Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. K-05(SH)-63-02/2025
/akn/my/judgment/court-of-appeal/2026/8bef8d20-590f-4595-be62-2a188372ef1b
Court of Appeal of Malaysia17 Mar 2026K-05(SH)-63-02/2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“menyampaikan keputusan Mahkamah Persekutuan, Yang Amat Arif Md Raus Sharif KHN memutuskan seperti berikut yang dipetik dalam bahasa asal penghakimannya: “[48] The law pertaining to s. 114(g) of the Evidence Act is settled. Under s. 114(g) of the Evidence Act 1950, the court may presume that evidence which could be and”
“nsip ini seiring dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Herchun Singh & Ors v. PP [1969] CLJU 52; [1969] 2 MLJ 209; [1969] 1 MLRA 382 yang menerima komentari nukilan autoritatif Sohoni dalam Indian Criminal Procedure Code (16th edn, Vol I, p. 750) bahawa laporan pertama maklumat bukanlah ensiklopedia dan bukan”
“f this document via eFILING portal 10 kes apabila dinilai bersama-sama dengan keterangan SP4 dan SP2. [13] Mengenai ingredien milikan, HMT bergantung kepada kes Chan Pean Leon v. Public Prosecutor [1956] CLJU 17; [1956] 1 MLJ 237; [1956] 1 MLRH 44. Berdasarkan keterangan langsung SP3 bahawa beliau menyaksikan kedua-dua”
“. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 28 Prinsip ini seiring dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Herchun Singh & Ors v. PP [1969] CLJU 52; [1969] 2 MLJ 209; [1969] 1 MLRA 382 yang menerima komentari nukilan autoritatif Sohoni dalam Indian Crimina”
“viction is safe. See, Mohammad Husain v. Emperor AIR [1945] Nag **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 16 441; Zahari bin Yeop Baai v. PP [1977] CLJU 162; [1977] 1 LNS 162; [1980] 1 MLJ 160.”. Analisis rayuan Milikan eksklusif dan akses pihak ketiga [24] Peguam”
“nality of this document via eFILING portal 14 hakim bicara sekiranya pandangan hakim bicara telah dibuat bersandarkan keterangan kes. Mahkamah Persekutuan dalam kes Public Prosecutor v. Lim Eng Chye [1977] CLJU 97; [1978] 1 MLJ 200; [1977] 1 MLRA 500 menjelaskan panduan ini seperti berikut yang dipetik dalam bahasa asa”
“sangat bertentangan dengan sabitan terutamanya dalam dapatan suatu fakta khusus yang melibatkan penilaian keterangan saksi berasaskan kredibilitinya. Dalam kes Lai Kim Hon & Ors v. Public Prosecutor [1980] CLJU 197; [1981] 1 MLJ 84; [1980] 1 MLRA 366, Mahkamah Persekutuan membuat pemerhatian berikut yang dipetik dalam”
“menilai semula keseluruhan keterangan pendakwaan dan pembelaan secara keseluruhan berpandukan prinsip-prinsip dalam kes Mohamad Radhi Yaakob v. Public Prosecutor [1991] 3 CLJ 2073; [1991] 3 MLJ 169; [1991] MLRA 158 yang diputuskan oleh Mahkamah Agung (ketika itu). HMT mendapati bahawa pembelaan kedua-dua tertuduh adala”
“enganiaya adalah tidak mencukupi. Pembelaan mestilah mengemukakan keterangan untuk membuktikan motif sedemikian. (Rujuk kes: Gan Too Cheh v. PP [2006] 2 SLR 220, Wan Amirul Mubin Wan Kamaruddin v. PP [2017] CLJU 1478; [2017] MLJU 1253; [2017] MLRAU 351, Dickson Levy Maria George v. PP [2018] CLJU 135; [2018] MLJU 98; [”
“idak mencukupi. Pembelaan mestilah mengemukakan keterangan untuk membuktikan motif sedemikian. (Rujuk kes: Gan Too Cheh v. PP [2006] 2 SLR 220, Wan Amirul Mubin Wan Kamaruddin v. PP [2017] CLJU 1478; [2017] MLJU 1253; [2017] MLRAU 351, Dickson Levy Maria George v. PP [2018] CLJU 135; [2018] MLJU 98; [2018] MLRAU 49). P”
“mbelaan mestilah mengemukakan keterangan untuk membuktikan motif sedemikian. (Rujuk kes: Gan Too Cheh v. PP [2006] 2 SLR 220, Wan Amirul Mubin Wan Kamaruddin v. PP [2017] CLJU 1478; [2017] MLJU 1253; [2017] MLRAU 351, Dickson Levy Maria George v. PP [2018] CLJU 135; [2018] MLJU 98; [2018] MLRAU 49). Pembelaan dalam kes”
“buktikan motif sedemikian. (Rujuk kes: Gan Too Cheh v. PP [2006] 2 SLR 220, Wan Amirul Mubin Wan Kamaruddin v. PP [2017] CLJU 1478; [2017] MLJU 1253; [2017] MLRAU 351, Dickson Levy Maria George v. PP [2018] CLJU 135; [2018] MLJU 98; [2018] MLRAU 49). Pembelaan dalam kes ini gagal berbuat demikian. [53] Fakta berikut ju”
“demikian. (Rujuk kes: Gan Too Cheh v. PP [2006] 2 SLR 220, Wan Amirul Mubin Wan Kamaruddin v. PP [2017] CLJU 1478; [2017] MLJU 1253; [2017] MLRAU 351, Dickson Levy Maria George v. PP [2018] CLJU 135; [2018] MLJU 98; [2018] MLRAU 49). Pembelaan dalam kes ini gagal berbuat demikian. [53] Fakta berikut juga tidak kurang p”
“kes: Gan Too Cheh v. PP [2006] 2 SLR 220, Wan Amirul Mubin Wan Kamaruddin v. PP [2017] CLJU 1478; [2017] MLJU 1253; [2017] MLRAU 351, Dickson Levy Maria George v. PP [2018] CLJU 135; [2018] MLJU 98; [2018] MLRAU 49). Pembelaan dalam kes ini gagal berbuat demikian. [53] Fakta berikut juga tidak kurang pentingnya. SP3 ti”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. K-05(SH)-63-02/2025
2
PRAKASH A/L TANABAL … PERAYU-PERAYU LAWAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam perkara Mahkamah Tinggi Malaya di Sungai Petani Dalam Negeri Kedah Darul Aman. Kes Jenayah No. KB – 45A – 34 – 09/2022 PENDAKWA RAYA
2
PRAKASH A/L TANABAL 06/07/2026 12:02:57 K-05(SH)-63-02/2025 Kand. 30 KORAM AZMI BIN ARIFFIN, HMR MOHD RADZI BIN ABDUL HAMID, HMR AHMAD SHAHRIR BIN MOHD SALLEH, HMT ALASAN PENGHAKIMAN Latar belakang [1] Dalam penghakiman ini, pihak-pihak dirujuk seperti rujukan di mahkamah bicara. Kedua-dua tertuduh telah disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah berbahaya secara niat bersama di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”) yang dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Setiap tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan dikenakan 15 sebatan rotan. Kedua-dua tertuduh tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana (“HMT)” dan merayu ke Mahkamah Rayuan. Rayuan ini adalah terhadap sabitan dan hukuman. [2] Setelah meneliti rekod rayuan dan mempertimbangkan hujah daripada kedua-dua pihak, Mahkamah ini secara sebulat suara menolak rayuan kedua-dua tertuduh dan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh HMT. Pertuduhan [3] Kedua-dua tertuduh dituduh dengan kesalahan mengedar dadah berbahaya dengan niat bersama pada 26.08.2021. Kesalahan dikatakan telah dilakukan oleh kedua-dua tertuduh di dalam sebuah pondok di hutan berhampiran ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Division, Sungai Petani, Kuala Muda, Kedah. Pertuduhan yang dikemukakan oleh pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh ialah seperti berikut: “Bahawa kamu, bersama-sama pada 26.8.2021, jam lebih kurang 2:30 petang, di sebuah pondok di dalam hutan berhampiran ladang kelapa sawit, Kampung Sungai Division, 08000 Sungai Petani, di dalam daerah Kuala Muda, di dalam Negeri Kedah Darul Aman, telah didapati dengan niat bersama mengedar dadah berbahaya seberat 62.3 gram (iaitu gabungan dadah