Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU
JA-12BNCC-11-08/2025
High Court of Malaysia3 Apr 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ipan mahupun keperluan bagi hakim perbicaraan untuk mendengar dan memutuskan tuntutan berdasarkan isu yang tidak diplidkan tersebut. (Lihat : Pioneer Conglomerate Sdn Bhd v. Tenggara Kapital Sdn Bhd [2023] CLJU 1626).”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU
1
[yang berniaga atas nama dan gaya CEMARA AGRICULTURAL (satu perkongsian Syarikat :
2
[yang berniaga atas nama dan gaya CEMARA AGRICULTURAL (satu perkongsian Syarikat: ...PERAYU-PERAYU [No. Syarikat : 199403055982 (MA0003704-V)] ...RESPONDEN DIDENGAR BERSAMA DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU RAYUAN SIVIL NO. : JA-12BNCC-12-08/2025 [No. Syarikat : 199403055982 (MA0003704-V)]
1
[yang berniaga atas nama dan gaya CEMARA AGRICULTURAL (satu perkongsian Syarikat :
2
[yang berniaga atas nama dan gaya CEMARA AGRICULTURAL (satu perkongsian Syarikat: ...RESPONDEN-RESPONDEN DALAM MAHKAMAH SESYEN DI JOHOR BAHRU GUAMAN SIVIL NO. : JA-B52NCC-16-02/2021 [No. Syarikat : 199403055982 (MA0003704-V)]
1
[yang berniaga atas nama dan gaya CEMARA AGRICULTURAL (satu perkongsian Syarikat :
2
[yang berniaga atas nama dan gaya CEMARA AGRICULTURAL (satu perkongsian Syarikat: ...DEFENDAN-DEFENDAN
1
Ini adalah dua rayuan yang didengar bersama yang berbangkit daripada keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (“HMS”) bertarikh 24.07.2025 dalam Guaman Sivil No. : JA-B52NCC-16-02/2021.
2
Dalam Rayuan Sivil No. : JA-12BNCC-11-08/2025 ("Rayuan No. 11"), Tan Kim Tiong dan Tan Cherk Yik yang berniaga atas nama dan gaya Cemara Agricultural Construction ("Defendan-defendan") merayu terhadap keputusan HMS yang telah membenarkan sebahagian tuntutan Sin Yap Excavating & Building Works ("Plaintif") sebanyak RM711,922.76 bagi kerja-kerja di Felda Pasir Raja.
3
Dalam Rayuan Sivil No. : JA-12BNCC-12-08/2025 ("Rayuan No. 12"), Plaintif merayu terhadap keputusan HMS yang telah menolak tuntutan Plaintif sebanyak RM270,404.19 bagi kerja-kerja di Felda Ayer Hitam.
4
Bagi memudahkan rujukan dan keselarasan, pihak-pihak akan dirujuk sebagaimana kedudukan mereka di Mahkamah Sesyen.
5
Plaintif ialah sebuah perniagaan perkongsian. Defendan-defendan ialah rakan kongsi perniagaan perkongsian yang dikenali sebagai Cemara Agricultural Construction ("Cemara"). Defendan Pertama ialah bapa kepada Defendan Kedua.
6
Pada 01.08.2019, Felda Technoplant Sdn Bhd ("Felda") telah melantik Koperasi Peneroka Felda Pasir Raja Berhad ("Koperasi") untuk menjalankan projek pembangunan tanam semula sawit di Felda Pasir Raja, Peringkat 3A dan 3F, Kulai, Johor dengan nilai kontrak sebanyak RM960,253.60.
7
Pada 04.08.2019, Koperasi telah melantik Cemara Agricultural Construction sebagai sub-kontraktor bagi menyempurnakan kontrak tersebut.
8
Plaintif mendakwa bahawa melalui satu perjanjian bertarikh 27.08.2019 ("Perjanjian"), Defendan-defendan telah mengarahkan Plaintif untuk membuat kerja-kerja pembangunan tanaman semula kelapa sawit di kawasan Felda Pasir Raja. Plaintif juga mendakwa bahawa Defendan-defendan telah mengarahkan Plaintif secara lisan untuk menjalankan kerja yang sama di Felda Ayer Hitam.
9
Plaintif menuntut jumlah keseluruhan sebanyak RM982,326.95 yang terdiri daripada RM711,922.76 untuk Pasir Raja dan RM270,404.19 untuk Ayer Hitam.
10
HMS telah membenarkan tuntutan bagi Pasir Raja sebanyak RM711,922.76 dengan faedah 5% setahun dari tarikh penghakiman dan kos tindakan sebanyak RM20,000.00, tetapi menolak tuntutan bagi Ayer Hitam.
11
Berdasarkan Memorandum Rayuan bagi kedua-dua Rayuan dan hujahan pihak-pihak, saya perlu memutuskan isu-isu yang berikut –
a
sama ada HMS telah terkhilaf dalam memutuskan bahawa Perjanjian bertarikh 27.08.2019 adalah sah dan mengikat pihak-pihak; (Rayuan No. 11)
b
sama ada HMS telah terkhilaf dalam memutuskan bahawa Plaintif telah membuktikan bahawa kerja-kerja kontrak di Felda Pasir Raja telah dilaksanakan dan disempurnakan oleh Plaintif; dan (Rayuan No. 11)
c
sama ada HMS telah terkhilaf dalam menolak tuntutan Plaintif bagi kerja-kerja di Felda Ayer Hitam. (Rayuan No. 12)
12
Adalah undang-undang yang mantap bahawa Mahkamah rayuan tidak seharusnya campur tangan dengan penemuan fakta hakim perbicaraan melainkan penemuan tersebut adalah jelas salah ("plainly wrong"). (Lihat : Ng Hoo Kui & Anor v. Wendy Tan Lee Peng, Administrator Of The Estates Of Tan Ewe Kwang, Deceased & Ors [2020] 10 CLJ 1).
13
Walau bagaimanapun, campur tangan rayuan adalah dibenarkan dalam keadaan di mana hakim perbicaraan telah mengambil kira pertimbangan yang tidak relevan dan gagal memberikan pertimbangan sewajarnya kepada pertimbangan yang relevan, tiada penilaian sewajarnya terhadap keterangan atau penghakiman dibuat atas premis yang salah dari segi fakta atau undang-undang. (Lihat : Director of Forestry, Sabah & Anor v. Mau Kam Tong & Ors And Another Appeal [2009] 3 MLRA 617; Lee Nyan Hon & Brothers Sdn Bhd v. Metro Charm Sdn Bhd [2009] 6 CLJ 626).
14
Berdasarkan latar belakang di atas, berikut adalah analisa dan keputusan saya bagi kedua-dua Rayuan. Rayuan No. 11 Isu Pertama : Kesahan Perjanjian bertarikh 27.08.2019
15
Defendan-defendan menghujahkan bahawa HMS telah terkhilaf dalam memutuskan bahawa Perjanjian tersebut adalah sah dan mengikat atas beberapa alasan yang berikut –
a
Plaintif gagal mengemukakan dokumen asal Perjanjian sepertimana dikehendaki oleh seksyen 73A Akta Keterangan 1950; dan
b
kronologi tarikh-tarikh yang bercanggah; dan
c
Defendan Pertama (SD5) menafikan telah menandatangani Perjanjian tersebut.
16
Plaintif pula berhujah bahawa –
a
alegasi pemalsuan tidak pernah diplidkan dalam Pembelaan dan hanya ditimbulkan sebagai "afterthought";
b
permohonan Defendan-defendan untuk menghantar Perjanjian untuk analisis kimia telah ditolak oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi; dan
c
permohonan untuk meminda Pembelaan bagi memasukkan butiran frod juga telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
17
Saya telah meneliti hujahan kedua-dua pihak dengan teliti dan mendapati, bagi isu pemalsuan, saya bersetuju dengan HMS dan Plaintif bahawa alegasi pemalsuan/frod tidak pernah diplidkan oleh Defendan-defendan dalam Pernyataan Pembelaan mereka. Ini bertentangan dengan undang-undang yang mantap bahawa pihak-pihak terikat dengan pliding mereka. Apabila sesuatu isu seperti pemalsuan tidak diplidkan, tidak ada kewajipan mahupun keperluan bagi hakim perbicaraan untuk mendengar dan memutuskan tuntutan berdasarkan isu yang tidak diplidkan tersebut. (Lihat : Pioneer Conglomerate Sdn Bhd v. Tenggara Kapital Sdn Bhd [2023]
18
Berhubung isu seksyen 73A Akta Keterangan 1950 [Akta 56], Defendan-defendan berhujah, dengan bersandarkan kepada kes Allied Bank (Malaysia) Bhd v. Yau Jiok Hua [1998] 2 CLJ 33, bahawa Plaintif gagal mengemukakan dokumen asal Perjanjian dan salinan yang dikemukakan tidak diperakui sebagai salinan sah selaras dengan seksyen 73A(2)(b) Akta 56.
