JABATAN KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN (PERSEKUTUAN) ALASAN PENGHAKIMAN A. PENDAHULUAN [1] Plaintif-plaintif dalam Saman Pemula ini memohon deklarasi berkaitan dua bidang tanah yang dibeli oleh plaintif-plaintif daripada Rajamah binti Mat Saat pada tahun 1966. [2] Pada 27.2.2025, Mahkamah ini telah membenarkan relif-relif yang dipohon oleh plaintif-plaintif melalui Saman Pemula Terpinda (Kandungan 19). Defendan pertama tidak berpuashati dan merayu terhadap keseluruhan keputusan tersebut. B. LATAR BELAKANG [3] Rajamah binti Mat Saat ialah tuan punya berdaftar tanah H.S(M) 3242, PT 1142 Bukit Cheeding Mukim Tanjung Dua Belas Daerah Kuala Langat dan H.S(M) 3378 Lot 3762 Bukit Cheeding Mukim Tanjung Dua Belas. Rajamah telah meninggal dunia pada 24.5.1988 (Si mati). [4] Kamsiah binti Khatib iaitu anak kandung Si mati telah dilantik sebagai wakil diri kepada Si mati melalui perintah Mahkamah bertarikh 15.11.2024. Berikutan itu, Saman Pemula Terpinda (Kandungan 19) difailkan. [5] Saman Pemula Terpinda disokong dengan Afidavit Saring bin Sarpan mengemukakan tuntutan plaintif-plaintif bagi relif-relif berikut – i. Deklarasi bahawa plaintif-plaintif adalah pemilik baru dua keping tanah yang dipegang di bawah suratan hakmilik yang dikenali sebagai HS(M) 3242 PT 1142 (Lot 3676) dan HS (M) 3378 Lot 3762, kedua-duanya Mukim Tanjong Duabelas Daerah Kuala Langat Negeri Selangor (Hakmilik tersebut) dan suratan asal hakmilik tersebut didaftarkan atas nama plaintif-plaintif; ii. Deklarasi bahawa Pentadbir Tanah Daerah Kuala Langat mendaftarkan suratan asal Hakmilik tersebut atas nama plaintif-plaintif; iii. Deklarasi bahawa suratan asal Hakmilik tersebut dikembalikan kepada plaintif-plaintif oleh Pentadbir Tanah Daerah Kuala Langat selepas nama plaintif-plaintif didaftarkan sebagai pemilik baru; iv. Kos tindakan ini dan bersampingan dengannya ditanggung dan dibayar oleh defendan pertama kepada plaintif-plaintif; dan v. Plaintif-plaintif adalah bebas untuk memohon apa-apa perintah atau relif selanjutnya yang difikirkan adil oleh Mahkamah ini. [6] Tuntutan tersebut telah dibantah oleh defendan pertama manakala defendan kedua dan ketiga tidak memfailkan sebarang afidavit sama ada membantah atau menyokong tuntutan plaintif. [7] Selanjutnya pada 6.12.2024 defendan pertama telah memfailkan Notis Permohonan membatalkan Saman Pemula menurut Aturan 18 Kaedah 19 (1) (a), (b), (c ) dan (d) dan Aturan 92 Kaedah (4) Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 (Kandungan 21). [8] Kedua-dua Kandungan 21 dan Kandungan 19 telah didengar bersama-sama. Pada 27.2.2025, Mahkamah ini menolak Kandungan 21 dengan kos dan membenarkan tuntutan plaintif-plaintif melalui Kandungan 19 tanpa perintah terhadap kos. C. FAKTA MATERIAL [9] Si mati adalah tuan punya berdaftar dua keping tanah iaitu HS(M) 3242 PT 1142 (Lot 3676) (dirujuk sebagai tanah pertama) dan HS (M) 3378 Lot 3762 (dirujuk sebagai tanah kedua), kedua-duanya terletak di Mukim Tanjong Duabelas Daerah Kuala Langat Negeri Selangor (tanah-tanah tersebut). [10] Plaintif pertama merupakan penduduk asal dan menetap di Kampung Seri Cheeding, Banting sejak tahun 1960. [11] Plaintif-plaintif telah memperoleh milikan kosong tanah tersebut sejak tahun 1966 dan telah membina tiga buah rumah di atas tanah tersebut. Bahkan sehingga kini, plaintif-plaintif masih mengusahakan tanaman kelapa sawit di atas tanah HS(M)3242 PT 1142 (Lot 3676). [12] Tanaman kelapa sawit tersebut telah dimulakan oleh plaintif-plaintif sejak tahun 1966. [13] Meskipun plaintif-plaintif tidak memegang salinan asal suratan hakmilik tanah tersebut, plaintif-plaintif telah dan masih membayar cukai bagi tanah-tanah tersebut. Asas Tuntutan Plaintif-plaintif [14] Melalui Afidavit Sokongan, plaintif pertama antara lain mendeposkan bahawa – i. Si mati telah menjual tanah-tanah tersebut kepada plaintif-plaintif pada harga RM600.00 iaitu RM200 untuk tanah pertama dan RM400 untuk tanah kedua. ii. Bagi maksud itu, pihak-pihak telah menandatangani surat perjanjian jual beli bagi tanah-tanah tersebut pada tahun 1966. iii. Surat perjanjian jual beli tanah-tanah tersebut tidak dapat ditemui walau pun plaintif-plaintif telah berusaha mencarinya. [15] Namun demikian, plaintif-plaintif telah mengekshibitkan Surat Rayuan Pindah Milik bertarikh 17.7.1984 (ekshibit SS-3) yang disediakan oleh Si mati dan dialamatkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat. [16] Menurut plaintif pertama, plaintif-plaintif dan Si mati telah berusaha mendaftarkan pindah milik tanah-tanah tersebut tetapi tidak berjaya atas sebab-sebab yang mereka bertiga tidak ketahui. [17] Plaintif pertama turut menyatakan surat bertarikh 27.7.1976 telah dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat meminta plaintif pertama hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat bagi tujuan penyiasatan dan pemerolehan maklumat berkaitan dengan permohonan pindahmilik tanah-tanah tersebut. [18] Plaintif pertama juga menyatakan selepas surat perjanjian jual beli ditandatangani, Si mati telah menyerahkan kepada plaintif pertama geran asal, resit asal membaharui Geran bertarikh 15.1.1985, suratan asal resit jualan 2 pelan bertarikh 10.5.1976 dan suratan asal notis supaya mengambil suratan hakmilik bertarikh 3.4.1990. Kesemua dokumen tersebut berada dalam simpanan, penjagaan dan pegangan plaintif pertama sejak tahun 1966 sehingga sekarang. [19] Menurut plaintif pertama lagi, sejak tahun 1966 tiada mana-mana pihak, termasuk Simati yang menuntut tanah-tanah tersebut daripada plaintif-plaintif. [20] Walau bagaimanapun, pada 2.11.2023 Nor Aizah binti Sulaiman yang memperkenalkan diri sebagai anak Si mati telah berjumpa dengan anak plaintif pertama, Abdul Razi bin Saring. Nor Aizah meminta supaya plaintif-plaintif dan ahli keluarga menyerahkan milikan kosong tanah-tanah tersebut kerana Nor Aizah ingin menjual tanah-tanah tersebut. [21] Plaintif pertama melalui Abdul Razi telah membuat laporan polis dan memasukkan kaveat persendirian atas tanah-tanah tersebut pada 8.11.2023. [22] Pada 21.1.2024, Nor Aizah dan Abdul Razi sebagai wakil plaintif-plaintif telah mengadakan pertemuan. Nor Aizah menawarkan untuk membeli tanah-tanah tersebut pada harga rahmah, namun ditolak oleh pihak plaintif. [23] Selanjutnya melalui carian persendirian tanah-tanah tersebut, plaintif-plaintif mendapati terdapat permohonan dibuat kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat pada 30.11.2023 untuk Permohonan Dokumen Hakmilik Keluaran Hilang/Rosak dibawah seksyen 166(1)D dengan No. Rujukan PTSEL/02/D/HDHK/2. [24] Pihak plaintif sekali lagi meminta Abdul Razi membuat laporan polis kerana permohonan untuk mendapatkan dokumen hak milik gantian dibuat oleh orang yang tidak dikenali. [25] Setelah itu, plaintif-plaintif melalui peguam cara Tetuan Adam Chia & Co memohon kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat supaya membatalkan permohonan dokumen hak milik gantian kerana suratan asal hakmilik tanah-tanah tersebut berada dalam pegangan dan simpanan plaintif pertama. [26] Pihak Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat melalui Unit Pendaftaran telah menjalankan siasatan yang dihadiri oleh peguam cara pihak plaintif Adam Chia dan cucu plaintif pertama iaitu Zahrul Aizat Mukmin bin Abdul Razi. D. HUJAHAN DEFENDAN PERTAMA [27] Tuntutan