Content
DI MAHKAMAH SESYEN TELUK INTAN DI DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN AC-62RS-1-05/2025 PP V. GANABATHI A/L KRISHNAN & JAYAGANTHAN A/L MORUGAN
AC-62RS-1-05/2025
Sessions Court of Malaysia18 Sept 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
DI MAHKAMAH SESYEN TELUK INTAN DI DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN AC-62RS-1-05/2025 PP V. GANABATHI A/L KRISHNAN & JAYAGANTHAN A/L MORUGAN
1
PENGENALAN Pertuduhan ke atas OKT-OKT adalah seperti berikut: Pertuduhan pertama “Bahawa kamu bersama-sama, pada 19.4.2025 jam lebih kurang 4.30 petang, bertempat di Lorong Kubur sebelah Klinik Kesihatan Hutan Melintang, 36400 Hutan Melintang, di dalam daerah Bagan Datuk, di dalam negeri Perak Darul Ridzuan, telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap Sarki Sunil, no. passport: 10075371 dengan merompak wang tunai sebanyak RM400 dan (2) bentuk subang telinga emas. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 395 Kanun Keseksaan.” Pertuduhan kedua “Bahawa kamu bersama-sama, pada 19.4.2025 jam lebih kurang 4.30 petang, bertempat di Lorong Kubur sebelah Klinik Kesihatan Hutan Melintang, 36400 Hutan Melintang, di dalam daerah Bagan Datuk, di dalam negeri Perak Darul Ridzuan, telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap Sunar Shanti, no. passport PA0478005 dengan merompak satu (1) bentuk subang hidung emas. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah sesyen 395 Kanun Keseksaan.” Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah seksyen 395 KK, hendaklah dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai dua puluh tahun dan juga dikenakan sebat.
2
2.1 Ringkasan fakta kes ini adalah seperti berikut. Kedua-dua mangsa yang sedang berbasikal di sebuah lorong di sebelah Klinik Kesihatan Hutan Melintang secara tiba-tiba telah diberhentikan oleh dua orang lelaki yang sedang menaiki sebuah motosikal. OKT kedua adalah orang yang memandu motosikal tersebut manakala OKT pertama adalah pembonceng. Kedua-dua OKT kemudiannya memaksa salah seorang mangsa untuk menyerahkan wang tunainya kepada OKT-OKT, sambil kedua-dua OKT menanggalkan subang emas yang dipakai oleh mangsa dari telinganya. Seterusnya, kedua-dua OKT telah memaksa seorang lagi mangsa untuk menyerahkan subang hidung emas yang dipakainya kepada mereka. Setelah itu, OKT-OKT kemudiannya cuba hendak mengambil telefon bimbit mangsa pertama, namun dihalang oleh mangsa. OKT kedua yang marah kerana mangsa tidak bekerjasama kemudiannya menanggalkan helmetnya sendiri dan memukul mangsa pertama menggunakan helmet tersebut di belakang badannya. Kedua-dua mangsa walau bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan basikal mereka meninggalkan tempat itu dan segera pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Hasil laporan tersebut, kedua-dua OKT telah ditangkap dan kemudiannya dituduh di mahkamah pada 6 Mei 2025 atas kesalahan rompakan berkumpulan.
2
2.2 Pada 18 September 2025, OKT kedua telah menukar pengakuannya kepada bersalah kepada kedua-dua pertuduhan. Beliau juga mengesahkan kepada mahkamah bahawa beliau faham Bahasa Malaysia, dan tidak meminta sebarang bantuan jurubahasa Tamil ketika itu. Peguambela bagi OKT pertama yang hadir pada masa itu iaitu Encik Francis Saniappan juga telah bertindak memberi nasihat guaman kepada OKT kedua yang tidak diwakili, di mana selepas itu OKT kedua masih ingin mengaku salah kepada kedua-dua pertuduhan.
2
2.3 Mahkamah telah menerima pengakuan salah beliau dan mensabitkan OKT kedua bersalah atas kedua-dua pertuduhan. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh (7) tahun bermula dari tarikh tangkapan, dan dua (2) kali sebatan bagi setiap pertuduhan yang dikenakan ke atas OKT kedua.
2
2.4 Tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah, OKT kedua telah memfailkan rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
3
3.1 Mahkamah telah mempertimbangkan perkara-perkara berikut di dalam menjatuhkan hukuman terhadap OKT.
3
3.1.1 Rayuan mitigasi oleh OKT Tertuduh merayu agar hukuman yang paling ringan dikenakan ke atasnya kerana beliau yang berusia 27 tahun dan hanya bekerja di sebuah perniagaan cuci kereta, telah berkahwin dan menanggung dua orang anak dan seorang isteri. OKT kedua memberitahu mahkamah bahawa anak pertama beliau berusia 10 tahun dan anak kedua sekarang baru berusia sebulan. Beliau juga memberitahu bahawa beliau menanggung kedua-dua ibubapa beliau.
3
3.1.2 Hujah pendakwaan Timbalan Pendakwaraya telah berhujah bahawa suatu hukuman setimpal haruslah dijatuhkan ke atas OKT agar menjadi suatu pengajaran buat beliau, dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa di dalam kes ini adalah lebih kurang RM1000.
3
3.1.3 Kepentingan awam mestilah diberikan kepentingan yang lebih tinggi berbanding dengan kepentingan peribadi OKT. Kesalahan merompak adalah satu kesalahan yang sangat serius, melibatkan keselamatan dan kesejahteraan orang lain. Suatu hukuman yang berat mesti dijatuhkan kepada pesalah sebegini.
3
3.1.4 Kesalahan merompak berkumpulan juga melibatkan elemen mendatangkan ketakutan kepada mangsa dan juga keganasan, di mana di dalam kes ini OKT kedua telah menyebabkan kecederaan kepada salah seorang mangsa di dalam kes ini dengan menggunakan helmet motosikal.
3
3.1.5 Mahkamah juga telah mengambilkira pengakuan salah OKT kedua yang telah menjimatkan masa dan kos pihak-pihak dalam menentukan hukuman paling sesuai dan munasabah.
4
4.1 Setelah mempertimbangkan sebab-sebab di atas, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan tersebut kepada OKT kedua. NORHAMIZAH BINTI SHAIFFUDDIN
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.