Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI MUAR DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO. JB-45A-26-11/2023 PENDAKWA RAYA LAWAN KHAIRULNIZAM BIN HAIRUDDIN [NO. K/P: 910503-01-6673] ALASAN PENGHAKIMAN
/akn/my/judgment/high-court/2026/ff51c06f-7b6a-4fee-b7c7-93f931403961
High Court of Malaysia16 Jun 2026JB-45A-26-11/2023
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI MUAR DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO. JB-45A-26-11/2023 PENDAKWA RAYA LAWAN KHAIRULNIZAM BIN HAIRUDDIN [NO. K/P: 910503-01-6673] ALASAN PENGHAKIMAN
1
Ini adalah rayuan Tertuduh pertama atas sabitan dan hukuman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
2
Tertuduh pertama pada asalnya telah dituduh atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya
1952
Setelah representasi dibuat kepada Jabatan Peguam Negara, pihak pendakwaan telah meneruskan prosiding terhadap tertuduh pertama dan tertuduh telah memilih untuk mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan asal.
3
Tertuduh pertama telah mengaku salah atas dua pertuduhan asal seperti berikut: - PERTUDUHAN PERTAMA - SEKSYEN 39B ADB 1952 BAHAWA KAMU BERSAMA-SAMA PADA 17/04/2023, JAM LEBIH KURANG 2245HRS DI SEBUAH RUMAH ALAMAT A-2-7 TINGKAT 2, RUMAH PANGSA JALAN PERDANA 2/17C TAMAN BUKIT PERDANA DI DALAM DAERAH BATU PAHAT, DI DALAM NEGERI JOHOR, TELAH DIDAPATI MENGEDAR DADAH BERBAHAYA DISYAKI JENIS “METHAMPHETAMINE” ANGGARAN BERAT KASAR 1004.80 GRAM (Berat Bersih : 660.65 gram). OLEH ITU KAMU TELAH MELAKUKAN SATU KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 39B(1)(a) AKTA DADAH BERBAHAYA 1952 DAN BOLEH DI HUKUM DI BAWAH SEKSYEN 39B(2) AKTA YANG SAMA DI BACA BERSAMA SEKSYEN 34 KANUN KESEKSAAN. PERTUDUHAN KEDUA - SEKSYEN 39B ADB 1952 BAHAWA KAMU BERSAMA-SAMA PADA 17/04/2023, JAM LEBIH KURANG 2245HRS DI SEBUAH RUMAH ALAMAT A-2-7 TINGKAT 2, RUMAH PANGSA JALAN PERDANA 2/17C TAMAN BUKIT PERDANA DI DALAM DAERAH BATU PAHAT, DI DALAM NEGERI JOHOR, TELAH DIDAPATI MENGEDAR DADAH BERBAHAYA DISYAKI JENIS “CANNABIS” ANGGARAN BERAT KASAR 1012.68 GRAM (Berat Besih 956.40 gram). OLEH ITU KAMU TELAH MELAKUKAN SATU KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 39B(1)(a) AKTA DADAH BERBAHAYA 1952 DAN BOLEH DI HUKUM DI BAWAH SEKSYEN 39B(2) AKTA YANG SAMA DI BACA
4
Mahkamah telah memastikan bahawa pengakuan salah tersebut dibuat secara sukarela, tanpa sebarang paksaan, ancaman atau janji. Tertuduh memahami sepenuhnya sifat pertuduhan, akibat pengakuan salah tersebut serta hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang. Fakta kes telah dibacakan dan diakui tanpa sebarang bantahan. Eksibit-eksibit yang dikemukakan juga diterima oleh tertuduh. Justeru, Mahkamah mensabitkan tertuduh atas kedua-dua pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
5
Persoalan yang tinggal hanyalah hukuman yang wajar dikenakan terhadap tertuduh.
6
Melalui peguambela, tertuduh memohon supaya Mahkamah tidak menjatuhkan hukuman mati. Sebaliknya, Mahkamah diminta menggunakan budi bicara yang diperuntukkan oleh Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk menjatuhkan hukuman penjara.
7
Peguam turut memohon supaya hukuman sebatan dikenakan pada kadar minimum yang diperuntukkan oleh undang-undang serta hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan dijalankan secara serentak dan dikira dari tarikh tangkap iaitu 17.4.2023.
