Content
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-46SOM-3-12/2022 PENDAKWA RAYA LAWAN 1) MOHD RAZIN BIN RAZALI [NO. KP: 900723-14-6921] 2) MOHAMAD FAIZAL BIN AHMAD ZAKI [NO. KP: 850910-02-5743] DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-46SOM-4-12/2022 PENDAKWA RAYA LAWAN 1) ANAS HAFIZIN BIN AHMAD [NO. KP: 850904-02-5675] 2) MUHAMAD ASLAM BIN OSMAN [NO. KP: 930727-09-5081] 3) IBRAHIM BIN DAHAMID [NO. KP: 841225-02-5775] ALASAN PENGHAKIMAN PENDAHULUAN [1] OKT1 (selepas ini dirujuk sebagai “OKT Razin”) dan OKT2 (selepas ini dirujuk sebagai “OKT Faizal”) bagi kes KA-46SOM-3-12/2022 telah dituduh di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah bagi satu pertuduhan di bawah subseksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574]. [2] OKT1 (selepas ini dirujuk sebagai “OKT Anas”), OKT2 (selepas ini dirujuk sebagai “OKT Aslam”) dan OKT3 (selepas ini dirujuk sebagai “OKT Ibrahim”) bagi kes KA-46SOM-4-12/2022 telah dituduh di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah bagi satu pertuduhan di bawah seksyen 26A Akta 670 dan dibaca bersama seksyen 34 Akta 574. [3] Pada 17.5.2023, kedua-dua kes telah diperintahkan dibicarakan secara bersama selaras dengan peruntukan seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593]. [4] Perbicaraan kes ini telah dimulakan pada 30.10.2023 dan perbicaraan kes ini masih lagi di peringkat kes pendakwaan di mana pihak pendakwaan setakat pada tarikh Alasan Penghakiman ini, telah memanggil seramai 19 orang saksi pendakwaan termasuk seorang saksi yang dilindungi (PW1). [5] Melalui surat bertarikh 12.2.2024, pihak Pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah ini hasrat untuk memanggil 4 orang peserta yang telah didaftarkan dalam Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] sebagai saksi-saksi pendakwaan. Selaras dengan seksyen 14 Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747], pihak Pendakwaan telah memohon supaya satu inkuiri di bawah seksyen tersebut dijalankan terhadap saksi-saksi yang dilindungi tersebut. [6] Susulan daripada permohonan pihak pendakwaan tersebut, pada 20.2.2024, Mahkamah ini telahpun menjalankan inkuiri-inkuiri sebagaimana dipohon ke atas keempat-empat saksi yang dilindungi terbabit. Setelah inkuiri dijalankan, dan Mahkamah ini berpuashati bahawa terdapat keperluan untuk melindungi identiti saksi-saksi yang dilindungi tersebut, Mahkamah ini telah membenarkan permohonan pihak Pendakwaan supaya keterangan-keterangan 3 daripada 4 orang saksi-saksi yang dilindungi tersebut dirakam secara tertutup dan cara pengemukaan keterangan saksi-saksi yang dilindungi tersebut adalah secara bertaip. [7] Pada 29.7.2024, semasa prosiding sambung bicara dimulakan, pihak Pendakwaan telah memaklumkan untuk memanggil salah seorang seorang daripada saksi yang dilindungi (PW1) tersebut untuk memberikan keterangan dan memohon supaya perbicaraan dijalankan secara tertutup selaras dengan peruntukan subseksyen 20(1) Akta 696. [8] Mahkamah selanjutnya telah memaklumkan kepada semua pihak-pihak bahawa satu inkuiri telah dijalankan pada 20.2.2024 atas permohonan pihak pendakwaan untuk keterangan saksi yang dilindungi (PW1) diberikan secara tertutup dan setelah Mahkamah berpuashati, Mahkamah telah membenarkan permohonan tersebut. Di samping itu juga Mahkamah telah turut menjelaskan bahawa perintah yang telah diberikan pada 20.2.2024 itu adalah supaya keterangan saksi terlindung tersebut diberikan secara bertaip, di mana hanya Mahkamah dan jurubahasa Mahkamah sahaja yang dapat melihat dan mendengar keterangan yang akan diberikan oleh saksi yang dilindungi tersebut, dan selanjutnya keterangan tersebut akan ditaip semula secara verbatim dan dipaparkan kepada semua pihak-pihak semasa prosiding berjalan dalam Mahkamah. [9] Perbicaraan selanjutnya telah dijalankan dengan keterangan utama saksi yang dilindungi (PW1) tersebut. Pada akhir prosiding perbicaraan pada hari tersebut dan sebelum perbicaraan ditangguhkan ke tarikh sambung bicara keesokan harinya, pihak-pihak Pembelaan telah mengemukakan permohonan membantah cara pengemukaan keterangan PW1 secara bertaip. Alasan utama yang dikemukakan oleh pihak Pembelaan adalah kerana berdasarkan keterangan yang telah dikemukakan oleh PW1 sendiri semasa prosiding sambung bicara pada 29.7.2024, identiti PW1 telah boleh dikenalpasti dengan jelas. [10] Mahkamah ini telah menangguhkan perbicaraan pada hari tersebut dan menetapkan hujahan lanjut berkenaan permohonan bantahan pihak Pembelaan ke esok harinya (30.7.2024). [11] Pada 30.7.2024, setelah Mahkamah ini mendengar hujahan kedua-dua pihak Pendakwaan dan Pembelaan berkenaan isu ini, Mahkamah ini telah memutuskan supaya keterangan PW1 hendaklah diberikan seperti seorang saksi bersumpah biasa di dalam Mahkamah dan perintah berkenaan cara keterangan saksi terlindung tersebut dirakam