Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KANGAR DALAM NEGERI PERLIS, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: RA-22NCvC-2-03/2023
RA-22NCvC-2-03/2023
High Court of Malaysia5 Mar 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ther with those of the loan agreement, whether properly or at all. The PA created a relationship of principal and agent as between the Chong brothers and John Voo in which case, the provisions of the Contracts Act 1950 ought to have been duly considered, which the learned judge failed to do. As an agent cloaked with ex”
“36. Dalam kes Kersah La’usin v Sikin Menan [1966] MLJ 20, Hakim Raja Azlan Shah HMT (pada ketika itu) telah menegaskan; “The purchase price was paid, the transfer was executed by both parties before the collector of land revenue and the transfer together”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KANGAR DALAM NEGERI PERLIS, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: RA-22NCvC-2-03/2023
1
ONG POH SUN
2
ONG AI YAN
3
LIAU HOCK BOON (SEBAGAI WARIS KADIM ONG AI BEE, NO. K/P: 631216095004, SIMATI)
4
ONG EOI LI
5
ONG AI TING
6
KHAW CHOON FAN (NO. K/P: 780806095169) DAN ONG POH SOOK (NO. K/P: 560927095013) 07/05/2026 13:55:05 RA-22NCvC-2-03/2023 Kand. 81
1
Kes ini melibatkan satu hartanah yang dikenali sebagai Geran PM 2514, Lot 8824, Mukim Kurong Anai, Padang Talela, Perlis (tanah tersebut) yang telah dipindahmilik kepada defendan oleh pemilik asal iaitu Ong Chiew Kin @ Ong Kin Lim (simati).
2
Plaintif-plaintif (plaintif) memohon agar pindah milik oleh simati kepada defendan dibatalkan manakala tuntutan balas defendan adalah agar kaveat yang dimasukkan oleh plaintif dibatalkan serta merta. Fakta kes
3
Defendan adalah merupakan abang kandung kepada plaintif pertama sehingga kelima dan bapa saudara kepada defendan keenam. Manakala simati adalah merupakan bapa kandung kepada defendan dan plaintif pertama sehingga kelima. Simati meninggal dunia pada 3/12/2018.
4
Tanah tersebut asalnya adalah di atas pemilikan simati dan ia merupakan sebidang tanah pajakan selama 30 tahun yang akan berakhir pada tahun 2037. Terdapat 2 lot di atas tanah tersebut iaitu Lot 149 dan Lot 150. Di atas Lot 150 terdapat sebuah tokong cina yang dijaga dan diuruskan oleh simati semasa hayatnya.
5
Semasa hayat simati, terdapat 2 wasiat telah dibuat berkaitan tanah tersebut iaitu wasiat pertama bertarikh 2/7/2015 dan kemudiannya wasiat mutakhir bertarikh 21/5/2018. Dalam wasiat yang mutakhir, simati antara lain membatalkan wasiat yang pertama dan melantik defendan menguruskan tokong cina di Lot 149.
6
Walaupun terdapat wasiat mutakhir, simati dikatakan berhasrat untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah tersebut. Bagi memudahkan urusan tersebut dan disebabkan usia lanjut simati, maka simati telah pada 26/10/2018 melaksanakan Borang 14A dan Permohonan Kebenaran Pindah Milik untuk memindahkan milik tanah tersebut kepada defendan. Satu Surat Akuan bertarikh 26/10/2018 telah turut dilaksanakan oleh simati di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan atas nasihat peguam iaitu SD4, Surat Akuan kedua telah ditandatangani pada 8/11/2018 untuk mengesahkan nama Ong Chiew Kin yang tercatit atas surat beranak adalah merujuk kepada simati.
7
Pejabat peguam telah meletakkan tarikh 3/12/2018 di atas Borang 14A dan dikemukakan kepada Pejabat LHDN untuk adjudikasi duti setem dan Notis Taksiran Pindah Milik Harta Tanah bertarikh 17/12/2018 dan Sijil Setem bertarikh 7/1/2019.
