Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN NO. GUAMAN: BA-22NCvC-131-03/2024
BA-22NCvC-131-03/2024
High Court of Malaysia19 Jun 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN NO. GUAMAN: BA-22NCvC-131-03/2024
1
MOHD NASIR BIN IBRAHIM (No. K/P: 611223-01-5545)
2
NARIMAH BINTI IBRAHIM (No. K/P: 590921-01-5542) … PLAINTIF-PLAINTIF
1
ZULKIFLI BIN IBRAHIM (No. K/P: 550326-01-5015)
2
MOHD HATTA BIN IBRAHIM (No. K/P: 640329-01-5597)
3
ZIEDAH BINTI IBRAHIM (No. K/P: 561121-01-5488) … DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN 21/10/2025 16:09:47
Lampiran
Lampiran 28 1. Plaintif-Plaintif memohon untuk satu perintah pengkomitan terhadap Defendan Pertama, Zulkifli Bin Ibrahim (D1) mengikut Aturan 52 Kaedah 4, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (KKM) agar D1 dikomitkan ke penjara untuk satu tempoh dan/atau didenda dengan satu jumlah yang difikirkan sesuai. 2. Pernyataan Mengikut Aturan 52 Kaedah 3(2) telah difailkan oleh Plaintif-Plaintif sepertimana dalam Lampiran 23. 3. Alasan untuk mendapatkan perintah komital terhadap D1 adalah kerana beliau tidak mematuhi atau melanggar perintah Mahkamah bertarikh 29.8.2024 (Perintah Injuksi) atau telah menghalang (interfere) dengan pentadbiran keadilan dan dengan itu patut didapati bersalah kerana menghina Mahkamah. Latar Belakang Permohonan 4. Plaintif-Plaintif dan D1 adalah anak-anak kepada Maimunah binti Mohd Yusof (arwah Maimunah) yang telah meninggal dunia pada 21.4.2023. Sebelum kematian arwah, beliau telah menghadiahkan (hibah) sebuah rumah yang terletak di No H.S.(D) 44189, PTB 11651, Bandar Johor Bahru, Johor kepada Plaintif Kedua, Narimah Binti Ibrahim (P2). 5. D1 tidak berpuas hati dengan hibah tersebut dan sejak itu, dikatakan telah membuat kiriman (posting) di Facebook untuk memfitnah Plaintif-Plaintif. Maka, tindakan ini telah difailkan oleh Plaintif-Plaintif terhadap Defendan-Defendan untuk fitnah dan serangan. 6. Sementara menunggu perbicaraan penuh, satu perintah injuksi interim telah diperoleh pada 29.8.2024 (Perintah Injuksi) oleh Plaintif-Plaintif (Defendan-Defendan tidak mengemukakan bantahan) untuk menghalang Defendan-Defendan dari terus membuat penyataan atau siaran lanjut berkaitan Plaintif-Plaintif, hibah dan/atau hal harta pusaka arwah Maimunah sehingga tindakan diselesaikan dan dimuktamadkan. Perintah injuksi telah diendos dengan satu notis penal mengikut Aturan 45 Kaedah 7 KKM. 7. Walau bagaimanapun, Plaintif-Plaintif mendapati, D1 masih membuat kiriman di profil Facebook miliknya yang berkait dengan hibah tersebut walaupun tanpa menyebut secara jelas nama Plaintif-Plaintif (rujuk perenggan 17-18, Lampiran 23). 8. Maka permohonan untuk komital ini telah difailkan oleh Plaintif-Plaintif. Analisa dan Dapatan 9. Saman fitnah antara ahli keluarga berkait harta pusaka bukan satu pertikaian antara dua pihak bersandar kepada logik akal dan kedudukan undang-undang yang berkaitan semata-mata. Ianya lebih berat diselubungi unsur ketidakpuasan hati dan perasaan pihak-pihak. Benar fitnah satu kesalahan, namun isu justifikasi akan menyulitkan pihak terlibat melihat sesuatu tindakan dengan kaca mata yang adil. 10. Plaintif-Plaintif berhujah bahawa D1 telah tidak mematuhi Perintah Injuksi dengan terus membuat siaran dan kiriman di laman Facebook yang merujuk kepada Plaintif-Plaintif, hal hibah dan harta pusaka arwah Maimunah sedangkan D1 mengakui telah mengetahui dan memahami terma Perintah Injuksi tersebut. 