Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI BUTTERWORTH DALAM NEGERI PULAU PINANG, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO.: PB-45A-71-10/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA … PERAYU
PB-45A-71-10/2022
High Court of Malaysia21 May 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ihak pendakwaan perlu membuktikan dua elemen penting iaitu pengetahuan dan kawalan fizikal atau dominasi ke atas barang kes. Mahkamah ini berpandukan keputusan dalam kes tersohor Chan Pean Leon v. PP [1956] CLJU 17; [1956] 1 LNS 17; [1956] 22 MLJ 237, di mana Hakim Thomson telah menjelaskan tentang kedua-dua unsur ters”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI BUTTERWORTH DALAM NEGERI PULAU PINANG, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO.: PB-45A-71-10/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA … PERAYU
1
NHAGIN A/L PERMAL (No. K/P: 880819-35-5757)
2
RUBEN A/L NATARAJAN (No. K/P: 910816-07-5957)
3
RAJENDRA KUMAR A/L KANDASAMY (No. K/P: 840928-02-6147)
4
MUNISWARAN A/L DANABALASINGAM (No. K/P: 960617-07-5597)
5
THARMAMURTHY A/L NAMASIVAYIAM (No. K/P: 961120-08-6543) … RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN
1
Pada 21 May 2026, Mahkamah ini telah melepas dan membebaskan kelima-lima tertuduh tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan atas tiga pertuduhan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
2
Pihak Pendakwaan yang terkilan terhadap keseluruhan keputusan tersebut telah memfailkan Notis rayuan pada 3 Jun
2026
Ini adalah alasan penghakiman terhadap keputusan Mahkamah ini.
3
Bahawa kamu bersama – sama pada 3.9.2020 jam lebih kurang 12.10 Tengah hari beralamat di nombor 31-A, Ujong Batu, Bagan Dalam, 12100 Butterworth, dalam Daerah Seberang Perai Tengah, dalam Negeri Pulau Pinang telah mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 393.2 gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B [1][a] Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh di hokum di bawah Seksyen 39B[2] Akta yang sama di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
4
Bahawa kamu bersama – sama pada 3.9.2020 jam lebih kurang 12.10 tengah hari beralamat di nombor 31-A, Ujong Batu, Bagan Dalam, 12100 Butterworth, dalam Daerah Seberang Perai Tengah, dalam Negeri Pulau Pinang telah mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 59.8 gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B [1][a] Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh di hukum di bawah Seksyen 39B[2] Akta yang sama di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
6
Bahawa kamu bersama – sama pada 3.9.2020 jam lebih kurang 12.10 tengah hari beralamat di nombor 31-A, Ujong Batu, Bagan Dalam, 12100 Butterworth, dalam Daerah Seberang Perai Tengah, dalam Negeri Pulau Pinang telah mengedar dadah berbahaya jenis monoacetylmorphines seberat 68.9 gram dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B [1][a] Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh di hukum di bawah Seksyen 39B[2] Akta yang sama di baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
7
Kelima-lima Tertuduh mengaku tidak bersalah dan perbicaraan telah dijalankan, di mana pihak Pendakwaan telah memanggil seramai tujuh orang saksi, iaitu – i. SP1 Insp Mohd Azmi bin Mohd Nor Mandharan selaku pegawai serbuan dan pengadu, ii. SP2 Nur Azidah binti Daud selaku ahli kimia, iii. SP3 Nor Saidah Nabila binti Shafie selaku pegawai TNB, iv. SP4 Azizah binti Idris selaku pegawai kanan Pejabat Tanah, v. SP5 Insp Rozila binti Remali selaku pegawai penyiasat, vi. SP6 Khairul Hafizi bin Syahidan selaku Penolong Pegawai Tanah SPU, dan; vii. SP7 Mohd Rushdi bin Said selaku Penolong Pegawai Kanan Tanah.
8
Secara ringkasnya keterangan saksi-saksi pendakwaan menunjukkan bahawa pada 3.9.2020, SP1 bersama pasukan serbuan telah bertindak atas maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah di sebuah rumah di kawasan Ujong Batu, Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang.
9
9.
Preamble
Menurut SP1, beliau dan pasukan serbuan telah pergi ke lokasi seperti maklumat yang diterima dan apabila sampai di sana, SP1 dan pasukannya membuat pemantauan di luar rumah tersebut selama lebih kurang 10 minit sebelum serbuan. Semasa pemantauan tersebut, SP1 tidak mendapati apa-apa pergerakan keluar dan masuk di rumah tersebut. Kemudiannya SP1 dan anggota serbuan telah menghampiri rumah tersebut dan mendapati pintu pagar rumah berada dalam keadaan terbuka manakala pintu grill hadapan juga terbuka. Namun pintu hadapan rumah berada dalam keadaan tertutup dan berkunci. SP1 kemudiannya telah mengumpil pintu hadapan rumah tersebut hingga dapat dibuka dan SP1 bersama anggota serbuan masuk ke dalam rumah tersebut.