8
Borang 14A dan dokumen berkaitan telah diserahkan untuk pendaftaran di kaunter Pejabat Tanah pada 11/1/2019. Ia dengan secara rasminya menunjukkan bahawa tanah tersebut telah dipindahmilik kepada defendan pada 11/1/2019.
9
Apabila plaintif pertama mendapat tahu bahawa Lot 8824 telah dipindahmilik kepada defendan, plaintif pertama telah pada 23/1/2019 mendaftarkan suatu kaveat persendirian dengan nombor perserahan 154/2019 ke atas tanah tersebut manakala pada 18/04/2023, plaintif kedua telah mendaftarkan suatu kaveat persendirian dengan nombor perserahan 773/2023 ke atas tanah tersebut.
10
Dalam usahanya untuk membatalkan pindahmilik Lot 8824 tersebut, plaintif pertama telah mendapatkan suatu Geran Mengenal Probet bertarikh 19/04/2019 (yang dikeluarkan pada 24/05/2019) di Mahkamah Tinggi Malaya di Kangar melalui Petisyen No. RA-
11
Setelah plaintif pertama memperolehi Geran Mengenai Probet tersebut, plaintif pertama sebagai wasi bagi wasiat pertama telah pada 20/6/2019 memulakan Guaman Sivil No. RA-22NCVC-6 06/2019 untuk membatalkan pindahmilik Lot 8824 secara hibah kepada defendan.
12
Selepas dari itu, defendan telah pada 13/1/2020 memulakan suatu tindakan undang-undang terhadap plaintif pertama melalui Guaman Sivil No. RA-22NCVC-1-01/2020 untuk membatal dan memansuhkan Geran Mengenai Probet tersebut dengan memohon suatu deklarasi bahawa plaintif pertama bukanlah wasi harta pusaka simati dan suatu deklarasi bahawa segala tindakan plaintif pertama yang dilakukan sebagai wasi harta pusaka simati adalah tidak sah, terbatal dan tidak mengikat harta pusaka simati.
13
Walaubagaimanapun, suatu penghakiman persetujuan telah direkodkan pada 9/9/2021 oleh defendan dan plaintif pertama dalam Guaman Sivil No. RA-22NCVC-1-01/2020 dimana plaintif pertama bersetuju kepada relif-relif yang dipohon terhadapnya.
14
Atas penghakiman persetujuan yang direkodkan tersebut, defendan telah membuat permohonan membatalkan Guaman Sivil No. RA- 22NCvC-6-06/2019 dan telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi. Ini selanjutnya membawa kepada tindakan plaintif ke atas defendan dalam kes ini.
15
Plaintif mendakwa bahawa pindakmilik ke atas tanah tersebut yang ditarikhkan pada 3/12/2018 iaitu pada tarikh simati meninggal dunia adalah tidak sah. Ini kerana simati berada dalam keadaan nazak dan tidak mempunyai keupayaan mental untuk melaksanakan Borang 14A dan malahan telah meninggal dunia.
16
Defendan sebaliknya berpendirian bahawa simati berada dalam keupayaan mental yang baik ketika melaksanakan Borang 14A tersebut serta dokumen-dokumen pindahmilik yang diperlukan. Tiada sebarang unsur frod yang dapat dibuktikan dan oleh itu, berdasarkan kepada Seksyen 340 Kanun Tanah Negara [Akta 828] maka ia adalah bukti hakmilik defendan tidak boleh disangkal (rujuk; Datuk Joginder Singh v Tara Rajaratnam [1983] 2 MLJ 196).
17
Pihak-pihak secara amnya telah bersetuju di akhir kes bahawa isu yang perlu diputuskan adalah sama ada dokumen pindahmilik iaitu Borang 14A sepertimana di muka surat 62 sehingga 65 dan muka surat 80 sehingga 83 Ikatan Dokumen Bersama telah diperturunkan cap jari oleh simati dengan kapasiti mental yang diperlukan di sisi undang-undang.
