(b) Pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen niat bersama terhadap Perayu Kedua. Peguam bela menghujahkan bahawa tidak dibuktikan terdapat perancangan awal antara Perayu Pertama dengan Perayu Kedua untuk memiliki dan menjual dadah kepada SP3 dan bahawa tiga (3) buah telefon yang dirampas daripada Perayu Kedua langsung tidak disiasat. Peguam bela juga berhujah bahawa tidak jelas keterangan saksi-saksi pendakwaan melihat barang kes dadah telah diambil keluar oleh Perayu Pertama dari dalam kereta Proton Persona WVH 5171 yang dipandu oleh Perayu Kedua. 17 Keputusan kami [17] Kami telah berpeluang meneliti rekod rayuan dan kami mendapati bahawa identiti sebenar “Boy” adalah Perayu Pertama berdasarkan kepada keterangan SP3. Bermula dengan perbualan telefon dengan seorang yang menggelarkan dirinya sebagai “Boy” yang menggunakan talian 014-7984242 sehinggalah kemudiannya satu pertemuan telah diadakan di Restoran Pelita. Semasa pertemuan itu, sumber telah memperkenalkan Perayu Pertama kepada SP3 sebagai “Boy” dan sumber turut memperkenalkan SP3 sebagai ‘Abang dari Langkawi’. Keterangan SP3 tidak dicabar dan tidak dipertikaikan oleh Perayu Pertama sebelum rundingan jual beli dadah berlangsung di antara SP3 dengan Perayu Pertama. [18] Kami telah meneliti keterangan SP3 di muka surat 58-59 Rekod Rayuan Jilid 2A, seperti berikut: “TPR : Selepas awak dah parking awak buat apa? : Selepas parking saya jumpa sumber balik. TPR : Jumpa dekat mana tu? : Di kawasan Caltex saya minta dia berhubung dengan ‘Boy’ balik. Apabila sumber telah berhubung semasa itu saya berada di tempat parking kawasan Caltex, ‘Boy’ memberitahu sumber dia telah lambai tangan yang mana ‘Boy’ ini ada dalam Restoran Pelita berdepan. Restoran dengan Caltex tu berdepan. Yang Arif : Kemudian? 18 : Saya bersama sumber pergi berjumpa ‘Boy’ dalam restoran tempat ‘Boy’ duduk di bahagian luar kaki lima restoran. Sumber kenalkan dengan ‘Boy’, “Ini abang yang tadi tengahari you contact abang daripada Langkawi yang minta bekalan dan berbincang hal harga tadi.” Selepas sumber kenalkan saya bersama ‘Boy’ sumber pun memberitahu dia ada kerja lain. Saya pun bagitau dekat sumber tak apa saya jumpa dengan ‘Boy’ you kenalkan saya akan minta dia kurang ataupun saya akan berbincang lagi. Sumber pun beredar daripada kawasan itu. TPR : Ulang balik? : Setelah sumber kenalkan ini ‘Boy’ sumber dah kenalkan saya ini Abang Langkawi. OK ‘Boy’ dengan abang sembang sumber akan keluar daripada kawasan tersebut pasal ada urusan lain.” [19] Dalam pemeriksaan balas, SP3 tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa Perayu Pertama bukanlah “Boy” yang SP3 maksudkan. Dalam keterangan pembelaannya, Perayu Pertama menyatakan bahawa kawannya yang bernama Gobi yang dikenali dengan panggilan “Boy” namun ini tidak dicadangkan kepada SP3. Apa yang dicadangkan kepada SP3 ialah seperti di muka surat 86 Rekod Rayuan Jilid 2A seperti berikut: “S : Dan saya cadangkan juga kepada En. Saiful bahawa tertuduh pertama ini bukanlah lelaki yang nama ‘Boy’. 