Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN MALAYSIA BAHAGIAN DAGANG (NCC 5)
/akn/my/judgment/high-court/2026/da436fc7-3f85-45c7-b26a-61e352461955
High Court of Malaysia28 Apr 2026WA-12BNCC-31-12/2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“16. Kes Perayu-Perayu berbeza secara material daripada Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd v Suria TWT Enterprise Sdn Bhd [2024] MLJU 361. Dalam kes Sime Darby, terdapat hubungan pengedaran yang sah di mana pengedar bertindak sebagai conduit pipe bagi waranti prinsipal pembuat. Di sini, portal Responden sendiri menyataka”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN MALAYSIA BAHAGIAN DAGANG (NCC 5)
1
ANTARA HLK (CHAIN-STORE) SDN BHD (No. Syarikat: 199901018165 (493065-H))
2
HLK SUPERSTORE SDN BHD (No. Syarikat: 1019672-A) … PERAYU-PERAYU DAN STEADFAST ADVISORY (M) SDN BHD (No. Syarikat: 201101021706 (949844-X)) … RESPONDEN (Mendengar Rayuan daripada Keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dalam Kes Saman Sivil No: WA-B52NCC-110-05/2022 oleh Hakim Mahkamah Sesyen Puan Wan Nor Aklima Binti Wan Salleh pada 20 November 2025) ALASAN PENGHAKIMAN
1
Rayuan ini ialah rayuan oleh kedua-dua Perayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bertarikh 20 November 2025 yang menolak tuntutan mereka terhadap Responden sebanyak RM775,788.09 (oleh Perayu Pertama) dan RM12,265.00 (oleh Perayu Kedua), berserta faedah dan kos, atas dakwaan pelanggaran kontrak berkaitan dengan suatu Program Waranti Lanjutan (Extended Warranty Programme, selepas ini "EWP"). Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak dan meneliti rekod rayuan, Mahkamah ini menolak rayuan dengan kos sebanyak RM8,000.00 tertakluk kepada alokatur. Alasan-alasan penolakan dinyatakan di bawah.
2
Pada amnya, persoalan pokok yang perlu ditentukan ialah sama ada Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana (selepas ini "HMS") secara nyata salah dalam dapatannya bahawa:
a
(a) tiada priviti kontrak antara Perayu-Perayu dan Responden;
b
(b) EWP secara substantif merupakan kontrak insurans yang diunderait oleh penanggung insurans berlesen; dan
c
(c) Perayu-Perayu tidak mempunyai locus standi untuk menguatkuasakan hak-hak yang terletak pada pelanggan-pelanggan mereka. II. FAKTA LATAR BELAKANG
3
Perayu-Perayu ialah peruncit barangan elektrik dan elektronik yang mula menyertai EWP masing-masing pada September 2016 (Perayu Pertama) dan Mac 2018 (Perayu Kedua). Responden pula ialah pengendali suatu portal dalam talian yang mengeluarkan sijil waranti lanjutan kepada pengguna akhir, dengan risiko di bawah waranti tersebut diunderait oleh dua syarikat insurans berlesen iaitu Progressive Insurance Berhad ("PIB") dan Archipelago Insurance Limited ("AIL").
4
Perayu-Perayu tidak memplidkan sebarang perjanjian peruncit atau perjanjian portal yang rasmi dan berasingan antara mereka dan Responden. Pergantungan mereka, dari segi dokumen, ialah kepada:
a
(a) Sijil E-Warranty yang dikeluarkan atas nama pengguna;
b
(b) invois dan nota debit yang dikeluarkan oleh Responden kepada Perayu-Perayu; dan
c
(c) representasi pemasaran di laman web dan brosur Responden mengenai program "hassle-free".
5
Cara operasi EWP adalah seperti berikut. Apabila seseorang pengguna membeli barangan daripada Perayu-Perayu, perlindungan waranti lanjutan ditawarkan kepada pengguna tersebut bagi tempoh selepas tamatnya waranti pengeluar. Bayaran dikenakan menurut jadual harga berperingkat — contohnya RM6.00 (bagi perlindungan RM1 hingga RM100), RM12.00 (RM101 hingga RM200), dan RM23.00 (RM201 hingga RM400). Bagi setiap perlindungan, Sijil E-Warranty dikeluarkan atas nama pengguna sebagai pihak yang dilindungi. Liabiliti penanggung insurans di bawah polisi adalah terhad; contohnya, syarat polisi AIL mengehadkan tanggungan kepada peratusan tertentu — 25% atau 75% — daripada kerugian, tertakluk kepada harga belian.