berbahaya Heroin seberat 58.6 gram dan Monoacetylmorphines seberat 3.7 gram), oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan”. Fakta ringkas [4] Pada 26.08.2021 sekitar jam 11:40 pagi, ASP Noor Azman bin Adnan (SP3) berada di kawasan Sungai Petani, Kedah bagi tujuan siasatan satu kes pembunuhan. SP3 ialah seorang pegawai dari Unit D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman. Siasatan kes pembunuhan ini tiada kaitan dengan kedua-dua tertuduh. Ketika SP3 dan pasukannya berada di Ladang UP, SP3 telah menangkap seorang lelaki bernama Hemanath Kumar dan merampas tiga buah telefon bimbit daripadanya. Melalui maklumat yang diperoleh daripada Hemanath Kumar, SP3 dan pasukannya mendaki kira-kira 200 hingga 300 meter menaiki cerun yang curam menuju sebuah pondok kayu yang terletak berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Division, daerah Kuala Muda, Kedah. Ketika itu, Hemanath Kumar dibawa bersama oleh SP3 dan berada dalam kawalan anggota polis. [5] Sebaik sahaja sampai, SP3 dan pasukannya terus mengawasi pondok itu dari jarak hampir, iaitu lebih kurang 20 meter. Waktu ketika itu ialah sekitar jam 2:00 petang. SP3 menggambarkan pondok itu sebagai sebuah pondok yang mempunyai satu dinding belakang yang kukuh dengan tiga bahagian lain ditutup dengan kanvas biru. Bahagian hadapan pondok itu terbuka. Pemandangan dalam pondok adalah gelap dan SP3 berada di kawasan yang terang benderang. Sebuah generator sedang beroperasi dan mengeluarkan bunyi yang kuat. Seterusnya, SP3 mengarahkan anggota-anggota pasukannya mengambil kedudukan di bahagian belakang, hadapan dan kanan pondok tersebut. Bahagian kiri pondok itu dibiarkan tanpa penjagaan kerana adanya cerun yang curam di bahagian itu. [6] Lebih kurang setengah jam kemudian, SP3 dan pasukannya menyerbu masuk ke dalam pondok tersebut. Di dalam pondok itu, kelihatan dua orang lelaki berbangsa India sedang duduk di atas lantai pondok kira-kira satu kaki di antara satu sama lain. Kedua-dua lelaki India itu tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang hitam. Kedua-dua lelaki India itu kemudiannya dikenal pasti sebagai Sunthrarat a/l Segar (tertuduh pertama) dan Prakash a/l Tanabal (tertuduh kedua). Sebaik sahaja SP3 dan pasukannya meluru masuk ke dalam pondok tersebut, tertuduh kedua cuba melarikan diri dengan melompat keluar dari bahagian hadapan pondok tersebut sambil membaling sebotol arak ke arah SP3. Namun tertuduh kedua berjaya ditangkap oleh SP3 dan D/Kpl Nik Fazlee bin Nik Mustafa. Tertuduh pertama pula hanya kekal duduk di tempatnya dan tidak cuba untuk melarikan diri. [7] Di dalam pondok, SP3 menjumpai sejumlah besar plastik lutsinar dalam berbagai keadaan. Ada plastik lutsinar yang berisi serbuk disyakki heroin, ada plastik lutsinar yang telah di “seal”, dan ada yang masih kosong. Ada juga beberapa besen, sudu dan peralatan lain yang diperlukan untuk membungkus dadah termasuk sebuah mesin “sealer” yang disambungkan kepada generator yang sedang beroperasi. Tiga buah motosikal juga ditemui diparkir di luar pondok. SP3 kemudiannya merampas sejumlah 442 paket plastik lutsinar tersebut. Walau bagaimanapun, SP3 tidak merampas motosikal-motosikal atau generator tersebut. Kedua-dua tertuduh dan kesemua barang kes seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada sekitar jam 6:00 petang. [8] Inspektor Surita binti Annual (SP4), bertindak sebagai pegawai penyiasat kes. SP4 menerima barang-barang rampasan dan dokumen kes daripada SP3 dan membungkusnya ke dalam 17 beg Eksibit PDRM bertanda “ES1” hingga “ES17”. Pada 30.08.2021, SP4 telah menyerahkan barang kes dalam 17 beg Eksibit PDRM tersebut kepada Muhammad Hasirun bin Khalid (SP2) di Jabatan Kimia, Alor Setar. SP2 ialah seorang ahli kimia yang bertugas di Jabatan Kimia, Alor Setar. SP2 kemudiannya mengeluarkan resit kimia bernombor 21- FR-K-04780. Melalui analisis makmal, SP2 mengesahkan bahawa 442 paket plastik lutsinar tersebut (Eksibit P17C(1)-(442)) mengandungi sejumlah 62.3 gram dadah berbahaya yang terdiri daripada 58.6 gram Heroin dan 3.7 gram Monoacetylmorphines. Hasil analisis kimia ini direkodkan dalam laporan kimia (Eksibit P35) dengan nombor kimia 20-FR-K-04780. [9] Sehari selepas tangkapan, SP4 dan SP3 telah pergi semula ke tempat kejadian. Apabila sampai di sana, mereka mendapati pondok itu telah musnah sepenuhnya akibat kebakaran. Ketiga-tiga motosikal yang sebelum ini dilihat oleh SP3 berada di luar pondok itu juga telah tiada di situ. Semasa pemeriksaan balas, SP4 bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa berkemungkinan besar kebakaran itu adalah suatu perbuatan yang disengajakan. Melalui siasatan rekod, pendaftaran motosikal-motosikal yang dijumpai di luar pondok tersebut ialah seperti berikut:
a
(a) motosikal bernombor pendaftaran PNP 2925 didaftar atas nama Anbarasi a/p Tanabal, iaitu adik perempuan tertuduh kedua,
b
(b) motosikal bernombor pendaftaran KEC 2686 didaftar atas nama Gayathri a/p Subramaniam, dan
c
(c) motosikal bernombor pendaftaran PMN 4203 didaftar atas nama Parodi a/p Krishnan, iaitu ibu tertuduh pertama. Melalui siasatan, SP4 dapat mengenal pasti ketiga-tiga pemilik berdaftar motosikal tersebut tetapi mereka tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan semasa perbicaraan. [10] Di akhir kes pendakwaan, HMT mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. Kedua-dua tertuduh kemudiannya telah diperintah membela diri. Kedua-dua tertuduh memilih untuk mengemukakan pembelaan masing-masing melalui keterangan bersumpah. Secara ringkas, kedua-dua tertuduh mendakwa bahawa pada tarikh tangkapan, mereka sebenarnya sedang menggembala kira-kira 30 ekor lembu milik ibu tertuduh pertama di kawasan berhampiran. Kedua-dua tertuduh menafikan mereka berada di dalam pondok itu seperti keterangan kes pendakwaan. Kedua-dua tertuduh mendakwa bahawa mereka sebenarnya telah ditangkap di tempat lain tetapi kemudiannya dibawa oleh pasukan polis ke dalam pondok tersebut. Di dalam pondok tersebut, gambar mereka diambil dalam keadaan sudah bergari. Keputusan Mahkamah Tinggi Dapatan kes prima facie dan penilaian ingredien kesalahan [11] HMT mengenal pasti empat ingredien yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan bagi mensabitkan pertuduhan di bawah seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan, iaitu: (i) dadah itu adalah dadah berbahaya sebagaimana yang ditakrif dalam ADB 1952 dan merupakan jenis serta berat yang dinyatakan dalam pertuduhan; (ii) dadah berbahaya itu berada dalam milikan kedua-dua tertuduh dan mereka mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan tentangnya; (iii) kedua-dua tertuduh mengedar dadah berbahaya tersebut; dan (iv) kedua-dua tertuduh bertindak dengan niat bersama. [12] Mengenai ingredien jenis dan berat dadah