Bagi maksud itu juga. Defendan-Defendan telah memasukkan dalam Affidavitnya, suatu Affidavit Jawapan yang telah dikrarkan oleh Ahmad Tajuddin yang menjelaskan tentang kedudukannya di tanah Lot 955 tersebut. [19] Oleh itu, Defendan-Defendan berhujah bahawa demi kebaikan semua pihak, Plaintif-Plaintif harus mengambil Petak 2 dan bukannya Petak 1 yang dengan cara itu Defendan-Defendan tidak akan membantah permohonan pecah bahagi ini jika dilakukan. Dengan cara ini juga, bukan sahaja pengusaha/penyewa padi boleh terus mengusahakan penanaman padinya, malah usaha sama Plaintif-Plaintif dengan pemaju juga boleh diteruskan. [20] Plaintif-Plaintif walau bagaimanapun, dalam menjawab kepada hujahan Defendan-Defendan telah menegaskan bahawa dakwaan Defendan-Defendan tentang nilai tanah Petak 1 adalah lebih tinggi kerana bersebelahan dengan binaan perumahan sedia ada, adalah tidak benar dan tanpa asas. Ini kerana Plaintif-Plaintif telah pun mendapatkan suatu laporan penilaian yang jelas menunjukkan bahawa Petak 1 dan Petak 2 mempunyai penilaian yang sama. [21] Plaintif-Plaintif juga menegaskan bahawa pernyataan Defendan-Defendan yang Petak 2 adalah lebih sesuai dijadikan perumahan adalah tidak wajar. Ini kerana jika itu berlaku, kawasan perumahan akan berada di tengah-tengah kawasan padi berbanding jika Petak 1 yang dijadikan perumahan, ia akan berada bersebelahan dengan kawasan perumahan sedia ada. Malah Petak 2 akan kekal menjadi kawasan penanaman padi yang bersebelahan dengan kawasan padi sedia ada. [22] Berkaitan dengan sekatan kepada aliran air atau akses yang dibangkitkan, Plaintif-Plaintif menyatakan bahawa keadaan itu tidak akan berlaku sebagaimana yang didakwa oleh Defendan-Defendan. Malah Plaintif-Plaintif telah mendapat pengesahan daripada pihak MADA, surat yang telah diekshibitkan dalam Affidavitnya berkenaan dengan isu bekalan air di mana MADA telah menjawab dengan menyatakan tiada tegahan atas permohonan Plaintif-Plaintif dengan syarat Plaintif-Plaintif hendaklah memastikan pembangunan Petak 1 dan 2 itu tidak menimbulkan masalah pengairan. [23] Plaintif-Plaintif seterusnya berhujah bahawa Plaintif-Plaintif telah memenuhi prasyarat untuk membuat permohonan pecah bahagi di bawah seksyen 145 KTN ini kerana telah memberikan notis sewajarnya kepada Defendan-Defendan sebelum ini. Selain itu, Plaintif-Plaintif telah mengemukakan pelan cadangan pecah bahagi yang disediakan oleh seorang juruukur bertauliah dan laporan penilaian telah juga diperoleh untuk membuktikan nilai Petak 1 dan Petak 2 adalah sama. [24] Plaintif-Plaintif juga menyatakan bahawa hasrat untuk membuat pemajuan kepada tanah Lot 955 itu telah dicadangkan kepada Defendan-Defendan sejak tahun 2011 di mana pada asalnya Defendan-Defendan telah bersetuju. Ini menunjukkan bahawa Plaintif-Plaintif adalah konsisten dengan niatnya berbanding Defendan-Defendan yang sentiasa bertukar-tukar fikiran dan enggan memberikan kerjasama. [25] Berkenaan dengan kedudukan dan kepentingan pengusaha tanaman padi di atas Lot 955 yang didakwa oleh Defendan-Defendan perlu diambil pertimbangan atas haknya dari segi ekuiti, Plaintif-Plaintif menyatakan bahawa ia tiada kena mengena dengan permohonan ini. Tambahan pula, tiada apa-apa keterangan yang dikemukakan oleh Defendan-Defendan yang menunjukkan bahawa wujud janji daripada tuan punya tanah Lot 955 bahawa pengusaha tersebut boleh menggunakan tanah itu selama-lamanya. Malahan, penggunaan tanah oleh pengusaha tersebut telah pun melewati 33 tahun di mana hak ekuiti telah pun tidak lagi wujud kerana menurut prinsip undang-undang, ia terhad kepada 30 tahun sahaja. [26] Sehubungan dengan itu, Plaintif-Plaintif berhujah bahawa atas imbangan kepentingan, hak untuk pecah bahagi ini menyebelahi Plaintif-Plaintif dan penamatan pemilikan bersama antara Plaintif-Plaintif dan Defendan-Defendan adalah wajar ditamatkan dengan Petak 1 diagihkan kepada Plaintif-Plaintif dan Petak 2 kepada Defendan-Defendan. C. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH [27] Isu utama dalam permohonan ini ialah sama ada Plaintif-Plaintif berhak menamatkan pemilikan bersama dan memohon pecah bahagi Lot 955 kepada dua petak sebagaimana pelan yang dikemukakan oleh juruukur bertauliah. [28] Mahkamah menerima bahawa permohonan ini adalah tertakluk kepada peruntukan seksyen 145 KTN, yang menyebut bahawa mana-mana pemilik bersama boleh memohon kepada Mahkamah untuk pembahagian fizikal harta bersama atau, jika tidak dapat dilakukan, penjualan dan pembahagian hasil jualan. Seksyen 145(1) memperuntukkan: “If any alienated land is held by two or more persons under an express or implied trust, any one or more of them may apply to the Court for an order for the sale or physical partition of the land…” [29] Berdasarkan peruntukan ini, Mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan pembahagian fizikal ke atas tanah yang dipegang secara pemilikan bersama, sekiranya syarat-syarat sewajarnya dipenuhi, termasuk adanya pelan pecah bahagi dan penilaian yang munasabah mengenai nilai tanah. Tiada Persetujuan Defendan Tidak Menghalang Pemutusan Pemilikan Bersama [30] Hujahan Defendan-Defendan bahawa mereka tidak bersetuju dengan pembahagian dan permohonan ini tidak menghalang Mahkamah daripada menggunakan bidang kuasanya di bawah seksyen 145 KTN. Persetujuan tidak menjadi prasyarat mandatori dalam permohonan ini. Apa yang penting ialah keadilan dan kesaksamaan dalam pembahagian. [31] Mahkamah mendapati bahawa Plaintif-Plaintif telah memberikan notis sewajarnya kepada Defendan-Defendan berhubung hasrat menamatkan pemilikan bersama dan memohon pecah bahagi Lot