Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA WRIT SAMAN NO.: WA-22NCvC-658-10/2024
WA-22NCvC-658-10/2024
High Court of Malaysia6 May 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“LJ 136, “The concept of indefeasibility of title is so deeply embedded in our land law that it seems almost trite to restate it. Therefore, the registration of the transfer of the said land under the National Land Code defeats all prior unregistered interests in that land unless the party who acquires the registered ti”
“specified in the title. The concept of indefeasibility of title entrenches the title of a registered proprietor to his land, making it immune from attack against the whole world (see Frazer v. Walker [1967] AC 567 and Fels v. Knowles [1906] 26 NZLR 604). As stated by Raja Azlan **Note : Serial number will be used to ve”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA WRIT SAMAN NO.: WA-22NCvC-658-10/2024
1
MAT SHAH ASSETS SDN BHD (No. Syarikat: 1122409-V) ….. PLAINTIF PERTAMA
2
MOHD FAIRUZ BIN MAT @ MAT SHAH (No K/P: 821206-14-5335) [Sebagai Pentadbir Harta Pusaka dan bagi pihak harta pusaka Mat Shah Bin Sapuan [No K/P: 470406-10-5707/3959052] yang juga dikenali sebagai Mat @ Mat Shah Bin Sapuan dan/atau Mat @ Mat Shah Bin Ahmad dan/atau Mat Bin Sapuan menurut Perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 3.3.2023] ….. PLAINTIF KEDUA 27/07/2026 08:07:31 WA-22NCvC-658-10/2024 Kand. 71
1
HARTANAH AP RAKYAT SDN BHD (No. Syarikat: 201701018382/1232547-X) ….. DEFENDAN PERTAMA
2
SULAIMAN@MOHAMED HELMI BIN MOHD ILYAS (No. K/P: 810417-10-5663) ….. DEFENDAN KEDUA ALASAN PENGHAKIMAN
1
Tuntutan Plaintif-Plaintif terhadap Defendan-Defendan dalam Writ Saman bertarikh 23.10.2024 (Kandungan 1) dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 18.10.2024 (Kandungan 2), inter alia, adalah untuk mendapatkan perintah-perintah dan remedi-remedi seperti yang berikut:
a
perintah injunksi interim dan injunksi kekal bahawa Defendan-Defendan dan/atau wakil-wakil Defendan-Defendan tidak menjual, mengusir Plaintif-Plaintif, memasuki, menceroboh, mengganggu dan berurusan dengan hartanah-hartanah yang dikenali sebagai Lot 2945, No. Hakmilik 68023, Seksyen 41, Bandar Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan (selepas ini dirujuk sebagai “Lot 2945”) dan Lot 16682, No. Hakmilik 49751, Mukim Setapak, Daerah Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan (selepas ini dirujuk sebagai “Lot 16682”) sementara menunggu pendengaran dan pelupusan Writ Saman tersebut;
b
deklarasi bahawa pindahmilik dan/atau pendaftaran Lot 16682 dan Lot 2945 tersebut masing-masing atas nama Defendan Pertama dan Defendan Kedua adalah palsu, salah di sisi undang-undang, batal, tidak sah dari awalnya dan tidak mempunyai kesan undang-undang;
c
perintah pelaksanaan spesifik bahawa Defendan Pertama dan Defendan Kedua memindahmilik kembali dan/atau meletakhak kembali Lot 16682 dan Lot 2945 tersebut masing-masing kepada Plaintif Pertama dan Plaintif Kedua dan jika gagal, Pentadbir Hakmilik Tanah diberi kuasa untuk membatalkan pendaftaran hakmilik Defendan Pertama dan Defendan Kedua masing-masing ke atas Lot 16682 dan Lot 2945 tersebut dan mendaftarkan semula Lot 16682 dan Lot 2945 tersebut masing-masing atas nama Plaintif Pertama dan Plaintif Kedua;
d
deklarasi bahawa Plaintif Pertama dan Plaintif Kedua masing-masing adalah pemilik sah dan benefisial Lot 16682 dan Lot 2945 tersebut;
e
deklarasi bahawa Defendan Pertama dan Defendan Kedua adalah pemegang amanah masing-masing bagi Lot 16682 dan Lot 2945 tersebut bagi kepentingan dan manfaat Plaintif Pertama dan Plaintif Kedua; dan
f
ganti rugi yang akan dinilai dan ditaksir oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi.
