Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: JA-22NCvC-53-04/2025
/akn/my/judgment/high-court/2026/513216a5-3aae-4125-8dac-76793495a0de
High Court of Malaysia4 Mar 2026JA-22NCvC-53-04/2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“20. Prinsip ini telah dihuraikan dengan terperinci oleh Mahkamah Rayuan dalam kes MMI Industries Sdn Bhd v Let Sin Industries Sdn Bhd [2010] 5 MLJ 71; [2009] MLJU 710; [2010] 1 CLJ 36; [2010] 1 AMR 335. Dalam kes tersebut, Mahkamah Rayuan membetulkan pendekatan Mahkamah Tinggi yang menganggap kewujudan isu seperti kelu”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: JA-22NCvC-53-04/2025
1
DHRSHNI DEVI A/P RAHMIS
2
RAHMIS A/L SUPPIAH (NO. K/P: 690728-08-6187/ A1341258) …..PLAINTIF-PLAINTIF
1
SEKHARAN A/L ASSARIAH
2
KOMALA DEVI A/P KONDIAH (NO. K/P: 630106-02-5756/7091258) ….DEFENDAN-DEFENDAN 30/03/2026 08:08:00 JA-22NCvC-53-04/2025 Kand. 33 ALASAN PENGHAKIMAN [Lampiran 12 – A.81 k.1 KKM 2012]
1
Permohonan di hadapan Mahkamah ini adalah permohonan Plaintif-Plaintif di bawah Aturan 81 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (KKM 2012) untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Defendan-Defendan tanpa melalui perbicaraan penuh. Melalui permohonan ini, Plaintif memohon, antara lain, perintah ‘specific performance’ terhadap suatu Perjanjian Jual Beli (“SPA”) bertarikh 20.8.2024, injunksi kekal bagi menghalang Defendan-Defendan daripada melupuskan harta berkenaan, serta relif-relif sampingan yang berkaitan.
2
Defendan-Defendan membantah permohonan ini atas alasan bahawa wujud pelbagai isu fakta dan undang-undang yang serius dan material, termasuk isu kegagalan Plaintif-Plaintif memenuhi syarat-syarat SPA, isu tempoh sah perjanjian, isu caveat persendirian, serta dakwaan bahawa Plaintif-Plaintif sendiri tidak datang ke Mahkamah dengan tangan yang bersih.
3
Selain itu, sebelum Mahkamah masuk kepada merit permohonan, terdapat bantahan awal oleh Plaintif terhadap Hujahan Balas Defendan yang difailkan, yang didakwa membangkitkan isu baharu. Defendan pula melalui surat bertarikh 23.12.2025, 04.02.2026 dan 26.02.2026 menjelaskan bahawa isu-isu tersebut telah pun berada dalam pliding dan afidavit.
4
Oleh itu, Mahkamah perlu terlebih dahulu menangani bantahan awal tersebut sebelum meneliti sama ada permohonan di bawah Aturan 81 KKM 2102 ini memenuhi kehendak undang-undang.
5
Setelah meneliti keseluruhan rekod, Mahkamah merumuskan isu-isu berikut untuk diputuskan: Isu 1 - Sama ada bantahan awal terhadap Hujahan Balas Defendan berasas dan wajar diterima. Isu 2 - Apakah skop dan prinsip undang-undang di bawah Aturan 81 KKM 2012, termasuk ujian ‘no defence’ atau ‘no ‘triable issue’ serta beban pembuktian. Isu 3 - Sama ada pembelaan Defendan, termasuk isu Kaveat persendirian, sekatan pindah milik, dakwaan Plaintif tidak ‘ready and willing’, dan tuntutan balas Defendan, menimbulkan ‘triable issues’ yang tulen. Isu 4 - Sekiranya tiada ‘triable issue’, sama ada Mahkamah boleh dan wajar memberikan ‘specific performance’ dan injunksi kekal di bawah Seksyen 23(b) dan Seksyen 50 Akta Relief Spesifik 1950. ANALISIS DAN DAPATAN Isu 1 : Sama ada bantahan awal terhadap Hujahan Balas Defendan berasas dan wajar diterima 6. Isu ini pada zahirnya kelihatan teknikal, namun sebenarnya ia menyentuh dua prinsip asas prosedur sivil iaitu:
i
(i) sejauh mana Mahkamah terikat kepada teknikaliti pliding dalam permohonan di bawah Aturan 81 KKM 2012, dan
Subparagraph
(ii) sama ada sesuatu hujahan yang memperincikan isu yang telah diplidkan boleh dianggap sebagai memperkenalkan isu baharu yang memprejudiskan pihak lawan.
