Berdasarkan kepada pertimbangan teliti yang dibuat ke atas keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini sama ada oleh pihak pendakwaan mahupun pihak pembelaan, Mahkamah ini secara sebulat suara mendapati bahawa: a) Tiada cabaran berhubung keterangan Ahli Kimia bahawa dadah yang dirampas dan dianalisa adalah dadah yang berlainan. SP5, Ahli Kimia yang memberi keterangan mengemukakan Laporan Kimia (P26) sebagai hasil analisa beliau. YA PK yang bijaksana berpuas hati bahawa tiada kelompangan dalam rantaian keterangan barang kes dadah. Telah dicamkankan, identiti dadah 30 ketulan yang dirampas bahan mampat tumbuhan dibalut dengan plastic lutsinar dan diperkuat dengan pita pelekat serta tandaan-tandaan. Dicamkan oleh SP4 serahan dan tandaan kepada SP11 dan tandaan dan serahan kepada SP5. b) T1 dan T2 mempunyai milikan, kawalan dan pengetahuan ke atas dadah tersebut. Mahkamah ini memutuskan bahawa tiada sebab untuk tidak bersetuju dengan dapatan oleh YA PK bijaksana akan keterangan Agent Provocateur (AP) di bawah Seksyen 40A ADB 1952, di mana tiada sebab untuk tidak mempercayai keterangan seorang AP. YA PK yang bijaksana telah merujuk kepada kes PP v Mohamed Ali [1962] CLJU 129 [1962] 1 LNS 129 dan kes Mahkamah Persekutuan berhubung kebolehpercayaan keterangan AP yang perlu diterima oleh Mahkamah di dalam kes Wan Mohd Azman Hassan v PP [2010] 4 CLJ 529, dengan merujuk kepada peruntukan khas menurut Seksyen 40A ADB 1952. c) Ini dapat dilihat di dalam alasan penghakiman YA PK bijaksana di perenggan 21 hingga 24 akan pengetahuan T1 dan T2 bahawa mereka sedang berurusan menjual dadah, dan bukannya sebagai “innocent carrier”. d) Berhubung pengetahuan T1 dan T2, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan oleh PK di dalam alasan penghakimannya di perenggan 23 dan 24, yang menyatakan seperti berikut: “23) …Terdapat juga keterangan yang banyak yang menunjukkan pengetahuan T1 dan T2 terhadap dadah berbahaya yang dirampas. Ia bermula dengan perbincangan jual beli dadah melalui telefon dan bersemuka antara T1 dengan AP diikuti dengan perjumpaan antara mereka; wang belian ditunjukkan oleh SP7 dan dadah ditunjukkan oleh T1 dengan bantuan T2 yang membawa dadah di dalam but keretanya. Didalam kes kes ini, tujuan utama SP7 ke Pasaraya Giant adalah untuk membeli dadah ganja daripada T1. Pada hari tersebut T2 memandu Myvi Perak secara berseorangan dan telah mematuhi semua arahan T1 bagi membolehkan dadah ditunjukkan kepada SP7. Dalam keadaan ini tentulah T2 tahu apa yang dibawanya. Tidak mungkin dia tidak tahu kewujudan dadah yang berada di dalam but kereta yang dipandunya itu. Di samping itu SP4 juga mengatakan T2 kelihatan ketakutan ketika ditangkap. Keterangan-keterangan sebegini menunjukkan pengetahuan T1 dan T2 terhadap dadah tersebut. 24) Apatah lagi keterangan daripada saksi-saksi pendakwaan juga mengatakan bahawa T1 telah cuba melarikan diri sehingga merempuh anggota polis dan menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis tersebut...” e) YA PK yang bijaksana telah menggunapakai kes Parlan Dadeh v PP [2009] 1 CLJ 717, lihat perenggan [36] yang membincangkan berkenaan peruntukan Seksyen 8 Akta Keterangan 1950 berhubung perlakuan T1 dan T2 yang cuba melarikan diri apabila diserbu oleh pihak polis. f) T1 dan T2 telah mencapai niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan. YA PK telah merujuk kes Namasiyiam Doraisamy v PP [1987] CLJ Rep 241 di mana Hakim Mahkamah Agung Syed Agil Barakbah menyatakan; “In law, common intention requires a prior meeting of the minds and presupposes