Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA KES TANGKAP NO: JA-83-1100-04/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA
JA-83-1100-04/2022
Magistrates Court of Malaysia26 Nov 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“telah melarikan diri daripada proses keadilan (absconded) sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 425A KTJ. (Rujuk Re Ahmed Ismail bin Hj Amin; ex parte KWSP / Muhamad Fiqrie bin Shafii v PP [2022] MLJU 129). [10] Mahkamah juga berpendapat bahawa adalah tidak lagi demi kepentingan keadilan untuk menunggu kehadi”
“tersebut telah berjaya menimbulkan satu keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. [34] Dapatan ini adalah selaras dengan prinsip yang digariskan dalam Pendakwa Raya v Erwan bin Yunus dan satu lagi [2025] MLJU 3495, di mana Mahkamah menegaskan bahawa bagi membuktikan niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, p”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH MAJISTRET JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM, MALAYSIA KES TANGKAP NO: JA-83-1100-04/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
Murugan A/L Muniandy (OKT1) dan Viknesvaran A/L Murugan (OKT2) telah dipertuduhkan dalam kes ini dengan dua (2) pertuduhan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan di bawah Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
2
Kedua-dua pertuduhan tersebut telah dibacakan dan diterangkan kepada OKT1 dan OKT2 dalam Bahasa Malaysia. OKT1 dan OKT2 menyatakan bahawa mereka memahami pertuduhan-pertuduhan tersebut dan memilih untuk dibicarakan.
3
Pada 30.6.2024, setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan serta hujahan kedua-dua belah pihak, Mahkamah ini telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap OKT1 dan OKT2. Sehubungan itu, kedua-dua OKT telah dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. Pihak pendakwaan, yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
4
Pada 6 Mac 2025, Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan perintah Mahkamah ini bertarikh 30.6.2024 serta mengarahkan OKT1 dan OKT2 dipanggil membela diri. Keputusan tersebut dibuat tanpa kehadiran OKT1 yang gagal hadir di peringkat rayuan, manakala OKT2 hadir semasa keputusan disampaikan.
5
Susulan itu, kes ini ditetapkan untuk sebutan pada 29.4.2025 di Mahkamah Majistret. Mahkamah Majistret telah mengeluarkan waran tangkap terhadap OKT1. Peguambela yang sebelum ini mewakili kedua-dua OKT1 dan OKT2 (hubungan mereka adalah bapa dan anak) di peringkat pendakwaan telah memaklumkan bahawa beliau tidak lagi mewakili OKT1 di peringkat rayuan dan pembelaan, dan hanya mewakili OKT2.
6
Sementara itu, pihak pendakwaan telah memohon agar perbicaraan kes ini diteruskan tanpa kehadiran OKT1 mengikut peruntukan di bawah seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
7
Mahkamah sedar bahawa perintah Mahkamah Tinggi telah mengarahkan agar kes pembelaan diteruskan, termasuk terhadap OKT1, walaupun tanpa kehadiran beliau. Mahkamah ini juga mengambil maklum bahawa isu ketidakhadiran OKT1 telah berlanjutan sejak peringkat rayuan dan menimbulkan kekangan dari segi perjalanan prosiding perbicaraan.
8
Walau bagaimanapun, bagi tujuan merekodkan kedudukan sebenar prosiding di peringkat ini, selepas perintah Mahkamah Tinggi tersebut, Mahkamah ini telah mengambil langkah berhati-hati dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap OKT1 serta menangguhkan prosiding beberapa kali bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa mengesan dan membawa OKT1 ke Mahkamah.
9
Berdasarkan keterangan bahawa usaha-usaha munasabah telah dijalankan oleh Pegawai Penyiasat untuk mengesan OKT1 termasuk melalui carian butiran keluarga dan lawatan ke alamat-alamat diketahui, namun OKT1 masih gagal dikesan dan tidak menghadirkan diri ke Mahkamah.Mahkamah berpuas hati bahawa ketidakhadiran OKT1 adalah disengajakan dan beliau telah melarikan diri daripada proses keadilan (absconded) sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 425A KTJ. (Rujuk Re Ahmed Ismail bin Hj Amin; ex parte KWSP / Muhamad Fiqrie bin Shafii v PP [2022] MLJU 129).
