Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, DARUL TA’ZIM MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO. JA-12B-83-12/2025
JA-12B-83-12/2025
High Court of Malaysia25 Jun 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
What the court ordered
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“Perayu juga bergantung kepada kes Bukit Tinggi Hospital Sdn Bhd & Anor v Navin Sharma Karam Chand & Anor and Another Appeal [2025] 10 CLJ 574 dan Manivannan Nalatamby & Anor v Wong Siew Ling & Ors [2014] CLJU 292 bagi prinsip bahawa ‘loss of support’ mesti dibuktikan secara jelas dan tidak boleh hanya berdasarkan dakwa”
“tidak sepatutnya menafikan tuntutan tersebut. Mereka merujuk kepada kes Mohamed Mat Amin & Ors v Mohd Rabu Ihsan [2002] 5 CLJ 47 dan Fadilah Binti Abd Satar & Satu Lagi v Liaw Geok Eng & Satu Lagi [2018] PILRU 4 bagi prinsip bahawa sumbangan keluarga tidak semestinya dibuktikan melalui resit atau baucar.”
“amah ini berpendapat bahawa jumlah RM7,000.00 adalah bersifat spekulatif dan cenderung kepada pengayaan melampau (unjust enrichment). Berdasarkan prinsip dalam kes Au Meng Kai v. Gan See Sin & Anor [2021] MLRHU 1828, pampasan haruslah bersifat **Note : Serial number will be used to verify the originality of this docume”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, DARUL TA’ZIM MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO. JA-12B-83-12/2025
1
1.
2
LT HAIR & BEAUTY SDN BHD (NO. SYARIKAT: 545340-A) ….PERAYU-PERAYU/DEFENDAN-DEFENDAN DAN 1) YONG LEE YOONG sebagai ibu yang sah dan penanggungan kepada GIGGS TAN KA QING, si mati, untuk diri sendiri 2) YONG LEE YOONG sebagai wakil diri dan/ atau pentadbir kepada harta pusaka GIGGS TAN KA QING, si mati, di bawah seksyen 8 akta undang-undang (pindaan) sibil, 1984 3) ONG CHUN WEI sebagai bapa yang sah dan penanggungan kepada ONG WAN LING si mati, untuk diri sendiri 4) OOI CHIOK PENG sebagai ibu yang sah dan penanggungan kepada ONG WAN LING, untuk diri sendiri …RESPONDEN-RESPONDEN /PLAINTIF-PLAINTIF [DALAM MAHKAMAH SESYEN DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM MALAYSIA WRIT NO: JA-B63KJ-49-03/2024 ANTARA 1) YONG LEE YOONG sebagai ibu yang sah dan penanggungan kepada GIGGS TAN KA QING, si mati, untuk diri sendiri 2) YONG LEE YOONG sebagai wakil diri dan/ atau pentadbir kepada harta pusaka GIGGS TAN KA QING, si mati, di bawah seksyen 8 akta undang-undang (pindaan) sibil, 1984 3) ONG CHUN WEI sebagai bapa yang sah dan penanggungan kepada ONG WAN LING si mati, untuk diri sendiri 4) OOI CHIOK PENG sebagai ibu yang sah dan penanggungan kepada ONG WAN LING, untuk diri sendiri … PLAINTIF-PLAINTIF DAN 1) GAN TENG HUI 2) LT HAIR & BEAUTY SDN BHD (NO. SYARIKAT : 545340-A) ..… DEFENDAN-DEFENDAN] ALASAN PENGHAKIMAN
1
Ini ialah rayuan oleh Perayu-Perayu/Defendan-Defendan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (“HMS”) bertarikh 18.11.2025 yang membenarkan tuntutan Responden- Responden/Plaintif-Plaintif dalam suatu tindakan kemalangan jalan raya maut. Kemalangan ini melibatkan dua orang si mati, iaitu Giggs Tan Ka Qing (“Simati Pertama”) dan Ong Wan Ling (“Simati Kedua”). Simati Pertama ialah pemandu motokar No. JUY 6861, manakala Simati Kedua ialah penumpang dalam motokar tersebut.