6
Sekitar April 2021, semasa pelaksanaan lockdown Covid-19, proses tuntutan pembaikan mula mengalami kelewatan dan tuntutan terhenti diproses. Atas alasan-alasan komersial bagi menjaga nama baik kedai, Perayu-Perayu memilih untuk membayar sendiri kos pembaikan dan/atau penggantian barangan tersebut, lalu menanggung kos alat ganti, pengangkutan, penyimpanan, dan pentadbiran yang kini dituntut.
7
Pada 17 Disember 2021 dan 10 Mac 2022, Perayu-Perayu melalui peguam cara mereka menghantar surat tuntutan (Letters of Demand) kepada Responden. Surat-surat tersebut secara bertulis menyifatkan EWP tersebut sebagai "managed by Steadfast" (dikendalikan oleh Responden) dan "underwritten by Progressive Insurance Bhd / Archipelago Insurance Ltd". Apabila Responden enggan membayar dan seterusnya menyekat akses portal Perayu-Perayu pada Februari 2022, Perayu-Perayu memulakan tindakan di Mahkamah Sesyen yang akhirnya ditolak setelah perbicaraan penuh.
8
Hujah Perayu-Perayu boleh diringkaskan kepada tiga bahagian : Pertama, suatu kontrak antara mereka dan Responden terbentuk secara konstruktif menerusi gabungan representasi laman web, brosur, invois dan nota debit Responden, dan sijil-sijil EWP yang dikeluarkan; Kedua, EWP merupakan suatu program perkhidmatan (service programme) dan bukan kontrak insurans; Ketiga, mereka berhak ke atas pampasan kerugian sebenar yang telah mereka tanggung apabila menunaikan janji "hassle-free" kepada pelanggan. Mereka bergantung antara lain kepada Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd v Suria TWT Enterprise Sdn Bhd [2024] bagi hujahan bahawa dokumen pemasaran boleh menjadi terma kontrak.
9
Sebaliknya, Responden berhujah bahawa: Pertama, EWP secara substantif ialah kontrak insurans yang mengandungi unsur-unsur premium, kontingensi dan indemniti, dan diunderait oleh penanggung insurans berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013; Kedua, Sijil E-Warranty dikeluarkan atas nama pengguna, bukan Perayu-Perayu, dengan akibat tiada priviti kontrak antara Perayu dan Responden; Ketiga, Perayu-Perayu juga tidak berhak menuntut sebagai penerima serah hak (assignee) kerana tiada penyerahan hak mutlak yang memenuhi syarat-syarat seksyen 4(3) Akta Undang-Undang Sivil 1956; Keempat, surat tuntutan bertarikh 17 Disember 2021 dan 10 Mac 2022 yang menyifatkan Responden sebagai "ejen atau pengurus" ialah pengakuan kontemporari Perayu-Perayu sendiri; dan Kelima, pembayaran yang dibuat oleh Perayu-Perayu kepada pelanggan adalah tanggungan kerugian secara sukarela yang tidak boleh dipulihkan daripada Responden.
10
IV. ISU UNTUK PENENTUAN Mahkamah ini mengenal pasti tiga isu yang perlu ditentukan: i. Sama ada wujud suatu kontrak antara Perayu-Perayu dan Responden yang boleh menyokong tuntutan pelanggaran kontrak, dan dalam konteks ini, sama ada EWP secara undang-undangnya merupakan kontrak insurans; ii. Sama ada Perayu-Perayu mempunyai locus standi untuk menguatkuasakan hak di bawah Sijil E-Warranty tanpa penyerahan hak yang sah; dan iii. Sama ada HMS secara nyata salah dalam dapatan-dapatan beliau sehinggakan mewajarkan campur tangan rayuan.
11
V. PRINSIP UNDANG-UNDANG Beban dan darjah pembuktian. Beban pembuktian terletak ke atas Perayu-Perayu sebagai plaintif di peringkat asal. Darjah pembuktian dalam suatu tindakan sivil ialah imbangan kebarangkalian — iaitu, sama ada fakta yang didakwa lebih berkemungkinan benar daripada tidak benar — sebagaimana yang dirumuskan dalam Miller v Minister of Pensions [1947] 2 All ER 372.
12
Ujian campur tangan rayuan. Suatu mahkamah rayuan akan campur tangan terhadap dapatan mahkamah bicara hanya apabila keputusan tersebut nyata salah, termasuk dalam keadaan tiada atau tidak mencukupi penghargaan kehakiman terhadap keterangan: Gan Yook Chin (P) & Anor v Lee Ing Chin @ Lee Teck Seng & Ors [2004] 4 CLJ 309. Selanjutnya, mahkamah rayuan akan lebih cermat untuk mengganggu dapatan fakta yang berasaskan kredibiliti saksi yang dilihat dan didengar oleh mahkamah bicara: Abdul Rahim bin Abdul Hamid & Ors v Perdana Merchant Bankers Bhd & Ors [2004] 4 CLJ 613.
13
Penyerahan hak. Seksyen 4(3) Akta Undang-Undang Sivil 1956 memperuntukkan secara penuh bahawa mana-mana penyerahan hak mutlak secara bertulis di bawah tangan penyerah hak bagi apa-apa hutang atau legal chose in action yang lain, yang mana notis nyata secara bertulis telah diberikan kepada penghutang, adalah sah di sisi undang-undang untuk memindahkan hak di sisi undang-undang tersebut. Tanpa pematuhan kepada syarat bertulis dan notis ini, penerima hak tidak mempunyai hak untuk menuntut di atas namanya sendiri.
14
Kontrak insurans. Suatu kontrak dianggap kontrak insurans apabila ia mengandungi tiga unsur intipati: (i) premium yang dibayar; (ii) kontingensi atau peristiwa tidak pasti pada masa depan; dan (iii) indemniti. Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 melarang sesiapa daripada menjalankan perniagaan insurans di Malaysia melainkan ia diberi lesen oleh Bank Negara Malaysia. Pencirian sesuatu produk tidak ditentukan oleh label semata-mata, tetapi oleh substansi pengaturan tersebut. VI. ANALISIS DAN DAPATAN Isu (i) — Kewujudan kontrak antara Perayu dan Responden serta Sifat
15
EWP Mahkamah ini mendapati bahawa Perayu-Perayu telah gagal membuktikan sebarang perjanjian rasmi yang memberikan hak kontraktual kepada mereka terhadap Responden bagi pelaksanaan obligasi pembaikan. Pergantungan kepada representasi laman web, brosur dan invois tidak mencukupi untuk mewujudkan kontrak utama antara peruncit dan pengurus portal.
16
Kes Perayu-Perayu berbeza secara material daripada Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd v Suria TWT Enterprise Sdn Bhd [2024] MLJU 361. Dalam kes Sime Darby, terdapat hubungan pengedaran yang sah di mana pengedar bertindak sebagai conduit pipe bagi waranti prinsipal pembuat. Di sini, portal Responden sendiri menyatakan secara nyata bahawa EWP merupakan suatu kontrak insurans, di mana risiko substantif ditanggung oleh PIB dan AIL. Responden bukan prinsipal yang memikul liabiliti waranti, tetapi semata-mata pengendali platform.
17
Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS bahawa EWP secara substantif ialah kontrak insurans. Ketiga-tiga unsur intipati wujud: i. Premium: Jadual harga berperingkat (RM6, RM12, RM23) berfungsi sebagai premium kerana dikira berdasarkan tahap risiko (nilai barangan), bukan kos pelaksanaan perkhidmatan rata. ii. Kontingensi: Perlindungan diaktifkan hanya apabila berlaku kerosakan masa hadapan yang tidak pasti selepas waranti pengeluar tamat. iii. Indemniti: Polisi AIL secara jelas mengehadkan liabiliti kepada peratusan tertentu (25% atau 75%) daripada kerugian. Suatu kontrak perkhidmatan tulen tidak akan mempunyai had liabiliti berbentuk peratusan sedemikian. Memandangkan Responden tidak mempunyai lesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, pencirian EWP sebagai program perkhidmatan oleh Perayu-Perayu bagi meletakkan liabiliti prinsipal kepada Responden adalah salah dari segi fakta dan undang-undang.
18
Isu (ii) — Locus Standi Perayu-Perayu dan Tanggungan Sukarela Pihak yang dilindungi di bawah Sijil E-Warranty ialah pelanggan runcit akhir, bukan Perayu-Perayu. Hak untuk menuntut manfaat merupakan chose in action yang terletak pada pelanggan. Tanpa penyerahan hak yang memenuhi syarat bertulis dan notis di bawah Seksyen 4(3) Akta Undang-Undang Sivil 1956, Perayu-Perayu tidak boleh melangkah masuk ke dalam kasut pelanggan untuk menguatkuasakan sijil tersebut secara langsung.
19
Sebarang pembayaran yang dibuat oleh Perayu-Perayu kepada pelanggan mereka — dalam keadaan tiada obligasi kontraktual langsung daripada Responden — adalah, dari segi undang-undang, tanggungan kerugian secara sukarela (voluntary assumption of liability). Perayu-Perayu bertindak sebagai volunteers. Walaupun motivasi komersial mereka untuk mengekalkan nama baik dengan pelanggan boleh difahami, tindakan tersebut tidak boleh dipindahkan menjadi suatu hak undang-undang untuk menuntut ganti rugi daripada Responden.
20
Kebergantungan Perayu-Perayu kepada Tekun Nasional v Plenitude Drive (M) Sdn Bhd [2021] 6 MLJ 619 adalah tidak tepat. Prinsip Tekun Nasional berkenaan dengan taksiran kerugian sebenar selepas pelanggaran kontrak telah dibuktikan. Di sini, persoalan tahap pertama — sama ada wujud kontrak yang dilanggar antara Perayu dan Responden — terjawab secara negatif.
21
Isu (iii) — Penghargaan Keterangan dan Campur Tangan Rayuan Surat tuntutan Perayu-Perayu sendiri bertarikh 17 Disember 2021 dan 10 Mac 2022 secara nyata menyifatkan Responden sebagai "ejen atau pengurus untuk penanggung-penanggung insurans". Ini merupakan pengakuan kontemporari (contemporaneous admission) yang konsisten dengan pencirian Responden sebagai pengendali portal, dan bukannya prinsipal yang menanggung risiko.
22
Mahkamah ini berpuas hati bahawa HMS telah menimbang keterangan dengan teliti, mengenal pasti dengan betul unsur-unsur kontrak insurans, dan menerapkan dengan betul keperluan Seksyen 4(3) Akta Undang-Undang Sivil 1956. Tiada lompang penghargaan kehakiman yang boleh menunjukkan bahawa HMS "plainly wrong" di bawah prinsip Gan Yook Chin. Pemerhatian Secara Obiter
23
Secara pemerhatian sahaja (obiter dicta), sekiranya hujah restitusi atau unjust enrichment (pengayaan tidak adil) dibangkitkan sekalipun, ia akan gagal memandangkan tiada paksaan undang-undang atau permintaan rasmi daripada Responden kepada Perayu-Perayu untuk membuat pembayaran tersebut. Manfaat premium juga tidak disimpan oleh Responden sebaliknya dialirkan kepada underwriter utama (PIB/AIL).
24
VII. KESIMPULAN DAN PERINTAH Atas alasan-alasan di atas, Mahkamah ini menolak rayuan ini secara keseluruhannya. Keputusan Mahkamah Sesyen bertarikh 20 November 2025 adalah dikekalkan.
25
Perayu-Perayu hendaklah membayar kepada Responden kos rayuan ini sejumlah RM8,000.00 secara global, tertakluk kepada alokatur, di bawah Aturan 59 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Penetapan kos ini mengambil kira volum rekod rayuan yang ekstensif, kerumitan pencirian produk insurans vs perkhidmatan, serta nilai tinggi tuntutan asal yang menghampiri RM800,000.00.
26
VIII. PENGHARGAAN Mahkamah ini merakamkan penghargaan kepada peguam cara kedua-dua pihak atas hujahan bertulis dan lisan yang teliti dan berguna dalam penentuan rayuan ini. Dated 4hb June 2026 (MOHAMAD REDZUAN BIN IDRUS) JUDICIAL COMMISSIONER KUALA LUMPUR HIGH COURT NCC 5 WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR KEHADIRAN: ● Bagi pihak Perayu-Perayu: Tee Kuo Ying & Dayana Batrisya Shaharuddin (K C Lim Advocate & Solicitors (Subang jaya)) ● Bagi pihak Responden: Ramesh A/L Kanapathy & Lim Li Huang (Chellam Wong Advocate & Solicitors (Kuala Lumpur))
1
Abdul Rahim bin Abdul Hamid & Ors v Perdana Merchant Bankers Bhd & Ors [2004] 4 CLJ 613 (MR)
2
Gan Yook Chin (P) & Anor v Lee Ing Chin @ Lee Teck Seng & Ors [2004] 4 CLJ 309; [2005] 2 MLJ 1 (MP)
3
Miller v Minister of Pensions [1947] 2 All ER 372 4. Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd v Suria TWT Enterprise Sdn Bhd [2024] MLJU 361 5. Tekun Nasional v Plenitude Drive (M) Sdn Bhd [2021] 6 MLJ 619
1
Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), Seksyen 8 2. Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Akta 67), Seksyen 4(3)
3
Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, Aturan 59
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.