7
Plaintif melalui surat bantahan berhujah bahawa Defendan telah memperkenalkan isu baharu dalam Hujahan Balas, khususnya dakwaan bahawa Plaintif gagal menandatangani Memorandum Pindah Milik dan gagal mendeposit dokumen hak milik. Plaintif menyifatkan perkara tersebut sebagai “isu baharu” yang tidak terdapat dalam Pembelaan dan oleh itu tidak boleh dipertimbangkan.
8
Mahkamah memulakan analisis dengan prinsip asas bahawa pliding berfungsi untuk menentukan rangka pertikaian antara pihak-pihak. Ia tidak memerlukan setiap butiran bukti diperincikan secara terperinci. Selagi isu teras telah diplidkan, perincian lanjut melalui afidavit dan hujahan adalah dibenarkan. Dalam Pembelaan Terpinda, Defendan telah secara nyata memplid bahawa SPA mempunyai tempoh sah enam bulan dan Plaintif gagal memenuhi syarat-syarat dalam tempoh tersebut. Hal ini juga ditegaskan dalam surat jawapan Defendan kepada bantahan Plaintif di mana mereka merujuk kepada Afidavit Kedua dan menyatakan bahawa isu kegagalan memenuhi syarat dalam tempoh 6 bulan telahpun dibangkitkan secara jelas
9
Oleh itu, dakwaan kegagalan menandatangani Memorandum Pindah Milik dan mendeposit dokumen hak milik bukanlah isu yang terasing atau berdiri sendiri. Ia adalah butiran fakta yang menyokong dakwaan umum bahawa Plaintif gagal memenuhi syarat SPA dalam tempoh yang dipersetujui. Mengatakan bahawa butiran tersebut tidak boleh dihujahkan kerana tidak dinyatakan secara literal dalam pliding adalah pendekatan yang terlalu formali dan tidak selari dengan prinsip keadilan substantif.
10
Tambahan pula, Aturan 81 k. 4(1) KKM 2012 dengan jelas membenarkan Defendan menunjukkan sebab melalui afidavit ‘or otherwise to the satisfaction of the Court’. Perkataan ‘or otherwise’ menunjukkan bahawa Mahkamah tidak terhad semata-mata kepada pliding asal tetapi boleh meneliti keseluruhan kertas kausa dan eksibit yang dikemukakan bagi menentukan sama ada wujud sebab yang memuaskan untuk menolak pelaksanaan spesifik. Dalam konteks ini, afidavit dan hujahan bertulis adalah sebahagian daripada proses ‘show cause’ yang dibenarkan oleh kaedah tersebut.
11
Mahkamah juga perlu mempertimbangkan prinsip ‘non-prejudice’. Soalan utama bukan sama ada sesuatu butiran dihujahkan dalam hujahan balas, tetapi sama ada Plaintif telah diprejudiskan atau dinafikan peluang menjawab. Dalam kes ini, Plaintif telah memfailkan Afidavit Balasan dan hujahan bertulis menjawab isu-isu tersebut. Tiada permohonan untuk menangguhkan pendengaran dibuat atas alasan terkejut atau tidak bersedia. Tiada dakwaan bahawa Plaintif tidak mempunyai peluang menjawab. Dalam keadaan ini, dakwaan prejudis adalah tidak berasas.