11. D1 menafikan bahawa beliau telah mungkir terma Perintah Injuksi dan mengatakan status kiriman yang dibuat tidak merujuk kepada Plaintif-Plaintif atau tindakan yang masih berlansung dan ia merujuk kepada keadaan orang lain yang sedang menghadapi situasi yang sama. D1 juga mengatakan tiada prejudis dialami oleh Plaintif-Plaintif atas sebab siaran tersebut, maka D1 berhujah yang beliau tidak berniat untuk melakukan apa-apa penghinaan terhadap Mahkamah. 12. Adalah undang-undang mantap bahawa tahap pembuktian kes penghinaan Mahkamah adalah melampaui keraguan yang munasabah (beyond reasonable doubt) (rujuk kes Wee Choo Keong v MBF Holdings Bhd & Anor appeal (1995) 3 MLJ 549). 13. Aturan 45 Kaedah 5(1(b)(A) KKM juga jelas memperuntukan, jika seseorang itu gagal mematuhi penghakiman atau perintah Mahkamah, perintah pengkomitan boleh dibuat terhadapnya. 14. Saya setuju dengan rujukan kepada kes Tiu Shi Kian & Anor v Red Rose Restaurant Sdn Bhd (1984) 2 MLJ 313 yang telah disahkan oleh Mahkamah Persekutuan dan Privy Council dalam kes Datuk Hong Kim Sui v Tiu Shi Klan & Anor; Albert Teo Chin Kion v Tiu Shi Klan (1985) 1 MLJ 145, bahawa mens rea atau niat seseorang yang tidak mematuhi perintah Mahkamah tidak relevan, tetapi tindakan (actus reus) mereka yang perlu dipertimbang. 15. Saya dapati, D1 sedar dan mengetahui mengenai halangan dalam Perintah injuksi tersebut. D1 juga memahami terma yang tercatit di dalamnya. 16. Seterusnya, saya juga berpandangan bahawa siaran/terbitan yang dibuat oleh D1 sebenarnya tidak dipertikai oleh beliau. Walau bagaimana pun, alasan D1 bahawa ianya merujuk kepada situasi orang lain, tidak boleh diterima dan ia jelas satu penafian yang remeh. Saya membaca kenyataan yang dibuat dan dengan sekali bacaan saya dapat kaitkan isi kandungannya mirip pertikaian antara Plaintif-Plaintif dengan Defendan-Defendan. 17. Oleh itu, saya dapati Plaintif berjaya membuktikan bahawa D1 telah melanggar Perintah Injuksi tersebut. 18. Mengenai perintah penghukuman yang boleh saya buat lantaran dapatan di atas, terdapat nas-nas kes duluan yang telah memutuskan bahawa penghukuman untuk kes komital boleh dibuat bersandarkan konteks dan fakta dalam kes tersebut (lihat Peguam Negara Malaysia v Mkini Dotcom Sdn Bhd & Anor [2021] 2 MLJ 652). 19. Plaintif-Plaintif berhujah untuk D1 dipenjarakan atau dikenakan hukuman denda atas kemungkiran yang dilakukan. Plaintif-Plaintif juga merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh D1 mengandungi ayat-ayat yang keras (harsh), berterusan menyerang dan jelas tidak mempedulikan Perintah Injuksi. Plaintif-Plaintif seterusnya merujuk kepada kes-kes yang telah diputuskan untuk menyokong bahawa D1 patut dipenjarakan atau dikenakan hukuman denda yang setimpal (rujuk perenggan 30 hujahan bertulis Plaintif-Plaintif). 20. Di sini saya ulangi kata-kata saya di awal pertimbangan saya mengenai kes-kes yang berkait pertelingkahan adik beradik dalam hak harta pusaka yang pada dasarnya ia diselubungi perasaan tidak puas hati atau sakit hati yang biasanya gagal dibendung oleh kedua-dua belah pihak. 21. D1 telah hadir ke Mahkamah terbuka untuk prosiding komital ini. Beliau telah dipanggil ke hadapan untuk menjelaskan tuntutan komital ini. Saya dapati, D1 tidak menafikan membuat posting tersebut, tetapi saya juga dapati D1 sebenarnya gagal mengawal perasaan tidak puas hati beliau. 