berbahaya yang menjadi subjek pertuduhan, HMT menerima keterangan SP2 bahawa 442 paket plastik lutsinar yang dianalisis mengandungi 62.3 gram dadah berbahaya, iaitu gabungan Heroin seberat 58.6 gram dan Monoacetylmorphines seberat 3.7 gram. HMT mendapati kesilapan menaip pada nombor makmal dalam Eksibit P35 yang mencatat nombor tersebut sebagai “20-FR-K- 04780” dan bukannya nombor yang betul, iaitu “21-FR-K- 04780” adalah suatu kesilapan perkeranian yang tidak menjejaskan kes pendakwaan. HMT juga mendapati kesilapan sedemikian tidak menjejaskan integriti barang kes apabila dinilai bersama-sama dengan keterangan SP4 dan SP2. [13] Mengenai ingredien milikan, HMT bergantung kepada kes Chan Pean Leon v. Public Prosecutor [1956] CLJU 17; [1956] 1 MLJ 237; [1956] 1 MLRH 44. Berdasarkan keterangan langsung SP3 bahawa beliau menyaksikan kedua-dua tertuduh sedang aktif membungkus dadah, disertai dengan keadaan sekeliling tempat kejadian, fakta bahawa kedua-dua tertuduh dilihat duduk dalam jarak hanya kira-kira satu kaki di antara satu sama lain dan dikelilingi oleh dadah dan peralatan pembungkusan, HMT mendapati unsur milikan telah dibuktikan. HMT menolak hujah pembelaan bahawa kewujudan motosikal atau kebakaran pondok itu mewujudkan jurang dalam kes pendakwaan. [14] Mengenai ingredien mengedar, HMT mendapati anggapan statutori mengedar di bawah seksyen 37(da)(iiia) ADB 1952 terpakai kerana berat gabungan dadah berbahaya yang menjadi subjek pertuduhan adalah melebihi ambang berat statutori 15 gram. [15] Mengenai elemen niat bersama, HMT mendapati keterangan yang menunjukkan kedua-dua tertuduh dilihat bersama-sama sedang membungkus dadah berbahaya di dalam pondok tersebut adalah mencukupi untuk menunjukkan wujudnya niat bersama di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan. [16] Setelah menilai keterangan kes pendakwaan, HMT mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh bagi pertuduhan di bawah seksyen 39B(1)(a) ADB 1952. HMT selanjutnya memerintahkan kedua-dua tertuduh untuk membela diri. Dapatan mengenai kredibiliti saksi-saksi pendakwaan [17] Dalam membuat keputusan bahawa wujudnya kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh, HMT telah membuat dapatan kredibiliti yang jelas dan nyata mengenai saksi-saksi pendakwaan, terutamanya SP3. HMT mendapati SP3 memberi keterangan dalam keadaan yang jelas dan tidak teragak-agak dan kekal tidak tergugat semasa pemeriksaan balas. Setelah melihat dan mendengar sendiri keterangan SP3, HMT menerima keterangannya sebagai benar dan mendapati SP3 sebagai seorang saksi yang boleh dipercayai. Dapatan ini berpandukan kriteria yang digariskan dalam keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes PP v. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (No. 3) [1999] 2 CLJ 215; [1999] 2 MLJ 1; [1999] 1 MLRH 59; berkenaan ujian bagi penerimaan atau penolakan keterangan seseorang saksi, iaitu bagaimana konsistennya cerita itu sendiri, bagaimana ia bertahan ujian pemeriksaan balas dan sejauh mana ia bersesuaian dengan keterangan selebihnya dan keadaan kes. Dapatan mengenai kes pembelaan dan keraguan munasabah [18] Setelah memerintahkan kedua-dua tertuduh untuk membela diri dan setelah mendengar keterangan bersumpah daripada kedua-dua tertuduh, HMT telah menilai semula keseluruhan keterangan pendakwaan dan pembelaan secara keseluruhan berpandukan prinsip-prinsip dalam kes Mohamad Radhi Yaakob v. Public Prosecutor [1991] 3 CLJ 2073; [1991] 3 MLJ 169; [1991] MLRA 158 yang diputuskan oleh Mahkamah Agung (ketika itu). HMT mendapati bahawa pembelaan kedua-dua tertuduh adalah penafian semata-mata. HMT menolak dan tidak menerima versi pembelaan bahawa mereka kononnya menggembala lembu di kawasan berkenaan dan ditangkap di tempat lain sebelum dibawa ke dalam pondok tersebut untuk diambil gambar. [19] HMT mendapati bahawa ketidakhadiran saksi-saksi yang berkaitan, termasuk ibu tertuduh pertama (Parodi a/p Krishnan) dan adik perempuan tertuduh kedua (Rani a/p Tanabal), tidak memudaratkan kes pendakwaan kerana kekuatan keterangan positif daripada SP3 adalah mencukupi. HMT selanjutnya mendapati peristiwa yang berlaku selepas tangkapan semasa kedua-dua tertuduh berada dalam tahanan polis, iaitu pembakaran pondok dan kehilangan motosikal, sebagai tidak relevan serta tidak berupaya menyangkal keterangan SP3. Dapatan mengenai sama ada anggapan statutori berjaya disangkal [20] Setelah membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan pendakwaan dan pembelaan, HMT mensabitkan kedua-dua tertuduh dengan kesalahan seperti pertuduhan. Dalam membuat sabitan sedemikian, HMT memutuskan:
a
(a) bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya terhadap kedua-dua tertuduh melampaui keraguan munasabah;
b
(b) bahawa kedua-dua tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan; dan
c
(c) bahawa kedua-dua tertuduh telah gagal menyangkal anggapan statutori pengedaran atas imbangan kebarangkalian. Keputusan Mahkamah ini Bidang kuasa rayuan [21] Di peringkat rayuan, mahkamah tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah dapatan fakta yang dibuat oleh hakim bicara sekiranya pandangan hakim bicara telah dibuat bersandarkan keterangan kes. Mahkamah Persekutuan dalam kes Public Prosecutor v. Lim Eng Chye [1977] CLJU 97; [1978] 1 MLJ 200; [1977] 1 MLRA 500 menjelaskan panduan ini seperti berikut yang dipetik dalam bahasa asal penghakiman: “As an Appellate Court we should be slow to interfere. It may be that we might have arrived at a different evaluation of the prosecution evidence. We cannot say, however, that the learned judge was not entitled to the view he did.”. [22] Prinsip undang-undang mapan yang terpakai dalam rayuan jenayah mengenai persoalan fakta adalah jelas. Di peringkat rayuan, mahkamah tidak wajar menggantikan penilaiannya sendiri dengan penilaian hakim bicara dalam perkara-perkara yang menjadi bidang kuasa eksklusif hakim bicara. Di peringkat rayuan juga, mahkamah tidak akan mengganggu-gugat dapatan fakta mahkamah bicara melainkan jika imbangan keterangan adalah sangat bertentangan dengan sabitan terutamanya dalam dapatan suatu fakta khusus yang melibatkan penilaian keterangan saksi berasaskan kredibilitinya. Dalam kes Lai Kim Hon & Ors v. Public Prosecutor [1980] CLJU 197; [1981] 1 MLJ 84; [1980] 1 MLRA 366, Mahkamah Persekutuan membuat pemerhatian berikut yang dipetik dalam bahasa asal penghakiman: “Viewed as a whole it seems clear that the finding of fact made by the trial judge turned solely on the credibility of the witnesses. The trial judge heard the testimony of each witness and had seen him. He also had the opportunity to observe the demeanour of the witnesses. Discrepancies will always be found in the evidence of a witness but what a judge has to determine is whether they are minor or material discrepancies. And which evidence is to be believed or disbelieved is again a matter to be determined by the trial judge based on the credibility of each witness. In the final analysis it is for the trial judge to determine which part of the evidence of a witness he is to accept and which to reject. Viewed in that light we did not consider it proper for this court to substitute its findings for that of the learned trial judge. The principle of law governing appeals in criminal cases on questions of fact is well established, in that the Appeal Court will not interfere unless the balance of evidence is grossly against the conviction especially upon a finding of a specific fact involving the evaluation of the evidence of a witness founded on the credibility of such witness.”