12
Mahkamah turut mengambil kira prinsip yang dihuraikan dalam kes Kerajaan Malaysia v Nooryana Najwa Dato’ Seri Mohd Najib [2022] 2 MLRH 313; [2020] 11 MLJ 242; 9 CLJ 414 yang dirujuk oleh Defendan dalam konteks keperluan teknikal permohonan ‘summary judgment’. Walaupun kes tersebut menyentuh isu frasa ‘no defence’, prinsip yang boleh diekstrak adalah bahawa Mahkamah tidak seharusnya menolak sesuatu permohonan atau hujahan semata-mata atas alasan semantik sekiranya intipati dan keadilan substantif telah dipenuhi. Pendekatan ini selaras dengan prinsip ‘overriding objective’ di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang menekankan penyelesaian adil, cepat dan ekonomi.
13
Selain itu, Mahkamah Rayuan dalam MMI Industries Sdn Bhd v Let Sin Industries Sdn Bhd [2010] 5 MLJ 71, menegaskan bahawa dalam menentukan kewujudan ‘triable issue’, Mahkamah perlu melihat kepada fakta yang tidak dipertikaikan dan keseluruhan rekod, bukan terhad kepada tajuk atau cara sesuatu isu ditimbulkan. Pendekatan yang terlalu teknikal terhadap bentuk hujahan boleh mengaburkan persoalan sebenar sama ada wujud pertikaian fakta material.
14
Dalam kes ini, isu pematuhan tempoh enam bulan, kewajipan menandatangani Memorandum Pindah Milik dan kewajipan mendeposit dokumen hak milik semuanya berkait rapat dengan dakwaan utama Defendan bahawa Plaintif tidak memenuhi syarat SPA. Ia bukan isu baharu yang berdiri sendiri. Ia adalah pengembangan logik kepada pembelaan yang telah diplidkan.
15
Sekiranya Mahkamah menerima bantahan awal Plaintif dan menolak hujahan tersebut atas alasan teknikal, Mahkamah akan menutup pintu kepada Defendan untuk menunjukkan sebab secara penuh di bawah A. 81 k. 4 KKM 2012, sedangkan peruntukan tersebut secara jelas memberikan ruang luas kepada Defendan untuk berbuat demikian. Pendekatan sedemikian berisiko menimbulkan ketidakadilan dan membuka ruang rayuan atas alasan penafian hak untuk didengar sepenuhnya.
16
Setelah mempertimbangkan keseluruhan keadaan, Mahkamah mendapati bahawa:
1
Isu kegagalan mematuhi syarat SPA telah diplidkan secara nyata.
2
Hujahan balas Defendan hanyalah perincian kepada isu tersebut.
3
Plaintif tidak diprejudiskan kerana telah diberi peluang menjawab.
17
A. 81 k.4 KKM 2012 memberi skop luas untuk menunjukkan sebab melalui afidavit dan hujahan. Dengan itu, bantahan awal Plaintif adalah tidak berasas dan ditolak. Isu 2: Apakah skop dan prinsip undang-undang di bawah Aturan 81 KKM 2012 termasuk ujian ‘no defence’ / ‘no triable issue’ serta beban pembuktian dalam konteks kes ini 18. Permohonan ini bukan permohonan penghakiman terus biasa di bawah Aturan 14 KKM 2012, tetapi suatu permohonan khusus bagi pelaksanaan spesifik di bawah Aturan 81 KKM
2012
Perbezaan ini adalah signifikan kerana Aturan 81 KKM 2012 diwujudkan bagi memberi ruang kepada Mahkamah melupuskan tindakan pelaksanaan spesifik tanpa perlu melalui perbicaraan penuh sekiranya tiada isu boleh dibicarakan yang tulen wujud. Dalam erti kata lain, mekanisme ini adalah pengiktirafan bahawa dalam banyak transaksi hartanah, pertikaian lazimnya berkisar kepada tafsiran dokumen dan pematuhan terma, yang boleh diputuskan berdasarkan rekod afidavit dan dokumen kontrak tanpa memerlukan penilaian kredibiliti saksi.
19
Defendan sendiri dalam surat jawapan mereka merujuk kepada A. 81 k. 4(1) KKM 2012 yang memperuntukkan bahawa seorang Defendan boleh ’how cause’ … ‘by affidavit or otherwise to the satisfaction of the Court’. Frasa ‘to the satisfaction of the Court’ bukanlah semata-mata frasa. Ia meletakkan beban substantif ke atas Defendan untuk menunjukkan secara nyata dan berasaskan bukti bahawa terdapat isu fakta material yang tidak boleh diputuskan melalui dokumen. Ia bukan memadai untuk sekadar menyatakan bahawa terdapat “isu tafsiran” atau “isu keadilan” tanpa mengenal pasti secara khusus fakta manakah yang dipertikaikan dan mengapa fakta tersebut memerlukan perbicaraan lisan.
20
Prinsip ini telah dihuraikan dengan terperinci oleh Mahkamah Rayuan dalam kes MMI Industries Sdn Bhd v Let Sin Industries Sdn Bhd [2010] 5 MLJ 71; [2009] MLJU 710; [2010] 1 CLJ 36; [2010] 1 AMR 335. Dalam kes tersebut, Mahkamah Rayuan membetulkan pendekatan Mahkamah Tinggi yang menganggap kewujudan isu seperti kelulusan pihak berkuasa dan keadaan ‘encroachment’ sebagai ‘triable issues’ sedangkan fakta-fakta material adalah tidak dipertikaikan. Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa fakta yang tidak dipertikaikan tidak boleh dikategorikan sebagai isu yang boleh dibicarakan. Prinsip ini sangat relevan di sini kerana dalam kes ini juga Defendan cuba menggunakan isu tempoh 6 bulan, kewujudan kaveat dan dakwaan tidak ‘ready and willing’ sebagai “isu besar” sedangkan asas faktanya boleh ditentukan melalui dokumen.
21
Dalam konteks kes ini, SPA bertarikh 20.8.2024 tidak dipertikaikan kewujudannya. Klausa berkaitan kewajipan mengeluarkan kaveat dan klausa berkaitan tempoh 6 bulan juga tidak dipertikaikan kandungannya. Apa yang dipertikaikan oleh Defendan ialah tafsiran dan kesannya. Tafsiran kontrak adalah isu undang-undang. Ia bukan isu kredibiliti saksi. Oleh itu, menurut prinsip dalam kes MMI Industries (supra), Mahkamah tidak terikat untuk menghantar perkara ini ke perbicaraan semata-mata kerana Defendan meletakkannya sebagai ‘triable’.
22
Tambahan pula, Seksyen 23(b) Akta Relief Spesifik 1950 yang dirujuk oleh Defendan melalui hujahan mereka tidak secara automatik menafikan pelaksanaan spesifik. Ia hanya menghalang pelaksanaan spesifik sekiranya pihak yang memohon telah melanggar terma asas atau menjadi tidak berupaya melaksanakan obligasinya. Oleh itu, dalam konteks beban pembuktian, apabila Plaintif menunjukkan kontrak sah dan kewujudan obligasi jelas Defendan untuk mengeluarkan kaveat, maka beban beralih kepada Defendan untuk menunjukkan bahawa Plaintif telah melanggar terma asas tersebut secara material.
23
Dalam kes ini, Defendan tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa Plaintif enggan membayar baki harga atau menolak untuk melaksanakan obligasi mereka. Sebaliknya, Defendan bergantung kepada dakwaan umum bahawa tempoh 6 bulan telah tamat dan Plaintif gagal memohon lanjutan. Persoalan sama ada tempoh tersebut bersifat ‘of the essence’ dan sama ada ia secara automatik membatalkan kontrak adalah isu tafsiran yang boleh diputuskan melalui analisis klausa SPA dan kelakuan pihak-pihak selepas tamat tempoh tersebut.