8
Pihak pendakwaan pula berhujah bahawa hukuman mati masih wajar dikenakan memandangkan jumlah dadah yang dirampas adalah sangat besar iaitu 660.65 gram Methamphetamine dan 956.49 gram Cannabis. Menurut pihak pendakwaan, kuantiti tersebut menunjukkan kesalahan yang amat serius dan melibatkan kepentingan awam yang tinggi.
9
Mahkamah telah menimbangkan keseluruhan fakta kes, hujahan kedua-dua pihak, faktor mitigasi, faktor pemberatan serta prinsip-prinsip penghukuman yang mantap.
10
Kesalahan mengedar dadah merupakan antara kesalahan yang paling serius di negara ini. Aktiviti pengedaran dadah memberi kesan yang amat buruk kepada masyarakat kerana ia merosakkan kehidupan individu, institusi keluarga serta keselamatan awam. Oleh itu, elemen pencegahan am (general deterrence) dan kepentingan awam hendaklah diberi pertimbangan utama dalam menentukan hukuman yang sesuai.
11
Mahkamah turut mengambil kira bahawa jumlah dadah yang dirampas dalam kedua-dua pertuduhan adalah besar. Kuantiti tersebut bukan sahaja melebihi had statutori yang menimbulkan anggapan pengedaran, malah menunjukkan tahap keseriusan jenayah yang tinggi.
12
Pada masa yang sama, Mahkamah tidak mengabaikan faktor-faktor mitigasi yang dikemukakan. Pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos Mahkamah serta mengelakkan saksi-saksi dipanggil memberi keterangan. Pengakuan salah lazimnya merupakan suatu faktor yang meringankan hukuman. Walau bagaimanapun, faktor tersebut tidak boleh mengatasi kepentingan awam dalam kesalahan yang serius seperti pengedaran dadah dalam kuantiti yang besar.
13
Selepas pindaan kepada Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memberikan budi bicara kepada Mahkamah untuk memilih antara hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup bersama hukuman sebat, Mahkamah hendaklah menggunakan budi bicara tersebut secara kehakiman dan mengambil kira keseluruhan fakta sesuatu kes. Hukuman mati bukan lagi hukuman mandatori dan setiap kes hendaklah diputuskan berdasarkan fakta serta keadaan tersendiri.
14
Mahkamah juga mengambil perhatian kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam Chui Kah Fai lwn Pendakwa Raya [2024] 6 MLJ 689 yang menjelaskan bahawa bagi maksud Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, hukuman penjara seumur hidup ditafsirkan sebagai pemenjaraan selama tiga puluh tahun.
15
Dalam kes ini, setelah menimbang keseluruhan keadaan, Mahkamah berpendapat bahawa hukuman penjara selama tiga puluh tahun berserta dua belas sebatan bagi setiap pertuduhan sudah memadai untuk memenuhi objektif penghukuman (retribution), pencegahan (deterrence), perlindungan masyarakat (public protection) dan kepentingan awam. Pada masa yang sama, Mahkamah tidak berpendapat bahawa kes ini memerlukan hukuman mati.
16
Mengenai persoalan sama ada hukuman penjara hendaklah dijalankan secara berturut-turut atau serentak, Mahkamah mendapati bahawa kedua-dua pertuduhan timbul daripada operasi yang sama, melibatkan tertuduh yang sama, pada masa dan tempat yang sama. Selaras dengan prinsip totality dan prinsip bahawa hukuman tidak seharusnya menjadi terlalu menghukum (crushing sentence), Mahkamah berpendapat hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan wajar dijalankan secara serentak.
17
Dengan itu, Mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dihukum penjara selama tiga puluh tahun bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh tangkap iaitu 17.4.2023 dan dikenakan dua belas sebatan bagi setiap pertuduhan. Hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan diperintahkan berjalan secara serentak, manakala hukuman sebatan dilaksanakan menurut undang-undang.
18
Pada hemat Mahkamah, hukuman tersebut adalah adil, setimpal dan memenuhi objektif penghukuman dari sudut pencegahan, perlindungan masyarakat dan kepentingan awam. Bertarikh 16 Jun 2026 t.t. KALYANA KUMAR A/L SOCKALINGAM PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI MUAR JOHOR DARUL TAKZIM Peguambela Tertuduh : Mohd Radzi Bin Yatiman Tetuan Rahim & Lawrnee Timbalan Pendakwa Raya : Siti Asmah binti Zainal Ariffin Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.