Content
1 [Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban Dalam Negeri Sembilan Darul Khusus, Malaysia Guaman Sivil No.: NA-23NCVC-2-03/2025
NA-23NCvC-2-03/2025
High Court of Malaysia24 Sept 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 [Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban Dalam Negeri Sembilan Darul Khusus, Malaysia Guaman Sivil No.: NA-23NCVC-2-03/2025
1
Mohd Rafiza Yusri Bin Abd Razak [No. K/P: 781220-14-5071]
2
Mohd Zubir Bin Zakaria [No. K/P: 730216-05-5129]
3
Ramlan Bin Johan [No. K/P: 561220-05-5565] … Plaintif-Plaintif DAN Mazri Bin Mansol [No. K/P: 690610-05-5225] … Defendan ALASAN PENGHAKIMAN PENGENALAN 30/12/2025 15:27:17
1
Permohonan ini difailkan oleh Defendan melalui Notis Permohonan di Lampiran 7 untuk membatalkan Writ Saman Terpinda dan Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif-Plaintif bertarikh 26.03.2025. Permohonan ini dibuat di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1)(b) dan
d
serta Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
2
Defendan menghujahkan bahawa tindakan Plaintif-Plaintif dalam Guaman Sivil No. NA-23NCvC-2-03/2025 ("Guaman 2025 ini") adalah remeh, menyusahkan, dan merupakan suatu penyalahgunaan proses Mahkamah kerana ia merupakan pengulangan isu yang telah pun dilupuskan dalam tindakan terdahulu.
3
Plaintif-Plaintif telah memulakan Guaman 2025 ini atas kausa tindakan fitnah (tort libel) yang didakwa berpunca daripada dua dokumen utama :-
1
Surat bertarikh 16.12.2022 yang ditandatangani oleh Defendan.
2
Buku Rasmi Jemputan Istiadat Kerajaan yang diedarkan pada Jun 2023.
4
Walau bagaimanapun, fakta menunjukkan bahawa Plaintif-Plaintif sebelum ini telah memfailkan tindakan terhadap Defendan yang sama dalam Guaman Sivil No. NA-22NCVC-63-11/2023 ("Guaman 2023 tersebut"). Guaman 2023 tersebut telah pun dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Seremban melalui Perintah bertarikh 10.06.2024.
5
Dalam kes ini, Plaintif Pertama adalah merupakan seorang Pembesar Melayu Penyandang Pusaka Yang Mulia Dato' Lela Raja Lembaga Suku Tiga Batu Lela Raja Luak Jempol yang sah yanh telah diangkat secara rasmi dan telah diisytiharkan melalui suatu majlis adat dan istiadat Kerjan (Berkerajaan) Adat Perpatih Luak Jempol pada 26.5.2023. Plaintif Pertama merupakan Dato' Lembaga Terkanan dan yang Pertama dalam hirierki Dato'-Dato’ Lembaga Luak Jempol yang sah dan mempunyai ramai pengikut dan anak buah di dalam Luak Jempol.
6
Plaintif Kedua adalah merupakan Pembesar Melayu Penyandang Pusaka Yang Mulia Dato' Seri Amar Menteri Lembaga Suku Tanah Datar Luak Jempol. Plaintif Kedua telah diangkat secara rasmi dan telah diisytiharkan melalui suatu majlis adat dan istiadat Kerjan (Berkerajaan) Adat Perpatih Luak Jempol pada 8.1.2O23 dan merupakan Yang Mulia Dato' Lembaga Kedua Terpenting dalam hirierki kekananan ("seniority'') Dato’-Dato’ Lembaga Luak Jempol.
7
Plaintif Ketiga adalah merupakan Pembesar Melayu Penyandang Pusaka Yang Mulia Dato' Komo Suku Mungkal Luak Jempol yang sah dan telah diangkat secara rasmi dan telah diisytiharkan melalui suatu majlis adat dan istiadat Kerjan (Berkerajaan) Adat Perpatih Luak Jempol pada 9.2.2010.
8
Defendan pada masa material adalah merupakan seorang calon (mata benih) Penghulu Luak Jempol yang bakal mengisi kekosongan jawatan Yang Mulia Penghulu Luak Jempol.