22. Saya merujuk kepada kes Mahkamah Rayuan, Zainuddin Muhammad v Atsco Ltd & Anor [2001] 4 CLJ 141, (CA), di mana Hakim, Gopal Sri Ram, JCA memutuskan seperti berikut: “That brings me to the sentence. I ask myself the question whether the sentence passed by the learned judge accords with the justice of the case. It would do so if the effect of the sentence were to uphold the sanctity of the order of court in question and to demonstrate to other offenders the seriousness of wilful disobedience of an order of court. In my view, in all the circumstances, the justice of the case is not met by sending the appellant to prison. What is of primary importance is that the respondents have got what they wanted. A declaration of assets. No purpose is served by sending this man to prison. In my judgment the sentence passed is manifestly excessive having regard to all the facts here. Hence I came to the conclusion that a warning would suffice. The sentence was therefore set aside and a warning imposed instead.” -penekanan ditambah 23. Hakim KC Vohrah, JCA dalam kes yang sama juga memutuskan seperti berikut: “In considering what punishment to impose the court has to take into account all relevant circumstances including the nature of the contempt and mitigating circumstances which include the contemnor's good character (see eg, Danchevsky v. Danchevsky [1975] Fam 17 and Goff v. Goff [1989] 1 FLR 436 CA), his health and his age.” 24. Saya melihat dan meneliti figura D1 dan mendengar alasan yang beliau berikan. Walaupun saya tidak menerima alasan beliau tidak merujuk kepada Plaintif-Plaintif dalam posting beliau, namun saya faham tindakan yang dibuat bukan berniat untuk menghina Perintah Injuksi yang telah diberikan. Maka, saya telah memberikan amaran dan teguran kepada D1 untuk tidak lagi mengulangi perbuatan beliau dan juga membenarkan kos sebanyak RM3000 diberikan kepada Plaintif-Plaintif. 25. Saya berpandangan, satu amaran wajar dan mencukupi dikenakan kepada D1 setelah mempertimbang faktor keadaan kes (nature of the case), usia dan perwatakan D1. Saya juga berpendapat, dengan memerintahkan D1 ke penjara tidak akan memberikan faedah kepada mana-mana pihak melainkan membenarkan sepihak merasa puas kerana berjaya menghukum sepihak yang satu lagi. 26. Tujuan prosiding komital bukan memberikan hak menghukum kepada pihak dalam kes semata-mata, tetapi satu mekanisme atau kuasa yang diberikan kepada Mahkamah untuk menjaga keadilan dan membendung pihak yang mungkir dari tidak mempedulikan dan menghormati kewujudan satu perintah Mahkamah dengan sengaja. Maka ianya merupakan satu kuasa budi bicara yang telah diperuntukan dalam KKM kepada Mahkamah untuk menjaga keluhuran (sanctity) dan maruah Mahkamah itu sendiri dan bukan satu alat (tools) untuk sepihak menghukum bagi kepentingan peribadi kepada pihak yang lain. Kesimpulan 27. D1 telah didapati gagal mematuhi Perintah Injuksi, tetapi setelah mempertimbangkan keadaan kes dan faktor usia D1 (70 tahun) serta tiada keuntungan bakal diperoleh dengan memenjarakan D1, maka saya merasakan wajar untuk menegur dan mengenakan hukuman sekadar amaran kepada D1. 28. Kos permohonan dibenarkan RM3000 kepada Plaintif-Plaintif tertakluk kepada alokator. Bertarikh: 21 Oktober 2025 ~signed~ (NOOR HAYATI BINTI HAJI MAT) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM, SELANGOR Peguam bagi pihak Plaintif : H. Y. Chong bersama dengan Amitaesh Theva Tetuan Azman Davidson & Co. Peguam bagi pihak Defendan : Muhamad Izwan bin Ishak Tetuan Amirul Shahidda & Co.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.