. [23] Dalam mempertimbangkan suatu rayuan terhadap sabitan, prinsip undang-undang mantap menggariskan bahawa mahkamah rayuan perlu menentukan sama ada sabitan itu selamat untuk dikekalkan dan bukan sekadar sama ada wujudnya kekhilafan di pihak hakim bicara. Dalam kes Mohd Johi Said & Anor v. PP [2005] 1 CLJ 389; [2005] 5 MLJ [2004] 409; 2 MLRA 425; [2004] 6 AMR 825, Mahkamah ini mengulangi peringatan berikut yang dipetik dalam bahasa asal penghakiman: “Unlike civil appeals, where the appellant carries the burden of showing that the judge at first instance went wrong, in a criminal case the duty of the court is to consider whether the conviction is right. The correct approach is therefore not whether the decision is wrong but whether the conviction is safe. See, Mohammad Husain v. Emperor AIR [1945] Nag 441; Zahari bin Yeop Baai v. PP [1977] CLJU 162; [1977] 1 LNS 162; [1980] 1 MLJ 160.”. Analisis rayuan Milikan eksklusif dan akses pihak ketiga [24] Peguam bela terpelajar bagi kedua-dua tertuduh berhujah bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh mempunyai milikan eksklusif dan kawalan ke atas dadah berbahaya yang ditemui di dalam pondok tersebut. Menurut hujah peguam bela terpelajar, pondok itu terletak di kawasan hutan terbuka yang boleh diakses oleh mana-mana orang awam tanpa sebarang sekatan fizikal. Tiadanya apa-apa barang peribadi kepunyaan mana-mana tertuduh dijumpai di pondok tersebut dan gambar-gambar yang dikemukakan oleh pendakwaan pula menunjukkan kedua-dua tertuduh sudah pun dalam keadaan bergari. Peguam bela terpelajar berhujah bahawa keadaan ini adalah konsisten dengan dakwaan bahawa kedua-dua tertuduh sebenarnya telah dibawa ke pondok itu dari satu tempat lain selepas ditangkap. [25]
Preamble
Menurut hujah peguam bela terpelajar lagi, pondok itu telah terbakar dan kesemua motosikal telah hilang semasa kedua-dua tertuduh masih berada dalam tahanan polis. Hal ini membuktikan bahawa terdapat orang lain yang mempunyai akses dan kawalan terhadap pondok itu. Tambahan pula, SP4 mengakui bahawa kebakaran itu berkemungkinan disengajakan. Peguam bela terpelajar berpegang kepada prinsip yang diputuskan dalam kes Abdullah Zawawi Yusoff v. Pendakwa Raya [1993] 4 CLJ 1; [1993] 3 MLJ 1; [1993] 1 MLRA 416; dan kes Mohan Singh Lachman Singh v. Public Prosecutor [2002] 3 CLJ 293; [2002] 3 MLJ 291; [2002] 1 MLRA 175. [26] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terpelajar berhujah bahawa keterangan langsung SP3, bahawa beliau menyaksikan sendiri kedua-dua tertuduh sedang membungkus dadah pada masa serbuan, membuktikan ingredien milikan secara aktif dan sebenar dan bukannya semata-mata milikan konstruktif. Peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas tangkapan, iaitu pembakaran pondok dan kehilangan motosikal-motosikal, tidak berupaya menolak apa yang diperhati dan disaksikan sendiri oleh SP3 secara langsung semasa serbuan. [27] Persoalan yang perlu dirungkaikan adalah sama ada keadaan-keadaan yang dikemukakan oleh kedua-dua tertuduh menimbulkan keraguan munasabah mengenai milikan eksklusif mereka ke atas dadah berbahaya itu pada masa yang material. Dalam kes Abdullah Zawawi (supra.), Mahkamah Agung membuat pemerhatian bahawa dalam kes-kes di mana pihak polis bertindak atas maklumat dan wujud kebarangkalian bagi premis tempat dadah berbahaya ditemui berada dalam keadaan yang boleh diakses oleh orang lain, beban untuk mengecualikan kemungkinan akses oleh orang lain itu adalah terletak di bahu pihak pendakwaan dan bukan di pihak pembelaan. Berdasarkan fakta bahawa serbuan dalam kes ini adalah berasaskan maklumat yang diperolehi daripada seorang individu yang terlebih dahulu telah ditangkap untuk tujuan yang tidak berkaitan, iaitu Hemanath Kumar, pada hemat kami perayu-perayu telah mengguna pakai prinsip ini pada asas yang tepat. Walau bagaimana pun, penerapan prinsip dalam kes Abdullah Zawawi ini tidak bersifat mutlak dan ianya bergantung kepada fakta-fakta dan keadaan tertentu sesuatu kes. [28] Dalam kes ini, pondok yang diserbu tersebut bukanlah sebuah stor yang tidak digunakan atau premis yang terbiar. Secara hakikatnya, pondok itu sebenarnya merupakan sebuah tapak pemprosesan dadah berbahaya yang sedang beroperasi secara aktif pada masa serbuan. Generator sedang beroperasi, mesin “sealer” bersambung kepada punca kuasa dan dihidupkan, dan dadah berbahaya berada dalam berbagai peringkat pembungkusan berada dalam keadaan berselerak di atas lantai pondok. Rumusan munasabah yang boleh disimpulkan adalah bahawa operasi pembungkusan sedang berjalan secara aktif dan keadaan ini menunjukkan kehadiran berterusan orang yang menjalankannya di pondok tersebut. Menurut penilaian yang munasabah yang dibuat secara objektif, cadangan bahawa pondok itu telah atau boleh dimasuki oleh orang lain yang tidak diketahui semata-mata secara kebetulan sebelum ketibaan pasukan polis adalah sangat rendah kebarangkaliannya dan sama sekali tidak konsisten dengan fakta-fakta yang telah dibuktikan melalui keterangan kes pendakwaan. [29] Mengenai pembakaran pondok dan kehilangan motosikal-motosikal selepas tangkapan, mahkamah ini berpendapat bahawa peristiwa-peristiwa itu adalah lebih konsisten dan menjurus kepada kewujudan rakan sekutu kedua-dua tertuduh yang bertindak memusnahkan keterangan setelah mengetahui mengenai serbuan pihak polis. Keadaan ini sebenarnya tidak membantu kes pembelaan. Sebaliknya, ia hanya membuktikan kemungkinan bahawa sebenarnya wujud rakan sekutu kedua-dua tertuduh. Pada hemat kami, fakta ini tidak mengecualikan milikan kedua-dua tertuduh ke atas dadah berbahaya tersebut pada masa material serbuan itu dilakukan. [30] Berdasarkan alasan-alasan yang tersebut, kami mendapati alasan ini tidak bermerit. Kredibiliti SP3 — Konsistensi keterangan dokumentar dan teori penganiayaan [31] Seterusnya ialah mengenai isu konsistensi keterangan dokumentar. Pembelaan sebenarnya cuba menggunakan laporan tangkapan (Eksibit P36) bagi menyangkal keterangan lisan SP3. Walau bagaimanapun, pada hemat kami ini bukanlah suatu pendekatan yang tepat berdasarkan undang-undang yang terpakai. [32] Perbezaan antara ketinggalan dan percanggahan adalah kritikal dalam undang-undang keterangan. Percanggahan timbul apabila sesuatu dokumen menyatakan perkara yang berbeza atau yang bertentangan secara langsung dengan apa yang dinyatakan oleh saksi dalam keterangan lisannya. Kedua-dua versi yang berlawanan ini tidak boleh dikatakan benar kerana salah satunya pasti tidak benar. Sebaliknya, ketinggalan berlaku apabila sesuatu dokumen tidak mengandungi sesuatu butiran yang kemudiannya diberikan dalam keterangan lisan. Ketinggalan sedemikian tidak dengan sendirinya bermakna butiran tersebut tidak berlaku atau bahawa keterangan lisan tentangnya adalah tidak boleh dipercayai. [33] Peguam bela terpelajar berhujah bahawa keterangan SP3, khususnya pernyataan bahawa beliau melihat kedua-dua tertuduh sedang membungkus dadah semasa serbuan, tidak disokong oleh dan bercanggah dengan dua dokumen sezaman yang disediakan oleh SP3 sendiri. Dokumen itu ialah laporan tangkapan (Eksibit P36) dan borang bongkar (Eksibit P40). [34] Dalam laporan tangkapan (Eksibit P36), SP3 hanya semata-mata menyatakan bahawa beliau memperkenalkan dirinya kepada “dua orang lelaki India yang tidak memakai baju yang berada dalam pondok tersebut”. Dalam laporan tangkapan (Eksibit P36), tidak disebut tentang kedua-dua tertuduh yang kononnya sedang dalam perbuatan membungkus dadah berbahaya semasa serbuan dilakukan. Dalam borang bongkar (Eksibit P40) pula, barang-barang yang dirampas hanya semata-mata dicatat sebagai barang-barang yang dijumpai “di atas lantai pondok”, tanpa memperincikan perihal tentang sama ada mana-mana barang kes sedang dipegang atau dikendalikan secara aktif oleh mana-mana tertuduh. [35] Peguam bela terpelajar juga berhujah bahawa insiden yang kononnya tertuduh kedua membaling sebotol arak ke arah SP3 semasa percubaan tertuduh kedua melarikan diri juga tidak disebut langsung dalam laporan tangkapan (Eksibit P36). [36] Peguam bela terpelajar bergantung kepada keputusan Mahkamah Agung (ketika itu) dalam kes Gooi Loo Seng v. Public Prosecutor [1993] 3 CLJ 1; [1993] 2 MLJ 137; [1993] 1 MLRA 227; [1993] 2 AMR 1135 bagi cadangan bahawa kandungan borang bongkar yang bercanggah dengan keterangan seorang pegawai boleh menimbulkan keraguan yang memudaratkan kes pendakwaan. [37] Dalam kes Gooi Loo Seng (supra.), Mahkamah Agung mendapati borang bongkar yang disediakan sendiri oleh ketua pasukan serbuan adalah konsisten sepenuhnya dengan versi perayu bahawa sebenarnya bukan perayu tetapi pihak polis yang telah menjumpai dadah berbahaya yang menjadi subjek pertuduhan dalam kes tersebut. Dalam kes ini, borang bongkar menunjukkan bahawa ketua pasukan serbuan yang telah menjumpai dadah berbahaya tersebut. Menurut versi pihak polis, dadah berbahaya tersebut telah diambil oleh perayu dari bawah almari plastik dan diserah kepada pihak polis. Dalam keadaan sedemikian, borang bongkar dalam kes ini sendiri sebenarnya telah dengan nyata bercanggah dengan versi lisan pihak polis tentang bagaimana dadah berbahaya tersebut dijumpai. [38] Dalam mengamati prinsip undang-undang dalam kes Gooi Loo Seng, kami berpendapat prinsip berkenaan terpakai apabila terdapatnya percanggahan langsung dan nyata di antara dokumen sezaman dan keterangan lisan. Dengan erti kata lain, prinsip ini terpakai apabila kandungan dokumen itu secara positifnya bertentangan dengan versi lisan saksi dan kedua-dua versi tidak boleh dikatakan sama-sama sekali gus benar. Secara aplikasinya kepada fakta-fakta kes ini, Mahkamah ini mendapati prinsip yang diputuskan dalam kes Gooi Loo Seng tidak membantu perayu-perayu. Laporan tangkapan (Eksibit P36) tidak menyatakan sesuatu yang berlawanan atau bertentangan secara langsung dengan keterangan lisan SP3. Ia semata-mata tidak menyebut pemerhatian SP3 bahawa perayu-perayu sedang membungkus dadah. [39] Begitu juga dengan borang bongkar (Eksibit P40). Kandungan borang bongkar itu tidak menyatakan bahawa dadah tidak dikendalikan oleh mana-mana perayu, atau bahawa perayu-perayu tidak berada di pondok tersebut semasa serbuan. Dokumen-dokumen itu tidak menceritakan naratif yang berbeza. Ia semata-mata tidak menceritakan keseluruhan naratif. Ini adalah ketinggalan, bukan percanggahan. Perbezaan ini adalah asas yang membezakan kes ini daripada Gooi Loo Seng secara material. [40] Prinsip dalam kes Gooi Loo Seng yang berkaitan dengan percanggahan yang nyata antara dokumen sezaman dan keterangan lisan tidak terpakai kepada keadaan di mana dokumen itu hanya sunyi mengenai sesuatu butiran yang diberikan dalam keterangan lisan. Oleh yang demikian, ketinggalan pemerhatian mengenai perbuatan “membungkus dadah” dalam laporan tangkapan (Eksibit P36) dan borang bongkar (Eksibit P40) tidak, dari segi fakta, mewujudkan percanggahan yang sah yang boleh menjejaskan kebolehpercayaan SP3. Ketinggalan pemerhatian “membungkus dadah” dalam laporan tangkapan (Eksibit P36) merupakan satu ketinggalan dan bukannya satu percanggahan. Laporan tangkapan (Eksibit P36) tidak menyatakan sesuatu yang berlawanan dengan atau tidak konsisten secara langsung dengan keterangan lisan SP3. Ia semata-mata tidak menyebut satu aspek tertentu daripada apa yang disaksikan oleh SP3. Ianya tidak menunjukkan bahawa sabitan adalah tidak selamat untuk dikekalkan. [41] Peguam bela terpelajar turut bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lee Ah Seng & Anor v. PP [2007] 5 CLJ 1; [2007] 6 MLJ 1; [2007] 1 MLRA 784; [2007] 4 AMR 709. Peguam bela terpelajar berhujah bahawa ketinggalan suatu perkara penting dalam laporan maklumat pertama akan menghilangkan keterangan sokongan yang paling berharga kepada pihak pendakwaan dan menjadikan naratif pendakwaan mencurigakan. Ia juga akan menimbulkan keraguan munasabah berkenaan fakta yang ditinggalkan itu. Peguam bela terpelajar mengguna pakai prinsip ini secara khusus berhubung tiadanya sebarang nyataan dalam laporan tangkapan (Eksibit P36) mengenai perbuatan perayu kedua kononnya membaling sebotol arak ke arah SP3 semasa cuba melarikan diri. Peguam bela terpelajar berhujah bahawa peristiwa ini adalah begitu dramatik sehingga kegagalan merekodkannya menimbulkan syak tentang kebenaran keseluruhan versi SP3. [42] Pada hemat kami, pergantungan sedemikian kepada keputusan kes Lee Ah Seng (supra.) adalah tidak tepat. Keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes Lee Ah Seng (supra.) bukanlah mengenai laporan maklumat pertama (“FIR”) atau kandungan yang tertinggal daripada FIR itu sendiri. Keputusan tersebut adalah mengenai dapatan Mahkamah Persekutuan berhubung kredibiliti SP7 dan sebab Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa penerimaan keterangan SP7 oleh mahkamah bicara dibuat tanpa pertimbangan secara adil penjelasan bagi ketinggalan tersebut. [43] Dalam kes Lee Ah Seng (supra.) FIR menjadi asas untuk menguji kredibiliti SP7 yang memberi keterangan bahawa beliau melihat pembunuhan itu berlaku dan pelakunya tetapi tidak menyatakan perkara ini dalam FIR. Mahkamah Persekutuan mendapati SP7 bukan seorang saksi yang boleh dipercayai kerana penjelasan beliau mengenai sebab peristiwa tertentu tidak dinyatakan dalam FIR adalah pada dasarnya tidak munasabah. Mahkamah Persekutuan berpandangan bahawa ketinggalan tersebut adalah material kerana peristiwa yang sengaja ditinggalkan daripada FIR tersebut oleh SP7 adalah peristiwa yang berkaitan dengan penglibatan perayu-perayu sebagai pelaku. [44] Mahkamah Persekutuan adalah tidak munasabah bagi SP7 untuk tidak menyebut perkara tersebut dalam FIR sekiranya benar SP7 telah melihat pelaku jenayah itu. Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa adalah tidak semula jadi bagi seseorang yang mendakwa telah melihat orang lain melakukan suatu jenayah untuk melaporkan jenayah tersebut dan namun menyembunyikan identiti pelakunya. Ianya memerlukan satu alasan yang kukuh untuk menghalang seseorang daripada mendedahkan pelaku kesalahan tetapi alasan yang diberi oleh SP7 adalah lemah. [45] Adalah amat penting untuk diperhatikan bahawa Mahkamah Persekutuan turut menegaskan bahawa ketelusan keterangan SP7 tidak akan terjejas sekiranya terdapat penjelasan yang munasabah bagi kegagalan menyatakan peristiwa tersebut dalam FIR. [46] Mahkamah Persekutuan mendapati penjelasan yang diberikan oleh SP7 bagi ketinggalan menyatakan dalam FIR bahagian kedua peristiwa yang berlaku tersebut, iaitu kerana beliau bimbang anak-anak Sanip akan bergaduh dengan perayu kedua (Ah Hong), adalah pada dasarnya tidak munasabah. Mahkamah Persekutuan turut mendapati bahawa mahkamah bicara semata-mata menerima penjelasan SP7 tanpa menimbangnya secara adil. Mahkamah bicara tidak memberikan pertimbangan kehakiman yang mencukupi terhadap penjelasan tersebut, sebaliknya hanya menepis ringkas cabaran itu dengan menganggap penjelasan tersebut sebagai sesuatu yang tidak mustahil untuk dipercayai. [47] Mahkamah Persekutuan merujuk kepada tiga autoriti India bagi menyokong prinsip berkenaan ketinggalan menyatakan sesuatu perkara penting dalam FIR. Pada pandangan kami, jika diteliti dengan lebih dekat ketiga-tiga autoriti India yang dirujuk oleh Mahkamah Persekutuan tersebut, adalah jelas bahawa ketiga-tiga keputusan mahkamah India itu adalah berkaitan dengan isu kredibiliti saksi apabila dinilai berbanding laporan polis yang dibuat oleh mereka. Ia sama sekali bukan mengenai laporan polis semata-mata. [48] Dalam kes Timhar Jimdani Ong & Anor v. PP [2010] 3 CLJ 938; [2010] 1 MLJ 775; [2009] 4 MLRA 46, Mahkamah Rayuan menegaskan prinsip ini. Laporan polis adalah dokumen ringkas yang berfungsi sebagai permulaan kepada siasatan lanjut dan bukan sebagai pernyataan lengkap tentang keseluruhan keterangan. Prinsip ini seiring dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Herchun Singh & Ors v. PP [1969] CLJU 52; [1969] 2 MLJ 209; [1969] 1 MLRA 382 yang menerima komentari nukilan autoritatif Sohoni dalam Indian Criminal Procedure Code (16th edn, Vol I, p. 750) bahawa laporan pertama maklumat bukanlah ensiklopedia dan bukanlah permulaan dan pengakhiran setiap kes, tetapi semata-mata satu aduan untuk menggerakkan undang-undang. Walaupun autoriti Herchun Singh (supra.) merujuk khusus kepada laporan maklumat pertama, prinsip yang sama bagi tujuan kes ini terpakai kepada laporan tangkapan. Laporan tangkapan hanya mendokumentasikan unsur-unsur asas tangkapan. Ia tidak berhasrat untuk menetapkan, semata-mata melalui laporan itu sahaja, keseluruhan keterangan yang menyokong kes dan fakta mengenai tangkapan tersebut. [49] Walau apa sekalipun jenis laporan polis itu, tiada sebarang keperluan bagi ia menyenaraikan setiap perkara yang dilaporkan secara terperinci. Malah, adalah perkara biasa bagi laporan polis untuk meninggalkan pelbagai aspek material sesuatu kes. Tetapi ketinggalan sedemikian tidak seharusnya menjadi ambang untuk membentuk satu cabaran yang sah terhadap kes pendakwaan melainkan wujud satu percanggahan yang jelas dan langsung. Satu situasi luar biasa hanya patut terpakai dalam kes-kes di mana percanggahan yang jelas di antara laporan polis dan keterangan saksi-saksi boleh dibuktikan. Ia tidak seharusnya terpakai dalam keadaan-keadaan di mana sekadar ketinggalan berlaku dalam laporan polis. Laporan polis tidak dimaksudkan untuk menjadi dokumen yang menyeluruh dan komprehensif. Dari segi undang-undang, sifat ini adalah tuntas bagi setiap laporan polis. [50] Begitu juga dengan ketinggalan insiden membaling botol arak daripada laporan tangkapan (Eksibit P36). Walaupun insiden itu dramatik, ketinggalannya dalam laporan tangkapan (Eksibit P36) adalah konsisten dengan sifat dokumen itu yang ringkas dan tidak menyeluruh. Ia tidak mewujudkan sebarang percanggahan yang boleh menjejaskan kebolehpercayaan SP3. Ketinggalan peristiwa botol arak daripada laporan tangkapan (Eksibit P36) adalah selaras dengan sifat ringkas laporan tangkapan sebagaimana yang diiktiraf oleh undang-undang. Ia bukan ketinggalan seperti dalam kes Lee Ah Seng yang menimbulkan syak yang berat terhadap kes pendakwaan. Atas alasan-alasan ini, Mahkamah ini mendapati bahawa prinsip dalam kes Lee Ah Seng (supra.) tidak membantu perayu-perayu dalam rayuan ini. [51] Pada pengamatan kami, pihak pembelaan cuba membawa pendekatan bahawa kedua-dua tertuduh sebenarnya dianiayai. Semasa pemeriksaan balas, SP3 telah dicabar dalam konteks bahawa kononnya SP3 telah mengarang cerita bahawa beliau melihat kedua-dua tertuduh sedang membungkus dadah, sedangkan hakikatnya kedua-dua tertuduh telah ditangkap di tempat lain lalu dibawa ke pondok itu dan bukannya di sana. Melalui dakwaan yang menjadi asas cabaran ini, peguam bela terpelajar mencabar laporan tangkapan (Eksibit P36) yang tidak menghuraikan secara terperinci perbuatan membungkus itu dan kemudiannya cuba menyimpulkan bahawa dalam erti kata itu, terdapat percanggahan antara laporan tangkapan (Eksibit P36), borang bongkar (Eksibit P40) dan keterangan SP3. [52] Pada dasarnya, ini adalah satu teori “penganiayaan” yang ditujukan terhadap SP3. Ianya dakwaan bahawa SP3 mengarang cipta suatu cerita untuk menjerat kedua-dua tertuduh bagi menguatkan kes pendakwaan. Mahkamah ini menolak teori ini atas alasan-alasan berikut. Bagi tujuan mendirikan teori “penganiayaan” sebagai suatu pembelaan, suatu asas yang kukuh mesti wujud bagi membuktikan motif yang mencukupi di pihak SP3 untuk mengarang cipta cerita berkenaan. Melalui rekod rayuan, apa yang jelas adalah bahawa pembelaan gagal