plaintif-plaintif dibantah oleh ahli-ahli waris Simati. Bagi tujuan tersebut, defendan pertama telah memfailkan Afidavit Jawapan selain permohonan untuk membatalkan tuntutan plaintif-plaintif. [28] Defendan pertama menyatakan tuntutan plaintif-plaintif adalah pramatang berasaskan kepada kegagalan plaintif-plaintif mengemukakan perjanjian jual beli yang didakwa dimasuki oleh Si mati dengan plaintif-plaintif. [29] Selain itu, defendan pertama menekankan tanah-tanah tersebut adalah hartanah Si mati dan Si mati tidak pernah memindahmilik kepada mana-mana pihak. [30] Oleh kerana plaintif-plaintif gagal membuktikan wujud perjanjian jual beli dan tiada perjanjian sedemikian dikemukakan maka, tiada kausa tindakan antara plaintif-plaintif dengan defendan pertama. [31] Bahkan Sijil faraidh bagi hartanah Si mati telah dikeluarkan pada 9.8.2024. Ini bermakna tanah-tanah tersebut jelas adalah harta pusaka Si mati. [32] Defendan pertama turut berhujah bahawa jika benar tanah-tanah tersebut telah dijual kepada plaintif-plaintif oleh Si mati, tuntutan plaintif-plaintif terhalang oleh had masa kerana pindahmilik kepada plaintif-plaintif tidak dilakukan sejak jual beli dimasuki oleh Si mati dan plaintif-plaintif. [33] Selain itu, defendan pertama menyifatkan tuntutan plaintif di sini merupakan fikiran terkemudian serta penyalahgunaan proses mahkamah. E. PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG [34] Seksyen 101 (1) Akta Keterangan 1950 memperuntukkan beban pembuktian terletak di bahu pihak yang menegaskan kewujudan fakta yang ditegaskan. [35] Hal ini telah menjadi prinsip undang-undang mantap sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Letchumanan Chettiar Alagappan @ L Allagappan & Anor v Secure Plantation Sdn Bhd [2017] 3 MLRA 501. [36] Meski pun demikian, tahap pembuktian dalam kes sivil adalah di atas imbangan kebarangkalian. Mahkamah Persekutuan dalam kes Inas Faiqah Mohd Helmi (A child suing through her father and next friend; Mohd Helmi Abdul Aziz) v. Kerajaan Malaysia & Ors [2016] 2 CLJ 885 memutuskan yang berikut - "[13] The standard of proof in civil cases is the legal standard to which a party is required to prove its case, namely on a balance of probabilities. In civil litigation, the question of the probability or improbability of an action occurring is an important consideration to be taken into account in deciding whether that particular event had actually taken place or not. In the case of Miller v. Minister of Pensions [1947] 2 All ER 372, Lord Denning said the following about the standard of proof in civil cases: The... [standard of proof]... is well settled. It must carry a reasonable degree of probability... if the evidence is such that the tribunal can say: 'We think it more probable than not' the burden is discharged, but, if the probabilities are equal, it is not." F. ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN [37] Isu yang wajar diputuskan adalah sama ada plaintif-plaintif telah melepaskan beban bukti bahawa tanah-tanah tersebut telah dijual oleh Si mati kepada plaintif-plaintif. G. ANALISIS DAN DAPATAN [38] Plaintif pertama dan kedua mendakwa bahawa Si mati telah menjual tanah-tanah tersebut kepada mereka namun pindah milik belum dilaksanakan atas sebab yang mereka tidak ketahui. [39] Menurut plaintif pertama, melalui perjanjian jual beli dimasuki pada tahun 1966, plaintif-plaintif membayar harga belian RM600.00 kepada Si mati iaitu RM200 bagi tanah pertama dan RM400 bagi tanah kedua. [40] Plaintif-plaintif tidak dapat mengemukakan surat perjanjian tersebut kerana tidak dapat ditemui. Namun begitu, plaintif-plaintif telah mengemukakan dokumen-dokumen lain iaitu -