Content
1 Dalam Mahkamah Tinggi Malaya Di Seremban Dalam Negeri Sembilan Darul Khusus, Malaysia Rayuan Sivil No. : NA-12B-9-08/ TAHUN 2024
NA-12B-9-08/2024
High Court of Malaysia25 Jun 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 Dalam Mahkamah Tinggi Malaya Di Seremban Dalam Negeri Sembilan Darul Khusus, Malaysia Rayuan Sivil No. : NA-12B-9-08/ TAHUN 2024
1
FAZRIEN HASRIZAN BIN MOHAMAD (No. Kad Pengenalan : 010920-06-0989) (Seorang yang tidak berkeupayaan yang Menuntut melalui bapa dan sahabat wakilnya, Mohamad Bin Abdul Razak)
2
MOHAMAD BIN ABDUL RAZAK (No. Kad Pengenalan : 551213-11-5129) …Perayu-Perayu DAN
1
SELIA SELENGGARA SELATAN SDN BHD (No. Syarikat : 200301011358 (613778-D)
2
PENGARAH, JABATAN KERJARAYA NEGERI SEMBILAN
3
KHAIRUL ROHAIZAD BIN ROSTAM (No. Kad Pengenalan : 901027-05-5107)
4
MOHD RAMIZU BIN SALIM (No. Kad Pengenalan : 670509-05-5139) …Responden-Responden ALASAN PENGHAKIMAN
1
Notis Rayuan ini telah difailkan oleh perayu/plaintif yang tidak berpuashati dengan Keputusan Mahkamah ini yang diberikan pada 25.6.2025 yang telah menolak rayuan Perayu/Plaintif terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen. Rayuan adalah terhadap kedua-dua isu liabiliti dan kuantum.
2
Dalam rayuannya di hadapan Mahkamah ini, Plaintif/Perayu berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa Plaintif/Perayu gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa kemalangan tersebut diakibatkan oleh kecuaian Respinden/Defendan Pertama, Kedua, Ketiga dan Keempat.
3
Untuk kemudahan, pihak-pihak akan dirujuk dalam kapasiti asal mereka di Mahkamah Sesyen, iaitu sebagai Plaintif dan Defendan-Defendan.
4
Kemalangan berlaku pada 11 Julai 2020, lebih kurang jam 1.30 pagi di KM 0.5 Jalan Tampin–Gemas. Plaintif Pertama (Plaintif) menunggang sebuah motosikal dan telah melanggar sebuah pembahagi jalan sebelum seterusnya melanggar sebuah motokar bernombor pendaftaran NCJ 6992 milik Responden Keempat yang dipandu oleh Responden Ketiga dan diletakkan di bahu jalan.
5
Pada 11.7.2020, jam lebih kurang 1.30 pagi, Plaintif menunggang motosikalnya No. VEN 4722 di sepanjang Jalan Tampin-Gemas dalam daerah Tampin dari arah Gunung Mas menghala ke Alor Gajah, apabila P1 sampai di KM 0.5 Jalan Tampin - Gemas, dengan secara mengejut, telah berlanggar dengan pembahagi jalan di suatu kawasan gelap, yang mana ianya telah dibiarkan tanpa sebarang tanda atau apa-apa tanda isyarat oleh Defendan Pertama (D1) dan Kedua (D2) yang bertanggungjawab untuk menyelenggara, mengawasi dan menyelia jalanraya tersebut.
6
Keadaan jalan disitu adalah berselekoh, menuruni bukit dan gelap. Plaintif-Plaintif mendakwa D1 dan D2 telah sumbang cuai apabila gagal meletakkan sebarang ciri-ciri keselamatan seperti tiang lampu bagi melindungi pengguna-pengguna jalanraya yang melalui jalan tersebut diwaktu malam. Selepas perlanggaran dengan pembahagi jalan tersebut, P1 yang hilang kawalan motorsikalnya telah berlanggar pula dengan sebuah motokar No. NJC 6992 yang telah diletakkan di laluan sahnya tanpa memberikan sebarang tanda isyarat atau tanda kecemasan tentang kewujudan motokar tersebut di situ.
7
Berdasarkan siasatan Pegawai Penyiasat, SP1, tiada lampu jalan di lokasi, dan kawasan sekitar adalah gelap dan sedikit berselekoh. Pembahagi jalan yang menjadi isu dalam kes ini berkedudukan tinggi sedikit daripada paras jalan raya. Semasa diperiksa balas, pegawai penyiasat mengesahkan terdapat pemantul cahaya di sekitar pembahagi jalan.
8
Pada masa yang sama, SP1 mengesahkan bahawa terdapat garisan kuning dikawasan tersebut yang sepatutnya bertindak memberi amaran kepada mana-mana kenderaan yang melalui kawasan tersebut untuk memperlahankan kenderaan. Mengikut SP1 lagi, garisan kuning tersebut boleh dilihat dengan menggunakan lampu kenderaan. Keputusan hasil siasatan SP1 adalah RTM kerana Plaintif telah terbabas.
9
Keterangan Plaintif pula adalah sebagaimana berikut. Dia menunggang motosikalnya di kawasan tersebut pada pukul 1.30 pagi. Ketika sampai di tempat kejadian, keadaan adalah gelap dan Plaintif telah terlanggar pembahagi jalan yang terletak di tengah-tengah laluan. Motorsikal Plaintif hilang kawalan, lalu berlanggar dengan motokar NJC 6992 yang diparkir di tepi jalan.
10
Plaintif menyatakan dia menunggang motosikalnya pada kelajuan 50-60 km/jam. Dalam kelajuan tersebut, dia tidak sedar akan kehadiran pembahagi jalan tersebut. Ini adalah kerana keadaan terlalu gelap disebabkan ketiadaan lampu jalan atau sebarang amaran mengenai kehadiran pembahagi jalan tersebut. Mengikut Plaintif, semasa kejadian, lampu motosikalnya terpasang dan lampunya adalah terang. Plaintif juga mendakwa motokar NJC 6992 diparkir di bahu jalan, tetapi makan jalan sedikit walaupun tidak jejak garisan putih tepi jalan. Plaintif mengakui motokar tersebut tidak mengganggu laluan trafik.
11
Plaintif mengakui wujudnya garisan kuning dan merasa motornya bergegar apabila melalui garisan tersebut. Plaintif turut bersetuju ada pepaku jalan yang memantulkan cahaya, tetapi menyatakan bahawa cahayanya tidak terang. Plaintif menukar keterangannya semasa pemeriksaan semula dengan menyatakan bahawa pepaku jalan tidak memantul Cahaya.
12
Bersandarkan kepada fakta-fakta di atas, Plaintif-Plaintif mendakwa bahawa kemalangan yang berlaku adalah diakibatkan atau disumbang cuai oleh Defendan-Defendan. Akibat perlanggaran tersebut, Plaintif pertama telah mengalami kecederaan yang serius, manakala Plaintif kedua mengalami kerugian.
13
Defendan pertama adalah pihak yang dilantik untuk menjalankan penyelenggaraan jalan-jalan raya persekutuan di Negeri Sembilan. Bagaimanapun, pembinaan pembahagi jalan tidak termasuk dalam skop peranan atau tanggungjawab D1. Mengikut saksi D1, skop tanggungjawab penyelenggaraannya tidak termasuk kerja-kerja membina pembahagi jalan, meletakkan tanda amaran atau pemantul Cahaya. Oleh itu, D1 menafikan pihak bertanggungan atau sumbang cuai dalam kemalangan tersebut. Defendan kedua
14
Defendan kedua (D2) adalah Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan. Tuntutan P1 ke atas D2 adalah atas dakwaan bahawa D2 gagal untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan kawasan tersebut adalah selamat untuk pengguna jalanraya terutamanya diwaktu malam seperti memasang tiang lampu atau memberi amaran yang secukupnya berkenaan kehadiran pembahagi jalan di kawasan berkenaan.