24
Oleh itu, dalam konteks kes ini, Mahkamah mendapati bahawa ujian ‘triable issue’ tidak dipenuhi oleh Defendan kerana isu yang dibangkitkan bukan isu fakta material tetapi isu tafsiran undang-undang dan kontrak yang boleh diputuskan berdasarkan dokumen sedia ada. Isu 3 : Sama ada pembelaan Defendan menimbulkan ‘triable issue’ sebenar 25. Isu ini memerlukan analisis yang lebih mendalam kerana Defendan cuba membawa beberapa perkara sebagai memerlukan perbicaraan penuh, iaitu: a) kewujudan kaveat, b) dakwaan Plaintif tidak ‘ready and willing’, c) dakwaan SPA adalah ‘conditional’ dan tidak boleh dikuat kuasakan, dan (iv) dakwaan penyalahgunaan proses.
a
(a) Kaveat Persendirian 26. Dalam Pembelaan Terpinda, Defendan menyatakan bahawa kaveat dimasukkan oleh seorang ‘broker’ hartanah dan bahawa notis pemotongan telah difailkan. Pada masa yang sama, Defendan berhujah bahawa Plaintif atau peguam Plaintif sebagai ‘common solicitor’ bertanggungjawab untuk membatalkan kaveat tersebut
27
Analisis Mahkamah adalah seperti berikut. Pertama, kewujudan kaveat itu sendiri tidak dipertikaikan. Kedua, fakta bahawa notis pemotongan telah difailkan juga tidak dipertikaikan. Oleh itu, tiada pertikaian fakta asas mengenai status kaveat. Apa yang dipertikaikan hanyalah siapa yang bertanggungjawab secara kontraktual untuk memastikan hartanah bebas daripada bebanan sebelum pindah milik.
28
Klausa 11.2 SPA yang dirujuk oleh Defendan sendiri menunjukkan bahawa isu ‘encumbrances’ adalah tertakluk kepada pilihan yang ditetapkan dalam perjanjian. Tafsiran klausa tersebut adalah isu undang-undang. Ia boleh ditentukan melalui pembacaan klausa di dalam kontrak itu sendiri. Tiada keperluan memanggil saksi untuk menentukan maksud klausa bertulis yang jelas.
29
Lebih penting lagi, hujahan Plaintif bahawa kegagalan utama dalam pelaksanaan SPA adalah berpunca daripada kegagalan Defendan mengeluarkan kaveat walaupun notis bertulis telah diberikan tidak disangkal dengan bukti spesifik oleh Defendan. Defendan tidak menunjukkan bahawa mereka telah memenuhi kewajipan tersebut dalam tempoh yang dipersetujui. Oleh itu, isu kaveat tidak menimbulkan ‘triable issue’ sebenar.
b
(b) ‘Ready and Willing’
30
Defendan bergantung kepada prinsip ‘continuous readiness and willingness’ yang ditegaskan dalam kes MMI Industries(supra). Mahkamah menerima sepenuhnya prinsip tersebut.
31
Namun dalam kes MMI Industries (supra), Mahkamah Rayuan meneliti fakta secara terperinci dan mendapati bahawa pembeli telah mendeposit baki harga dan menunjukkan kesediaan berterusan walaupun terdapat isu ‘encroachment’ dan kelulusan pihak berkuasa. Mahkamah Rayuan akhirnya memutuskan bahawa kegagalan vendor menyelesaikan isu ‘encroachment’ tidak boleh digunakan untuk menafikan pelaksanaan spesifik.