10
Setelah memasuki rumah, SP1 dan pasukan serbuan telah melalui ruang hadapan rumah dan menuju ke bahagian belakang rumah dan mendapati kerja-kerja renovation sedang dijalankan oleh tiga orang pekerja warga asing yang kemudiannya dikenali sebagai Mohd Ali bin Amin, Shafiq bin Furugamat dan Nur Amin bin Husin. Ketiga-tiga warga asing tersebut kemudiannya telah ditahan. Mereka dikatakan sedang menjalankan kerja-kerja memasang mozek di bahagian rumah tersebut.
11
SP1 dalam keterangannya menyatakan bahawa berhadapan dengan kawasan renovasi tersebut terdapat sebuah bilik, yang dirujuk sebagai bilik pertama. SP1 dan anggota serbuan telah memasuki bilik tersebut dan mendapati kelima-lima tertuduh iaitu Nhagin a/l Permal, Ruben a/l Natarajan, Rajendra Kumar a/l Kandasamy, Muniswaran a/l Danabalasingam dan Tharmamurthy a/l Namasivayam berada di dalam bilik itu.
12
SP1 mendapati di dalam bilik tersebut terdapat bahan yang disyaki dadah berada di atas lantai bilik dalam keadaan terbuka dan terdedah serta boleh dilihat oleh sesiapa yang masuk ke dalam bilik tersebut. Turut dijumpai di kawasan yang sama ialah alat penimbang digital, sealer dan plastik-plastik lutsinar kosong.
13
Kesemua bahan yang disyaki dadah berbahaya itu telah dirampas bersama barang-barang yang lain. Barang rampasan dan kelima-lima tertuduh telah dibawa balik ke pejabat narkotik IPD SPS dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat, SP5.
14
Barang kes dadah telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Pulau Pinang untuk dijalankan analisis kimia dan telah diterima oleh SP2. Hasil analisis kimia yang telah dijalankan oleh SP2, beliau mendapati bahan yang diterima dan dianalisis adalah dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 393.2 gram, heroin seberat 59.8 gram dan monoacetylmorphines seberat 68.9 gram.
15
Di akhir kes pendakwaan, adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap tertuduh sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 180(4) Kanun Tatacara Jenayah. Ini bermaksud, pihak pendakwaan hendaklah mengemukakan keterangan yang kukuh dan boleh dipercayai bagi membuktikan setiap elemen penting bagi kesalahan yang dipertuduhkan, iaitu pengedaran dadah berbahaya. Sekiranya elemen-elemen ini tidak dijelaskan atau disangkal oleh tertuduh, maka tertuduh boleh disabitkan atas pertuduhan tersebut.
16
Dalam menjalankan fungsi kehakimannya, Mahkamah dikehendaki membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan yang telah dikemukakan. Ini termasuklah menilai kebolehpercayaan dan kebolehterimaan keterangan saksi-saksi pendakwaan secara menyeluruh. Penekanan diberikan terhadap pembuktian semua elemen kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) ADB 1952.
17
Sekiranya terdapat sebarang keraguan yang munasabah terhadap mana-mana elemen kesalahan, maka manfaat keraguan hendaklah diberikan kepada tertuduh, dan Mahkamah tidak boleh memutuskan bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan terhadap tertuduh. Prinsip ini telah ditegaskan dalam kes Pendakwa Raya v. Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457.
18
Pihak pendakwaan hendaklah membuktikan elemen-elemen berikut untuk membuktikan kesalahan yang dipertuduhkan ke atas kelima-lima tertuduh, iaitu:
a
dadah yang di jumpai dan dirampas adalah dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan dalam ADB 1952;
b
dadah tersebut berada dalam milikan kelima-lima tertuduh pada masa tersebut;
c
Kelima-lima tertuduh mengedar dadah tersebut pada masa tersebut;
d
Kelima-lima tertuduh mempunyai niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan untuk mengedar dadah tersebut. HUJAHAN PIHAK PENDAKWAAN
19
Mahkamah mendapati pihak Pendakwaan hanya memfailkan Hujahan Bertulis (Kandungan 241) pada 21 Mei 2026 pada jam 8:08:20 pagi iaitu pada hari yang sama keputusan akan disampaikan. Mahkamah ini tidak mengambilkira Hujahan tersebut kerana masa yang cukup panjang telah diberikan kepada pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing. Walaupun pihak Pendakwaan gagal bertindak dalam masa yang ditetapkan, Mahkamah ini tetap bertanggungjawab untuk membuat penilaian yang maksima terhadap keseluruhan keterangan Pendakwaan, dan beban pembuktian adalah kekal terletak di atas pihak Pendakwaan.
20
Keterangan SP1 adalah amat penting kerana pada masa yang material beliau telah melakukan serbuan di satu premis dan mendapati kelima-lima Tertuduh berada di bilik pertama di mana dadah dijumpai dalam keadaan terdedah, dan keterangan SP5 bahawa hasil siasatannya, kelima-lima Tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap dadah tersebut kerana mereka ditangkap di dalam bilik tersebut.
21
Pihak Pembelaan berhujah bahawa pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan alamat sebenar tempat kejadian. Dalam pertuduhan dengan jelas menunjukkan bahawa alamat tempat kejadian adalah di premis bernombor 31-A Ujong Batu, sedangkan dalam laporan polis dan dalam borang geledah, alamat tempat kejadian yang dirujuk adalah nombor 294B Ujong Batu. Keterangan SP3 berhubung bil TNB pula menunjukkan bahawa kedua-dua alamat yang berbeza.