2
Walau bagaimanapun, sementara menunggu pendengaran dan pelupusan Writ Saman tersebut, Plaintif-Plaintif dan Defendan-Defendan telah memasukkan permohonan interlokutori seperti yang berikut:
a
permohonan ex-parte Plaintif-Plaintif di bawah subseksyen 51(1) Akta Relief Spesifik 1950, Aturan 29 kaedah 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (“KKM 2012”) dan/atau kuasa sedia ada Mahkamah untuk perintah injunksi interim Ex-Parte sementara menunggu pendengaran dan pelupusan Permohonan Interlokutori untuk injunksi interim (Kandungan 4); dan
b
permohonan Defendan-Defendan di bawah Aturan 18 kaedah 19(a) dan/atau (b) dan/atau (c) dan/atau (d) KKM 2012, Aturan 92 kaedah 4 KKM 2012 dan/atau kuasa sedia ada Mahkamah untuk membatalkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif-Plaintif tersebut (Kandungan 25).
3
Alasan Plaintif-Plaintif membuat permohonan di Kandungan 4 tersebut, inter alia, adalah seperti yang berikut:
a
sebuah rumah yang terletak di Lot 16682 tersebut, yang beralamat di No. 9, Jalan Ayer Molek, Taman Tasik Titiwangsa, 53200 Kuala Lumpur (selepas ini dirujuk sebagai “Premis tersebut”), adalah milik Tan Sri Mat @ Mat Shah Bin Sapuan dan/atau Mat @ Mat Shah Bin Ahmad dan/atau Mat Bin Sapuan (selepas ini dirujuk sebagai “Si Mati”) dan kini didiami oleh keluarga Si Mati;
b
melalui surat peguam cara Defendan Pertama bertarikh 20.3.2023, Defendan Pertama telah memberi Notis Pengusiran kepada Plaintif Pertama supaya mengosongkan Premis tersebut dan menyerahkan milikan kosong Premis tersebut kepada Defendan Pertama dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh Notis Pengusiran tersebut atas alasan bahawa Premis tersebut adalah milik Defendan Pertama;
c
Premis tersebut adalah rumah keluarga Si Mati dan keluarga Si Mati sedang tinggal di Premis tersebut; dan
d
injunksi interim bertujuan untuk mengekalkan status quo Premis tersebut dan supaya ahli keluarga Si Mati yang tinggal di Premis tersebut tidak menghadapi kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki (will not suffer irreparable harm) sekiranya mereka diusir keluar daripada Premis tersebut, yang merupakan rumah pusaka tinggalan Si Mati.
4
Alasan Defendan-Defendan membuat permohonan di Kandungan 25 tersebut, inter alia, adalah seperti yang berikut:
a
tuntutan Plaintif-Plaintif adalah tidak berasas kerana gagal menamakan pihak yang perlu, iaitu Pendaftar Hakmilik Tanah/Pejabat Tanah, dalam tindakan ini. Tanpa kehadiran pihak tersebut, relief yang dipohon oleh Plaintif-Plaintif tidak boleh diberikan atau dikuatkuasakan;
b
Pernyataan Tuntutan Plaintif-Plaintif gagal menyatakan butiran yang mencukupi bagi menyokong kausa tindakan berasaskan penipuan (fraud) dan/atau pemberi pinjaman wang yang tidak sah. Oleh itu, ia tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan yang munasabah;
c
dakwaan Plaintif-Plaintif mengenai ‘pembiayaan patuh Syariah’ dan ‘sham transaction’ adalah dakwaan kosong yang tidak disokong dengan apa-apa bukti serta bercanggah antara satu sama lain. Ini menjadikan tuntutan tersebut remeh dan menyusahkan (frivolous and vexatious);
d
tindakan Plaintif-Plaintif merupakan suatu penyalahgunaan proses Mahkamah dan digunakan sebagai alat taktikal untuk mengelak daripada menunaikan obligasi kontraktual di bawah Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Sewaan dan untuk melengahkan pengosongan hartanah tersebut;
e
Pernyataan Tuntutan Plaintif-Plaintif tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan yang munasabah serta mengandungi dakwaan bersifat skandal yang tidak disokong oleh apa-apa bukti. Sekiranya tindakan ini dibenarkan untuk diteruskan, ia akan membazir masa Mahkamah dan membebankan Defendan-Defendan secara tidak adil; dan
f
tuntutan tersebut adalah tidak berasas di sisi undang-undang dan wajar ditolak bagi mengelakkan ketidakadilan selanjutnya.
5
Setelah Mahkamah ini meneliti dan menilai kedua-dua permohonan interlokutori tersebut dan mendengar hujahan kedua-dua peguam cara Plaintif-Plaintif dan Defendan-Defendan, pada 6.5.2026, Mahkamah ini telah menolak Kandungan 4 tersebut dan membenarkan Kandungan 25 tersebut dengan kos sebanyak RM5,000.00.
6
Plaintif Pertama adalah sebuah Syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 (kini dikenali sebagai Akta Syarikat 2016) dan mempunyai alamat berdaftar di No. A-1-5, Jalan Prima Saujana 2/1A, Seksyen 2, Taman Prima Saujana, 43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan dan alamat perniagaan di Tingkat 24, Menara Safuan, No. 80, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan.
7
Plaintif Kedua adalah warganegara Malaysia dan waris terdekat dan pentadbir harta pusaka Si Mati yang telah meninggal dunia tanpa wasiat pada 21.3.2021 menurut perintah Mahkamah Tinggi Malaya bertarikh 3.3.2023 dan mempunyai alamat di No. 10, Jalan Air Molek, Taman Tasik Titiwangsa, 53200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan.
8
Plaintif Kedua membawa tindakan ini untuk dan bagi pihak harta pusaka Si Mati dan masih merupakan Pengarah di Syarikat Plaintif Pertama.
9
Defendan Pertama adalah sebuah Syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan mempunyai alamat berdaftar di Suite 1606, Plaza Pengkalan, Jalan Tiong, 3rd Mile, Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh), 51100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan dan alamat perniagaan di Tingkat 18, Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, No. 33, Jalan Rakyat, 50470 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan.
10
Defendan Kedua adalah warganegara Malaysia dan mempunyai alamat tempat tinggal di No. 30, Lorong Titiwangsa 8, 53200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan.
11
Melalui Perjanjian Jual Beli bertarikh 20.7.2020, Si Mati telah bersetuju untuk menjual dan Defendan Kedua telah bersetuju untuk membeli Lot 2945 tersebut pada harga sebanyak RM742,531.00 (rujuk Ekshibit “MH-1”, Kandungan 26).
12
Lot 2945 tersebut telah dipindahmilik daripada Si Mati kepada Defendan Kedua pada 28.12.2021 (rujuk Ekshibit “MH-2”, Kandungan 26). Oleh itu, Defendan Kedua adalah pemilik sah dan berdaftar Lot 2945 tersebut menurut subseksyen 340(1) Kanun Tanah Negara 1965 (“KTN”).
13
Melalui Perjanjian Jual Beli bertarikh 11.11.2020, Plaintif Pertama telah bersetuju untuk menjual dan Defendan Pertama telah bersetuju untuk membeli Lot 16682 tersebut pada harga sebanyak RM2,000,000.00 (rujuk Ekshibit “MH-3”, Kandungan 26).
14
Lot 16682 tersebut telah dipindahmilik daripada Plaintif Pertama kepada Defendan Pertama pada 15.7.2021 (rujuk Ekshibit “MH-4”, Kandungan 26). Oleh itu, Defendan Pertama adalah pemilik sah dan berdaftar Lot 2945 tersebut menurut subseksyen 340(1) KTN.
15
Setelah Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut dipindahmilik kepada Defendan-Defendan, Si Mati telah memasuki Perjanjian Sewaan dengan Defendan Kedua bagi Lot 2945 tersebut dengan bayaran sewa sebanyak RM33,414.00 sebulan, manakala Plaintif Pertama pula telah memasuki Perjanjian Sewaan dengan Defendan Pertama bagi Lot 16682 tersebut dengan bayaran sewa sebanyak RM90,000.00 sebulan (rujuk Ekshibit “MH-5”, Kandungan 26).
16
Kewujudan sewaan tersebut telah diakui oleh Plaintif-Plaintif dalam surat-surat mereka kepada Defendan-Defendan bertarikh 27.1.2022, iaitu surat-surat mengenai permintaan Plaintif-Plaintif untuk membeli balik Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut daripada Defendan-Defendan (rujuk Ekshibit “MH-6” dan “MH-7”, Kandungan 26).
17
Walau bagaimanapun, Plaintif Pertama telah gagal membuat bayaran sewa bagi Lot 16682 tersebut. Oleh itu, melalui surat bertarikh 20.3.2023 (rujuk Ekshibit “MH-8”, Kandungan 26), peguam cara Defendan Pertama telah mengeluarkan Notis Pengusiran dan meminta Plaintif Pertama menyerahkan milikan kosong Lot 16682 tersebut kepada Defendan Pertama.
18
Berdasarkan fakta dan pernyataan di atas, Defendan-Defendan menyatakan bahawa memandangkan mereka adalah pemilik sah dan berdaftar Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut dan bukannya Plaintif-Plaintif, tuntutan Plaintif-Plaintif terhadap Defendan-Defendan tersebut adalah tidak berasas serta tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, mengaibkan, remeh dan menyusahkan, menjejaskan dan menghalang perbicaraan suatu tindakan dengan adil dan/atau menyalahgunakan proses Mahkamah. Oleh itu, tuntutan Plaintif-Plaintif terhadap Defendan-Defendan tersebut wajar dibatalkan menurut Aturan 18 kaedah 19(a) dan/atau (b) dan/atau (c) dan/atau (d) KKM 2012.
19
Plaintif-Plaintif menyatakan bahawa –
a
Si Mati dan Plaintif Pertama masing-masing adalah pemilik sah dan berdaftar bagi Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut;
b
Defendan Pertama telah mendekati dan menawarkan kemudahan pinjaman/kredit perniagaan jangka pendek berasaskan pembiayaan patuh Syariah (selepas ini dirujuk sebagai “Kemudahan Pinjaman tersebut”) kepada Si Mati dan Plaintif Pertama, inter alia, melalui kaedah berikut:
i
Si Mati dan Plaintif Pertama akan memindahmilik Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut kepada Defendan-Defendan sebagai cagaran atau sekuriti bagi Kemudahan Pinjaman tersebut dan Defendan-Defendan akan memegang Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut secara amanah bagi pihak Si Mati dan Plaintif Pertama di bawah Kemudahan Pinjaman tersebut; dan
II
(ii) Si Mati dan Plaintif Pertama akan membayar sewa bulanan kepada Defendan-Defendan bagi pinjaman di bawah Kemudahan Pinjaman tersebut sebagai ganti kepada bayaran faedah bulanan dan Si Mati dan Plaintif Pertama mempunyai pilihan untuk membeli balik (buy back option) Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut daripada Defendan-Defendan;
c
Si Mati dan Plaintif Pertama telah bersetuju untuk menerima tawaran Kemudahan Pinjaman tersebut yang berjumlah keseluruhannya sebanyak RM3,508,694.00 bagi kedua-dua Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut dan telah –
i
menyempurnakan Perjanjian Jual Beli, Surat Opsyen Berbalik (Letter for Reversal Option), Surat Kuasa Wakil dan Perjanjian Sewaan dengan Defendan Pertama bagi Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut; dan
II
(ii) memindahmilik Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut masing-masing kepada Defendan Kedua dan Defendan Pertama sebagai cagaran atau sekuriti bagi Kemudahan Pinjaman tersebut;
d
pada 22.7.2020, Defendan Pertama telah mendepositkan secara rentas wang berjumlah sebanyak RM742,531.00 ke akaun bank peribadi Si Mati dan sebanyak RM766,163.00 ke akaun bank peribadi Allahyarham Mohd Faizal Bin Mat@Matshah bagi pembelian Lot 2945 tersebut; dan
e
pada 4.12.2020, Defendan Pertama telah mendepositkan secara rentas wang berjumlah sebanyak RM2,000,000.00 ke akaun bank Plaintif Pertama bagi pembelian Lot 16682 tersebut.
20
Plaintif-Plaintif selanjutnya menyatakan bahawa –
a
walaupun Si Mati dan Plaintif Pertama dengan Defendan Pertama telah bersetuju bahawa Si Mati dan Plaintif Pertama boleh menebus balik Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut dan Si Mati dan Plaintif-Plaintif setakat ini telahpun membuat bayaran balik sebanyak RM2,324,147.00 kepada Defendan Pertama di bawah Kemudahan Pinjaman tersebut, namun Defendan-Defendan telah menghalang Plaintif-Plaintif untuk menebus balik Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut; dan
b
Kemudahan Pinjaman tersebut adalah tidak sah, tidak berkuat kuasa dan terbatal menurut undang-undang sejak dari awalnya kerana –
i
Defendan Pertama bukan pemberi pinjaman wang berlesen dan bukan institusi kewangan Islam yang sah dan diluluskan oleh Bank Negara Malaysia;
II
(ii) Perjanjian Jual Beli yang dimasuki antara Si Mati dengan Defendan Kedua dan antara Plaintif Pertama dengan Defendan Pertama tersebut adalah tidak patuh Syariah dan hanya merupakan helah Defendan-Defendan untuk melindungi sifat sebenar transaksi urus niaga pinjaman wang secara haram antara Si Mati dan Plaintif Pertama dengan Defendan-Defendan dan pemberian pinjaman wang tanpa lesen oleh Defendan-Defendan kepada Si Mati dan Plaintif Pertama; dan
III
(iii) pindahmilik Lot 2945 dan Lot 16682 daripada Si Mati dan Plaintif Pertama kepada Defendan-Defendan tersebut telah dibuat secara penipuan, salah nyataan, konspirasi jahat dan pemalsuan oleh Defendan-Defendan.
21
Berdasarkan fakta dan pernyataan di atas, Plaintif-Plaintif menyatakan bahawa ini bukanlah kes yang jelas dan nyata untuk membenarkan permohonan Defendan-Defendan untuk membatalkan tuntutan Plaintif-Plaintif di bawah Aturan 18 kaedah 19(a) dan/atau (b) dan/atau (c) dan/atau (d) KKM 2012. Oleh itu, adalah wajar permohonan Defendan-Defendan di Kandungan 25 tersebut ditolak.
22
Isu yang berbangkit dalam tindakan ini ialah –
a
siapakah pemilik sah dan berdaftar yang sebenar bagi Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut;
b
sama ada terdapat asas dan merit dalam permohonan Defendan-Defendan di Kandungan 25 tersebut; dan
c
sama ada terdapat asas dan merit dalam permohonan Plaintif-Plaintif di Kandungan 4 tersebut. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH INI
23
Undang-undang adalah mantap bahawa tuntutan plaintif terhadap defendan boleh dibatalkan di bawah Aturan 18 kaedah 19 KKM 2012 sekiranya –
a
ia mendedahkan kausa tindakan yang tidak munasabah;
b
ia mengaibkan, remeh atau menyusahkan;
c
ia boleh menjejaskan, menghalang atau melengahkan perbicaraan tindakan itu dengan adil; atau
d
ia selainnya adalah suatu penyalahgunaan proses Mahkamah, (rujuk kes Bandar Builder Sdn Bhd & Ors v United Malayan Banking Corporation Bhd [1993] 3 MLJ 36; [1993] 1 MLRA 611; Joseph bin Paulus Lantip & Ors v Unilever Plc [2018] Supp MLJ 151; [2012] 6 MLRA 614; See Thong & Anor v Saw Beng Chong [2013] 3 MLJ 235; [2013] 4 MLRA 259).
24
Oleh itu, untuk berjaya dalam permohonan di Kandungan 25 tersebut, beban adalah terletak pada Defendan-Defendan untuk membuktikan unsur-unsur di bawah Aturan 18 kaedah 19 KKM 2012. Siapakah pemilik sah dan berdaftar yang sebenar bagi Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut
25
Berdasarkan prinsip sistem Torrens yang diamalkan di Malaysia dan subseksyen 340(1) Kanun Tanah Negara 1965 (“KTN”), pendaftaran hakmilik sesuatu hartanah adalah segalanya dan bukti muktamad mengenai pemilikan sesuatu hartanah.
26
Justeru, tuanpunya berdaftar sesuatu hartanah mempunyai hakmilik tidak boleh disangkal (indefeasibility of title) melainkan dapat dibuktikan bahawa hartanah tersebut telah diperolehi oleh tuanpunya berdaftar tersebut secara penipuan (fraud), salah nyata (misrepresentation), pemalsuan (forgery), melalui instrumen yang terbatal dan tidak sah (void instrument) atau melalui hakmilik atau kepentingan yang diperolehi secara tidak sah (title or interest was unlawfully acquired) seperti mana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 340(2) KTN.
27
Sebagai rujukan, seksyen 340 KTN memperuntukkan seperti yang berikut: “Registration to confer indefeasible title or interest, except in certain circumstances
340
(1) The title or interest of any person or body for the time being registered as proprietor of any land, or in whose name any lease, charge or easement is for the time being registered, shall, subject to the following provisions of this section, be indefeasible.
2
The title or interest of any such person or body shall not be indefeasible—
a
in any case of fraud or misrepresentation to which the person or body, or any agent of the person or body, was a party or privy; or
b
where registration was obtained by forgery, or by means of an insufficient or void instrument; or
c
where the title or interest was unlawfully acquired by the person or body in the purported exercise of any power or authority conferred by any written law.
3
Where the title or interest of any person or body is defeasible by reason of any of the circumstances specified in subsection (2)—
a
it shall be liable to be set aside in the hands of any person or body to whom it may subsequently be transferred; and
b
any interest subsequently granted thereout shall be liable to be set aside in the hands of any person or body in whom it is for the time being vested: Provided that nothing in this subsection shall affect any title or interest acquired by any purchaser in good faith and for valuable consideration, or by any person or body claiming through or under such a purchaser.
4
Nothing in this section shall prejudice or prevent—
a
the exercise in respect of any land or interest of any power of forfeiture or sale conferred by this Act or any other written law for the time being in force, or any power of avoidance conferred by any such law; or
b
the determination of any title or interest by operation of law.”. [Penekanan ditambah]
28
Dalam kes Yeo Ping Tieng & Ors v. Elitprop Sdn Bhd [2020] 1 CLJ 776; [2019] 6 MLRA 616, Azahar Mohamed CJ (Malaya) yang menyampaikan keputusan Mahkamah Persekutuan telah menyatakan bahawa – “[35] The central principle of our land tenure and dealing in land is that the title to the land and the rights of all persons holding an interest therein, once registered, are indefeasible. Upon registration, it vests in the person in whose favour the registration is effected, an indefeasible title to the land and/or the interest therein. As underlined by s. 89 of the NLC, the register is conclusive evidence that the title is vested in the person or body for the time being named as the proprietor and that the land is subject to such conditions, restrictions in interest and other provisions as specified in the title. The concept of indefeasibility of title entrenches the title of a registered proprietor to his land, making it immune from attack against the whole world (see Frazer v. Walker [1967] AC 567 and Fels v. Knowles [1906] 26 NZLR 604). As stated by Raja Azlan Shah CJ (as His Highness then was) in PJTV Denson (M) Sdn Bhd & Ors v. Roxy (Malaysia) Sdn Bhd [1980] 1 LNS 55; [1980] 2 MLJ 136, “The concept of indefeasibility of title is so deeply embedded in our land law that it seems almost trite to restate it. Therefore, the registration of the transfer of the said land under the National Land Code defeats all prior unregistered interests in that land unless the party who acquires the registered title has been guilty of fraud”. Indefeasibility, nevertheless, is not unqualified or absolute. Under certain situations, the registered title and/or interest can still be challenged notwithstanding the fact that the instrument of transaction has been duly registered with the relevant land registry. Section 340(2) of the NLC specifies circumstances where a registered title or interest may be set aside: (i) on the ground of fraud to which the person or body, or any agent of the person or body is a party or privy; (ii) on the ground of misrepresentation to which the person or body, or any agent of the person or body is a party or privy;
III
(iii) on the ground of forgery; and (iv) on the ground of an insufficient or void instrument; and (v) where the title or interest was unlawfully acquired by the person or body in the purported exercise of any power or authority conferred by any written law. Where for example fraud is established, an indefeasible title may be set aside or defeated. Two types of indefeasibility are recognisable, namely, immediate indefeasibility and deferred indefeasibility. It is trite that the Torrens system in Malaysia recognises deferred indefeasibility of title or interest (see Tan Ying Hong v. Tan Sian San & Ors [2010] 2 CLJ 269, Kamarulzaman Omar & Ors v. Yakub Husin & Ors [2014] 1 CLJ 987; [2014] 2 MLJ 768 and Low Huat Cheng & Anor v. Rozdenil Toni & Another Appeal [2017] 3 CLJ 257; [2016] 5 MLJ 141).”. [Penekanan ditambah]
29
Dalam tindakan ini, berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, khususnya rekod ketuanpunyaan Lot 2945 dan Lot 16682 dalam Ekshibit “MH-2” dan “MH-4”, Mahkamah ini berpuas hati dan mendapati bahawa –
a
Defendan-Defendan telah berjaya membuktikan bahawa –
i
berdasarkan Ekshibit “MH-1”, wujud Perjanjian Jual Beli bertarikh 20.7.2020 yang sah antara Si Mati dengan Defendan Kedua bagi pembelian Lot 2945 tersebut dan kewujudan Perjanjian Jual Beli tersebut tidak dinafikan oleh Plaintif-Plaintif;
II
(ii) berdasarkan Ekshibit “MH-2”, Defendan Kedua adalah tuanpunya berdaftar Lot 2945 tersebut setelah ia tersebut dipindahmilik daripada Si Mati kepada Defendan Kedua pada 28.12.2021;
III