18
Kedua-dua pihak secara amnya bersetuju bahawa jika ianya diperturunkan secara sah, maka pindahmilik tersebut adalah sah di sisi undang-undang dan jika sebaliknya, maka wasiat mutakhir hendaklah dikuatkuasakan. Analisis dan dapatan mahkamah Sama ada Borang 14A dan dokumen-dokumen berkaitan dilaksanakan oleh simati
19
Keterangan oleh saksi-saksi defendan secara khususnya SD4 yang merupakan peguam yang menyediakan Borang 14A dan dokumen-dokumen yang berkaitan menunjukkan bahawa ianya disediakan pada 26/10/2018. SD4 dalam keterangannya telah menasihati simati dalam transaksi tersebut dengan memberi keterangan yang jelas serta meyakinkan sebelum melaksanakan Borang 14A tersebut. Malahan SD4 telah bertemu dengan simati dalam kereta di kawasan parkir di pejabatnya memandangkan simati menghadapi kesukaran untuk naik tangga ke pejabatnya.
20
Menurut SD4 simati cukup faham dengan penerangan yang diberikan olehnya dan telah menurunkan cap jarinya di hadapan SD4. Berlanjutan dengan itu, simati telah turut melaksanakan satu Surat Akuan di hadapan seorang pesuruhjaya sumpah untuk mengesahkan persetujuannya dan ini turut disaksikan oleh SD4.
21
Mahkamah telah menilai keterangan SD4 dan mendapati bahawa SD4 adalah merupakan seorang peguam dan semestinyalah tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam pertikaian antara plaintif dan defendan. SD4 pada pandangan mahkamah adalah menjalankan tugas professionalnya sebagai seorang peguam. Keterangan SD4 sama ada di peringkat pemeriksaan utama, balas atau semula adalah kukuh dan tidak bercanggahan. Malahan semasa diperiksa balas pun, SD4 masih dapat memberikan jawapan yang pada pandangan mahkamah adalah jujur dan mewajarkan mahkamah ini membuat rumusan bahawa SD4 adalah seorang saksi yang berkredibel.
22
Keterangan SD4 menjelaskan bahawa walaupun Borang 14A tersebut adalah ditarikhkan pada 3/12/2018, namun ia telah dilaksanakan di hadapannya pada 26/10/2018. Dengan kata yang lain, ianya dibuat secara escrow iaitu ianya tidak ditarikhkan pada tarikh ianya diperturunkan cap jari namun pada tarikh ianya didaftarkan di Pejabat Tanah. Ini memandangkan terdapat beberapa dokumen yang belum tersedia bagi membolehkan ianya didaftarkan seperti adjudikasi duti setem.
23
Dalam kes Sykt Hing Lee Fishing (Sabah) Sdn Bhd v Lin Yun Thai & ors [2019] 4 MLJ 511, Mahkamah Rayuan berhadapan dengan isu sama ada pemindahan tanah yang berlaku adalah berdasarkan kepada satu frod memandangkan memorandum pindahan telah ditandatangani secara escrow. Mahkamah Rayuan telah memutuskan seperti berikut; “[103] Having examined the PA, we can also safely conclude that the learned judge has taken an erroneous construction of the terms of the PA, and has also failed to examine the terms of the PA together with those of the loan agreement, whether properly or at all. The PA created a relationship of principal and agent as between the Chong brothers and John Voo in which case, the provisions of the Contracts Act 1950 ought to have been duly considered, which the learned judge failed to do. As an agent cloaked with express powers as found in the PA and armed with the documents of title to the said land, we agree with the submissions of the appellant that the entry into the loan agreement and the signing of the memorandum of transfer in escrow cannot amount to fraud.” [penekanan ditegaskan]
24
Menggunakan pendekatan yang sama, mahkamah berpandangan dan merumuskan bahawa tiada apa-apa yang menghalang SD4 secara perundangannya untuk melaksanakan Borang14A dan dokumen-dokumen tersebut secara escrow. Oleh yang demikian Borang 14A tersebut dan dokumen-dokumen yang telah diperturunkan cap jari oleh simati adalah sah dan boleh dikuatkuasakan. Sama ada simati mempunyai kapasiti mental yang diperlukan di sisi undang-undang
25
Isu selanjutnya adalah berkenaan kapasiti mental simati yang didakwa oleh plaintif sebagai berada dalam keadaan nazak dan tidak mencukupi di sisi undang-undang untuk melaksanakan Borang 14A dan dokumen-dokumen pindah milik yang lain. Sepertimana yang mahkamah telah ulas di perenggan-perenggan di atas, keterangan SD4 jelas menunjukkan bahawa SD4 telah bertemu dengan simati dan memastikan simati memahami kandungan dokumen-dokumen yang akan ditandatanganinya.
