Content
1 Dalam Mahkamah Tinggi Malaya Di Johor Bahru Dalam Negeri Johor Darul Ta’zim Rayuan Sivil No: JA-12B-42-06/2023 Antara
JA-12B-42-06/2023
High Court of Malaysia11 Aug 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 Dalam Mahkamah Tinggi Malaya Di Johor Bahru Dalam Negeri Johor Darul Ta’zim Rayuan Sivil No: JA-12B-42-06/2023 Antara
4
DR SIVAGANESH A/L SIVARAMAN …PERAYU-PERAYU DAN NIRWANA TAMBA (P) (Paspot Indonesia No. B7204465) bertindak bagi pihak dirinya sendiri dan bagi pihak anaknya yang telah meninggal dunia, TABITA ANAK NELSON …RESPONDEN [Dalam Mahkamah Sesyen Di Johor Bahru Dalam Negeri Johor Darul Ta’zim Guaman No: JA-B51NCvC-2-02/2019 Antara NIRWANA TAMBA (p) (Paspot Indonesia No. B7204465) bertindak bagi pihak dirinya sendiri Dan bagi pihak anaknya yang telah meninggal dunia, TABITA ANAK NELSON …Plaintif
6
DR SIVAGANESH A/L SIVARAMAN …Defendan-Defendan Alasan Penghakiman (Rayuan Silang oleh Responden/Plaintif) PENDAHULUAN [1] Di hadapan Mahkamah ini pada asalnya merupakan rayuan Perayu-Perayu/Defendan-Defendan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (“HMS”) yang telah membenarkan tuntutan gantirugi kecuaian perubatan oleh Responden. Rayuan Perayu-Perayu adalah terhadap kedua-dua isu liabiliti dan kuantum. [2] Dalam masa yang sama, Responden juga telah memfailkan rayuan balas, cuma terhadap kuantum gantirugi bagi item-item tertentu sahaja. [3] Di akhir pendengaran rayuan, Mahkamah ini telah mengekalkan keputusan HMS sekaligus menolak rayuan Perayu-Perayu dengan kos dan juga rayuan balas Responden tanpa perintah untuk kos. [4] Perayu-Perayu dan Responden kemudiannya telah memfailkan rayuan masing-masing ke Mahkamah Rayuan. Namun demikian, Perayu-Perayu kemudiannya telah menarik balik keseluruhan rayuannya yang tersebut. [5] Maka, alasan penghakiman ini disediakan hanya bagi keputusan rayuan balas Plaintif ke Mahkamah ini sahaja, iaitu mengenai kuantum gantirugi bagi item-item tertentu yang akan dibutirkan dengan lanjut selepas ini. [6] Sebagai kemudahan, pihak-pihak akan dirujuk sebagai mana kedudukan asal masing-masing di peringkat Mahkamah Sesyen iaitu Responden sebagai Plaintif dan Perayu-Perayu sebagai Defendan-Defendan. FAKTA KES [7] Pada 24.5.2017 Plaintif telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (“HSA”) untuk bersalin secara normal bagi anak ketiganya seperti yang telah dijadualkan. Kehamilannya dikatakan sebagai berkembang dengan baik dan janin berada dalam keadaan baik. Beliau juga telah menjalani rawatan antenatal secara berkala di klinik swasta dan kerajaan. [8] Namun dalam tempoh kurang daripada 12 jam di hospital untuk kelahiran, janinnya mengalami kerosakan otak akibat kekurangan oksigen ke otak (hypoxia). Rahim, pundi kencing dan vagina Plaintif mengalami koyakan yang teruk dan beliau terpaksa menjalani pembedahan caesarean kecemasan. [9] Semasa di dewan bedah, tangan kiri Plaintif juga mengalami kecederaan yang serius. Empat hari kemudian, bayi perempuan Plaintif meninggal dunia akibat komplikasi daripada kerosakan otak. Plaintif sendiri, selain kecederaan-kecederaan yang dinyatakan sebelum ini, turut mengalami gangguan trauma dan kemurungan akibat kejadian tersebut. [10] Di akhir perbicaraan, HMS memutuskan bahawa kesemua Defendan (kecuali Defendan Ketiga dan Defendan Keempat) cuai dengan tanggungan liabiliti 100% dalam pengurusan antenatal serta ketika proses kelahiran Plaintif dan selanjutnya mengawardkan gantirugi-gantirugi berikut:-
i
Gantirugi am untuk kesakitan dan penderitaan serta kehilangan kemudahan hidup RM300,000.00;
II
(ii) Gantirugi teruk RM250,000.00;
III
(iii) Gantirugi khas RM30,380.00;
IV
(iv) Faedah atas gantirugi am dan gantirugi teruk pada kadar 5% setahun dari tarikh penyampaian Writ iaitu 27.2.2019 sehingga tarikh penghakiman iaitu 31.5.2023;
v
Faedah atas gantirugi khas pada kadar 2.5% setahun dari tarikh 24.5.2017 sehingga tarikh penghakiman;
VI
(vi) Faedah atas jumlah penghakiman pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh; dan
VII
(vii) Kos RM25,000.00 [11] Seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, rayuan balas Plaintif adalah untuk kuantum sahaja dan item-item yang dirayu telah diplidkan dalam Notis Rayuan Balas Plaintif seperti berikut:
a
Awad gantirugi am untuk kesakitan dan penderitaan serta kehilangan kemudahan hidup diubah kepada RM500,000.00;
b
Awad gantirugi am untuk gantirugi teruk diubah kepada RM300,000.00;
