Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR PERBICARAAN JENAYAH NO : CA-45A-11-10/2017 DAN No : CA-45A-13-10/2017 PENDAKWA RAYA LAWAN LIM WAI WANG (NO. K/P: 740718-01-6321) ALASAN PENGHAKIMAN
/akn/my/judgment/high-court/2021/03ebfab0-615a-495d-881e-13c8b63d7224
High Court of Malaysia17 Nov 2021CA-45A-13-10/2017
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“Yusoff [2019] 1 LNS 142 di mana Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa : “[31] We revisit the test to be applied in determining whether a prima facie case had been made out under s. 173 or s. 180 of the Criminal Procedure Code. It has been settled that a judge sitting alone must subject the prosecution evidence to maximum e”
“them for the purpose of trafficking in them would, in absent of any plausible explanation by him, be irresistible –even if there were no statuory presumption such as is contained in section 15 of the Drugs Act”. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 15 As a ma”
“rujuk kepada kes PP v. Chia Leong Foo [2000] 4 CLJ 649 yang menyatakan seperti berikut : “This is a re-statement of the common law position as formulated in the celebrated case of Woolmington v. DPP [1935] AC 462 where Lord Sarkey LC said at pp. 481-482: Throughout the web of English Criminal Law one golden thread is a”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUANTAN DALAM NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR PERBICARAAN JENAYAH NO : CA-45A-11-10/2017 DAN No : CA-45A-13-10/2017 PENDAKWA RAYA LAWAN LIM WAI WANG (NO. K/P: 740718-01-6321) ALASAN PENGHAKIMAN
1
Lim Wai Wang (OKT 1) dan Low Chin Seong (OKT 2) telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuantan dengan dua kes seperti di atas melalui pertuduhan-pertuduhan P2, P3 dan P4. Kedua-dua OKT telah mengaku tidak bersalah dan meminta kes untuk dibicarakan.
2
Sewaktu kes sedang berjalan, OKT 2 telah meninggal dunia pada 23 April 2019, dan dengan itu pertuduhan P50 telah dikemukakan dan dibacakan dan OKT 1 telah meminta pertuduhan tersebut dibicarakan.
3
Di akhir perbicaraan, Mahkamah telah mendapati OKT 1 bersalah sepertimana pertuduhan P3, P4 dan P50 dan dengan itu disabitkan dan dihukum seperti mana pertuduhan.
4
Pada 30 April 2017 jam lebih kurang 9.00 malam, bertempat di tepi jalan Lorong Bukit Setongkol Jaya 12, Kuantan, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Pahang yang diketuai oleh Inspektor Izwan Hafees Bin Mukhtar (SP7) telah melihat OKT 1 keluar melalui pintu bahagian pemandu sebuah kereta Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran CAY 8321 yang pada ketika itu sedang berhenti di tepi jalan di kawasan tempat kejadian. OKT 1 pada ketika itu dilihat sedang memegang dan membawa satu (1) kotak dengan menggunakan kedua-dua tangannya.
5
SP7 dan pasukannya kemudiannya telah menghampiri OKT 1 sambil memperkenalkan diri sebagai polis. OKT 1 pada mulanya cuba untuk melarikan diri dan melepaskan kotak tersebut dari tangannya sebelum berjaya ditahan oleh Pengadu. Pengadu juga mendapati OKT 2 sedang berada di dalam kereta tersebut di bahagian penumpang hadapan sebelah pemandu lalu turut menahannya.
6
SP7 kemudiannya menjalankan pemeriksaan terhadap kotak yang telah dilepaskan oleh OKT 1 dan mendapati ianya merupakan 1 kotak berwarna merah bertulisan cina di dalamnya mengandungi 4 paket plastik lutsinar/perak berisi bahan disyaki dadah jenis Heroin dan 1 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine.
7
SP7 kemudiannya telah membuat pemeriksaan lanjut terhadap kereta tersebut dan telah menjumpai dua (2) beg plastik berwarna kuning di bahagian alas kaki penumpang belakang sebelah kiri kereta tersebut. Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua beg plastik berwarna kuning tersebut mendapati setiap satunya mengandungi lapan (8) paket plastik lutsinar/perak berisi bahan disyaki dadah jenis Heroin. SP7 kemudiannya telah menangkap OKT 1 dan OKT 2 serta merampas barang-barang kes disyaki dadah yang dijumpai dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.
8
Ahli Kimia, Puan Zarida Binti Zahari (SP1) yang telah melakukan analisa terhadap barang-barang kes telah mengesahkan bahawa 4 paket plastik lutsinar/perak berisi bahan disyaki dadah (yang dirampas dari kotak) adalah mengandungi dadah berbahaya jenis Heroin dan Monoacetylmorphines sejumlah berat 23.1 gram (8.7 gram Heroin dan 14.4 gram Monoacetylmorphines) manakala 1 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah (yang juga dirampas dari kotak tersebut) adalah mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine sejumlah berat 2.2 gram.