22
Selanjutnya pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan kelima-lima Tertuduh mempunyai akses eksklusif terhadap rumah, bilik dan dadah tersebut. Rumah tersebut mempunyai banyak bilik, banyak barang peribadi milik individu yang tidak dikenal pasti, dan bilik tempat dadah dijumpai tidak berkunci. Semasa serbuan tersebut terdapat tiga orang warga asing yang sedang bekerja di kawasan renovasi yang berhadapan dengan bilik pertama. SP1 dan SP5 mengesahkan bahawa bilik tersebut tidak berkunci dan orang lain boleh masuk ke dalam bilik itu.
23
Pihak Pembelaan juga berhujah bahawa tiada sesiapa melihat kelima-lima Tertuduh membawa masuk, menyusun, membungkus atau mengendalikan dadah-dadah di dalam bilik tersebut. Tiada barang salah dijumpai pada badan kelima-lima tertuduh dan tiada kesan dadah pada tangan atau pakaian, tiada sarung tangan dijumpai, keputusan cap jari adalah negatif dan tiada analisis DNA dijalankan.
24
Mengenai niat bersama, pihak pembelaan berhujah bahawa tiada keterangan yang dikemukakan sama ada dalam bentuk komunikasi, perlakuan atau tindakan bersama untuk membuktikan kelima-lima tertuduh mempunyai niat bersama. Semata-mata kehadiran kelima-lima tertuduh dalam bilik, tanpa keterangan tentang peranan khusus, perancangan atau tindakan bersama, adalah tidak mencukupi untuk membuktikan niat bersama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan. Elemen Pertama: Identiti dadah
25
Mahkamah mendapati cabaran dikemukakan oleh pihak pembelaan terhadap keterangan ahli kimia sama sekali tidak melemahkan keterangannya. Setelah meneliti keseluruhan keterangan ahli kimia, Mahkamah berpuas hati bahawa keterangan beliau adalah kukuh, konsisten dan tidak menunjukkan sebarang perkara yang secara inheren tidak boleh dipercayai.
26
Ahli Kimia telah mengesahkan bahawa bahan yang dianalisis adalah sejenis dadah berbahaya dengan berat seperti yang dinyatakan di dalam pertuduhan dan disenaraikan sebagai dadah berbahaya di bawah Jadual Pertama ADB 1952. Berdasarkan keseluruhan keterangan ahli kimia tersebut, Mahkamah ini berpuashati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan elemen pertama pertuduhan. Elemen Kedua: Milikan dan pengetahuan
27
Untuk membuktikan pemilikan, pihak pendakwaan perlu membuktikan dua elemen penting iaitu pengetahuan dan kawalan fizikal atau dominasi ke atas barang kes. Mahkamah ini berpandukan keputusan dalam kes tersohor Chan Pean Leon v. PP [1956] CLJU 17; [1956] 1 LNS 17; [1956] 22 MLJ 237, di mana Hakim Thomson telah menjelaskan tentang kedua-dua unsur tersebut pada muka surat 239 seperti berikut: "A movable thing is said to be in possession of a person when he is situated with respect to it that he has the power to deal with it as owner to the exclusion of all other persons and when the circumstances are such that he may be presumed to intend to do so in case of need. To put it otherwise, there is a physical element and mental element which must both be present before possession is made out”.
28
Berpandukan kepada autoriti yang dinyatakan di atas, adalah menjadi suatu prinsip undang-undang yang mantap bahawa bagi membuktikan seseorang itu mempunyai "milikan", perlulah dibuktikan melalui keterangan bahawa seseorang itu mempunyai kawalan atau jagaan ke atas sesuatu barang tersebut dan bebas berurusan atau mengendalikan barang tersebut sepenuhnya tanpa penglibatan orang lain (power of disposal to the exclusion of others) dan mempunyai pengetahuan ke atas barang tersebut.
29
Pegawai penyiasat, SP5, memberi keterangan bahawa hasil siasatan beliau menunjukkan kelima-lima tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap dadah hanya kerana mereka ditangkap di dalam bilik di mana dadah ditemui. Pendakwaan seterusnya bergantung kepada keadaan dadah yang ditemui dalam kuantiti besar, kewujudan alat penimbang, sealer dan plastik-plastik kecil untuk menunjukkan aktiviti pengedaran dadah.
30
Secara keseluruhannya, kes pendakwaan adalah bahawa kelima-lima tertuduh berada bersama-sama di dalam bilik di mana dadah-dadah berbahaya ditemui dalam kuantiti besar, bersama peralatan yang menunjukkan aktiviti pembungkusan atau pengedaran dadah. Pendakwaan juga bergantung kepada kedudukan tertuduh-tertuduh di dalam bilik tersebut, penemuan barang-barang peribadi, serta keterangan berkaitan alamat dan kepenghunian premis untuk membuktikan bahawa kelima-lima tertuduh mempunyai milikan, pengetahuan dan niat bersama untuk mengedar dadah-dadah tersebut. Isu tempat kejadian: Di manakah lokasi kejadian yang sebenar?
