Content
DI MAHKAMAH SESYEN TELUK INTAN DI DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN AC-62D-169-08/2025 PP V. MOHD NAZRI BIN MOHD RASLI
AC-62D-169-08/2025
Sessions Court of Malaysia26 Sept 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
DI MAHKAMAH SESYEN TELUK INTAN DI DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN AC-62D-169-08/2025 PP V. MOHD NAZRI BIN MOHD RASLI
1
PENGENALAN Pertuduhan ke atas tertuduh adalah seperti berikut: “Bahawa kamu secara bersama pada 3.2.2025 jam lebih kurang 3.30 petang bertempat di rumah tidak bernombor beralamat Jalan Sungai Nibong Teluk Intan, di dalam daerah Hilir Perak di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan bagi mencapai niat bersama, telah didapati ada dalam milikan kamu dadah berbahaya iaitu methamphetamine dengan berat bersih 37.37 gram. Oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum seksyen 39A(2) Akta yang sama dan dibaca bersama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan.” Sekiranya disabitkan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau untuk suatu tempoh tidak kurang daripada 5 tahun dan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.
2
Ringkasan fakta kes 2.1 Fakta kes ini telah dibacakan di mahkamah dan OKT telah mengakui fakta kes ini sebagai benar. Pada 3.2.2025 jam lebih kurang 3.30 petang, sepasukan polis dari IPD Hilir Perak telah membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Teluk Intan, di mana mereka telah menjumpai empat orang lelaki yang sedang duduk bersama di atas lantai. Hasil pemeriksaan di rumah itu, pihak polis telah menjumpai 15 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah methamphetamine dengan berat bersih sebanyak 37.37 gram, bersama dengan sebuah botol kaca disyaki alat menghisap dada dan satu pemetik api. Keempat-empat lelaki ini telah ditahan dan selanjutnya telah dituduh di Mahkamah ini di bawah seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya, dan dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan.
2
2.2 Tertuduh pertama telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut pada 26 September 2025, dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun bermula dari tarikh tangkapan. Tiga tertuduh yang lain telah dilepaskan tanpa dibebaskan atas permohonan pihak pendakwaan.
2
2.3 Ini adalah rayuan oleh tertuduh pertama terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas beliau.
3
Keputusan mahkamah 3.1 Mahkamah telah mempertimbangkan perkara-perkara berikut di dalam menjatuhkan hukuman terhadap OKT.
3
3.1.1 Rayuan mitigasi oleh OKT Tertuduh telah memohon untuk diwakili oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan di dalam kes ini, namun sehingga tarikh 26 September 2025, belum ada sebarang maklumbalas diterima dari pihak YBGK. Namun setelah ditanya, tertuduh mengesahkan beliau masih mahu meneruskan pengakuan bersalah beliau walaupun tidak diwakili. Beliau merayu agar hukuman yang paling ringan dijatuhkan ke atas beliau memandangkan beliau adalah seorang bapa tunggal yang menyara seorang anak. Beliau juga merayu agar pengakuan salah beliau diambil kira dalam penentuan hukuman, dan memohon penjara singkat bermula dari tarikh tangkapan.
3
3.1.2 Mahkamah mempertimbangkan di dalam kes ini jumlah dadah yang dirampas semasa serbuan, iaitu berat bersih sebanyak 37.37 gram, di dalam bentuk 15 paket plastik. Mahkamah berpendapat bahawa dadah bentuk dan bilangan paket plastik yang dirampas menunjukkan bahawa dadah tersebut bukanlah semata-mata untuk kegunaan sendiri.
3
3.1.3 Kepentingan awam mestilah diberikan kepentingan yang lebih tinggi berbanding dengan kepentingan peribadi OKT. Kesalahan penyalahgunaan dadah semakin kerap berlaku, dan mahkamah mestilah menjatuhkan hukuman yang bersesuaian sebagai satu pengajaran kepada pesalah-pesalah narkotik ini, dan sebagai satu usaha pencegahan bagi pelakuan kesalahan ini.
3
3.1.4 Mahkamah juga mempertimbangkan umur tertuduh yang berusia 50 tahun, yang menyebabkan beliau tidak layak untuk dikenakan hukuman sebat. Oleh kerana hukuman sebatan tidak dapat dijatuhkan ke atas tertuduh, Mahkamah berpendapat hukuman penjara haruslah menggantikan hukuman sebatan tersebut.
4
Kesimpulan
4
4.1 Setelah mempertimbangkan sebab-sebab di atas, mahkamah ini berpendapat bahawa hukuman yang telah dijatuhkan ke atas tertuduh adalah adil dan bersesuaian. NORHAMIZAH BINTI SHAIFFUDDIN
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.