15
Bagaimanapun, mengikut D2, melalui Perjanjian Penswastaan bertarikh 22.12.2000 dan Perjanjian Konsesi bertarikh 5.4.2018, D1 adalah pihak yang telah diberikan hak untuk menyelenggara Jalan Persekutuan di Negeri Sembilan termasuk jalan di lokasi kejadian. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di lokasi tersebut adalah D1 dan bukannya D2.
16
16.
Preamble
Mengikut D2, tujuan dibina pembahagi jalan disitu adalah supaya ianya berfungsi sebagai pemisah bagi menghalang kenderaan memasuki lorong bertentangan secara sengaja dan untuk mengawal trafik. Pembinaan pembahagi jalan juga adalah dalam spek JKR.
17
17.
Preamble
Mengikut D2 lagi, laluan tersebut telah dilengkapkan dengan ciri-ciri keselamatan terutamanya untuk pengguna jalan pada waktu malam. Ciri-ciri tersebut adalah :- i. Garisan kuning, yang berfungsi sebagai amaran awal untuk pengguna jalan mengurangkan kelajuan. ii. Di sebelah kanan jalan ada lampu-lampu kecil yang dikenali sebagai pemantul Cahaya untuk membantu kenderaan mengenal pasti garisan jalan yang betul. Defendan ketiga dan keempat
18
D3 dan D4 adalah pemilik dan pemandu motokar NCJ 6992. D3 telah bekerja di Ell Bistro yang terletak tidak jauh dari tempat kemalangan sejak tahun 2017. Mengikutnya, sepengetahuannya, sejak dia bekerja di situ, belum ada kemalangan yang berlaku melibatkan pembahagi jalan di kawasan tersebut. D3 mengakui keadaan jalan adalah gelap, tetapi jalan tersebut ada reflector yang membantu memberikan pencahayaan kepada pengguna jalan pada waktu malam. D3 juga menyatakan dia meletakkan motokar di atas rumput dan bukan di atas garisan putih sebagaimana yang didakwa oleh Plaintif.
19
Berdasarkan fakta-fakta di atas, kesemua Defendan-Defendan menafikan bahawa kemalangan tersebut berpunca daripada pembahagi jalan atau motok=kar D3 dan D4 yang diparkir di tepi jalan. Sebaliknya, Defendan-Defendan menyatakan bahawa kemalangan berlaku diakibatkan sepenuhnya oleh kecuaian P1 yang menunggang motorsikalnya dengan laju dan cuai serta gagal memberi tumpuan semasa menunggang motosikal tersebut. Analisa dan Dapatan Mahkamah
20
Setelah meneliti fakta dan keterangan yang ada, Mahkamah ini bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen terpelajar yang memutuskan atas kebarangkalian untuk menolak tuntutan Plaintif atas alasan bahawa Plaintif telah gagal membuktikan kecuaian Defendan-defendan. Ini adalah berdasarkan alasan-alasan berikut :- Plaintif mendakwa bahawa kemalangan tersebut diakibatkan oleh kehadiran pembahagi jalan sebagai halangan dan kecuaian D1 dan D2 yang membina pembahagi jalan di kawasan tersebut serta serta kegagalan mereka menyelenggaranya dengan baik i.e. memasang lampu jalan serta memberi amaran tentang kehadiran pembahagi jalan tersebut atau meletakkan pemantul cahaya (reflector / road stud) yang mencukupi di atas dan di tepi pembahagi jalan tersebut.
21
Manakala, sumbang cuai yang didakwa disumbangkan oleh D3 dan D4 terhadap kemalangan tersebut adalah kerana tindakan mereka yang telah meletakkan motokar NCJ 6229 ditepi jalan di laluan P1. Kehadiran motokar tersebut juga telah menghalang laluan Plaintif.