31
Dalam kes ini pihak pendakwaan menyatakan bahawa dadah-dadah tersebut telah dijumpai dalam sebuah rumah yang beralamat sebagaimana dinyatakan dalam pertuduhan iaitu di No. 31-A, Jalan Ujong Batu, Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang.
32
Isu alamat tempat kejadian telah dicabar dengan bersungguh-sungguh oleh pihak pembelaan. Ini kerana keterangan SP1 bahawa tempat kejadian adalah No. 294B Ujong Batu, Bagan Dalam, Butterworth. Begitu juga dalam laporan polis dan borang geledah, alamat serbuan dirujuk sebagai No. 294B, Ujong Batu, Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang. Untuk menjelaskan isu alamat ini, pihak pendakwaan telah memanggil saksi-saksi daripada TNB dan Pejabat Tanah, iaitu SP3, SP4, SP6 dan SP7.
33
Melalui keterangan SP3, pihak pendakwaan cuba menunjukkan bahawa akaun TNB bagi alamat No. 31-A adalah atas nama tertuduh pertama, Nhagin a/l Permal. Pendakwaan juga cuba menunjukkan bahawa rumah yang diserbu sebenarnya ialah rumah bernombor 31-A, dan alamat No. 294B tidak wujud. Dalam masa yang sama, keterangan berkaitan bil TNB turut menunjukkan wujudnya bil bagi alamat No. 294B atas nama Santerasagaran a/l Maniam.
34
Mahkamah ini berpendapat bahawa isu alamat tempat kejadian bukan sekadar perkara teknikal, ianya perlulah diperjelaskan dengan sebaiknya tanpa menimbulkan kekeliruan mengenainya. Dalam pertuduhan menyatakan tempat kejadian beralamat nombor 31-A Ujong Batu. Walau bagaimanapun, laporan polis yang dibuat oleh SP1, borang geledah yang disediakannya dan beberapa dokumen awal merujuk kepada alamat di Nombor 294B Ujong Batu.
35
SP5 menyatakan bahawa satu laporan pembetulan berhubung alamat tersebut telah dibuat. Namun laporan pembetulan itu tidak dikemukakan sebagai eksibit. Mahkamah berpendapat kegagalan mengemukakan laporan pembetulan yang dikatakan wujud telah melemahkan usaha Pendakwaan untuk menjelaskan percanggahan alamat tersebut.
36
Keterangan saksi-saksi berhubung bil TNB dan maklumat Pejabat Tanah juga tidak menyelesaikan isu tersebut sepenuhnya. Keterangan SP3 menunjukkan terdapat bil TNB bagi alamat 31-A dan juga bil TNB bagi alamat 294B atas nama individu yang berlainan. Ini menimbulkan persoalan material tentang premis mana yang sebenarnya diserbu dan siapa penghuni sebenar premis tersebut.
37
Dalam kes pengedaran dadah di sebuah premis, alamat dan kepenghunian premis mempunyai hubungan langsung dengan isu akses, kawalan dan milikan. Oleh itu, percanggahan alamat ini memberi kesan kepada pembuktian elemen milikan dan pengetahuan, terutamanya apabila Pendakwaan tidak menutup kemungkinan akses oleh pihak lain.
38
Mahkamah mendapati bahawa satu-satunya keterangan yang mengaitkan mereka dengan dadah yang dirampas adalah bahawa kelima-lima tertuduh berada di dalam bilik semasa serbuan dilakukan, dan dadah tersebut telah ditemui di atas lantai bilik tersebut. Walau bagaimanapun, undang-undang jelas bahawa close proximity semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan milikan tanpa pengetahuan dan kawalan.
39
Mahkamah ini berpandukan kepada keputusan dalam kes Low Thiam Teck v PP [2015] 3 MLJ 134, di mana Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa physical proximity to the drugs per se is insufficient to prove possession without proof of knowledge. Prinsip yang sama juga terpakai dalam kes ini. Siapakah penghuni rumah tempat dadah dijumpai?
40
Bagi membolehkan Mahkamah membuat dapatan mengenai siapakah penghuni rumah tempat dadah dijumpai, pihak pendakwaan terlebih dahulu perlu membuktikan dengan pasti rumah mana yang diserbu sebenarnya. Mahkamah mendapati keterangan SP3 daripada TNB tidak dapat membantu pendakwaan untuk membuktikan bahawa alamat no. 294B tidak wujud. Bukti yang dikemukakan di Mahkamah bahawa terdapat dua bil TNB yang mempunyai dua alamat yang berbeza iaitu No. 31-A atas nama Nhagin a/l Permal (OKT1); dan alamat No. 294B atas nama Santerasagaran a/l Maniam. Mahkamah berpendapat kewujudan dua bil TNB bagi dua alamat berbeza dengan sendirinya melemahkan versi pendakwaan.
41
Isu ini adalah penting untuk dipastikan kerana jika No. 294B mempunyai bil TNB tersendiri atas nama individu lain, maka ia menyokong inferens bahawa alamat No. 294B wujud sebagai alamat berasingan. Oleh itu, pendakwaan gagal membuktikan secara pasti bahawa rumah tempat kejadian ialah rumah yang dihuni oleh OKT1.