26
Penelitian mahkamah ke atas keterangan SD4 mendapati bahawa keterangan SD4 berkaitan kapasiti mental simati tidak berjaya dicabar oleh pemeriksaan balas peguam plaintif. Malahan tiada sebarang keterangan sama ada melalui laporan perubatan dikemukakan oleh plaintif bagi mencabar status kapasiti mental simati.
27
Sebaliknya keterangan saksi plaintif iaitu SP6 bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan kepadanya bahawa simati mempunyai keupayaan mental untuk memindahmilik tanah tersebut dan melaksanakan borang pindahmilik serta surat akuan pada 26/10/2018.
28
Keterangan-keterangan bahawa Borang 14A dan Borang Permohonan Kebenaran Pindah Milik serta Surat Akuan yang ditandatangani pada 26/10/2018 disokong oleh satu lagi Surat Akuan pada 8/11/2018 yang ditandatangani di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah. Bagi mahkamah ia sama sekali menunjukkan bahawa simati pada ketika itu mempunyai kepasiti mental bagi melaksanakan dokumen-dokumen tersebut. Tidak mungkin SD4 sebagai seorang peguam dan kemudiannya seorang pesuruhjaya sumpah akan membenarkan simati untuk menurunkan cap jarinya jika simati tidak mempunyai kapasiti mental yang sewajarnya.
29
Mahkamah turut menimbang perlaksaan wasiat mutakhir simati melalui keterangan oleh SD1 dan SD2 yang merupakan peguam-peguam yang menyediakan wasiat tersebut. Keterangan kedua-dua saksi ini disokong melalui rakaman video serta transkripsi yang dikemukakan. Melalui penelitian mahkamah ke atas keterangan-keterangan ini, mahkamah mendapati bahawa pada tarikh wasiat mutakhir disediakan iaitu pada 21/5/2018, jelas menunjukkan bahawa simati berada dalam kesihatan yang baik dan mempunyai kapasiti mental dalam memberikan wasiat mutakhir tersebut.
30
Berkaitan penggunaan Bahasa Melayu dalam wasiat mutakhir, mahkamah berpandangan bahawa simati bukanlah seorang yang tidak boleh bercakap Bahasa Melayu. Hal ini merupakan suatu fakta yang boleh mahkamah simpulkan setelah meneliti keterangan yang telah diberikan sewaktu pemeriksaan balas terhadap SP2 dan SD4.
31
SP2 sewaktu disoal balas telah menyatakan bahawa simati faham Bahasa Melayu biasa manakala SD4 pula menyatakan bahawa simati bercakap menggunakan Bahasa Melayu dengan jelas dan dapat difahami oleh SD4 sewaktu hadir di pejabat SD4 tersebut.
32
Secara keseluruhannya, mahkamah telah menyelusuri keterangan saksi-saksi plaintif secara khususnya SP1 yang sewaktu di soal balas telah menyatakan bahawa simati tidak nazak ataupun sakit sehinggalah pada bulan Disember 2018. Manakala SP2 pula dengan jelas memberi keterangan bahawa beliau bersetuju bahawa simati mempunyai kapasiti mental untuk memindahmilik tanah tersebut kepada defendan dengan melaksanakan Borang 14A dan dokumen-dokumen berkaitan pada 26/10/2026. Keterangan ini turut disokong dengan fakta bahawa plaintif tidak dapat mengemukakan sebarang laporan perubatan yang menunjukkan bahawa simati berada dalam keadaan nazak dan tidak sihat.
33
Mahkamah telah membandingkan keterangan plaintif dengan keterangan-keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak defendan dan mahkamah tidak teragak-agak dalam merumuskan bahawa tiada sekelumit pun keterangan bagi menyokong dakwaan pihak plaintif bahawa simati tidak mempunyai kapasiti mental yang baik semasa dokumen-dokumen pindahmilik dilaksanakan oleh simati. Sama ada tarikh pindah milik tanah tersebut selepas tarikh kematian simati menjejaskan keabsahan pindah milik
34
Peguam plaintif turut membangkitkan isu berkenaan keabsahan instrumen pindah milik yang didaftarkan selepas pemilik meninggal dunia. Adalah menjadi hujahan plaintif bahawa pindah milik tersebut tidak sah memandangkan pemilik sebenar telah meninggal dunia.
35
Mahkamah walaubagaimanapun berpandangan bahawa hujahan peguam tersebut adalah tersasar dan ia bertentangan dengan kehendak Seksyen 292(4) Akta 828 yang menyatakan; “(4) The death of any person by or on behalf of whom any instrument of dealing has been executed shall not affect the validity thereof, and any such instrument may, accordingly, be presented for registration under this Part as if the death had not occurred.”
36
Dalam kes Kersah La’usin v Sikin Menan [1966] MLJ 20, Hakim Raja Azlan Shah HMT (pada ketika itu) telah menegaskan; “The purchase price was paid, the transfer was executed by both parties before the collector of land revenue and the transfer together with the document of title was handed by the vendor to the purchaser. The transfer was not presented for registration until some six months after the vendor's death. It was held that the death of the vendor did not avoid the contract; the legal personal representative of such deceased person was trustee for the purchaser who, subject to the terms of the contract and in the absence of fraud, misrepresentation or mistake, was entitled to the land and to possession.”
37
Borang 14A yang telah dilaksanakan oleh simati dan defendan seumpama suatu dokumen atau kontrak yang menunjukkan persetujuan simati semasa hayatnya untuk memindahmilik tanah tersebut kepada defendan. Niat dan persetujuan simati untuk memindahmilik tanah tersebut tidak terjejas akibat kematiannya. Seksyen 292(4) Akta 828 memberi kesan kepada niat dan persetujuan simati melalui Borang 14A dengan membenarkan pendaftarannya.
38
Sehubungan dengan itu, mahkamah merumuskan bahawa walaupun pendaftaran pindahmilik tu dibuat setelah simati meninggal dunia, pendaftaran tersebut masih lagi sah dan boleh dikuatkuasakan. Sama ada konsep hibah dalam undang-undang Islam adalah terpakai
39
Peguamcara plaintif menghujahkan bahawa penggunaan perkataan hibah pada borang pindah milik bermaksud bahawa konsep hibah dalam undang-undang Syariah berkaitan hibah adalah terpakai. Peguamcara plaintif merujuk kepada artikel bertajuk Property Management in Islam: The Gift (Hibah) Perspective in al Umm written by Imam al-Syafi’i dan Wasiat dan Hibah: Hukum dan Prosedur oleh Dr Akmal Hidayah binti Halim.
40
Menurut peguamcara plaintif, konsep Hibah di dalam Islam mempunyai rukun-rukun tersendiri yang terdiri daripada Pemberi Hibah (al-wahib), Penerima Hibah (al-mauhub lahu), benda yang dihibahkan (al-mauhub) dan penawaran serta penerimaan atau ijab dan qabul (sighah). Dalam konsep hibah mengikut undang-undang syariah, pemberian hibah harus lah memenuhi keempat-empat rukun hibah yang disebutkan.