9
SP1 juga mengesahkan bahawa 16 paket plastik lutsinar/perak berisi bahan disyaki dadah (yang dirampas dari 2 beg plastik berwarna kuning) adalah mengandungi dadah berbahaya jenis Heroin dan Monoacetylmorphines sejumlah berat 78.4 gram (27.8 gram Heroin dan 50.6 gram Monoacetylmorphines). Beliau selanjutnya mengesahkan Heroin, Monoacetylmorphines dan Methamphetamine adalah dadah berbahaya sebagai mana yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
10
Di akhir kes pendakwaan, pihak pendakwaan haruslah membuktikan bahawa satu kes prima facie telah dibuktikan terhadap tertuduh. Rujukan dibuat kepada Seksyen 180 Kanun Acara Jenayah. Apa yang dikatakan sebagai kes prima facie, rujuk kes : i) PP v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457 ii) Looi Kow Chai & Anor v PP [2003] 1 CLJ 734
11
Di dalam kes Balachandran v Public Prosecutor [2005] 2 MLJ 301, Mahkamah Persekutuan semasa menjelaskan konsep prima facie antara lainnya menyatakan : “...A prima facie case is therefore one that is sufficient for the accused to be called upon to answer. This in turn means that the evidence adduced must be such that it can be overthrown only by evidence in rebuttal.” PEMBUKTIAN BAGI PERTUDUHAN DI BAWAH SEKSYEN
12
Bagi membuktikan elemen-elemen berikut terhadap OKT 1 dan OKT 2 bagi kedua-dua kes adalah seperti berikut : a) Dadah tersebut adalah dadah berbahaya sepertimana yang tersenarai dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan berat bersih sepertimana dalam pertuduhan; b) Dadah tersebut adalah dalam milikan OKT 1 dan OKT 2; dan c) OKT 1 bersama-sama dengan si mati telah melakukan perbuatan pengedaran dadah.
13
Bagi elemen (a), di dalam keterangan SP1, beliau telah menerima barang-barang kes daripada Inspektor Raimon bin Bakar (SP8). Hasil analisanya, SP1 telah mengesahkan barang kes dadah tersebut merupakan dadah jenis Heroin dan Monoacetylmorphines sejumlah berat 23.1 gram (8.7 gram Heroin dan 14.4 gram Monoacetylmorphines) manakala 1 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah (yang juga dirampas dari kotak tersebut) adalah mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine sejumlah berat 2.2 gram. Beliau juga mengesahkan bahawa 16 paket plastik lutsinar/perak berisi bahan disyaki dadah (yang dirampas dari 2 beg plastik berwarna kuning) adalah mengandungi dadah berbahaya jenis Heroin dan Monoacetylmorphines sejumlah berat 78.4 gram (27.8 gram Heroin dan 50.6 gram Monoacetylmorphines).
14
Laporan Kimia berkenaan dengan analisa yang dibuat oleh SP1 ini telah dikemukakan sebagai Eksibit P9 dan menyatakan bahawa dadah jenis Heroin, Monoacetylmorphines dan Methamphetamine adalah dadah berbahaya sebagaimana yang disenaraikan di dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya
1952
Dengan itu, elemen (a) telah berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwaan.
15
Bagi elemen (b), OKT 1 dan si mati sememangnya punya kawalan dan jagaan terhadap dadah tersebut berdasarkan fakta-fakta seperti berikut : i) SP7 telah melihat OKT 1 keluar melalui pintu bahagian pemandu sebuah kereta Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran CAY 8321 (Eksibit P58) yang pada ketika itu sedang berhenti di tepi jalan di kawasan tempat kejadian. OKT 1 pada ketika itu dilihat sedang memegang/membawa satu (1) kotak dengan menggunakan kedua-dua tangannya. ii) SP7 dan pasukannya kemudiannya telah menghampiri OKT 1 sambil memperkenalkan diri sebagai polis. OKT 1 telah melarikan diri dan melepaskan kotak tersebut dari tangannya sebelum berjaya ditahan oleh SP7. SP9 juga mendapati OKT 2 sedang berada di dalam kereta tersebut di bahagian penumpang hadapan sebelah pemandu lalu menahannya. iii) SP7 kemudiannya menjalankan pemeriksaan terhadap kotak yang telah dilepaskan oleh OKT 1 dan mendapati ianya merupakan 1 kotak berwarna merah bertulisan cina (Eksibit P12) di dalamnya mengandungi 4 paket plastik lutsinar/perak (Eksibit P13, 14, 15 dan 16) berisi bahan disyaki dadah jenis Heroin dan 1 paket plastik lutsinar (Ekshibit P17) berisi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine. iv) Pemeriksaan lanjut dibuat terhadap kereta CAY8321 tersebut dan SP7 telah menjumpai dua (2) beg plastik berwarna kuning (Ekshibit P23 dan P36) di bahagian alas kaki penumpang belakang sebelah kiri kereta tersebut. Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua beg plastik berwarna kuning tersebut mendapati setiap satunya mengandungi lapan (8) paket plastik lutsinar/perak (Eksibit P24 - P31 dan P37 - P44) berisi bahan disyaki dadah jenis Heroin. v) Lokasi dadah yang dijumpai di luar kereta adalah sangat berdekatan dengan kedudukan OKT 1 dan dadah yang dijumpai di dalam kereta juga sangat berdekatan dengan OKT 1 dan OKT 2. Dadah tersebut bukanlah di tempat yang tersembunyi. vi) Tiada mana-mana orang lain yang berada di dalam kereta tersebut ketika itu selain daripada OKT 1 dan OKT 2. vii) SP8 mengesahkan bahawa dia telah merekod keterangan saksi bernama Amran bin Ab Mutalib. Amran telah meninggal dunia sebelum sempat memberi keterangan di mahkamah. Berdasarkan kenyataan bertulis Amran yang dikemukakan melalui peruntukan Seksyen 32 (i) Akta Keterangan 1950, Amran mengesahkan telah memberikan kereta tersebut untuk digunakan oleh SP2. SP2 kemudian telah menjual kereta CAY 8321 tersebut kepada seorang lelaki cina tua. Lelaki cina tersebut dicam oleh SP2 melalui gambar yang dikemukakan sebagai Eksibit P46 A&B. viii) SP5 (isteri OKT 2) juga mengesahkan bahawa dia melihat OKT 1 menggunakan kereta tersebut dan pernah naik kereta itu bersama OKT 1 dan OKT 2 untuk pergi klinik.
16
Bagi elemen pengetahuan pula, barang-barang kes dadah tersebut telah dijumpai di dalam kotak (Ekshibit P12) yang dibawa oleh OKT 1, manakala dua plastik kuning (P23 dan P36) berada di bahagian penumpang belakang sebelah kiri kereta. Kedudukan barang kes P12 yang berada di tangan OKT 1, manakala Ekshibit P23 dan P36 yang dijumpai di dalam kereta jelas menunjukkan bahawa OKT 1 dan OKT 2 secara bersama-sama punya pengetahuan terhadap barang kes (dadah) tersebut.
17
Seterusnya, bentuk dadah yang sama iaitu serbuk dan ketulan dari jenis yang sama iaitu Heroin dan Monoacetylmorphines jelas menunjukkan OKT 1 dan OKT 2 sememangnya punya pengetahuan akan dadah tersebut yang mana dalam kuantiti yang banyak dan ini menjurus kepada penglibatan OKT 1 dan OKT 2 di dalam perbuatan pengedaran dadah berkenaan.
18
Sewaktu kejadian itu juga, SP7 menyatakan bahawa OKT 1 cuba melepaskan dadah (P12) dan cuba melarikan diri apabila SP7 memperkenalkan diri sebagai polis. Manakala OKT 2 pula dalam keadaan gelisah, cemas dan takut sebelum SP7 membuka pintu kereta tersebut. Keadaan kedua-dua OKT ini jelas menunjukkan bahawa mereka tahu akan kandungan dadah yang terdapat di dalam kotak dan juga P23 dan P36 dan ini menjurus kepada perbuatan OKT 1 yang cuba melarikan diri manakala keadaan OKT 2 yang takut dan gelisah di dalam kereta. Tiada apa-apa keterangan yang menunjukkan OKT 1 dan OKT 2 menafikan tentang kewujudan dadah di dalam kotak (P12) dan di dalam kereta (P23 dan P36). Ini menunjukkan bahawa OKT 1 dan OKT 2 sememangnya punya pengetahuan akan dadah tersebut.
19
Di dalam kes Parlan bin Dadeh v. PP [2009] 1 CLJ 717, Mahkamah Persekutuan memutuskan dan menyatakan pada para 36 : “Conduct like the flight of an accused is a more positive act and is easily established. On the other hand conduct like the accused looking stunned, nervous, scared or frightened is very often a matter of perception and more detailed evidence may be required. Once admitted the court cannot resort to any other explanation for the conduct or draw inferences on its own accord to render it inadmissible. The onus is on the accused to explain his conduct pursuant to s 9”.
20
Dengan itu, kelakuan serta reaksi OKT 1 dan OKT 2 adalah sangat berkaitan di antara mereka dengan barang-barang kes dadah tersebut. Ini jelas daripada perbuatan OKT 1 yang cuba melarikan diri semasa serbutan, manakala OKT 2 pula dalam keadaan gelisah dan cemas di dalam kereta. Oleh itu, elemen (b) telahpun diasaskan oleh pihak pendakwaan.