9
Adalah menjadi dakwaan Plaintif-Plaintif bahawa Defendan pada masa sekarang bukanlah merupakan seorang yang menyandang Yang Mulia Penghulu Luak Jempol yang sah dan diiktiraf yang diangkat melalui kerapatan dan/atau mesyuarat daripada suku Biduanda Luak Jempol.
10
Kausa tindakan ini berpunca daripada surat pemecatan Plaintif-Plaintif bertarikh 16.12.2022. Surat tersebut yang yang menggunakan Kepala Surat Rasmi Jawatankuasa Adat Istiadat Adat Perpatih dan ditandatangani oleh Defendan telah diterima oleh Plaintif-Plaintif pada 20.12.2022.
11
Kandungan surat tersebut antara lain menyatakan bahawa Plaintif-Plantif telah dipecat daripada menyandang jawatan yang dipegang oleh Plaintif-Plaintif iaitu masing-masing sebagai Penyandang Pusaka Yang Mulia Dato' Lela Raja Lembaga Suku Tiga Batu Lela Raja Luak Jempol, Penyandang Pusaka Yang Mulia Dato' Seri Amar Menteri Lembaga Suku Tanah Datar Luak Jempol dan Penyandang Pusaka Yang Mulia Dato' Komo Suku Mungkal Luak Jempol. Plaintif mendakwa bahawa kandungan surat tersebut penuh dengan pernyataan-pernyataan fitnah, mengaibkan dan menjatuhkan maruah Plaintif-Plaintif.
12
Salinan surat Pemecatan tersebut juga telah diedar, dipanjangkan dan disebarluaskan kepada perhatian umum antaranya kepada Pejabat Pegawai Daerah Jempol, Pejabat Pegawai Daerah Kuala Pilah, Ketua Polis Daerah Jempol, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Pejabat Yang Berhormat Ahli Parlimen Jempol, Pejabat Yang Berhormat Ahli Parlimen Kuala Pilah, Pejabat Yang Berhormat, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri di dalam daerah Jempol, Pejabat Yang Berhormat, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri di dalam daerah Kuala Pilah, Pejabat Pegawai-Pegawai Agensi Kerajaan di dalam daerah Jempol, Pejabat Pegawai-Pegawai Agensi Kerajaan di dalam Daerah Kuala Pilah dan yang lain-lain.
13
Bagaimanapun, semakan mendapati bahawa tindakan guaman 2023 ini telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi (2) Seremban pada 10.6.2024 atas permohonan Defendan untuk membatalkan tindakan tersebut di bawah Aturan 18 Kaedah 19 KKM 2012. Pihak Plaintif-Plaintif tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan tersebut. Sebaliknya, Plaintif-Plaintif telah memfailkan satu tindakan baru berasaskan kausa tindakan dan pihak-pihak yang sama.
14
Isu yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini adalah :- i. Sama ada Guaman 2025 ini terhalang oleh doktrin Res Judicata dan Estopel Isu. ii. Sama ada pemfailan semula tindakan atas set fakta yang sama merupakan suatu Penyalahgunaan Proses Mahkamah.
15
Kuasa untuk membatalkan tindakan adalah diperuntukkan di bawah Aturan 18 Kaedah 19 KKM 2012. Mahkamah merujuk kepada prinsip dalam kes Bandar Builder Sdn Bhd v United Malayan Banking Corporation Bhd [1993] 3 MLJ 36, yang menurunkan prinsip undang-undang berkenaan pembatalan tindakan di bawah A.18 k. 19 KKM 2012 :- “ It is only in plain and obvious cases that recourse should be had to the summary process under this rule and this summary procedure can only be adopted when it can be clearly seen that a claim or answer is on the face of it “obviously unsustainable”.
16
Berdasarkan otoriti di atas, Mahkamah hanya boleh menggunakan kuasa pembatalan dibawah peruntukan tersebut jika Mahkamah mendapati bahawa sesuatu tindakan itu jelas tidak dapat dipertahankan (obviously unsustainable). Sama ada tindakan ini terbatal di bawah Doktrin Res Judicata
17
Mahkamah merujuk kepada autoriti Asia Commercial Finance (M) Bhd v Kawal Teliti Sdn Bhd [1995] 3 MLJ 189 yang antara lain mengutarakan bahawa doktrin res judicata menghalang pihak-pihak daripada melitigasikan semula isu yang telah diputuskan atau isu yang sepatutnya dibawa dalam tindakan terdahulu tetapi tidak dilakukan. Ini bertujuan untuk mempertahankan keputusan yang telah dimuktamadkan dalam litigasi terdahulu. Prinsip ini berakar umbi daripada dasar awam untuk bertindak sebagai perisai terhadap litigasi yang tidak berkesudahan selain bertujuan memuktamadkan penghakiman.
