4.11.2013, SP15 telah pergi berjumpa dengan kawannya, Mohd Rizari bin Khamis (SP12) di rumah kawannya itu di Setia Wangsa untuk mendapatkan sepucuk pistol. SP12 dikatakan telah mengambil sepucuk pistol dari dalam kereta Honda Jazz No: JME 6464 dan telah menyerahkan sepucuk pistol tersebut kepada SP15. [23] Pada 6.11.2013, SP15 telah dihubungi oleh Tertuduh Keempat memberitahunya bahawa dia belum lagi ingin menggunakan pistol itu memandangkan Ustaz Raffli tiada di Kuantan. SP15 telah memulangkan kembali pistol tersebut kepada SP12 pada 7.11.2013. [24] Pada 8.11.2013, SP15 telah menerima panggilan daripada Fikri @De yang memaklumkan bahawa terdapat satu arahan untuk mereka pergi ke Kuantan bersama dengan SP13. SP13 telah datang bersama dengan Fikri @De dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran JFN 2626 untuk berjumpa dengan SP15. SP13 memaklumkan kepada SP15 bahawa SP13 telah menerima arahan untuk membawa pistol ke Kuantan untuk diserahkan kepada Tertuduh Keempat. Setelah mendapat arahan tersebut, mereka telah pergi ke rumah SP12 di Setia Wangsa dan di sana SP12 telah menyerahkan sepucuk pistol yang disimpan dalam sebuah beg kecil warna hitam kepada SP15. Setelah itu, SP15 bersama SP13 terus bergerak ke Kuantan menaiki kereta JFN 2626, manakala Fikri @De telah membawa pulang kereta SP13. SP15 dan SP13 telah sampai di Kuantan pada jam 9.30 malam dan telah bertemu dengan Tertuduh Keempat di Padang MPK Kuantan. Turut berada di situ Tertuduh Keenam dan Perayu Pertama. Di situ juga SP15 telah menyerahkan pistol tersebut kepada 13 Tertuduh Keempat. Selepas itu mereka terus pergi bermalam di sebuah hotel di Kuantan. [25] Pada keesokan harinya iaitu 9.11.2013 jam lebih kurang 6.30 pagi, SP15 melihat Tertuduh Keempat dan Tertuduh Keenam bergerak keluar dari bilik hotel. Pada jam 9.00 pagi, SP15 dan SP13 telah keluar dari bilik hotel dan menaiki kereta JFN 2626 bergerak ke Taman Indera Mahkota dengan mengekori kereta CAX 3180 yang dipandu oleh Perayu Pertama yang dinaiki bersama oleh Perayu Kedua dan seorang lagi bernama Mansor (masih bebas). Mereka ke Taman Indera Mahkota untuk memantau kedudukan si mati. Semasa dalam perjalanan itu, SP15 telah menerima pesanan ringkas daripada Perayu Pertama yang memberitahu alamat rumah si mati. SP15 juga telah dimaklumkan oleh Tertuduh Keempat bahawa si mati baru pulang ke rumahnya di Bandar Indera Mahkota. SP15 dan SP13 hanya menunggu di dalam kereta di satu simpang ke rumah si mati. Mereka melihat si mati pergi ke surau. SP13 dan SP15 hanya menunggu di sana sehingga jam 7.30 malam tetapi si mati tidak pulang ke rumah. SP15 dan SP13 kemudiannya mendapat arahan daripada Tertuduh Keempat supaya bertolak pulang ke hotel. [26] Sesampainya di hotel, memandangkan terlalu ramai orang di bilik hotel, lalu SP15 dan SP13 telah menyewa satu bilik lain di hotel yang sama. Kira-kira jam 10.00 malam, SP15 dan SP13 mendapat arahan daripada Tertuduh Keempat untuk ke bilik beliau berbincang akan misi seterusnya. Selain daripada SP15, SP13 dan Tertuduh Keempat, turut hadir dalam perbincangan itu ialah Perayu Kedua, Mansor, Perayu Pertama dan Tertuduh Keenam. Dalam perbincangan itu, Tertuduh 14 Keempat telah mengarahkan supaya Perayu Kedua melaksanakan misi seterusnya pada esok harinya. [27] Keesokan harinya, pada 10.11.2013 kira-kira jam 9.00 pagi, SP15 dan SP13 bersama Perayu Kedua dengan menaiki