21
Bagi elemen (c) pula, adalah jelas bahawa OKT 1 dan OKT 2 punya milikan terhadap barang-barang kes yang dijumpai di dalam kotak (P12) dan juga di dalam plastik (P23 dan P36) yang dijumpai di dalam kereta Proton Wira CAY 8321. SP5 mengesahkan bahawa dia melihat OKT 1 yang memandu kereta tersebut semasa datang ke rumah SP5 bersama OKT 2. Oleh itu, elemen kawalan, jagaan dan milikan adalah berkait rapat dengan tindakan OKT 1 dan OKT 2 semasa serbuan dibuat.
22
Di dalam kes ini, jumlah dadah yang ditemui adalah jumlah yang besar iaitu 23.1 gram Heroin dan Monoacetylmorphines dan juga 78.4 gram Heroin dan Monoacetylmorphines adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal bahawa OKT 1 dan OKT 2 memiliki dan menyimpan dadah tersebut bagi tujuan pengedaran.
23
Di dalam kes Ong Ah Chuan v. PP [1981] 1 MLJ 64 yang mana telah diterimapakai oleh Mahkamah Rayuan di dalam kes Mohamed Yazri Minhat v. PP [2003] 2 CLJ 65 di mukasurat 74 menyatakan bahawa : “proof of the purpose for which an act is done, where such purpose is a necessary ingredient of the offence with which an accused is charged, presents a problem with which criminal courts are very familiar. Generally, in the absence of an express admission by the accused, the purpose with which he did an act is a matter of inference from what he did. Thus, in the case of an accused caught in the act of conveying from one place to another controlled drugs in quantity much larger than is likely to be needed for his own consumption the inference that he was transporting them for the purpose of trafficking in them would, in absent of any plausible explanation by him, be irresistible –even if there were no statuory presumption such as is contained in section 15 of the Drugs Act”. As a matter of common sense the larger the quantity of drugs involved the stronger the inference that they were not intended for the personal consumption of the person carrying them, and the more convincing the evidence needed to rebut it.”
24
Di dalam kes PP v. Aouseng Sama-Ae [2008] 1 CLJ 337 di mana Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa : “[5] Now apply that approach here. The accused came from some other place to the house in question. He brought exh. P18 along with him. The drug found in the bag exh. P18 – almost 2 kg of cannabis – was far in excess of what may be needed for personal consumption. In the absence of any explanation from the accused it is a fair inference the drug was obviously intended for some person, known or unknown to the accused. Or, to borrow the more elegant words of Lord Diplock in Ong Ah Chuan, it is a fair inference that the accused’s purpose here was “to part with possession of the drug or any portion of it to some other person whether already known to him or a potential purchaser whom he hopes to find.”
25
Oleh itu, daripada keterangan yang ada, jelas menunjukkan bahawa dadah yang ditemui dalam kuantiti yang begitu banyak bukanlah untuk kegunaan OKT 1 dan OKT 2 secara peribadi. Dan oleh itu, Mahkamah ini boleh membuat irresistable inference bahawa kedua-dua OKT 1 dan OKT 2 sememangnya punya niat untuk mengedarkan dadah tersebut.
26
Dengan itu, Mahkamah membuat dapatan fakta bahawa OKT 1 dan OKT 2 melakukan perbuatan pengedaran dadah sepertimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952.
27
Mahkamah juga merujuk kepada kes Teh Geok Hock v PP [1989] 3 MLJ 162 di mana Mahkamah memutuskan bahawa : “True, the definition in the Act sounds artificial and not according to the ordinary meaning of the word ‘trafficking’ which is normally understood to mean to trade in, buy or sell, any commodity, albeit often with sinister implication. See also the Shorter Oxford English Dictionary. The definition of ‘trafficking’ in the Act is wide and includes not only buying and selling, but also carrying, concealing dan keeping.”
28
Di dalam kes PP v. Atisheshan Singaram [2010] 1 LNS 463 yang menyatakan bahawa : “iii. Whether the accused was trafficking in dangerous drugs. I am making a positive finding of fact that the accused was trafficking 20,689.5 grams of the dangerous drug ketamine as defined under Section 2 of the DDA 1952 on the 26th of April 2008 when he was arrested at the airport. In arriving at this finding, I am relying on the same factual analysis to which I have based my finding to establish that the accused was the person who was carrying the dangerous drugs in exhibit P16 from New Delhi to Singapore on the 25th of July 2008 and from Singapore to Kuala Lumpur on the 26th of July 2008 via Singapore Airlines flights number SQ 407 and SQ 108 and that the accused had the knowledge that exhibit P16 contained the dangerous drugs. the facts to which I have enumerated in the above passages establish that the accused was not merely in passive possession or merely holding exhibit P16. the accused was carrying exhibit P16 ie, moving exhibit P16 from New Delhi to Kuala Lumpur via air travel. this act of the accused amounts to trafficking as defined by Section 2 of the DDA 1952.”