c
Kos tindakan diubah kepada RM40,000.00 dan
d
Awad untuk kos perbelanjaan (out of pocket expenses) diberikan di bawah A.59 k.7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 [12] Sebagaimana juga yang dinyatakan sebelum ini, Mahkamah ini di akhir pendengaran telah mengekalkan keputusan HMS, maka dengan itu telah menolak rayuan balas Plaintif. Alasan Mahkamah ini mengekalkan keputusan award gantirugi HMS Gantirugi Am untuk kesakitan dan penderitaan dan kehilangan kemudahan hidup (General damages for pain and suffering and loss of amenities) [13] HMS telah memberikan sejumlah RM300,000.00 untuk item ini sebagai award secara global. Untuk rekod, HMS tidak memperincikan setiap satu kecederaan yang dialami oleh Plaintif. [14] Peguam Plaintif berhujah di hadapan Mahkamah ini bahawa award tersebut adalah tidak memadai dan memohon untuk ia dinaikkan kepada RM500,000.00. [15] Dalam hal ini, peguam Plaintif tidak menafikan bahawa tidak ada nas yang serupa untuk dijadikan panduan tetapi bersetuju dengan nas-nas yang paling hampir berkaitan kecederaan seumpama di mana award yang diberikan oleh mahkamah berada pada sekitar RM200,000.00 sehingga RM280,000.00. Sungguh pun demikian, peguam Plaintif berhujah bahawa kecederaan-kecederaan yang dihadapi oleh Responden adalah lebih teruk dari segi kesannya kepada Responden berbanding nas-nas yang paling hampir tersebut (rujuk hujahan peguam Plaintif bertarikh 21.11.2023 di perenggan 103 hingga perenggan 107). [16] Dalam hal ini, meskipun Mahkamah ini bersimpati dengan kejadian yang menimpa Responden, namun simpati bukanlah merupakan alasan yang dibenarkan dijadikan pertimbangan di sisi undang-undang dalam pemberian award kecederaan. Perkara ini telah diperingatkan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Inas Faiqah Mohd Helmi (A Child Suing Through Her Father And Next Friend; Mohd Helmi Abdul Aziz) v Kerajaan Malaysia & Ors [2016] 1 MLRA 647; [2016] 2 CLJ 885 yang telah memutuskan bahawa:- It is trite that damages serve as compensation, not a reward, less still a punishment (see Ong Ah Long v. Dr S Underwood [1983] 2 CLJ 198; [1983] CLJ (Rep) 300; [1983] 2 MLJ 324). In assessing damages, the court should not be motivated by sympathy and award fair compensation based on cogent evidence. The court should not descend into a domain of speculation. The evaluation of those evidence, which form the basis of any risk of future damage, must therefore still be undertaken. And the trial judge can only evaluate such evidence based on the recognised balance of probabilities standard. As was stated in Schrump: Thus, future contingencies which are less than probable are regarded as factors to be considered, provided they are shown to be substantial and not speculative. (penekanan ditambah) [17] Justeru itu, setelah membandingkan item-item kecederaan yang dirayu kini oleh Plaintif dengan Compendium, Mahkamah ini mendapati bahawa award-award tersebut setiap satunya masih berada dalam julat Compendium. Selanjutnya, tindakan HMS menghimpunkan kuantum tersebut dan memberinya secara pemberian award global bukan merupakan sesuatu yang secara jelasnya salah dari segi prinsip undang-undang. [18] Selain itu, Mahkamah ini ingin menambah bahawa HMS juga ada memberikan award yang berasingan di bawah item gantirugi teruk (aggravated damages) berjumlah RM250,000.00 kepada Plaintif. Maka persoalan mengenai ‘the full extent of the pain and suffering, loss of the child and Nirwana’s loss of amenities’ sebagai mana yang dihujahkan oleh peguam Plaintif tidak sepatutnya lagi timbul kerana ia, pada dapatan Mahkamah ini, bukan sahaja mempunyai elemen simpati malahan akan menjadi bertindan dengan award gantirugi teruk yang diberikan oleh HMS. [19] Oleh yang demikian, Mahkamah ini tidak mempunyai sebab untuk mengusik award gantirugi yang diberikan oleh HMS di bawah item ini, dan itulah juga keputusan Mahkamah ini baginya. Gantirugi Teruk (aggravated damages) [20] Kedudukan undang-undang mengenai gantirugi teruk telah diperjelaskan oleh Mahkamah Rayuan di dalam kes Sambaga Valli KR Ponnusamy v. Datuk Bandar Kuala Lumpur & Ors and Another Appeal [2018] 3 MLRA 488 yang memutuskan seperti berikut:- [32] Now, aggravated damages are classified as a species of compensatory damages, which are awarded as additional compensation where there has been intangible injury to the interest of personality of the plaintiff, and where this injury