10
Mahkamah juga berpendapat bahawa adalah tidak lagi demi kepentingan keadilan untuk menunggu kehadiran OKT1, memandangkan beliau telah diberikan peluang yang mencukupi untuk hadir ke Mahkamah tetapi gagal berbuat demikian. Dalam keadaan ini, OKT1 adalah dianggap telah mengenepikan haknya untuk hadir dan mengambil bahagian dalam perbicaraan.
11
Sehubungan itu, perbicaraan di peringkat pembelaan telah diteruskan tanpa kehadiran OKT1 pada 10.11.2025. Pada peringkat ini, hanya OKT2 telah memberi keterangan sebagai saksi pembelaan bagi pihak dirinya sendiri. Setelah meneliti keseluruhan keterangan pembelaan, hujahan pihak-pihak serta undang-undang yang terpakai, Mahkamah ini pada 26.11.2025 telah memutuskan bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan kes terhadap OKT2 di luar keraguan munasabah. Maka OKT2 dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan.
12
Bagi OKT1 pula, berdasarkan keseluruhan keterangan yang tidak disangkal serta inferens munasabah di bawah s.425A KTJ, Mahkamah berpuas hati bahawa elemen-elemen pertuduhan terhadap OKT1 telah dibuktikan di luar keraguan munasabah. Oleh itu, OKT1 disabitkan atas kedua-dua pertuduhan.
13
Bagi pertuduhan pertama, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu (1) tahun di bawah Seksyen 135(1)(v) (aa) Akta Kastam 1967. Bagi pertuduhan kedua, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu (1) tahun di bawah Seksyen 74(1)(iv)(A) Akta Eksais 1976. Mahkamah seterusnya memerintahkan kedua-dua hukuman penjara tersebut berjalan serentak.
14
Mahkamah turut memerintahkan supaya barang kes dilucuthakkan mengikut Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 66(1) Akta Eksais 1976, serta memerintahkan OKT2 membayar tuntutan amaun duti sebagaimana yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan.
15
Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan dan pihak pembelaan didapati tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan masing-masing telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi melalui Notis Rayuan bertarikh 3 Disember 2025 dan 9 Disember 2025.
16
Secara ringkasnya, pembelaan OKT2 adalah bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan atau penglibatan terhadap pengangkutan minuman keras yang merupakan barang larangan import dan barang berduti eksais menggunakan lori dan treler yang menjadi asas pertuduhan.
17
Pembelaan menegaskan bahawa keterangan OKT2 bukan suatu penafian kosong (bare denial) atau suatu afterthought, sebaliknya disokong oleh keterangan saksi pendakwaan sendiri, termasuk SP11 yang mengesahkan bahawa OKT2 tidak menyaksikan proses pemuatan barang di Singapura.
18
Peguambela berhujah bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen pengetahuan dan niat bersama terhadap OKT2 bagi kedua-dua pertuduhan yang dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Menurut pembelaan, OKT2 sejak awal secara konsisten menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui kandungan barang-barang yang dibawa di dalam lori tersebut dan bahawa beliau bukan kelindan lori berkenaan.
19
Pembelaan berhujah bahawa pendakwaan hanya bergantung kepada inferens semata-mata tanpa asas fakta yang kukuh. Menurut pembelaan, niat bersama tidak boleh dibuktikan melalui spekulasi atau andaian berdasarkan kehadiran OKT2 bersama OKT1 semata-mata, sebaliknya mesti disokong oleh keterangan kukuh yang menunjukkan suatu perancangan atau meeting of minds.
20
Pembelaan seterusnya berhujah bahawa kes pendakwaan terhadap OKT2 bergantung kepada konsep collective conduct, yang menurut pembelaan adalah tidak selamat untuk mensabitkan OKT2 tanpa keterangan langsung yang mengaitkannya dengan pengetahuan atau kawalan terhadap barang-barang kes.
21
Pembelaan juga berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal mengemukakan keterangan sokongan atau rebuttal evidence bagi membuktikan bahawa OKT2 adalah pekerja atau kelindan lori tersebut, termasuk kegagalan mengemukakan rekod pekerjaan, slip gaji atau keterangan majikan. Menurut pembelaan, kegagalan ini adalah fatal memandangkan beban pembuktian terletak sepenuhnya ke atas pihak pendakwaan.