kererta JFN 2626 pergi ke Taman Indera Mahkota. Mereka sampai di situ jam 9.30 pagi. Mereka menunggu di satu simpang masuk ke rumah Ustaz Raffli. Tidak lama selepas itu, kira-kira jam 10.00 pagi, tingkap kenderaan mereka diketuk oleh seorang pakcik yang bertanya tujuan mereka berada di situ. Mereka kemudiannya beredar dari situ. [28] Menurut SP15, selepas mereka keluar dari kawasan taman tersebut, beliau terserempak dengan kenderaan CAX 3180 yang dipandu oleh Perayu Pertama dan melihat Mansor di sebelahnya. SP15 menyuruh Perayu Kedua berpindah ke kereta CAX 3180. Perayu Kedua telah berpindah ke kereta CAX 3180 dengan membawa beg kecil yang berisi pistol. SP15 kemudiannya menghubungi Tertuduh Keempat memberitahu apa yang berlaku. Tertuduh Keempat menyatakan bahawa misi yang baru yang perlu dibuat ialah secara monolog dengan berpura-pura memohon derma di rumah Ustaz Raffli. [29] Pada jam lebih kurang 1.00 tengahari, SP15 dan SP13 telah singgah di Masjid Indera Mahkota dan setelah itu kembali ke Taman Indera Mahkota dan berhenti menunggu di hadapan Tunas Manja. Pada jam lebih kurang 1.45 petang, SP15 telah melihat kereta CAX 3180 masuk ke taman perumahan Ustaz Raffli. Kira-kira jam 2.00 petang, SP15 dan SP13 melihat kereta CAX 3180 yang dipandu oleh Perayu Pertama datang dan berhenti di sebelah kereta mereka. Perayu Kedua dan 15 Mansor telah keluar dari kereta CAX 3180 dan menaiki kereta mereka JFN 2626. Apabila Perayu Kedua dan Mansor masuk ke dalam kereta mereka, SP15 mendengar Mansor menyatakan: “Misi itu selesai”. [30] SP15, SP13, Mansor dan Perayu-Perayu terus keluar dari taman perumahan tersebut dengan memasuki Lebuhraya Pantai Timur menuju ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan, Perayu Kedua dan Mansor telah menukar pakaian. Mansor telah meminta satu beg plastik bagi membungkus pakaiannya. Sampai di satu jambatan selepas plaza tol Kuantan, bungkusan yang mengandungi pakaian itu telah dicampak keluar daripada kereta. Semasa di dalam kenderaan tersebut, SP15 telah bertanya tentang kejadian yang berlaku dan Perayu Kedua memberitahu bahawa mereka telah memanggil Ustaz Raffli keluar dengan berpura-pura untuk mohon derma dan beliau telah melepaskan 3 kali tembakan dari pistol dan berlalu dari situ. Kemudiannya SP15 menerima panggilan telefon daripada Tertuduh Keempat menyatakan kenderaannya rosak. SP15 meminta SP13 menurunkan beliau di Petronas Gambang. Perayu Kedua telah menyerahkan beg kecil yang berisi pistol kepada SP15. SP15 kemudian menunggu Tertuduh Keempat. Sementara SP13, Perayu Kedua dan Mansor terus bergerak ke Kuala Lumpur. Apabila Tertuduh Keempat sampai di Petronas Gambang, SP15 telah menaiki kereta Tertuduh Keempat. Di dalam kereta terdapat Tertuduh Keenam. Mereka terus bergerak ke Kuala Lumpur. [31] Sampai di Kuala Lumpur, SP15 telah diturunkan dan diarahkan menaiki sebuah kereta yang dipandu oleh Saiful Rosli @Che Li dan turut sama seorang Khairul Anuar @Tobak. Dari situ SP15 bersama Saiful Rosli @Che Li bergerak ke Shah Alam dan kemudian ke Danau Kota di 16 mana SP15 telah berjumpa dengan SP12 dan memulangkan semula pistol yang dipinjamnya. Dari situ Saiful Rosly @Che Li terus menghantar SP15 pulang ke rumahnya di Salak Tinggi. Pada 27.11.2013, SP15 telah ditangkap. [32] Semasa dalam tahanan, pada 8.12.2013 pagi, SP15 telah ditemubual oleh ASP Syahlizan bin Badrun (SP34). Pada jam 11.30 