29
Di dalam kes ini, perbuatan OKT 1 dan OKT 2 yang membawa kotak (P12) dan juga perbuatan OKT 1 dan OKT 2 yang menyorokkan dadah (P23 dan P36) di dalam kereta adalah terjumlah kepada perbuatan pengedaran secara langsung sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana dadah tersebut telah siap di seal di dalam plastik lutsinar dalam saiz yang sama bagi setiap paket yang mana ini jelas menunjukkan dadah yang di dalam kuantiti yang banyak begitu adalah dibuat untuk tujuan pengedaran dadah.
30
Bagi pembuktian di bawah pertuduhan Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu menjurus kepada dadah Methamphetamine sebanyak 2.2 gram, maka peruntukkan di bawah subseksyen (3) adalah terpakai bagi tujuan menentukan hukuman dan peruntukan di bawah Seksyen 39A(1) dan (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Di dalam kes ini, adalah jelas bahawa OKT 1 turut punya milikan terhadap dadah jenis Methamphetamine sebanyak 2.2 gram tersebut.
31
Bagi faktor rantaian barang kes, pihak pendakwaan menghujahkan bahawa ianya tidak terputus berdasarkan keterangan seperti berikut : i) SP9 telah menjelas dan mengesahkan barang kes dadah yang dirampas dari OKT 1 dan OKT 2 telah diperiksa dan dipegang oleh SP7 dan kemudiannya telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat (SP8). Semasa menyerahkan barang kes kepada SP8, Borang Akuan Serah/Terima Barang Kes (P60) telah ditandatangani di antara SP7 dan SP8. ii) SP8 pula menjelaskan setelah menerima barang kes daripada SP7, barang kes tersebut telah dibuat tandaan, pengesanan cap jari dan kemudiannya disimpan di dalam locker berkunci di dalam pejabatnya. SP8 turut mengesahkan hanya beliau seorang sahaja mempunyai akses terhadap locker berkunci tersebut. iii) SP8 kemudiannya telah menghantar barang kes dadah tersebut ke Jabatan Kimia Malaysia dan diserahkan kepada SP1 untuk tujuan analisa. iv) SP2 juga mengesahkan beliau telah menerima barang kes dadah tersebut daripada SP8. SP2 turut mengeluarkan resit rasmi Jabatan Kimia Malaysia (Eksibit P8) kepada SP8 sebagai tanda penerimaan barang kes tersebut. v) SP8 kemudiannya telah menerima semula barang kes dadah daripada SP1. SP1 mengesahkan selepas selesai analisa barang kes telah dimeterikan dengan label keselamatan Jabatan Kimia Malaysia. Barang kes tersebut kemudian telah disimpan oleh SP8 di dalam locker berkunci miliknya sehinggalah dihantar untuk disimpan di Stor Barang Kes Berpusat Indera Mahkota.
32
Dengan itu, dadah yang dirampas di tempat kejadian telahpun diserahkan kepada Pegawai Penyiasat yang mana telah di hantar ke Jabatan Kimia dan diserahkan kepada SP1 untuk tujuan analisa barang kes yang sama juga telah dikemukakan di Mahkamah semasa perbicaraan.
33
Keterangan SP1, SP7 dan SP8 telah dapat mengecam dengan positif setiap barang kes yang dikemukakan berdasarkan kepada penandaan masing-masing dan dengan itu kesemua saksi-saksi tersebut mengesahkan bahawa ianya adalah barang kes yang sama yang telah dirampas daripada kedua-dua OKT dan dengan itu identiti barang kes tidak dapat dipertikaikan lagi. Oleh itu, tiada terputusnya rantaian barang kes pihak Pendakwaan di dalam kes ini.
34
Berkaitan dengan kereta Proton Wira CAY 8321 jelas bahawa OKT 1lah yang telah menggunakan kenderaan tersebut walaupun pemilik asal dan individu bernama Chan Ah Wah telah meninggal dunia. Keterangan SP2, SP3 dan SP5 jelas menunjukkan bahawa OKT 1lah yang menggunakan kenderaan tersebut sewaktu serbuan dan OKT 2 yang berada di dalam kereta tersebut bersama-sama dengan OKT 1 menunjukkan bahawa kedua-dua mereka punya milikan ke atas barang-barang kes yang terdapat dalam kenderaan tersebut.
35
Berkaitan dengan niat bersama iaitu kedua-dua OKT punya niat bersama untuk kesalahan pengedaran melalui peruntukan Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Mahkamah merujuk kepada kes Farose Tamure Mohamad Khan v. PP & Other Appeals FC [2016] 9 CLJ 769 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa : “[66] The existence of a common intention is a question of fact in each case to be proved mainly as a matter of inference from the circumstances of the case. Direct evidence as proof is difficult to procure because the common intention is essentially a state of mind. Invariably inferences have to rely upon arising from such acts or conduct of the accused, the manner in which the accused arrived at the scene, the nature of injury caused by one or some of them or such other relevant circumstances available. The totality of the circumstances must be taken into consideration in arriving at a conclusion whether there is a common intention to commit the offence for which the accused could be convicted. The facts and circumstances of each case might vary. As such, each case should be decided based on the facts involved.”