membuktikan sebarang perasaan tidak puas hati, motif jahat atau perkenalan terdahulu antara SP3 dengan mana-mana tertuduh yang boleh menjadi asas bagi SP3 untuk menaruh niat jahat sedemikian. Tiada cadangan mahupun keterangan dikemukakan yang menunjukkan SP3 mengenali mana-mana tertuduh sebelum tangkapan, apatah lagi mempunyai sebab untuk mengada-adakan kes terhadap mereka. Prinsip undang-undang mapan seharusnya terpakai dalam keadaan ini, iaitu tiadanya motif atau perkenalan terdahulu di antara tertuduh dan pihak polis yang menganggotai pasukan serbuan adalah mudarat kepada teori “penganiayaan”. Dakwaan semata-mata tentang motif untuk menganiaya adalah tidak mencukupi. Pembelaan mestilah mengemukakan keterangan untuk membuktikan motif sedemikian. (Rujuk kes: Gan Too Cheh v. PP [2006] 2 SLR 220, Wan Amirul Mubin Wan Kamaruddin v. PP [2017] CLJU 1478; [2017] MLJU 1253; [2017] MLRAU 351, Dickson Levy Maria George v. PP [2018] CLJU 135; [2018] MLJU 98; [2018] MLRAU 49). Pembelaan dalam kes ini gagal berbuat demikian. [53] Fakta berikut juga tidak kurang pentingnya. SP3 tidak pergi ke tempat kejadian bagi tujuan menangkap kedua-dua tertuduh. SP3 berada di sana dalam konteks siasatan kes pembunuhan yang berlainan yang sama sekali tiada kaitan dengan kes terhadap kedua-dua tertuduh. Secara munasabahnya, adalah mustahil SP3 akan mengarang cipta satu kes palsu terhadap kedua-dua tertuduh yang tidak langsung dikenalinya yang ditemui secara kebetulan semasa menjalankan siasatan kes lain. Tanpa asas untuk suatu motif atau fakta mengenai perkenalan terdahulu, teori “penganiayaan” hanyalah tidak lebih daripada satu dakwaan kosong yang tidak disokong oleh mana-mana keterangan yang boleh diterima pakai. [54] HMT yang mempunyai kelebihan melihat dan mendengar sendiri keterangan SP3, mendapati SP3 sebagai saksi yang boleh dipercayai yang memberikan keterangan dalam keadaan yang jelas dan tidak teragak-agak, dan kekal tidak tergugat semasa pemeriksaan balas. Mahkamah Persekutuan dalam kes Parlan Dadeh v. PP [2009] 1 CLJ 717; [2008] 6 MLJ 19; [2008] 2 MLRA 763 memberi peringatan bahawa mahkamah rayuan harus berhati-hati dalam menggantikan penilaian kredibiliti hakim bicara dengan penilaian kredibilitinya sendiri kerana hakim bicara mempunyai kelebihan pemerhatian langsung semasa perbicaraan. Kami tidak menemui sebarang alasan yang mencukupi untuk mengganggu dapatan kredibiliti yang dibuat oleh HMT terhadap SP3. [55] Berdasarkan alasan-alasan tersebut, kami mendapati alasan rayuan ini tidak mempunyai merit. Inferens menentang di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 [56] Peguam bela terpelajar berhujah bahawa kegagalan pihak pendakwaan memanggil pemilik-pemilik berdaftar ketiga-tiga motosikal, iaitu Anbarasi a/p Tanabal, Gayathri a/p Subramaniam dan Parodi a/p Krishnan, serta pemilik berdaftar tanah tempat pondok itu didirikan, mengundang pemakaian inferens menentang di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950. Peguam bela terpelajar berhujah bahawa keterangan saksi-saksi ini adalah penting untuk menentukan siapakah orang lain berada di pondok itu atau mempunyai akses kepada pondok itu pada 26.08.2021. Peguam bela terpelajar merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Ti Chuee Hiang v. Public Prosecutor [1995] 3 CLJ 1; [1995] 2 MLJ 433; [1995] 1 MLRA 354 sebagai autoriti. [57] TPR terpelajar berhujah bahawa pendakwaan tidak diwajibkan memanggil pemilik-pemilik motosikal tersebut kerana dadah tidak dijumpai pada motosikal-motosikal itu. TPR terpelajar juga menyatakan bahawa saksi-saksi berkenaan telah ditawarkan kepada pembelaan tetapi pembelaan menolak untuk memanggilnya. TPR terpelajar selanjutnya berhujah bahawa siasatan SP4 melalui rakaman percakapan telah membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh menggunakan motosikal-motosikal itu. [58] Mengenai persoalan ini, pemakaian inferens menentang di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 adalah budi bicara yang tersedia kepada mahkamah yang boleh digunakan apabila keterangan yang sepatutnya berada di tangan pendakwaan disembunyikan tanpa penjelasan yang mencukupi. Kami menerima hujah TPR terpelajar bahawa fakta mengenai dadah yang tidak dijumpai pada motosikal-motosikal itu adalah tidak relevan dengan tujuan saksi-saksi ini kononnya diperlukan. Saksi-saksi berkenaan adalah relevan bukan kerana dadah berbahaya telah ditemui pada motosikal mereka tetapi kerana mereka mungkin mempunyai pengetahuan tentang siapa yang menggunakan pondok itu atau berada di situ pada tarikh material. [59] Mahkamah Persekutuan dalam kes Ghasem Hozouri Hassan v. PP [2018] 6 CLJ 133; [2019] 6 MLJ 231; [2018] 4 MLRA 169 telah mengulangi peringatan mengenai kaedah pemakaian prinsip inferens menentang ini. Mahkamah Persekutuan menerangkan bahawa inferens sedemikian hanya wajar dibuat jika saksi atau keterangan yang tidak dikemukakan adalah material, sengaja disembunyikan dan dilakukan dengan niat untuk menjejaskan pembelaan. Pendakwaan tidak diwajibkan memanggil semua saksi. Memadai sekiranya saksi yang dipanggil mencukupi untuk membuktikan ingredien pertuduhan dan melengkapkan naratif kes pendakwaan. Selagi kes pendakwaan telah lengkap, mencukupi dan tidak mempunyai kelompangan yang material, kegagalan memanggil saksi tertentu tidak menjustifikasikan pemakaian inferens menentang di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950. Ini ialah kedudukan sebenar undang-undang. Dalam menyampaikan keputusan Mahkamah Persekutuan, Yang Amat Arif Md Raus Sharif KHN memutuskan seperti berikut yang dipetik dalam bahasa asal penghakimannya: “[48] The law pertaining to s. 114(g) of the Evidence Act is settled. Under s. 114(g) of the Evidence Act 1950, the court may presume that evidence which could be and is not produced would if produced be unfavourable to the person who withholds it. The usage of the word ‘may’ gives the discretion to the court whether or not to invoke the adverse inference to a given set of facts. It is not a mandatory inference. To draw an adverse inference against the prosecution, the court must be satisfied that the witness that was not offered was a material witness, the prosecution purposely withholds evidence which it possessed and which was always available; and that what the prosecution did was done with an ulterior motive to frustrate the defence. (Nanda Kumar Kunyikanan & Anor v. PP [2011] 8 CLJ 406). [49] The aforesaid authority above set out is the correct position of the law, that is, court will not invoke an adverse inference against prosecution if it believes that the facts and/or the prosecution’s reasons for not calling the supposed material witnesses show no cause for it. Moreover, the prosecution only needs to produce witnesses who are necessary