(b) Hakim bicara bijaksana terkhilaf apabila gagal memberi pertimbangan yang mencukupi atas pembelaan Perayu pertama dan keempat bahawa mereka tidak ada mencederakan simati dan pembelaan Perayu kedua dan ketiga bahawa mereka tidak berada di tempat kejadian semasa simati diserang. [47] Berhubung alasan pertama peguam bela terpelajar berhujah bahawa sekiranya Hakim bicara bijaksana membuat penilaian maksimum atas keterangan Pendakwaan, maka Hakim bicara bijaksana akan mendapati Perayu tidak sepatutnya dipanggil membela diri. Hujah peguam bela terpelajar, Hakim bicara bijaksana terkhilaf apabila memutuskan SP12 adalah seorang saksi yang kredibel dan seterusnya menerima keterangan SP12 yang mengecam Perayu dari jarak 70 kaki sebagai mereka yang menyebabkan kecederaan simati. 16 [48] Peguam bela terpelajar berhujah SP12 sebenarnya adalah seorang saksi yang tidak boleh dipercayai dan keterangan beliau tidak kredibel dan penuh dengan percanggahan. Peguam bela terpelajar mendakwa SP12 berbohong apabila beliau memberitahu beliau dapat melihat dan mengecam Perayu-perayu sebagai mereka yang menyerang simati dari jarak 70 kaki sedangkan seorang saksi bernama Marsita binti Abdul Manaf (SP7) yang berada dalam kawasan rumah No.10, yang jaraknya hanya 6 kaki dari tempat simati terbaring, berkata beliau tidak nampak muka lelaki yang terbaring dengan jelas kerana cuaca gelap dan tidak cam muka lelaki India yang memegang parang. [49] Peguam bela terpelajar juga berhujah, keterangan SP12 semasa pemeriksaan awal berhubung jarak dari mana SP12 melihat Perayu kedua dan ketiga berada berbeza dengan apa yang diperhatikan semasa Mahkamah membuat lawatan ke tempat kejadian di mana didapati jaraknya adalah 320 kaki. Semasa pemeriksaan balas, SP12 bersetuju dengan cadangan peguam bela terpelajar bahawa beliau (SP12) memberi jarak yang lebih dekat kerana inginkan pihak Mahkamah mempercayai beliau boleh melihat muka penyerang-penyerang tersebut. [50] Berhubung alasan kedua, peguam bela terpelajar Perayu-perayu berhujah, Hakim bicara bijaksana terkhilaf apabila merumuskan pembelaan adalah rekaan semata-mata sedangkan mereka telah memberi keterangan secara bersumpah dan telah memberi notis alibi tetapi tidak dipertimbangkan oleh Hakim bicara bijaksana. 17 Penemuan dan dapatan kami [51] Berhubung alasan pertama iaitu Hakim bicara dikatakan terkhilaf dalam memutuskan satu kes prima facie telah terbukti terhadap kesemua Perayu, undang-undang adalah mantap bahawa untuk membuktikan satu kes prima facie di bawah seksyen 302 Kanun dalam kes seperti ini, elemen yang perlu dibuktikan adalah simati telah meninggal dunia; kematian simati disebabkan oleh kecederaan yang dialaminya; kecederaan tersebut adalah dilakukan oleh Perayu-perayu dalam meneruskan niat bersama mereka dan mereka mengetahui kecederaan yang dilakukan terhadap simati dalam keadaan biasa boleh menyebabkan kematian. [52] Dalam kes ini, tidak boleh dipertikaikan simati telah meninggal dunia. Beliau meninggal dunia akibat dari 45 kecederaan teruk akibat dari tetakan. Apa yang menjadi isu ialah pengecaman oleh SP12 terhadap semua Perayu sebagai orang yang dalam meneruskan niat bersama mereka telah menyebabkan kecederaan teruk yang dialami oleh simati. [53] Dalam memutuskan isu ini, Hakim bicara bijaksana banyak bergantung atas keterangan SP12 yang telah mengecam Perayu keempat sebagai orang yang memegang parang dan bersama Perayu pertama, Perayu kedua dan Perayu ketiga telah menyerang, memukul