Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: DA-22NCC-1-02/2020
DA-22NCC-1-02/2020
High Court of Malaysia30 Apr 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ini telah meneliti kes yang dirujuk oleh defendan ketiga hingga defendan kelima dan mendapati bahawa prinsip yang diputuskan di dalam kes Gerbang Perdana Sdn Bhd v MTD ACPI Engineering Berhad & Anor [2015] MLJU 1176 adalah relevan kepada isu ini. Dalam kes Gerbang Perdana Sdn Bhd ini, Mahkamah mendapati bahawa persetuj”
“57. Mahkamah ini merujuk kepada kes yang dirujuk oleh plaintif-plaintif berkenaan prinsip remedi tindakan sendiri iaitu kes Shatila bt Che Saad v M Misnan bin Alang & Anor [2021] MLJU 1622 di mana Mahkamah dalam kes ini menjelaskan bahawa tujuan utama pindaan kepada Akta Relif Spesifik 1950 tersebut ialah untuk menghap”
“58. Dalam kes Horizon Global Sdn Bhd & Ors v Atria Shopping Gallery Sdn Bhd [2024] MLJU 2248 yang dirujuk oleh plaintif-plaintif, Mahkamah menegaskan bahawa seksyen 7(2) Akta Relif Spesifik 1950 membawa kesan bahawa: **Note : Serial number will be used to verify the originality of this docu”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: DA-22NCC-1-02/2020
2
MALAYSIA KELANTAN BERHAD
3
DAN PERUBATAN KELANTAN BERHAD TELIPOT MEDICAL CENTRE SDN BHD [NO. SYARIKAT:785773-K) … PLAINTIF-PLAINTIF
1
ZAMSYARI BIN ZAKARIA [NO. K/P:730923-03-5717]
2
SUZIATI BINTI MOHD BUKRI [NO. K/P:660102-11-6914]
3
WAN MALIHAH BINTI WAN ALI [NO. K/P:690803-03-5006]
4
ZAINUDIN BIN YAPI [NO. K/P:661117-10-5673]
5
MALIHAH MEDIC UTILITIES SDN BHD [NO. SYARIKAT:738965-T) … DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan.
1
Kes ini melibatkan pertikaian berhubung pelaksanaan suatu perjanjian jual beli saham bertarikh 16 Jun 2016 (“perjanjian tersebut”) yang dimeterai antara plaintif pertama dan plaintif kedua sebagai pembeli dengan defendan pertama, defendan kedua, defendan ketiga dan defendan keempat sebagai penjual saham dalam plaintif ketiga, iaitu Telipot Medical Centre Sdn. Bhd. (“TMC”).
2
Tuntutan plaintif-plaintif terhadap defendan-defendan adalah bagi mendapatkan suatu deklarasi bahawa perjanjian tersebut masih sah dan pelaksanaan spesifik ke atas terma perjanjian tersebut serta injunksi terhadap defendan-defendan.
3
Mahkamah ini pada 30.4.2026 telah memutuskan seperti berikut: a) bahawa plaintif-plaintif telah gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan pertama dan defendan kedua. oleh itu tuntutan plaintif-plaintif terhadap defendan pertama dan defendan kedua ditolak dengan kos sebanyak RM30,000.00 dibayar kepada defendan pertama dan defendan kedua secara bersesama tertakluk kepada alokatur. b) plaintif pertama dan plaintif kedua gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan ketiga berkenaan perlanggaran perjanjian jual beli saham (defendan keempat dan defendan kelima bukan pihak kepada perjanjian jual beli saham) tetapi plaintif ketiga telah berjaya membuktikan tuntutannya terhadap defendan ketiga hingga defendan kelima berkenaan penguncian salah premis bangunan hospital TMC tersebut. Oleh itu: i. Defendan ketiga hingga defendan kelima secara bersesama diperintahkan membayar gantirugi kehilangan pendapatan akibat perbuatan mengunci premis secara salah kepada plaintif ketiga sebanyak RM767,775.00. ii. Defendan ketiga hingga defendan kelima membayar faedah pada kadar 5% setahun ke atas RM767,775.00 dari tarikh premis plaintif ketiga ditutup pada 10/2/2019 sehingga penyelesaian penuh. iii. Kos sebanyak RM70,000.00 dibayar oleh defendan ketiga hingga defendan kelima secara bersesama kepada plaintif ketiga tertakluk kepada alokatur. iv. Lain-lain tuntutan plaintif-plaintif terhadap defendan ketiga hingga defendan kelima tidak dibenarkan. Bagi tuntutan balas defendan ketiga hingga defendan kelima: a) Defendan ketiga sahaja (defendan keempat dan defendan kelima bukan pihak kepada perjanjian jual beli saham) telah berjaya membuktikan tuntutan balasnya terhadap plaintif pertama dan/atau plaintif kedua sahaja (plaintif ketiga bukan pihak kepada perjanjian jual beli saham) berkenaan perlanggaran perjanjian jual beli saham tersebut. oleh itu plaintif pertama dan plaintif kedua diperintahkan seperti berikut: i. Plaintif pertama dan plaintif kedua secara bersesama (tetapi tertakluk kepada nisbah peratusan pembelian saham masing-masing) diperintahkan membayar seperti berikut: a. Wang sebanyak RM1,066,560.00 kepada defendan ketiga sebagai bayaran baki harga jual beli saham bahagian defendan ketiga beserta faedah pada kadar 5% setahun dikira dari 18/7/2016 (tarikh pindahmilik saham) hingga penyelesaian penuh; b. Wang sebanyak RM1,134,206.00 kepada defendan ketiga hingga defendan kelima sebagai baki kos ubahsuai bangunan yang telah dipersetujui dalam perjanjian jual beli saham beserta faedah pada kadar 5% setahun dikira dari tarikh Borang 4 dikeluarkan (14/5/2018) hingga penyelesaian penuh; c. kos RM100,000.00 dibayar oleh plaintif pertama dan plaintif kedua secara bersesama (tetapi tertakluk kepada nisbah peratusan pembelian saham masing-masing) kepada defendan ketiga tertakluk kepada alokatur.
4
Plaintif pertama yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini menolak tuntutannya telah merayu kepada Mahkamah Rayuan melalui Notis Rayuan bertarikh 25.05.2026 (Lampiran 83). Plaintif pertama juga melalui Notis Rayuan bertarikh 25.5.2026 (Lampiran 84) merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah ini yang membenarkan tuntutan balas defendan-defendan ketiga hingga kelima dengan kos. Defendan-defendan ketiga hingga kelima juga telah merayu kepada Mahkamah Rayuan melalui Notis Rayuan bertarikh 26.05.2026 (Lampiran 85) terhadap keputusan Mahkamah ini yang membenarkan sebahagian tuntutan plaintif ketiga. Alasan Penghakiman ini disediakan bagi kesemua tiga (3) rayuan tersebut. Latar Belakang Kes. Tuntutan plaintif pertama hingga plaintif ketiga
5
Plaintif ketiga telah ditubuhkan sekitar 22 Ogos 2007 oleh defendan pertama hingga defendan keempat bagi tujuan mengendalikan sebuah klinik pakar yang kemudiannya dirancang untuk dibangunkan sebagai sebuah hospital pakar swasta di Kota Bharu, Kelantan. Bagi tujuan tersebut, permohonan kepada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) telah dibuat dan kelulusan untuk pembinaan hospital pakar telah diperolehi sekitar tahun 2010 sebelum pembinaan Hospital Telipot Medical Centre dimulakan (“Hospital TMC”).
6
6.
Preamble
Menurut plaintif-plaintif, menjelang tahun 2016 pembinaan Hospital TMC masih belum dapat disiapkan sepenuhnya akibat kekangan kewangan. Sehubungan itu, Plaintif pertama dan Plaintif Kedua telah bersetuju membeli pegangan saham dalam Plaintif Ketiga melalui perjanjian jual beli saham bertarikh 16 Jun 2016. Menurut plaintif-plaintif, tujuan utama perjanjian tersebut bukan sahaja bagi pemindahan pegangan saham, malah untuk membolehkan Hospital TMC disiapkan, memperolehi lesen operasi daripada CKAPS dan seterusnya memulakan operasinya.
7
Di bawah perjanjian tersebut, plaintif pertama dan plaintif kedua bersetuju membeli sejumlah 3,000,000 unit saham pada harga keseluruhan RM6,000,000.00. Sebahagian daripada jumlah harga jualan saham tersebut diperuntukkan bagi membiayai kerja-kerja mengubah suai bangunan hospital TMC serta pembelian peralatan perubatan bagi membolehkan hospital memulakan operasi. Selain itu, perjanjian tersebut juga memperuntukkan bahawa satu pengaturan (arrangement) telah dibuat antara defendan ketiga dan plaintif ketiga berkenaan pajakan bangunan tersebut bagi tempoh sekurang-kurangnya dua puluh tahun bagi menjamin kelangsungan operasi hospital TMC.
8
Plaintif-plaintif mendakwa bahawa keseluruhan harga pembelian saham telah dijelaskan secara berperingkat antara bulan Mei 2016 hingga November 2017. Walau bagaimanapun, Hospital TMC masih belum memperoleh lesen untuk beroperasi. Menurut plaintif-plaintif, hanya selepas plaintif-plaintif mengambil alih usaha menyiapkan kerja-kerja yang diperlukan mulai Januari 2018, Hospital TMC akhirnya memperoleh lesen operasi daripada CKAPS sebelum memulakan operasinya pada Ogos 2018.
9
Pertikaian antara plaintif-plaintif dan defendan-defendan bermula apabila defendan-defendan ketiga hingga kelima bertindak mengunci dan menyita bangunan Hospital TMC sehingga menghalang kakitangan, pesakit dan orang awam daripada memasuki premis hospital tersebut. Plaintif-plaintif mendakwa tindakan tersebut menyebabkan operasi Hospital TMC terhenti sepenuhnya dan mengakibatkan kerugian kewangan.
10
Sehubungan itu, plaintif-plaintif telah memfailkan tindakan ini dengan mendakwa bahawa defendan-defendan telah memungkiri Perjanjian tersebut dan telah bertindak secara tidak sah dengan menghalang operasi Hospital TMC. Plaintif-plaintif dalam tuntutannya menuntut terhadap defendan-defendan untuk 14 perintah sebagaimana perenggan 124 dalam pernyataan tuntutan plaintif-plaintif berikutan perlanggaran perjanjian tersebut yang dikatakan telah dilanggar atau dimungkiri oleh defendan-defendan. Tuntutan balas defendan ketiga hingga defendan kelima terhadap plaintif pertama dan plaintif kedua
11
Defendan-defendan menafikan liabiliti terhadap tuntutan plaintif-plaintif dan mempertikaikan dakwaan bahawa mereka telah memungkiri perjanjian tersebut.
12
Defendan ketiga hingga defendan kelima menuntut balas untuk: a) Wang berjumlah RM2,200,872.68; b) Faedah 8% atas RM2,200,872.68 dari 16/6/2016 (tarikh Perjanjian tersebut) hingga penghakiman; c) Faedah 5% atas RM2,200,872.68 dari penghakiman sehingga penyelesaian; dan d) kos peguamcara dan klien. Permohonan lisan defendan ketiga hingga defendan kelima untuk meminda pliding iaitu pada perenggan 180 pernyataan pembelaan defendan ketiga hingga defendan kelima.
13
Mahkamah ini telah meneliti perenggan 115 dan 116 pernyataan tuntutan plaintif-plaintif dan juga perenggan 180 pernyataan pembelaan defendan ketiga hingga defendan kelima dan Mahkamah ini mendapati bahawa frasa “dan seterusnya mengatakan Defendan Ketiga hingga Defendan Kelima berhak menyita dan mengunci bangunan hospital plaintif ketiga…” yang diplidkan dalam perenggan 180 penyataan pembelaan defendan ketiga hingga defendan kelima menunjukkan bahawa defendan ketiga hingga defendan kelima sebenarnya tidak mengakui perenggan 115 dan 116 pernyataan tuntutan plaintif-plaintif tersebut.
14
Oleh itu, Mahkamah ini mendapati bahawa ketinggalan perkataan “tidak” sebelum perkataan “mengakui” pada baris pertama perenggan 180 pernyataan pembelaan defendan ketiga hingga defendan kelima adalah satu ketinggalan atau kesilapan yang jujur. Oleh itu mahkamah ini membenarkan pindaan lisan pada perenggan 180 pernyataan pembelaan defendan ketiga hingga defendan kelima tersebut. Isu-isu untuk dibicarakan dalam tuntutan plaintif-plaintif terhadap defendan-defendan.
15
Terdapat enam (6) isu-isu untuk dibicarakan yang ditimbulkan oleh plaintif-plaintif dan tiga (3) isu-isu yang ditimbulkan oleh defendan ketiga hingga defendan kelima seperti berikut: i) Sama ada defendan-defendan bersetuju memberi pajakan bagi premis Hospital TMC kepada plaintif-plaintif untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun. ii) Sama ada defendan ketiga dan/atau defendan keempat dan/atau defendan kelima selaku pemilik benefisial/berdaftar premis bangunan Hospital TMC bersetuju memberi penangguhan bayaran penyewaan premis tersebut sehingga kedudukan kewangan plaintif ketiga stabil. iii) Sama ada Plaintif pertama dan Plaintif Kedua telah membayar keseluruhan harga pembelian saham dalam Plaintif Ketiga berjumlah RM6,000,000.00. iv) Sama ada defendan-defendan telah melanggar terma-terma Perjanjian tersebut apabila gagal mendapatkan lesen bagi Hospital TMC beroperasi sepenuhnya. v) Sama ada defendan ketiga hingga defendan kelima melanggar terma-terma perjanjian tersebut apabila bertindak mengunci premis dan menghalang operasi Hospital. vi) Sama ada plaintif-plaintif menanggung kerugian atas perlanggaran terma-terma perjanjian oleh defendan-defendan, maka berhak ke atas gantirugi yang dipohon. vii) Sama ada plaintif-plaintif telah melanggar perjanjian tersebut apabila gagal membayar kepada defendan ketiga dan defendan keempat sepenuhnya harga penjualan saham. viii) Sama ada plaintif-plaintif telah memotong jumlah bayaran saham secara salah dan bertentangan dengan terma perjanjian jual beli saham. ix) Sama ada plaintif-plaintif telah melanggar terma perjanjian tersebut dengan memindahmilik saham sebelum membayar harga penuh seperti terma perjanjian. Isu Pertama: Sama ada defendan-defendan bersetuju memberi pajakan bagi premis bangunan Hospital TMC kepada plaintif-plaintif untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.
