Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO: DA-12B-1-01/2024
DA-12B-1-01/2024
High Court of Malaysia2 Dec 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“memberi keterangan kerana saksi tersebut telahpun hadir atas sepina dan bersedia untuk memberi keterangan. Peguam perayu-perayu telah merujuk kes New Lake Development Sdn Bhd v Zenith Delight Sdn Bhd [2017] MLJU 671 kepada HMS yang bijaksana di mana Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa penyata saksi adalah tidak dip”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO: DA-12B-1-01/2024
3
KERAJAAN MALAYSIA … PERAYU-PERAYU
2
AWANGKU SYAKIL DANIEL BIN AG KU MAIDIN (Seorang Budak Bawah Umur Yang Menuntut Melalui Sahabat Wakil Dan Abangnya Yang Sah, AG KU SYAIFUL NIZAM BIN AG KU MAIDIN) … RESPONDEN-RESPONDEN [Dalam Mahkamah Sesyen di Kota Bharu]
1
Ag Ku Syaiful Nizam Bin Ag Ku Maidin
2
Awangku Syakil Daniel Bin Ag Ku Maidin (Seorang Budak Bawah Umur Yang Menuntut Melalui Sahabat Wakil Dan Abangnya Yang Sah, Ag Ku Syaiful Nizam Bin Ag Ku Maidin) … Plaintif-Plaintif dan
1
Mohd Salwi Bin Mohamed 2.
3
Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia Kerajaan Malaysia … Defendan-Defendan] ALASAN PENGHAKIMAN (Lampiran 1) Pengenalan [1] Ini adalah rayuan perayu-perayu yang merupakan defendan-defendan dalam prosiding di Mahkamah Sesyen terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) yang bijaksana yang telah membenarkan tuntutan responden-responden berkenaan suatu kes kemalangan jalan raya. [2] Setelah mendengar sebahagian rayuan perayu-perayu tersebut, Mahkamah ini telah memerintahkan seperti berikut:
a
Rayuan perayu-perayu dibenarkan setakat kes ini diremitkan semula di hadapan Tuan Hakim Mahkamah Sesyen yang sama untuk mendengar keterangan saksi pakar Neurosurgery perayu sahaja;
b
Pihak-pihak dibenarkan untuk membuat hujahan tambahan di Mahkamah Sesyen berkenaan kecederaan dan pampasan yang berkaitan dengan keterangan saksi pakar Neurosurgery tersebut dan Tuan Hakim Mahkamah Sesyen bebas untuk membuat keputusan baru berkenaan isu tersebut;
c
Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana adalah bebas untuk membuat keputusan yang baru atau sebaliknya berkenaan kecederaan dan pampasan responden-responden yang berkaitan dengan keterangan saksi pakar Neurosurgery perayu;
d
Sekiranya pihak-pihak masih tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana selepas ini, pihak-pihak adalah bebas untuk memfailkan rayuan dan rayuan balas, sekiranya ada, melalui notis rayuan yang baru; dan
e
Tiada perintah berkenaan dengan kos. [3] Perayu-perayu yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini telah merayu ke Mahkamah Rayuan. Latar Belakang Kes [4] Tuntutan responden-responden terhadap perayu-perayu adalah bagi satu kes kemalangan jalan raya yang berlaku antara sebuah motorlori Angkatan Pertahanan Awam (APAM) yang dipandu oleh perayu pertama dengan sebuah motosikal yang ditunggang oleh responden pertama dan dibonceng oleh responden kedua. Kemalangan berlaku semasa perayu pertama bersama 3 orang lagi anggota APAM dalam perjalanan bagi menjalankan tugas menangkap ular di Kampung Sungai, Bachok Kelantan. [5] Di akhir perbicaraan di Mahkamah Sesyen, HMS yang bijaksana telah mendapati perayu-perayu bertanggungan 100% atas terhadap kemalangan tersebut dan membenarkan tuntutan responden-responden terhadap perayu-perayu dan telah mengawadkan keseluruhan ganti rugi am sebanyak RM482,000.00 dan keseluruhan ganti rugi khas sebanyak RM641,372.00 yang dipecahkan seperti berikut: i) Ganti rugi am responden pertama: RM192,000.00; ii) Ganti rugi am responden kedua RM290,000.00; iii) Ganti rugi khas responden pertama RM502,611.00; dan iv) Ganti rugi khas responden kedua RM138,761.00. Alasan Rayuan Perayu-Perayu [6] Dalam memorandum rayuannya, (ms 1-15 Rekod Rayuan Jilid 1 Bahagian A) perayu-perayu telah menyenaraikan sebanyak 62 alasan rayuan. 