19 Totally orang lain maksudnya tertuduh pertama ini bukan ‘Boy’? : Saya tak setuju Yang Arif.” [20] Perayu Pertama telah dicamkan oleh SP3 di Mahkamah sebagai penama “Boy” yang telah diperkenalkan oleh sumber di Restoran Pelita. Perayu Pertama adalah orang yang duduk berbincang sambil minum dan makan di Restoran Pelita. Perbincangan di antara SP3 dengan Perayu Pertama melibatkan jual beli dadah, tentang harga dan transaksi jual beli secara ‘kiri-kanan’. Setelah harga disetujui, Perayu Pertama telah masuk dalam kereta Kancil untuk melihat wang bagi harga bayaran. Perayu Pertama telah mengira wang harga bayaran berjumlah RM29,600. Perayu Pertama kemudian telah mengambil satu kotak berwarna putih yang mengandungi dadah yang dipertuduhkan dari dalam kereta Persona yang dipandu oleh Perayu Kedua untuk diserahkan kepada SP3 sebelum serbuan dilakukan oleh pasukan diketuai oleh SP5. Semua keterangan dan fakta ini telah diterima oleh hakim bicara. Kami mendapati hakim bicara tidak khilaf dalam menerima keterangan SP3, SP5 dan SP6 sebelum mensabitkan Perayu-Perayu atas kedua-dua pertuduhan. Kami juga mendapati bahawa penama “Boy” ialah Perayu Pertama dalam kes ini. Watak ‘Gobi’ hanyalah satu ciptaan dan rekaan Perayu Pertama untuk melepaskan dirinya dari pertuduhan. [21] Hakim bicara telah menolak pembelaan Perayu-Perayu sebagai satu penafian dan rekaan semata-mata. Penilaian dan dapatan hakim bicara mengenai pembelaan Perayu-Perayu kami perturunkan seperti di muka surat 75-80 Rekod Rayuan, Jilid 1 seperti berikut: 20 “[33] Tertuduh Pertama semasa memberi keterangan menyatakan bahawa butiran perbualan antaranya dengan SP3 hanyalah pertanyaan dari SP3 bagaimana mengenali GOBI dan juga SP3 bertanya Tertuduh Pertama tinggal di mana. Walau bagaimanapun jika diteliti soalan yang diutarakan kepada SP3 oleh peguam bela Tertuduh Pertama, peguam bela Tertuduh Pertama mencadangkan bahawa SP3 dan Tertuduh Pertama berada di dalam Restoran Pelita selama 15-16 minit dan dalam masa itu peguam bela Tertuduh Pertama mencadangkan bahawa SP3 ada bertanya kepada Tertuduh Pertama sama ada “Boy” ada meninggalkan apa-apa barang untuk SP3. Kedua-dua soalan dari peguam bela Tertuduh Pertama tersebut tidak dipersetujui oleh SP3. Seterusnya peguam bela Tertuduh Pertama mencadangkan kepada SP3 di dalam soalan balas bahawa Tertuduh Pertama ada memberitahu SP3 bahawa “Boy” ada meninggalkan satu kotak untuk SP3. Adalah nyata bahawa apa yang dicadangkan oleh peguambela Tertuduh Pertama kepada SP3 semasa soalan balas adalah bertentangan dengan keterangan Tertuduh Pertama semasa pembelaan. [34] Jika diteliti corak soalan balas peguam bela Tertuduh Pertama, ia menggambarkan bahawa Tertuduh Pertama mengetahui bahawa GOBI meninggalkan satu kotak untuk diserahkan kepada SP3 tetapi semasa Tertuduh Pertama memberi keterangan pembelaan, dia menyatakan bahawa perbualan antara dia dan SP3 hanya berkisar kepada bagaimana Tertuduh Pertama mengenali GOBI dan Tertuduh Pertama tinggal di mana. Itu saja. [35] Tertuduh Pertama di dalam keterangan pembelaannya menyatakan bahawa GOBI telah membawa satu beg plastik putih ke dalam Restoran Pelita tetapi Tertuduh Pertama tidak mengetahui kandungan beg plastik putih tersebut. Semasa SP3 disoal balas oleh peguam bela Tertuduh Pertama yang semestinya 21 mendapat arahan daripada Tertuduh Pertama, peguam bela telah mencadangkan kepada SP3, bahawa Tertuduh Pertama memberitahu