16
Bagi isu pertama ini, daripada keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan, Mahkamah ini mendapati seperti berikut: i. Defendan-defendan pertama, kedua, keempat dan kelima bukan pemilik bangunan yang boleh atau berhak atau berkuasa untuk memberi pajakan kepada plaintif-plaintif khususnya plaintif ketiga. ii. Defendan ketiga sebagai pemilik tanah dan bangunan (fakta ini tidak dipertikaikan oleh pihak-pihak walaupun tiada dokumen hakmilik tanah dikemukakan sebagai ekshibit) tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian pajakan dengan mana-mana plaintif. iii. Dokumen yang ada yang dikatakan menjadi asas kepada dakwaan plaintif-plaintif bahawa wujudnya satu pajakan bangunan tersebut kepada plaintif ketiga hanyalah mukadimah (preamble) E dalam perjanjian tersebut yang memperuntukkan seperti berikut: “Prior execution of this Agreement, the Company has made an arrangement with WAN MALIHAH BINTI WAN ALI (Nric No: 690803-03- 5006); ie one of the Company’s Shareholder/Director to lease the building for a term not less than twenty years (20) to secure the long term operation of the Company’s business”.
17
Mahkamah ini telah meneliti kes yang dirujuk oleh defendan ketiga hingga defendan kelima dan mendapati bahawa prinsip yang diputuskan di dalam kes Gerbang Perdana Sdn Bhd v MTD ACPI Engineering Berhad & Anor [2015] MLJU 1176 adalah relevan kepada isu ini. Dalam kes Gerbang Perdana Sdn Bhd ini, Mahkamah mendapati bahawa persetujuan untuk berbincang atau menyediakan suatu perjanjian formal pada masa hadapan tidak mewujudkan kontrak yang boleh dikuatkuasakan dan jika pihak-pihak telah bersetuju bahawa syarat-syarat hanya akan berkuat kuasa melalui dokumen formal yang ditandatangani, maka kontrak hanya wujud selepas dokumen tersebut ditandatangani.
18
Mahkamah ini mentafsirkan frasa “arrangement to lease” dalam mukadimah E dalam konteks perjanjian tersebut dan dalam hal keadaan semasa perjanjian tersebut adalah bahawa pihak syarikat iaitu plaintif ketiga sebagai bakal pemajak dan defendan ketiga sebagai tuan tanah telah membuat perbincangan awal berkenaan pajakan bangunan tersebut. Ia hanya menunjukkan hasrat atau niat serta kesudian (willingness) defendan ketiga untuk memajakkan bangunan tersebut kepada plaintif ketiga, (agree to enter into an agreement) sudah tentu ia akan tertakluk kepada syarat-syarat lengkap yang akan dipersetujui dan akan dimuktamadkan kemudian antara pihak-pihak.
19
Satu pajakan yang mengikat pihak-pihak tidak boleh wujud hanya berdasarkan perbincangan awal pihak-pihak untuk memasuki perjanjian pajakan lebih-lebih lagi untuk suatu tempoh yang tidak jelas atau tidak ditentukan secara tepat iaitu “tidak kurang dari 20 tahun”.
20
Ketiadaan persetujuan tentang terma-terma khusus dan jelas seperti berapakah kadar bayaran pajakan bulanan atau tahunan, bilakah bermulanya pajakan tersebut, apakah tempoh sebenar pajakan tersebut yang dikatakan tidak kurang daripada 20 tahun tersebut? Adakah 25 tahun, atau 30, atau 40 atau selebihnya? Ini akan menjurus kepada ketidaktentuan terma perjanjian pajakan.
21
Selain dari itu, seksyen 221(4) Kanun Tanah Negara (KTN) memperuntukkan bahawa suatu pajakan hendaklah diberi melalui instrument dalam Borang 15A manakala seksyen 227(1) KTN pula memperuntukkan bahawa kepentingan penerima pajakan akan terletakhak kepadanya setelah pendaftaran pajakan dibuat. Kedua-dua perkara ini tidak berlaku dalam kes ini. Oleh itu, bagi isu pertama, Mahkamah ini menjawab secara negatif iaitu tiada persetujuan diberikan oleh defendan-defendan untuk memajak tanah tersebut kepada plaintif-plaintif. Isu kedua: Sama ada defendan ketiga dan/atau defendan keempat dan/atau defendan kelima selaku pemilik benefisial/berdaftar premis bangunan hospital tmc bersetuju memberi penangguhan bayaran penyewaan premis tersebut sehingga kedudukan kewangan plaintif ketiga stabil.
22
Bagi isu kedua, Mahkamah ini mendapati seperti berikut: i) Isu penangguhan bayaran sewa ini telah timbul dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) plaintif ketiga yang diadakan pada 12/7/2016 iaitu selepas perjanjian tersebut telah dimasuki. ii) Dalam mesyuarat tersebut, defendan ketiga tidak hadir tetapi suaminya iaitu defendan keempat yang hadir dan menurut Minit Mesyuarat bertarikh 12/7/2016 (P36) [Ikatan C1 muka surat 151-153] dalam perenggan 2.9 mengatakan antara lainnya: a) “pemilik bangunan Telipot Medical Centre Sdn Bhd iaitu Malihah Medic Utilities Sdn Bhd. (defendan kelima) bersetuju dengan kadar sewa bangunan sebanyak RM30,000.00 sebulan sehingga tempoh tidak kurang daripada 20 tahun mengikut klausa E di dalam perjanjian jual beli saham TMC Sdn. Bhd. b) Mesyuarat bersetuju menangguh bayaran sewaan bangunan sehingga kedudukan kewangan TMC Sdn. Bhd. stabil walaupun TMC Sdn Bhd telah beroperasi.” iii) Mahkamah ini memutuskan (tanpa mengambil kira keputusan Mahkamah bagi isu pertama) bahawa kadar sewa bangunan sebanyak RM30,000.00 dibuat oleh defendan kelima yang bukan merupakan pemilik bangunan, maka ia tidak mengikat defendan ketiga. iv) Keputusan penangguhan bayaran sewa juga dibuat oleh Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah plaintif ketiga dan bukan oleh defendan ketiga. Ia tidak mengikat defendan ketiga. Jika sekalipun keputusan itu dibuat oleh defendan ketiga atau bagi pihak defendan ketiga, ia masih terjumlah kepada ketidaktentuan (uncertainty) tentang apakah maksud dan definasi “stabil” yang sudah tentu akan sekali lagi menjadi pertikaian pihak-pihak. Ia satu terma yang tidak tentu dan batal. Oleh itu, isu kedua juga dijawab dengan negatif. Isu Ketiga: Sama ada plaintif pertama dan plaintif kedua telah membayar keseluruhan harga pembelian saham dalam plaintif ketiga berjumlah RM6,000,000.00.
23
Bagi isu ketiga, Mahkamah ini mendapati seperti berikut: i. Daripada 4 orang pemegang saham asal dalam plaintif ketiga iaitu defendan pertama hingga defendan keempat, hanya defendan pertama hingga defendan ketiga sahaja yang menjual saham mereka. Defendan keempat tidak menjual sahamnya walaupun dia turut menandatangani perjanjian tersebut. ii. Kedudukan pegangan saham defendan pertama hingga defendan keempat sebelum perjanjian tersebut adalah seperti berikut: Defendan Jumlah Pegangan Saham Defendan pertama 1,500,000 unit Defendan kedua 1,500,000 unit Defendan ketiga 1,500,000 unit Defendan keempat 500,000 unit Jumlah keseluruhan saham 5,000,000 unit iii. Melalui Perjanjian tersebut, transaksi jual beli adalah seperti berikut pada harga RM2.00 seunit saham: Defendan Unit saham yang dijual Harga Defendan pertama 500,000 unit RM1,000,000.00 Defendan kedua 1,500,000 unit RM3,000,000.00 Defendan ketiga 1,000,000 unit RM2,000,000.00 Jumlah 3,000.000 unit RM6,000,000.00 iv) Struktur pegangan saham selepas perjanjian tersebut: Pihak. Jumlah Pegangan Saham Defendan pertama 1,000,000 unit (20%) Defendan ketiga 500,000 unit (10%) Defendan keempat 500,000 unit (10%) Plaintif pertama 2,550,000 unit (51%) Plaintif kedua 450,000 unit (9%) Jumlah keseluruhan saham 5,000,000 unit (100%) v) Klausa 4.3 perjanjian tersebut memperuntukkan lebih kurang RM2.8 juta untuk kos ubahsuai bangunan dan pembelian peralatan perubatan yang perlu sehingga syarikat (plaintif ketiga) boleh memulakan operasi. vi) Peguam defendan ketiga hingga defendan kelima yang bijaksana menghujahkan bahawa klausa 4.3 perjanjian tersebut harus diterjemahkan secara harfiah (literal) iaitu kekal kepada angka RM2.8 juta seperti yang jelas tercatat dalam klausa tersebut berkenaan kos pengubahsuaian dan pembelian peralatan perubatan. vii) Peguam plaintif-plaintif dan peguam defendan pertama dan defendan kedua yang bijaksana pula menghujahkan bahawa perkataan RM2.8 juta yang terdapat dalam klausa tersebut harus diterjemahkan secara objektif atau mengikut matlamat (purposive) dengan mengambilkira hasrat dan niat asal penjual-penjual saham bahawa tujuan penjualan saham adalah untuk menampung kos yang perlu sehingga plaintif ketiga boleh beroperasi. Ini bermaksud, kos untuk ubah suai dan pembelian peralatan tidak terhad kepada RM2.8 juta sahaja tapi keseluruhan hasil jual beli saham boleh digunakan tanpa had asalkan matlamat sehingga Hospital TMC boleh beroperasi itu tercapai. Bayaran harga jual beli saham.
24
24.
Preamble
Menurut ekshibit P1 (Ikatan C1 muka surat 158-160) plaintif kedua telah membayar keseluruhan harga belian 450,000 unit sahamnya sebanyak RM900,000.00 kepada Firma Faaiz & Norilham melalui surat bertarikh 19/9/2016 dan cek bertarikh 20/9/2016. Tetuan Faaiz & Norilham juga telah mengeluarkan resit bertarikh 21/9/2016. Tetuan Faaiz & Norilham juga telah mengeluarkan surat pengesahan penerimaan bayaran RM900,000.00 daripada plaintif kedua bertarikh 20/11/2016 (ekshibit D79) [Ikatan C1 muka surat 166-167].
25
25.
Preamble
Menurut ekshibit P27 (Ikatan C2 muka surat 329-330) iaitu surat plaintif pertama kepada Firma Faaiz & Norilham bertarikh 29/11/2017, plaintif pertama telah membayar keseluruhan RM5,100,000.00 termasuk kos autoclave dan bayaran kepada firma guaman tersebut, bayaran kepada pihak ketiga berkenaan peralatan dan bil, lantikan jururawat “post basic”, penyediaan borang 3, bayaran 2 orang doktor, 1 doktor pakar bius, jururawat terlatih dan kos kerjasama jabatan dan syarikat lain.
26
Melalui P28 (Ikatan C2 muka surat 331-334) iaitu surat Tetuan Faaiz & Norilham bertarikh 4/12/2017, peguamcara tersebut menyatakan bahawa firmanya “telah diarahkan oleh pembeli-pembeli” bahawa mereka telah membayar jumlah penuh harga jual beli saham sebanyak RM6 juta. Setelah menolak segala bayaran yang telah dibuat, peguamcara tersebut menyatakan masih terdapat RM1,700,572.31 dalam pegangannya dan meminta arahan (standing instruction) atau resolusi yang ditandatangani oleh semua pihak yang terlibat untuk melepaskan baki wang tersebut.
27
Melalui ekshibit D78 (Ikatan C1 muka surat 344) iaitu Minit Mesyuarat Agung Luar Biasa plaintif ketiga yang diadakan pada 23/4/2019, 4 orang pengarah plaintif ketiga memutuskan bahawa baki RM1,700,572.31 tersebut hendaklah dilepaskan kepada plaintif ketiga. Apakah asas wang penjual-penjual saham ini dibayar kepada plaintif ketiga yang bukan penjual saham?
28
Klausa 1.1 perjanjian tersebut telah menyatakan bahawa pihak pertama dalam perjanjian tersebut iaitu plaintif pertama dan plaintif kedua diwakili oleh Tetuan Faaiz & Norilham manakala penjual-penjual saham defendan pertama hingga defendan ketiga memilih untuk tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
29
Klausa 2.2 Perjanjian tersebut, Tetuan Faaiz & Norilham telah dilantik sebagai pemegang taruhan berkenaan perkara-perkara yang dinyatakan dalam perenggan (a) hingga (k) yang tidak termasuk untuk memegang wang jual beli saham.
30
Klausa 4.2 dan 4.3 perjanjian tersebut memperuntukkan bahawa baki harga jual beli saham sebanyak RM5,000,000.00 hendaklah (shall) dibayar oleh pihak pertama (plaintif pertama dan plaintif kedua) kepada shareholders ...” iaitu defendan pertama hingga defendan ketiga.
31
Bayaran harga jual beli saham sebanyak RM6 juta setelah ditolak kos ubahsuai dan pembelian peralatan sebanyak RM2.8 juta akan meninggalkan baki sebanyak RM3.2 juta. Jumlah RM3.2 juta ini perlu dibahagikan antara 3 orang penjual saham iaitu defendan pertama hingga defendan ketiga mengikut kadar nisbah peratusan penjualan saham mereka seperti berikut: Defendan Unit saham yang dijual dan peratusan Harga Defendan pertama 500,000 unit (16.66%) RM1,000,000.00 Defendan kedua 1,500,000 unit (50%) RM3,000,000.00 Defendan ketiga 1,000,000 unit (33.33%) RM2,000,000.00 Jumlah 3,000.000 unit (100%)
32
Daripada baki harga jualan saham sebanyak RM3.2 juta tersebut, setiap penjual saham akan memperolehi baki bayaran saham seperti berikut: Defendan Unit saham yang dijual dan peratusan Harga Defendan pertama RM3.2 juta X 16.666% RM533,312.00 Defendan kedua RM3.2 juta X 50% RM1,600,000.00 Defendan ketiga RM3.2 juta X 33.333% RM1,066,656.00 Jumlah (100%) RM3,199,968.00 genapkan kepada
33
Jumlah yang defendan pertama dan defendan kedua berhak terima secara bersama adalah RM2,133,312.00.
34
Mahkamah ini mengambil pendekatan dan menafsirkan frasa “approximately RM2.8 millions” sebagai satu jumlah yang lebih kurang 10% daripada RM2.8 juta yang bersamaan dengan RM280,000.00. Ini bermaksud kos ubahsuai dan pembelian peralatan adalah di antara RM2,520,000.00 (10% kurang daripada RM2.8 juta) sehingga RM3,080,000.00 (10% lebih daripada RM2.8 juta).
35
Untuk menafsirkan “approximately RM2.8 millions” sebagai bermakna tepat RM2.8 juta adalah terlalu jumud (rigid) manakala untuk menafsirkan “approximately RM2.8 millions” sebagai bermaksud tanpa sebarang had sehingga boleh membelanjakan keseluruhan harga jual beli saham pula adalah terlalu longgar (liberal) dan bertentangan dengan teks perjanjian yang nyata.
36
Klausa 4.3 perjanjian tersebut hanya membenarkan RM2.8 juta tersebut dibelanjakan untuk tujuan kos ubahsuai bangunan hospital dan membeli peralatan perubatan. Ia tidak patut digunakan untuk membayar kos-kos lain yang bukan merupakan peralatan perubatan.
37
Namun terdapat kos-kos yang bukan peralatan perubatan yang telah dibayar dengan menggunakan baki harga jual beli saham tersebut seperti kos-kos bayaran bil, kos melantik jururawat “post basic”, kos penyediaan Borang 3, kos 2 orang pegawai perubatan, kos seorang doktor pakar bius, kos jururawat terlatih dan kos kerjasama dengan jabatan dan beberapa syarikat lain seperti yang dinyatakan dalam ekshibit P27. Selain dari itu terdapat juga bayaran dibuat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bayaran kepada Mediconsult yang sepatutnya dibayar oleh plaintif pertama menurut Minit Mesyuarat tersebut.
38
Defendan pertama dan defendan kedua, sebagai penjual saham, berhak dan bebas untuk melepaskan hak mereka untuk mendapatkan baki harga jualan saham mereka dan berhak memberi kebenaran kepada peguam untuk membayar kos-kos selain daripada kos yang dibenarkan dalam klausa 4.3 perjanjian tersebut namun kebenaran defendan pertama dan defendan kedua tersebut haruslah terhad kepada baki harga jual beli saham milik mereka sahaja yang berjumlah lebih kurang RM2,133,312.00 sahaja.
39
Oleh kerana transaksi jualan saham ini adalah transaksi peribadi pemilik-pemilik saham dan bukan transaksi syarikat, maka defendan pertama dan defendan kedua tidak mempunyai hak untuk memberi kebenaran kepada pihak peguam atau mana-mana pihak lain termasuklah plaintif-plaintif untuk menggunakan baki harga jualan saham milik peribadi defendan ketiga. Hanya defendan ketiga sahaja yang boleh memberi kebenaran untuk mana-mana pihak lain menggunakan wang peribadinya.
40
Ekshibit P28 bukanlah merupakan satu pengesahan konklusif oleh Firma Faaiz & Norilham berkenaan penerimaan keseluruhan harga jual beli saham sebanyak RM6 juta tersebut namun ia lebih kepada satu dokumen yang membenarkan atau menyatakan semula arahan yang diberikan kepada firma tersebut oleh Plaintif pertama dan plaintif kedua semata-mata.
41
P28 dengan jelas menyatakan bahawa: a) perkara 1 dan 10: RM1,500,000 adalah sebahagian daripada kos ubahsuai yang diperuntukkan sebanyak RM2.8 juta. b) perkara 2 hingga 7: bayaran tolak hutang pemegang saham (yang menjadi sebahagian daripada bayaran kepada penjual saham) dan pinjaman TMC. c) perkara 17,18 dan 22: Bayaran berjumlah RM1,899,428.59 dibayar kepada pihak ketiga.
42
Oleh kerana Tetuan Faaiz & Norilham adalah peguam yang mewakili pihak pembeli saham iaitu plaintif pertama dan kedua, firma tersebut hanyalah merupakan ejen kepada pembeli saham. Firma tersebut bukanlah ejen kepada penjual-penjual saham termasuk defendan ketiga. Dalam ketiadaan persetujuan nyata oleh pihak-pihak sama ada dalam perjanjian tersebut atau selainnya bahawa firma tersebut dilantik sebagai pemegang taruhan untuk menerima dan memegang bayaran harga jual beli saham, sebarang wang yang dibayar dan diterima oleh firma tersebut tidaklah terjumlah kepada wang yang dibayar dan diterima oleh penjual-penjual saham termasuk defendan ketiga.
43
Setakat rekod yang ada, daripada RM2.8 juta yang diperuntukkan sebagai kos ubahsuai bangunan, hanya RM1,665,794.00 dibayar kepada defendan ketiga hingga defendan kelima yang merangkumi deposit sebanyak RM1,000,000.00, bayaran sebahagian sebanyak RM500,000.00 serta bayaran hutang BSN sebanyak RM165,794.00 sebagai kos menjalankan kerja-kerja ubahsuai bangunan dan meninggalkan baki kos ubah suai sebanyak RM1,134,206.00 lagi.
44
Daripada RM1,066,560.00 yang berhak diterima oleh defendan ketiga sebagai harga jualan sahamnya, tiada sebarang bukti dikemukakan oleh plaintif pertama dan plaintif kedua berkenaan sebarang bayaran telah dibayar secara langsung kepada defendan ketiga. Oleh itu RM1,066,560.00 kepada defendan ketiga masih kekal tidak berbayar.
45
Jumlah keseluruhan yang belum dibayar kepada defendan ketiga sebagai hasil jualan saham dan kepada defendan ketiga hingga defendan kelima sebagai kos pengubahsuaian bangunan adalah sebanyak RM2,200,766.00. Defendan ketiga dan defendan keempat menuntut RM2,200,872.68 dimana terdapat perbezaan sebanyak RM106.68 sahaja. Oleh itu, isu ketiga juga dijawab secara negatif di mana plaintif pertama dan plaintif kedua masih belum membayar keseluruhan harga jual beli saham dalam plaintif ketiga. Isu Keempat: Sama ada defendan-defendan telah melanggar terma-terma perjanjian tersebut apabila gagal mendapatkan lesen bagi Hospital TMC beroperasi sepenuhnya.
46
Bagi isu keempat, Mahkamah ini telah meneliti keseluruhan isi kandungan perjanjian tersebut dari mukadimah A hingga I dan dari Klausa 1 hingga 14 namun tidak mendapati sebarang kewajipan atau tanggungjawab yang dikenakan ke atas mana-mana penjual saham untuk mendapatkan lesen bagi membolehkan Hospital TMC beroperasi. Menurut perjanjian tersebut, tanggungjawab penjual-penjual saham telah selesai selepas mereka memindah milik saham yang mereka jual kepada pembeli-pembeli saham dan ini telah dilakukan oleh defendan pertama hingga defendan ketiga malah pindah milik saham ini telah berlaku sebelum mereka menerima sepenuhnya harga jual beli saham mereka lagi.
47
Daripada keterangan yang ada, terdapat persetujuan bersama antara defendan pertama hingga defendan keempat supaya defendan ketiga yang menguruskan berkenaan permohonan lesen operasi hospital kepada CKAPS. Ini berkemungkinan kerana pembinaan dan pengubahsuaian bangunan hospital tersebut dibuat oleh defendan kelima yang dimiliki oleh defendan ketiga dan defendan keempat dimana defendan ketiga mungkin mempunyai lebih pengetahuan tentang kemajuan (progress) kerja-kerja ubah suai berbanding defendan pertama dan defendan kedua.
48
Defendan ketiga dari awal telah mengambil tanggungjawab untuk mengemukakan permohonan kepada CKAPS dan telah berbuat demikian sehingga defendan ketiga telah kemukakan Borang 3 kepada CKAPS. Tiada keterangan dikemukakan bahawa bagi menguruskan permohonan lesen kepada CKAPS tersebut, pihak-pihak telah bersetuju untuk membayar apa-apa balasan kepada defendan ketiga. Ini jelas menunjukkan bahawa permohonan kepada CKAPS telah dibuat oleh defendan ketiga secara sukarela tanpa sebarang obligasi.
49
Mahkamah juga mendapati bahawa terdapat satu klausa dalam perjanjian tersebut iaitu Klausa 2.2 (g) berkenaan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (Joint Management Committee) yang terdiri daripada wakil-wakil pihak plaintif pertama dan plaintif kedua serta dari pemegang saham yang lain yang akan menyelia perjalanan hospital plaintif ketiga tersebut. Sepatutnya, setelah plaintif pertama dan plaintif kedua menjadi pemegang saham dalam plaintif ketiga, segala pentadbiran dan perjalanan plaintif ketiga diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama tersebut. Oleh itu isu keempat ini juga dijawab dengan negatif bahawa defendan-defendan tidak melanggar perjanjian tersebut apabila gagal mendapatan lesen untuk hospital plaintif ketiga beroperasi. Isu Kelima: Sama ada defendan ketiga hingga defendan kelima melanggar terma-terma perjanjian tersebut apabila bertindak mengunci premis bangunan dan menghalang operasi Hospital.
50
Berkenaan isu ini, Mahkamah ini mengulangi dapatannya dalam isu pertama berkenaan pajakan bangunan Hospital TMC. Sebagaimana dalam isu keempat, Mahkamah ini telah meneliti keseluruhan perjanjian tersebut dan tidak mendapati sebarang terma yang menyentuh berkenaan bangunan hospital tersebut melainkan bahawa lebih kurang RM2.8 juta akan digunakan untuk menyiapkan kerja-kerja ubahsuai. Defendan keempat dan defendan kelima adalah bukan pihak kepada perjanjian tersebut walaupun defendan keempat turut menandatanganinya walhal dia bukan penjual saham. Bagi defendan ketiga pula, obligasinya hanyalah untuk memindahmilikkan semua saham yang dijual apabila menerima bayaran penuh harga jualan tertakluk kepada tolakan RM2.8 juta tersebut secara kolektif dengan defendan pertama dan defendan kedua.
51
Perjanjian tersebut tidak menetapkan sebarang obligasi ke atas defendan ketiga hingga defendan kelima berkenaan bangunan tersebut. Persetujuan lain yang dicapai diluar skop Perjanjian tersebut adalah defendan ketiga dan defendan keempat melalui syarikat mereka iaitu defendan kelima akan menjalankan kerja-kerja ubahsuai bangunan tersebut. Ia tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak bahawa kerja-kerja ubahsuai dijalankan oleh defendan keempat dan/atau defendan kelima.
52
tindakan defendan ketiga sebagai tuanpunya tanah dan bangunan sama ada secara sendiri atau melalui dan dibantu oleh suaminya defendan keempat atau melalui syarikat milik mereka defendan kelima adalah tindakan peribadi yang berhubungan dengan hak ketuanpunyaan bangunan tersebut dan tiada kena mengena dengan perlanggaran mana-mana peruntukan dalam perjanjian jual beli saham tersebut.
53
Isu lanjutan atau sampingan yang dihujahkan oleh peguam-peguam berkenaan perbuatan defendan ketiga hingga defendan kelima mengunci dan menyita bangunan Hospital TMC ini adalah sama ada perbuatan defendan ketiga hingga defendan kelima tersebut telah menyalahi undang-undang.
54
Berkenaan isu sampingan atau lanjutan ini, Mahkamah ini mendapati bahawa kedudukan plaintif ketiga khususnya dalam bangunan tersebut adalah agak unik. ini adalah kerana plaintif ketiga bukanlah satu penceroboh asing (complete stranger/ trespasser) yang langsung tidak dikenali oleh defendan ketiga. Sebaliknya defendan ketiga adalah salah seorang pemegang saham dan pengarah kepada plaintif ketiga. Tujuan asal bangunan hospital tersebut dibina dan diubahsuai adalah untuk plaintif ketiga beroperasi. Segala persediaan dari segi peralatan dan kelulusan CKAPS untuk plaintif ketiga beroperasi dalam bangunan tersebut semuanya dalam pengetahuan defendan ketiga.
55
Namun begitu, plaintif ketiga juga bukan merupakan seorang penyewa atau pemegang pajak bagi premis bangunan Hospital TMC tersebut kerana tiada sebarang perjanjian mengikat telah dimasuki antara mereka. Terma atau istilah yang paling tepat yang Mahkamah ini fikirkan yang boleh menggambarkan hubungan antara defendan ketiga dengan plaintif ketiga ini ialah bakal pemberi pajak dan bakal penerima pajak.
56
Dalam keadaan sedemikian, bagi isu kelima ini Mahkamah ini mendapati walaupun perbuatan mengunci premis tersebut tidak melanggar terma-terma perjanjian tersebut, namun Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan peguam plaintif-plaintif yang bijaksana bahawa remedi tindakan sendiri (self help remedy) dengan mengunci premis tersebut tanpa suatu perintah Mahkamah adalah suatu perbuatan yang salah disisi undang-undang.
57
Mahkamah ini merujuk kepada kes yang dirujuk oleh plaintif-plaintif berkenaan prinsip remedi tindakan sendiri iaitu kes Shatila bt Che Saad v M Misnan bin Alang & Anor [2021] MLJU 1622 di mana Mahkamah dalam kes ini menjelaskan bahawa tujuan utama pindaan kepada Akta Relif Spesifik 1950 tersebut ialah untuk menghapuskan remedi tindakan sendiri di bawah “Common Law” dan menggantikannya dengan keperluan mendapatkan perintah Mahkamah sebelum mengambil semula milikan suatu premis.
58
Dalam kes Horizon Global Sdn Bhd & Ors v Atria Shopping Gallery Sdn Bhd [2024] MLJU 2248 yang dirujuk oleh plaintif-plaintif, Mahkamah menegaskan bahawa seksyen 7(2) Akta Relif Spesifik 1950 membawa kesan bahawa: “... the remedy of self-help is no longer available to a landlord.”
59
Berdasarkan kes-kes yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini merumuskan bahawa prinsip undang-undang berkenaan remedi tindakan sendiri (self help remedy) adalah merupakan remedi “common law” yang telah dihapuskan melalui seksyen 7(2) Akta Relif Spesifik 1950 dan semua tindakan mendapatkan semula milikan hendaklah dibuat melalui prosiding mahkamah.
60
Walaupun hubungan plaintif ketiga dan defendan ketiga dalam kes ini bukanlah hubungan sebenar antara tuan tanah dan penyewa, namun daripada rentetan atau kronoloji dan juga hasrat dan matlamat phak-pihak, bangunan tersebut telah dibina dari awal lagi untuk tujuan operasi plaintif ketiga dan ia akan dipajakkan kepada plaintif ketiga dan defendan ketiga melalui tindakannya (by conduct) telah membenarkan plaintif ketiga beroperasi dalam bangunan tersebut sejak mula plaintif ketiga mendapat lesen untuk beroperasi daripada CKAPS. Keadaan ini melahirkan hubungan seolah-olah defendan ketiga dan plaintif ketiga adalah tuan tanah dan penyewa. Isu Keenam: Sama ada plaintif-plaintif menanggung kerugian atas perlanggaran terma-terma perjanjian oleh defendan-defendan, maka berhak ke atas gantirugi yang dipohon.
61
Bagi isu keenam ini, Mahkamah ini mengulangi semula dapatan-dapatannya di atas berkenaan apakah obligasi-obligasi defendan-defendan sebagai penjual saham dan adakah sebarang perlanggaran di pihak mereka setelah saham yang mereka jual telah pun dipindah milik kepada plaintif pertama dan plaintif kedua sebagai pembeli-pembeli. Oleh itu, bagi isu ini, Mahkamah mendapati defendan-defendan tidak melanggar terma-terma Perjanjian tersebut dan plaintif pertama serta plaintif kedua tidak berhak kepada gantirugi di bawah perjanjian tersebut.
62
Namun Mahkamah mendapati bahawa perbuatan defendan ketiga hingga defendan kelima mengunci bangunan premis tersebut secara salah telah memberi kesan negatif dan kerugian kepada operasi perniagaan plaintif ketiga.
63
Plaintif-plaintif dalam perenggan 124 (g) pernyataan tuntutannya ada menuntut gantirugi kehilangan pendapatan kerana penutupan operasi plaintif ketiga. SP2 telah memberi keterangan bahawa pada bulan terakhir operasi plaintif ketiga, pendapatan bulan Januari 2019 adalah sebanyak RM51,185.00 berdasarkan ekshibit P44 (Ikatan C2 muka surat 362).
64
Berkenaan dengan kerugian kehilangan pendapatan akibat penutupan premis ini, Mahkamah ini mendapati bahawa plaintif ketiga hanya berhak kepada gantirugi kehilangan pendapatan untuk tempoh selama 15 bulan sahaja iaitu bermula dari tarikh penutupan premis plaintif ketiga pada 10/2/2019 sehingga tamat tempoh lesen CKAPS Borang 4 iaitu pada 2/5/2020 sebanyak RM767,775.00 yang dikira seperti berikut: RM51,185.00 X 15 bulan = RM767,775.00
65
Mahkamah ini hanya membenarkan tempoh 15 bulan kerana: a) Tiada keterangan menunjukkan plaintif ketiga ada mengemukakan permohonan untuk memperbaharui lesen hospital daripada CKAPS untuk tahun berikutnya; dan b) Tiada perjanjian pajakan untuk tempoh 20 tahun telah dimasuki antara defendan ketiga dengan plaintif ketiga.
66
Berkenaan kerugian kehilangan keuntungan masa depan (loss of future profit) seperti yang dituntut oleh plaintif-plaintif dalam perenggan 124 (j) pernyataan tuntutannya, Mahkamah ini mendapati bahawa dalam keterangan SP2, khususnya dalam Penyata Saksi Plaintif Kedua (“PSP2”) Soalan dan Jawapan nombor 26, SP2 mengunjurkan bahawa dari tahun pertama hingga ke tahun keempat (iaitu dari 14/5/2018 iaitu tarikh Borang 4 diperolehi sehingga ke tahun 2022) plaintif ketiga masih mengalami kerugian dan tiada sebarang keuntungan kerana pendapatan daripada pesakit dan lain-lain masih belum mampu menanggung kos operasi hospital plaintif ketiga.
67
SP2 juga mengunjurkan bahawa hanya bermula dari tahun kelima operasi barulah plaintif ketiga akan memperolehi keuntungan sebelum faedah, tax, susut nilai dan pelunasan EBITDA berjumlah RM380,835.00 dan ia akan meningkat secara konsisten sehingga tahun ke 20 yang mana keuntungan EBITDA dijangka berjumlah
68
Selanjutnya di Soalan dan Jawapan nombor 27, SP2 mengatakan jumlah kehilangan pendapatan dianggarkan sebanyak RM299,457,352.00 untuk tempoh pajakan selama 20 tahun.
69
Mahkamah ini meneliti kes yang dirujuk oleh defendan ketiga hingga defendan kelima dan mendapati bahawa prinsip yang diputuskan di dalam kes Majlis Perbandaran Ampang Jaya v Steven Phoa Cheng Loon & Ors [2006] 2 CLJ 1 adalah relevan kepada isu ini. Berdasarkan kes ini, Mahkamah ini merumuskan bahawa tuntutan bagi kehilangan masa depan atau kerugian ekonomi memerlukan penelitian yang lebih ketat kerana risiko liabiliti yang terlalu luas. Maka, Mahkamah ini tidak membenarkan tuntutan plaintif-plaintif bagi kehilangan keuntungan masa hadapan ini kerana plaintif-plaintif tidak mempunyai sebarang keuntungan pada masa kejadian sehingga tamat tempoh lesen hospital tersebut dan plaintif-plaintif tidak mempunyai jaminan untuk berada di premis tersebut selama 20 tahun ke hadapan kerana tiada perjanjian pajakan dimasuki antara plaintif ketiga dengan defendan ketiga. Isu Ketujuh: Sama ada plaintif-plaintif telah melanggar perjanjian tersebut apabila gagal membayar kepada defendan ketiga dan defendan keempat sepenuhnya harga penjualan saham.
70
Berkenaan isu ketujuh ini dan berdasarkan dapatan Mahkamah ini dalam isu-isu terdahulu, Mahkamah ini mendapati bahawa plaintif ketiga bukanlah salah seorang pembeli saham dan defendan keempat pula bukanlah salah seorang penjual saham walaupun dia turut menandatangani perjanjian tersebut. Oleh itu tiada sebarang bayaran harga saham yang patut defendan keempat terima daripada plaintif pertama dan plaintif kedua.