pagi, SP15 telah membawa SP34 ke sebuah jambatan di Lebuhraya Pantai Timur dan menunjukkan satu helai baju kemeja, sehelai jaket warna coklat dan serban warna putih yang dibuang pada hari kejadian. [33] Saksi SP13 dalam keterangannya menerangkan bahawa pada 8.11.2013, beliau dari rumahnya di Skudai, Johor Bahru dengan memandu kereta JFN 2626 telah pergi ke Salak Tinggi untuk membuat kutipan amal tabung Nur Kasih di Masjid Enstek. Pada hari sama, SP13 telah dihubungi melalui telefon oleh SP14 supaya pergi menjemput SP15 di Subang Airport. SP13 telah pergi menjemput SP15. Dari situ, SP13 telah dibawa oleh SP15 pergi ke Taman Setiawangsa untuk mengambil “L” iaitu pistol. Di situ, SP13 melihat SP15 pergi ke sebuah rumah berjumpa seorang lelaki. Kemudiannya SP15 keluar semula dan membawa bersamanya sebuah “pouch” warna hitam dan memasuki semula kereta SP13. Dari situ mereka bertolak ke Kuantan. Di Kuantan, di pinggir sebuah masjid di pusat bandar, SP13 dan SP15 bertemu Tertuduh Keempat, Perayu Pertama dan Tertuduh Keenam. Pada malamnya mereka dibawa ke sebuah hotel. [34] Pada 9.11.2013, kira-kira jam 8.00 pagi, SP13 dengan memandu kereta JFN 2626, telah pergi ke Bandar Indera Mahkota bersama-sama 17 SP15 ke rumah Ustaz Raffli sehingga 7.30 malam. Pada sebelah malamnya atas arahan Tertuduh Keempat, SP13 bersama SP15 telah berkumpul di sebuah hotel bersama Perayu Kedua, Perayu Pertama yang dipanggil Boy, Tertuduh Keenam dan Mansor serta Tertuduh Keempat. Dalam perjumpaan tersebut, rancangan dibuat untuk memantau rumah Ustaz Raffli. SP13 telah diarahkan oleh Tertuduh Keempat untuk memandu kereta JFN 2626 membawa Perayu Kedua. Perayu Kedua telah diarahkan oleh Tertuduh Keempat untuk melakukan tembakan terhadap Ustaz Raffli. Tertuduh juga mengarahkan supaya Boy (Perayu Pertama) dan Mansor membawa Perayu Kedua. Dalam perjumpaan itu, SP13 melihat sepucuk pistol dikeluarkan dari dalam beg “pouch”. Selepas perjumpaan, SP13 telah mendaftar satu bilik lain di hotel yang sama dan tinggal di bilik itu bersama SP15, [35] Pada keesokan harinya, 10.11.2013 kira-kira jam 9.30 pagi, SP15 telah menerima panggilan daripada Tertuduh Keempat mengarahkan supaya membuat rondaan di rumah Ustaz Raffli. SP13 dan SP15 dan juga Perayu Kedua kemudian bergerak ke kawasan rumah Ustaz Raffli menggunakan kereta JFN 2626 dan kereta telah diberhentikan berhampiran rumah Ustaz Raffli. Di situ, kereta mereka telah didatangi oleh seorang lelaki penduduk taman tersebut menanyakan mereka siapa dan sambil menegur kenapa nombor plate di bahagian belakang tiada. SP15 kemudian pergi ke bahagian belakang kereta. Selepas itu mereka berlalu dari situ. Kemudiannya melalui panggilan telefon, Tertuduh Keempat mengarahkan Perayu Kedua bertukar menaiki kereta Proton Wira Aeroback no CAX 3180. Perayu Kedua kemudian berpindah menaiki kereta CAX 3180. Sementara itu, SP13 dan SP15 menunggu di dalam kereta JFN 2626 di bahu jalan berhampiran bangunan Tunas 18 Manja. Kira-kira jam 1.45 petang, SP15 menerima panggilan daripada Tertuduh Keempat menyatakan tugasan sudah selesai dan mengarahkan supaya menunggu Perayu Kedua dan Mansor datang. Kemudian Perayu Kedua dan Mansor sampai dengan kereta CAX 3180 dan menaiki kereta mereka JFN 2626. Mereka semua kemudiannya bergerak ke arah Kuala Lumpur. [36] Dalam perjalanan itu, SP15 telah menerima arahan daripada Tertuduh Keempat mengarahkan