some prior concert. Proof of holding the same intention or of sharing some other intention, is not enough. There must be proved either by direct or by circumstantial evidence that there was (a) a common intention to commit the very offence of which the accused persons are sought to be convicted and (b) participation in the commission of the intended offence in furtherance of that common intention.” Mahkamah ini juga bersetuju dengan dapatan fakta oleh YA PK bahawa apabila AP berbincang dengan T1 dan apabila hendak dilihat dadah tersebut, T2 telah memandu kereta Myvi Perak dan T1 menunjukkan dadah tersebut kepada AP. Kerjasama T2 mematuhi arahan T1 telah diputuskan dengan betul oleh YA PK. g) Selanjutnya, dihujahkan oleh Peguam Perayu-Perayu bahawa terdapat dua versi keterangan di Mahkamah iaitu keterangan SP4 yang mengatakan AP (SP7) tidak pernah berjumpa dengan T1 sebelum hari kejadian. Manakala keterangan AP dan SP11 menyatakan ada berjumpa dengan T1. Dalam hal ini, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan YA PK dengan kupasannya di perenggan [29] alasan penghakiman bahawa keterangan AP iaitu SP7 adalah boleh diterima sebagai tepat, di mana AP mengakui pernah berjumpa dengan T1 di The Mines sebelum ini dan oleh sebab itulah, AP dan T1 dapat mengenali diri masing-masing apabila berjumpa di Pasaraya Giant iaitu tempat tangkapan dibuat. YA PK telah memberi dapatan dan alasan pada penemuan fakta ini bahawa SP11 iaitu pegawai penyiasat ada mencatatkan akan pertemuan SP7 dengan T1 sebelum hari kejadian. YA PK telah merujuk dengan tepat kes PP v Dato Seri Anuar Ibrahim [No:3] [1999] 2 CLJ 215 dan beberapa kes yang lain. Justeru, Mahkamah ini berpandangan keterangan SP4 dan SP6 adalah utuh berkenaan serbuan yang dilakukan. h) Begitu juga di tempat kejadian, sama ada SP4 menyokong kepada keterangan AP (SP7) bahawa T1 ada membuka kotak dan SP7 ada menunjukkan duit kepada T1. Dalam hal ini, SP4 memberi penjelasan kedudukan kereta SP4 yang bertentangan kedudukan kereta SP7 dan kereta T2 menyebabkan pandangan SP4 agak terhalang untuk melihat apa yang berlaku di bahagian but kereta yang dipandu oleh T2, di mana dadah tersebut dijumpai. Dengan itu, Mahkamah ini berpuas hati bahawa keterangan SP4 sesungguhnya tidak bertentangan dengan keterangan AP. Malah, Mahkamah ini juga ingin menekankan bahawa dapatan fakta oleh Mahkamah Bicara patut diberi keistemewaan, kerana mereka sendiri melihat saksi dan mendegarnya. Lihat juga kes PP v Datuk Haji Harun Idris [No:2] [1976] CLJU 184, di mana Hakim Raja Azlan Shah memutuskan seperti berikut; “In my opinion discrepancies there will always be, because in the circumstances in which the events happened, every witness does not remember the same thing and he does not remember accurately every single thing that happened. It may be open to criticism, or it might be better if they took down a notebook and wrote down every single thing that happened and every single thing that was said. But they did not know that they are going to be witnesses at this trial. I shall be almost inclined to think that if there are no discrepancies, it might be suggested that they have concocted their accounts of what had happened or what had been said because their versions are too consistent. The question is whether the existence of certain discrepancies is sufficient to destroy their credibility. There is no rule of law that the testimony of a witness must either be believed in its entirety or not at all. A court is fully competent, for good and cogent reasons, to accept one part of the testimony of a witness and to reject the other. It is, therefore, necessary to scrutinize each evidence very carefully as this involves the question of weight to be given to certain evidence in particular circumstances.” i) Mahkamah ini juga bersetuju bahawa tiada keperluan untuk wang yang ditunjukkan oleh AP kepada T1, dikemukakan sebagai keterangan di Mahkamah memandangkan kes ini bukanlah kes rasuah yang melibatkan elemen penerimaan wang. Lihat kes Nanda Kumar Kunyikanan & Anor v PP [2011] 8 CLJ 406 [para 47 – 50]. j) Begitu juga dengan panggilan telefon dan kiriman whatsapp antara AP dengan T1, Mahkamah ini bersetuju bahawa tidak perlu melebihi dari keraguan atas alasan SP7 adalah AP yang tiada perlu keterangan sokongan dan beban pendakwaan pada tahap tanpa keraguan yang munasabah. Lihat kes Namasiyam v PP [1987] 2 MLJ 336. k) Mahkamah ini juga sebulat suara bersetuju dengan dapatan oleh YA PK bahawa ketiadaan rakaman CCTV tidak boleh membangkitkan anggapan bertentangan menurut Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950. Alasan yang diberikan oleh YA PK dapat dilihat pada perenggan (37) di mana YA PK yang bijaksana menyatakan bahawa tiada keterangan yang hendak disembunyikan oleh pihak pendakwaan dan dalam siasatan pihak polis. Di mana SP9, Mohd Nazri Ya’Kob iaitu seorang saksi bebas bertugas sebagai Penyelia Keselamatan di Pasaraya Giant menjelaskan gambar P17(k)(l) dan (M) menunjukkan rakaman CCTV yang paling hampir dengan tenpat kejadian. Gambar-gambar ini turut dilihat oleh SP11 di mana kedudukan CCTV adalah jauh dari tempat kejadian. Di dalam alasan penghakimannya, YA PK menyatakan seperti berikut: “(37)...Saya menerima keterangan ini sebagai benar, Ini adalah kerena saya sendiri dapat melihat gambar P17 (K),(L) dan (M) yang menunjukkan kedudukan tempat kejadian yang agak jauh dari tempat kemera CCTV yang paling hampir itu berada…” Dalam hal ini, kes yang dirujuk oleh YA PK ialah Mohd Khairul Azwan Zakaria & Anor v PP [2024] CLJU 1115. Begitu juga dengan ketiadaan DNA dan cap jari, kami bersetuju bahawa ketiadaan perkara-perkara tersebut sama sekali tidak menjejaskan kes pendakwaan, apatah lagi dalam kes ini, pengedar sebenar dikenal pasti sebagai T1 dan T2. Ini dapat dilihat di dalam kes Mohamad Shahrudin Md Isa v. PP & Another Appeal [2015] 8 CLJ 839, Hakim Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim (pada masa tersebut) memutuskan sebagaimana berikut: "[32] With regard to the absence of fingerprint of first accused on the plastic wrapping that contained the drugs, it had been explained by the Investigating officer. It was in evidence that the said exhibit had been handled by the searching officers without using gloves. As such, a fingerprint lifting exercise by the investigating agency would only prove futile. We found that reason as being acceptable. [33] Be that as it may, the high authority in the decision of the apex court in case of PP v. Mansor Bin Md Rashid, had clearly stated that where the identity of the person from whom the drugs were recovered was not in issue, the need for fingerprint evidence must assume little significance under the circumstances." l) Selanjutnya, berhubung kegagalan memanggil B3, B4 dan B5 sebagai saksi pendakwaan, kami juga bersetuju dengan dapatan YA PK bahawa mereka hanyalah penumpang dan ketiadaan mereka sebagai saksi pendakwaan sama sekali tidak mencacatkan atau menimbulkan kelompangan kepada kes pihak pendakwaan. Justeru, inferen di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 tidak terpakai kepada pihak pendakwaan.