2
HMS telah memutuskan liabiliti 100% terhadap Perayu-Perayu dan mengawardkan beberapa kepala tuntutan, termasuk:
a
kehilangan tanggungan (‘dependency claim’) RM384,000.00 kepada Responden Pertama dan Kedua;
b
kehilangan caruman KWSP majikan RM74,880.00;
c
kehilangan caruman KWSP pekerja RM63,360.00; dan
d
‘dependency claim’ RM1,344,000.00 kepada Responden Ketiga dan Keempat.
3
Perayu-Perayu merayu terhadap liabiliti dan empat award kuantum tersebut. Setelah meneliti Rekod Rayuan, Alasan Penghakiman HMS, hujahan pihak-pihak, peruntukan undang-undang dan autoriti yang dirujuk, Mahkamah ini membenarkan rayuan sebahagian sahaja.
4
Kemalangan berlaku pada 5.10.2023 lebih kurang jam 4.15 pagi di KM6.5 Lebuh Ismail Sultan, Iskandar Puteri, Johor. Berdasarkan dapatan HMS, motokar JQH 999 yang dipandu oleh Defendan Pertama telah bergerak secara bertentangan arus, memasuki laluan kenderaan Simati Pertama dan menyebabkan perlanggaran secara berhadapan.
5
HMS menerima keterangan SP1, iaitu Pegawai Penyiasat, bahawa hasil siasatan menunjukkan kenderaan Defendan Pertama bergerak menyongsang arus sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian kedua-dua simati. SP1 juga mengesahkan Defendan Pertama telah dituduh di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. HMS turut menerima keterangan SP2, seorang saksi bebas, bahawa perlanggaran berlaku secara hadapan. HMS juga mengambil kira bahawa SD1 mengakui beliau memandu secara zig-zag sebelum kemalangan berlaku.
6
Bagi kuantum, HMS mengawardkan kehilangan tanggungan (‘dependency claim’) kepada dua kumpulan penanggungan, iaitu Responden Pertama dan Kedua selaku ibu bapa Simati Pertama, dan Responden Ketiga dan Keempat selaku ibu bapa Simati Kedua.
7
Rayuan ini akhirnya tertumpu kepada sama ada award-award tersebut boleh dipertahankan menurut seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956, prinsip penaksiran gantirugi dan prinsip campur tangan Mahkamah yang mendengar Rayuan.
8
Mahkamah ini mendapati isu-isu berikut perlu diputuskan:
i
Sama ada bantahan awal Responden-Responden mempunyai merit;
II
(ii) Sama ada HMS terkhilaf dalam dapatan liabiliti 100% terhadap Perayu-Perayu;
III
(iii) Sama ada HMS terkhilaf dalam mengawardkan kehilangan tanggungan RM384,000.00 kepada Responden Pertama dan Kedua;
IV
(iv) Sama ada HMS terkhilaf dalam mengawardkan kehilangan tanggungan kepada Responden Ketiga dan Keempat; dan
v
Sama ada HMS terkhilaf dalam mengawardkan kehilangan caruman KWSP berjumlah RM138,240.00. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Isu (i): Sama ada bantahan awal Responden-Responden mempunyai merit 9. Responden-Responden membangkitkan bantahan awal bahawa rayuan ini patut ditolak kerana alasan rayuan Perayu-Perayu adalah umum, tidak jelas dan tidak mematuhi kehendak Aturan 55 Kaedah 4(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
10
Responden Ketiga dan Keempat juga menghujahkan bahawa Simati Kedua ialah penumpang yang tidak bersalah (innocent passenger) dan oleh itu rayuan berhubung liabiliti tidak mempunyai asas.