supaya SP15 turun di RnR Gambang. SP13 yang ketika itu memandu kereta JFN 2626 melihat melalui cermin pandang belakang Perayu Kedua dan Mansor membuka pakaian dan dimasukkan dalam bungkusan plastik dan mencampaknya keluar semasa melalui sebuah jambatan. Selepas menurunkan SP15 di RnR Gambang, SP13 meneruskan perjalanan bersama Perayu Kedua dan Mansor sehingga ke Seremban dan seterusnya ke Jusco meninggalkan Perayu Kedua dan Mansor di sana sebelum bergerak ke Simpang Renggam. [37] Dalam perjalanan ke Simpang Renggam, SP13 telah menerima panggilan telefon daripada SP14 menyatakan bahawa kereta CAX 3180 akan sampai di Plaza Tol Simpang Renggam. SP14 seterusnya mengarahkan SP13 supaya menukar cat kereta CAX 3180 kepada warna oren. SP13 telah menghantar kereta itu iaitu CAX 3180 ke bengkel Zaidi bin Yusof @Abang Adi (SP16) untuk ditukar catnya. [38] Seminggu selepas itu, SP13 telah mengambil kereta CAX 3180 daripada SP16 dan membawa kereta tersebut ke G2 Auto Service kepunyaan Roslizan bin Paiman @Ijan (SP52) untuk diservis. SP13 dalam masa yang sama telah membawa dan meninggalkan kereta Proton 19 Perdana JFN 2626 kepada SP16 untuk ditukarkan warnanya daripada hitam ke warna merah. SP13 kemudiannya pada 27.11.2013 telah ditangkap polis ketika berada di pasaraya Billion Sungai Besar. Apabila ditangkap, SP13 telah menunjukkan kereta CAX 3180 dan seterusnya kereta Proton Perdana JFN 2626 telah dirampas oleh pihak polis. [39] Sementara itu, saksi Mohd Rizairi bin Khamis (SP12) dalam keterangannya menyatakan bahawa pada 8.11.2013, saksi SP15 datang mengambil pistol daripada beliau. SP12 telah memberi sepucuk pistol Smith & Wesson Field MA US [(P6(A)(1)(A)(xiii)] berserta satu magazine [(P6(A)(i)(a)xiv)] lengkap dengan 6 biji peluru kepada SP15. SP15 telah kembalikan pistol beserta dengan peluru tersebut kepada SP12 pada 11.11.2013 tetapi kali ini peluru telah berkurangan sebanyak 3 butir. [40] Pihak pendakwaan turut mengemukakan saksi Mohd Nor Akmal bin Abd Ghani (SP17) yang menyatakan pada penghujung Oktober 2013, atas arahan SP14 beliau telah menghantar printer ke sebuah bilik di Vistana Hotel. Di dalam bilik itu, terdapat Fikri, Tertuduh Keempat, Bashyar (SP15) dan SP14. SP14 telah mengarahkan Fikri mencetak sekeping gambar dan SP14 menyatakan untuk melenyapkan orang dalam gambar itu. Seterusnya, SP17 mendengar SP14 berbincang dengan SP15 untuk membuat tinjauan ke rumah orang yang di dalam gambar itu. Kemudiannya kira-kira jam 8.00 malam mereka semua bersurai. [41] Pada 10.11.2013, SP17 telah diarahkan oleh SP14 untuk mengambil Perayu Kedua dan Mansor di Jaya Jusco Seremban. SP17 telah mengambil Perayu Kedua dan Mansor di Jaya Jusco Seremban dan 20 membawa mereka ke Taman Enstek. Di rumah itu, SP17 telah mendengar Perayu Kedua dan Mansor serta SP14 berbual di ruang tamu. SP17 mendengar SP14 bertanya Perayu Kedua: “ok ke tidak”. SP15 mendengar SP14 bertanya lagi: “dah selesai ke”. Kemudiannya dijawab, tidak pasti oleh siapa: “dah boss” dan: “lepas itu dia jatuh, dan lepas dia jatuh kita orang gerak terus”. Selepas itu, SP17 masuk bilik dan sembahyang. Apabila SP17 bangun waktu subuh, SP17 lihat tiada orang lagi di dalam rumah itu. [42] Saksi Othman bin Said (SP7) yang merupakan jiran si mati menyatakan dalam keterangannya bahawa pada 9.11.2013 ketika berada di Kuala Lumpur, kira-kira jam 8.30 malam beliau dihubungi oleh jirannya