Sama ada Penghakiman Ingkar Kehadiran yang direkodkan pada 14 November 2025 adalah teratur [33] Dalam tindakan ini, Peguamcara Plaintif-Plaintif telah memfailkan Afidavit Penyampaian bagi serahan kepada Defendan Kedua dan Defendan Ketiga sebagaimana di Lampiran 4. [34] Mahkamah telah meneliti bukti-bukti serahan berupa kad akuan terima Pos Berdaftar A.R yang dilampirkan bersama-sama Lampiran 4 tersebut dan membuat rujukan silang kepada alamat yang dideposkan oleh Defendan Kedua dan Defendan Ketiga di Afidavit-Afidavit Sokongan dan Afidavit-Afidavit Balasan Defendan Kedua dan Defendan Ketiga sebagaimana di Lampiran 33, 34, 38 dan 39. [35] Berdasarkan semakan ini, Mahkamah mendapati alamat-alamat penyampaian Defendan Kedua dan Ketiga yang diserahkan oleh Plaintif-Plaintif adalah alamat yang sama dan masing-masingnya mempunyai catatan akuan penerima sebagai nama Defendan Kedua dan Defendan Ketiga. [36] Mahkamah mendapati bahawa fakta-fakta ini adalah merupakan keterangan kukuh dan konklusif bahawa sememangnya kertas-kausa telah disampaikan secara teratur dan sempurna kepada Defendan Kedua dan Ketiga. [37] Berkenaan isu tandatangan palsu yang dibangkitkan oleh Defendan Kedua dan Ketiga, Mahkamah mendapati bahawa tiada sebarang keterangan sokongan seperti laporan polis telah dibuat oleh Defendan Kedua dan Defendan Ketiga berkenaan dengan isu pemalsuan tandatangan ini. [38] Dalam hal ini, Mahkamah telah merujuk kepada kes Ismail Hashim v. Inno Concrete Technologies Sdn Bhd [2021] CLJU 855; [2021] 1 LNS 855 (HC) di mana Mahkamah Tinggi telah memutuskan seperti berikut: "[61] However, this Court bore in mind that a body of case law has developed in Malaysia which gives much weight in civil cases to whether a contemporaneous police report was made when any allegation of criminal wrongdoing such as fraud or forgery was made. In Floral Trends v. Li Onn Floral Enterprise (M) Sdn. Bhd. [2006] 6 CLJ 525, the 2nd Defendant claimed that his signature on the letter of guarantee was forged and the High Court held that it is a criminal wrong to forge a document and bereft of a police report, the allegation of the 2nd Defendant must be construed as a bare allegation. In David Wong Hon Leong v. Noorazman bin Adnan [1995] 4 CLJ 155 the appellant failed to timeously lodge a police report and Gopal Sri Ram JCA speaking for the Court of Appeal upheld the approach of the learned High Court Judge in giving no weight to the police report on bribery. Similarly, in Chong Wan Ping & Anor v. Shamshudeen Hj Mohd Yunus [2009] CLJU 834; [2009] 1 LNS 834 the High Court held that for an allegation of fraud in a civil proceeding, it must be shown that a contemporaneous police report had been lodged, otherwise the allegations are merely bare allegations. In the recent Court of Appeal case of Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd v. Hong Voon Chung [2021] CLJU 250; [2021] 1 LNS 250, a delay of some 16 months in lodging a police report by the litigant alleging that his signature on a joint and several guarantee was forged was adversely held against him. And, the Court of Appeal found that the reason advanced for the delay that he left the matter to his lawyers to be incredible. These cases would by necessary implication establish that a police report lodged by a person interested at a time when proceedings were pending or anticipated, involving a dispute as to any fact which the statement might tend to establish would be admissible." [penekanan ditambah] [39] Bagi nombor kad pengenalan Defendan Kedua yang tidak tepat, adalah dapatan Mahkamah bahawa ianya masih tidak dapat menyangkal fakta bahawa alamat penyampaian tersebut masih merupakan alamat yang sama dengan alamat Defendan Kedua sebagaimana yang dideposkan oleh Defendan Kedua sendiri di dalam Afidavit-Afidavitnya. [40] Selanjutnya, Mahkamah juga turut mempertimbangkan bahawa serahan melalui Pos Berdaftar A.R ini dibuat oleh pihak Pos Malaysia yang merupakan pihak ketiga yang tidak mempunyai sebarang kepentingan di dalam tindakan ini sehingga bertindak untuk memalsukan penerimaan kertas-kertas kausa tersebut. [41] Oleh itu, berdasarkan fakta-fakta ini, Penghakiman Ingkar Kehadiran bertarikh 14 November 2025 yang direkodkan terhadap Defendan Kedua dan Defendan Ketiga adalah teratur.