19
Saya telah mempertimbangkan hujahan ini tetapi mendapati bahawa ia tidak boleh dipertahankan atas dua alasan.
20
Pertama, keterangan yang tidak dicabar menunjukkan bahawa Perjanjian bertarikh 27.08.2019 telah dilaksanakan secara counterpart dan ditukar antara pihak-pihak melalui e-mel. Defendan-defendan telah menandatangani salinan mereka dan menghantarnya melalui e-mel kepada Plaintif, manakala Plaintif (melalui SP3) telah menandatangani salinan Plaintif dan menghantarnya semula melalui e-mel. Seksyen 62 Akta 56, Penjelasan 1, memperuntukkan secara jelas bahawa "where a document is executed in counterpart, each counterpart being executed by one or some of the parties only, each counterpart is primary evidence as against the parties executing it".
21
Oleh itu, salinan counterpart yang ditandatangani oleh Defendan-defendan dan dihantar oleh mereka melalui e-mel adalah keterangan utama (primary evidence) terhadap Defendan-defendan dan bukan keterangan sekunder yang memerlukan pematuhan dengan seksyen 73A(2)(b) Akta 56. Kes Allied Bank dengan itu dibezakan. Dalam kes tersebut, ia melibatkan salinan dokumen yang dikemukakan sebagai keterangan sekunder, bukan counterpart yang dilaksanakan dan dihantar sendiri oleh pihak yang mempertikaikannya.
22
Kedua, walaupun seandainya dokumen tersebut hanya layak sebagai keterangan sekunder, seksyen 73A(2)(b) Akta 56 memberi kuasa kepada Mahkamah untuk menerima salinan dokumen asal sebagai keterangan jika Mahkamah berpuas hati bahawa kelewatan atau perbelanjaan yang tidak wajar akan terjadi sebaliknya. HMS telah menerima dan menanda Perjanjian tersebut sebagai Ekshibit P1 setelah menimbangkan keterangan SP2 mengenai printout e-mel. Penerimaan ini, pada pandangan saya adalah setara dengan pelaksanaan budi bicara di bawah seksyen 73A(2)(b) Akta 56.
23
Sehubungan dengan itu, saya mendapati bahawa HMS tidak terkhilaf dalam menerima Perjanjian tersebut sebagai Ekshibit P1.
24
Berhubung dengan isu kronologi yang dipertikaikan, Defendan-Defendan menghujahkan bahawa tarikh Perjanjian 27.08.2019 bercanggah dengan keterangan SP2 bahawa kerja bermula pada 01.08.2019 (iaitu sebelum Perjanjian ditandatangani) dan sebelum Cemara dilantik sebagai sub-kontraktor pada 04.08.2019. Saya turut mempertimbangkan mengenai percanggahan ini. Walau bagaimanapun, saya membuat pemerhatian bahawa Perjanjian tersebut telah ditukar melalui e-mel dan alamat e-mel Defendan-defendan (cemara.tkt@gmail.com) tidak pernah dinafikan oleh SD5. Ini menjadikan tindakan Defendan-defendan menghantar Perjanjian yang ditandatangani oleh mereka melalui e-mel kepada Plaintif mengukuhkan lagi kewujudan perjanjian yang sah.
25
Tambahan pula, SD5 sendiri mengakui bahawa tandatangan dalam Perjanjian "kelihatan seperti tandatangan saya tetapi bukan tandatangan saya" - jawapan yang kabur dan bersifat mengelak. Lebih penting lagi, SD5 mengakui tidak membuat laporan polis dan tidak menghantar dokumen tersebut untuk analisis forensik, dengan alasan perkara itu "tidak penting". Kegagalan ini amat ketara memandangkan pemalsuan adalah alegasi yang serius dan bersifat separa-jenayah.