42
Penama dalam bil TNB beralamat 294B ialah Santerasagaran a/l Maniam. SP5 juga pernah merakam percakapan beliau, tetapi beliau tidak dipanggil sebagai saksi dan rakaman percakapannya tidak dikemukakan. Mahkamah berpendapat Santerasagaran wajar dipanggil untuk beliau menjelaskan sama ada alamat No. 294B wujud; sama ada beliau merupakan penghuni atau pemilik premis itu; sama ada alamat No.294B itu sama atau berbeza dengan alamat No. 31-A; dan siapa sebenarnya yang mempunyai akses kepada rumah tersebut. Kegagalan memanggil beliau menyebabkan isu penghuni sebenar rumah tempat barang kes dadah dijumpai tidak dijelaskan.
43
Mahkamah juga mendapati tiada dokumen pemilikan, penyewaan, TOL atau dokumen rasmi lain yang membuktikan bahawa rumah tersebut dihuni oleh kelima-lima tertuduh atau mana-mana tertuduh secara eksklusif. Keterangan Pejabat Tanah dan bancian tidak membuktikan secara muktamad siapa penghuni rumah pada tarikh serbuan. Saksi-saksi pendakwaan sendiri tidak dapat memastikan siapa penghuni tetap, siapa pemegang kunci, dan siapa pemilik barang-barang peribadi yang banyak terdapat di dalam rumah.
44
Dalam keadaan terdapat individu lain di rumah semasa serbuan, termasuk tiga warga asing, serta kemungkinan penghuni lain berdasarkan dokumen bancian, Mahkamah mendapati isu kepenghunian sebenar tidak dibuktikan secara selamat. Kegagalan ini memberi kesan langsung kepada pembuktian milikan, kawalan dan pengetahuan terhadap dadah yang dijumpai.
45
SP1 mengakui bahawa beliau tidak melihat kelima-lima Tertuduh masuk ke dalam bilik dan menyusun dadah di atas lantai. Keterangan SP1 hanya menyatakan kelima-lima tertuduh berada dalam jarak yang rapat atau jarak yang dekat dengan dadah bukan dalam keadaan sedang memegang, membungkus, menimbang, menyusun atau mengendalikan dadah. SP1 juga bersetuju bahawa sesiapa yang boleh masuk ke bilik tersebut boleh menyusun dadah di atas lantai.
46
Keterangan SP5 mengesahkan bahawa tiada sesiapa melihat kelima-lima Tertuduh membawa masuk dadah dan meletakkannya di lantai bilik tersebut. Selanjutnya SP5 bersetuju dengan cadangan pembelaan dan mengesahkan bahawa bilik tersebut tidak berkunci dan tiga orang warga asing boleh masuk ke bilik tersebut kerana tiada halangan.
47
Mahkamah mendapati perkara ini adalah material. Jika bilik tidak berkunci dan orang lain mempunyai akses ke bilik tersebut, maka Pendakwaan perlu mengemukakan keterangan tambahan untuk membuktikan bahawa dadah berada di bawah jagaan dan kawalan kelima-lima Tertuduh, to the exclusion of others.
48
Meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, Mahkamah mendapati keterangan yang ada menunjukkan tempat serbuan bukanlah satu ruang yang mudah dikaitkan secara eksklusif kepada kelima-lima Tertuduh. Terdapat banyak barang peribadi di rumah dan di bilik pertama. SP1 dan SP5 tidak dapat mengesahkan pemilik semua barang tersebut. Seperti yang dihuraikan di atas bahawa SP5 tidak dapat memastikan secara tepat siapa penghuni rumah, berapa set kunci yang wujud, dan siapa yang memegang kunci rumah.
49
Semasa pemeriksaan balas, SP1 bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa penyewa dan penghuni rumah yang mempunyai kunci boleh masuk ke dalam rumah dan boleh meletakkan dadah. SP1 juga bersetuju bahawa barang-barang peribadi dalam bilik boleh dikaitkan dengan pemilik barang tersebut, dan pemilik barang tersebut boleh meletakkan dadah dalam bilik itu.
50
Berdasarkan persetujuan SP1 yang tersebut, menunjukkan bahawa SP1 menerima dua kemungkinan material yang menyokong kes pembelaan. Pertama, SP1 mengakui bahawa akses kepada rumah berkenaan tidak terhad kepada tertuduh-tertuduh. Penyewa, penghuni rumah dan mana-mana individu yang mempunyai kunci boleh masuk ke rumah tersebut. SP1 turut menerima kemungkinan bahawa individu-individu berkenaan boleh membawa masuk dan meletakkan dadah di bilik dalam rumah tersebut.
51
Mahkamah berpendapat bahawa persetujuan SP1 atas cadangan pembelaan dengan sendirinya menjejaskan sebarang inferens bahawa dadah tersebut berada dalam milikan atau kawalan tertuduh-tertuduh. Oleh itu, penemuan dadah di dalam rumah tersebut tidak membuktikan bahawa tertuduh-tertuduh mempunyai milikan atau kawalan terhadap dadah tersebut. Kedua, SP1 bersetuju bahawa barang-barang peribadi yang ditemukan di dalam sesuatu bilik boleh dikaitkan dengan pemilik barang tersebut dan pemilik barang berkenaan mungkin meletakkan dadah di dalam bilik tersebut. Oleh itu, kewujudan barang peribadi milik pihak lain menjadi suatu fakta yang relevan kerana ia boleh menunjukkan bahawa bilik tersebut diduduki, digunakan atau berada di bawah kawalan orang lain.
