Siva a/l Krishnan Satish a/l Subramaniam) 2 KORUM: MOHTARUDIN BAKI, HMR TENGKU MAIMUN TUAN MAT, HMR ABDUL KARIM ABDUL JALIL, HMR PENGHAKIMAN MUKADDIMAH [1] Perayu dalam rayuan no. K-05-133-05/2015 (perayu pertama) dan perayu dalam rayuan no. K-05-134-05/2015 (perayu kedua) masing-masing merupakan tertuduh pertama dan tertuduh kedua di Mahkamah Tinggi yang bersidang di Alor Setar, Kedah. Mereka telah didakwa dan dibicarakan atas pertuduhan yang berikut: “Bahawa kamu bersama-sama pada 19hb Julai 2012, jam lebih kurang 7.00 petang, di hadapan Lorong Bangunan HPA, Jalan Cempaka 1, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, di dalam Negeri Kedah Darul Aman, telah didapati memperedarkan dadah berbahaya iaitu seberat 196.4 gram (iaitu 156.1 gram heroin dan 40.3 gram monoacetylemorphines). Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama-sama seksyen 34 Kanun Keseksaan.” [2] Di akhir perbicaraan, kedua-dua perayu telah didapati bersalah, disabitkan dan YA Hakim bicara menjatuhi kedua-dua perayu dengan hukuman mati mandatori. Terkilan dengan keputusan tersebut, kedua-dua perayu telah merayu ke mahkamah ini. 3 [3] Setelah mendengar penghujahan daripada semua pihak dan menyemak keseluruhan butiran dalam rekod, kami mendapati rayuan oleh perayu kedua mempunyai merit. Kami membenarkan rayuannya. Manakala bagi perayu pertama, kami mendapati rayuannya tidak bermerit. Rayuannya dengan itu ditolak. Alasan kami memutuskan sedemikian diperjelaskan selepas ini. Di Mahkamah Tinggi [4] Ikhtisarnya, bertindak atas maklumat yang diterima, pada 29.6.2012 Inspektor Mohamad Shahran bin Termizi (SP5) telah mengarahkan D/Kpl Saiful Bahari bin Zi (SP4) untuk bertindak sebagai penyamar sulit (agent provocatuer) dalam operasi membeli dadah berbahaya dengan D/SM Mat Sedi membantunya sebagai ‘moneyman’. Bagi tujuan tersebut, SP4 telah berjumpa dengan sumber di kawasan R & R Gurun. Di situ, sumber, setelah memperkenalkan perayu pertama yang dikenali sebagai ‘G’ atau ‘Siva’ kepada SP4, meninggalkan tempat tersebut. SP4 seterusnya berbincang dengan perayu pertama mengenai pembelian dadah Heroin. Oleh sebab perbincangan mengenai harga dan jumlah dadah tidak dapat dimuktamadkan pada perjumpaan tersebut, SP4 dan perayu pertama telah bertukar-tukar nombor telefon dan akan berhubung semula untuk perjumpaan berikutnya mengenai urus niaga di atas. [5] Rundingan mengenai harga dan jumlah urus niaga telah dijalankan. Perayu pertama menawarkan RM8500.00 sekilogram dan 4 sanggup menurunkan kepada RM8000.00 jika dibeli dalam jumlah yang banyak. SP4 memaklumkan ingin membeli secara berterusan antara 5 atau 8 kilo seminggu. Pada 18.7.2012, perayu pertama telah menghubungi SP4 menyatakan bahawa harga dadah ialah RM8000.00 sekilogram dan penyerahan akan dibuat di Sungai Petani. Pada 19.7.2012 perayu pertama telah memberitahu SP4 dia bersedia untuk membekalkan sebanyak 8 kilogram dadah dan penyerahan akan dibuat di Lot 88 Sungai Petani. [6] SP4 telah melaporkan persetujuan tersebut kepada SP5. SP5 kemudiannya mengaturkan satu operasi serbuan yang diketuai oleh ASP Mohd Razi Ismail (SP2). Setelah memberikan taklimat operasi, SP2 dan pasukannya telah bergerak ke lokasi sasaran. SP4 juga ke sana tetapi bersama dengan D/SM Mat Sedi. [7] Setiba di lokasi, SP4 telah menghubungi perayu pertama. Tidak berapa lama kemudian, perayu pertama datang bersama perayu kedua dengan menaiki motosikal bernombor pendaftaran PKL1021. Selepas melihat wang yang dibawa oleh D/SM Mat Sedi, perayu pertama telah meminta SP4 mengekorinya ke lokasi penyerahan yang lain iaitu berhampiran bangunan HPA di Aman Jaya. SP4 diminta menunggu di situ. SP4 menurut dan memaklumkan pergerakan tersebut kepada SP2. [8] Selepas 20 minit menunggu, kedua-dua perayu datang, mengira semula wang dan beredar semula. Tidak lama kemudian, mereka datang semula dan berhenti di sebelah kanan kereta SP4 sambil 5 menunjukkan sebuah beg berwarna kuning air (P10) dalam raga motosikal. SP4 membuka P10 dan mendapati di dalamnya mengandungi lapan (8) beg plastik lut sinar berisi bahan ketulan dan serbuk (P11A-H). Lantaran itu, SP4 memberikan isyarat serbuan, dan turut menangkap perayu pertama. SP4 kemudiannya