22
Prinsip undang-undang menetapkan bahawa beban pembuktian adalah terletak di bahu Plaintif untuk membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian. (Rujuk Seksyen 101 dan 102 Akta Keterangan 1950, serta otoriti Che Pah Itam v Chang Pek Lee [1998] 4 CLJ 517, yang menegaskan bahawa plaintif mesti membuktikan kecuaian defendan atas imbangan kebarangkalian). Bagaimanapun, berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif gagal untuk melepaskan beban pembuktian tersebut. Alasan-alasannya adalah seperti berikut : Plaintif mendakwa bahawa kemalangan tersebut berlaku kerana dia telah melanggar sebuah pembahagi jalan disuatu kawasan yang gelap, di mana pembahagi jalan tersebut telah dibiarkan secara cuai oleh D1 dan D2 tanpa dilengkap dengan pencahayaan yang mencukupi atau diletakkan sebarang tanda amaran mengenai kehadirannya. Dalam keterangannya, Plaintif menyatakan bahawa pengguna jalanraya tidak boleh melihat pembahagi jalan lebih awal jika melalui jalan pada waktu malam.
23
Bagaimanapun, Mahkamah mendapati bahawa keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh Plaintif gagal menyokong dakwaannya. Mahkamah meneliti keterangan Pegawai Penyiasat SP1. Mengikut SP1, hasil siasatannya mendapati bahawa sungguhpun kawasan tersebut tidak dilengkapi dengan lampu jalan, tetapi ianya telah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti berikut :- i. Jalan tersebut juga merupakan laluan yang lebar melebihi 6 meter. ii. Terdapat pemantul cahaya jalan di kawasan pembahagi jalan; iii. Terdapat jalur rentas kuning sebagai amaran kepada pengguna jalanraya untuk memperlahankan kenderaan dan mengikut SP1, garisan tersebut boleh dilihat dengan menggunakan lampu kenderaan.
24
Mahkamah juga mendapati bahawa keterangan SP1 disokong oleh keterangan saksi kedua Defendan yang merupakan Jurutera Jalan.
Preamble
Mengikut SD2, jalan di lokasi kemalangan adalah dalam keadaan baik dan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan bagi melindungi pengguna, terutamanya pada waktu malam. Jalan tersebut mempunyai pemantul cahaya jalan yang berfungsi untuk memastikan pemsepadanan yang betul pada waktu malam. Jalan tersebut juga mempunyai jalur rentas kuning untuk memberi makluman awal kepada pemandu untuk mengurangkan kelajuan.
25
Seterusnya, Mahkamah juga meneliti keterangan Plaintif. Mengikut Plaintif (SP3), pada malam kejadian, dia menunggang motosikalnya berhampiran dengan garisan C dalam rajah kasar. Ini bertujuan untuk mengelak dari melanggar motokor-motokar yang diparkir di tepi jalan.
26
Mahkamah merujuk kepada rajah kasar untuk mengetahui saiz dan jarak jalan di lokasi kejadian. Berdasarkan rajah kasar, jarak bahu jalan (jalan atas rumput) ke tepi jalan iaitu A – B adalah 1.7 meter, manakala, jarak tepi jalan ke pembahagi jalan iaitu B – C adalah 6.1 meter.
27
Berdasarkan kepada keterangan-keterangan di atas, Mahkamah berpandangan bahawa Plaintif gagal mengemukakan sebarang keterangan yang menunjukkan bahawa kemalangan tersebut berlaku kerana pembahagi jalan tersebut menghalang laluan Plaintif. Keterangan-keterangan di atas menunjukkan bahawa pembahagi jalan tersebut tidak mengganggu laluan Plaintif. Berdasarkan jarak jalan yang tercatit pada rajah kasar, Plaintif mempunyai keluasan laluan yang mencukupi iaitu lebih 6 meter untuk menunggang motosikalnya dengan selesa.
28
Plaintif turut mendakwa bahawa D1 dan D2 gagal memberi amaran tentang kehadiran pembahagi jalan tersebut. Pada pandangan Mahkamah, dakwaan tersebut telah dipatahkan dengan keterangan SP1 dan SD2 bahawa jalan tersebut telah dilengkapi dengan jalur rentas kuning.