52
Mahkamah juga mendapati wujud kemungkinan yang munasabah bahawa dadah tersebut diletakkan oleh pihak lain. Berdasarkan pengakuan SP1 bahawa penyewa, penghuni atau pemegang kunci boleh meletakkan dadah menunjukkan bahawa kemungkinan penglibatan pihak lain bukan sekadar spekulasi kosong, tetapi suatu kemungkinan yang diterima oleh saksi pendakwaan sendiri.
53
Selanjutnya Mahkamah menegaskan bahawa pemilikan atau penguasaan bilik di mana dadah-dadah dijumpai tidak dikenal pasti secara muktamad. Kewujudan barang peribadi milik individu lain dalam bilik tersebut boleh menjadi petunjuk bahawa individu lain mempunyai hubungan dengan bilik itu. Tanpa keterangan yang jelas, adalah tidak selamat untuk Mahkamah membuat kesimpulan bahawa bilik tersebut berada di bawah kawalan tertuduh-tertuduh. Pengakuan SP1 membuka kemungkinan bahawa orang lain mempunyai akses dan kawalan bilik tersebut, sekali gus melemahkan pembuktian milikan dadah dan kawalan terhadap tempat dadah ditemukan serta mengetahui kewujudan dan sifat dadah tersebut.
54
Sekiranya pihak polis tidak mengenal pasti pemilik barang-barang peribadi, tidak menyiasat penyewa atau penghuni lain, atau tidak menentukan siapa sebenarnya mempunyai kunci dan akses kepada bilik tersebut, Mahkamah percaya kegagalan itu boleh menimbulkan jurang dalam kes pendakwaan.
55
Mahkamah juga mengambil kira bahawa tiga warga asing berada dalam rumah semasa serbuan. Tempat mereka membuat kerja renovasi adalah berhadapan dengan bilik di mana dadah dijumpai. SP5 bersetuju bahawa mereka berada dalam kawasan yang sama dan boleh bergerak dalam kawasan itu tanpa halangan. Pada peringkat awal, mereka juga ditahan sebagai suspek.
56
Dua daripada warga asing tersebut juga dikaitkan dengan kes urin yang mengandungi dadah pada tarikh yang sama. SP1 bersetuju mereka adalah saksi penting. SP5 juga bersetuju bahawa mereka ditahan kerana berada dalam rumah tersebut dan mempunyai akses kepada bilik pertama. Walau bagaimanapun, mereka tidak dipanggil sebagai saksi untuk menafikan milikan atau akses mereka terhadap dadah.
57
Dalam keadaan ini, Mahkamah mendapati wujud inferens munasabah bahawa dadah tersebut boleh diakses atau diletakkan oleh pihak lain yang berada atau mempunyai akses kepada premis dan bilik tersebut. Inferens ini tidak berjaya diketepikan oleh Pendakwaan.
58
Mahkamah juga mengambil kira ketiadaan bukti fizikal yang mengaitkan kelima-lima Tertuduh dengan pengendalian dadah. SP1 mengesahkan tiada kesan dadah dijumpai pada tangan dan pakaian Tertuduh-Tertuduh. SP1 juga bersetuju bahawa seseorang yang sedang mengendalikan dadah lazimnya akan mempunyai kesan dadah pada badan atau tangan. Tiada sarung tangan dijumpai di tempat kejadian.
59
SP5 pula mengesahkan tiada analisis DNA dibuat. Siasatan untuk mengesan cap jari dibuat tetapi keputusannya negatif. Dalam kes yang melibatkan lebih 500 paket dadah, sealer, penimbang digital dan plastik lutsinar, ketiadaan kesan fizikal yang mengaitkan Tertuduh-Tertuduh dengan pengendalian barang kes melemahkan inferens bahawa mereka sedang membungkus atau mengendalikan dadah tersebut.
60
Mahkamah ini tidak mengatakan bahawa kegagalan pengesanan cap jari atau DNA dengan sendirinya meruntuhkan kes Pendakwaan. Namun dalam kes di mana akses pihak ketiga tidak diketepikan dan milikan eksklusif tidak dibuktikan, ketiadaan bukti forensik sedemikian menjadi faktor yang relevan dalam menilai sama ada pengetahuan dan kawalan telah dibuktikan secara prima facie.
61
Mahkamah juga mengambil kira bahawa tiada barang salah dijumpai pada badan kelima-lima Tertuduh, tiada pergelutan, tiada cubaan melarikan diri dan tiada conduct yang jelas menunjukkan guilty knowledge. Keterangan bahawa dadah bernilai tinggi berada terdedah di atas lantai juga menimbulkan persoalan apabila SP1 sendiri bersetuju bahawa tiada siapa akan meninggalkan dadah bernilai kira-kira RM200,000.00 dalam keadaan terbuka.
62
Selain itu, pendakwaan turut mengemukakan keterangan berkaitan dokumen dan barang-barang peribadi yang dikatakan ditemui di dalam bilik tersebut, termasuk dokumen atas nama tertuduh pertama, pakaian-pakaian yang dikatakan milik beberapa tertuduh, serta kad pengenalan dan lesen memandu yang disimpan dalam satu sampul surat. Pendakwaan bergantung kepada keterangan ini untuk mengaitkan tertuduh-tertuduh dengan bilik dan premis di mana dadah ditemui.
63
Mahkamah ini merujuk keputusan dalam kes PP v. Denish a/l Madhavan [2009] 2 CLJ 209 yang mana Mahkamah Persekutuan telah membincangkan maksud perkataan milikan atau ‘possession’ dengan merujuk kepada dapatan dalam kes Chan Pean leon vs PP (1956) 22 MLJ 237. Berpandukan keputusan kedua-dua kes tersebut dan berdasarkan penilaian ke atas keseluruhan fakta di atas, Mahkamah mendapati bahawa Pendakwaan hanya membuktikan kehadiran atau keberadaan yang rapat (close proximity) kelima-lima Tertuduh dengan dadah-dadah yang dirampas. Pendakwaan gagal membuktikan secara selamat bahawa kelima-lima Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan, milikan dan pengetahuan terhadap dadah tersebut.
64
Meneliti kepada Ucapan pembukaan, pihak pendakwaan bergantung kepada anggapan di bawah s. 37(da) ADB 1952 untuk membuktikan elemen pengedaran memandangkan jumlah dan jenis dadah yang banyak dirampas daripada bilik tersebut. Oleh itu, Mahkamah perlu membuat dapatan fakta secara positif mengenai elemen pemilikan sebelum anggapan undang-undang terpakai. Anggapan statutori
65
Dalam kes ini, pihak Pendakwaan bergantung kepada kuantiti dadah yang dirampas untuk membangkitkan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya
1952
Mahkamah menerima bahawa kuantiti dadah yang melebihi had statutori boleh, dalam keadaan yang sesuai, membolehkan Mahkamah membangkitkan anggapan bahawa dadah tersebut adalah bagi maksud pengedaran. Walau bagaimanapun, anggapan tersebut tidak timbul secara automatik dan tidak boleh berdiri secara sendiri. Sebelum anggapan di bawah seksyen 37(da) boleh digunakan, pihak Pendakwaan hendaklah terlebih dahulu membuktikan fakta asas bahawa kelima-lima Tertuduh mempunyai milikan dan pengetahuan terhadap dadah tersebut.
66
Dalam konteks kes ini, Mahkamah mendapati bahawa elemen milikan, kawalan dan pengetahuan tidak dibuktikan secara selamat. Keterangan Pendakwaan hanya menyatakan kelima-lima Tertuduh berada dalam bilik di mana dadah ditemui, tetapi tidak membuktikan bahawa mereka mempunyai kawalan eksklusif terhadap bilik atau dadah tersebut. Mahkamah juga mengambil kira bahawa bilik tersebut tidak berkunci, terdapat individu lain yang mempunyai akses kepada rumah dan bilik tersebut, dan tiada keterangan langsung bahawa mana-mana Tertuduh membawa masuk, menyusun, membungkus, menimbang atau mengendalikan dadah-dadah tersebut. Dalam keadaan ini, cabaran pihak Pembelaan terhadap elemen milikan dan pengetahuan adalah satu cabaran yang kredibel dan menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap fakta asas yang diperlukan sebelum anggapan statutori boleh dibangkitkan.
67
Oleh itu, Mahkamah berpendapat bahawa anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak boleh digunakan terhadap kelima-lima Tertuduh. Begitu juga, apa-apa anggapan berkaitan milikan dan pengetahuan tidak boleh digunakan untuk menampung kelompangan dalam pembuktian Pendakwaan apabila fakta asas berhubung jagaan, kawalan dan akses eksklusif tidak dibuktikan. Tanpa pembuktian milikan dan pengetahuan, anggapan pengedaran tidak boleh dibangkitkan, dan elemen pengedaran terhadap kelima-lima Tertuduh gagal dibuktikan di akhir kes Pendakwaan. Niat bersama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan
68
Ketiga-tiga pertuduhan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Untuk menggunakan seksyen 34 ini, pendakwaan perlu membuktikan bahawa kelima-lima tertuduh bertindak secara bersama, mempunyai tujuan bersama atau memainkan peranan masing-masing dalam pengedaran dadah. Semata-mata kehadiran bersama di tempat kejadian adalah tidak memadai.
69
Mahkamah mendapati tiada keterangan yang menunjukkan pembahagian tugas antara kelima-lima Tertuduh. Tiada keterangan bahawa mana-mana Tertuduh membawa masuk dadah, menyusun dadah, membungkus dadah, menggunakan penimbang digital atau sealer, memberi arahan, menerima arahan, atau bertindak secara concerted dengan Tertuduh lain.
70
Keterangan SP1 dan SP5 hanya menyatakan bahawa kelima-lima tertuduh berada dalam bilik yang sama di mana dadah dijumpai. Mahkamah berpendapat bahawa keterangan itu tidak mencukupi untuk membuktikan “meeting of minds” atau “common intention”.
71
Tiada keterangan berkaitan komunikasi, perbualan telefon, mesej atau bukti forensik digital yang menunjukkan perancangan bersama. SP5 tidak mengemukakan siasatan yang menunjukkan pre-arranged plan antara kelima-lima Tertuduh.
72
Dalam kes Public Prosecutor v Hasbi bin M Kusin & Anor [2008] 7 MLJ 331, Mahkamah menegaskan bahawa common intention memerlukan keterangan mengenai prior concert atau pre-planning to act together. Mahkamah ini menegaskan bahawa prinsip yang sama terpakai dalam kes ini. Kegagalan memanggil saksi material
73
Mahkamah mengambil kira bahawa tiga warga asing yang berada dalam rumah, yang mempunyai akses kepada kawasan dan bilik pertama, tidak dipanggil sebagai saksi Pendakwaan dan tidak ditawarkan sebagai saksi selepas Pendakwaan menutup kes.
74
Mahkamah berpendapat bahawa mereka adalah saksi penting yang boleh menjelaskan kedudukan mereka di dalam rumah tersebut, akses mereka kepada bilik pertama, kerja renovation yang dilakukan, siapa yang menghuni premis tersebut, dan sama ada mereka mengetahui atau mempunyai kaitan dengan barang kes dadah.
75
Mahkamah juga mengambil kira isu Santerasagaran atau Santera yang dikatakan berkait dengan alamat 294B atau rumah tersebut. Keterangan menunjukkan SP5 pernah berjumpa dan merakam percakapan Santerasagaran, tetapi beliau tidak dipanggil sebagai saksi dan percakapannya tidak dikemukakan.
76
Dalam keadaan kes Pendakwaan bergantung kepada akses dan kepenghunian premis, kegagalan memanggil saksi-saksi material tersebut menimbulkan kelompangan dalam kes Pendakwaan kerana keterangan Pendakwaan sendiri membuka kemungkinan akses pihak ketiga kepada bilik dan dadah-dadah yang ditemui. Penilaian keseluruhan
77
Setelah membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan Pendakwaan, Mahkamah mendapati bahawa kes Pendakwaan tidak mencapai tahap prima facie terhadap kelima-lima Tertuduh.
78
Pihak pendakwaan telah membuktikan elemen yang pertama iaitu bahan yang dirampas dan dianalisis oleh ahli kimia adalah sejenis dadah berbahaya. Namun elemen milikan, kawalan dan pengetahuan tidak dibuktikan secara selamat.
79
Keterangan saksi-saksi Pendakwaan gagal menolak kemungkinan yang munasabah bahawa pihak lain juga mempunyai akses kepada premis dan bilik tersebut dan boleh mempunyai kawalan atau milikan terhadap dadah yang dirampas.
80
Mahkamah juga mendapati pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan niat bersama kelima-lima Tertuduh. Tiada keterangan yang menunjukkan tindakan bersama, peranan khusus, perancangan atau persetujuan bersama untuk mengedar dadah.
81
Jika kelima-lima Tertuduh dipanggil membela diri dan memilih untuk berdiam diri, Mahkamah berpendapat bahawa sabitan tidak boleh dibuat secara selamat berdasarkan keterangan Pendakwaan yang ada.
82
Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah mendapati bahawa pihak Pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap kelima-lima Tertuduh bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga. Oleh itu, kelima-lima Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.
83
Mahkamah ini mengaplikasikan ujian sebagaimana yang telah digariskan dalam kes PP v. Mohd Radzi Abu Bakar, iaitu -
a
Pertama, sama ada semua inferens yang munasabah daripada keterangan yang dikemukakan boleh dibuat, dan sekiranya terdapat lebih daripada satu inferens, maka inferens yang paling memihak kepada tertuduh hendaklah dipilih; dan
b
Kedua, sekiranya tertuduh memilih untuk berdiam diri apabila dipanggil membela diri, adakah Mahkamah tetap akan mensabitkan mereka berdasarkan keterangan yang sedia ada?
84
Dalam kes ini, Mahkamah berpendapat bahawa jawapan kepada soalan (b) tersebut adalah "tidak". Ini kerana, berdasarkan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah mendapati banyak inferens yang lebih memihak kepada OKT-OKT, dan tidak ada bukti yang cukup kukuh bagi mengaitkan mereka secara langsung atau tidak langsung dengan pertuduhan yang dihadapi.
85
Tambahan pula, Mahkamah mendapati wujudnya keraguan yang munasabah di mana pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen-elemen penting pertuduhan serta kegagalan untuk menutup jurang dalam keterangan yang telah dikemukakan. Inferens negatif terhadap pihak pendakwaan juga boleh dibuat di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 berikutan kegagalan memanggil saksi penting dan mengemukakan keterangan-keterangan yang relevan.
86
Dengan mengambil kira keseluruhan keterangan dan prinsip undang-undang yang terpakai, Mahkamah berpendapat bahawa adalah tidak selamat untuk memanggil kelima-lima Tertuduh membela diri. Maka, Mahkamah memerintahkan kesemua lima Tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri. Bertarikh: 21 Julai 2026 - sgd - FATHIYAH BINTI IDRIS HAKIM MAHKAMAH TINGGI BUTTERWORTH PULAU PINANG Bagi pihak Pendakwa : Timbalan Pendakwaraya Bagi pihak Pembelaan : Tetuan Hussaini & Co.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.