32
Dalam kes ini, Defendan mendakwa bahawa Plaintif gagal menandatangani Memorandum Pindah Milik dan gagal mendeposit dokumen hak milik. Namun dakwaan ini perlu dilihat dalam konteks. Defendan sendiri mengakui bahawa tempoh 6 bulan telah tamat dan Plaintif tidak memohon lanjutan bertulis. Persoalannya ialah: adakah tamat tempoh tersebut secara automatik membatalkan kontrak atau adakah kelakuan pihak-pihak selepas tamat tempoh menunjukkan bahawa kontrak masih dianggap berkuat kuasa?
33
Analisis terhadap dokumen menunjukkan bahawa tiada notis pembatalan formal oleh Defendan selepas tamat tempoh. Tiada bukti bahawa Defendan telah mengembalikan deposit atau menyatakan bahawa kontrak telah terbatal. Dalam keadaan ini, prinsip ‘estoppel’ dan kelakuan selepas tamat tempoh adalah isu undang-undang yang boleh diputuskan tanpa perbicaraan.
34
Defendan juga gagal menunjukkan bahawa Plaintif menjadi ‘incapable of performing’ seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 23(b) Akta Relief Spesifik 1950. Ketiadaan tandatangan pada Memorandum Pindah Milik dalam konteks di mana isu kaveat belum diselesaikan tidak secara automatik menunjukkan kegagalan ‘readiness’. Ia mungkin akibat logik bahawa pemindahan tidak boleh diteruskan selagi bebanan belum diselesaikan. Oleh itu, dakwaan bahawa Plaintif tidak ‘ready and willing’ tidak disokong oleh bukti pelanggaran terma asas yang jelas.
c
(c) ‘Conditional SPA’
35
Defendan berhujah bahawa SPA adalah ‘conditional SPA’ dan oleh itu tidak boleh dikuatkuasakan serta-merta. Hujahan ini bercanggah secara langsung dengan autoriti yang telah dikemukakan dalam ikatan otoriti Defendan.
36
Dalam kes Chin Tai v Siow Shiow & Ors [1970] 1 MLRA 447 dan Halimah Binti Abdul Rahman v Fatimah Binti Abdullah [1976] 2 MLJ 64, Mahkamah Persekutuan telah memberikan pelaksanaan spesifik walaupun tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa. Prinsip yang lahir daripada kes-kes ini adalah bahawa kewujudan syarat terdahulu tidak menjadikan kontrak tidak sah atau tidak boleh dikuat kuasakan. Mahkamah boleh memerintahkan pihak yang berkewajipan untuk memohon kelulusan tersebut.
37
Dalam kes ini, Defendan tidak pun sampai ke peringkat memohon kelulusan tertentu kerana isu kaveat belum diselesaikan. Oleh itu, hujahan bahawa kontrak tidak boleh dikuat kuasakan adalah pramatang dan bersifat hipotesis.
38
Setelah menilai keseluruhan pembelaan Defendan, Mahkamah mendapati bahawa isu-isu yang dibangkitkan adalah isu tafsiran kontrak dan aplikasi undang-undang kepada fakta yang tidak dipertikaikan. Tiada isu kredibiliti saksi, tiada pertikaian fakta material yang memerlukan pemeriksaan balas, dan tiada percanggahan bukti yang signifikan. Dengan itu, tiada ‘triable issue’ yang benar-benar wujud dalam kes ini. Isu 4: Sama ada ‘specific performance’ dan injunksi kekal boleh dan wajar diberikan 39. Setelah Mahkamah mendapati bahawa tiada ‘triable issue’ tulen, persoalan seterusnya ialah sama ada pelaksanaan spesifik wajar diberikan.
40
Seksyen 23(b) Akta Relief Spesifik 1950 tidak menghalang pelaksanaan spesifik melainkan terdapat pelanggaran terma asas oleh pihak yang memohon. Dalam kes ini, Mahkamah tidak mendapati sebarang pelanggaran terma asas oleh Plaintif.
