Misran v Muhammad Amirul Hafiz Khairulazuin [2020] 5 CLJ Di dalam kes tersebut, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa: I am of the view that since a person who is a danger to both himself or anyone else on the account of his lack of a valid driving license to drives or ride (as the case maybe) on a road, should not be on the road. [19] Di atas alasan-alasan tersebut, adalah menjadi hujah peguam terpelajar bahawa Majistret yang bijaksana sepatutnya membuat dapatan bahawa plaintif sepatutnya bertanggungan cuai 100% terhadap kemalangan tersebut. [20] Di dalam hujah balasnya, peguam terpelajar plaintif mengatakan bahawa motor van tersebut tidak sepatutnya berada di tepi jalan seperti yang dinyatakan oleh SP1 di dalam keterangannya. Perhatian Mahkamah kemudian ditarik kepada kes Anantha Kiruisan PSR & Anor v Teoh Chu Thong [2008] 5 CLJ 93 MP di mana Mahkamah Persekutuan mengambil maklum bahawa laluan di lorong paling kiri, selalunya dirujuk sebagai laluan kecemasan, sering digunakan oleh penunggang motorsikal. [21] Selain daripada itu, peguam terpelajar seterusnya menghujahkan bahawa ketiadaan lesen memandu bagi pihak plaintif tidak mempengaruhi liabiliti kes. Peguam terpelajar kemudian merujuk kepada kes Chu Kim Sing & Anor v Abdul Rahman bin Amin [1999] 6 MLJ 433. Di dalam kes tersebut, Abdul Malik Ishak H (kemudiannya HMR) memutuskan bahawa fakta bahawa responden tidak memiliki suatu lesen memandu yang sah dan tidak memakai topi keselamatan dan fakta bahawa motosikal yang ditunggangnya adalah tanpa cukai jalan, insurans dan tidak dipasang dengan hon tidak boleh menjadikannya sebagai cuai. [22] Di atas alasan-alasan tersebut, di dalam rayuan balasnya, plaintif telah menggesa Mahkamah ini untuk mengakaskan dapatan Majistret yang bijaksana berhubung dengan liabiliti dan menggantikannya dengan 80% kecuaian defendan-defendan dan plaintif hanya menyumbang cuai 20%. Adakah motor van tersebut sedang bergerak? [23] Berhubung dengan posisi motor van tersebut, plaintif di dalam keterangan awalnya mengatakan bahawa motor van itu nampak macam bergerak. Tetapi semasa pemeriksaan balas, SP2 bersetuju dengan cadangan peguam defendan-defendan bahawa: D/C: Saya cadangkan pada masa hari kejadian m/van itu sebenarnya dalam keadaan tengah parking setuju atau tidak? SP2: Ha (Iya). [24] Defendan pertama juga di dalam pemeriksaan utama mengatakan bahawa pada masa yang material beliau berada di dalam kedai abang ipar beliau dan terdengar bunyi dentuman yang kuat. Defendan pertama, yang juga SD1, kemudian mendapati motorsikal yang ditunggangi oleh plaintif telah melanggar motor van yang “dalam keadaan parkir di tepi jalan”. [25] Kenyataan ini mengesahkan bahawa pada masa material, motor van tersebut berada di dalam keadaan parkir di tepi jalan. Di dalam masa yang sama, SP1 di dalam keterangannya semasa pemeriksaan balas mengatakan bahawa di dalam siasatannya motor van tersebut tidak menghalang laluan plaintif. [26] Sementara SP1 di dalam keterangannya mengatakan bahawa tempat parkir motor van tersebut tidak merupakan kawasan letak kereta, tidak pula ada keterangan yang mengatakan bahawa defendan pertama telah disaman kerana meletak kereta bukan pada tempat yang dikhaskan. Analisis dan Dapatan [27] Adalah tidak dipertikaikan bahawa plaintif tidak mempunyai lesen memandu. Semasa pemeriksaan semula, SP2 telah ditanyakan dengan soalan-soalan ini: P/C: Tadi peguam tanya Encik ada lesen ke tidak, Encik jawab tiada lesen, tapi Encik tahu tak peraturan jalan raya? SP2: Faham macam itu lah. P/C: Lama dah bawa motorsikal? SP2: Lama dah. [28] Daripada keterangan ini tidak ada keterangan yang jelas bahawa plaintif, walaupun tidak mempunyai lesen memandu, mengetahui tentang peraturan jalan raya. Dia hanya menjawab “faham macam itu lah”. Mahkamah ini mengambil maklum bahawa ketiadaan lesen memandu tidak secara automatik menjadikan seorang itu cuai. Tetapi di dalam kes di dalam rayuan, SP2 sendiri mengakui bahawa dia tidak memahami peraturan jalan raya sepenuhnya. [29] Kes Anantha Kiruisan yang dirujuk oleh peguam terpelajar plaintif hendaklah dibezakan kerana di dalam kes tersebut, defendan pertama yang memandu motor teksi telah memotong motorsikal plaintif dari belakang dan memasuki laluan motorsikal plaintif dan terus menghentikan motor teksi menyebabkan berlaku kemalangan. Di dalam kes di dalam rayuan, terkecuali meletakkan motor van beliau di tepi jalan, defendan pertama tidak berbuat apa-apa untuk mendorong plaintif melanggar motor van beliau. [30] Oleh itu kes Anantha Kiruisan adalah dibezakan. [31] Mengambil kira faktor-faktor tersebut, dapatan Mahkamah ini setelah meneliti Rekod Rayuan dan hujah pihak-pihak adalah seperti berikut: