Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45SOM-1-07/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA
KA-45SOM-1-07/2025
High Court of Malaysia4 Nov 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“n hukuman bersifat deteren adalah pertimbangan utama dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, sebagaimana yang dijelaskan oleh Hakim Hashim Yeop Sani dalam kes Public Prosecutor v. Loo Choon Fatt [1976] CLJU 102; [1976] 2 MLJ 256 seperti berikut; “One of the main considerations in the assessment of sentence is of c”
“awa ianya lebih bersifat peribadi tertuduh. Mahkamah tidak mendapati alasan-alasan peringanan tertuduh bersifat istimewa sepertimana yang pernah ditegaskan dalam kes Public Prosecutor v. Teh Ah Cheng [1976] CLJU 116; [1976] 2 MLJ 186 seperti berikut; “... The respondent also puts forward in his plea in mitigation the f”
“uman yang wajar dikenakan lebih-lebih lagi sekiranya kepentingan awam menuntut hukuman yang deteren. Ini telah dibincangkan dalam banyak nas-nas duluan seperti Raja Izzuddin Shah v. Public Prosecutor [1978] CLJU 165; [1979] 1 MLJ 270, Zaidon bin Shariff v. Public Prosecutor [1996] 4 CLJ 441; [1996] MLJU 159, Ismail bin”
“eteren. Ini telah dibincangkan dalam banyak nas-nas duluan seperti Raja Izzuddin Shah v. Public Prosecutor [1978] CLJU 165; [1979] 1 MLJ 270, Zaidon bin Shariff v. Public Prosecutor [1996] 4 CLJ 441; [1996] MLJU 159, Ismail bin Rasid v. Pendakwa Raya [1999] 4 CLJ 402; [1999] MLJU 446, Public Prosecutor v. Md Rashid Har”
“ja Izzuddin Shah v. Public Prosecutor [1978] CLJU 165; [1979] 1 MLJ 270, Zaidon bin Shariff v. Public Prosecutor [1996] 4 CLJ 441; [1996] MLJU 159, Ismail bin Rasid v. Pendakwa Raya [1999] 4 CLJ 402; [1999] MLJU 446, Public Prosecutor v. Md Rashid Harun [2000] 3 CLJ 832; [2000] 3 MLJ 503 dan Kesavan a/l Baskaran v. Pub”
“4. Mahkamah Rayuan PP v Siprianus Nahak Lutan dan Satu lagi [2025] MLJU 690 Tarikh keputusan Mahkamah Rayuan: 25/2/2025 Tarikh Kesalahan: 30/6/2023 Mengaku bersalah. 35 migran MT: 4 tahun 6 bulan penjara MR: 9 tahun penjara dtt (8/7/2023)”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI ALOR SETAR DALAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN PERBICARAAN JENAYAH NO: KA-45SOM-1-07/2025 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
PRATHAN A/L AH WIN
2
MOHD ROSZAIMI BIN MOHD ROOS (NO. K/P: 831214-09-5007)
1
Tertuduh dalam kes ini telah dituduh bersama-sama seorang lagi tertuduh (tertuduh kedua) bagi satu kesalahan di bawah seksyen 26A Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 670) dan dibacakan bersama-sama seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana telah menjalankan penyeludupan 6 orang migran warganegara Myanmar.
2
Hanya tertuduh telah mengaku salah ke atas pertuduhan tersebut manakala tertuduh kedua telah pohon bicara. Tertuduh telah dihukum penjara selama 8 tahun dari tarikh tangkap manakala kereta Proton Inspira bernombor pendaftaran AJC 4411 dilucuthakkan kepada kerajaan selaras dengan seksyen 36(2) Akta 670.
3
Tertuduh tidak berpuas hati ke atas hukuman yang dijatuhkan dan kini merayu ke atas hukuman tersebut. Latar belakang kes
4
Pada 4/11/2025, pertuduhan telah dibacakan kepada tertuduh buat kali kedua selepas kali pertama ianya dibacakan dan diterangkan kepada tertuduh pada 23/9/2025. Dalam kedua-dua tarikh, tertuduh mengaku memahami pertuduhan dan memilih untuk mengaku salah. Mahkamah turut memastikan bahawa tertuduh faham sebab dan akibat ke atas pengakuan salah tersebut dengan memastikan bahawa tertuduh memahami hukuman yang boleh dikenakan ke atasnya.
5
Selanjutnya Fakta Kes (P5) telah dikemukakan oleh pihak Pendakwa Raya (PR) yang kemudiannya telah dibaca dan diterangkan kepada tertuduh. P5 telah diakui oleh tertuduh.
6
Pihak PR selanjutnya telah mengemukakan ekshibit-ekshibit seperti berikut: a) Laporan Polis Padang Besar 1143/25 – P6; b) Laporan Polis Padang Besar 1201/25 – P7; c) Laporan Polis Padang Besar 1233/25 – P8; d) Laporan Polis Padang besar 1393/25 – P9; e) Laporan Polis Naka 436/25 – P10; f) 2 Borang Bongkar - P11(1) dan P11(2); g) 5 keping gambar tempat kejadian – P12 (1-5); h) 4 keping gambar kereta AJC 4411 – P13 (1-4); i) kereta Proton Inspira no AJC 4411 (sekarang berada di stor IPD Padang Besar dan dicamkan melalui gambar) – P14; j) 1 keping gambar CCTV di Plaza Tol Hutan Kampung – P15; k) pengesahan Jabatan Imigresen Malaysia berkaitan Rekod Pergerakan Keluar Masuk 6 orang migran dan seksyen 90A Akta Keterangan 1950 (Akta 56) – P16 dan P16A; l) 1 beg plastik barang kes PDRM No. Pendaftaran ER(SB)1/25 masih berseal dengan baik – P17; dan m) P17 dibuka dan di dalamya mengandungi : pertamanya, 1 sampul barang kes PDRM tanpa tandaan dan masih berseal (P18) dan di dalamnya terdapat 2 kunci kereta iaitu satu kunci berkawalan jauh bertanda H2 (P19) dan 1 kunci berserta alat kawalan jauh bertanda A1 (ID20 – tertakluk kepada tandaan semula semasa perbicaraan ke atas OKT2); dan keduanya, 1 sampul surat putih tertulis PRATHAN(B8) (P21) dan di dalamnya terdapat 1 kad pengenalan tertuduh (P22), 1 kad TnG bertanda H4 (P23), 1 kad Watson bertanda H5 (P24), 1 telefon bimbit bertanda H6 (P25) dan 1 anak kunci bertanda H8 (P26).
7
Ekshibit-ekshibit yang berkaitan telah ditunjukkan kepada tertuduh dan ianya diakui oleh tertuduh.
8
Berdasarkan kepada pengakuan salah tertuduh ke atas pertuduhan, serta pengakuan tertuduh ke atas P5 serta ekshibit-ekshibit yang berkaitan, mahkamah berpuas hati bahawa pengakuan salah tertuduh adalah dibuat di atas kerelaan tertuduh yang memahami sifat serta akibat ke atas pengakuan salahnya. Mahkamah selanjutnya telah mensabitkan tertuduh bagi kesalahan di bawah seksyen 26A Akta 670 yang dibaca dengan seksyen 34 Akta 574. Fakta kes (P5)
9
Fakta kes yang diakui oleh tertuduh mendedahkan seperti berikut: a) pada 3/3/2025, jam lebih kurang 11.40 malam, pengadu iaitu ASP Mohamad Akmal bin Mohamad Nordin bersama sepasukan Cawangan Khas IPK Perlis dan Pasukan Risik PGA BN 2 telah menjalankan tugas Op Wawasan di kawasan Chuping, Padang Besar, Perlis. Semasa menjalankan tugas di kawasan Chuping, pengadu telah menerima panggilan telefon daripada anggotanya iaitu Kpl/D Fakrul Hakim bin Mohd Suhaimi yang memaklumkan terdapat sebuah kereta warna biru jenis Naza Kia No. Pendaftaran BKB 6277 dipercayai sedang membawa beberapa orang lelaki dan perempuan bukan warganegara Malaysia melarikan diri menghala ke Lebuhraya Arau-Changloon apabila cuba ditahan olehnya; b) pengadu mengarahkan Kpl/D Fakrul Hakim bin Mohd Suhaimi dan Kpl/D Lawrence Jumun untuk terus mengekori kereta tersebut. Pengadu seterusnya turut sama bergegas ke lokasi yang dilaporkan serta menghantar pasukan bantuan. Pengadu dan pasukan terus mengekori kereta tersebut dan memotong serta menahan kereta tersebut di Plaza Tol Hutan Kampung; c) setelah memperkenalkan diri sebagai polis, pengadu mengarahkan pemandu kereta tersebut keluar namun beliau enggan. Pengadu terpaksa memecahkan tingkap sebelah penumpang hadapan untuk memaksa pemandu kereta tersebut keluar. Setelah tingkap kereta pecah, barulah pemandu kereta tersebut keluar. Pengadu mengarahkan pasukan untuk membuat pemeriksaan terhadap kereta tersebut dan mendapati pemandu kereta warna biru jenis Naza Kia No. Pendaftaran BKB 6277 tersebut merupakan 1 lelaki warganegara Malaysia, 3 lelaki dan 3 perempuan migran warganegara Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah berada di bahagian penumpang belakang kereta. 3 lelaki migran warganegara Myanmar tersebut adalah Phyoe Maung- Maung, Ye Khaung Kyaw Yo dan Than Kyaw Soe. Manakala 3 perempuan migran warganegara Myanmar tersebut adalah Win Hlaing, Oo Thein Yin dan Thizi Kyaw. Rampasan dan tangkapan telah dibuat oleh pengadu. Pengadu telah membuat laporan polis iaitu Padang Besar 1143/25; d) semasa kejadian, pemandu kereta warna biru jenis Naza Kia No. Pendaftaran BKB 6277 telah dibantu oleh Prathan a/l Ah Win iaitu tertuduh untuk menyeludup 6 orang migran warganegara Myanmar tersebut. Tertuduh dengan memandu kereta Proton Inspira berwarna Coklat No. Pendaftaran AJC 4411 telah membantu pemandu kereta warna biru jenis Naza Kia No. Pendaftaran BKB 6277 dengan cara meninjau laluan yang akan digunakan oleh pemandu kereta warna biru jenis Naza Kia No. Pendaftaran BKB 6277 terlebih dahulu dan pastikan ia selamat untuk pemandu kereta warna biru jenis Naza Kia No. Pendaftaran BKB 6277 menyeludup 6 orang migran warganegara Myanmar tersebut. Pada hari kejadian, apabila pemandu kereta warna biru jenis Naza Kia No. Pendaftaran BKB 6277 menyedari dirinya diekori polis, tertuduh telah meminta pemandu kereta warna biru jenis Naza Kia No. Pendaftaran BKB 6277 memindahkan 6 orang warganegara Myanmar tersebut ke dalam keretanya selepas Plaza Tol Hutan Kampung untuk mengaburi polis namun tidak sempat. Apabila tertuduh lihat pemandu kereta warna biru jenis Naza Kia No. Pendaftaran BKB 6277 ditahan polis, tertuduh terus bergerak pulang ke rumahnya; dan e) pada 12/3/2025 jam lebih kurang 7.00 petang, Insp. Ahmad Al Hafiz bin Rosli dan sepasukan anggota Cawanga Khas IPK Perlis telah ke rumah beralamat No. 7, Kampung Lampam, Jalan Naka, 06350 Alor Setar, Kedah. Sampai di alamat tersebut, Insp. Ahmad Al Hafiz telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kepada seorang lelaki bernama Prathan a/l Ah Win iaitu tertuduh. Insp. Ahmad Al Hafiz telah membuat tangkapan terhadap tertuduh kerana terlibat dalam melakukan kesalahan melibatkan Akta 670. Tangkapan dan rampasan dibuat sepertimana laporan polis Naka 436/25. Hujahan mitigasi tertuduh
10
Tertuduh yang tidak diwakili, telah merayu satu hukuman yang ringan dikenakan ke atasnya dengan menyatakan faktor-faktor berikut: a) tertuduh kini berumur 42 tahun; b) tertuduh telah berkahwin namun belum mempunyai zuriat; c) tertuduh tinggal di Kampung Lamdin di Jalan Naka, Kedah; d) tertuduh bekerja kampung sahaja dengan pendapatan dalam RM2,000.00; e) tertuduh turut menyatakan kekesalannya dan berjanji tidak mengulangi kesilapan yang sama; dan f) perbuatan ini dilakukan hanya semata-mata untuk manambah pendapatannya. Hujahan pemberatan hukuman PR
11
Puan TPR dalam hujahan pemberatan hukuman, telah menghujahkan seperti berikut: a) mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya untuk mencerminkan pemeliharaan kepentingan awam yang mengatasi kepentingan tertuduh agar dapat menjamin keharmonian negara; b) hukuman yang sewajarnya dapat memberikan kesan pencegahan dan menjadi tauladan kepada anggota masyarakat yang lain untuk tidak terdorong melakukan kesalahan jenayah yang sama. Secara khusus, hukuman tersebut juga dapat memberikan peringatan kepada tertuduh sendiri agar tidak mengulangi kesalahan tersebut di masa hadapan; c) kekerapan berlakunya kesalahan ini telah menjejaskan nama baik negara kerana telah dianggap sebagai pusat bagi menjalankan aktiviti penyeludupan migran. Sekiranya aktiviti haram ini tidak dibendung, kemungkinan besar, Malaysia akan menjadi destinasi popular sebagai negara transit bagi aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan migran; d) seterusnya, limpahan migran yang datang ke negara ini dengan tujuan masing-masing sehingga ke suatu tahap di mana terdapat migran yang melanggari undang-undang di negara ini. Akibatnya, ia telah menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini dan telah menggugat keharmonian negara; dan e) kebanjiran pendatang asing tanpa izin turut membawa kesan buruk kepada keselamatan negara, ketenteraman awam, ekonomi negara dan peningkatan jenayah serius.
12
Dalam hujahannya, Puan TPR turut mengemukakan kes-kes duluan bagi menunjukkan trend hukuman bagi kesalahan yang sama seperti berikut: BIL PERKARA STATUS
1
Mahkamah Persekutuan Ardi v PP (05(L)-235-10/2018(B)) Tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan: 26/6/2019 Tarikh Kesalahan: 19/11/2016 Mengaku bersalah. 25 migran MT: 3 tahun penjara + RM20,000 denda (i/d: 1 tahun penjara) MR: 10 tahun penjara MP: Kekalkan keputusan MR
2
Mahkamah Persekutuan Herman v PP (NO: 05(L)-156-11/2024(B)) Tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan: 15/10/2025 Tarikh Kesalahan: 19/10/2023 Mengaku bersalah. 25 migran MT: 4 tahun penjara dtt MR: 8 tahun penjara MP: Kekalkan keputusan MR
3
Mahkamah Persekutuan Nawi v PP (05-304-12/2017(B)) Tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan: 22/10/2018 Tarikh Kesalahan: 1/6/2016 Mengaku bersalah. 11 migran MT: 6 tahun penjara MR: 10 tahun penjara MP: Kekalkan keputusan MR
4
Mahkamah Rayuan PP v Siprianus Nahak Lutan dan Satu lagi [2025] MLJU 690 Tarikh keputusan Mahkamah Rayuan: 25/2/2025 Tarikh Kesalahan: 30/6/2023 Mengaku bersalah. 35 migran MT: 4 tahun 6 bulan penjara MR: 9 tahun penjara dtt (8/7/2023)
5
Mahkamah Rayuan Zainal bin Lampe v PP B-05(H)-474-10/2023 Rosli bin Kitan v PP B-05(H)-475-10/2023 Rulsi bin Genep B-05(H)-476-10/2023 Mengaku bersalah. 37 migran MT: 8 tahun penjara dtt (1/7/2022) MR: Kekalkan keputusan MT Ajiman bin Rahman B-05(H)-477-10/2023 Tarikh keputusan Mahkamah Rayuan: 5/7/2024 Tarikh Kesalahan: 1/7/2022 6. Mahkamah Rayuan PP v Iswanto bin Lagiman J-05(H)-520-11/2023 Tarikh keputusan Mahkamah Rayuan: 23/5/2024 Tarikh Kesalahan: 21/3/2021 Mengaku bersalah. 6 migran MT: 5 tahun penjara dtt MR: 8 tahun penjara dtt
7
Mahkamah Rayuan Muhammad Syafiq bin Salleh @ Hasan v PP D-05(H)-418-11/2021 Tarikh keputusan Mahkamah Rayuan: 16/6/2023 Tarikh Kesalahan: 22/9/2019 Mengaku bersalah. 16 migran MT: 8 tahun penjara dtt (22/9/2019) MR: Kekalkan keputusan MT
8
Mahkamah Rayuan PP v Nando bin Bejo (M-05(H)-629-12/2018) Tarikh keputusan Mahkamah Rayuan: 23/9/2019 Tarikh Kesalahan: 16/11/2018 Mengaku bersalah. 8 migran MT: 5 tahun penjara MR: 8 tahun penjara Analisis dan dapatan mahkamah
13
Kesalahan di bawah seksyen 26A Akta 670 adalah satu kesalahan yang serius dan mahkamah dalam menjatuhkan hukuman perlu menjatuhkan hukuman yang menggambarkan keseriusan ini.
14
Mahkamah Rayuan dalam kes PP lwn. Nur Bakti Abd Rahman & Satu Lagi [2025] 5 CLJ 369 telah menegaskan bahawa kesalahan penyeludupan migran adalah satu kesalahan yang perlu dipandang serius. Mahkamah Rayuan menyatakan; “[11] Daripada peruntukan undang-undang tersebut, nyatalah bahawa kesalahan penyeludupan migran adalah satu kesalahan yang perlu dipandang serius. Rasional di sebalik peruntukan hukuman berat menurut seksyen 26A ATIPSOM mudah difahami. Kemasukan beramai-ramai migran tanpa izin yang diseludup ke negara ini semestinya membawa banyak kesan yang negatif. Penyeludupan berleluasa migran bukan sahaja boleh mengancam keselamatan negara malahan ianya turut boleh menjejaskan kedaulatan negara. Lebih parah lagi, ianya juga boleh menjejaskan nama baik negara di mata dunia…….. [12] Daripada ucapan YB Menteri tersebut jelaslah bahawa negara dicemari dengan masalah buruh paksa dan tidak boleh dipertikaikan bahawa penyeludupan migran adalah punca kepada kewujudan buruh paksa. Ini kerana, migran yang ketiadaan dokumen perjalanan yang sah sudah pastinya tidak akan diterima bekerja secara sah oleh mana-mana majikan. Kesannya, migran tersebut akan terjebak dalam pasaran buruh paksa untuk kelangsungan hidup dan melunaskan hutang yang berpunca daripada perbelanjaan perjalanan masuk ke negara ini secara haram. Lambakan buruh paksa hasil penyeludupan migran sudah tentulah akan menjejaskan nama baik negara di mata dunia. Oleh itu, usaha pembanterasan penyeludupan migran sewajarnya disokong oleh semua pihak. [13] Di samping itu, kegiatan penyeludupan migran juga boleh memberikan ancaman kepada keselamatan negara. Oleh sebab itu, kesalahan penyeludupan migran menurut seksyen 26A ATIPSOM telah dikategorikan sebagai kesalahan keselamatan dan telah disenaraikan sebagai jenayah terancang dalam Jadual Pertama, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). Penyenaraian kesalahan penyeludupan migran sebagai satu kesalahan keselamatan dalam SOSMA menunjukkan keseriusan Kerajaan menangani jenayah terancang tersebut yang boleh mengancam keselamatan, maruah dan kedaulatan Negara. Sebagai pihak yang mentafsirkan dan melaksanakan undang-undang, mahkamah perlulah peka kepada hasrat penggubal undang-undang yang dijelmakan melalui peruntukan undang-undang.”
15
Oleh itu, adalah penting bagi mahkamah menimbangkan kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman kerana faktor kepentingan awam dan hukuman bersifat deteren adalah pertimbangan utama dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, sebagaimana yang dijelaskan oleh Hakim Hashim Yeop Sani dalam kes Public Prosecutor v. Loo Choon Fatt [1976] CLJU 102; [1976] 2 MLJ 256 seperti berikut; “One of the main considerations in the assessment of sentence is of course the question of public interest. On this point I need only quote a passage from the judgment of Hilbery J. in Rex v. Kenneth John Ball 35 CrAppR 164 as follows:- "In deciding the appropriate sentence, a court should always be guided by certain considerations. The first and foremost is the public interest. The criminal law is publicly enforced, not only with the object of punishing crime, but also in the hope of preventing it. A proper sentence, passed in public, serves the public interest in two ways. It may deter others who might be tempted to try crime as seeming to offer easy money on the supposition, that if the offender is caught and brought to justice, the punishment will be negligible. Such a sentence may also deter the particular criminal from committing a crime again, or induce him to turn from a criminal to an honest life. The public interest is indeed served, and best served, if the offender is induced to turn from criminal ways to honest living. Our law does not, therefore, fix the sentence for a particular crime, but fixes a maximum sentence and leaves it to the court to decide what is, within that maximum, the appropriate sentence for each criminal in the particular circumstances of each case. Not only in regard to each crime, but in regard to each criminal, the court has the right and the duty to decide whether to be lenient or severe.”
16
Namun, mahkamah masih perlu membuat pertimbangan antara kepentingan awam dengan kepentingan peribadi tertuduh sepertimana dijelaskan dalam kes Loo Choon Fatt (supra) seperti berikut; “Presidents and Magistrates are often inclined quite naturally to be over-sympathetic to the accused. This is a normal psychological reaction to the situation in which the lonely accused as seen as facing an array of witnesses with authority. The mitigation submitted by a convicted person will also normally bring up problems of family hardship and other usual problems of living. In such a situation the courts might perhaps find it difficult to decide as to what sentence should be imposed so that the convicted person may not be further burdened with additional hardship. This in my view is a wrong approach. The correct approach is to strike a balance, as far as possible, between the interests of the public and the interests of the accused. Lord Goddard LCJ in Rex v. Gronkowski offered some good advice when he said: The judge must consider the interests of justice as well as the interests of the prisoners. It is too often, nowadays, thought, or seems to be thought, that the interests of justice means only the interests of the prisoners.”
17
Mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh telah mengaku salah pada peluang yang terawal diberikan. Namun ia bukanlah penentu bagi satu diskaun ke atas hukuman yang wajar dikenakan lebih-lebih lagi sekiranya kepentingan awam menuntut hukuman yang deteren. Ini telah dibincangkan dalam banyak nas-nas duluan seperti Raja Izzuddin Shah v. Public Prosecutor [1978] CLJU 165; [1979] 1 MLJ 270, Zaidon bin Shariff v. Public Prosecutor [1996] 4 CLJ 441; [1996] MLJU 159, Ismail bin Rasid v. Pendakwa Raya [1999] 4 CLJ 402; [1999] MLJU 446, Public Prosecutor v. Md Rashid Harun [2000] 3 CLJ 832; [2000] 3 MLJ 503 dan Kesavan a/l Baskaran v. Public Prosecutor [2008] 6 CLJ 390; [2008] 6 MLJ 384; [2009] 1 AMR 709.
18
Apatah lagi dalam P5, ia mendedahkan peranan yang dimainkan oleh tertuduh. Kereta (P14) adalah milik tertuduh dan ianya dipandu sendiri olehnya. Tertuduh turut tidak memberi kerjasama selepas keretanya dipotong dan ditahan oleh pihak polis. Tertuduh enggan untuk keluar dari kereta sehingga memaksa pihak polis memecahkan tingkap kereta sebelah penumpang hadapan.
19
Hanya selepas tingkap dipecahkan, barulah tertuduh bertindak keluar dari kereta dan pemeriksaan dalam kereta menemukan 6 orang migran warganegara Myanmar tersebut. Ini menunjukkan bahawa tertuduh bukan sahaja mengetahui bahawa perbuatannya satu kesalahan namun nekad untuk mengelak dirinya dari diberkas oleh pihak berkuasa.
20
Mahkamah selanjutnya turut menimbangkan faktor-faktor mitigasi yang dikemukakan oleh tertuduh dan mendapati bahawa ianya lebih bersifat peribadi tertuduh. Mahkamah tidak mendapati alasan-alasan peringanan tertuduh bersifat istimewa sepertimana yang pernah ditegaskan dalam kes Public Prosecutor v. Teh Ah Cheng [1976] CLJU 116; [1976] 2 MLJ 186 seperti berikut; “... The respondent also puts forward in his plea in mitigation the fact that he is employed and supports an aged mother and step-brothers. He should of course have thought of this before committing the offences and not after; he is in fact pleading hardship arising from the consequences of his own acts and I would reiterate what I had occasion previously to observe in another case that an offender should not expect to excite or harness any sympathy on an ipse dixit by taking the stance of the impetuous youth who killed his parents with an axe and then pleaded in mitigation that he was an orphan. In any event from the probation report it would appear that his family is certainly not without other means of support.”
21
Akhir sekali, mahkamah turut menimbang kes-kes duluan bagi menentukan trend hukuman. Dalam kes Nur Bakti Abd Rahman (supra), Mahkamah Rayuan telah menimbang kes-kes duluan dalam menentukan julat hukuman yang sesuai dan merumuskan seperti berikut; “[24] Daripada trend hukuman yang diputuskan di peringkat rayuan sama ada oleh Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan, nyatalah hukuman yang dijatuhkan bagi kesalahan penyeludupan migran adalah konsisten, iaitu dalam julat lapan ke sepuluh tahun pemenjaraan.”
22
Setelah meneliti ekshibit-ekshibit yang dikemukakan, mempertimbangkan rayuan peringanan hukuman daripada tertuduh, dan mempertimbangkan penghujahan pemberatan hukuman oleh PR serta berpandukan kepada prinsip undang-undang mantap mengenai hukuman sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 8 tahun dari tarikh tangkap.
23
Mahkamah ini percaya hukuman yang dijatuhkan ke atas tertuduh adalah berpatutan dan munasabah serta selaras dengan hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta 670. Mahkamah percaya hukuman-hukuman yang dijatuhkan ini tidaklah melampau beratnya malah mengikut trend hukuman bagi kes seumpamanya. Bertarikh: 14hb. Januari, 2026 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Alor Setar, Kedah. Pihak-Pihak: Bagi Pihak Pendakwa Raya : Kamaliza binti Md Zain Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah Darul Aman Aras 4, Blok C, Wisma Darul Aman 05250 Alor Setar Kedah Darul Aman Bagi Pihak Tertuduh Pertama: Tidak diwakili pihak Peguam Bagi Pihak Tertuduh Kedua: Ravishankar a/l S N Gandhi Peguambela & Peguamcara Tetuan Rahamat & Co. No. K-167, Tingkat 2 Wisma R & M Taman Wira Mergong Jalan Sultanah Bahiyah 05150 Alor Setar, Kedah Tarikh Keputusan : 4hb. November, 2025 Undang-Undang Yang Dirujuk: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 Kanun Keseksaan Akta Keterangan 1950 Kes-Kes Yang Dirujuk: PP lwn. Nur Bakti Abd Rahman & Satu Lagi [2025] 5 CLJ 369 Public Prosecutor v. Loo Choon Fatt [1976] CLJU 102; [1976] 2 MLJ 256 Raja Izzuddin Shah v. Public Prosecutor [1978] CLJU 165; [1979] 1 MLJ 270 Zaidon bin Shariff v. Public Prosecutor [1996] 4 CLJ 441; [1996] MLJU 159 Ismail bin Rasid v. Pendakwa Raya [1999] 4 CLJ 402; [1999] MLJU 446 Public Prosecutor v. Md Rashid Harun [2000] 3 CLJ 832; [2000] 3 MLJ 503 Kesavan a/l Baskaran v. Public Prosecutor [2008] 6 CLJ 390; [2008] 6 MLJ 384; [2009] 1 AMR 709 Public Prosecutor v. Teh Ah Cheng [1976] CLJU 116; [1976] 2
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.