41
Walaupun kesemua pihak dalam kes adalah bukan muslim, peguamcara plaintif menekankan bahawa konsep tersebut diterima juga oleh sebahagian bukan muslim. Sehubungan itu, ia sepatutnya terpakai dan memandangkan ianya tidak dipatuhi, maka pindahmilik oleh simati kepada defendan adalah tidak berlaku.
42
Mahkamah mendapati bahawa hujahan peguamcara plaintif adalah tersasar sama sekali. Jika diteliti, tiada mana-mana dalam dokumen pindah milik tersebut menyatakan bahawa hibah yang dirujuk dalam Borang 14A tersebut yang dieja sebagai “HEBAH” adalah bermaksud hibah sepertimana yang diamalkan dalam syariat Islam. Oleh itu, ia sepatutnya diberi maksud secara harfiah dalam erti kata Bahasa Melayu.
43
Kamus Dewan dan Bahawa dalam talian (https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=hibah) telah menafsirkan hibah sebagai “pemberian hak (harta) secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik; menghibahkan memberikan (pada masa si pemberi masih hidup): ia telah hibah tanah itu kepada sahabatnya selagi ia hidup; penghibahan perbuatan memberikan”.
44
Ternyata istilah ini secara harfiahnya bermaksud hak simati untuk memberikan tanah tersebut yang merupakan miliknya yang sah kepada defendan semasa simati masih lagi hidup. Ia tidak mengaitkan dengan sisitem yang diamalkan dalam syariat Islam semata-mata.
45
Dengan kata lain, pindahmilik secara hibah itu bukanlah pindahmilik yang eksklusif hanya bagi orang-orang yang beragama Islam mengikut undang-undang syariah semata-mata. Orang-orang yang bukan beragama Islam pun boleh dan berhak memindah milik hartanah secara hibah iaitu sebagai pemberian hadiah melalui kasih sayang (inter vivos gift). Manakala bagi orang-orang yang bukan beragama Islam, pindah milik secara hibah adalah tertakluk kepada undang-undang sivil dan bukannya undang-undang syariah.
46
Hal ini dapat dilihat melalui keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Latifah Mat Zain v Rosmawati Sharibun & Anor [2007] 5 CLJ 253 yang telah mengenalpasti bahawa adanya undang-undang sivil dan undang-undang syariah yang terpakai kepada inter vivos gift ini. “[6] In the Court of Appeal, it was argued by the learned counsel for the appellant that the applicable law was the Federal law of banking and contract This argument was rejected by the court. It held that the applicable law was the law of gifts, not the law of banking or contract The question would then be whether the applicable law in this case is the civil law of gifts inter vivos or the Islamic law of gifts inter vivos or "hibah"”.
47
Apatah lagi dalam kes ini, ia sama sekali melibatkan bukan muslim dan ketiadaan sebarang petunjuk bahawa hibah yang dimaksudkan adalah sepertimana yang terpakai dalam syariat islam, maka sudah pasti ia merujuk dan bermaksud hibah dalam konteks undang-undang sivil.
48
Apatah lagi jika ia sebenarnya melibatkan hibah dalam konteks undang-undang Syariah, maka ia hanya layak dibicarakan di Mahkamah Syariah sepertimana yang telah diulas oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Latifah Mat Zain (supra) seperti berikut; “[49] Until the problem is solved by the legislature, it appears that the only way out now is, if in a case in the civil court, an Islamic law issue arises, which is within the jurisdiction of the syariah court, the party raising the issue should file a case in the syariah court solely for the determination of that issue and the decision of the syariah court on that issue should then be applied by the civil court in the determination of the case. But, this is only possible if both parties are Muslims. If one of the parties is not a Muslim such an application to the syariah court cannot be made. If the non-Muslim party is the would-be plaintiff, he is unable even to commence proceedings in the syariah court. If the non-Muslim party is the would-be defendant, he would not be able to appear to put up his defence. The problem persists. Similarly, if in a case in the syariah court, a civil law issue eg, land law or companies law arises, the party raising the issue should file a case in the civil court for the determination of that issue which decision should be applied by the syariah court in deciding the case.”
49
Namun Mahkamah Syariah hanya layak dirujuk oleh orang Muslim untuk diputuskan. Namun seperti yang dinyatakan, kes ini melibatkan pihak-pihak bukan Muslim dan oleh itu ia mustahil boleh dirujuk ke Mahkamah Syariah. Oleh itu ia pastinyalah perkataan hibah tersebut merujuk kepada makna hibah yang biasa iaitu suatu pemberian oleh simati kepada defendan.
50
Berdasarkan analisis maksimum mahkamah ke atas keterangan-keterangan yang dikemukakan, mahkamah merumuskan bahawa di atas imbangan keberangkalian, plaintif gagal membuktikan kesnya dan sebaliknya tuntutan balas defendan adalah di atas imbangan kebarangkalian telah dibuktikan.
51
Sehubungan dengan itu, tuntutan plaintif adalah ditolak dan mahkamah membenarkan tuntutan balas defendan. Mahkamah memerintahkan seperti berikut: a) bahawa kaveat persendirian dengan nombor perserahan 154/2019 yang didaftarkan oleh Plaintif Pertama pada 23/1/2019 ke atas tanah tersebut dikeluarkan dan/atau dibatalkan oleh Pentadbir Tanah/Pendaftar Hakmilik; b) bahawa kaveat persendirian dengan nombor perserahan 773/2023 yang didaftarkan oleh Plaintif Kedua pada 18/4/2023 ke atas tanah tersebut dikeluarkan dan/atau dibatalkan oleh Pentadbir Tanah/Pendaftar Hakmilik; c) bahawa plaintif atau ejen atau wakil dihalang untuk memasukkan apa-apa kaveat persendirian ke atas tanah tersebut; dan d) Kos kepada defendan sebanyak RM30,000.00 tertakluk kepada fi alokatur. Bertarikh: 7hb. Mei 2026 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kangar, PERLIS Pihak-Pihak: Bagi pihak Plaintif Pertama hingga Plaintif Keenam: Khaw Choon Fan (Plaintif Keenam) hadir sendiri mewakili Plaintif-Plaintif dan bagi pihak peguam Plaintif-Plaintif Tetuan Jamil Mohamed Shafie & Associates Peguambela dan Peguamcara No. 5A, Taman Wira Off Jalan Suka Menanti 05350 Alor Setar Kedah Darul Aman Bagi pihak Defendan: Ang Khoon Cheang bersama Noorlaini Binti Aziz Tetuan C.P Ang & Company Peguambela dan Peguamcara No. 18, Lebuh Kampung Benggali 12000 Butterworth Pulau Pinang Tarikh Keputusan: 5hb Mac 2026 Undang-Undang Yang Dirujuk: Kanun Tanah Negara Kes-Kes Yang Dirujuk: Datuk Joginder Singh v Tara Rajaratnam [1983] 2 MLJ 196) Sykt Hing Lee Fishing (Sabah) Sdn Bhd v Lin Yun Thai & ors [2019] 4 MLJ 511 Kersah La’usin v Sikin Menan [1966] MLJ 20 Latifah Mat Zain v Rosmawati Sharibun & Anor [2007] 5 CLJ 253 Rujukan Lain : Artikel : Property Management in Islam : The Gift (Hibah) Perspective in al UMM written by Imam Al-syafi’I oleh Dr. Hidayah binti Halim Artikel ; Wasiat dan Hibah : Hukum dan Prosedur oleh Dr. Hidayah binti Halim Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka dalam talian (https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=hibah)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.