36
Berdasarkan kepada keterangan SP7 dan SP9, jelas menunjukkan bahawa kedua-dua OKT berada di dalam kereta sejurus OKT 1 keluar membawa kotak (P12), manakala Ekshibit P23 dan P36 berada di dalam kereta. Daripada fakta ini, jelas bahawa OKT 1 dan OKT 2 sememangnya punya niat bersama untuk melakukan pengedaran dadah tersebut.
37
Berkaitan dengan kematian OKT 2 pada 23.4.2019 sewaktu kes sedang berjalan, pindaan P50 telah dikemukakan setelah pihak Pendakwaan mengemukakan Sijil Mati (P49) dan juga Rakaman Percakapan Si Mati (P68).
38
Mahkamah merujuk kepada kes PP v. Chia Leong Foo [2000] 4 CLJ 649 yang menyatakan seperti berikut : “This is a re-statement of the common law position as formulated in the celebrated case of Woolmington v. DPP [1935] AC 462 where Lord Sarkey LC said at pp. 481-482: Throughout the web of English Criminal Law one golden thread is always to be seen, that it is the duty of the prosecution to prove the prisoners' guilt subject to what I have already said as to the defence of insanity and subject also to any statutory exception. If, at the end of and on the whole of the case, there is a reasonable doubt, created by the evidence given by either the prosecution or the prisoner, as to whether the prisoner killed the deceased with a malicious intention, the prosecution has not made out the case and the prisoner is entitled to an acquittal. No matter what the charge or where the trial, the principle that the prosecution must prove the guilt of the prisoner is part of the common law of England and no attempt to whittle it down can be entertained.”
39
Di atas kematian OKT 2 tersebut dan dengan pengemukaan Ekshibit P68, pihak Pendakwaan telah berjaya menunjukkan terdapatnya niat bersama di antara OKT 1 dan OKT 2. Oleh itu, di akhir kes Pendakwaan, Mahkamah berpuashati bahawa elemen-elemen penting pertuduhan terlahpun diasaskan oleh pihak Pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut dan dengan itu OKT 1 di panggil untuk membela diri akan kesemua pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan.
40
Melalui keterangan secara bersumpah, OKT 1 menyatakan antara lain : a) Pada tarikh kejadian, SD1 (OKT 1) menyatakan bahawa pada sebelah siang hari, beliau ke Temerloh dengan menaiki kereta untuk membuat penghantaran barang dalam talian; b) Setiba kembali dari Temerloh di Kuantan, di Plaza Tol Gambang, kereta OKT 1 telah rosak. OKT 1 tinggal di Bukit Setongkol. Untuk masuk ke bandar Kuantan, beliau tidak menggunakan Plaza Tol Kuantan sebaliknya menggunakan Plaza Tol Gambang; c) Disebabkan kereta rosak, beliau telah memohon bantuan dari rakannya iaitu si mati (OKT 2). OKT 1 mendakwa bahawa kereta Proton Wira CAY 8321 tersebut dipandu dan digunakan oleh OKT 2; d) Disebabkan kereta beliau rosak, beliau telah ikut OKT 2 menggunakan kereta CAY 8321 tersebut ke Kuantan; e) Setelah selesai makan malam, beliau telah memandu kereta untuk balik semula ke rumah beliau melalui jalan di kawasan perumahan baru. Sesampai di sana, beliau dan OKT 2 telah di tangkap oleh pihak Polis; f) Semasa ditangkap, OKT 1 telah menafikan menandatangani Ekshibit P13 iaitu Borang Bongkar/Senarai Geledah. OKT 1 semasa prosiding juga telah membuat permohonan untuk P13 disemak oleh pakar pilihan Mahkamah bagi pengesahan ketulenan tandatangan. Walaubagaimanapun, permohonan tersebut ditolak; g) OKT dengan ini mendakwa bahawa barang kes bagi CA- 45A-13-10/2017 dan CA-45A-11-10/2017 tidak pernah ditandatangani beliau; h) OKT 1 juga menyatakan bahawa selepas tangkapan, beliau tidak dibawa terus ke Balai Polis. Sebaliknya beliau dibawa balik ke rumah beliau dahulu; i) Selain itu, OKT 1 mendakwa semasa di rumah beliau, barang kes bagi kes CA-45A-11-10/2017 pula telah diplanted oleh pihak Polis dan bukannya ditemui dan dirampas di tempat kejadian. OKT 1 mendakwa terdapat saksi yang boleh mengesahkan perbuatan Polis tersebut. Namun, sehingga perbicaraan selesai, OKT 1 tidak memanggil saksi tersebut.