22
Sebaliknya, pihak pendakwaan berhujah bahawa kedua-dua OKT telah bersama-sama dengan disedari terlibat dalam perbuatan mengangkut minuman keras yang merupakan barang larangan import dan barang berduti eksais menggunakan lori dan treler yang sama. Pendakwaan menegaskan bahawa keberadaan OKT1 dan OKT2 di dalam lori semasa tangkapan, serta pengangkutan fizikal barang-barang kes tersebut, membolehkan Mahkamah membuat inferens bahawa kedua-duanya mempunyai pengetahuan terhadap barang yang diangkut dan telah bertindak secara bersama.
23
Pendakwaan seterusnya berhujah bahawa walaupun hanya OKT1 didapati memandu lori semasa tangkapan, OKT2 tetap terlibat secara bersama dalam pengangkutan barang-barang kes tersebut berdasarkan konsep collective conduct, dan bahawa perbuatan mengangkut tidak semestinya memerlukan peranan sebagai pemandu atau kelindan semata-mata, sebaliknya boleh dibuktikan melalui penglibatan bersama dalam keseluruhan transaksi pengangkutan.
24
Selain itu, pihak pendakwaan bergantung kepada Seksyen 135(2) Akta Kastam 1967, dengan berhujah bahawa dalam mana-mana pendakwaan di bawah seksyen tersebut, barang-barang kes hendaklah dianggap sebagai barang bercukai, tidak dikastamkan atau barang larangan, mengikut mana yang berkenaan, yang diketahui oleh tertuduh, melainkan dibuktikan sebaliknya oleh tertuduh itu sendiri. Menurut pendakwaan, kegagalan OKT untuk mengemukakan sebarang dokumen pengimportan yang sah atau bukti pembayaran duti telah menyebabkan anggapan statutori tersebut tidak berjaya disangkal, sekali gus menyokong dakwaan bahawa barang-barang kes merupakan barang larangan import dan berduti eksais yang dibawa masuk secara tidak sah.
25
Pendakwaan seterusnya berhujah bahawa elemen niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan boleh diinferenskan daripada keadaan-keadaan kes, termasuk keberadaan OKT1 dan OKT2 bersama-sama di dalam lori yang membawa barang-barang tersebut, 7 kuantiti barang yang besar, serta ketiadaan sebarang penjelasan munasabah berhubung tujuan dan cara pengangkutan barang-barang tersebut.
26
Mahkamah ini terlebih dahulu mengambil maklum dan akur bahawa Mahkamah Tinggi, di peringkat rayuan, telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh dan seterusnya mengarahkan kedua-dua OKT dipanggil membela diri. Sehubungan itu, Mahkamah ini telah mematuhi sepenuhnya perintah tersebut dan meneruskan perbicaraan ke peringkat pembelaan.
27
Dalam menilai sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, Mahkamah mengambil panduan daripada prinsip yang digariskan dalam Ali Tan bin Abdullah v Public Prosecutor [2013] 2 MLJ 676, di mana Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa pembuktian melampaui keraguan munasabah tidak bermaksud pembuktian melampaui segala kemungkinan keraguan, dan Mahkamah tidak seharusnya melayan keraguan yang bersifat remeh, spekulatif atau imaginatif. Walau bagaimanapun, Mahkamah turut menegaskan bahawa kewujudan keraguan munasabah hendaklah dinilai berdasarkan keseluruhan keterangan secara holistik dan berasaskan akal serta pertimbangan yang munasabah, dan bukannya secara terasing.
28
Mahkamah turut mengambil panduan daripada prinsip yang digariskan dalam Tan Boon Kean v Public Prosecutor [1995] 3 MLJ 514, yang menegaskan bahawa kehendak seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah hanyalah untuk menentukan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie, dan bukan untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada peringkat tersebut. Walaupun pada peringkat prima facie pendakwaan perlu mengemukakan keterangan yang mencukupi bagi membuktikan setiap elemen asas pertuduhan, beban pembuktian untuk membuktikan kesalahan tertuduh melampaui keraguan munasabah kekal sepanjang 8 masa di atas pihak pendakwaan dan tidak pernah beralih. Persoalan sama ada tertuduh wajar disabitkan hanya boleh diputuskan pada akhir perbicaraan, setelah Mahkamah menilai keseluruhan keterangan pendakwaan dan pembelaan, dan berpuas hati bahawa tiada keraguan munasabah wujud terhadap kes pendakwaan.
29
Mahkamah telah meneliti dengan cermat keseluruhan keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan. Pembelaan OKT2 sejak awal adalah konsisten bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung pengangkutan minuman keras yang merupakan barang larangan import dan barang berduti eksais menggunakan lori dan treler tersebut.
30
Mahkamah mendapati bahawa penjelasan OKT2 bahawa beliau bukan kelindan lori bukanlah suatu penafian kosong atau suatu afterthought. Penjelasan tersebut adalah selari dengan keseluruhan keterangan pihak pendakwaan sendiri.
31
Mahkamah turut mengambil perhatian bahawa strategi pembuktian pendakwaan sepanjang perbicaraan jelas menjurus kepada OKT1, selaku pemandu lori yang berurusan secara langsung dengan SP11. Tiada usaha serius ditunjukkan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan peranan aktif OKT2, sama ada sebagai kelindan, pekerja syarikat, atau individu yang mempunyai kawalan atau kepentingan terhadap pengangkutan tersebut. Malah, tiada satu pun keterangan saksi pendakwaan yang menyatakan bahawa OKT2 pernah menerima arahan, gaji, atau menjalankan apa-apa tugas berkaitan pengangkutan minuman keras berkenaan.
32
Dalam keadaan ini, Mahkamah mendapati bahawa kedudukan OKT2 dalam kes ini adalah semata-mata sebagai seorang yang berada di dalam lori treller semasa ditahan, tanpa sebarang keterangan sokongan yang menunjukkan beliau mempunyai pengetahuan, niat 9 bersama, atau penglibatan dalam perbuatan mengangkut barang larangan tersebut.
33
Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah mendapati bahawa keterangan kehadiran OKT2 semata-mata, tanpa sokongan keterangan lain yang kukuh, adalah tidak mencukupi untuk membuktikan elemen pengetahuan atau niat bersama. Apabila keterangan pembelaan OKT2 yang konsisten berhubung ketiadaan pengetahuan ditimbang bersama keterangan pihak pendakwaan sendiri, Mahkamah berpuas hati bahawa pembelaan tersebut telah berjaya menimbulkan satu keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
34
Dapatan ini adalah selaras dengan prinsip yang digariskan dalam Pendakwa Raya v Erwan bin Yunus dan satu lagi [2025] MLJU 3495, di mana Mahkamah menegaskan bahawa bagi membuktikan niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, pihak pendakwaan perlu mengemukakan keterangan yang menunjukkan kewujudan suatu perancangan atau meeting of minds antara tertuduh-tertuduh, dan bahawa keberadaan tertuduh-tertuduh di tempat dan masa yang sama semata-mata adalah tidak mencukupi.
35
Lebih kritikal, apabila keterangan SP11 sendiri menyokong versi pembelaan bahawa OKT1 tidak mempunyai pengetahuan sebenar tentang barang yang diangkut, maka asas untuk mengaitkan OKT2 dengan elemen pengetahuan menjadi lebih rapuh dan tidak munasabah.
36
Lebih penting, Mahkamah mendapati bahawa tiada keterangan daripada SP11 yang mengaitkan OKT2 sebagai pekerja syarikatnya, sama ada sebagai kelindan atau sebaliknya. SP11 tidak pernah menyatakan bahawa OKT2 adalah kakitangan beliau, tidak mengemukakan sebarang rekod pekerjaan, penyata gaji, atau dokumen sokongan yang boleh menunjukkan bahawa OKT2 mempunyai apa-apa autoriti, kawalan, atau tanggungjawab terhadap urusan pengangkutan atau kandungan muatan lori treller tersebut.
37
Tambahan pula, Mahkamah mendapati bahawa segala urusan dokumentasi berkaitan pengangkutan, termasuk perhubungan dengan pelanggan dan arahan membawa masuk barang dari Singapura, adalah dikendalikan oleh SP11 sendiri dan OKT1, dan tiada satu pun dokumen yang dikemukakan dalam kes ini yang mengaitkan OKT2 dengan pengetahuan atau penglibatan dalam kesalahan pengangkutan barang larangan tersebut.
38
Apabila pembelaan OKT2 yang konsisten sejak awal, bahawa beliau tidak mengetahui kandungan barang yang diangkut, ditimbang dengan keterangan pendakwaan secara keseluruhan, Mahkamah berpuas hati bahawa pembelaan tersebut telah berjaya menimbulkan satu keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
39
Oleh yang demikian, Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen pengetahuan dan seterusnya gagal membuktikan pertuduhan terhadap OKT2 di luar keraguan munasabah.
40
Mahkamah ini juga dengan berwaspada telah berpegang pada prinsip asas yang digariskan dalam kes Mat v PP [1963] 1 MLJ 263. Prinsip tersebut dengan jelas memperuntukkan bahawa walaupun Mahkamah tidak menerima atau mempercayai sepenuhnya penjelasan tertuduh, Mahkamah tetap wajib meneliti sama ada penjelasan tersebut telah menimbulkan satu keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Sepertimana yang dinyatakan dalam perenggan (e) kes tersebut, sekiranya penjelasan tertuduh, walaupun tidak diterima, masih menimbulkan keraguan munasabah dalam fikiran Mahkamah berhubung kesalahan tertuduh, maka tertuduh hendaklah dilepaskan dan dibebaskan.
41
Mahkamah turut mengambil maklum kewujudan anggapan statutori di bawah Seksyen 135(2) Akta Kastam 1967 yang berkaitan dengan status barang yang disita. Mahkamah mengambil panduan 11 dalam kes Lau Kieng Chung v Public Prosecutor [1993] 3 MLJ 295, yang menjelaskan bahawa anggapan statutori di bawah seksyen 135(2) Akta Kastam 1967 adalah suatu anggapan boleh disangkal yang hanya bertujuan membantu pendakwaan dalam membuktikan unsur pengetahuan. Anggapan tersebut tidak memindahkan beban pembuktian muktamad kepada tertuduh, dan tertuduh tidak dipertanggungjawabkan untuk membuktikan pembelaannya secara mutlak. Memadai sekiranya penjelasan atau keterangan yang dikemukakan adalah munasabah dan berupaya menimbulkan keraguan terhadap anggapan pengetahuan tersebut, sementara beban pembuktian untuk membuktikan kesalahan melampaui keraguan munasabah kekal sepanjang masa di atas pihak pendakwaan.
42
Prinsip ini seterusnya diperkukuhkan dalam Sashitharan a/l Doraisamy dan lain-lain v Pendakwa Raya [2023] 12 MLJ 789, di mana Mahkamah menegaskan bahawa anggapan di bawah seksyen 135(2) tidak terpakai secara automatik dan hanya boleh diaktifkan setelah pihak pendakwaan terlebih dahulu membuktikan fakta asas, khususnya pemilikan, kawalan dan jagaan terhadap barang kes oleh tertuduh. Mahkamah menegaskan bahawa kegagalan membuktikan fakta asas ini menyebabkan anggapan statutori tersebut tidak boleh digunakan sama sekali, dan Mahkamah tidak boleh mensabitkan tertuduh dengan bergantung kepada anggapan semata-mata tanpa keterangan kukuh yang membuktikan setiap elemen pertuduhan melampaui keraguan munasabah.
43
Mahkamah mendapati bahawa dalam konteks OKT2, anggapan tersebut tidak boleh diaplikasikan secara mekanikal. Ini kerana pembelaan OKT2 sejak awal adalah konsisten bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan berhubung pengangkutan barang-barang larangan tersebut, dan penjelasan tersebut tidak disanggah oleh sebarang keterangan yang menunjukkan penglibatan, pengetahuan dan niat bersama OKT2 terhadap barang-barang larangan tersebut. Dalam keadaan ini, kegagalan membuktikan fakta asas menyebabkan anggapan di bawah s 135(2) tidak diaktifkan, dan pendakwaan tidak boleh menutup lompang keterangan melalui inferens semata-mata.
44
Sehubungan itu, Mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes terhadap OKT2 melampaui keraguan munasabah, dan selaras dengan prinsip yang digariskan dalam Mat v PP, OKT2 adalah berhak untuk dilepaskan dan dibebaskan.
45
Mahkamah mengambil maklum bahawa OKT1 pada asalnya telah dilepaskan dan dibebaskan di peringkat pendakwaan, dan pada masa tersebut OKT1 hadir di Mahkamah serta diwakili oleh peguam. Mahkamah seterusnya mengambil maklum bahawa pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut.
46
Mahkamah mendapati bahawa pada peringkat rayuan, OKT1 gagal hadir walaupun prosiding rayuan tersebut melibatkan kepentingan langsung terhadap kedudukannya sebagai tertuduh. Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memutuskan bahawa wujud kes prima facie terhadap OKT1 serta mengarahkan OKT1 dipanggil membela diri, keputusan yang dibuat ketika ketidakhadiran OKT1.
47
Setelah kes dipulangkan ke Mahkamah Majistret untuk perbicaraan di peringkat pembelaan, Mahkamah Mjistret telah mengeluarkan waran tangkap terhadap OKT1. Mahkamah turut mengambil kira usaha-usaha munasabah yang telah dijalankan oleh Pegawai Penyiasat untuk mengesan dan menahan OKT1, namun segala usaha tersebut tidak berjaya.
48
Mahkamah seterusnya mengambil kira bahawa OKT1 sebelum ini pernah hadir dan diwakili oleh peguam di peringkat awal prosiding. Dalam keadaan tersebut, Mahkamah berpuas hati bahawa OKT1 sepatutnya mengetahui bahawa keputusan pelepasan dan pembebasan di peringkat pendakwaan adalah tertakluk kepada hak rayuan pihak pendakwaan, dan bahawa prosiding terhadapnya boleh dihidupkan semula sekiranya rayuan tersebut dibenarkan.
49
Mahkamah turut mengambil kira bahawa Notis Rayuan telah difailkan oleh firma guaman yang sama yang mewakili OKT1 di peringkat pendakwaan, dan firma guaman tersebut kemudiannya kembali mewakili OKT1 selepas keputusan Mahkamah ini. Keadaan ini secara objektif mengukuhkan dapatan Mahkamah bahawa OKT1 sepatutnya mengetahui kewujudan serta implikasi prosiding rayuan terhadap kedudukannya sebagai tertuduh.
50
Berdasarkan keseluruhan keadaan kes, termasuk fakta bahawa OKT1 pernah diwakili oleh peguambela di peringkat awal prosiding, keputusan rayuan yang telah menghidupkan semula pertuduhan terhadapnya, serta usaha-usaha munasabah yang telah dijalankan oleh Pegawai Penyiasat untuk mengesan OKT1, Mahkamah berpuas hati bahawa OKT1 telah melarikan diri dan dengan itu dianggap telah menolak peluang untuk membela diri.
51
Sehubungan itu, selaras dengan peruntukan Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah, Mahkamah adalah berhak untuk meneruskan prosiding dan membuat dapatan berdasarkan keterangan pendakwaan yang tidak disangkal.
52
Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah mendapati bahawa tiada apa-apa keterangan di peringkat pembelaan yang boleh menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan terhadap OKT1. Setelah meneliti keseluruhan keterangan pendakwaan yang tidak dicabar dan mengambil kira inferens munasabah yang dibenarkan di bawah Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah, Mahkamah berpuas hati bahawa semua elemen pertuduhan terhadap OKT1 telah dibuktikan melampaui keraguan munasabah.
53
Dengan itu, Mahkamah mensabitkan OKT1 atas kedua-dua pertuduhan.
54
Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta Kastam 1967, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu
1
tahun terhadap OKT1. [55] Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 74(1)(iv)(A) Akta Eksais 1976, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu (1) tahun terhadap OKT1.Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara tersebut berjalan serentak. [56] Mahkamah turut memerintahkan barang kes dilucuthak mengikut Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 66(1) Akta Eksais 1976, serta membenarkan tuntutan amaun duti sebagaimana yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan. (HIDAYATUL SYUHADA BINTI SHAMSUDIN) Majistret Mahkamah Majistret Johor Bahru 6.2.2026 Pihak pendakwaan: ‘Ateerah Binti Azizan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor Bahru, Johor. Pihak Pembelaan: P. Sandrasegaran Tetuan P S Segaran & Co
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.