menyerahkan perayu pertama kepada SP2. [9] Pada ketika itu perayu kedua juga cuba melarikan diri, tetapi SP2 dan anggota serbuan berjaya menangkapnya. Selain dua tangkapan tersebut, SP2 turut diserahkan dengan dua orang lelaki India yang lain (Poopalan dan Ramakrishnan). Kedua-dua lelaki ini ditangkap oleh ASP Mustafa, salah seorang anggota serbuan, dalam sebuah kereta Perodua Viva yang berada agak jauh dari tempat perayu pertama dan kedua ditangkap. [10] Perayu pertama dan kedua berserta barang kes telah dibawa ke IPD Kuala Muda oleh SP2 dan kemudiannya diserahkan kepada Inspektor Mohd Zulhafiz bin Zainudin, pegawai penyiasat (SP6). Manakala Poopalan dan Ramakrishnan dibawa oleh ASP Mustafa ke IPD Kuala Muda. SP6 telah memasukkan barang kes ke dalam sebuah kotak (P9) dan menyerahkan kepada ahli kimia untuk dianalisis. Hasil analisis oleh ahli kimia Marhayani Md Saad (SP1) mengesahkan bahan-bahan (P11A-H) ialah dadah berbahaya campuran Heroin dan Monoacetylemorphines. 6 Keputusan Di akhir Kes Pendakwaan [11] YA Hakim bicara mendapati adanya keterangan yang boleh dipercayai yang mencukupi untuk membuktikan kedua-dua perayu mempunyai kawalan dan jagaan dengan pengetahuan ke atas dadah berbahaya tersebut. Mereka juga telah didapati dengan niat bersama mengedar dadah berbahaya seperti mana dalam pertuduhan dengan pemakaian anggapan di bawah s 37 (da) (iiia) ADB 1952. YA Hakim bicara dengan itu memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap kedua-dua perayu. Arkian, kedua-dua perayu diperintahkan untuk membela diri. Kes Pembelaan [12] Kedua-dua perayu telah memberikan keterangan secara bersumpah. Ringkasnya, perayu pertama menyatakan dia pernah berjumpa SP4 di sebuah restoran pada 29.6.2012 dan dia ada memberikan nombor telefon bosnya yang dikenali sebagai Ramu untuk dihubungi kerana ada urusan mengenai mengubah suai rumah. Pada hari kejadian, 19.7.2012 ketika dia sedang bekerja bersama perayu kedua, dia telah diminta oleh bosnya berjumpa SP4 di Aman Jaya. Perayu pertama telah ke sana dengan menaiki motosikal PKL 1021 bersama perayu kedua. Ketika berjumpa SP4, perayu pertama melihat banyak wang di dalam kereta SP4. Selepas itu, kedua-dua perayu beredar dari situ dan memberikan isyarat kepada SP4 untuk mengikut mereka. Mereka kemudian diminta oleh bos perayu pertama untuk berjumpa SP4 di bangunan HPA. Setibanya di sana, SP4 telah menolak motosikal yang dinaiki mereka. Mereka kemudiannya 7 ditangkap. Perayu pertama menafikan terdapatnya beg (P10) dan dadah (P11A-H) di dalam raga motosikal dan menyatakan mereka hanya ditunjukkan beg tersebut ketika di balai polis. [13] Perayu kedua pula menyatakan dia mengenali perayu pertama dalam beberapa bulan dan akan dipanggil sekiranya ada kerja berkaitan pendawaian. Perayu kedua tidak mengenali majikan perayu pertama. Dia mengetahui nama majikan perayu pertama hanya dengan nama “Ram”. Pada hari kejadian perayu kedua telah mengikuti perayu pertama berjumpa SP4 di Aman Jaya dan di bangunan HPA dengan membonceng motosikal yang ditunggang oleh perayu pertama. Perayu kedua mengakui ada membuat isyarat tangan kepada SP4 untuk mengikuti mereka selepas beredar dari Aman Jaya. Namun, dia hanya menuruti apa yang perayu pertama buat. Dia juga mengakui mengetahui perayu pertama telah melihat wang yang banyak di dalam kereta SP4. Dia juga mengakui mereka telah sekali lagi pergi ke Bangunan HPA berjumpa SP4 setelah disuruh bos. Apabila mereka tiba di situ SP4 terus menolak motosikal yang ditunggang mereka. SP4 terus menangkap mereka. Perayu kedua juga mengatakan dia hanya melihat beg yang mengandungi dadah berbahaya ketika berada di balai polis. Keputusan Di Akhir Pembelaan [14] Di akhir kes pembelaan, YA Hakim bicara mendapati bahawa kedua-dua perayu telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Keterangan kedua-dua perayu 8 hanyalah penafian semata-mata dan tidak juga menyangkal anggapan di bawah s 37(da)(iiia) ADB 1950. Oleh yang demikian, kedua-dua perayu telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati. Terkilan, mereka merayu ke mahkamah ini. Mahkamah Rayuan [15] Bagi pihak perayu-perayu, peguam bela yang bijaksana membangkitkan isu-isu yang berikut: