Content
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45A-25-09/2024 ANTARA PENDAKWA RAYA
KA-45A-25-09/2024
High Court of Malaysia21 Aug 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“23. Dalam kes Nur Fariza bt Zainudin lwn Pendakwa Raya [2021] MLJU 357, mahkamah telah membincangkan kepentingan awam seperti berikut; “[36] Terdapat berapa peringkat dalam konsep kepentingan awam. Yang paling utama ialah keselamatan negara kerana tanpa jaminan terhada”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45A-25-09/2024 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
MOHAMAD FAIZI BIN MUSTAFA (961224-02-5913)
2
NURUL SUHAILA NORMUSHAMSURI (020704-02-0594)
3
MUHAMAD JAMIL BIN ABDUL RAZAK (850211-02-5445)
1
Kes ini melibatkan dua pertuduhan ke atas tertuduh-tertuduh yang pada asalnya di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234). Namun pada 21/08/2025, pihak Pendakwa Raya (PR) telah menawarkan Pertuduhan Pilihan di bawah seksyen 12(2) Akta 234 kepada tertuduh ketiga manakala pertuduhan pertama ke atas tertuduh pertama dan tertuduh kedua dibatalkan dan pertuduhan kedua ke atas ketiga-tiga tertuduh dibatalkan.
2
Pertuduhan Pilihan ke atas tertuduh ketiga adalah seperti berikut: “Bahawa kamu pada 31 Januari 2024, jam lebih kurang 12.30 malam, di rumah Che Norma Homestay, A 122, Taman Bandar Baru, Jalan Semarak 6, Pokok Sena, di dalam daerah Kota Setar di dalam Negeri Kedah, telah ada dalam milikan kamu dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 83.78 gram. Oleh yang demikian, kamu telah melakukan sesuatu kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta yang sama.”
3
Pertuduhan pilihan telah dibacakan kepada tertuduh ketiga dan tertuduh ketiga telah mengaku memahami pertuduhan pilihan tersebut serta telah faham sifat serta akibat ke atas pengakuan salahnya. Mahkamah ini selanjutnya telah mensabitkan tertuduh ketiga dan telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dari tarikh tangkap dan 10 sebatan rotan.
4
Tertuduh ketiga tidak berpuas hati ke atas hukuman tersebut dan kini merayu ke atas hukuman. Fakta kes
5
Berdasarkan kepada Fakta Kes (P10) yang diakui oleh tertuduh ketiga, pada 31/01/2024 jam lebih kurang 12.30 malam, Insp. Muhamad Afandi bin Muzafa bersama-sama anggota pasukan telah membuat serbuan di rumah Che Norma Homestay, A 122, Taman Bandar Baru, Jalan Semarak 6, Pokok Sena dan telah menahan tertuduh pertama dan tertuduh kedua yang sedang duduk di atas sofa di bahagian ruang tamu rumah.
6
Insp. Muhamad Afandi telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mengarahkan anggota serbuan D/SI 170961 untuk membuat pemeriksaan di bahagian ruang tamu tersebut.
7
Kemudian dengan disaksikan oleh tertuduh pertama dan tertuduh kedua, D/SI 170961 telah menjumpai (4) peket plastik lutsinar pelbagai saiz masing-masing berisi bahan disyaki dadah syabu berteraburan di atas meja di hadapan tertuduh pertama dan tertuduh kedua. Turut dijumpai (1) botol kaca disyaki alat untuk menghisap dadah syabu.
8
Kemudian Insp. Muhamad Afandi telah masuk ke bilik pertama sebelah kiri rumah tersebut di mana pintu bilik bertutup rapat tetapi tidak berkunci dan menahan tertuduh ketiga yang sedang duduk di atas lantai.
9
Kemudian dengan disaksikan oleh tertuduh ketiga dan saksi polis yang hadir, Insp. Muhamad Afandi telah menjalankan pemeriksaan di dalam bilik tersebut dan menjumpai di atas lantai bilik di hadapan tertuduh ketiga sebuah beg berzip warna biru gelap berjenama “British Polo” yang mengandungi (8) peket plastik lutsinar pelbagai saiz masing-masing berisi bahan disyaki dadah Heroin dan turut dijumpai (1) penimbang digital, (1) gunting dan (1) bungkusan peket-peket plastik.
10
Insp. Muhamad Afandi juga telah menjalankan pemeriksaan lanjut di dalam rumah tersebut dan telah menjumpai (1) kunci kereta Perodua Axia dan dengan disaksikan ketiga-tiga tertuduh dan saksi polis yang hadir, Insp. Muhamad Afandi menjalankan pemeriksaan ke atas motokar tersebut yang berada di kawasan parkir rumah tersebut.
11
Hasil pemeriksaan ke atas motokar jenis Perodua Axia warna putih nombor pendaftaran KDY 1319 telah menjumpai dari bahagian boot belakang motokar tersebut iaitu (1) beg warna hitam bertulisan “sukan untuk semua” mengandungi (1) peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah syabu.
12
Barang-barang kes bahan disyaki dadah yang ditemui serta dirampas dari tertuduh-tertuduh telah dianalisis oleh Ahli Kimia Encik Ahmad Hishahuddin bin Mohd Fuzi dan disahkan mengandungi: i. methamphethamine seberat 83.78 gram (barang kes dalam bilik di hadapan tertuduh ketiga); ii. methamphethamine seberat 237.9 gram (dalam boot belakang kereta); iii. methamphethamine seberat 6.39 gram (hadapan tertuduh pertama dan tertuduh kedua); dan iv. heroin 0.87 gram dan monoacetylmorphines seberat 0.70 gram (barang kes dalam bilik di hadapan tertuduh ketiga) Hujahan pihak-pihak
13
Peguam tertuduh ketiga dalam hujahan mitigasinya telah menekankan bahawa ini adalah merupakan satu pengakuan salah tertuduh ketiga setelah ditawarkan dengan pertuduhan pilihan dan ini merupakan kesalahan kali pertama tertuduh ketiga. Oleh yang demikian, mahkamah ini sewajarnya memberikan pertimbangan ke atas perkara tersebut.
14
Adalah menjadi hujahan peguam ketiga pengakuan salah tertuduh ketiga ini telah menjimatkan kos dan masa mahkamah serta semua pihak yang terlibat dalam kes ini tanpa perlu melalui satu proses perbicaraan yang panjang.
15
Peguam juga menegaskan bahawa pengakuan salah tertuduh ketiga ini juga menujukkan bahawa tertuduh ketiga telah sedar dan insaf atas kesalahan yang telah dilakukan.
16
Tertuduh ketiga juga merupakan seorang duda dan mempunyai 2 orang anak yang sebelum tangkapan ini ditanggung dan dijaga sepenuhnya oleh tertuduh ketiga. Kesan dari tangkapan ini anak-anak tertuduh ketiga hilang tempat bergantung hidup.
17
Tertuduh ketiga juga telah ditahan reman selama 1 tahun 6 bulan dan 22 hari yang mana tempoh ini telah menginsafkan tertuduh ketiga dan berazam untuk tidak lagi kembali meringkuk di sebalik tirai besi di masa hadapan.
18
Puan TPR sebaliknya menegaskan bahawa faktor kepentingan awam sewajarnya mengatasi faktor mitigasi tertuduh ketiga walaupun ia satu pengakuan salah. Hal ini adalah kerana berat dadah dalam kes ini adalah sebanyak 83.78 gram Methamphetamine dan ini menunjukkan satu jumlah yang besar. Hukuman yang ringan berkemungkinan menyebabkan tertuduh ketiga tidak akan insaf dan akan kembali melakukan kesalahan yang sama atau yang lebih serius selepas menjalani hukuman.
19
Selain itu hukuman yang ringan juga secara tidak langsung akan memberi mesej kepada orang awam bahawa kesalahan penyalahgunaan dadah tidak lagi dianggap serius kerana mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan.
20
Pihak pendakwaan turut menujukkan kepada mahkamah kecenderungan (trend) hukuman yang telah diperintahkan oleh mahkamah terdahulu bagi kes-kes yang disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 12(2)/39A(2) Akta 234 yang melibatkan jenis dadah yang sama adalah hukuman penjara antara 9 hingga 13 tahun berserta sebatan sebanyak 10 sebatan. Analisis dan dapatan mahkamah
21
Faktor terpenting dalam menjatuhkan hukuman adalah pastinya faktor kepentingan awam. Akta 234 adalah digubal dengan menetapkan hukuman yang tinggi bagi kesalahan seperti yang dipertuduhkan ke atas tertuduh ketiga adalah bertujuan untuk menangani masalah dadah yang semakin meruncing di dalam negara kita.
22
Namun persoalan yang timbul ialah apakah yang dimaksudkan dengan frasa “kepentingan awam”. Kamus The Random House Dictionary of the English Language: The Unabridged Edition (1994 edition) mentakrifkan kepentingan awam (public interest) sebagai kepentingan atau kesejahteraan masyarakat secara am (the welfare or well-being of the general public and society). Ia jelas menekankan faktor masyarakat secara keseluruhannya.
23
Dalam kes Nur Fariza bt Zainudin lwn Pendakwa Raya [2021] MLJU 357, mahkamah telah membincangkan kepentingan awam seperti berikut; “[36] Terdapat berapa peringkat dalam konsep kepentingan awam. Yang paling utama ialah keselamatan negara kerana tanpa jaminan terhadap keselamatan negara, kesemua perkara seperti “kedaulatan undang-undang”, “hak asasi manusia”, “pemerintahan yang adil dan saksama” serta “pengaturan kendiri oleh masyarakat dan norma am yang diterima” adalah impian indah semata-mata. [37] Keduanya adalah ketenteraman awam dimana kedaulatan undang-undang, prosedur yang betul dipatuhi dan tidak dibimbangi berlakunya keadaan di mana seseorang terkeliru dengan keadaan huru hara yang menyerupai undang-undang rimba. [38] Ketiga ialah perhatian orang ramai yang timbul kerana perhatian masyarakat atau ahli masyarakat terutama warga yang berhemah dan ia menyumbang kepada perasaan ingin tahu warga masyarakat. Pelaporan yang bersifat sensasi bukanlah terjumlah dalam kategori ini. Semestinya perlu wujud sebab yang munasabah serta penting untuk masyarakat am ingin mengetahui mengenai sesuatu isu yang diperkatakan secara hangat dalam masyarakat samada ia telah membangkitnya minat warga masyarakat yang berhemah kerana telah menyentuh sensitiviti masyarakat atau pegangan masyarakat atau adat semasa dan setempat atau norma universal. [39] Jika berlaku pertembungan diantara kepentingan awam dan hak individu, kepentingan awam hendaklah mengatasi segalanya. Ini tidak bermakna berlakunya penafian hak individu tetapi kewujudan individu dalam dunia bertamaddun bergantung kepada kewujudan masyarakat dan dunia secara keseluruhan. Bukan sebarang dunia tetapi dunia yang mendaulatkan undang-undang, melaksanakan keadilan, mempertahankan hak warganya dari diceroboh, pentadbiran urusan manusia secara teratur dan pemerkasaan jiwa kemanusiaan dalam setiap insan yang ada. Hak asasi individu telah secara terang dan nyata dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan ini dicerminkan dalam Perkara 5 sehingga Perkara 13.”
24
Dalam menjatuhkan hukuman, adalah penting bagi mahkamah untuk menilai sejauh mana jenayah sebegini menjadi duri dalam daging masyarakat. Mahkamah tertarik untuk merujuk laporan akhbar Harian Metro yang disiarkan secara atas talian pada 25 September 2025 yang menyatakan bahawa negeri Kedah merekodkan tangkapan penagih dadah paling ramai dengan jumlah tangkapan seramai 263 orang dalam Ops Cegah Khas yang dijalankan selama 3 hari oleh Agensi Antidadah Kebangsaan. Manakala jika dilihat jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan penagihan dadah di Kedah dari Januari sehingga September 2025 mencecah sehingga 3189 orang. Ini merupakan jumlah tangkapan yang tinggi dan menandakan bahawa jenayah dadah di negeri ini semakin berleluasa.
25
Mahkamah Rayuan dalam kes Tia Ah Leng v. Public Prosecutor [2004] 4 MLJ 249 telah mengulas keseriusan kes-kes melibatkan jenayah dadah seperti berikut: “... The Government and the legislature have taken very serious views in the abuse of usage of dangerous drugs. Drug addictions are rampant and the Government as well as the legislature have tried to curb these addictions especially amongst youths but met with little success. Death sentences and heavy penalties have been introduced but we find drug addicts everywhere. The addiction to drugs have led to other offences such as thefts, burglary and snatch thefts. Some of these offences lead to serious consequences. The seriousness of the offences on drugs have been made known since the seventies. Eminent judges have expressed this in so many cases.”
26
Oleh yang demikian, mahkamah berpandangan bahawa hukuman yang berat perlu dijatuhkan oleh mahkamah bagi menggambarkan keseriusan jenayah yang dilakukan oleh tertuduh ketiga dan bagi membendung peningkatan jenayah penyalahgunaan dadah ini terutamanya di negeri Kedah.
27
Mahkamah turut mempertimbangkan berat dadah dalam kes ini yang mencecah 83.78 gram methamphethamine yang merupakan satu jumlah yang besar sekaligus sepatutnya menarik hukuman yang tinggi.
28
Walaubagaimanapun mahkamah telah turut mengambil kira pengakuan salah tertuduh ketiga dan mahkamah merujuk kes-kes duluan yang menyatakan bahawa pengakuan salah merupakan faktor mitigasi ke atas tertuduh ketiga. Namun kepentingan awam perlu diberikan perhatian agar hukuman yang dijatuhkan dapat menjadi pedoman dan peringatan kepada tertuduh ketiga dan juga masyarakat umum. Perkara ini bagi memastikan jenayah penyalahgunaan dadah ini dapat dibendung khususnya di negeri Kedah.
29
Mahkamah merujuk kes Raja Izzuddin Shah v PP [1979] 1 MLJ 70 dimana Hakim Hashim Yeop Sani dalam penghakimannya telah menyatakan seperti berikut: “No plea in mitigation should be thrown aside lightly but must be examined and considered equally with the facts presented by the prosecution. Both aspects of the case must be considered in their true perspective so as to strike if possible, a true balance in the scale of justice.”
30
Selanjutnya dalam kes PP v. Jafa Bin Daud [1981] 1 MLJ 315, Hakim Azmi telah menerangkan konsep penghukuman seperti berikut: “A "sentence according to law" means that the sentence must not only be within the ambit of the punishable section, but it must also be assessed and passed in accordance with established judicial principles. In assessing sentence, one of the main factors to be considered is whether the convicted person is a first offender. It is for this purpose that before passing sentence, a Magistrate is required to call for evidence or information regarding the background, antecedent and character of the accused. Where the convicted person has previous records and admits them as correct, the court must consider whether the offence or offences committed previously were of similar nature as the one with which he is presently charged. The court must then consider the sentences imposed in the previous convictions for similar offences to determine whether they have had any deterrent effect on him. Where he is found to be a persistent offender for a similar type of offences, then it is in the interest of justice that a deterrent sentence should be passed and, in such a case, unless there are exceptional circumstances, the quantity, nature or value of the subject-matter of the offence with which he is currently charged can very rarely constitute a mitigating factor.”
31
Frasa “a sentence according to law" bermaksud mahkamah hendaklah menghukum menurut undang-undang dan ia bukan setakat peruntukan nyata dalam undang-undang tetapi juga merangkumi prinsip perundangan yang mantap dan tuntas.
32
Justeru itu, mahkamah mengambil pendekatan bagi kesalahan berat yang berleluasa seperti memiliki dadah dalam kuantiti yang banyak, kepentingan awam adalah mengatasi rayuan mitigasi yang bersifat peribadi kepada tertuduh ketiga.
33
Selain itu, mahkamah turut mengambil kira latar belakang dan pekerjaan tertuduh ketiga iaitu tertuduh ketiga adalah seorang ayah tunggal yang menanggung kedua-dua anak yang masih bersekolah dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sebelum terlibat dengan jenayah penyalahgunaan dadah ini.
34
Meskipun tertuduh ketiga menyatakan bahawa tertuduh ketiga berada dalam kesempitan wang namun sebagai seorang bapa, tertuduh ketiga sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada anak-anak yang sedang membesar dan mencari sumber yang halal dalam membesarkan anak-anak tertuduh ketiga dan bukannya terlibat dalam jenayah dadah ini. Kecenderungan (trend) hukuman
35
Mahkamah Rayuan dalam kes PP v. Mohd Faiz Salleh [2016] 4 CLJ 92 telah menjelaskan kepentingan mahkamah yang menjatuhkan hukuman untuk mempertimbang kecenderungan hukuman oleh mahkamah-mahkamah duluan apabila menegaskan: “[16] However looking at the grounds of judgment of the learned judge we could not see that he had sufficiently considered the sentencing trend in cases with similar circumstances. Granted that a judge may come out with his own sentence, given that sentencing is essentially a matter of an exercise of a court’s discretion, still, it is our view that the discretion ought not to be exercised in isolation. We noted that the offence involved was a drug possession case and it can be judicially noticed that the law reports are repleted with decisions of our courts which can be readily used as a guide by the sentencing courts when considering sentence to be imposed. In this regard, the amount of the drugs involved is always a safe guide to use as an immediate comparison.”
36
Puan TPR telah mengemukakan beberapa kes duluan yang melibatkan dadah yang sama bagi menunjukkan kecenderungan hukuman yang diberikan oleh mahkamah-mahkamah sebelum ini. Perhatian mahkamah telah dibawa kepada kes-kes berikut: Bil Kes Jenis & Berat Dadah Hukuman 1. KA-45A-59-10/ 2022 PP v Fadzli bin Abdul Ghani Seksyen 12(2)/39A(2) Methamphetamine seberat 131.78 gram. Seksyen 12(2)/39A(1) Heroin dan Monoacetylmorphines seberat 4.93 gram (Heroin seberat 4.04 gram dan Monoacetylmorphines seberat 0.89 gram). Penjara 10 tahun 6 bulan dari tarikh tangkap, 10 sebatan. Penjara 2 tahun dari tarikh tangkap dan 3 sebatan.
2
KA-45-12-04/21 PP v Mohd Hilmi Naim bin Zainol Rashid Seksyen 12(2)/39A(2) Methamphetamine seberat 53.62 gram. Penjara 9 tahun dari tarikh tangkap, 10 sebatan.
3
KA-45A-10- 05/2022 & KA45A-11- 05/2020 PP v Nadia binti
18
Seksyen 12(2)/39A(2) 5 gram (14.6 gram) Heroin dan 3.9 gram Monoacetylmorphines) Penjara 9 tahun dari tarikh tangkap. Penjara 9 tahun dari tarikh tangkap. Seksyen 12(2)/39A(2) Methamphetamine seberat 54.20 gram. Penjara 9 tahun dari tarikh tangkap.
4
45A-20,24- 05/2017 PP v Hasbullah bin Hazemi & Ayu binti Mat Isa
62
Seksyen 12(2)/39A(2) 7 gram (14.1 gram Heroin dan 48.6 gram Monoacetylmorphines). Seksyen 12(2)/39A(2) Methamphetamine seberat 32.51 gram. Seksyen 12(3) Methamphetamine seberat 1.18 gram. Penjara 13 tahun dari tarikh tangkap dan 10 sebatan. Penjara 12 tahun dari tarikh tangkap dan 10 sebatan. Penjara 1 tahun dari tarikh tangkap.
5
KA-45A-62- 12/2017 PP v Idrus bin
28
Seksyen 12(2)/39A(2) 8 gram (12.6 gram Heroin dan 16.2 gram Monoacetylmorphines). Seksyen 39A(1) Methamphetamine seberat 7.51 gram. Penjara 8 tahun setengah dari tarikh tangkap dan 10 sebatan. Penjara 2 tahun dari tarikh tangkap dan 3 sebatan.
37
Berdasarkan kepada kes-kes duluan tersebut, mahkamah mendapati kecenderungan hukuman yang dijatuhkan adalah antara 9 hingga 13 tahun berserta sebatan sebanyak 10 sebatan bagi kes-kes yang disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta 234 bagi jenis dadah yang sama serta berat yang hampir.
38
Setelah mengambil kira kesemua faktor-faktor dan prinsip undang-undang yang sedia ada, mahkamah ini berpandangan hukuman 12 tahun penjara bermula dari tarikh tangkap dan 10 sebatan rotan yang dijatuhkan ke atas tertuduh ketiga adalah wajar dan adil. Bertarikh: 22hb. Oktober, 2025 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Alor Setar, Kedah. Pihak-Pihak: Bagi Pihak Pendakwa Raya : Aisyah Al Humayrah binti Kamaruzaman Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah Darul Aman Aras 4, Blok C, Wisma Darul Aman 05250 Alor Setar Kedah Darul Aman Bagi Pihak Tertuduh Pertama: Mohd Khairul Hafizuddin Bin Ramli Peguambela & Peguamcara Tetuan Khairul Hafizuddin & Co. No. 63, Tingkat Atas, Lorong Sepat 1 Off Jalan Gangsa, Taman Wira Mergong, 05150 Alor Setar, Kedah Bagi Pihak Tertuduh Kedua: Burhanudeen Bin Abdul Wahid Peguambela & Peguamcara Tetuan Burhan & Co. No. 1564 L1, Wisma Burhan, Jalan Kota, 05000 Alor Setar, Kedah Bagi pihak tertuduh ketiga: Jayaraj A/L Thurairaj Peguambela & Peguamcara Tetuan T Jayaraj & Co. 101, Jalan Batik 2/3, Taman Batik, 08000 Sungai Petani, Kedah. Tarikh Keputusan : 21hb. Ogos, 2025 Undang-Undang Yang Dirujuk: Akta Dadah Berbahaya 1952 Kanun Tatacara Jenayah Kes-Kes Yang Dirujuk: Raja Izzuddin Shah v PP [1979] 1 MLJ 70 PP v. Jafa Bin Daud [1981] 1 MLJ 315 Tia Ah Leng v. Public Prosecutor [2004] 4 MLJ 249 PP v. Mohd Faiz Salleh [2016] 4 CLJ 92 Nur Fariza bt Zainudin lwn Pendakwa Raya [2021] MLJU 357 Buku yang dirujuk: The Random House Dictionary of the English Language: The Unabridged Edition (1994 edition)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.