41
Sebaliknya, kegagalan utama yang menghalang pelaksanaan SPA adalah kegagalan Defendan memastikan hartanah bebas daripada kaveat dalam tempoh yang dipersetujui. Dalam keadaan ini, prinsip ekuiti tidak membenarkan pihak yang gagal memenuhi kewajipan sendiri menggunakan kegagalan tersebut sebagai alasan untuk menafikan pelaksanaan kontrak.
42
Tambahan pula, Seksyen 50 Akta Relief Spesifik 1950 memberi kuasa kepada Mahkamah untuk mengeluarkan injunksi kekal bagi melindungi hak kontraktual. Setelah Mahkamah mendapati bahawa SPA adalah sah dan boleh dikuat kuasakan, injunksi kekal adalah relif yang wajar bagi menghalang Defendan daripada melupuskan atau membebankan hartanah sehingga pelaksanaan spesifik disempurnakan.
43
Setelah Mahkamah meneliti keseluruhan rekod, termasuk Notis Permohonan Plaintif di bawah Aturan 81 Kaedah 1 KKM 2012, Afidavit Sokongan, Afidavit Jawapan Defendan, Afidavit Balasan Plaintif, surat bantahan serta jawapan kepada bantahan tersebut, hujahan bertulis kedua-dua pihak dan ikatan otoriti yang dikemukakan, Mahkamah merumuskan dapatan seperti berikut.
44
Berhubung Isu 1, Mahkamah telah menolak bantahan awal Plaintif terhadap Hujahan Balas Defendan. Mahkamah mendapati bahawa isu kegagalan mematuhi syarat SPA dalam tempoh enam bulan telah diplidkan secara jelas dalam Pembelaan Terpinda dan Afidavit Jawapan Defendan. Hujahan Balas Defendan hanyalah memperincikan dakwaan tersebut dan tidak memperkenalkan isu baharu yang berdiri sendiri. Plaintif tidak mengalami prejudis prosedural kerana telah diberikan peluang penuh untuk menjawab melalui Afidavit Balasan dan hujahan bertulis. Aturan 81 k. 4 KKM 2012 secara nyata membenarkan Defendan menunjukkan sebab melalui afidavit ‘or otherwise to the satisfaction of the Court’, dan Mahkamah berpendapat bahawa ruang tersebut tidak boleh disempitkan melalui pendekatan teknikal terhadap bentuk hujahan.
45
Berhubung Isu 2, Mahkamah telah memperincikan skop dan prinsip undang-undang di bawah Aturan 81 KKM 2012. Ujian yang terpakai ialah sama ada Defendan telah menunjukkan ‘triable issue’ yang sebenar dan ‘bona fide’. Beban tersebut terletak pada Defendan sebaik sahaja Plaintif menunjukkan kewujudan kontrak sah dan obligasi jelas di bawah SPA. Prinsip yang dihuraikan dalam kes MMI Industries (supra) telah dijadikan panduan bahawa fakta yang tidak dipertikaikan tidak boleh dijadikan asas untuk menghantar sesuatu perkara ke perbicaraan penuh. Dalam kes ini, Mahkamah mendapati bahawa pertikaian yang dibangkitkan adalah isu tafsiran kontrak dan aplikasi undang-undang kepada fakta yang tidak dipertikaikan, dan bukan isu kredibiliti saksi atau percanggahan fakta material.