adalah dibatalkan. Namun begitu, mengambilkira sensitivity of the case, Mahkamah ini memerintahkan agar prosiding keterangan PW1 tersebut dijalankan tanpa kehadiran orang awam (public gallery) di Mahkamah. Mahkamah turut memerintahkan bahawa maklumat berkenaan PW1 tersebut tidak boleh didedahkan oleh mana-mana pihak dalam apa jua bentuk sekalipun, melainkan dengan suatu proses undang-undang. Di samping itu juga, Mahkamah ini telah turut menangguhkan sambungan pemeriksaan utama PW1 ke tarikh perbicaraan yang lain. [12] Pihak pendakwaan tidak berpuashati dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah ini pada 30.7.2024 tersebut dan telah memfailkan dua (2) Notis Rayuan pada 12.8.2024 ke Mahkamah Rayuan berkenaan cara pengemukaan keterangan saksi yang dilindungi (PW1) ini dan rayuan-rayuan tersebut telah didaftarkan sebagai Rayuan Jenayah K-06A-12-08/2024 dan K-06A-13- 08/2024 (“rayuan-rayuan jenayah pertama tersebut”). Setakat tarikh Alasan Penghakiman ini, rayuan-rayuan jenayah pertama tersebut masih lagi belum didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. [13] Selanjutnya, melalui surat bertarikh 30.9.2024, pihak Pendakwaan telah sekali lagi mengemukakan permohonan kepada Mahkamah ini untuk menjalankan inkuiri ke atas saksi yang dilindungi selaras dengan peruntukan seksyen 14 Akta 747 bagi tujuan menetapkan cara pemberian keterangan oleh saksi yang dilindungi dalam cara yang beliau tidak dapat dilihat atau didengar oleh pihak-pihak. Apa yang menarik adalah permohonan inkuiri melalui surat bertarikh 30.9.2024 adalah melibatkan saksi yang dilindungi yang sama iaitu PW1 yang mana rayuan-rayuan terhadap keputusan Mahkamah ini pada 30.7.2024 sebagaimana didaftarkan dalam rayuan-rayuan jenayah pertama tersebut masih lagi belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. [14] Setelah Mahkamah ini meneliti surat permohonan bertarikh 30.9.2024 tersebut, Mahkamah ini telah pada 23.10.2024 menolak permohonan pihak Pendakwaan supaya inkuiri di bawah seksyen 14 Akta 747 dijalankan dan keputusan tersebut telah diminitkan dalam surat yang sama dan dimaklumkan secara lisan kepada pihak Pendakwaan pada hari yang sama. [15] Surat permohonan pihak Pendakwaan dan perintah penolakan Mahkamah ini dilampirkan seperti berikut: [16] Secara jelasnya, perintah yang diminitkan oleh Mahkamah ini pada 23.10.2024 adalah seperti berikut: “Setelah meneliti surat permohonan, tidak wajar untuk inkuiri dijalankan jika melibatkan saksi terlindung yang sama kerana perintah telahpun dibuat semasa perbicaraan di Mahkamah terbuka. Sekiranya pihak Pendakwaan masih hendak membuat permohonan yang sama, hendaklah dibuat secara lisan di Mahkamah terbuka untuk beri peluang semua pihak berhujah mengenainya.” [17] Pihak Pendakwaan tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah ini yang menolak supaya suatu inkuiri di bawah seksyen 14 Akta 747 dijalankan dan telah mengemukakan rayuan atas keputusan tersebut (“rayuan kedua tersebut”). FAKTA RINGKAS KES PENDAKWAAN [18] Secara ringkas, fakta kes pendakwaan sebagaimana dalam Ucapan Pembukaan Kes yang telah dikemukakan setakat ini adalah bahawa pada 24.5.2022 jam lebih kurang 9.30 malam di koordinat latitude darjah 06.03 N, longitut 100 darjah 18.94 E dengan jarak lebih kurang 1.9 batu nautika dengan daratan di Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah (tempat kejadian), sepasukan pegawai daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (“APMM”) yang sedang bertugas telah menerima laporan bahawa akan berlaku aktiviti penyeludupan migran di Kuala Kedah. [19] Pasukan APMM kemudiannya telah melihat dan menahan sebuah bot nelayan tempatan (“BNT”) dan menjumpai OKT Razin, OKT Anas, OKT Aslam dan OKT Ibrahim di atas bot tersebut. Sejurus sampai di Jetty Coral Marine (“jeti APMM”), pemeriksaan yang dijalankan ke atas BNT tersebut menjumpai seramai 119 orang migran warganegara Myanmar disembunyikan dalam tempat meletakkan ikan dalam BNT tersebut. Kesemua migran tersebut tidak memiliki dokumen perjalanan diri dan masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak sah. [20] Pihak Pendakwaan juga akan membuktikan bahawa OKT Faizal telah mengatur perjalanan kemasukan 119 migran tersebut dan telah turut bersama-sama OKT Razin, OKT Anas, OKT Aslam dan OKT Ibrahim telah mengangkut 119 orang migran terbabit masuk ke Malaysia melalui Kuala Kedah. ISU RAYUAN [21] Isu yang ditimbulkan oleh pihak Pendakwaan dalam rayuan kedua tersebut adalah berkenaan keputusan Mahkamah ini pada 23.10.2024 yang telah menolak permohonan pihak Pendakwaan melalui surat bertarikh 30.9.2024 supaya suatu inkuiri di bawah subseksyen 14(2) Akta 747 dijalankan ke atas saksi yang dilindungi (PW1). ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH [22] Seksyen 14 Akta 747 memperuntukkan seperti berikut: “Keterangan saksi diberikan dengan cara khas