Defendan Pertama tiada hak dan/atau kuasa bagi memindahmilik dan/atau menjual hartanah tersebut kepada Defendan Kedua dan Ketiga kerana beliau bukanlah pemilik sah hartanah tersebut. Doktrin nemo dat qui non habit adalah terpakai. [32] Daripada penyataan tersebut mahkamah berpendapat bahawa tiada sebarang perlakuan frod dan/atau curang didakwa telah dilakukan atau dibutirkan terhadap kedua-dua Defendan. Dalam hal yang demikian, Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan peguam kedua-dua Defendan bahawa apabila tindakan terhadap Siti Rahmah yang dikatakan menyamar sebagai si mati dan merupakan pemula frod ke atas hartanah tersebut telah dibatalkan dan Siti Rahmah juga tidak dijadikan pihak, maka rantaian kausa tindakan frod dan/ atau curang telah terputus dari permulaan lagi. [33] Di dalam guaman ini, kausa tindakan substantif kedua-dua Plaintif adalah berteraskan kepada perlakuan frod dan/atau curang Siti Rahmah dan kedua-dua Defendan menjadi terseret sama rentetan daripada perlakuan tersebut apabila hartanah tersebut dipindahmilik kepada kedua-dua Defendan menerusi Moo Sin Ung. Tetapi apabila perlakuan frod dan /atau curang Siti Rahmah telah tidak lagi boleh berdiri atau menjadi tidak relevan, maka di dalam kedudukan ini adalah menjadi dapatan mahkamah ini bahawa kedua-dua Defendan 31 tidak boleh di katakan lagi berkait atau terseret dengan mana-mana perlakuan frod dan/atau curang. [34] Tambahan kepada itu lagi, apa yang jelas dan terang di sini adalah apabila Siti Rahmah tidak dijadikan pihak dan fakta penyamaran Siti Rahmah telah diputuskan oleh mahkamah di dalam Guaman 1 apabila permohonan Siti Rahmah untuk membatalkan tindakan terhadapnya dibenarkan dan tiada rayuan telah difailkan terhadap keputusan itu, maka kesimpulan daripada keputusan mahkamah dalam Guaman 1 adalah perlakuan frod dan/atau curang Siti Rahmah yang menyamar sebagai si mati tidak wujud. Dengan demikian asas perlakuan dan/atau curang substantif atau pelaku frod pemula menjadi tidak wujud serta tidak berbangkit. [35] Di samping itu, terdapat perbezaan di antara pembatalan tindakan kedua-dua Plaintif terhadap kedua-dua Defendan dan pembatalan tindakan kedua-dua Plaintif terhadap Siti Rahmah. Tuntutan kedua-dua Plaintif terhadap kedua-dua Defendan telah dibatalkan oleh mahkamah atas kegagalan kedua-dua Plaintif memplidkan frod ke atas kedua-dua Defendan dan ianya dengan kebebasan memfailkan semula, maka perintah tersebut tidak menghalang pemfailan semula tindakan terhadap kedua-dua Defendan. Tetapi di dalam kes Siti Rahmah, butiran-butiran frod dan/atau curang Siti Rahmah telah diperincikan oleh kedua-dua Plaintif di dalam Penyataan Tuntutan mereka di dalam Guaman 1 dan di dalam permohonan Siti Rahmah membatalkan tindakan kedua-dua Plaintif terhadapnya, Siti Rahmah telah mengemukakan alasan-alasan utama iaitu beliau tidak pernah 32 memiliki Hartanah tersebut, tidak menyamar sebagai Siti binti Hj Mohamed Yusof dan tidak pernah memindahmilik Hartanah tersebut secara frod dan/atau curang kepada Moo Sin Ung. Oleh itu apabila mahkamah memerintahkan bahawa tindakan kedua-dua Plaintif terhadap Siti Rahmah dibatalkan, kesimpulan yang tidak dapat dielakkan adalah isu-isu yang dibangkitkan terhadap Siti Rahmah yang berkisar atau berkait mengenai perlakuan frod dan/atau curang yang kononnya Siti Rahmah telah menyamar sebagai Siti binti Mohd Yusof dan memindahmilik hartanah tersebut kepada Moo Sin Ung telah diputuskan oleh mahkamah bagi mendorong mahkamah membuat keputusan membenarkan permohonan Siti Rahmah. Apabila tindakan terhadap Siti Rahmah ini dibatalkan dan tiada rayuan terhadap keputusan tersebut, maka isu-isu berkaitan dengan penyamaran Siti Rahmah tidak lagi boleh ditimbulkan oleh kedua-dua Plaintif di dalam guaman ini kerana pertamanya, Siti Rahmah tidak dijadikan sebagai pihak di dalam guaman ini dan keduanya, isu-isu adalah satu non issue dan tidak boleh dijadikan isu lagi kerana apabila permohonan pembatalan tindakan oleh Siti Rahmah yang dibenarkan oleh mahkamah di dalam Guaman 1, fakta penyamaran Siti Rahmah tidak berlaku, tidak wujud ataupun tidak timbul. Dengan ketidakwujudan dan ketiadaan pelaku frod pemula, keseluruhan kausa tindakan kedua-dua Plaintif terhadap kedua-dua Defendan di dalam guaman ini dengan ini tidak dapat dipertahankan. Justeru kedua-dua Plaintif mestilah dihalang daripada membangkitkan fakta penyamaran Siti Rahmah yang tidak wujud dan tidak berkait lagi dengan pembelian hartanah tersebut oleh kedua-dua Defendan. Atas alasan-alasan