dengan paip besi dan menetak simati di hadapan rumah No.10, Jalan Sutera 4/6 dan seterusnya mengejar simati sehingga ke persimpangan Jalan Sutera 4/3. Hakim bicara bijaksana menerima keterangan SP12 ini setelah memutuskan SP12 bukanlah seorang saksi yang berat sebelah atau berkepentingan 18 untuk memihak kepada simati. Hakim bicara bijaksana mendapati SP12 seorang yang jujur dan oleh itu kredibilitinya tidak langsung tergugat. [54] Memandangkan kes Pendakwaan banyak bergantung ke atas keterangan SP12, maka tidak menghairankan jika dapatan Hakim bicara bijaksana berhubung kredibiliti SP12 ini dipertikaikan dengan hebat oleh peguam bela terpelajar dalam hujahan mereka. Walaupun begitu, setelah keseluruhan keterangan yang ada diteliti, kami dapati tiada sebab untuk kami mengganggu keputusan Hakim bicara bijaksana yang mendapati SP12 adalah seorang saksi kredibel dan berdasarkan keterangan SP12, Hakim bicara bijaksana membuat penemuan fakta bahawa Perayu keempat sebagai orang yang memegang parang dan bersama Perayu pertama, Perayu kedua dan Perayu ketiga telah menyerang, memukul dengan paip besi dan menetak simati di hadapan rumah No.10, Jalan Sutera 4/6 dan seterusnya mengejar simati sehingga ke persimpangan Jalan Sutera 4/3. [55] Hakikat bahawa terdapat percanggahan dalam keterangan seseorang saksi atau keterangan saksi berkenaan tidak selari dengan keterangan saksi lain, pada pandangan kami, tidak semestinya menjadikan saksi tersebut tidak kredibel. Pendekatan yang diambil oleh Mahkamah yang mendengar rayuan berhubung kredibiliti seseorang saksi telah dijelaskan dalam banyak kes dan antaranya ialah Lee Ah Seng & Anor v PP [2007] 4 AMR 709 di mana Nik Hashim Nik Abdul Rahman, FCJ (pada ketika itu) semasa memberi keputusan minoriti ada berkata: “[7] The approach to be taken by an appellate court when dealing with a trial court's assessment of credibility of witness is well-established by high authorities. The credibility of a witness is primarily for the trial judge. An 19 appellate court should always be slow in disturbing such finding of fact arrived at by the judge who had audio-visual advantage of the witness, unless there are substantial and compelling reasons for disagreeing with the finding. Discrepancies will always be found in the evidence of a witness but what a judge has to determine is whether they are minor or material discrepancies. It would be wrong to say just because a witness may have contradicted in his evidence or even told lies on one or two points, his evident should be totally rejected. In the final analysis it is for the trial judge to determine which part of the evidence of a witness he is to accept and which to reject (see Herchun Singh & Ors v PP [1969] 2 MLJ 209, FC; Dato' Mokhtar Hashim & Anor v PP [1983] CLJ (Rep) 101, FC; Lai Kim Hon & Ors v PP [1981] 1 MLJ 84, FC; Che Omar bin Mohd Akhir v PP [1999] 3 AMR 2593; [1999] 2 MLJ 689, CA). It is not the function of an appellate court to make primary findings of facts (see PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2005] 6 MLJ 393; [2005] 6 AMR 203; [2006] 1 CLJ 457, FC).” [56] Mengguna pakai prinsip di atas, kami telah meneliti rekod rayuan bersama alasan penghakiman Hakim bicara bijaksana dan kami dapati sebelum Hakim bicara menerima keterangan SP12 sebagai kredibel, beliau telah meneliti dan menghalusi keseluruhan keterangan yang ada dan telah memberi sebab kenapa beliau mendapati SP12 seorang saksi kredibel. Hakim bicara menulis di perenggan 19 hingga 21 alasan penghakiman seperti berikut: “[19] Setelah mengkaji, meneliti dan menghalusi keseluruhan keterangan pihak pendakwaan maka mahkamah membuat dapatan seperti berikut: i. Tidak terdapat apa-apa keterangan menunjukkan SP12 mempunyai pertalian darah atau persaudaraan dengan simati; 20 ii. Tidak terdapat apa-apa keterangan menunjukkan SP12 sebenarnya rakan karib atau pekerja kepada simati dan sebaliknya penzahiran membuktikan SP12 meminjam kereta Letchumanan a/l Subramaniam (SP6) semata-mata bertujuan menghantar simati di tempat kejadian; iii. Tidak terdapat apa-apa keterangan menunjukkan SP12 ada atau pernah bermusuh dengan keempat-empat OKT; iv. Diperhatikan keterangan SP12 sekadar apa yang beliau nampak sebenarnya sahaja semasa kejadian berlaku. Didapati langsung tiada unsur menokok tambah cerita atau cuba mereka-reka cerita seolah-olah menggambarkan sebenarnya. Yang meyakinkan mahkamah ini ialah keterangan SP12 tersebut betul-betul melihat kejadian menimpa simati sehingga di peringkat simati membelok ke kiri di simpang Jalan Sutera 4/3 sahaja di Taman Puteri, Kluang, Johor. [20] Jadi berasaskan alasan-alasan tersebut dinyatakan itu maka mahkamah memutuskan SP12 bukanlah seorang saksi yang berat sebelah atau berkepentingan memihak kepada simati. Beliau seorang yang jujur dan oleh itu kredibilitinya tidak langsung tergugat untuk mahkamah menerima keterangannya berkait penyaksiannya ke atas kejadian yang menimpa simati pada tanggal 7.11.2012 jam lebih kurang 7.00 malam bertempat di Jalan Sutera 4/6, Taman Puteri, Kluang, Johor. [21] Masih lagi memperihalkan kredibiliti SP12 berkait keterangan diberikannya adalah didapati sangat mantap dan langsung tidak meragukan atas dasar berikut: i. Pengecaman SP12 ke atas OKT1 bila memecahkan cermin kanan sebelah pemandu dan cermin depan kereta dengan sebatang besi jaraknya sangat dekat. 21 ii. Begitu juga pengecaman SP12 ke atas OKT2 ketika beliau keluar dari rumah memegang sebilah parang panjang jaraknya sangat hampir sekitar 6 hingga 7 kaki sahaja ketika kereta dipandunya nombor pendaftaran JEQ 4411 berhenti betul-betul di hadapan rumah No. 10, Jalan Sutera 4/6, Taman Puteri, Kluang, Johor. iii. Begitu juga pengecaman SP12 ke atas OKT3 dan OKT4 dalam jarak yang munasabah dekatnya sekitar 220 kaki (67 meter) sahaja dalam tempoh masa 3 hingga 4 minit ketika OKT3 dan OKT4 sedang bersungguh-sungguh menyerang simati bercahayakan cuaca yang masih terang dan disuluhi lagi oleh 2 atau 3 batang tiang lampu jalan sudah menyala. iv. Pengecaman SP12 ini ke atas keempat-empat OKT bukanlah pertama kali malahan sebelum ini SP12 pernah berjumpa dengan mereka di majlis pengkebumian, majlis perkahwinan, tempat perjudian dan di beberapa tempat lain. Malahan SP12 dapat mengecam OKT4 bukan sahaja sebagai Krishnan a/l Kalimuthu tetapi juga dengan nama Vettayan menunjukkan kebiasaan beliau mengenali diri OKT4 tersebut. Imbasan wajah-wajah OKT-OKT ini dikenali oleh SP12 bukannya dalam tempoh masa yang singkat tetapi keterangan jelas membuktikan sudah berlarutan lama sehingga 5 ke 6 tahun. v. Lagipun pengecaman SP12 ke atas keempat-empat OKT ini adalah merupakan ‘recognition’ dan bukannya ‘identification’. vi. Jadi ‘identification parade' tersebut dijalankan oleh pihak polis hanyalah bagi memastikan bahawa SP12 benar-benar ‘recognise’ (mengenali) keempat-empat OKT tersebut.” [57] Jelas kepada kami bahawa Hakim bicara bijaksana membuat kesimpulan berhubung kredibiliti SP 12 ini setelah meneliti keterangan yang 22 ada secara keseluruhan dan kami dapati tiada sebarang salah arah di pihak Hakim bicara bijaksana dalam penilaian yang dibuatnya. Memandangkan penentuan kredibiliti seseorang saksi pada dasarnya adalah dalam bidang kuasa Hakim bicara bijaksana dan dalam kes ini, tiada apa-apa salah arah dipihak Hakim bicara bijaksana dalam menilai kredibiliti SP12, maka kami dapati tiada sebab untuk kami mengganggu penemuan yang dibuat oleh Hakim bicara bijaksana yang mendapati SP12 adalah saksi yang kredibel. [58] Berhubung keterangan Marsita binti Abdul Manaf (SP7) yang berkata beliau tidak dapat melihat lelaki yang terbaring dengan jelas walaupun berada dalam kawasan rumah No.10, dimana jaraknya hanya 6 kaki dari tempat kejadian, keterangan ini pada pendapat kami, tidak dengan sendirinya menjadikan keterangan SP12 tidak kredibel. Perlu diingat, tiada keterangan menunjukkan SP7 mengenali simati ataupun mana-mana Perayu berbanding SP12 yang sememangnya mengenali Perayu-perayu serta simati. Sudah semestinya lebih mudah untuk SP12 mengecam Perayu-perayu berbanding SP7. Seperti mana diputuskan oleh Hakim bicara bijaksana, pengecaman oleh SP12 atas kesemua Perayu adalah ‘recognition’ dan bukannya ‘identification’. [59] Atas sebab-sebab di atas, kami dapati alasan pertama rayuan yang ditimbulkan Perayu adalah tidak bermerit. [60] Berhubung dengan alasan rayuan kedua iaitu Hakim bicara bijaksana dikatakan gagal memberi pertimbangan yang mencukupi atas pembelaan Perayu pertama dan keempat iaitu mereka tidak ada mencederakan simati dan pembelaan Perayu kedua dan ketiga iaitu mereka tidak berada di tempat 23 kejadian semasa simati diserang, kami dapati Hakim bicara bijaksana telah menilai segala keterangan yang diberi oleh setiap Perayu serta saksi yang dipanggil oleh Perayu. Empat puluh lima (45) muka surat dalam alasan penghakiman, bermula dari muka surat 45 hingga 97, adalah perbincangan mengenai pembelaan Perayu-perayu. Keterangan setiap Perayu di teliti bersama-sama dengan keterangan saksi lain yang ada oleh Hakim bicara bijaksana. Setiap keterangan Perayu pertama dan Perayu keempat yang mendakwa mereka tidak terlibat dalam mencederakan simati telah diteliti dan dikupas oleh Hakim bicara bijaksana dan akhirnya Hakim bicara bijaksana mendapati dakwaan Perayu yang mereka tidak ada mencederakan simati dan pembelaan yang cuba diketengahkan hanyalah pemikiran kemudian dan rekaan semata-mata. [61] Berhubung pembelaan alibi yang dikemukakan oleh Perayu terutama Perayu kedua dan ketiga, kami dapati Hakim bicara bijaksana telah meneliti notis alibi yang diberikan oleh Perayu kedua [Eksibit D60] dan mendapati notis alibi Perayu kedua tidak lengkap kerana tidak mengandungi alamat tempat alibi dan alamat saksi alibi. Selain dari itu Hakim bicara bijaksana juga mendapati saksi alibi Perayu kedua iaitu SD7 adalah teman wanita Perayu kedua selama 7 tahun dan mengaku tinggal bersama Perayu kedua. Hakim bicara mendapati SD7 adalah saksi berkepentingan dan keterangan beliau meragukan kerana kehadiran beliau di mahkamah semata-mata untuk membantu Perayu kedua. Begitu juga dengan notis alibi [Eksibit D62] yang diberikan oleh Perayu ketiga, ianya tidak mengandungi alamat tempat alibi di Johor Bahru serta nama dan alamat saksi alibi Pannirselvan a/l Selvaraj (SD6) yang Perayu ketiga mendakwa ada berjumpa di restoran di 24 Bukit Indah. Malah sepanjang kes pembelaan, Perayu ketiga gagal