29
Secara definisinya, jalur rentas kuning berfungsi sebagai langkah keselamatan untuk memberi amaran awal dan memaksa pemandu memperlahankan kenderaan. Ia diletakkan sebelum zon bahaya, kawasan selekoh, atau kawasan perumahan. Keterangan SP1 menyatakan bahawa garisan kuning tersebut boleh dilihat dengan menggunakan lampu kenderaan. Mahkamah turut merujuk kepada keterangan Plaintif yang menyatakan bahawa lampu motorsikalnya adalah terang dan berfungsi dengan baik.
30
Mahkamah berpandangan bahawa kehadiran jalur rentas kuning tersebut telah bertindak untuk memberi amaran kepada pengguna-penguna jalan raya untuk lebih berhati-hati. Berdasarkan keterangannya, Plaintif mengakui dapat merasakan kewujudan jalur rentas kuning tersebut semasa menunggang motorsikalnya. Kenyataannya bahawa lampu kenderaannya terang menunjukkan bahawa dia dapat melihat kehadiran jalur kuning tersebut.
31
Plaintif mendakwa bahawa pihak Defendan-Defendan sepatutnya meletakkan tanda amaran khusus tentang kehadiran pembahagi jalan disitu memandangkan kehadiran pembahagi jalan tersebut telah menjadi punca kemalangan. Tetapi, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif gagal mengemukakan sebarang keterangan yang menunjukkan bahawa kewujudan pembahagi jalan tersebut adalah penyebab kepada berlakunya kemalangan disitu. Tiada sebarang keterangan yang dikemukakan yang menunjukkan bahawa kemalangan kerap berlaku di lokasi tersebut yang disebabkan oleh pembahagi jalan berkenaan. Malah, pegawai penyiasat SP1 juga gagal mengesahkan perkara tersebut.
32
Mahkamah berpandangan bahawa pembahagi jalan adalah ciri yang biasa ditemui dimana-mana jalanraya di Malaysia. Mengikut rajah kasar, kedudukannya ditengah antara laluan tidak menghalang laluan sah Plaintif. Sebagaimana keterangan SD2, ianya berfungsi meningkatkan keselamatan dengan memisahkan aliran trafik bertentangan bagi mengelakkan perlanggaran hadapan. Ia juga menyalurkan pergerakan trafik dan bertindak sebagai penghadang fizikal untuk mengurangkan risiko kemalangan serius. Ianya juga dibina mengikut spek yang ditetapkan. Oleh itu, tiada sebarang keperluan untuk meletakkan sebarang tanda amaran khusus untuk memaklumkan pengguna jalanraya mengenai kehadirannya.
33
Daripada keterangan SP1 dan SD2, Mahkamah juga mendapati terdapat pemantul cahaya jalan di sepanjang laluan tersebut. Seperti yang diketahui umum, fungsi pemantul cahaya adalah untuk meningkatkan keselamatan dengan meningkatkan jarak penglihatan pengguna jalanraya, terutamanya pada waktu malam atau ketika cuaca buruk. Ianya juga memantulkan cahaya lampu kenderaan kembali ke sumbernya untuk mengurangkan risiko kemalangan disamping menjadi penanda lorong untuk mengurangkan risiko bahaya.
34
Berdasarkan keterangan-keterangan ini, adalah menjadi dapatan Mahkamah bahawa Plaintif telah pun diberikan amaran yang mencukupi tentang keadaan jalan disitu yang berselekoh dan berkemungkinan mempunyai halangan. Kehadiran jalur rentas kuning tersebut telah bertindak sebagai amaran kepada Plaintif bahawa kawasan tersebut adalah kawasan yang berisiko tinggi dan berbahaya dan Plaintif perlu lebih berhati-hati apabila melalui laluan tersebut. Manakala, kehadiran pemantul Cahaya juga bertindak untuk meningkatkan jarak penglihatan pengguna jalanraya.