41
Dengan itu, secara ringkasnya, OKT 1 menafikan beliau punya pengetahuan dan juga tiada kawalan, jagaan serta milikan terhadap kesemua barang-barang kes dadah atas alasan bahawa: i) Kenderaan yang digunakan tersebut adalah di dalam penggunaan si mati (Low Chin Seong); ii) Barang kes yang dijumpai di dalam kotak P23 dan P36 adalah di bawah milikan si mati sahaja; dan iii) Barang kes yang terdapat di dalam kotak P2 adalah rekaan pihak Polis semata-mata kerana ia sebenarnya dijumpai di rumah OKT 1. Oleh itu, OKT 1 tidak punya kawalan, pengetahuan, jagaan serta milikan terhadap barang-barang salah yang terdapat di dalam kotak P2 tersebut.
42
Setelah OKT 1 memberi keterangan, pihak peguambela telah menyatakan hasrat untuk memanggil seorang lagi saksi pembelaan iaitu Tan Wah Wah. Namun begitu, pihak peguambela telah gagal untuk mendapatkan saksi ini untuk hadir ke Mahkamah untuk memberi keterangan bagi pihak Pembelaan.
43
Namun begitu, peguambela OKT 1 telah memfailkan satu Notis Usul di atas No. CA-44-9-10/2020 iaitu kebenaran diberikan untuk menyiasat kesahihan tandatangan OKT 1 pada Borang Geledah (Ekshibit P59). Setelah menelitikan notis permohonan tersebut dan setelah menimbangkan penghujahan kedua-dua pihak, Mahkamah mendapati dan memutuskan bahawa OKT 1lah yang telah menandatangani Borang Geledah (P59) dan beliau faham akan arahan yang diberikan untuk menandatangani Borang Geledah tersebut. Dengan itu, Mahkamah berpuashati bahawa OKT 1lah yang telah menurunkan tandatangannya pada Borang Geledah tersebut dan memahami kandungan pada Borang Geledah tersebut.
44
Melalui penghujahan pihak Pembelaan di Akhir Kes Pembelaan, peguam hanya menimbulkan dua isu sahaja iaitu : i) Laporan Kimia (P9) yang disediakan oleh ahli kimia harus ditolak sebagai keterangan; dan ii) Terputus rantaian keterangan “break in-chain evidence” terhadap barang-barang kes yang dirampas.
45
Peguam pihak pembelaan menyatakan bahawa sewaktu SP1 menjalankan ujian dan analisa, dia dibantu oleh dua orang Pembantu Makmal iaitu Puan Masniah dan Puan Suhadah yang mana peranan mereka adalah di dalam penyediaan peralatan dan juga penyediaan alat radas. SP1 menyatakan bahawa peranan kedua-dua Pembantu Makmal ini tidak mempengaruhi keputusan analisa yang telah dibuat oleh SP1.
46
Mahkamah telah merujuk keterangan SP1 ini dan jelas menunjukkan bahawa peranan kedua-dua Pembantu Makmal tersebut hanyalah di dalam penyediaan peralatan dan di dalam penyediaan alat radas dan ini tidak mempengaruhi apa-apa keputusan analisa yang di buat oleh SP1.
47
Di Akhir Kes Pendakwaan, Mahkamah telahpun berpuashati dengan keterangan SP1 yang mana beliau telahpun menjalankan ujian serta analisa terhadap semua barang kes dan dengan itu Laporan Kimia (P9) yang telah disediakan oleh SP1 di terima oleh Mahkamah. Setelah SP1 membuat ujian dan analisa terhadap kesemua barang kes, peranan kedua-dua Pembantu Makmal hanyalah bagi penyediaan peralatan dan tidak langsung turut serta di dalam proses analisa.
48
Dengan itu, keterangan SP1 ini telah pun di terima oleh Mahkamah dan dengan itu isu yang dibawa oleh pihak Pembelaan atas Laporan Kimia (P9) harus ditolak.
49
Berkaitan dengan terputusnya rantaian keterangan ‘break in-chain evidence’ terhadap barang-barang kes, Mahkamah di Akhir kes Pendakwaan telahpun berpuashati akan kedudukan barang kes yang mana ianya adalah sama sepertimana yang dirampas di tempat kejadian yang mana telah dihantar kepada SP1 untuk ujian dan analisa dan telah dikemukakan semula ke Mahkamah sewaktu perbicaraan di mana barang-barang kes tersebut telahpun dicamkan melalui penandaan-penandaan yang telah dibuat oleh saksi-saksi Pendakwaan. Dengan itu juga, isu yang dibawa oleh pihak Pembelaan ini adalah ditolak oleh Mahkamah.