18
Berdasarkan fakta-fakta yang ada, Mahkamah mendapati elemen-elemen res judicata telah dipenuhi dalam kes ini berdasarkan alasan-alasan berikut :- i. Pihak yang sama: Pihak-pihak dalam kedua-dua Guaman 2023 dan Guaman 2025 adalah identikal, i.e pihak-pihak yang sama. ii. Subjek yang sama: Kedua-dua tindakan melibatkan dakwaan fitnah melalui Surat 16.12.2022 dan Buku Jemputan yang sama. iii. Set Fakta yang identikal: Kausa tindakan dalam Guaman 2025 berakar umbi daripada peristiwa yang sama yang telah dibangkitkan dalam Guaman 2023.
19
Plaintif-Plaintif berhujah bahawa Guaman 2023 telah dibatalkan atas sebab teknikal semata, i.e tindakan telah dibatalkan atas alasan pliding cacat kerana tidak memplidkan kata-kata fitnah secara verbatim dan bukannya atas merit perbicaraan penuh. Oleh itu, tindakan ini belum dilupuskan berdasarkan merit. Bagaimanapun, Mahkamah mendapati bahawa dakwaan Plaintif-Plaintif adalah tidak berasas dan tidak bermerit atas sebab-sebab berikut :- Fakta-fakta yang ada jelas menunjukkan bahawa tindakan guaman 2025 ini merupakan pengulangan kepada kepada guaman 2023. Isu fitnah melalui Surat 16.12.2022 dan Buku Jemputan tersebut sememangnya telah wujud dan diketahui oleh Plaintif-Plaintif semasa pemfailan Guaman 2023. Walaupun Plaintif-Plaintif mendakwa Guaman 2025 lebih tersusun dan teratur dan mengandungi butiran fitnah secara verbatim, ia tetap bersandarkan kepada fakta material yang sama dengan Guaman 2023.
20
Sekiranya Plaintif-Plaintif terkhilaf dengan keputusan Guaman 2023, Plaintif-Plaintif sepatutnya telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut atau meminda sebarang kekurangan yang terdapat dalam pliding guaman terdahulu dan bukannya memfailkan satu tindakan baru berdasarkan kausa tindakan dan pihak-pihak yang sama.
21
Undang-undang tidak membenarkan mana-mana pihak menjalankan kes secara berfasa atau menggunakan Mahkamah sebagai medan eksperimen untuk membaiki pliding yang gagal dalam tindakan sebelumnya. Mahkamah turut mendapati cubaan Plaintif-Plaintif untuk menghidupkan semula tuntutan yang telah dibatalkan dengan memfaikan satu tuntutan baru tanpa memfailkan sebarang rayuan terhadap pembatalan guaman sebelum ini merupakan satu tindakan yang seakan-akan membelakangkan keputusan Mahkamah dalam guaman sebelum ini dan jelas merupakan satu penyalahgunaan proses Mahkamah.
22
Seterusnya, Mahkamah juga berpendapat bahawa demi kepentingan awam, sesuatu litigasi mestilah mempunyai titik noktah bagi mengelakkan pembaziran sumber kehakiman dan penindasan terhadap Defendan.
23
Berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah memutuskan bahawa permohonan Defendan di Lampiran 7 dibenarkan dengan kos dan dengan itu, keseluruhan tindakan Plaintif-Plaintif dalam Guaman Sivil No. NA-23NCvC-2-03/2025 dibatalkan. Bertarikh : 29 Disember 2025 t.t (WAN FADHILAH NOR BINTI WAN IDRIS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya SEREMBAN NEGERI SEMBILAN Peguam bagi pihak Perayu : Tetuan Deidra Sharina & Co. Peguam bagi pihak Responden : Alin Alisya Imran binti Amran Tetuan Ghaffar, Hazim, Afiq & Naim.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.