in the unfolding of its complete narrative, that is, to prove the essential elements of the crime and in this case, custody, control, and knowledge. Applying the above principles to our present case, we are satisfied that there was no evidence to suggest even the slightest inkling that the prosecution withheld testimonies by Javad @ Hasan Tiren and Samaneh Momen in a deliberate scheme to impair the truth or frustrate the appellant’s defence. [50] Further, in the case of Siew Yoke Keong v. PP (supra) this court had succinctly laid down that witnesses for prosecution are indispensable only insofar as they are necessary in establishing a prosecution’s case beyond a reasonable doubt. Thus, any calling of witness beyond that minimum requirement is within prosecutorial discretion. In the end, it is the sufficiency of the evidence that matters. As long as there are no unsatisfactory features or gaps in the prosecution’s case, an order of adverse inference is not imperative. It is our view, on the facts of this case, adverse inference under s. 114(g) of the Evidence Act, could not be invoked against the prosecution.”. [60] Mahkamah ini mengambil kira fakta bahawa pihak pendakwaan telah menawarkan saksi-saksi ini kepada pihak pembelaan seperti hujah TPR terpelajar. Berdasarkan keadaan-keadaan kes ini, kami berpendapat tidak wujud asas yang mencukupi bagi pemakaian inferens menentang terhadap pendakwaan. [61] Atas alasan-alasan tersebut, alasan rayuan ini juga tidak mempunyai merit. Rantaian jagaan barang kes dan identiti eksibit [62] Mengenai integriti barang kes dadah, HMT telah menganalisis rantaian jagaan secara terperinci. Kesilapan menaip dalam nombor rujukan makmal dalam Eksibit P35, iaitu “20-FR-K-04780” berbanding nombor yang betul “21-FR-K-04780” adalah kesilapan perkeranian yang tidak menjejaskan identiti atau integriti eksibit. SP3, SP4 dan SP2 setiap seorang memberi keterangan yang konsisten dengan jumlah keseluruhan 442 paket yang berada dalam rantaian jagaan sepanjang masa. Eksibit-eksibit itu ditanda secara individu dan dikenal pasti dengan tepat. Tiada saksi pembelaan mendakwa atau membuktikan bahawa mana-mana eksibit telah diubah, diganti atau dikendalikan secara tidak betul. Pada hemat kami, dapatan HMT bahawa rantaian jagaan adalah kukuh dan tidak terputus adalah tepat. Milikan, anggapan pengedaran dan pembelaan [63] Berdasarkan keterangan langsung SP3 dan keadaan fizikal tempat kejadian, iaitu operasi pembungkusan yang aktif, kedua-dua tertuduh dalam kedudukan langsung berhampiran dadah dan peralatan, serta tingkah laku tertuduh kedua dalam cuba melarikan diri yang menunjukkan pengetahuan bersalah, milikan ke atas dadah berbahaya itu telah dibuktikan secara memuaskan. Elemen-elemen milikan seperti yang diperincikan dalam kes Chan Pean Leon (supra.) yang memerlukan kawalan atau jagaan dan pengetahuan tentang sifatnya sebagai dadah berbahaya telah dibuktikan melalui keterangan SP3 yang tidak tergugat. [64] Apabila HMT mendapati ingredien milikan dadah berbahaya tersebut terhadap kedua-dua tertuduh secara niat bersama telah berjaya dibuktikan melalui keterangan dan berat keseluruhan dadah berbahaya yang menjadi subjek pertuduhan melebihi ambang statutori yang ditetapkan sebanyak 15 gram, anggapan statutori pengedaran di bawah seksyen 37(da)(iiia) ADB 1952 hendaklah terpakai. (Rujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Jazlie Jaafar v. PP [2020] 2 CLJ 28; [2019] 6 MLRA 575). HMT juga mendapati bahawa kedua-dua tertuduh gagal menyangkal anggapan statutori ini atas imbangan kebarangkalian. [65] Pembelaan yang dikemukakan oleh kedua-dua tertuduh adalah penafian terhadap kes pendakwaan. Mereka mendakwa sedang menggembala lembu di kawasan berhampiran dan tidak berada di dalam pondok. HMT menolak pembelaan ini dan membuat dapatan bahawa ianya tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Ini adalah selaras dengan prinsip yang diputuskan oleh Mahkamah Agung dalam kes Mohamad Radhi Yaakob (supra.). Dalam menyampaikan penghakiman Mahkamah Agung, Yang Arif Mohd. Azmi HMA mengutarakan panduan berikut yang dipetik dalam bahasa asal penghakimannya: “We are of the view that whenever a criminal case is decided on the basis of the truth of the prosecution case as against the falsity of the defence story, a trial Judge must in accordance with the principle laid down in Mat v. PP [1963] 1LNS 82 go one step further before convicting the accused by giving due consideration as to why the defence story though could not be believed did not raise a reasonable doubt on the prosecution case. Thus, even though a Judge does not accept or believe the accused explanation, the accused must not be convicted until the Court is satisfied for sufficient reason that such explanation does not cast a reasonable doubt on the prosecution case. To satisfy this test it is not so much the words used by the Judge, but rather the actual application of the test to the facts of the case that matters.”. Hukuman [66] Berkenaan dengan hukuman, kami mendapati HMT telah menggunakan garis panduan yang betul dalam melaksanakan budi bicaranya di bawah seksyen 39B(2) ADB 1952 yang telah dipinda, yang membenarkan mahkamah memilih antara hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan minimum 12 sebatan rotan. Kami juga mendapati hukuman 30 tahun penjara dan 15 sebatan rotan yang masing-masing dijatuhkan kepada tertuduh pertama dan tertuduh kedua adalah setimpal dengan keadaan-keadaan kes ini, termasuk berat dadah dan faktor pemberat yang diambil kira oleh HMT. Hukuman sedemikian berada dalam lingkungan budi bicara yang wajar. Mahkamah ini tidak menemui sebarang alasan untuk campur tangan dengan hukuman. Kesimpulan [67] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan secara terperinci dalam penghakiman ini, mahkamah ini mendapati bahawa sabitan terhadap kedua-dua tertuduh oleh Mahkamah Tinggi adalah selamat dan disokong dengan baik oleh keterangan yang dikemukakan. HMT tidak tersilap dalam penilaian beliau terhadap keterangan pendakwaan, dalam menolak pembelaan kedua-dua tertuduh, atau dalam menentukan dan menjatuhkan hukuman yang sesuai atas kesalahan-kesalahan yang telah disabitkan. Tiada alasan bagi mahkamah ini untuk campur tangan dengan sabitan mahupun hukuman. [68] Oleh yang demikian, kami sebulat suara menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman. Sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap tertuduh pertama dan tertuduh kedua adalah disahkan sepenuhnya. Bertarikh pada 1 Julai 2026. - sgd - AHMAD SHAHRIR MOHD SALLEH HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA Mewakili perayu: RSN Rayer (Tetuan R. Nethaji Rayer & Co) Mewakili responden: Ahmad Nazneen bin Zulkifli Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.