Content
1 DI DALAM MAHKAMAH TINGGI SUNGAI PETANI DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO.: KB-12B-10-07/2025
KB-12B-10-07/2025
High Court of Malaysia14 Apr 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
What the court ordered
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“41. Mahkamah turut merujuk kepada kes Menta Construction Sdn. Bhd. v. SPM Property & Management Sdn. Bhd. & Anor [2017] MLJU 526 yang mana Mahkamah dalam kes tersebut memutuskan bahawa pengakuan hutang tidak perlu dibuat dalam apa-apa format tertentu. **Note : Serial number will be used to verify the originality of thi”
“23. Mahkamah juga mengambil panduan daripada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Halim bin Saad v. Chan Yok Peng [2020] MLJU 1900.”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DI DALAM MAHKAMAH TINGGI SUNGAI PETANI DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO.: KB-12B-10-07/2025
1
MUHAMMAD ZAIREE IZWAN BIN ZAHIR, PENTADBIR KEPADA HARTA PUSAKA ZAHIR BIN YAHYA, SIMATI
2
NUR ZAIREEN NADIRAH BINTI ZAHIR, PENTADBIR KEPADA HARTA PUSAKA ZAHIR BIN YAHYA, SIMATI
3
MAZLINA BINTI CHE OMAR (NO. K/P: 690927-02-5678) … PERAYU-PERAYU DAN ENG SOO SAN (NO. K/P: 750204-02-5166) … RESPONDEN
1
Perayu-Perayu telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 24.06.2025 yang membenarkan tuntutan Responden untuk Perayu-Perayu membayar secara bersesama dan berasingan wang sejumlah RM350,000.00 dan RM310,000.00 beserta kos kepada Responden.
2
Mahkamah telah menolak rayuan Perayu-Perayu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.
3
Pihak-pihak akan dirujuk sebagaimana di Mahkamah Sesyen iaitu Perayu-Perayu sebagai Defendan-Defendan, manakala Responden sebagai Plaintif.
4
Defendan Pertama dan Defendan Kedua adalah pentadbir kepada harta pusaka bapa mereka iaitu Zahir bin Yahya ("si mati"), manakala Defendan Ketiga ialah balu si mati. Plaintif merupakan seorang pekerja di syarikat si mati yang mana si mati merupakan majikan Plaintif semasa hayatnya.
5
Plaintif dan si mati saling mengenali antara satu sama lain semasa hayat si mati. Menurut Plaintif, atas dasar kepercayaan dan persahabatan, beliau telah memberikan sejumlah wang kepada si mati dari semasa ke semasa.
6
Tuntutan pertama melibatkan jumlah RM350,000.00 yang menurut Plaintif telah diberikan secara tunai dan berperingkat kepada si mati sekitar bulan Mac 2010.
7
7.
Preamble
Menurut Plaintif, selepas beberapa tuntutan dibuat, si mati telah menyerahkan beberapa keping post-dated cheques pada sekitar tahun 2018 yang keseluruhannya berjumlah RM350,000.00 sebagai bayaran balik hutang tersebut.
8
Cek-cek tersebut tidak ditunaikan selepas si mati memohon supaya Plaintif menangguhkannya atas alasan menghadapi masalah kewangan.
9
Tuntutan kedua adalah bagi jumlah RM310,000.00 yang terdiri daripada baki wang yang didakwa dipinjamkan kepada si mati serta satu jumlah tambahan sebanyak RM146,270.00 yang dirujuk oleh si mati sebagai "dividen".
10
Plaintif turut mendakwa bahawa si mati telah membuat beberapa bayaran balik semasa hayatnya. Si mati kemudiannya telah meninggal dunia pada 19.06.2020 dan selepas kematian si mati, bayaran lanjut turut dibuat oleh waris si mati.
11
Selepas beberapa tuntutan dibuat tetapi gagal diselesaikan, Plaintif mengambil tindakan undang-undang terhadap pentadbir-pentadbir harta pusaka si mati dan balunya.
12
Pada 06.04.2021, Plaintif memfailkan dua tindakan berasingan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani dengan No. KB-B52NCVC- 4-04/2021 dan No. KB-B52NCVC-5-04/2021 bagi menuntut semula RM350,000.00 dan RM310,000.00 tersebut. Kedua-dua tindakan tersebut kemudiannya digabungkan dan dibicarakan bersama.
13
Pada 24.06.2025, Mahkamah Sesyen telah membenarkan kedua-dua tuntutan Plaintif.
14
Defendan-Defendan tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tersebut dan telah memfailkan rayuan ini.
15
Merujuk pada Kandungan 37, isu-isu untuk dibicarakan adalah seperti berikut:
i
Adakah hutang itu wujud;
II
(ii) Jika hutang itu wujud, adakah tanggungjawab Syarikat atau si mati melalui harta pusaka si mati;
III
(iii) Adakah tuntutan Plaintif di luar masa; dan
IV
(iv) Sama ada jumlah tambahan RM146,270.00 itu adalah dividen atau faedah pinjaman. Prinsip Campur Tangan
16
Secara asasnya, Mahkamah pada peringkat rayuan akan bersikap sangat berhati-hati dan enggan campur tangan dengan dapatan fakta yang dibuat oleh Hakim Bicara melainkan jika dapatan tersebut jelas salah atau berlaku ketidakadilan yang serius sebagaimana dirujuk dalam kes China Airlines Ltd v. Maltran Air Corp. Sdn. Bhd. and Another Appeal [1996] 2 MLJ 517 dan Perembun (M) Sdn. Bhd. v. Conlay Construction Sdn. Bhd. [2012] 4 MLJ 149. Isu 1 dan 2 – Adakah hutang itu wujud dan status hutang peribadi atau hutang syarikat
17
Defendan-Defendan menghujahkan bahawa Plaintif gagal membuktikan kewujudan pinjaman yang didakwa. Menurut Defendan-Defendan, tiada perjanjian bertulis atau dokumen yang mencukupi bagi menyokong dakwaan bahawa wang tersebut dipinjamkan kepada si mati.
18
Defendan-Defendan turut menghujahkan bahawa sekiranya pinjaman tersebut wujud, ia merupakan pinjaman kepada syarikat dan bukannya kepada si mati secara peribadi.
19
Defendan-Defendan mendakwa Plaintif gagal kemukakan bukti dokumen untuk membuktikan pinjaman peribadi kepada si mati. Semua dokumen termasuk cek-cek pembayaran yang dikemukakan menunjukkan pinjaman kepada syarikat dan bukan peribadi.
20
Mahkamah Sesyen telah memutuskan bahawa wang-wang pinjaman telah diberikan kepada si mati secara peribadi dan bukannya kepada mana-mana syarikat yang dikaitkan dengannya.
21
Mahkamah Sesyen juga berpendapat penggunaan cek atau akaun syarikat bagi tujuan pembayaran tidak dengan sendirinya menjadikan hutang tersebut sebagai hutang syarikat. Yang penting ialah kepada siapa wang tersebut dipinjamkan.
22
Di bawah Seksyen 101 Akta Keterangan 1950 beban bagi membuktikan bahawa hutang yang diberikan adalah hutang peribadi dan bukan hutang syarikat adalah terletak pada Plaintif.
23
Mahkamah juga mengambil panduan daripada keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Halim bin Saad v. Chan Yok Peng [2020] MLJU 1900.
24
Dalam kes tersebut, walaupun sebahagian bayaran balik dibuat melalui syarikat Cekal Teguh Sdn. Bhd. yang dikawal oleh Perayu, Mahkamah Rayuan tetap memutuskan bahawa pinjaman tersebut adalah pinjaman peribadi Perayu dan bukannya pinjaman syarikat.
25
Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa dokumen pengakuan pinjaman menunjukkan Perayu sendiri merupakan peminjam dan penggunaan syarikat sebagai medium pembayaran tidak dengan sendirinya menjadikan syarikat sebagai peminjam sebenar.
26
Semasa perbicaraan, Plaintif (SP1) telah memberikan keterangan lisan bahawa pinjaman diberikan secara tunai adalah pinjaman persahabatan secara peribadi kepada si mati. Ini disokong oleh keterangan Goh Chang Sheng (SP2), iaitu bekas juruaudit si mati dan Gobinathan a/l Chelladuran (SP3) iaitu pembantu Plaintif yang mengiringi ke bank untuk mengeluarkan wang tunai dan menyerahkannya kepada si mati.
27
Selanjutnya, saksi-saksi sepina iaitu pemilik syarikat Ambang Klasik Enterprise, Elit Dinamik Trading, dan Zakedna Construction & Services telah mengakui dalam keterangan mereka bahawa syarikat-syarikat tersebut tidak pernah berhutang dengan Plaintif mahupun mempunyai apa-apa urusan perniagaan dengan Plaintif.
28
Mereka turut mengesahkan bahawa walaupun mereka adalah pemilik nama syarikat, si mati adalah individu yang menguruskan, mengawal, dan menyelia segala hal-ehwal kewangan perniagaan tersebut.
29
Berdasarkan rekod rayuan yang dikemukakan, Mahkamah mendapati tiada sebarang keterangan yang menunjukkan bahawa syarikat-syarikat berkenaan terlibat atau bersetuju di dalam urusan pinjaman antara si mati dan Plaintif sejak dari awal. Tiada sebarang rekod yang secara jelas menunjukkan hutang tersebut adalah hutang syarikat.
30
Defendan-Defendan seterusnya merujuk pada kes Tindok Besar Estate Sdn. Bhd. v. Tinjar Co [1979] CLJ (Rep) 119 dan menghujahkan keterangan pemilik-pemilik syarikat adalah bercanggah dengan bukti dokumen dan cek yang dikemukakan.
31
Namun di dalam kes Tindok Besar, keterangan dokumen adalah bertentangan secara langsung dengan keterangan lisan saksi.
32
Sebaliknya bagi kes ini, keterangan pemilik-pemilik syarikat adalah sebagai penjelasan terhadap konteks mengapa cek syarikat digunakan oleh si mati untuk melunaskan liabiliti peribadinya.
33
Keterangan ini tidak bercanggah dengan keterangan dokumen, tetapi adalah penjelasan kepada peranan dan kawalan si mati dalam operasi kewangan syarikat.
34
Mahkamah perlu menilai keterangan secara keseluruhan dan bukannya secara berasingan.
35
Walaupun terdapat cek dan transaksi yang melibatkan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan si mati, tiada keterangan yang menunjukkan syarikat-syarikat tersebut merupakan peminjam kepada Plaintif. Malah saksi-saksi syarikat sendiri mengesahkan bahawa syarikat mereka tidak mempunyai hutang atau urusan perniagaan dengan Plaintif.
36
Setelah menimbangkan keseluruhan rekod rayuan dan hujahan pihak-pihak, Mahkamah berpendapat tiada kesilapan yang memerlukan Mahkamah ini campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen tersebut.
37
Defendan-Defendan menghujahkan bahawa tuntutan Plaintif telah dihalang oleh had masa di bawah seksyen 6(1)(a) Akta Had Masa 1953. Ini adalah kerana pinjaman RM350,000.00 tersebut telah diberikan sekitar bulan Mac 2010 dan sepatutnya dibayar balik dalam tempoh setahun. Oleh itu, kausa tindakan telah terakru selewat-lewatnya pada tahun 2011 namun tindakan hanya difailkan pada 6 April 2021.
38
Mahkamah Sesyen bagaimanapun mendapati bahawa terdapat beberapa keping post-dated cheques yang diserahkan oleh si mati kepada Plaintif melalui Eksibit P36 hingga P47 sekitar tahun 2018.
39
Berdasarkan fakta tersebut, Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa hak tindakan bermula pada tahun 2018 dan bukannya pada tahun 2010. Oleh itu, tuntutan Plaintif tidak dihalang oleh had masa kerana tindakan telah difailkan pada tahun 2021.
40
Bagi isu ini, Mahkamah merujuk kepada seksyen 26(2) Akta Had Masa 1953 yang memperuntukkan bahawa sekiranya terdapat pengakuan bertulis terhadap sesuatu hutang, maka ia akan terakru daripada tarikh pengakuan tersebut. “26. Fresh accrual of action on acknowledgement or part payment
2
Where any right of action has accrued to recover any debt or other liquidated pecuniary claim, or any claim to the personal estate of a deceased person or to any share or interest therein, and the person liable or accountable therefore acknowledges the claim or makes any payment in respect thereof, the right shall be deemed to have accrued on and not before the date of the acknowledgment or the last payment: Provided that a payment of a part of the rent or interest due at any time shall not extend the period for claiming the remainder of the rent or interest then due, but any payment of interest shall have effect, for the purposes of this subsection only, as if it were a payment in respect of the principal debt”.
41
Mahkamah turut merujuk kepada kes Menta Construction Sdn. Bhd. v. SPM Property & Management Sdn. Bhd. & Anor [2017] MLJU 526 yang mana Mahkamah dalam kes tersebut memutuskan bahawa pengakuan hutang tidak perlu dibuat dalam apa-apa format tertentu.
42
Apa yang penting ialah hutang tersebut dapat dikenal pasti dengan jelas dan pengakuan yang dibuat adalah jelas serta tidak berbelah bahagi.
43
Prinsip yang sama juga dapat dilihat dalam kes Mahkamah Rayuan C-Ampy Construction Sdn. Bhd. v. Andalas Jaya Sdn. Bhd. [2014] 6 MLJ 599. Dalam kes tersebut Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa bagi maksud seksyen 26 Akta Had Masa 1953, sesuatu pengakuan hutang tidak semestinya dibuat secara nyata atau secara langsung.
44
Meskipun kes tersebut melibatkan fakta yang berbeza, prinsip yang dihuraikan oleh Mahkamah Rayuan adalah relevan.
45
Pengakuan secara tersirat adalah memadai bagi menunjukkan bahawa hutang tersebut masih diakui wujud.
46
Dalam kes ini, si mati telah mengeluarkan beberapa post-dated cheques bertarikh 2018, 2019 dan 2020 kepada Plaintif. Pada pandangan Mahkamah, tindakan tersebut merupakan pengakuan bertulis terhadap kewujudan hutang berkenaan.
47
Tindakan si mati menyerahkan cek-cek kepada Plaintif, membuat bayaran sebahagian dan menjanjikan pulangan dividen menunjukkan pengakuan tersirat terhadap kewujudan hutang tersebut.
48
Oleh itu, seksyen 26(2) Akta Had Masa 1953 adalah terpakai dalam kes ini dan tuntutan Plaintif tidak terhalang oleh had masa.
49
Defendan-Defendan menghujahkan dividen sebanyak RM146,270.00 adalah faedah haram kerana Plaintif bukan peminjam berlesen. Malahan ini bertentangan dengan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan menjadikan dividen tersebut tidak sah dan terbatal.
50
Namun, Mahkamah Sesyen mendapati bahawa jumlah RM146,270.00 tersebut merupakan suatu bayaran secara lump sum yang timbul akibat kelewatan si mati menjelaskan hutangnya kepada Plaintif. Jumlah tersebut bukan suatu faedah kerana ia tidak dikira berdasarkan peratusan daripada jumlah pokok pinjaman.
51
Bagi menjawab isu ini, Mahkamah merujuk kepada seksyen 2 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang mentakrifkan "faedah" sebagai apa-apa bayaran yang melebihi jumlah prinsipal yang kena dibayar berhubung sesuatu pinjaman: "... any amount by whatsoever name called in excess of the principal paid or payable ... in consideration of or otherwise in respect of a loan."
52
Manakala seksyen 2 Akta Peminjam Wang 1951 menerangkan maksud “moneylending” dan “moneylender” iaitu: “moneylending” is defined to mean the lending of money at interest, with or without security, by a moneylender to a borrower”. “moneylender” is defined to mean any person who carries on or advertises or announces himself or holds himself out in any way as carrying on the business of moneylending”.
53
Mahkamah turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan dalam Tan Aik Teck v. Tang Soon Chye [2007] 5 CLJ 441 yang menjelaskan bahawa pinjaman persahabatan adalah pinjaman yang berasaskan kepercayaan dan lazimnya tidak melibatkan penetapan faedah.
54
Prinsip yang sama turut dinyatakan dalam Song Teik Kim v. Lina Dimbad & Anor [2019] 7 CLJ 223 bahawa ciri utama pinjaman persahabatan ialah ketiadaan syarat faedah dalam perjanjian asal.
55
Mahkamah mendapati jumlah RM146,270.00 yang dituntut sebagai dividen adalah pada hakikatnya suatu pampasan yang ditawarkan oleh si mati kerana tidak dapat menjelaskan hutang dalam tempoh yang dipersetujui.
56
Bayaran tersebut bukan syarat bagi pemberian pinjaman dan tidak membentuk sebahagian daripada terma asal pinjaman persahabatan antara pihak-pihak.
57
Sebaliknya, keterangan menunjukkan bahawa bayaran dividen tersebut hanya dibangkitkan kemudian melalui dokumen yang ditandatangani oleh si mati di Eksibit P4(a) dan P4(b). Ia bukan sebahagian daripada terma asal pinjaman persahabatan antara pihak-pihak.
58
Dalam keadaan ini, Mahkamah tidak bersetuju bahawa Plaintif menjalankan aktiviti pemberian pinjaman wang sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
59
Oleh itu, tuntutan berjumlah RM146,270.00 tersebut tidak menjadikan transaksi ini suatu aktiviti pemberian pinjaman wang yang menyalahi undang-undang dan jumlah tersebut adalah boleh dituntut.
60
Mahkamah berpuas hati bahawa atas imbangan kebarangkalian, wujud dua pinjaman persahabatan yang diberikan oleh Plaintif kepada si mati dalam kapasiti peribadi dan bukannya kepada syarikat, serta bayaran RM146,270.00 adalah merupakan dividen yang dijanjikan oleh si mati.
61
Oleh yang demikian, tiada kekhilafan yang memerlukan Mahkamah ini untuk campur tangan dalam dapatan Mahkamah Sesyen.
62
Sehubungan itu, rayuan ini ditolak dengan kos sebanyak RM10,000.00. Bertarikh 15 Jun 2026 (DARMAFIKRI BIN ABU ADAM) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sungai Petani Kedah Darul Aman Peguamcara Perayu-Perayu: Tetuan Razif Jamil & Partners Peguamcara Responden : Tetuan Jeff, Leong, Poon & Wong
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.