46
Berhubung Isu 3, Mahkamah telah menilai secara terperinci pembelaan Defendan berkaitan kaveat persendirian, dakwaan Plaintif tidak ‘ready and willing’, tempoh enam bulan, sifat SPA sebagai ‘conditional’, serta tuntutan balas. Mahkamah mendapati bahawa: a) Isu kaveat adalah isu kewajipan kontraktual yang boleh diputuskan berdasarkan teks SPA dan fakta tidak dipertikaikan bahawa notis pemotongan telah difailkan. Ia tidak memerlukan keterangan lisan. b) Dakwaan Plaintif tidak ‘ready and willing’ tidak disokong oleh bukti bahawa Plaintif telah menjadi ‘incapable of performing’ di bawah Seksyen 23(b) Akta Relief Spesifik
1950
Kegagalan pelaksanaan adalah berkait rapat dengan isu kaveat dan tindakan Defendan sendiri. c) Dakwaan bahawa SPA luput secara automatik tidak disokong oleh bukti notis pembatalan formal atau tindakan konsisten yang menunjukkan kontrak dianggap terbatal. d) Tuntutan balas Defendan adalah bergantung sepenuhnya kepada dakwaan pelanggaran oleh Plaintif yang tidak dibuktikan secara ‘prima facie’. Mahkamah dengan itu mendapati bahawa pembelaan Defendan tidak menimbulkan ‘triable issue’ yang sebenar.
47
Berhubung Isu 4, setelah Mahkamah mendapati tiada ‘triable issue’, Mahkamah berpuas hati bahawa pelaksanaan spesifik adalah relif yang sesuai dan wajar di bawah Seksyen 23(b) Akta Relief Spesifik 1950. Plaintif telah menunjukkan kesediaan dan keupayaan untuk melaksanakan obligasinya. Tiada halangan undang-undang yang menghalang penguatkuasaan SPA. Tambahan pula, Seksyen 50 Akta Relief Spesifik 1950 memberi kuasa kepada Mahkamah untuk mengeluarkan injunksi kekal bagi melindungi hak kontraktual yang diiktiraf. Dalam konteks ini, injunksi kekal adalah relif sampingan yang perlu bagi memastikan Defendan tidak melupuskan atau membebankan hartanah sehingga pelaksanaan spesifik disempurnakan.
48
Mahkamah juga mengambil kira bahawa tujuan Aturan 81 KKM 2012 adalah untuk mengelakkan perbicaraan yang tidak perlu apabila tiada isu boleh dibicarakan. Meneruskan kes ini ke perbicaraan penuh dalam keadaan tiada pertikaian fakta material akan bertentangan dengan objektif keadilan yang cepat dan ekonomi.
49
Sehubungan dengan dapatan dan rumusan di atas, Mahkamah dengan ini memerintahkan seperti berikut: i. Permohonan Plaintif di bawah Aturan 81 Kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 adalah dibenarkan. ii. Defendan hendaklah melaksanakan semua dokumen yang perlu dan mengambil segala langkah yang perlu bagi menyempurnakan pindah milik hartanah tersebut kepada Plaintif selaras dengan terma-terma Perjanjian Jual Beli bertarikh 20.8.2024. iii. Satu Injunksi Kekal dikeluarkan menghalang Defendan, sama ada melalui dirinya atau mana-mana ejen atau wakilnya, daripada melupuskan, memindah milik, membebankan atau dengan apa cara sekalipun berurusan dengan hartanah tersebut yang bercanggah dengan hak Plaintif di bawah SPA sehingga pelaksanaan spesifik disempurnakan. i. Tuntutan balas Defendan adalah ditolak. ii. Kos sebanyak RM6,000.00 dibayar oleh Defendan kepada Plaintif.
50
Mahkamah menegaskan bahawa keputusan ini dibuat setelah mempertimbangkan setiap isu yang dibangkitkan dan setiap hujahan kedua-dua pihak secara menyeluruh. Tiada isu material yang ditinggalkan tanpa pertimbangan. Keputusan ini adalah berdasarkan dapatan bahawa tiada ‘triable issue’ tulen wujud dan bahawa relif yang diberikan adalah selaras dengan prinsip undang-undang serta keadilan ekuiti. BERTARIKH: 30 MAC 2026 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Plaintif Jegathisvaran bersama Pavithra Tetuan Asta, Sathiua & Partners Masai, Johor Peguam Bagi Pihak Defendan V.M Muthu Tetuan V.M Muthu & Company Permas, Johor
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.