Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KUALA LUMPUR (BAHAGIAN SIVIL) GUAMAN NO. WA–A52NCC–4249–09/2024
WA-A52NCC-4249-09/2024
Sessions Court of Malaysia27 Feb 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KUALA LUMPUR (BAHAGIAN SIVIL) GUAMAN NO. WA–A52NCC–4249–09/2024
1
MUHAMMAD NUR-ASHRAF BIN KRISCYLLA (No. K/P: 980721-12-6313)
2
SITI NUR ADILLAH BINTI AHMAD SEBURI (No. K/P: 960904-03-6240)
3
NISAH BINTI ABD GHANI (No. K/P: 630427-03-5584)
4
HASNAH BINTI HUSSIIN (No. K/P: 720330-03-5288)
5
NARAINI BINTI ZAKARIA (No. K/P: 560728-07-5458)
6
MAHYON BINTI ABDUL RAZAK (No. K/P: 631201-01-5550)
7
NUR ALIFFAH BINTI RAZALI (No. K/P: 960714-03-5028)
8
NORLEDAH BINTI SULAIMAN (No. K/P: 610611-01-5438)
9
MONALIZA BINTI HAMZAH SANI (No. K/P: 681022-10-5054)
10
MOHD AZMI BIN MOHAMAD LATPI (No. K/P: 810820-04-5285)
11
RAFIDAH BINTI JALALUDIN (No. K/P: 790216-08-5584)
12
AHMAD FARIDZ BIN AHMAD FAUDZI (No. K/P: 790921-11-5443)
13
ELY SUKASIH BINTI OMAR (No. K/P: 810516-01-6340) …PLAINTIF-PLAINTIF DAN QUANTUM METAL SDN BHD (No. Syarikat: 1011907-U) …..DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN ( Lampiran 9 Penghakiman Terus ) PENGENALAN [1] Saya telah membenarkan permohonan plaintif-plaintif untuk satu Penghakiman Terus melalui Lampiran 9 di bawah A.14 direkodkan seperti mana terma yang dipohon iaitu Defendan membayar kepada Plaintif jumlah sebanyak RM207,629.39. TUNTUTAN PLAINTIF [2] Defendan merupakan sebuah syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat dan menjalankan perniagaan menjual dan membeli komoditi emas dan apa-apa yang berkaitan dengan komoditi tersebut. [3] Kesemua Plaintif-Plaintif merupakan pelabur yang telah melabur di dalam pakej pelaburan yang diperkenalkan oleh Defendan. [4] Defendan telah memperkenalkan beberapa produk pelaburan berdasarkan komoditi emas antaranya adalah Gold Storage Account, Gold Enhancement Project, Gold Convert Account dan juga Gold Asset Enhance (GAE) 5X,10x dan 20X serta pembelian saham Defendan di Quantum Metal Exchange Inc (QMEI) dan juga Floating Withdrawal Account (produk-produk tersebut) [5] Kesemua skim diatas adalah skim pelaburan yang berlandaskan kepada turun naik (fluctuation) harga pasaran emas. Kesemua pelaburan di atas dikenakan caj perkhidmatan oleh Defendan sebanyak 3.5% dari kadar pelaburan. [6] Defendan menerusi ejen-ejen sah dan berdaftar yang dinamakan sebagai leader dan consultant telah mempromosikan produk-produk tersebut kepada orang awam termasuklah Plaintif-Plaintif yang telah melaburkan wang pelaburan untuk produk-produk tersebut. [7] Pada sekitar penghujung tahun 2023 sehingga pada Mac 2024, Plaintif-Plaintif menyedari bahawa pelaburan yang dimasuki telah mencapai keuntungan selaras dengan kenaikan harga pasaran emas. Maka plaintif-plaintif telah melakukan pengeluaran menerusi aplikasi dan pautan yang disediakan oleh Defendan secara atas talian. [8] Berdasarkan terma-terma pengeluaran, pihak Defendan telah memberi jaminan bahawa pengeluaran akan dikreditkan ke dalam akaun-akaun peserta dalam tempoh satu (1) hingga lima (5) hari. Ia juga disokong di dalam risalah (brochure) berserta kenyataan di dalam laman web rasmi Defendan yang menyatakan bahawa pengeluaran adalah bersifat cepat dan mudah (Fast and Easy). Bagi setiap pengeluaran yang dibuat, ia akan disokong oleh pengesahan e-mel dari Defendan. [9] Kesemua Plaintif-Plaintif telah memohon untuk membuat pengeluaran pada tarikh-tarikh yang berbeza menerusi aplikasi yang disediakan oleh Defendan pada tarikh-tarikh seperti yang dinyatakan di dalam penyata tuntutan. [10] Defendan sehingga ke tarikh pemfailan saman ini telah gagal untuk membuat bayaran pengeluaran seperti yang dipohon oleh Plaintif-Plaintif. [11] Defendan bertanggungan untuk membayar pengeluaran tersebut kepada Plaintif-Plaintif namun dengan sengaja enggan untuk membayar bayaran pengeluaran tersebut. [12] Oleh kerana Defendan gagal untuk membuat bayaran pengeluaran, Sebahagian Plaintif-Plaintif telah menerusi peguam caranya menghantar Notis Tuntutan pada 6.2.2024, 13.2.2024 dan 19.2.2024 menuntut bayaran pengeluaran tersebut. Namun tidak ada jawapan yang diberikan, menunjukkan pengakuan Defendan terhadap kandungan Notis Tuntutan tersebu [13] Defendan juga secara dengan secara salah dan bersifat sebelah pihak telah menukar jumlah wang pengeluaran Plaintif-Plaintif kepada saham QMEI Defendan yang tidak mempunyai apa-apa nilai. Sepatutnya pengeluaran yang dibuat oleh Plaintif-Plaintif , wang tunai akan dikreditkan ke dalam akaun plaintif masing-masing. [14] Penukaran saham tersebut telah diisytiharkan salah dan melanggar undang-undang sekuriti Malaysia berdasarkan pengumuman yang dikeluarkan suruhanjaya sekuriti Malaysia pada 24.3.2024. [15] Defendan juga telah mengeluarkan memo rasmi kepada pelabur-pelabur termasuklah Plaintif-Plaintif menjanjikan pembayaran dibuat pada dan/atau sebelum 31.3.2024 namun Defendan gagal mematuhi janjinya untuk membuat bayaran dalam tempoh yang dijanjikan. [16] Defendan juga telah sekali lagi mengeluarkan memo rasmi kepada pelabur-pelabur termasuklah Plaintif-Plaintif di dalam kes ini pada 6.5.2024 mengakui kelewatan pembayaran kepada pelabur-pelabur dan berjanji untuk menyelesaikan pembayaran tersebut. [17] Defendan juga telah sekali lagi mengeluarkan kenyataan rasmi kepada pelabur-pelabur pada 14.8.2024 mengakui akan tanggungjawabnya untuk membuat pembayaran pengeluaran kepada pelabur-pelabur termasuklah Plaintif-Plaintif di dalam kes ini. [18] Plaintif-Plaintif dengan ini menuntut dari Defendan seperti berikut:- a) Bahawa Defendan membayar jumlah sebanyak RM 207,629.39 kepada Plaintif-Plaintif mengikut jumlah yang dinyatakan di dalam perenggan 23 Pernyataan Tuntutan dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh Penghakiman; b) Faedah sebanyak 5% terhadap jumlah RM 207,629.39 bermula dari tarikh Penghakiman sehingga penyelesaian penuh; c) Kos pada dasar anak guam klien; dan d) Lain-lain relif yang Mahkamah Mulia ini anggap adil dan suai manfaat. PEMBELAAN [19] Defendan menyatakan bahawa Plaintif-Plaintif pada setiap masa material telah menyertai pakej komoditi dari Defendan dengan rela hati dan mengetahui tentang risiko-risiko dan terma-terma bagi pakej jual beli emas. [20] Representasi-representasi yang dilakukan dari pihak konsultan Defendan adalah berkenaan jual beli emas dan bukanlah berkenaan pelaburan emas. Defendan juga telah menyediakan online learning berkenaan gold learning dan produk-produk yang ditawarkan oleh Defendan yang mana produk-produk tersebut adalah jual beli emas. [21] Pada setiap masa material, Defendan tidak pernah memberikan representasi bahawa Perjanjian yang ditandatangani antara Plaintif-Plaintif dan Defendan adalah berkenaan pelaburan emas, malah Perjanjian tersebut adalah untuk jual beli emas. [22] Defendan tidak pernah menerima Notis-notis Tuntutan yang dihantar oleh pihak Plaintif-Plaintif. Defendan hanya mengetahui mengenai tuntutan Plaintif-Plaintif ini selepas tindakan ini difailkan di Mahkamah [23] Defendan menafikan sekeras-kerasnya tuntutan plaintif dan meletakkan beban pembuktian adalah ke atas pihak Plaintif-Plaintif untuk membuktikan kenyataan yang didakwa tersebut. ANALISA DAN DAPATAN [24] Plaintif-Plaintif telah menyatakan dengan jelas tuntutan Plaintif-Plaintif adalah berdasarkan tuntutan pembayaran pengeluaran akibat kegagalan Defendan membuat pembayaran di mana, bagi hal ini, Defendan sendiri telah membuat pengakuan bahawa Defendan lewat untuk membuat pembayaran kepada Plaintif-Plaintif. Oleh itu, asas tuntutan Plaintif-Plaintif dan kausa tindakan sememangnya diketahui [25] Defendan telah membuat pengakuan bahawa Defendan telah lewat dalam membuat pembayaran dan berjanji untuk membuat pembayaran. Pengakuan terbaru ini jelas merupakan satu perkara yang menunjukkan bahawa Defendan sedar dan mengakui tanggungjawabnya untuk membuat bayaran bagi permohonan pengeluaran yang dibuat oleh plaintif-plaintif adalah dalam tempoh masa satu hingga lima hari. [26] Saya merujuk kepada kes HSBC BANK MALAYSIA BHD (FORMERLY KNOWN AS HONG KONG BANK MALAYSIA BHD) v LH TIMBER PRODUCTS SDN BHD (FORMERLY KNOWN AS HO LIM SAWMILL SDN BHD) & ORS [2005] 6 MLJ 625 yang menyatakan bahawa:- A fact which is formally admitted ceases to be in issue. Any party who makes a formal admission and such admission is generally conclusive for purposes of the proceedings would certainly save his opponent the trouble, time and expense of proving the fact in issue. [27] Saya mendapati , kesemua bukti-bukti pengeluaran dan rekod-rekod yang dilampirkan di dalam afidavit sokongan plaintif yang merupakan dokumen-dokumen yang berada di dalam sistem dan di keluarkan oleh Defendan, tidak dipertikaikan kandungannya dan kewujudannya oleh Defendan di dalam Afidavit Jawapan Defendan di dalam menentang permohonan Penghakiman Terus ini. [28] Defendan sehingga ke tarikh pemfailan saman ini telah gagal untuk membuat bayaran pengeluaran seperti yang dipohon oleh Plaintif-Plaintif. [29] Defendan memberikan alasan-alasan kelewatan disebabkan masalah sistem perbankan dan juga dari pihak ketiga yang sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan Plaintif-Plaintif dan bercanggah dengan representasi yang dikeluarkan oleh Defendan. Dengan mengemukakan alasan sebegini, ia menunjukkan Defendan mengakui dan mengiktiraf hak plaintif-plaintif terhadap bayaran bagi permohonan pengeluaran yang telah diluluskan oleh Defendan. [30] Defendan sememangnya bertanggungan untuk membayar pengeluaran tersebut kepada Plaintif-Plaintif namun dengan sengaja enggan untuk membayar bayaran pengeluaran tersebut. [31] Berkaitan dengan penukaran jumlah pengeluaran Plaintif-Plaintif kepada saham QMEI Defendan, ia tidak dipersetujui oleh plaintif-plaintif. Perkara ini juga telah diputuskan sebagai tidak sah kerana tidak mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti. [32] Ketika prosiding ini berjalan, Defendan sekali lagi telah mengeluarkan memo rasmi di dalam laman web rasmi Defendan mengakui akan kelewatan dan berjanji untuk membuat pembayaran pada suku tahun 2025. Pengakuan rasmi ini secara terbuka ini sekali lagi membuktikan bahawa Defendan sememangnya tahu akan tanggungjawab Defendan untuk membuat pembayaran kepada Plaintif-Plaintif dan juga pelabur-pelabur lain di luar sana. [33] Berkaitan dengan dakwaan wujud perjanjian di antara defendan dan plaintif-plaintif, saya mendapati perjanjian ini sebenarnya tidak wujud. Saya merujuk kepada ekshibit AFAF-3 yang menunjukkan bukti e-mel transaksi pengeluaran antara Plaintif Kedua dan Defendan yang jelas menyatakan bahawa pembayaran akan dibuat dalam masa satu hingga lima hari kepada akaun bank Plaintif Kedua. Tidak disebut langsung bahawa pembayaran tertakluk kepada terma-terma Perjanjian yang dirujuk oleh Defendan tersebut. [34] Selain itu, dengan merujuk kepada ekshibit AFAF-6 Payment Voucher yang dikeluarkan oleh Defendan kepada Plaintif Kelima jelas menyatakan bahawa pembayaran akan dibuat dalam masa satu hingga lima hari ke dalam akaun bank Plaintif Kelima. Tidak dirujuk langsung bahawa pembayaran tertakluk kepada terma-terma Perjanjian yang dirujuk oleh Defendan tersebut. PENUTUP [35] Selepas meneliti notis permohonan, afidavit-afidavit yang difailkan, pliding, hujahan dan otoriti kedua-dua pihak, saya mendapati bahawa tiada isu untuk dibicarakan. Segala isu adalah jelas dan tidak memerlukan keterangan lanjut melalui keterangan lisan mahupun bertulis di dalam bicara penuh. [36] Oleh yang demikian, saya membenarkan permohonan plaintif untuk merekodkan penghakiman terus dibenarkan dengan kos sebanyak RM4,000.00. Bertarikh pada hari ini 26hb. Mac, 2025.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.