ini, adalah menjadi dapatan mahkamah ini 33 bahawa apabila pemula frod dan/atau curang atau perlakuan frod dan/atau curang asas dan substantif tidak wujud semestinya intipati-intipati untuk membentuk frod dan/atau curang terhadap kedua-dua Defendan tidak mungkin dapat dibuktikan oleh kedua-dua Plaintif kerana samada terdapat atau tidak perlakuan frod dan/atau curang di pihak kedua-dua Defendan ianya bergantung rapat ke atas pemula frod dan/atau curang. Dalam hal ini, suka saya merujuk kepada petikan di dalam Clerk & Lindsell on Torts, 17th edition @ 2-24, 2- 26 yang diperturunkan berikut: “This concept of novus actus interveniens acts in this manner: If a particular consequence of the defendant’s wrongdoing is attributable to some independent act or event which supersedes the effect of the initial tortuous conduct, then the defendant’s responsibilities may not extend to the consequences of the supervening event. In short, if there is a break in the chain of causation then the original wrong doer is not liable for starting the wrong.” Walaupun petikan merujuk kepada tort kecuaian, prinsip atau konsep novus actus interveniens boleh dijadikan panduan. [36] Dengan ini, apabila ianya jelas dan terang bahawa kedua-dua Plaintif tidak mempunyai apa-apa kausa tindakan yang munasabah terhadap kedua-dua Defendan, mahkamah ini hendaklah menggunakan kuasa budibicaranya untuk membatalkan tindakan kedua-dua Plaintif terhadap kedua-dua Defendan. 34 [37] Berdasarkan dapatan-dapatan di atas dan di mana proses pindahmilik hartanah tersebut kepada kedua-dua Defendan adalah sempurna, betul dan sah di sisi undang-undang serta atas kedudukan kedua-dua Defendan sebagai tuanpunya berdaftar hartanah tersebut, hakmilik kedua-dua Defendan ke atas hartanah tersebut adalah hakmilik yang tidak boleh sangkal (indefeasible). Dalam hal ini juga, doktrin nemo dat qui non habet yang menjadi sandaran kedua-dua Plaintif adalah tidak terpakai dan tidak relevan. [38] Mahkamah ini bersependapat dengan peguam kedua-dua Defendan bahawa kedua-dua Plaintif di dalam cubaan mendapatkan remedi ekuiti dengan pemfailan guaman ini, telah di dalam penyata tuntutan mereka tidak mendedahkan fakta-fakta yang sebenar yang berkisar di dalam Guaman 1 dan mengecualikan Siti Rahmah binti Mohd Yusof daripada dijadikan sebagai seorang Defendan dalam guaman ini. Mahkamah ini berpendapat bahawa tindakan sebegini sememangnya mencerminkan niat jahat mala fide kedua-dua Plaintif dan mereka telah datang ke mahkamah ini dengan tangan yang tidak bersih( unclean hands). [39] Berkenaan batasan masa pula, di hadapan mahkamah ini tiada sebarang dokumen yang telah dieksibitkan oleh kedua-dua Plaintif untuk menyokong pengataan mereka yang mereka telah menemui perlakuan frod atau pemindahmilikan berunsur frod pada 24.8.2011 semasa Plaintif Kedua membayar cukai taksiran hartanah tersebut di MPS dan dengan ketiadaan lain-lain dokumen yang menyatakan selainnya, maka sekiranya benar Plaintif Kedua adalah pentadbir 35 pusaka si mati, benarlah seperti dihujahkan peguam kedua-dua Defendan tindakan kedua-dua Plaintif ini telah difailkan di luar had masa yang dibenarkan oleh undang-undang kerana si mati telah meninggal dunia sejak 2.3.1972 lagi. Kedua-dua Plaintif khususnya Plaintif Pertama telah gagal mentadbirkan pusaka si mati untuk tempoh yang begitu lama. Jika dikira dari tarikh kematian si mati sehingga pemfailan tindakan ini pada tahun 2014, tempoh masanya telah melebihi 42 tahun. Dengan tempoh masa yang begitu lama ini, tidak syak lagi tindakan kedua-dua Plaintif adalah dihalang oleh batasan masa undang-undang. [40] Berdasarkan alasan-alasan di atas, adalah jelas dan terang tindakan kedua-dua Plaintif adalah mengaibkan, remeh atau menyusahkan (“scandalous, frivolous or vexatious) dan adalah suatu penyalahgunaan proses Mahkamah (“abuse of process of the Court). Justeru itu, tindakan kedua-dua Plaintif terhadap kedua-dua Defendan adalah satu tindakan yang sesuai untuk dibatalkan oleh mahkamah ini menurut A.18 K. 19 (a), (b) dan (d) KKM 2012. Mahkamah ini membenarkan Kandungan 6 dan setelah mendengar hujahan ringkas mengenai kos, kedua-dua Plaintif diperintahkan membayar kos sebanyak RM8000.00 kepada kedua-dua Defendan. 36 t.t. ..................................................... (DATUK AZIMAH BINTI OMAR) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam (LJC) Selangor Darul Ehsan Bertarikh 06 Januari 2015 Peguam Plaintif - Tetuan Richard Tee & Chin Encik Richard Tee Cik Caryn Shua Yee Hann Peguam Defendan -