50
Tiada apa-apa keperluan bagi Mahkamah ini untuk revisit atau menilai semula keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak Pendakwaan dan dengan itu isu-isu yang ditimbulkan oleh pihak Pembelaan hanyalah untuk mengelirukan Mahkamah yang mana di akhir kes Pendakwaan, Mahkamah telah berpuashati bahawa kesemua elemen-elemen pertuduhan bagi P3, P4 dan P50 telahpun diasaskan oleh pihak Pendakwaan dan Mahkamah telahpun membuat penilaian secara keseluruhan akan keterangan yang ada. Mahkamah merujuk kepada kes PP v. Alias bin Md Yusoff [2019] 1 LNS 142 di mana Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa : “[31] We revisit the test to be applied in determining whether a prima facie case had been made out under s. 173 or s. 180 of the Criminal Procedure Code. It has been settled that a judge sitting alone must subject the prosecution evidence to maximum evaluation and ask himself whether if he decides to call the accused to enter his defence and the accused elects to remain silent, is the judge prepared to convict him on the totality of the evidence contained in the prosecution case? If the answer is in the negative, then no prima facie case has been made out. It does not mean that the prosecution has to prove its case beyond a reasonable doubt at this intermediate stage: see Dato’ Mokhtar Hashim & Anor v. PP [1983] 2 CLJ 10; [1983] CLJ (Rep) 101; [1983] 2 MLJ 232 followed in Looi Kow Chai & Anor v. PP [2003] 1 CLJ 734; [2003] 2 MLJ 65. As this exercise cannot be postponed to the end of the trial, a maximum evaluation of the credibility of witnesses must be done at the close for the prosecution before the court can rule that a prima facie case has been made out in order to call for the defence: Dato’ Seri Anwar Ibrahim v. PP [2002] 3 CLJ 457; [2002] 3 MLJ 193 FC.”
51
Di akhir kes Pembelaan, apa yang perlu dibuat oleh Mahkamah adalah sama ada kes Pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes Pendakwaan sepertimana yang telah diputuskan di dalam kes Abdul Aziz bin Mohamed Shariff v. PP [2010] 6 MLJ 759 menyatakan bahawa : “It is trite that all that is necessary is for an accused person in his defence to case a reasonable doubt in the prosecution’s case to earn acquittal”
52
Oleh itu, isu berkaitan Laporan Kimia (P9) tidak harus ditimbulkan semula oleh kerana Mahkamah telah berpuashati dengan keterangan SP1 dan tiada sebarang keterangan pakar telah di bawa oleh pihak Pembelaan untuk menyangkal keterangan saksi pakar (SP1) tersebut.
53
Begitu juga dengan rantaian barang-barang kes di mana Mahkamah telah berpuashati bahawa barang-barang kes yang telah dikemukakan di Mahkamah semasa perbicaraan adalah barang-barang kes yang di rampas daripada kotak (P12) dan bungkusan plastik (P23 dan P36) daripada kedua-dua OKT yang mana telah dianalisa oleh SP1. Isu kedua ini juga ditolak oleh Mahkamah.
54
Oleh itu, setelah menimbangkan kes pihak Pembelaan, Mahkamah berpuashati bahawa keterangan saksi Pembelaan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes Pendakwaan. Dengan itu, OKT Lim Wai Wang disabitkan sepertimana pertuduhan P3, P4 dan P50.
55
Setelah mendengar, menilai dan menimbangkan keseluruhan keterangan pihak Pembelaan, Mahkamah ini mendapati dan memutuskan bahawa pihak Pembelaan telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes Pendakwaan. Pembelaan yang dibangkitkan oleh OKT hanyalah penafian kosong semata-mata kerana adalah jelas OKT 1 di dapati memegang kotak (P12) semasa serbuan, manakala Ekshibit P23 dan P36 berada di dalam kereta Proton Wira CAY 8321 yang di pandu oleh OKT 1. Dengan itu, OKT 1 disabitkan atas kesemua pertuduhan-pertuduhan iaitu P3, P4 dan P50.
56
Bagi pertuduhan P3 (berat dadah 8.7 gram Heroin dan 14.4 gram Monoacetylmorphines) OKT 1 dijatuhkan hukuman mati mandatori gantung di leher sampai mati.
57
Bagi pertuduhan P4 (berat dadah 2.2 gram Methamphetamine), OKT 1 dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun bermula dari tarikh tangkap.
58
Bagi pertuduhan P50 (berat dadah 27.8 gram Heroin dan 50.6 gram Monoacetylmorphines), OKT 1 dijatuhkan hukuman mati mandatori di mana OKT akan digantung di leher sampai mati. ZAINAL AZMAN BIN AB AZIZ HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA KUANTAN, PAHANG TARIKH : 19 JULAI 2022 Bagi Pihak Pendakwaan : Tuan Hayda Faridzal bin Abu Hasan Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Unit Pendakwaan, No. 402 Tingkat 4 Mahkota Square, 25000 Kuantan Pahang Bagi Pihak Tertuduh : Encik Richard Bong Tetuan Bong & Co No. 24, Tingkat 1, Bangunan Lee Jalan Tengku Bakar, 28000 Temerloh Pahang
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.