71
Bagi defendan ketiga, Mahkamah ini mendapati bahawa plaintif pertama dan plaintif kedua telah melanggar perjanjian tersebut apabila gagal membayar harga jual beli saham bahagian defendan ketiga walaupun saham defendan ketiga tersebut telah dipindah milik sepenuhnya kepada plaintif pertama dan/atau plaintif kedua seawal 18/7/2016. Oleh itu isu ketujuh ini dijawab secara positif iaitu plaintif-plaintif pertama dan kedua telah gagal membayar harga jual beli saham sepenuhnya kepada defendan ketiga. Isu Kelapan: Sama ada plaintif-plaintif telah memotong jumlah bayaran saham secara salah dan bertentangan dengan terma perjanjian jual beli saham.
72
Bagi isu kelapan ini, Mahkamah ini mengulangi dapatannya dalam isu ketiga di atas berkenaan bayaran-bayaran yang dibayar kepada pihak ketiga dan bayaran-bayaran bagi perkara yang tidak dibenarkan secara nyata oleh perjanjian tersebut. Oleh itu isu ini juga dijawab secara positif iaitu plaintif-plaintif telah memotong bayaran jualan saham secara salah. Isu Kesembilan: Sama ada plaintif-plaintif telah melanggar terma perjanjian tersebut dengan memindahmilik saham sebelum membayar harga penuh seperti terma perjanjian.
73
Bagi isu kesembilan ini, Mahkamah ini mendapati bahawa Klausa 6.1 dan 6.2 perjanjian tersebut dengan jelas memperuntukkan bilakah saham sepatutnya dipindahmilik oleh penjual kepada pembeli.
74
Klausa 6.1 menyatakan “upon completion of this agreement, 60% shares shall be perfectly transferred to the first party” (plaintif pertama dan plaintif kedua). Manakala Klausa 6.2 pula menyatakan bahawa transaksi jual beli saham ini akan dianggap sempurna setelah pemegang saham menerima bayaran penuh harga jual beli saham dan saham telah dipindah milik kepada pihak pertama dengan sempurna.
75
Dalam kes ini, saham telah dipindah milik secara sempurna kepada plaintif pertama dan plaintif kedua namun harga jual beli saham masih belum diperolehi oleh pemegang saham khususnya defendan ketiga. Oleh itu, Isu Kesembilan ini juga dijawab secara positif bahawa plaintif pertama dan plaintif kedua telah melanggar terma perjanjian tersebut dengan memindahmilik saham sebelum membayar harga penuh sepertimana terma perjanjian.
76
Berdasarkan kepada perkara-perkara dan alasan-alasan yang dinyatakan di atas dan atas imbangan kebarangkalian, Mahkamah ini mendapati seperti berikut: a) bahawa plaintif-plaintif telah gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan pertama dan defendan kedua. Oleh itu tuntutan plaintif-plaintif terhadap defendan pertama dan defendan kedua ditolak dengan kos sebanyak RM30,000.00 dibayar kepada defendan pertama dan defendan kedua secara bersesama tertakluk kepada alokatur. b) bahawa plaintif pertama dan plaintif kedua gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan ketiga berkenaan perlanggaran perjanjian tersebut (defendan keempat dan defendan kelima bukan pihak kepada perjanjian tersebut) tetapi plaintif ketiga telah berjaya membuktikan tuntutannya terhadap defendan ketiga hingga defendan kelima berkenaan penguncian salah premis hospital TMC tersebut. Oleh itu: i) Defendan ketiga hingga defendan kelima secara bersesama diperintahkan membayar gantirugi kehilangan pendapatan akibat perbuatan mengunci premis secara salah kepada plaintif ketiga sebanyak RM767,775.00; ii) Defendan ketiga hingga defendan kelima membayar faedah pada kadar 5% setahun ke atas RM767,775.00 dari tarikh premis plaintif ketiga ditutup pada 10/2/2019 sehingga penyelesaian penuh; iii) Kos sebanyak RM70,000.00 dibayar oleh defendan ketiga hingga defendan kelima secara bersesama kepada Plaintif Ketiga tertakluk kepada alokatur.; iv) Lain-lain tuntutan plaintif-plaintif terhadap defendan ketiga hingga defendan kelima tidak dibenarkan. Bagi tuntutan balas defendan ketiga hingga defendan kelima: c) Atas imbangan kebarangkalian, defendan ketiga sahaja (defendan keempat dan defendan kelima bukan pihak kepada perjanjian tersebut) telah berjaya membuktikan tuntutan balasnya terhadap plaintif pertama dan/atau plaintif kedua sahaja (plaintif ketiga bukan pihak kepada perjanjian tersebut) berkenaan perlanggaran perjanjian tersebut. Oleh itu plaintif pertama dan plaintif kedua diperintahkan seperti berikut: i) Plaintif pertama dan plaintif kedua secara bersesama (tetapi tertakluk kepada nisbah peratusan pembelian saham masing-masing) diperintahkan membayar seperti berikut: a) Wang sebanyak RM1,066,560.00 kepada defendan ketiga sebagai bayaran baki harga jual beli saham bahagian defendan ketiga beserta faedah pada kadar 5% setahun dikira dari 18/7/2016 (tarikh pindahmilik saham) hingga penyelesaian penuh; b) Wang sebanyak RM1,134,206.00 kepada defendan ketiga hingga defendan kelima sebagai baki kos ubahsuai bangunan yang telah dipersetujui dalam perjanjian tersebut beserta faedah pada kadar 5% setahun dikira dari tarikh Borang 4 (14/5/2018) hingga penyelesaian penuh; . c) kos RM100,000.00 dibayar oleh plaintif pertama dan plaintif kedua secara bersesama (tetapi tertakluk kepada nisbah peratusan pembelian saham masing-masing) kepada defendan ketiga tertakluk kepada alokatur. Alasan Penghakiman ini disediakan pada 30.07.2026. (MOHD ROSLI BIN YUSOFF) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Kelantan. Bagi pihak Plaintif-Plaintif : En. Tabian bin Tahir, (bersamanya En. Nik Ab Hafiz bin Nik Mohammad) Tetuan Hashim Amran Tabian Ahmad, 17G, 7th Floor, Block 2, Worldwide Business Park, Jalan Tinju 13/50, 40675, Shah Alam, Selangor. Bagi pihak Defendan Pertama & Defendan Kedua : En. Md Faeiz bin Md Suhaimi Tetuan Faeiz & Co, Lot 2646, Jalan Taman Guru, Pintu Geng, 15100, Kota Bharu, Kelantan. Bagi pihak Defendan Ketiga hingga Defendan Kelima : En. Azrul bin Zulkifli Stork (bersamanya Pn Fatima binti Tahir Ali dan Cik Azalea Nazihah binti Zulkefli) Tetuan Azharudin & Associates, No. 10-2, Bangunan Kings Hotel, Jalan Tun Abdul Razak, Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya, 75450, Melaka.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.