15 alasan rayuan (memo 2-16) adalah berkenaan isu liabiliti, 1 alasan rayuan (memo 17) adalah berkenaan HMS tidak benarkan permohonan perayu-perayu untuk merujukkan responden-responden kepada pakar rehabilitasi perayu-perayu, 1 alasan rayuan (memo 18) adalah berkenaan HMS tidak membenarkan saksi pakar Neurosurgery perayu-perayu untuk memberi keterangan meskipun saksi pakar tersebut telah hadir ke mahkamah dan bersedia untuk memberi keterangan dan 44 alasan rayuan (memo 19-62) adalah berkenaan kuantum. Pendengaran Rayuan [7] Semasa pendengaran rayuan, Mahkamah ini hanya mendengar dan menimbang hujahan pihak-pihak berkenaan 1 alasan rayuan sahaja iaitu berkenaan memo no. 18 berkenaan isu bahawa HMS yang bijaksana telah tidak membenarkan saksi pakar Neurosurgery perayu-perayu memberi keterangan walaupun saksi pakar tersebut telah hadir dan bersedia untuk memberi keterangan pada hari perbicaraan tersebut. [8] Peguam Persekutuan yang bijaksana yang mewakili perayu-perayu mengatakan bahawa saksi pakar tersebut tidak dibenarkan memberi keterangan kerana penyata saksinya lewat disediakan walhal saksi pakar tersebut adalah saksi yang hadir atas sapina yang mana penyediaan penyata saksi adalah tidak diwajibkan. [9] Peguam perayu-perayu juga mengatakan bahawa permohonannya untuk saksi pakar Neurosurgery tersebut memberi keterangan secara lisan juga tidak dibenarkan oleh HMS yang bijaksana dan akhirnya HMS yang bijaksana telah menganggap perayu-perayu telah menutup kesnya. Hujahan Perayu-Perayu [10] Berkenaan memo no. 18 ini, peguam perayu-perayu telah menghujahkan bahawa perayu-perayu telah dinafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil semasa perbicaraan di Mahkamah Sesyen dan ini adalah bertentangan dengan prinsip “natural justice” serta merupakan satu perlanggaran hak untuk mendapat perbicaraan yang adil yang dijamin oleh Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. [11] Berikutan penafian hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil tersebut, peguam perayu-perayu telah menghujahkan agar kes ini dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain. [12] Tiada sebarang hujahan di pihak responden-responden berkenaan memo no. 18 ini namun semasa pendengaran rayuan ini, peguam responden-responden yang bijaksana telah mengesahkan berkenaan kehadiran saksi pakar Neurosurgery perayu-perayu pada hari perbicaraan tersebut namun tidak dibenarkan untuk memberi keterangan. Analisis dan Dapatan Mahkamah [13] Walaupun terdapat 62 alasan rayuan yang dikemukakan oleh perayu-perayu dalam rayuan ini, namun Mahkamah ini berpendapat bahawa alasan rayuan dalam memo no. 18 ini adalah alasan yang paling kritikal dan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum isu-isu lain dipertimbangkan. [14] Ini adalah kerana isu dalam memo no. 18 ini adalah isu yang berkenaan kesempurnaan perjalanan suatu perbicaraan yang adil dan saksama di mahkamah perbicaraan. Sedangkan isu-isu lain adalah berkenaan dengan isu-isu kepuasan hati pihak-pihak berkenaan keputusan mahkamah perbicaraan selepas suatu perbicaraan telahpun selesai. [15] Tiada sebarang alasan diberikan dalam alasan penghakiman HMS yang bijaksana berkenaan dengan