(iii) berdasarkan Ekshibit “MH-3”, wujud Perjanjian Jual Beli bertarikh 11.11.2020 yang sah antara Plaintif Pertama dengan Defendan Pertama bagi pembelian Lot 16682 tersebut dan kewujudan Perjanjian Jual Beli tersebut tidak dinafikan oleh Plaintif-Plaintif;
IV
(iv) berdasarkan Ekshibit “MH-4”, Defendan Pertama adalah tuanpunya berdaftar Lot 16682 tersebut setelah ia dipindahmilik daripada Plaintif Pertama kepada Defendan Pertama pada 15.7.2021; dan
v
berdasarkan Ekshibit “MH-5”, “MH-6” dan “MH-7”, Si Mati dan Plaintif Pertama telah bersetuju untuk menyewa Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut daripada Defendan-Defendan setelah Lot-Lot tersebut dipindahmilik kepada Defendan-Defendan dengan kadar sewa masing-masing sebanyak RM33,414.00 dan RM90,000.00 sebulan; dan
b
Plaintif-Plaintif telah gagal membuktikan dakwaan mereka bahawa –
i
Defendan Pertama telah memberikan Kemudahan Pinjaman tersebut kepada Si Mati dan Plaintif Pertama walaupun Defendan Pertama bukan pemberi pinjaman wang berlesen. Dalam perkara ini, tiada sebarang keterangan dan/atau dokumen mengenai Kemudahan Pinjaman tersebut dikemukakan oleh Plaintif-Plaintif bagi menyokong dakwaan tersebut;
II
(ii) Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut adalah sebagai cagaran atau sekuriti bagi Kemudahan Pinjaman tersebut dan Perjanjian-Perjanjian Jual Beli yang dimasuki antara Si Mati dan Plaintif Pertama dengan Defendan-Defendan tersebut hanyalah merupakan helah Defendan-Defendan untuk melindungi sifat sebenar transaksi urus niaga pinjaman wang secara haram antara Si Mati dan Plaintif Pertama dengan Defendan-Defendan dan pemberian pinjaman wang tanpa lesen oleh Defendan-Defendan kepada Si Mati dan Plaintif Pertama;
III
(iii) Defendan-Defendan memegang Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut secara amanah bagi pihak Si Mati dan Plaintif Pertama. Dalam perkara ini, tiada sebarang keterangan dan/atau dokumen mengenai pegangan secara amanah oleh Defendan-Defendan tersebut dikemukakan oleh Plaintif-Plaintif bagi menyokong dakwaan tersebut; dan
IV
(iv) pindahmilik Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut daripada Si Mati dan Plaintif Pertama kepada Defendan-Defendan yang bersandarkan kepada Perjanjian-Perjanjian Jual Beli di Ekshibit “MH-1” dan “MH-3” telah dibuat secara penipuan, salah nyata dan pemalsuan.
30
Berdasarkan fakta dalam tindakan ini dan dapatan di atas, adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa –
a
Defendan-Defendan telah membeli Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut secara sah daripada Si Mati dan Plaintif Pertama melalui Perjanjian-Perjanjian Jual Beli di Ekshibit “MH-1” dan “MH-3”;
b
Plaintif-Plaintif tidak pernah menafikan tentang kewujudan Perjanjian-Perjanjian Jual Beli antara Si Mati dan Plaintif Pertama dengan Defendan-Defendan di Ekshibit “MH-1” dan “MH-3”;
c
setelah Si Mati dan Plaintif Pertama dengan Defendan-Defendan memasuki Perjanjian-Perjanjian Jual Beli di Ekshibit “MH-1” dan “MH-3”, Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut telah dipindahmilik kepada Defendan-Defendan;
d
setelah Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut dipindahmilik kepada Defendan-Defendan, Defendan-Defendan masing-masing adalah pemilik sah dan berdaftar yang tidak boleh disangkal bagi Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut;
e
semua dakwaan Plaintif-Plaintif mengenai kewujudan Kemudahan Pinjaman tersebut dan syarat-syarat yang kononnya telah dipersetujui antara Si Mati dan Plaintif Pertama dengan Defendan-Defendan di bawah Kemudahan Pinjaman tersebut telah gagal dibuktikan oleh Plaintif-Plaintif. Oleh itu, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan hanya merupakan dakwaan kosong dan rekaan Plaintif-Plaintif semata-mata; dan
f
semua dakwaan Plaintif-Plaintif bahawa terdapatnya unsur penipuan, salah nyata dan pemalsuan oleh Defendan-Defendan dalam Perjanjian-Perjanjian Jual Beli di Ekshibit “MH-1” dan “MH-3” dan urusan pindahmilik Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut daripada Si Mati dan Plaintif Pertama kepada Defendan-Defendan telah gagal dibuktikan oleh Plaintif-Plaintif. Oleh itu, dakwaan tersebut adalah adalah tidak berasas dan hanya merupakan dakwaan kosong dan rekaan Plaintif-Plaintif semata-mata.
31
Sebagai kesimpulan, berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah ini mendapati bahawa Defendan-Defendan adalah tuanpunya dan pemilik sah dan berdaftar Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut dan bukannya Si Mati dan Plaintif-Plaintif. Sama ada terdapat asas dan merit dalam permohonan Defendan-Defendan di Kandungan 25 tersebut
32
Mengenai isu ini, memandangkan Mahkamah ini telah membuat dapatan bahawa –
a
Defendan-Defendan adalah tuanpunya dan pemilik sah dan berdaftar Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut dan bukannya Si Mati dan Plaintif-Plaintif;
b
pindahmilik Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut kepada Defendan-Defendan adalah sah menurut undang-undang;
c
Kemudahan Pinjaman tersebut sebenarnya tidak wujud dan hanya merupakan rekaan Plaintif-Plaintif semata-mata; dan
d
tiada unsur penipuan, salah nyata dan pemalsuan dalam urusan pindahmilik Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut kepada Defendan-Defendan, maka adalah menjadi dapatan Mahkamah ini bahawa segala tuntutan dan remedi yang diplidkan oleh Plaintif-Plaintif dalam Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan tersebut atas alasan bahawa Si Mati dan Plaintif-Plaintif adalah tuanpunya dan pemilik sah dan berdaftar Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut dan bahawa Kemudahan Pinjaman tersebut adalah tidak sah dan terbatal menurut undang-undang kerana Defendan-Defendan bukan pemberi pinjaman wang berlesen, adalah tidak berasas dan tidak relevan sama sekali dan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah terhadap Defendan-Defendan, mengaibkan, remeh dan menyusahkan, boleh menjejaskan dan menghalang perbicaraan tindakan ini dengan adil dan merupakan penyalahgunaan proses Mahkamah.
33
Oleh itu, pada pendapat Mahkamah ini, permohonan Defendan-Defendan untuk membatalkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif-Plaintif di bawah Aturan 18 kaedah 19 KKM 2012 seperti di Kandungan 25 tersebut adalah berasas dan bermerit dan wajar dibenarkan. Sama ada terdapat asas dan merit dalam permohonan Plaintif-Plaintif di Kandungan 4 tersebut
34
Mengenai isu ini, memandangkan Mahkamah ini telah menentukan bahawa Defendan-Defendan adalah tuanpunya dan pemilik sah dan berdaftar Lot 2945 dan Lot 16682 tersebut dan bukannya Si Mati dan Plaintif-Plaintif, maka tiada keperluan untuk Mahkamah ini memberikan perintah injunksi interim yang dipohon oleh Plaintif-Plaintif seperti di Kandungan 4 tersebut.
35
Oleh itu, Mahkamah ini berpendapat bahawa permohonan Plaintif-Plaintif untuk mendapatkan perintah injunksi interim ex-parte seperti di Kandungan 4 tersebut adalah tidak berasas dan tidak bermerit dan wajar ditolak.
36
Sebagai kesimpulan, berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah ini telah membenarkan permohonan Defendan-Defendan seperti di Kandungan 25 tersebut dan menolak permohonan Plaintif-Plaintif seperti di Kandungan 4 tersebut dengan kos sebanyak RM5,000.00 tertakluk kepada fi alokator. Bertarikh : 25 JULAI 2026 (DR. ARIK SANUSI BIN YEOP JOHARI) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR (KUALA LUMPUR) Peguam bagi pihak Plaintif-Plaintif: Encik Calvin Lim Sin Guan Tetuan Goik, Ramesh & Loo Peguam Bela dan Peguam Cara Suite N-3-1, Blok N, Plaza Damas 60, Jalan Sri Hartamas 1 Sri Hartamas 50480 KUALA LUMPUR Tel : 03-6211 5888 Faks : 03-6211 1883 Ruj : R/L12(0423)/MSA&MF/HAP&ors E-mel : info@rameshloo.com Peguam bagi pihak Defendan-Defendan: Encik Encik Muhammad Farhan Bin Muhammad Shafee (bersamanya Cik Nur Syafiqah Binti Mohd Sofian) Tetuan Shafee & Co Peguam Bela dan Peguam Cara 25, Jalan Tunku, Bukit Tunku 50480 KUALA LUMPUR Tel : 03-2694 8377 Faks : 03-2694 7307 Ruj : S4718/MFS/SS E-mel: shafeeco@shafeeco.com
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.