Fakta-fakta yang dihujahkan oleh pihak Pendakwaan bagi membuktikan elemen ini adalah seperti yang berikut: a) Perjumpaan antara OKT Faizal, OKT Aslam, OKT Ibrahim dan PW1 di Jeti Feri Langkawi pada 22.5.2022 bagi membincangkan urusan pengambilan PATI di tengah laut di perairan Tukun Perak, Langkawi; b) Perbincangan melibatkan urusan berkaitan kos minyak, koordinat mother boat, dan pergerakan BNT dari jeti Alu, Kuala Kedah ke Tukun Perak; c) Pada 23.5.2022, PW1 telah pergi bersama OKT Aslam, OKT Anas dan OKT Ibrahim ke Tesco/Lotus di mana OKT1 Aslam dan OKT Ibrahim telah membuat pembelian barang persiapan (makanan dan minuman) untuk dibawa bersama ke BNT; d) Persediaan bot yang dilaksanakan oleh OKT Razin, di mana berdasarkan keterangan pemilik BNT yang juga pemilik Jeti Alu (SP4) beliau telah menyewakan BNT kepada OKT Razin kerana dimaklumkan oleh OKT Razin yang sewaan BNT diperlukan untuk tujuan operasi polis. Keterangan SP3 (pekerja SP4) dan SP4 telah mengesahkan bahawa OKT Razin telah menyewa BNT tersebut atas tujuan operasi polis dengan bayaran RM8000 untuk tiga hari. Keterangan SP4 turut mengesahkan bahawa bayaran sebanyak RM3000 telahpun dibuat oleh OKT Razin, manakala baki sebanyak RM5000 akan dibayar selepas selesai operasi. Keterangan SP3 pula telah mengesahkan yang kunci BNT telah diserahkan kepada OKT Razin; e) Semasa di Jeti Alu, apabila OKT Razin sampai, kesemua OKT (kecuali OKT Faizal) telah memasukkan barang makanan dan minuman ke dalam BNT. Keterangan SP2 iaitu pekerja SP4 turut mengesahkan fakta ini; f) Pada 24.5.2022, lebih kurang pukul 1 pagi, Aslam telah memberikan koordinat mother boat kepada PW1 dan BNT telah bergerak keluar dari jeti Alu; g) Sebelum bergerak, PW1 telah mendengar OKT Aslam menghubungi OKT Faizal untuk memaklumkan pergerakan mereka; h) Pada 24.5.2022, lebih kurang pukul 9.30 pagi, BNT tersebut telah sampai di koordinat yang diberikan oleh OKT Aslam. OKT Aslam telah mengarahkan PW1 untuk mendekati mother boat bagi membolehkan OKT Razin merakam video menggunakan iPad (eksibit P92); i) Selanjutnya OKT Razin dan OKT Aslam mengarahkan PW1 merapat kepada mother boat, yang mana setelah BNT tersebut merapat kepada mother boat, barang makanan telah diserahkan kepada mother boat oleh OKT Razin, OKT Aslam, OKT Anas dan OKT Ibrahim; j) PW1 mendengar nama lebih kurang 30 hingga 40 orang migran Rohingya dipanggil oleh OKT Aslam untuk menaiki BNT tersebut. OKT Razin dan OKT Anas telah mengaturkan agar migran perempuan duduk di bahagian belakang BNT, manakala migran lelaki duduk di bahagian hadapan BNT; k) Akibat berlakunya pergelutan, terdapat lebih ramai migran yang melompat masuk ke BNT, dan OKT Razin dan OKT Aslam telah mengarahkan PW1 untuk memandu BNT balik ke Kuala Kedah; l) Ketika BNT sampai ke muara Kuala Kedah, PW1 lihat OKT Razin, OKT Anas, OKT Aslam dan OKT Ibrahim mengatur migran yang berada di hadapan BNT untuk masuk ke dalam petak ikan; m) Keterangan SP12 menyatakan bahawa pada 23.5.2022, OKT Faizal telah menghubungi beliau untuk bersedia (standby) dengan lori bagi mengangkut PATI Rohingya. SP12 juga diminta menunggu arahan lanjut daripada OKT Faizal. Namun begitu, pada 24.5.20022, OKT Faizal telah memaklumkan kepada SP12 melalui pesanan Whatsapp bahawa bot yang membawa PATI itu ‘sangkut’. SP12 juga dalam keterangannya menyatakan bahawa beliau sebelum itu juga pernah berurusan dengan OKT Faizal bagi tujuan membawa PATI menaiki lori; n) Keterangan SP11 yang merupakan pegawai risikan APMM mengesahkan bahawa beliau menerima maklumat risikan penyeludupan PATI dan telah membuat pemerhatian awal pada 23.5.2022 lebih kurang pukul 10 malam. SP11 telah melakukan pemantauan di Jeti Lembaga Ikan (LKIM) di Kuala Kedah. SP11 turut mengesahkan bahawa pada 24.5.2022, lebih kurang pukul 1 pagi, BNT dengan nombor pendaftaran KHF2626 telah keluar ke laut. SP11 mengesyaki BNT tersebut sebagai sasaran kerana melihat tong ikan dikeluarkan dari BNT dan orang yang menaiki bot tersebut berpakaian kemas (berbaju putih dan berseluar jeans), yang dilihat tidak seperti pakaian nelayan biasa. o) Selanjutnya, keterangan SP11 menunjukkan bahawa pada hari yang sama lebih kurang pukul 8 malam, SP11 yang ketika itu membuat pemantauan di kawasan Jambatan Tok Pasal, Kuala Kedah telah mengesan BNT KHF 2626 tersebut pulang dari laut. SP11 kemudiannya telah memaklumkan kepada SP10 yang berkemungkinan BNT tersebut membawa PATI; p) SP13 yang merupakan pegawai APMM mengesahkan bahawa PW1 adalah sumber berdaftar APMM. Pada 23.5.2022, SP13 telah menerima maklumat daripada PW1 yang mengatakan PW1 akan membuat kerja membawa PATI Rohingya dari laut sempadan Malaysia, Thailand dan Indonesia ke daratan Kuala Kedah. Tiada maklumat berkenaan tarikh dan masa pergerakan bot. Pada 23.5.2022, lebih kurang pukul 6 petang, SP13 telah menerima pesanan Whatsapp ringkas daripada PW1 memberitahu ‘dah ambil’. Setelah SP11 memaklumkan BNT KHF2626 dilihat dalam keadaan mencurigakan, SP13 telah mengarahkan agar BNT tersebut dijadikan bot sasaran. Pada hari yang sama, SP13 telah mengarahkan anggotanya (SP14) ke Kuala Kedah untuk membantu pemantauan dan mengarahkan agar keselamatan PW1 dijaga dan diasingkan daripada suspek lain.