35
Berdasarkan alasan-alasan ini, Mahkamah memutuskan bahawa dakwaan Plaintif yang dia tidak diberikan dengan amaran yang mencukupi tentang kehadiran pembahagi jalan tersebut sehingga menyebabkan kemalangan berlaku adalah satu dakwaan yang tidak berasas dan gagal untuk dibuktikan. Malah, keterangan yang dikemukakan juga menunjukkan bahawa pembahagi jalan tersebut tidak langsung menghalang laluan sah Plaintif. Dengan itu, Mahkamah turut bersetuju dengan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen terpelajar bahawa tiada sumbang cuai daripada D1 dan D2.
36
Seterusnya, Plaintif juga mendakwa bahawa kemalangan tersebut turut diakibatkan oleh tindakan D3 dan D4 yang memparkirkan kereta di tepi bahu jalan ditempat kejadian. Akibat Tindakan D3 dan D4 yang meletakkan motokarnya disitu, Plaintif yang hilang kawalan selepas melanggar pembahagi jalan telah melanggar kereta tersebut. Plaintif mendakwa bahawa D3 dan D4 turut menyumbang cuai dalam kemalangan berkenaan.
37
Dalam memutuskan perkara ini, sekali lagi Mahkamah melihat kepada keterangan Pegawai Penyiasat iaitu SP1. Mengikut rajah kasar, lebar laluan A-B adalah 1.7 meter. Semasa disoal balas, SP1 bersetuju bahawa motokar NCJ 6992 diparkir di bahu jalan yang berumput di kawasan A-B tersebut sekaligus menyokong kenyataan D3 dan D4. Dengan keluasan tersebut, adalah munasabah bahawa motokar yang diparkir di bahu jalan berkenaan tidak menghalang laluan Plaintif atau lalu lintas utama.
38
Malah, keterangan saksi-saksi termasuk saksi neutral iaitu Pegawai Penyiasat (SP1) menunjukkan bahawa Plaintif telah melanggar pembahagi jalan terlebih dahulu sebelum melanggar motokar D3. Ini bermakna, pelanggaran dengan motokar D3 berlaku selepas Plaintif telah melanggar pembahagi jalan tersebut. Oleh itu, punca kemalangan adalah kecuaian Plaintif sendiri dan bukannya akibat kecuaian D3.
39
Berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah mendapati bahawa kemalangan tersebut diakibatkan oleh kecuaian Plaintif sendiri. Plaintif sendiri cuai apabila tidak perasaan atau menyedari kewujudan pembahagi jalan walaupun ciri-ciri keselamatan seperti jalur rentas kuning dan pemantul Cahaya telah diletakkan disitu. Kegagalan Plaintif untuk menyedari kewujudan pembahagi jalan tersebut menunjukkan bahawa Plaintif tidak memberi perhatian sewajarnya kepada jalan raya ketika menunggang pada malam hari.
40
Fakta dimana Plaintif terlanggar motokar D3 dan D4 juga bukan disumbang cuai oleh tindakan D3 dan D4 meletakkan kereta tersebut di bahu jalan. Ini adalah kerana terdapat keterangan yang jelas yang menunjukkan bahawa kedudukan motokar tersebut tidak langsung menghalang laluan sah Plaintif.
41
Berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah memutuskan bahawa Plaintif telah gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian sebarang kecuaian oleh Defendan Pertama, Kedua, Ketiga dan Keempat. Oleh itu, Mahkamah ini memutuskan bahawa rayuan Plaintif terhadap liabiliti ditolak dan Keputusan HMS dikekalkan.