Mohd Fadzli bin Yusof (SP8) memberitahu bahawa terdapat sebuah kereta Proton Perdana warna hitam sedang parkir di hadapan rumah SP7. SP7 meminta SP8 memerhatikan kereta tersebut sehingga beliau pulang dari Kuala Lumpur. SP7 pulang ke rumahnya pada jam 3.00 petang dan mendapati tiada lagi kereta yang dikatakan di kawasan rumahnya. [43] Pada keesokan harinya, 10.11.2013, SP7 melihat sebuah kereta Proton Perdana parkir di sebelah rumah beliau. SP7 menghubungi SP8 semula dan bertanya sama ada kereta itu yang dimaksudkannya semalam. SP8 menyatakan betul. SP7 mendapati nombor pendaftaran kereta tersebut sebagai JFN 2626. Beberapa ketika selepas itu, SP7 mendapati nombor plate di bahagian belakang kereta tersebut tidak dipamerkan. Lalu SP7 menghampiri kereta itu dan mengetuk cermin pemandu. Selepas pemandunya menurunkan cermin kereta, SP7 bertanya: “awak tunggu siapa”. Dijawab oleh pemandu tersebut bahawa beliau menunggu kawannya dari Cheras, Kuala Lumpur. SP7 bertanya 21 seterusnya kenapa nombor plate kereta tiada di belakang. Lalu pemandu itu turun dan mengatakan dia hendak membetulkan plate kereta itu. Ketika pemandu kereta itu menurunkan cermin tingkap, SP7 melihat terdapat penumpang di bahagian hadapan dan belakang kereta yang kesemuanya 3 orang, termasuklah pemandu. SP7 mendapati mereka semua berbangsa Melayu. [44] Pada 6.12.2013, SP7 telah menghadiri kawad cam di IPD Kuantan dan telah mengecam SP13 sebagai pemandu kereta Proton Perdana JFN 2626 dalam insiden pada 10.11.2013 tersebut. [45] Saksi Mohd Fadzli bin Yusof (SP8) pula menyatakan bahawa pada 9.11.2013 jam kira-kira 8.00 malam, beliau mendapati sebuah kereta Proton Perdana hitam parkir di hadapan antara rumah beliau dengan rumah SP7. SP8 menghubungi SP7 dan memaklumkan hal itu. Pada keesokan harinya, iaitu 10.11.2013, SP7 menghubungi beliau bertanya sama ada kereta yang di parkir di hadapan rumahnya adakah kereta yang serupa dan SP8 mengiakannya. SP7 kemudiannya meminta SP8 untuk pergi melihat kereta itu. SP8 telah pergi ke kereta itu sambil berjalan perlahan melihat bahagian dalam kereta dan mendapati 3 orang berada di dalam kereta tersebut iaitu seorang pemandu, seorang penumpang di bahagian hadapan dan seorang penumpang di bahagian belakang. SP8 kemudian pergi memberitahu SP7 bahawa kereta tersebut adalah kereta yang sama dilihatnya sebelum ini. Pada 6.12.2013 SP8 telah ke IPD Kuantan menghadiri kawad cam dan mengecam Perayu Kedua sebagai penumpang belakang kereta, SP13 sebagai pemandu, dan SP15 sebagai penumpang hadapan kereta tersebut. 22 [46] Pihak pendakwaan turut memanggil saksi Alid bin Yahya (SP9) yang juga merupakan jiran kepada si mati. SP9 mengatakan bahawa pada 9.11.2013, kira-kira jam 10.00 pagi, beliau melihat sebuah kereta Proton Perdana JFN 2626 parkir di kawasan perumahannya. Kemudiannya kereta itu beredar. Pada 10.11.2013, SP9 melihat kereta yang sama di parkir di tempat yang sama dalam keadaan enjin masih hidup. SP9 melihat penumpang hadapan kereta tersebut menanggalkan nombor plate di bahagian belakang kereta itu. SP9 juga dapat melihat pemandu kereta ketika pemandu menurunkan cermin kereta semasa SP7 menghampiri mereka. Pemandu kereta telah turun daripada kereta dan berjumpa dengan SP7. SP9 mendapati terdapat 2 penumpang di dalam kereta tersebut seorang di hadapan dan seorang di bahagian belakang. [47] Pada jam kira-kira 1.30 tengahari hari yang sama ketika SP9 memandu kereta untuk menghantar anaknya pergi tuisyen, SP9 telah berselisih dengan sebuah kereta Proton putih no CAX 3180 di jalan belakang. Memandangkan jalan itu sempit dan jalan sehala, kedua-dua kereta telah berselisih secara perlahan. Ketika itu, SP9 melihat penumpang di bahagian hadapan kereta CAX 3180 adalah orang yang sama dengan penumpang belakang Proton Perdana yang dilihat oleh SP9 di kawasan taman sebelum itu. Apabila SP9 balik, beliau dimaklumkan akan kejadian tembak terhadap si mati. Pada 6.12.2013, SP9 telah pergi ke IPD Kuantan menghadiri kawad cam dan telah mengecam Perayu Kedua sebagai penumpang belakang kereta Proton Perdana JFN 2626 yang merupakan orang yang sama sebagai penumpang hadapan kereta CAX 3180. SP9 turut mengecam SP13 sebagai pemandu kereta Proton Perdana JFN 2626 dan SP15 sebagai penumpang hadapan Proton Perdana JFN 2626. 23 [48] Sementara itu, saksi Muhammad Amin bin Ahmad Raffli (SP11) yang merupakan anak si mati menyatakan pada 10.11.2013 jam lebih kurang 1.40 tengahari, ketika berada di hadapan pintu rumahnya telah melihat sebuah kereta Wira Aeroback warna putih datang dan berhenti di hadapan rumahnya. Kemudiannya SP11 melihat seorang lelaki keluar daripada bahagian penumpang hadapan kereta itu dan memberi salam. SP11 telah menjawab salam lelaki itu. Lelaki itu bertanya SP11 sama ada bapa SP11 berada di rumah. Lalu SP11 memanggil bapanya dan bapanya telah keluar daripada rumah dan pergi membuka pintu pagar. Bapanya telah bertanya lelaki itu sama ada hendak singgah dahulu ke rumah dan dijawab lelaki itu: “tak pa sekejap sahaja”. Ketika itu, SP11 melihat seorang lelaki penumpang bahagian belakang keluar daripada kereta tersebut lalu melepaskan tembakan ke arah bapanya sebanyak 3 kali. Kemudiannya kedua-dua lelaki tersebut masuk semula ke dalam kereta dan terus beredar dari situ. [49] Pada 6.12.2013 jam 2.30 petang, SP11 telah pergi ke IPD Kuantan untuk menghadiri satu kawad cam dan dalam kawad cam yang telah diadakan, SP11 telah mengecam Perayu Kedua sebagai lelaki yang telah menembak bapanya. [50] Puan Rosmahwani binti Abdul Wahab (SP10) isteri kepada si mati menyatakan bahawa pada hari kejadian, 10.11.2013 jam lebih kurang 1.45 tengahari beliau berada di ruang tamu rumah beliau di No 7, Lorong IM2/29, Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Ketika beliau sedang memasang langsir di ruang tamu, kedengaran kereta berhenti di hadapan rumahnya. Anak SP10, iaitu SP11, telah menjawab salam orang yang datang itu dan membuka pintu sambil memberitahu si mati bahawa ada 24 orang datang. Lalu SP10 masuk ke bilik utama untuk mengambil tudung. Ketika itu SP10 melihat melalui tingkap bilik dan nampak suaminya sedang bercakap-cakap dengan orang yang memberi salam itu sambil suaminya membuka pintu pagar. SP10 juga melihat sebuah kereta Wira Aeroback warna putih berhenti di luar pagar rumahnya. Tidak lama kemudian SP10 melihat seorang lelaki keluar dari bahagian pintu hadapan kereta. Dalam masa yang sama SP10 berpaling untuk mengambil tudung tiba-tiba kedengaran bunyi 3 das tembakan berturut-turut. Kemudiannya SP11 terus memanggilnya dan memberitahu bahawa si mati telah kena tembak. SP10 bergegas keluar rumah dan melihat suaminya telah rebah di lantai dalam keadaan berlumuran darah. [51] Saksi Muhammad Tarmizi bin Zulkifly (SP5) menyatakan bahawa pada 10.11.2013 pada jam kira-kira 1.50 petang, ketika beliau berada di rumahnya No. 10 Lorong Indera Mahkota IM 2/29, telah mendengar bunyi seperti mercun dan kemudian terdengar jeritan SP10. Ibu dan bapanya kemudian telah pergi ke rumah SP10. Bapanya telah balik semula ke rumah dan memintanya untuk membuat panggilan 999. SP5 telah membuat panggilan ke nombor 999 dan telah menghubungi pihak polis. [52] Saksi Zulkifli bin Abu Bakar (SP6) merupakan orang pertama yang telah pergi ke rumah mangsa selepas mangsa ditembak. SP6 menyatakan bahawa pada hari kejadian itu, beliau berada di rumahnya di No. 10, Lorong Indera Mahkota IM2/29, Bandar Indera Mahkota, Kuantan. Pada jam 1.50 petang, beliau telah mendengar satu letupan seperti mercun dan jeritan SP10 mengatakan Ustaz kena tembak. SP6 terus ke rumah SP10 dan melihat Ustaz Raffli terlentang di atas simen tempat 25 parkir kereta di sebelah kereta. SP6 terus meminta anaknya, SP5 untuk menelefon polis. [53] Sementara itu, Koperal Siti Zubaidah binti Abdullah (SP4) yang pada masa itu bertugas di Bilik Gerakan, IPD Kuantan telah menerima satu panggilan pada jam 1.52 petang daripada seorang yang dipanggil Mohd Tarmizi (SP5) memberitahu bahawa jirannya telah kena tembakan dan cedera di No. 7, Lorong Indera Mahkota 2/29 Kuantan. Selepas menerima maklumat tersebut, SP4 telah menghubungi anggota Jenayah IPK serta pihak ambulans Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk ke tempat kejadian. [54] Pegawai polis yang pertama ke tempat kejadian adalah ASP Bahrin bin Talib (SP18) berserta anggotanya. Menurut SP18, pada hari kejadian jam lebih kurang 2.30 petang, beliau telah dimaklumkan oleh ASP Zukri bin Muhamad (SP51) berkait kes di rumah No. 7, Lorong Indera Mahkota 2/29, Kuantan. SP18 telah bersama beberapa anggota ke rumah kejadian. Sampai di rumah tempat kejadian, SP18 telah menemui satu kelongsong peluru di bucu lubang parit, satu kelongsong peluru dijumpai di rail besi pagar rumah dan satu lagi kelongsong peluru ditemui di laluan tempat letak kereta di rumah tempat kejadian. SP18 turut menemui 2 anak peluru di tempat letak kereta. SP18 juga mengambil 2 swabing kesan darah, satu di atas lantai dan satu di badan si mati. Semua barang kes kemudiannya telah diserahkan oleh SP18 kepada SP51. [55] Keterangan ASP Zukri bin Muhammad (SP51) sebagai Pegawai Penyiasat kes ini mengatakan beliau bersama sepasukan anggota telah menangkap Mohd Rizairi bin Khamis (SP12). SP51 telah ditunjukkan oleh 26 SP12 sepucuk pistol jenis Smith & Wesson yang diletakkan di dalam dashboard Honda Jazz. SP51 telah merampas pistol tersebut [Eksibit P6A(1)(a)(xiii)] beserta dengan kelopak berisi 6 butir peluru hidup yang kemudian telah dihantar untuk dijalankan ujian balistik dan servicebality. [56] Bedah siasat atas jasad si mati telah dilakukan oleh Dr. Nor Zaimah binti Mohamad Idris (SP3) atas permintaan Pegawai Penyiasat, ASP Zukri bin Muhammad (SP51). Menurut SP3, pada 10.11.2013, atas permintaan SP51, beliau telah pergi ke tempat kejadian untuk memeriksa jasad si mati. Dari pemeriksaan luaran, SP3 mendapati terdapat beberapa luka tembakan masuk dan keluar pada tubuh si mati. Bedah siasat telah dijalankan pada hari yang sama di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada jam 5.30 petang. [57] Hasil pemeriksaan bahagian luaran jasad si mati, SP3 mendapati si mati mengalami kecederaan-kecederaan seperti berikut: