Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN RAYUAN NO.: KA-11BNCVC-1-01/2023
KA-11BNCvC-1-01/2023
High Court of Malaysia4 Jun 2024
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN RAYUAN NO.: KA-11BNCVC-1-01/2023
1
MUHAMAD HAFIZ BIN KARIM
2
KARIM BIN MORAD (NO. K/P : 750902-02-5569) --- PERAYU-PERAYU DAN OON QIU WEI (NO. K/P : 960624-02-5467) --- RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN 02/09/2025 11:45:50 KA-11BNCvC-1-01/2023 Kand. 24
1
Alasan Penghakiman ini disediakan untuk keputusan Mahkamah ini yang telah membenarkan rayuan Defendan dan mengubah keputusan Mahkamah Majistret dengan mengenakan tanggungan100% terhadap Plaintif atas kecuaiannya yang mengakibatkan berlakunya kemalangan jalan raya antara Plaintif dan Defendan. Plaintif yang tidak tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah telah memfailkan rayuan.
2
Suatu kemalangan jalan raya telah berlaku antara Plaintif dengan Defendan pada 15.4.2018, pada jam lebih kurang 3 pagi di Jalan Gangsa. Menurut fakta kes, Plaintif ketika itu menunggang motorsikal dari arah Simpang Kuala menghala ke arah Taman Pelangi, Jalan Gangsa dan Defendan memandu motorkar dari Shahab Perdana menghala balik ke rumahnya melalui Jalan Gangsa.
3
Versi Plaintif adalah bahawa Plaintif dalam keadaan berhenti di bahu jalan semasa dilanggar oleh motorkar yang dipandu oleh Defendan Pertama dari arah Shahab Perdana yang berada di lorong kanan. Pelanggaran ini berlaku apabila Defendan dikatakan telah hilang kawalan semasa memotong sebuah motorkar di hadapannya yang mengakibatkan Defendan melanggar Plaintif. Plaintif telah mengalami kecederaan akibat pelanggaran itu.
4
Versi Defendan pula adalah bahawa, Defendan yang sedang memandu lurus motorkarnya di lorong kiri berdekatan dengan Tokong Sayur Jalan Gangsa, tiba-tiba terlihat ada sebuah motorsikal yang datang bertentangan secara melawan arus dan melanggar bahagian sebelah hadapan keretanya. Defendan menyatakan bahawa punca kemalangan adalah semata-mata atau sebahagian besarnya disumbangkan oleh kecuaian Plaintif sendiri.
5
Di hadapan Mahkamah ini ialah rayuan oleh Plaintif atas keputusan Mahkamah Majistret yang telah membuat keputusan mengenakan liabiliti 30% terhadap Plaintif. Undang-undang telah mantap bahawa pada peringkat rayuan, Mahkamah yang mendengar rayuan tidak wajar untuk mencampuri dapatan fakta dalam mahkamah bicara yang telah berpeluang mendengar dan menilai keterangan dengan lebih baik di hadapannya.
6
Namun pada masa yang sama, Mahkamah juga mengingatkan bahawa menurut prinsip undang-undang yang diputuskan, mana mahkamah yang mendengar rayuan boleh turut campur tangan dalam keputusan mahkamah bicara bagi memastikan keputusan mahkamah tersebut tidak diperoleh daripada suatu dapatan yang khilaf tentang pemakaian undang-undang, atau tidak mengambil kira keterangan saksi yang relevan yang dibawa di hadapannya.
7
Sebagaimana yang telah disebut dalam kes Sivalingan v Periasamy [1996] 4 CLJ 545: “It is trite law that this Court will not readily interfere with the findings of fact arrived at by the Court of first instance to which the law entrusts the primary task of evaluation of the evidence. But we are under a duty to intervene in case where, as here, the trial Court has so fundamentally misdirected itself, that one may safely say that no reasonable Court which had properly directed itself and asked the correct questions would have arrived at the same conclusion.”
8
Sehubungan dengan itu, Mahkamah berpandangan bahawa menjadi tanggungjawab Mahkamah untuk meneliti keterangan yang dibawa oleh saksi-saksi semasa di hadapan mahkamah bicara bagi memastikan sama ada mahkamah bicara telah membuat penilaian yang betul terhadap fakta kes dan sama ada segala persoalan telah terjawab dengan sepatutnya sebelum memberikan keputusan.
9
Bagi maksud itu, Mahkamah telah meneliti Rekod Rayuan secara keseluruhannya dan Alasan Penghakiman yang disediakan oleh Majistret dalam kes ini, dengan turut membuat penilaian yang menyeluruh terhadap keterangan saksi-saksi. Ini adalah untuk menentukan sama ada Majistret telah mempertimbangkan dengan sepatutnya sebelum membuat keputusannya.
10
Mahkamah juga telah meneliti hujahan daripada pihak Plaintif berkenaan dengan keputusan Majistret yang dikatakan telah khilaf fakta dan gagal dalam membuat pertimbangan secukupnya terhadap keterangan yang ada di hadapannya.
11
Daripada pemerhatian Mahkamah terhadap keterangan semasa di mahkamah bicara, kerosakan kenderaan Defendan didapati berlaku di sebelah kiri motorkarnya, manakala kerosakan motorsikal Plaintif adalah di sebelah hadapan motorsikalnya.
12
Sehubungan dengan itu, fakta ini membangkitkan suatu persoalan di mana jika Plaintif dikatakan berada dalam keadaan berhenti di tepi jalan sekalipun, mengapa perlu ada kerosakan di bahagian hadapan motorsikal tersebut? Pada pandangan Mahkamah, kewujudan kerosakan pada bahagian tersebut menunjukkan bahawa keberadaan motorsikal Plaintif sebenarnya adalah pada kedudukan yang berlawanan arus dengan laluan yang sepatutnya merupakan laluan sah Defendan.
13
Isu sama ada Plaintif pada masa itu mendakwa bahawa motorsikalnya telah pun berada dalam keadaan berhenti dan bukan bergerak adalah tidak relevan kerana fakta bahagian kerosakan itu sendiri telah menunjukkan yang motorsikal itu berada dalam kedudukan yang berlawanan.
14
Mahkamah percaya bahawa jika sesebuah kenderaan itu berhenti di tepi bahu jalan dalam kedudukan yang berada di laluan sahnya, dan dilanggar oleh kenderaan yang juga memandu pada laluan sah yang sama, kerosakan pada kenderaan itu tidak sepatutnya ada pada bahagian hadapan, tetapi sebaliknya di bahagian belakang kenderaannya.
15
Dalam hal ini, Mahkamah dapati bahawa kerosakan pada motorsikal Plaintif adalah konsisten dengan kebarangkalian bahawasanya motorsikal Plaintif itu berada dalam keadaaan berlawan arus di laluan sah Defendan. Malah mengikut keterangan SP2 sendiri, motorsikalnya dalam keadaan enjin yang masih hidup tetapi tidak bergerak dan dapat melihat motorkar Defendan dalam jarak 30 meter.
16
Daripada keterangan ini, suatu anggapan boleh dibuat bahawa Plaintif berada dalam kedudukan memandang ke arah laluan bertentangan. Apabila disoal sama ada kedudukan dari tepi itu adalah dari atas, SP2 menjawab bersetuju. Oleh itu, adalah jelas bahawa kedudukan Plaintif adalah pada arah yang berlawanan.
17
Mahkamah telah meneliti Alasan Penghakiman Majistret, namun Mahkamah tidak dapat menemukan alasan yang membawa kepada dapatan Majistret berkaitan dengan kecuaian Defendan sebanyak 70%. Dalam Alasan Penghakimannya, Majistret memutuskan bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian terhadap Defendan bahawa Defendan telah dengan cuai memandu dan menyebabkan kemalangan. Namun, Majistret juga telah membuat keputusan bahawa oleh sebab Plaintif telah didapati menyumbang cuai terhadap kemalangan itu, maka liabiliti 30% dikenakan terhadap Plaintif.
18
Dalam Alasan Penghakimannya, Majistret telah menyatakan bahawa - “….kegagalan Defendan memberikan keterangan tidaklah bermakna Defendan patut didapati sepenuhnya cuai, melainkan terdapat keterangan bahawa Defendan adalah cuai”.
19
Pada peringkat ini Mahkamah percaya bahawa dalam mempertimbangkan dapatan Majistret ini, adalah wajar Mahkamah menilai semula keterangan yang dibekalkan dalam Rekod Rayuan untuk memastikan sama ada Majistret telah mengambil kira segala keterangan dengan betul dalam membuat dapatan tersebut dan seterusnya memutuskan sedemikian.
20
Setelah meneliti nota keterangan dalam Rekod Rayuan, Mahkamah berpandangan bahawa Majistret telah gagal menghayati keseluruhan fakta kes dan keterangan lisan di hadapannya apabila mengenakan liabiliti 70% terhadap Defendan.
21
Ini kerana Mahkamah percaya tiada keterangan yang kukuh untuk menyokong versi Plaintif bahawa dia sebenarnya tidak berada pada laluan bertentangan, dan berada dalam keadaan pegun (stationary) dan tidak bergerak. Mahkamah dapati tiada bukti sokongan untuk menyatakan bahawa sebenarnya motorsikal itu berada dalam keadaan berhenti dengan enjin motor yang masih hidup selama 10 hingga 15 minit, disebabkan menunggu kawan pada waktu itu.
22
Pada pandangan Mahkamah, kerosakan pada bahagian hadapan motorsikal Plaintif, adalah merupakan keterangan senyap yang memadai untuk menyokong fakta bahawa motorsikal itu berada dalam keadaan bertentangan.
23
Mahkamah berpandangan bahawa keterangan Plaintif boleh diragui dengan mengambil kira bahawa adalah tidak munasabah dan tiada keperluan untuk mengekalkan enjin motorsikal hidup dalam tempoh masa tersebut. Keadaan adalah berbeza jika sekiranya kenderaan tersebut ialah sebuah motorkar yang akan mengekalkan enjin hidup bagi membolehkan penghawa dingin terus berfungsi sekiranya Plaintif perlu berada di situ untuk tempoh yang lama untuk menunggu kawannya.
24
Pemerhatian Mahkamah ini juga berasaskan keterangan saksi dan membuat kesimpulan bahawa tiada mana-mana orang yang munasabah akan berbuat demikian apatah lagi untuk mengekalkan enjin motor berterusan hidup dalam tempoh yang lama, yang boleh mengakibatkan pembaziran tenaga.
25
Sehubungan dengan itu, daripada penelitian Mahkamah terhadap fakta-fakta yang dinyatakan itu, kecuaian Plaintif adalah sepenuhnya kerana berada di laluan perjalanan yang salah dan menyebabkan kemalangan tersebut berlaku.
26
Walau bagaimanapun Mahkamah mengambil perhatian bahawa sebagai pengguna jalan raya, Defendan juga mempunyai tugas berhati-hati dalam memastikan laluannya sentiasa berada dalam keadaan yang selamat. Ini terutamanya apabila pemanduan adalah di waktu malam, dalam hal ini jam 3.00 pagi. Namun begitu, Mahkamah berpandangan bahawa dalam keadaan ini tiada jangkaan yang munasabah oleh mana-mana orang untuk menduga keberadaan kenderaan di laluan yang bertentangan dengan laluan sahnya pada waktu tersebut.
27
Versi Plaintif menyatakan bahawa Defendan telah gagal mengawal kenderaan setelah memotong sebuah kenderaan lain dari sebelah kanan. Pada pandangan Mahkamah, jika pun betul dakwaan tersebut, yang Mahkamah dapati tidak pernah dibuktikan oleh Plaintif, keadaan tersebut telah meletakkan Defendan dalam situasi yang tidak dapat menjangkakan terdapatnya sebuah kenderaan lain yang berada di laluan yang bertentangan arus di sebelah kirinya.
28
Sehubungan dengan itu, Mahkamah dengan ini memutuskan bahawa Plaintif bertanggungan sepenuhnya (100%) atas kemalangan tersebut. Berkenaan dengan isu kuantum, Mahkamah tidak berhasrat untuk mencampuri keputusan mahkamah bicara kerana Mahkamah percaya penelitian dibuat sepenuhnya setelah mendengar keterangan lisan saksi-saksi dan bukti dokumen yang dikemukakan kepada Mahkama, serta berpandukan Compendium dan tren kes-kes semasa. Oleh itu, keputusan Majistret berkaitan dengan kuantum adalah dikekalkan.
29
Mahkamah dengan ini membenarkan rayuan Defendan dengan kos sebanyak RM2,000. Bertarikh : 31 Julai 2025 ------------------------------------------------------------- YA PUAN MAHAZAN BINTI MAT TAIB HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA ALOR SETAR Bagi Pihak Perayu- : Bavani A/P Kasivan Perayu Tetuan Hoe & Ahmad Zaki Peguambela & Peguamcara Bagi Pihak Responden :
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.