11
Mahkamah ini telah meneliti Memorandum Rayuan dan hujahan bertulis Perayu-Perayu. Walaupun sebahagian alasan rayuan dirangka secara umum, Mahkamah mendapati isu-isu yang ingin dicabar oleh Perayu-Perayu masih boleh dikenal pasti dengan jelas, khususnya liabiliti, ‘dependency claim’, ‘multiplicand’, ‘multiplier’ dan tuntutan kehilangan caruman
12
Aturan 55 Kaedah 4(3) KKM 2012 bertujuan memastikan pihak lawan mengetahui asas rayuan yang dikemukakan. Ia tidak wajar digunakan secara terlalu teknikal untuk menutup hak rayuan apabila isu sebenar masih dapat difahami dan telah dihujahkan sepenuhnya oleh semua pihak. Mahkamah ini juga berpegang kepada prinsip bahawa Aturan 1A dan Aturan 2 Kaedah 1 KKM 2012 bertujuan untuk memastikan keadilan substantif tidak dikorbankan di atas dasar teknikaliti. Dalam kes Syarikat Khidmat Saujana Trading Sdn Bhd v. Bumi Terbit Sdn Bhd [2013] 5 MLRA 339, Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa mahkamah perlu mengimbangi antara keperluan keadilan dengan pematuhan kaedah mahkamah. Memandangkan isu-isu material yang ingin dicabar oleh Perayu masih boleh dikenal pasti dengan jelas oleh Responden dan Mahkamah ini, maka sebarang dakwaan kecacatan pada Memorandum Rayuan tersebut hanyalah merupakan suatu ketidakpatuhan teknikal yang tidak menjejaskan merit rayuan (rujuk juga kes Mahkamah Persekutuan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar Al-Haj v. Datuk Captain Hamzah Mohd Noor & Another Appeal [2009] 1
13
Mahkamah juga mendapati isu ‘innocent passenger’ bukanlah suatu bantahan awal yang melupuskan rayuan. Ia merupakan faktor merit yang perlu dipertimbangkan dalam isu liabiliti. Tambahan pula, memandangkan Simati Kedua adalah seorang penumpang, prinsip dalam kes Muhamad Jafri Jantan & Ors v. Zainal Md Rais [2005] 1 MLRA 48 terpakai, di mana beliau berhak mendapat pampasan penuh (100%) daripada mana-mana pihak yang dibuktikan cuai, walaupun terdapat pembahagian liabiliti antara pemandu-pemandu yang terlibat. Lagipun, Responden gagal menunjukkan bahawa alasan rayuan yang dikatakan umum tersebut telah menyebabkan mereka terprejudis secara material sehingga tidak dapat menyediakan hujahan balas. Keadilan kes ini menuntut agar rayuan ini diputuskan berdasarkan meritnya dan bukan disekat oleh interpretasi aturan yang terlalu ketat. Oleh itu, bantahan awal Responden-Responden ditolak. Mahkamah ini seterusnya meneliti merit rayuan. Isu (ii): Sama ada HMS terkhilaf dalam dapatan liabiliti 100% terhadap Perayu-Perayu.
14
Prinsip campur tangan Mahkamah Rayuan terhadap dapatan fakta Mahkamah Bicara adalah mantap. Dalam kes Gan Yook Chin (P) & Anor v Lee Ing Chin @ Lee Teck Seng & Ors [2005] 2 MLJ 1 (FC), Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa Mahkamah Rayuan tidak wajar campur tangan terhadap dapatan fakta kecuali dapatan itu tidak disokong oleh keterangan, bertentangan dengan berat keterangan, merupakan suatu dapatan yang tidak dapat dipertahankan berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan, atau dibuat berdasarkan salah arah undang-undang. Selain kes Gan Yook Chin (supra), mahkamah ini juga merujuk kepada kes UEM Group Bhd v. Genisys Integrated Engineers Pte Ltd & Anor [2010] 2 MLRA 668, yang menggariskan ujian 'plainly wrong'. Campur tangan hanya dibenarkan jika dapatan HMS tidak dapat dipertahankan berdasarkan penilaian keseluruhan keterangan.
15
Dalam kes ini, dapatan liabiliti HMS disokong oleh beberapa keterangan material. HMS merujuk kepada video dashcam P1 yang menunjukkan kenderaan JQH 999 dipandu bertentangan arus dan bergerak secara zig-zag di lorong kenderaan JUY
6861
6861.
