidak akan mengganggu dapatan HMS dengan kuantum gantirugi. [27] Sebagai kesimpulannya dan berdasarkan kepada alasan-alasan yang dinyatakan di atas, saya memutuskan bahawa Rayuan ini ditolak dengan kos sebanyak RM5,000.00 dibayar oleh Defendan-defendan kepada Plaintif. Keputusan HMS bertarikh 29.9.2022 dikekalkan. -t.t.- Rozana binti Ali Yusoff Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Tarikh: 1 November 2023 PEGUAMBELA BAGI PERAYU-PERAYU: TETUAN GAN, HO & RAZLAN HADRI Peguambela dan Peguamcara Suite K-3-10, Level 3, Blok K Solaris Mont’ Kiara No. 2, Jalan Solaris 50480 KUALA LUMPUR PEGUAMBELA BAGI RESPONDEN PERTAMA: TETUAN ABDUL RAHIM & CO. Peguambela dan Peguamcara Suite 12A-07 & 12A-08 12A Floor, Plaza Permata Jalan Kampar Off Jalan Tun Razak 50400 KUALA LUMPUR PEGUAMBELA BAGI RESPONDEN KEDUA: TETUAN DEVINDER & CO. Peguambela dan Peguamcara Suite B18, 1st Floor Block B (Podium), Plaza Pekeliling No. 2, Jalan Tun Razak 50100 KUALA LUMPUR
1
Ng Hoo Kui & Anor v. Wendy Tan Lee Peng (administratix for the estate of Tan Ewe Kwang, deceased) & Ors [2020] 10 CLJ 1; [2020]
2
Lee Hock Lai v. Yeoh Wah Pein [1998] 1 LNS 364; [1999] 5 MLJ 172.
3
Muhamad Jafri Jantan & Ors v. Zainal Md Rais [2005] 1 CLJ 694.
4
Yang Salbiah & Anor v. Jamil bin Harun [1981] 1 LNS 106; [1981] 1
5
United Plywood and Sawmill Ltd v. Lock Ngan Loi [1970] 1 LNS 164.
6
Mahmod bin Kailan v. Goh Seng Choon & Anor [1976] 2 MLJ 239.
7
Inas Faiqah Mohd Helmi (A Child Suing Through Her Father And Next Friend; Mohd Helmi Abdul Aziz) v. Kerajaan Malaysia & Ors [2016] 2
8
Tan Kuan Yau v. Suhindrimani [1985] CLJ Rep 323; [1985] 1 CLJ 429; [1985] 2 MLJ 22.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.