26
Oleh yang demikian, saya mendapati bahawa HMS tidak terkhilaf dalam memutuskan bahawa Perjanjian bertarikh 27.08.2019 adalah sah dan mengikat pihak-pihak. Isu Kedua : Bukti Penyiapan Kerja di Felda Pasir Raja
27
Isu yang lebih penting dan yang memerlukan penelitian rapi adalah sama ada Plaintif telah membuktikan bahawa kerja-kerja kontrak di Felda Pasir Raja telah dilaksanakan dan disempurnakan oleh Plaintif. Ini merupakan isu berasingan daripada kesahan Perjanjian. Walaupun Perjanjian itu sah, persoalannya tetap sama ada Plaintif telah melepaskan beban buktinya untuk menunjukkan bahawa kerja tersebut sebenarnya telah dilaksanakan oleh Plaintif.
28
HMS dalam Alasan Penghakiman di perenggan [19]-[20] bergantung terutamanya kepada keterangan SP1 (Nor Iskandar Bin Osman, Penolong Pengurus Tapak Felda Pasir Raja) yang mengesahkan bahawa semua kerja di bawah kontrak telah disiapkan oleh Plaintif dari peringkat permulaan sehingga siap dan surat-surat pengesahan Felda (ID-13) dirujuk sebagai sokongan. HMS juga mendapati bahawa Defendan-defendan gagal mengemukakan bukti bayaran kepada kontraktor lain yang didakwa dan gagal memanggil Mohamad Jonaid serta pekerja asing sebagai saksi.
29
Defendan-defendan berhujah bahawa HMS telah terkhilaf kerana –
a
surat-surat pengesahan Felda (ID-13) yang dijadikan sandaran oleh Plaintif telah dipalsukan. SD1 (Pengurus Felda Pasir Raja), SD2 (Pengerusi Koperasi) dan SD4 (Pengawal Lapangan Felda) kesemuanya mengesahkan dokumen tersebut dipalsukan dan tidak berada dalam fail pejabat Felda;
b
SD1 dan SD2 telah membuat laporan polis masing-masing;
c
SP2 sendiri mengakui bahawa Plaintif tidak mempunyai rekod kerja sendiri dalam ikatan dokumen yang dikemukakan ke Mahkamah; dan
d
terdapat percanggahan material mengenai tarikh siap kerja.
30
Saya mendapati bahawa terdapat merit dalam hujahan Defendan-defendan mengenai isu ini. Penelitian terhadap keterangan mendedahkan beberapa kelemahan material dalam kes Plaintif yang tidak ditangani dengan secukupnya oleh HMS seperti yang berikut –
a
keterangan Surat Pengesahan Felda (ID-13) – Tiga saksi Defendan - SD1 (Pengurus Felda Pasir Raja pada masa material), SD2 (Pengerusi Koperasi) dan SD4 (Pengawal Lapangan Felda yang sedang berkhidmat), kesemuanya memberi keterangan bahawa surat-surat pengesahan (ID-13) yang dijadikan sandaran oleh Plaintif adalah palsu. SD1 secara tegas menyatakan "Ya, dipalsukan" dan menjelaskan perbezaan format surat. SD2 memberi keterangan bahawa walaupun tandatangan menyerupai tandatangannya, beliau tidak pernah menandatangani dokumen tersebut. SD4 mengesahkan bahawa dokumen tersebut tiada dalam fail pejabat Felda. Kedua-dua SD1 dan SD2 telah membuat laporan polis (Ekshibit D51 dan D53). HMS tidak memberikan alasan dalam Alasan Penghakimannya mengapa keterangan tiga saksi ini ditolak atau tidak diterima.