SP3 bahawa “Boy” telah meninggalkan satu kotak untuk SP3. [36] Lanjutan daripada itu juga, barang kes yang akhirnya dirampas oleh pihak polis daripada Tertuduh Pertama merupakan satu kotak kertas warna putih dan di dalam kotak putih ini didapati mengandungi barang disyaki dadah berbahaya. Tiada beg plastik putih yang dirampas daripada Tertuduh Pertama (Lihat Borang Serah Menyerah Barang Kes – Ekshibit P12 dan gambar Ekshibit P8D). [37] Berkaitan keterangan Tertuduh Kedua pula, Tertuduh Kedua menyatakan bahawa dia tidak mengenali Tertuduh Pertama sebelum kejadian ini. Adakah ini satu kebetulan kerana kedua-dua mereka datang dari kawasan yang sama. Tertuduh Pertama dari 22 Lorong Sembilang 12, Seberang Jaya, Pulau Pinang manakala Tertuduh Kedua dari 11 Tingkat Siakap 1, Seberang Jaya, Pulau Pinang. Tertuduh Kedua menyatakan di dalam keterangan pembelaannya bahawa sebaik sahaja dia memasuki jalan masuk ke stesen minyak Caltex, Sungai Petani itu, keretanya telah dihalang oleh dua kereta dan seterusnya dia ditangkap. SP5 dan pasukannya telah mengambil kedudukan di stesen minyak Caltex seawal jam 5.50 petang lagi. SP5 dapat melihat kedatangan SP3 yang menaiki kereta Kancil KBA 6419 dan juga melihat SP3 dan sumber berjalan menuju ke arah Restoran Pelita. [38] SP5 juga di dalam keterangannya mengesahkan bahawa sumber ada beredar dari Restoran Pelita meninggalkan SP3 dan Tertuduh Pertama. Kemudiannya SP5 melihat SP3 dan Tertuduh Pertama keluar daripada Restoran Pelita dan menuju ke arah kereta KBA 6419 tadi dan kedua-dua mereka masuk melalui pintu hadapan 22 penumpang sebelah pemandu. Mereka berada di dalam lebih kurang 5-10 minit dan kemudiannya SP5 melihat Tertuduh Pertama keluar daripada kereta dan berjalan ke arah jalan masuk ke stesen minyak Caltex dan masuk ke dalam kereta Proton Persona WVH 5171 yang telah tersedia diletakkan di situ melalui pintu hadapan bahagian penumpang di sebelah pemandu. Kemudiannya SP3 melihat Tertuduh Pertama keluar daripada kereta Persona WVH 5171 itu sambil memegang satu kotak warna putih. [39] ASP Shaifulmunzir Bin Abd Rahman (SP6) di dalam keterangannya antara lain menyatakan bahawa dia melihat lelaki India (yang kemudiannya dicamkan sebagai Tertuduh Pertama) keluar daripada kereta AP (SP3) dan berjalan ke arah kereta Persona dan masuk ke dalam kereta Persona tersebut dan keluar membawa satu kotak warna putih dan masuk semula ke kereta AP. SP3 kemudiannya keluar daripada kereta dan memberi isyarat tangan dan SP6 telah menghalang kereta Proton Persona WVH 5171 dengan kereta Proton Waja dan berjaya menahan Tertuduh Kedua yang sedang duduk di bahagian pemandu. Keterangan SD3 tidak dapat membantu kerana walaupun jika benar dia meminta Tertuduh Kedua ke Sungai Petani tetapi apa yang dilakukan oleh Tertuduh Kedua tidak diketahui olehnya. [40] Saksi-saksi penting pendakwaan iaitu SP3, SP5 dan SP6 melihat Tertuduh memasuki kereta Proton Persona WVH 5171 dan keluar semula membawa satu kotak putih. Tertuduh Kedua pula ditangkap semasa berada di bahagian tempat duduk pemandu di dalam kereta Proton Persona WVH 5171. Tidak ada sebab untuk mahkamah ini tidak menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan ini. Dariapada penilaian keterangan di atas secara maksima adalah jelas bahawa pembelaan kedua-dua tertuduh adalah penafian semata-mata dan jalan cerita pembelaan adalah 23 rekaan semata-mata. Mahkamah ini juga menolak kewujudan GOBI yang ditimbulkan oleh pihak pembelaan iaitu oleh Tertuduh Pertama. Tertuduh Pertama adalah “BOY” yang duduk dan berbincang dengan SP3 di dalam Restoran Pelita tersebut berkaitan urusan jual beli dadah dan Tertuduh Kedua sememangnya mengenali Tertuduh Pertama dan bersama-sama terlibat di dalam kejadian ini.”. [22] Sekarang kami akan membincangkan alasan rayuan Perayu Kedua bahawa tiada kes prima facie telah dibuktikan terhadap Perayu Kedua. Kami bincangkan isu ini bersama dengan isu kedua yang dihujahkan oleh peguam bela iaitu mengenai isu niat bersama. Kami dapati teras pembelaan Perayu Kedua adalah bahawa dia pergi ke tempat kejadian seorang diri kononnya untuk bertemu dengan Mr. Tan bagi tujuan melihat lori yang akan dibeli oleh majikannya, SD3. Perayu Kedua menafikan bahawa dia mengenali Perayu Pertama. Tidak dinafikan bahawa rundingan jual beli dadah berlaku hanya melibatkan SP3 dengan Perayu Pertama. Walau bagaimanapun, setelah satu persetujuan dicapai, Perayu Pertama telah pergi ke kereta Persona yang dipandu oleh Perayu Kedua dan telah membawa keluar satu kotak berwarna putih yang berisi dadah yang dipertuduhkan untuk diserahkan kepada SP3. Saksi-saksi SP3, SP5 dan SP6 melihat perbuatan Perayu Pertama tersebut dan keterangan tersebut telah diterima oleh hakim bicara. Tiada alasan untuk kami menolak dapatan fakta yang telah dibuat oleh hakim bicara tersebut. [23] Mengenai isu berkaitan nombor telefon yang tidak disiasat, kami mendapati tiada keperluan untuk telefon milik Perayu-Perayu disiasat oleh kerana perbincangan untuk jual beli dadah tidak dilakukan dan dimuktamadkan melalui perbualan telefon. Perbincangan jual beli dadah 24 dalam kes ini telah dilakukakan secara terus dan bersemuka di antara SP3 dengan Perayu Pertama sementara bekalan dadah telah sedia berada di tempat duduk penumpang hadapan dalam kereta Proton Persona yang dipandu oleh Perayu Kedua. Kereta Proton Persona tersebut telah sedia berada di tempat kejadian dan bersedia dengan bekalan dadah yang akan diserahkan kepada SP3. [24] Mengenai isu sumber yang tidak dipanggil untuk memberi keterangan yang turut ditimbulkan oleh peguam bela Perayu Kedua, kami telah meneliti rekod rayuan dan mendapati bahawa peranan yang telah dimainkan oleh sumber dalam kes ini adalah kecil. Hanya setakat memperkenalkan Perayu Pertama kepada SP3 yang bertindak sebagai penyamar sulit. Setelah memperkenalkan SP3, sumber terus beredar dan tidak terlibat dalam perbincangan jual beli dadah di antara Perayu Pertama dengan SP3. Oleh itu kami mendapati tiada merit terhadap bantahan peguam bela mengenai ketidakpanggilan sumber dalam kes ini. [25] Seksyen 40 Akta membuat peruntukan mengenai perlindungan terhadap sumber seperti berikut: “40. (1) Except as hereinafter provided, no complaint as to an offence under this Act shall be admitted in evidence in any civil or criminal proceeding whatsoever, and no witness shall be obliged or permitted to disclose the name or address of any informer, or state any matter which might lead to his discovery.