has been caused or exacerbated by the exceptional conduct of the defendant. [21] Setelah menilai keseluruhan keterangan dan hal keadaan kes, Mahkamah ini berpendapat apabila tuntutan gantirugi teruk ini dibenarkan oleh HMS, maka HMS secara implikasinya telah memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku di peringkat pemeriksaan ante-natal sehingga membawa kepada episod komplikasi pengurusan kelahiran yang menyedihkan kepada Plaintif dan bayinya. Ini bermakna maksud dan tujuan gantirugi teruk diberikan di sisi undang-undang adalah difahami dan telah diberikan kesan yang sewajarnya oleh HMS. [22] Untuk itu, Mahkamah ini berpandangan award RM250,000.00 yang diberikan oleh HMS adalah munasabah dan tidak ada sebab untuk Mahkamah ini mengubahnya berdasarkan kedudukan HMS selaku hakim bicara dalam melaksanakan kuasa budi bicaranya. Malahan, jumlah award yang diberikan bagi item ini juga jelas tidak jauh daripada jumlah yang dimohon oleh Plaintif sebagai mana dalam hujahan peguam Plaintif sendiri iaitu sebanyak RM300,000.00 sahaja. Kos tindakan [23] HMS telah memberikan sejumlah RM25,000.00 untuk item ini. [24] Peguam Plaintif berhujah jumlah ini adalah rendah dan patut dinaikkan kepada RM40,000.00. [25] Dengan hormat, Mahkamah ini merujuk kepada A.59, k.23 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (“KKM”) yang memperuntukkan kos mengikut skala bagi peringkat Mahkamah Rendah seperti berikut:- “Scale of costs for trial in the Subordinate Courts (O. 59, r. 23)
23
(1) Subject to the provisions hereunder, upon the conclusion and determination of any trial in the Subordinate Courts, the party entitled to costs shall, unless the Court otherwise orders, be paid fixed costs in accordance with the following scale: Judgment Sum Suing/Defending Advocacy Does not exceed RM1,000 RM25 RM150 … … … Exceeds RM500,000 Discretionary but shall not exceed RM40,000” [26] Memandangkan kos tindakan yang dirayu kini jelas merupakan budibicara HMS, Mahkamah ini memutuskan untuk mengekalkan kos tindakan berjumlah RM25,000.00 yang diberikan oleh HMS bagi item ini. Kos perbelanjaan (out of pocket expenses) [27] HMS didapati tidak memberikan apa-apa award untuk item ini. [28] Peguam Plaintif berhujah bahawa item ini adalah berasingan daripada kos tindakan dan patut dibenarkan oleh HMS di bawah A.59, k.7 KKM. [29] Pada pandangan Mahkamah ini, kos out of pocket expenses yang dituntut bagi item ini sepatutnya diplidkan secara jelas oleh Plaintif di dalam plidingnya. [30] Ini kerana butir-butir mengenainya sebagai contoh kos memanggil pakar termasuklah elaun harian, penginapan atau tambang perjalanan beliau merupakan sesuatu yang boleh dijangka sejak awal. Jika diplidkan, maka ia boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada gantirugi khas dan bukti-bukti mengenai perbelanjaan yang terlibat boleh dikemukakan semasa di peringkat perbicaraan lagi atau setidak-tidaknya akan lebih terbuka untuk pihak Mahkamah mengarahkan ia untuk ditaksirkan kemudian. [31] Tanpa pliding yang jelas, maka sudah tentu mahkamah akan menganggap kos yang dimohon hanya merujuk kepada kos standard sahaja. [32] Yang paling penting, tanpa pliding yang jelas dan hanya dibangkitkan di peringkat hujahan sahaja sudah tentu akan memprejudiskan Defendan-Defendan dan ini merupakan sesuatu yang tidak patut dibenarkan oleh mahkamah. [33] Memandangkan hal yang sedemikian, Mahkamah ini dengan hormat menolak permohonan Plaintif supaya item ini dibenarkan di peringkat rayuan ini. Penutup [34] Berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan di atas, Mahkamah ini berpuashati untuk memutuskan bahawa Plaintif telah diberikan award gantirugi am dan gantirugi teruk yang bukan sahaja sesuai dan munasabah tetapi juga mencerminkan keprihatinan HMS terhadap kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku di pihak Defendan-Defendan. [35] Rayuan balas Plaintif adalah dengan itu ditolak tanpa perintah untuk kos. Bertarikh : 9.2.2026 ……………………………………….. NOOR HISHAM BIN ISMAIL Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru Peguam Perayu-Perayu : Peguam Kanan Persekutuan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor Aras 2, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar 79100 Iskandar Puteri, Johor Peguam Responden : Tetuan R Jayabalan Bilik 1401-1403, Tingkat 14 Johor Tower, Jalan Gereja 80100 Johor Bahru
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.