mengapa saksi pakar Neurosurgery perayu-perayu tidak dibenarkan memberi keterangan walaupun telah hadir ke mahkamah pada hari tersebut. [16] Walau bagaimanapun jika diteliti kepada nota perbicaraan, khususnya pada tarikh 15.12.2023 (Rekod Rayuan Tambahan – ms 188 - 192) keengganan HMS yang bijaksana untuk membenarkan saksi pakar Neurosurgery memberi keterangan adalah kerana bantahan yang dibuat oleh peguam responden-responden berkenaan penyata saksi yang lewat difailkan dan tidak mengikut arahan yang telah diberikan oleh HMS yang bijaksana iaitu penyata saksi hendaklah difailkan 7 hari sebelum bicara. [17] Selepas perbicaraan ditangguh sebentar, peguam perayu-perayu masih memohon agar saksi pakar mereka diberi kebenaran untuk memberi keterangan kerana saksi tersebut telahpun hadir atas sepina dan bersedia untuk memberi keterangan. Peguam perayu-perayu telah merujuk kes New Lake Development Sdn Bhd v Zenith Delight Sdn Bhd [2017] MLJU 671 kepada HMS yang bijaksana di mana Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa penyata saksi adalah tidak diperlukan bagi saksi yang disepina. [18] Akhirnya, HMS yang bijaksana masih tidak membenarkan saksi pakar Neurosurgery perayu-perayu untuk memberi keterangan dan HMS telah menganggap kes perayu-perayu telah ditutup dan seterusnya mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing (ms 192 Rekod Rayuan Tambahan). [19] Dengan penuh rasa hormat, Mahkamah ini menghargai ketegasan HMS yang bijaksana dalam mengendalikan perjalanan perbicaraan kes-kes di hadapannya dan Mahkamah ini percaya dengan ketegasan sebeginilah hakim-hakim Mahkamah Sesyen dapat melupusan kes-kes yang banyak secara cekap dan berkesan. [20] Walaupun begitu, terdapat keadaan-keadaan tertentu dan dalam situasi-situasi tertentu, pertimbangan dan budibicara kehakiman perlu sedikit kelonggaran demi menjamin satu perbicaraan yang bukan sahaja yang adil tetapi juga kelihatan adil. [21] Dalam kes ini, tarikh bicara asal telah ditetapkan selama 5 hari dan daripada 5 hari tersebut, 4 hari telah digunakan untuk keterangan saksi-saksi responden-responden manakala 1 hari terakhir untuk saksi pakar perayu memberi keterangan namun dia tidak dapat hadir kerana menghadiri satu mesyuarat. [22] Pada tarikh sambung bicara yang telah ditetapkan kemudiannya, saksi pakar tersebut telah hadir dan bersedia untuk memberi keterangan. Mahkamah ini mengambil notis kehakiman bahawa seseorang doktor pakar dalam perkhidmatan kesihatan kerajaan mempunyai jadual kerja yang ketat dan kadangkala dia menjadi doktor pakar bukan hanya bagi sebuah hospital tertentu malah untuk beberapa hospital yang lain. [23] Oleh itu apabila seseorang doktor pakar tersebut telahpun berada di mahkamah dan bersedia untuk memberi keterangan, saksi tersebut sepatutnya dibenarkan memberi keterangan walaupun secara keterangan lisan. Mahkamah ini percaya bahawa jika perbicaraan pada hari tersebut diteruskan dengan keterangan saksi pakar ini, ia tidak akan mengambil masa yang panjang dan perbicaraan boleh dimuktamadkan pada hari yang sama. [24] Mahkamah ini tidak menafikan bahawa arahan-arahan pemfailan penyata saksi yang diberikan oleh HMS yang bijaksana adalah bertujuan murni untuk melancarkan dan menjimatkan masa perjalanan perbicaraan mahkamah, namun dalam situasi tertentu arahan-arahan prosedur tersebut boleh dikendurkan sedikit demi memberi laluan kepada matlamat utama perbicaraan iaitu mencari keadilan bagi pihak-pihak yang terlibat khususnya dalam keadaan saksi telah hadir dan bersedia untuk memberi keterangan. [25] Keadaan