b
Ketiadaan Rekod Kerja Plaintif – Semasa pemeriksaan balas SP2 (Lim Sheng Kai), beliau mengakui bahawa Plaintif tidak mempunyai rekod kerja sendiri dalam ikatan dokumen mahkamah. Apabila ditanya sama ada terdapat bukti dalam ikatan dokumen yang membuktikan bahawa lori-lori tersebut kepunyaan Plaintif, SP2 akhirnya mengakui "Tidak ada". Ini merupakan kelemahan asas dalam kes Plaintif di mana seorang kontraktor yang mendakwa telah menyiapkan kerja bernilai lebih RM700,000.00 sepatutnya mempunyai rekod kerja, rekod mobilisasi pekerja dan rekod jentera;
c
Percanggahan Tarikh Siap Kerja – Tarikh siap kerja yang dikemukakan oleh Plaintif sendiri bercanggah antara satu sama lain. Pernyataan Tuntutan menyatakan kira-kira Disember 2020; SP2 memberi keterangan bahawa kerja siap pada 31.01.2020, manakala sijil Felda menunjukkan 30.11.2019. Percanggahan material ini menunjukkan bahawa Plaintif tidak mempunyai pengetahuan yang pasti mengenai tarikh siap kerja yang sebenar.
31
Pada masa yang sama, saya mempertimbangkan hakikat bahawa SP1, selaku Penolong Pengurus Tapak Felda pada masa material, memberi keterangan secara tegas dan konsisten bahawa semua kerja telah dilaksanakan oleh Plaintif dari mula hingga siap dan beliau yang mengawasi semua kerja tersebut. SP1 juga mengesahkan bahawa tiada kontraktor lain yang datang membuat kerja. Keterangan SP1 ini adalah keterangan langsung seseorang yang berada di tapak dan mengawasi kerja-kerja tersebut. Oleh itu, HMS mempunyai kelebihan audio-visual dalam menilai kebolehpercayaan saksi-saksi dan telah memilih untuk mempercayai SP1.
32
Namun begitu, saya mendapati bahawa HMS telah terkhilaf kerana tidak memberikan sebarang pertimbangan atau alasan mengapa keterangan SD1, SD2 dan SD4, yang merupakan saksi-saksi bebas, ditolak. Keterangan ketiga-tiga saksi ini selaku kakitangan Felda dan Koperasi yang tidak mempunyai kepentingan dalam pertikaian antara Plaintif dan Defendan-defendan disokong oleh laporan polis sewajarnya dipertimbangkan. Kegagalan HMS untuk mempertimbangkan dan memberikan alasan bagi penolakan keterangan saksi-saksi bebas ini merupakan kecacatan material dalam penilaian keterangan.
33
Dalam kes Gan Yook Chin & Anor v. Lee Ing Chin & Ors [2004] 4 CLJ 309, diputuskan bahawa campur tangan rayuan dibenarkan apabila keputusan dicapai tanpa penghargaan kehakiman terhadap keterangan. Dalam kes ini, saya mendapati bahawa HMS telah gagal menjalankan penilaian sewajarnya terhadap keseluruhan keterangan yang dikemukakan, khususnya dalam menimbang keterangan saksi-saksi pembelaan berbanding keterangan saksi-saksi Plaintif.
34
Walau bagaimanapun, setelah saya meneliti semula keseluruhan keterangan, saya mendapati bahawa keterangan SP1 tetap merupakan keterangan yang paling relevan dan langsung mengenai isu siapa yang melaksanakan kerja-kerja di tapak Felda Pasir Raja. SP1 merupakan satu-satunya saksi yang benar-benar berada di tapak dan mengawasi kerja-kerja tersebut secara langsung. Walaupun surat pengesahan ID-13 mungkin dipertikaikan dan sehingga kini kekal sebagai ID, keterangan lisan SP1 secara langsung bahawa beliau sendiri menyaksikan Plaintif melaksanakan kerja dari mula hingga siap dan bahawa tiada kontraktor lain di tapak, kekal sebagai keterangan yang kukuh. HMS mempunyai kelebihan melihat dan mendengar SP1 memberi keterangan dan telah memutuskan untuk mempercayai keterangan SP1. Oleh itu, saya tidak bersedia untuk mengganggu penemuan fakta tersebut.
35
Berhubung kegagalan Defendan-defendan mengemukakan bukti bayaran kepada kontraktor-kontraktor lain yang didakwa, saya bersetuju dengan penemuan HMS. Sekiranya Defendan-Defendan benar-benar telah melantik dan membayar kontraktor lain untuk menjalankan kerja-kerja tersebut, sudah tentu terdapat bukti bayaran yang boleh dikemukakan. Kegagalan Defendan-defendan memanggil Mohamad Jonaid bin Ilyas dan pekerja-pekerja asing sebagai saksi juga memberi hak kepada Mahkamah untuk mengaplikasikan prinsip adverse inference di bawah seksyen 114(g) Akta 56 bahawa keterangan mereka, jika diberi, akan bertentangan dengan kedudukan yang diambil oleh Defendan-defendan. Ditambah pula, semasa pemeriksaan balas, SP1 mengesahkan bahawa beliau tidak pernah berurusan dengan Mohamad Jonaid atau Koh Yaw (SD3) di tapak dan tiada kontraktor lain di tapak selain Plaintif. Keterangan SP1 ini melemahkan lagi hujahan Defendan-defendan.