42
Berdasarkan kepada laporan-laporan perubatan yang dikemukakan, Plaintif mengalami kecederaan-kecederaan berikut :- i. Severe traumatic brain injury with intracranial bleed. Untuk kecederaan ini, HMS telah mengawadkan gantirugi sejumlah RM100,000, dengan mengambil kira faktor bahawa Plaintif telah pulih dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan boleh Kembali bekerja. ii. Traumatic chest injury with left pneumothorax. Untuk kecederaan ini, HMS telah mengawadkan sejumlah RM7500. iii. Closed left midshaft clavicle fracture. Untuk kecederaan ini, HMS telah mengawadkan sejumlah RM20,000. iv. Laceration wound over left knee. Untuk kecederaan ini, HMS telah mengawadkan sejumlah RM5000. v. Scars (healed scar at the left dorsum measuring 3cm x 7cm and right elbow measuring 3cm x 7 cm, 2 healed scars at mid-patella region measuring 2cm x 4cm and oblique scar measuring 6cm x 3cm of the right knee, 2 healed scars at the inferior pole of the patella measuring 1cm x 4 cm and vertical scar on the left knee measuring 3cm x 7cm. Untuk kesemua kecederaan parut-parut ini, HMS telah mengawadkan sejumlah
43
Meneliti jumlah awad-awad yang telah diberikan oleh HMS terhadap kecederaan di atas, Mahkamah ini memutuskan jumlah tersebut adalah adalah wajar, munasabah dan tidak excessive serta mengikut trend semasa. Atas alasan tersebut, Mahkamah mengekalkan jumlah awad-awad untuk gantirugi am. Gantirugi Khas :- i. Tambang pengangkutan keluarga melawat Plaintif 1 di hospital dan tambang rawatan susulan. HMS telah mengawadkan RM2000 secara global. ii. Kos membeli alatan ortopedik. HMS telah mengawadkan sejumlah RM3600 walaupun kesemua resit telah hilang atas alasan :- - Keterangan laporan perubatan menunjukkan bahawa Plaintif mengalami kecederaan teruk dikepala sehingga tidak dapat menelan. Oleh itu, adalah wajar bahawa Plaintif membelanjakan sejumlah wang untuk membeli perkakas-perkakas tersebut. iii. Kos full nursing care untuk Plaintif – RM2000. - HMS telah mengambilkira bahawa dengan kecedereaan yang dialami Plaintif, Plaintif memerlukan penjagaan sepenuh masa selama tempoh 4 bulan. Oleh itu, HMS telah membenarkan RM500 sebagai kos penjagaan untuk sebulan. iv. Kehilangan pendapatan – HMS telah membenarkan gantirugi kehilangan pendapatan sejumlah RM4000 sebagai gantirugi nominal atas alasan :- - Keterangan Plaintif menyatakan bahawa dia bekerja dengan pendapatan RM1300 semasa kemalangan berlaku dan perkara tersebut tidak dibantah oleh Defendan-Defendan.
44
Mahkamah telah meneliti awad yang diberikan untuk kehilangan gantirugi khas dan memutuskan bahawa jumlah awad-awad tersebut adalah wajar dan patut dikekalkan. Mahkamah menyedari bahawa pemberian awad dibawah kategori gantirugi khas adalah tertakluk kepada prinsip “Special damages must be pleaded with particularity and proved strictly” – (Halsbury’s Laws of England). Dalam kes ini, kesemua awad-awad yang dipohon telah diplidkan, tetapi tidak disokong oleh sebarang keterangan sokongan.
45
Bagaimanapun, Mahkamah berpandangan bahawa dalam mengawadkan jumlah-jumlah tersebut, HMS telah menggunakan kuasa budibicaranya dengan wajar apabila setiap jumlah awad yang diberikan adalah berasaskan keterangan-keterangan sampingan. Eg – kos penjagaan dan pembelian alatan ortopedik telah diberikan bersandarkan kepada laporan perubatan yang mengesahkan keadaan Kesihatan Plaintif yang memerlukan kos-kos tambahan ini.
46
Atas alasan-alasan ini, Mahkamah mengekalkan Keputusan HMS terpelajar dan dengan itu rayuan Plaintif ditolak dengan kos. Bertarikh : 5 Februari 2026 t.t (WAN FADHILAH NOR BINTI WAN IDRIS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya SEREMBAN NEGERI SEMBILAN Peguam bagi pihak Perayu : Abdul Hafiz Bin Yahya Tetuan Norasmadi & Noraini Peguam bagi Responden Pertama : V. Nadaraja Tetuan Isharidah, Ho, Chong & Menon Peguam persekutuan bagi : Mohamad Shafiq Bin Mohd Sazalli Responden Kedua Penasihat Undang-Undang Negeri Peguam bagi Responden Ketiga & :
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.