16
HMS turut menerima keterangan SP2 bahawa perlanggaran berlaku secara berhadapan dan keterangan SP1 bahawa kemalangan berpunca daripada kenderaan JQH 999 yang bergerak menyongsang arus. Lebih penting, SD1 sendiri mengakui bahawa arah perjalanannya adalah menyongsang dan beliau memandu secara zig-zag antara lorong tengah dan lorong kanan sebelum kemalangan.
17
Dapatan HMS bahawa kenderaan Perayu-Perayu dipandu secara menyongsang arus mewujudkan suatu kes prima facie kecuaian yang nyata. Berdasarkan prinsip yang ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Lee You Suen v. Liew Lok & Ors [1967] 1 MLRA 481, pemandu yang menceroboh laluan bertentangan adalah bertanggungan sepenuhnya (100%) atas kemalangan yang berlaku. Simati Pertama, yang berada di lorong perjalanannya yang sah, tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk menjangkakan tindakan luar biasa Perayu-Perayu yang memandu secara bertentangan arus. Sebagaimana diputuskan dalam kes Mahkamah Persektuan, Len Omnibus Co Bhd v. North South Transport Sdn Bhd & Anor [1978] 1 MLRA 619, tindakan Simati Pertama dalam saat kecemasan (agony of the moment) yang dicipta sepenuhnya oleh kecuaian Perayu-Perayu tidak boleh dianggap sebagai kecuaian menyumbang. Oleh itu, pencerobohan lorong oleh Perayu-Perayu adalah punca tunggal (sole cause) kemalangan ini.
18
Berdasarkan keseluruhan keterangan dan autoriti undang-undang yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini mendapati bahawa keputusan HMS untuk meletakkan liabiliti 100% ke atas Perayu-Perayu adalah betul dan selamat untuk dikekalkan. Tiada apa-apa salah arah undang-undang atau kekhilafan fakta yang mewajarkan campur tangan Mahkamah ini terhadap dapatan tersebut. Oleh itu, rayuan terhadap liabiliti ditolak. Isu (iii): Sama ada HMS terkhilaf dalam mengawardkan kehilangan tanggungan RM384,000.00 kepada Responden Pertama dan Kedua.
19
Perayu-Perayu mencabar award RM384,000.00 yang dibuat kepada Responden Pertama dan Kedua bagi kehilangan tanggungan Simati Pertama.
20
Prinsip campur tangan terhadap award gantirugi telah dihuraikan dalam kes Rasidin Partojo v Frederick Kiai [1976] 2 MLJ 214 (FC), Tan Kuan Yau v Suhindramani [1985] 2 MLJ 22 (SC) dan United Plywood & Sawmill Ltd v Lock Ngan Loi [1970] 2 MLJ 237 (FC). Mahkamah Rayuan hanya akan campur tangan jika hakim bicara bertindak atas prinsip undang-undang yang salah, tersalah faham fakta, atau membuat anggaran yang jelas tersasar. Autoriti ini turut dirujuk oleh Perayu-Perayu dalam hujahan mereka.
21
Di bawah seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956, tuntutan kehilangan tanggungan adalah untuk menggantikan kehilangan sokongan kewangan sebenar yang dialami oleh penanggungan akibat kematian si mati.
22
Perayu-Perayu berhujah bahawa Simati Pertama mempunyai purata gaji bersih sekitar RM1,576.32 sebulan dan oleh itu tidak munasabah untuk dikatakan beliau menyumbang RM2,000.00 sebulan kepada ibunya. Perayu-Perayu juga bergantung kepada kes Bukit Tinggi Hospital Sdn Bhd & Anor v Navin Sharma Karam Chand & Anor and Another Appeal [2025] 10 CLJ 574 dan Manivannan Nalatamby & Anor v Wong Siew Ling & Ors [2014] CLJU 292 bagi prinsip bahawa ‘loss of support’ mesti dibuktikan secara jelas dan tidak boleh hanya berdasarkan dakwaan lisan semata-mata.