adalah berbeza sekiranya pada tarikh bicara yang terkemudian tersebut, saksi pakar perayu-perayu masih gagal hadir untuk memberi keterangan. Namun dalam kes ini saksi pakar tersebut telahpun hadir dan bersedia untuk memberi keterangan. Begitu juga dengan penyata saksi pakar tersebut telahpun difailkan walaupun sedikit terlewat dan tidak mematuhi arahan untuk ia difailkan 7 hari sebelum perbicaraan. Sekiranya HMS tidak membenarkan penyata saksi digunakan kerana telah terlewat difailkan dan tidak mengikut arahan, keterangan saksi masih boleh diteruskan secara lisan ataupun sekurang-kurangnya perayu boleh didenda dengan kos kerana telah menimbulkan kesusahan kepada pihak responden kerana lewat memfailkan penyata saksi. [26] Mahkamah ini bersetuju dengan dengan kes yang dirujuk oleh peguam perayu-perayu iaitu kes New Lake Development Sdn Bhd v Zenith Delight Sdn Bhd (supra) yang mana Mahkamah Rayuan telah memutuskan dalam perenggan [46] seperti berikut: “[46] … Subpoenaed witnesses do not require witness statements. Hence the case could proceed with the evidence of such witness without witness statements, … .” [27] Apabila HMS yang bijaksana telah tidak membenarkan saksi pakar perayu-perayu memberi keterangan, ia sedikit sebanyak telah memprejudiskan perayu-perayu dari segi tiada keterangan saksi pakar perayu untuk menjawab (rebut) keterangan saksi pakar responden-responden. [28] Walaupun dalam kes ini peguam perayu-perayu telah menghujahkan bahawa mereka telah dinafikan satu perbicaraan yang adil dan memohon agar Mahkamah ini memerintahkan satu perbicaraan semula kes ini dijalankan di hadapan hakim perbicaraan yang lain namun Mahkamah ini perpendapat ia bukan satu langkah yang munasabah. [29] Bantahan perayu-perayu semata-mata kerana saksi pakar mereka tidak dibenarkan memberi keterangan. Tiada sebarang bantahan atau masalah dengan saksi-saksi lain yang telah dipanggil dan telah memberi keterangan di sepanjang perjalanan perbicaraan kes ini. Untuk mengarahkan satu perbicaraan semula bagi kes ini semata-mata kerana seorang saksi pakar tidak dibenarkan memberi keterangan adalah satu keputusan yang tidak munasabah dan tidak menjimatkan masa serta berbelanjaan perbicaraan. [30] Oleh kerana bantahan perayu-perayu hanya terhadap keengganan HMS membenarkan saksi pakar memberi keterangan, maka hanya isu itu sahaja yang patut diselesaikan dengan mengarahkan HMS untuk mendengar keterangan saksi pakar Neurosurgery perayu-perayu dan seterusnya memuktamadkan perbicaraan kes tersebut. Kesimpulan [31] Atas alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini hanya menimbangkan dan mendengar rayuan perayu-perayu berkenaan alasan rayuan dalam memo no. 18 sahaja. Mahkamah ini tidak mendengar dan tidak menimbangkan alasan-alasan rayuan yang lain yang terdapat dalam memorandum rayuan perayu-perayu atas merit. [32] Bagi alasan rayuan dalam memo no. 18 ini sahaja, Mahkamah ini telah memerintahkan sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan [2] di atas. Sekian. Alasan Penghakiman ini bertarikh pada 26 Februari 2025. MOHD ROSLI BIN YUSOFF Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu. Peguam Perayu-Perayu: Tuan Ahmad Armi Najamuddin bin Azmi, Peguam Persekutuan, Pejabat Penasihat Undang Undang Negeri Kelantan, Tingkat Bawah, Blok 5, Kompleks Kota Darulnaim, 15050 Kota Bharu, Kelantan. Peguam Responden-Responden: Nor Anis binti Hashim, Tetuan Kuay & Partners, Tingkat 1, 532-G, Jalan Sultanah Zainab, 15050 Kota Bharu, Kelantan.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.