memberi sebarang alamat tempat-tempat alibinya. [62] Berhubung soal pembelaan alibi, seksyen 402A (4) Kanun Tatacara Jenayah jelas memperuntukkan: “[4] The notice required under this section shall include particulars of the place where the accused claims to have been at the time of the commission of the offence with which he is charged, together with the names and addresses of any witnesses whom he intends to call for the purpose of establishing his alibi”. [63] Dalam kes ini, di mana terdapat kegagalan mematuhi syarat nyata seperti diperuntukkan bawah seksyen 402A (4), kami berpendapat tidak salah bila Hakim bicara bijaksana tidak memberi penekanan terhadap pembelaan alibi yang diberi oleh Perayu kedua dan Perayu ketiga. Tambahan lagi dalam kes ini terdapat pengecaman yang positif dibuat oleh SP12 terhadap kesemua Perayu. Dalam keadaan sedemikian, pembelaan alibi Perayu-perayu semestinya gagal. Seperti mana dalam kes Mahkamah Persekutuan Duis Akim & Ors v PP [2013] 9 CLJ 69; [2014] 1 MLJ 49, YAA Richard Malanjum (Hakim Besar Borneo ketika itu) memutuskan: “(ii) The Alibi Defence [81] As indicated above only the first and second appellants relied on alibi as their defence. [82] However, alibi could not prevail over the positive identification of an accused person especially so in the face of categorical statements coming from credible witnesses who had no ill motives in testifying. 25 [83] Thus, in Mutachi Stephen v Uganda [2003] UGCA 9 the accused said that on the night the offence took place he was already asleep with his wife. However, there was a witness who had positively identified him. As such his alibi collapsed. He has been squarely put at the scene of crime. [84] Similarly in the present case it was the finding of the learned trial judge, which we agree, that the appellants had been positively identified by PW1. As such, the alibi defence of the first and second appellants collapsed. ……….. [86] Accordingly, for the above reasons there is no necessity for us to deal with the alibi defence but merely to consider whether the prosecution had established its case beyond reasonable doubt in order to uphold the convictions of the appellants”. [64] Begitu juga dalam kes ini, adalah menjadi penemuan Hakim bicara bijaksana, yang mana kami bersetuju, Perayu-perayu telah dicam secara positif secara “recognition” sebagai mereka yang terlibat dalam menyebabkan kematian simati. Oleh itu pembelaan alibi Perayu kedua dan ketiga semestinya gagal. Kerana itu, kami dapati alasan kedua yang cuba ditimbulkan oleh Perayu juga tidak bermerit. Kesimpulan [65] Berdasarkan alasan-alasan di atas dan meneliti keterangan yang ada, kami dapati rayuan Perayu pertama, kedua, ketiga dan keempat tiada sebarang merit. Kami sebulat suara dapati sabitan adalah selamat. Oleh itu rayuan-rayuan mereka telah kami tolak. Keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pertuduhan bawah seksyen 302 terhadap semua Perayu dan sabitan dan hukuman terhadap Perayu pertama berhubung pertuduhan bawah seksyen 427 disahkan. 26 Bertarikh: 30.12.2019 t.t MOHAMAD ZABIDIN BIN MOHD DIAH Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Mewakili Perayu bagi kes No. J-05(M)-229-06/2017, J-05(M)-231- 06/2017, J-05(M)-235-06/2017 & J-05(SH)-237-06/2017: Rajehgopal Velu [Tetuan Rama Velu & Associates] Mewakili Perayu bagi kes No. J-05(M)-233-06/2017: Hisham Teh Poh Teik [Tetuan Teh Poh Teik & Company] Mewakili Responden: TPR Mangai Jabatan Peguam Negara