23
Mahkamah ini menerima bahawa tuntutan kehilangan tanggungan tidak boleh diberikan secara spekulatif. Namun, ketiadaan dokumen seperti penyata bank bukan semestinya fatal jika hakim bicara menerima keterangan lisan saksi setelah menilai kredibilitinya.
24
Dalam kes ini, HMS merekodkan bahawa Simati Pertama berpendapatan RM3,000.00 sebulan dan memberi RM2,500.00 kepada Plaintif Pertama untuk perbelanjaan keluarga. Namun award yang akhirnya diberikan bukan berdasarkan RM2,500.00 sebulan, tetapi RM2,000.00 sebulan.
25
Ini menunjukkan bahawa HMS tidak menerima keseluruhan angka yang dikemukakan oleh Responden Pertama, tetapi telah menggunakan angka yang lebih rendah dan lebih konservatif. ‘Multiplier’ 16 tahun juga tidak dipertikaikan secara serius kerana Simati Pertama berumur 19 tahun dan ia selaras dengan seksyen 7(3)(iv)(d) Akta Undang-Undang Sivil 1956.
26
Dalam keadaan ini, Mahkamah ini tidak mendapati award RM384,000.00 adalah terlalu tinggi sehingga menjadi suatu anggaran yang jelas tersasar. Award tersebut masih berada dalam lingkungan munasabah berdasarkan keterangan yang diterima oleh HMS. Oleh itu, rayuan terhadap kehilangan tanggungan RM384,000.00 bagi Responden Pertama dan Kedua ditolak. Isu (iv): Sama ada HMS terkhilaf dalam mengawardkan kehilangan tanggungan RM1,344,000.00 kepada Responden Ketiga dan Keempat.
27
Isu ini merupakan isu kuantum paling penting dalam rayuan ini. HMS telah mengawardkan kepada Responden Ketiga dan Keempat berdasarkan formula: RM7,000.00 × 12 bulan × 16 tahun = RM1,344,000.00.
28
Perayu-Perayu berhujah bahawa ‘multiplicand’ RM7,000.00 adalah terlalu tinggi, spekulatif dan tidak disokong bukti dokumentari yang mencukupi. Menurut Perayu-Perayu, Simati Kedua bekerja di Singapura dengan gaji asas SGD1,700.00 sebulan dan pendapatan bersihnya berubah-ubah mengikut kerja lebih masa. Slip gaji menunjukkan pendapatan bersih yang tidak konsisten dari Mei hingga Oktober 2023.
29
Perayu-Perayu turut berhujah bahawa tiada penyata bank, rekod pengeluaran tunai atau resit penukaran wang yang membuktikan Simati Kedua menyerahkan RM7,000.00 setiap bulan kepada Responden Ketiga dan Keempat. Perayu-Perayu bergantung kepada prinsip dalam kes Bukit Tinggi Hospital Sdn Bhd & Anor v Navin Sharma Karam Chand & Anor and Another Appeal [2025] 10 CLJ 574 bahawa tuntutan ‘loss of support’ memerlukan bukti yang jelas, meyakinkan dan kukuh.
30
Responden Ketiga dan Keempat pula menghujahkan bahawa Simati Kedua memang memberi sumbangan kewangan kepada mereka dan bahawa ketiadaan resit atau dokumen bagi pemberian wang tunai antara anak dan ibu bapa tidak sepatutnya menafikan tuntutan tersebut. Mereka merujuk kepada kes Mohamed Mat Amin & Ors v Mohd Rabu Ihsan [2002] 5 CLJ 47 dan Fadilah Binti Abd Satar & Satu Lagi v Liaw Geok Eng & Satu Lagi [2018] PILRU 4 bagi prinsip bahawa sumbangan keluarga tidak semestinya dibuktikan melalui resit atau baucar.
31
Mahkamah ini menerima prinsip bahawa tuntutan kehilangan tanggungan tidak semestinya gagal hanya kerana tiada resit atau penyata bank bagi setiap pemberian. Dalam konteks hubungan kekeluargaan, pemberian wang secara tunai oleh anak kepada ibu bapa bukan sesuatu yang luar biasa.
32
Namun, Mahkamah juga perlu memastikan award yang diberikan tidak bersifat spekulatif atau melampau. Tuntutan kehilangan tanggungan tetap merupakan tuntutan kewangan yang perlu dibuktikan secara munasabah.
33
Dalam kes ini, keterangan menunjukkan Simati Kedua bekerja di Singapura, memperoleh pendapatan dalam mata wang Singapura dan tinggal bersama ibu saudaranya tanpa sewa. Responden Ketiga dan Keempat berhujah bahawa cara hidup Simati Kedua adalah sederhana dan perbelanjaannya boleh dikawal.
34
Walau bagaimanapun, Mahkamah ini mendapati terdapat merit dalam hujahan Perayu-Perayu bahawa ‘multiplicand’ RM7,000.00 sebulan adalah terlalu tinggi apabila dibandingkan dengan keseluruhan pendapatan Simati Kedua dan keperluan perbelanjaan hidupnya di Singapura.
35
Perayu-Perayu turut menunjukkan bahawa semasa perbicaraan, HMS sendiri membangkitkan persoalan mengenai sama ada Simati Kedua boleh hidup di Singapura dengan baki kira-kira SGD600.00 sebulan selepas menyerahkan sekitar SGD2,200.00 kepada bapanya. Pemerhatian HMS tersebut menunjukkan bahawa isu kos sara hidup Simati Kedua di Singapura adalah material.
36
Pada hemat Mahkamah ini, HMS adalah betul apabila menerima bahawa terdapat kehilangan tanggungan bagi Responden Ketiga dan Keempat. Mahkamah ini tidak menerima hujahan Perayu-Perayu bahawa tiada ‘loss of support’ langsung. Namun, Mahkamah ini mendapati HMS terkhilaf dalam meletakkan ‘multiplicand’ pada kadar RM7,000.00 sebulan. Jumlah tersebut tidak mengambil kira secukupnya perbelanjaan hidup Simati Kedua di Singapura, termasuk makanan, pengangkutan, komunikasi dan cukai pendapatan.
37
Dalam menaksir ‘multiplicand’ yang wajar, Mahkamah ini mengambil kira:
a
pendapatan Simati Kedua dalam mata wang Singapura;
b
keterangan bahawa beliau menyumbang kepada ibu bapanya;
c
ketiadaan sewa kerana tinggal bersama ibu saudara;
d
keperluan perbelanjaan hidup sendiri di Singapura; dan
e
keperluan memastikan pampasan tidak menjadi suatu keuntungan tidak wajar.
38
Setelah menimbang perbelanjaan sara hidup di Singapura dan ketiadaan bukti dokumentari bagi penyerahan wang secara tunai yang konsisten, Mahkamah ini berpendapat bahawa jumlah RM7,000.00 adalah bersifat spekulatif dan cenderung kepada pengayaan melampau (unjust enrichment). Berdasarkan prinsip dalam kes Au Meng Kai v. Gan See Sin & Anor [2021] MLRHU 1828, pampasan haruslah bersifat pampasan (compensatory) dan bukan suatu keuntungan. Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan tersebut. Oleh itu, ‘multiplicand’ RM5,000.00 sebulan adalah lebih munasabah dan adil. Oleh itu, award RM1,344,000.00 diketepikan dan digantikan dengan: RM5,000.00 × 12 bulan × 16 tahun = RM960,000.00. Oleh itu, Rayuan terhadap kehilangan tanggungan Responden Ketiga dan Keempat dibenarkan sebahagian. Isu (v): Sama ada HMS terkhilaf dalam mengawardkan kehilangan caruman KWSP berjumlah RM138,240.00 39. HMS telah mengawardkan kehilangan caruman KWSP berjumlah RM138,240.00 kepada Responden Pertama dan Kedua, iaitu:
a
RM74,880.00 bagi caruman KWSP majikan; dan
b
RM63,360.00 bagi caruman KWSP pekerja.
40
Perayu-Perayu berhujah bahawa award ini bertentangan dengan proviso seksyen 7(3)(i)(b) Akta Undang-Undang Sivil 1956 (pindaan/semakan 1984). Seksyen 7(3) Akta Undang-Undang Sivil 1956 (pindaan/semakan 1986) memperuntukkan bahawa ganti rugi bagi kematian adalah untuk memberi pampasan bagi kehilangan sokongan. Namun proviso seksyen 7(3)(i)(b) secara khusus memperuntukkan bahawa dalam menaksir ganti rugi, Mahkamah tidak boleh mengambil kira: “any sum payable, as a result of the death, under any written law relating to employees’ provident fund”.
41
Pada hemat Mahkamah ini, peruntukan tersebut jelas dan tidak memberi ruang kepada Mahkamah untuk memasukkan kehilangan caruman KWSP sebagai sebahagian daripada kehilangan tanggungan di bawah seksyen 7.
42
Perayu-Perayu juga merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Norhafizah Binti Samad & Anor v Zainor Hisham Bin Ahmad sebagai bapa yang sah dan penanggungan kepada Mohamad Zazwan Shah bin Zainor Hisham, si mati & Anor, Rayuan Sivil No. J-04(W)-167- 06/2020, keputusan bertarikh 24.8.2022, yang mengakas keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Zainor Hisham bin Ahmad (sebagai bapa yang sah dan penanggungan kepada Mohammad Zazwan Shah bin Zainor Hisham, si mati, untuk diri sendiri) & Anor v Norhafizah binti Samad & Anor [2020] 2 PIR 561. Mahkamah Rayuan mengekalkan dapatan bahawa kehilangan caruman KWSP tidak boleh dituntut sebagai kehilangan tanggungan.
43
Oleh itu, HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila membenarkan award kehilangan caruman KWSP berjumlah RM138,240.00. Maka, Rayuan terhadap award KWSP dibenarkan. Award RM74,880.00 dan RM63,360.00 diketepikan.
44
Berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah ini membuat dapatan berikut:
a
Bantahan awal Responden-Responden ditolak;
b
Rayuan terhadap liabiliti ditolak;
c
Kehilangan tanggungan RM384,000.00 kepada Responden Pertama dan Kedua dikekalkan;
d
Kehilangan tanggungan kepada Responden Ketiga dan Keempat dikurangkan kepada RM960,000.00;
e
Award kehilangan caruman KWSP berjumlah RM138,240.00 diketepikan
f
Baki penghakiman HMS yang tidak disentuh oleh rayuan ini dikekalkan.
45
Oleh itu, Mahkamah ini memerintahkan seperti berikut:
a
Rayuan Perayu-Perayu dibenarkan sebahagian;
b
Dapatan liabiliti 100% terhadap Perayu-Perayu dikekalkan;
c
Award kehilangan tanggungan RM384,000.00 kepada Responden Pertama dan Kedua dikekalkan;(d) Award kehilangan caruman KWSP majikan RM74,880.00 diketepikan;
e
Award kehilangan caruman KWSP pekerja RM63,360.00 diketepikan;
f
Award kehilangan tanggungan RM1,344,000.00 kepada Responden Ketiga dan Keempat diketepikan dan digantikan dengan award RM960,000.00;
g
Baki penghakiman Mahkamah Sesyen yang tidak disentuh dalam rayuan ini dikekalkan;
h
Kos adalah RM5,000.00 diberikan kepada Perayu-Perayu, tertakluk kepada allocatur. BERTARIKH 27 JULAI 2026 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Perayu/Plaintif Harjinder Singh a/l Kurdip Singh Tetuan Sabarudin Othman & Ho, Melaka Peguam Bagi Pihak Defendan/ R. Vikneswaran Responden Pertama dan Kedua The Chamber of Waran Kajang, Selangor Peguam Bagi Pihak Defendan/ Teo Han Lay Responden Ketiga dan Keempat Tetuan Teo & Associates Johor Bahru
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.