36
Tambahan pula, SD5 sendiri mengakui bahawa tandatangan dalam Perjanjian "kelihatan seperti tandatangan saya tetapi bukan tandatangan saya". Pada hemat saya, jawapan ini adalah kabur dan bersifat mengelak. Lebih penting lagi, SD5 mengakui tidak membuat laporan polis dan tidak menghantar dokumen tersebut untuk analisis forensik dengan alasan perkara itu "tidak penting". Kegagalan ini amat ketara memandangkan pemalsuan adalah alegasi yang serius dan bersifat separa-jenayah. Seperti yang diputuskan dalam Alliance Bank Malaysia Berhad v. L.B.H Engineering Sdn Bhd [2022] 1 LNS 2006 (yang mengikuti Floral Trends Ltd v. Li Onn Floral Enterprise (M) Sdn Bhd [2006] 6 CLJ 525 dan Paldraman Palaniappan & Ors. v. Lachemi Sanganayar [1992] 4 CLJ 1870), dakwaan pemalsuan yang dibuat tanpa laporan polis dan tanpa bukti forensik hendaklah dianggap sebagai dakwaan kosong (bare allegation) yang tidak patut diberi sebarang weightage. Oleh itu, memandang SD5 gagal untuk membuktikan isu ini, dakwaan pemalsuannya tidak boleh diterima.
37
Selanjutnya saya mempertimbangkan hujahan Plaintif bahawa cek bertarikh 03.05.2021 berjumlah RM630,739.30 yang dikeluarkan oleh Cemara kepada Plaintif merupakan pengakuan liabiliti oleh Defendan-defendan bagi kerja-kerja di Felda Pasir Raja dan Felda Ayer Hitam. Plaintif juga memohon Mahkamah ini mengambil judicial notice terhadap cek tersebut dan berhujah bahawa tandatangan pada cek adalah sama dengan tandatangan pada Ekshibit P1.
38
Namun demikian, saya menolak hujahan ini atas alasan yang berikut–
39
Pertama, rekod perbicaraan menunjukkan bahawa HMS tidak membenarkan cek tersebut ditender sebagai keterangan berikutan bantahan oleh Defendan-defendan. Oleh itu, cek tersebut bukan merupakan sebahagian daripada keterangan yang sah di hadapan HMS dan tidak boleh dijadikan asas bagi penemuan fakta dalam rayuan ini.
40
Kedua, pengeluaran cek yang tidak ditunaikan tidak boleh ditafsirkan sebagai pengakuan liabiliti. Mahkamah Rayuan dalam kes Ch'ng Ghee Weng & Anor v. Lee Khoon Eng T/A Prestige Construction [2019] 1 LNS 34 telah memutuskan bahawa beban undang-undang kekal di atas Plaintif untuk membuktikan tuntutan dan pengeluaran cek, terutamanya apabila cek tersebut tidak didepositkan atau ditunaikan, tidak boleh ditafsirkan sebagai pengakuan liabiliti di pihak pengeluar cek.
41
Ketiga, cek tersebut merupakan sebahagian daripada komunikasi rundingan penyelesaian (without prejudice) dan dengan itu dilindungi oleh seksyen 23 Akta Keterangan 1950 [Akta 56]. Defendan-defendan tidak pernah merujuk kepada atau bergantung pada cek tersebut dalam prosiding dan sebaliknya telah membantah dengan tegas penerimaannya sebagai keterangan. Dalam keadaan demikian, tiada pengecualian atau waiver oleh Defendan-defendan. Ini selaras dengan prinsip yang ditetapkan dalam A-B Chew Investments Pte. Ltd. v. Lim Tjoen Kong [1989] 2 CLJ (Rep) 840 dan JP Logistics Sdn Bhd v. Holsten Marketing (M) Sdn Bhd [2021] 1 MLRH 13.
42
Berhubung permohonan Plaintif supaya Mahkamah mengambil judicial notice, saya mendapati bahawa cek persendirian antara pihak-pihak tidak tergolong dalam senarai fakta yang tertakluk kepada judicial notice di bawah seksyen 57 Akta 56. Cek tersebut juga bukan merupakan perkara yang "sufficiently notorious" yang boleh diterima umum tanpa pembuktian, seperti yang dikehendaki oleh prinsip dalam Pembangunan Maha Murni Sdn Bhd v. Jururus Ladang Sdn Bhd [1985] 1 MLRA 426.
43
Sehubungan dengan itu, cek bertarikh 03.05.2021 tidak memberi sebarang bantuan kepada kes Plaintif dalam kedua-dua Rayuan.
44
Oleh itu, walaupun saya mendapati bahawa Alasan Penghakiman HMS kurang lengkap dari segi penilaian keterangan saksi-saksi pembelaan, keputusan muktamadnya bahawa Plaintif telah membuktikan penyiapan kerja di Felda Pasir Raja adalah tidak "plainly wrong" apabila dinilai berdasarkan keseluruhan keterangan.
45
Sehubungan dengan itu, Rayuan No. 11 itu ditolak. Rayuan No. 12 Sama ada tuntutan Felda Ayer Hitam diplidkan dengan secukupnya
46
Dalam Rayuan No. 12, Plaintif merayu terhadap penolakan tuntutan bagi kerja-kerja di Felda Ayer Hitam sebanyak RM270,404.19. HMS mendapati bahawa kerja-kerja berkaitan projek di Ayer Hitam tidak termasuk dalam Perjanjian bertarikh 27.08.2019, tidak diplidkan, Malahan permohonan Plaintif untuk meminda Pernyataan Tuntutan setelah menutup kesnya telah ditolak. Oleh itu, tuntutan Plaintif bagi Ayer Hitam tidak dibenarkan.
47
Sebagai latar belakang, Plaintif telah memohon untuk meminda Pernyataan Tuntutan bagi memasukkan butir-butir kontrak lisan Ayer Hitam. Permohonan tersebut (Kandungan 140) telah ditolak oleh HMS pada 03.02.2025 dan rayuan Plaintif terhadap penolakan tersebut juga telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan permohonan pindaan tidak boleh dirayu. Saya dimaklumkan bahawa permohonan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan sedang dalam perbicaraan. Walau bagaimanapun, selagi tiada keputusan sebaliknya, saya perlu memutuskan Rayuan No. 12 berdasarkan pliding sebagaimana wujud pada masa ini, iaitu Pernyataan Tuntutan yang belum dipinda.
48
Oleh itu, saya telah meneliti pliding pihak-pihak. Perenggan 3 Pernyataan Tuntutan hanya memplidkan Perjanjian bertarikh 27.08.2019 yang merujuk secara khusus kepada kerja-kerja di Felda Pasir Raja. SP3 (Lim Ah Chuan) sendiri mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa tiada perjanjian bertulis untuk Ayer Hitam dan bahawa ia hanya berdasarkan arahan telefon. SP2 turut mengesahkan bahawa perjanjian untuk Ayer Hitam adalah secara lisan sahaja.
49
Adalah undang-undang yang mantap bahawa pihak-pihak terikat dengan pliding mereka. (Lihat : Dalam kes Samuel Naik Siang Ting v. Public Bank Bhd [2015] 8 CLJ 944). Saya mendapati bahawa fakta-fakta material mengenai kontrak lisan untuk Ayer Hitam tidak diplidkan dalam Pernyataan Tuntutan. Oleh itu, Plaintif tidak boleh menuntut berdasarkan fakta yang tidak diplidkan.
50
Plaintif selanjutnya berhujah bahawa Defendan-defendan sendiri dalam perenggan 4.3 Pernyataan Pembelaan telah mengakui kewujudan invois-invois bagi projek Ayer Hitam (hanya mempertikaikan bahawa ia adalah "projek yang berlainan") dan oleh itu tiada unsur kejutan (surprise) atau prasangka (prejudice) kepada Defendan-defendan. Plaintif juga merujuk kepada keterangan SP4 (pengurus tapak Felda Ayer Hitam) yang mengesahkan bahawa kerja di Ayer Hitam disiapkan oleh Plaintif dan pembayaran penuh telah dilepaskan kepada Defendan-defendan.
51
Namun demikian, saya menolak hujahan ini memandangkan pengakuan terhadap kewujudan invois tidak sama dengan pengakuan terhadap kewujudan kontrak lisan yang dikatakan menjadi asas bagi invois tersebut. Perenggan 4.3 Pernyataan Pembelaan dengan jelas mempertikaikan bahawa kerja-kerja di Ayer Hitam adalah "projek yang berlainan daripada kerja-kerja yang dilakukan oleh Plaintif untuk Defendan-defendan di Felda Pasir Raja", iaitu, Defendan-defendan menafikan tanggungjawab kontraktual bagi kerja-kerja di Ayer Hitam. Pengakuan yang terhad sedemikian tidak boleh menggantikan kewajipan Plaintif untuk memplidkan fakta-fakta material yang menyokong kausa tindakannya, iaitu kewujudan kontrak lisan, tarikh ia dimasuki, pihak-pihak kepadanya, terma-terma asasnya, dan arahan yang dikatakan diberi.
52
Berhubung keterangan SP4, walaupun keterangan tersebut diambil pada nilai yang paling tinggi, ia tidak boleh membantu Plaintif. Mahkamah rayuan tidak boleh memberikan penghakiman kepada Plaintif berdasarkan kausa tindakan yang tidak diplidkan, walau sekuat manapun keterangan yang menyokongnya. Prinsip ini, seperti yang diputuskan dalam Samuel Naik Siang Ting v. Public Bank Bhd [2015] 8 CLJ 944, adalah muktamad.
53
Selanjutnya, saya berpendapat bahawa pengakuan Defendan-defendan bahawa mereka menerima bayaran dari Felda hanya relevan kepada hubungan kontraktual antara Defendan-defendan dan kontraktor utama mereka di bawah kontrak yang berlainan - ia tidak membuktikan kewujudan kontrak tambahan antara Plaintif dan Defendan-defendan bagi tapak Ayer Hitam.
54
Plaintif berhujah bahawa oleh kerana permohonan pembatalan (striking out) oleh Defendan-defendan telah ditolak pada 23.06.2022, Defendan-defendan kini diestop daripada menimbulkan isu kecukupan pliding. Namun demikian, saya menolak hujahan ini.
55
Mahkamah Persekutuan dalam kes Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd v Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim [2015] 3 MLJ 609, telah memutuskan bahawa penolakan permohonan pembatalan adalah keputusan interlokutori yang tidak bersifat muktamad dan oleh itu tidak tertakluk kepada prinsip res judicata. (Lihat : juga Lin Wen-Chih & Anor v Pacific Forest Industries Sdn Bhd & Anor [2021] 4 MLJ 367).
56
Selaras dengan prinsip dalam kes Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn Bhd, Mahkamah mendapati bahawa penolakan permohonan pembatalan hanya bermakna bahawa tuntutan tidak boleh ditolak secara ringkas pada peringkat pra-perbicaraan. Namun ia tidak bermakna pliding adalah mencukupi untuk menyokong tuntutan tersebut.
57
Plaintif juga bergantung kepada seksyen 71 Akta Kontrak 1950 (quantum meruit) sebagai asas alternatif. Saya menolak hujahan ini atas alasan yang berikut –
58
Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 tidak pernah diplidkan dalam Pernyataan Tuntutan. Plaintif telah memilih untuk mendasarkan tuntutannya atas kewujudan kontrak lisan. Oleh itu, Plaintif, tidak boleh kini bergantung kepada seksyen 71 Akta Kontrak 1950 yang terpakai hanya apabila tiada hubungan kontraktual wujud. Ini adalah selaras dengan keputusan kes Tanjung Teras Sdn Bhd v Kerajaan Malaysia [2015] 9 CLJ 1002, bahawa liabiliti di bawah seksyen 71 Akta Kontrak 1950 bukan berasaskan kepada apa-apa kontrak sedia ada antara pihak-pihak tetapi berdasarkan prinsip restitution untuk mencegah pengkayaan tidak adil.
59
Oleh yang demikian, saya mendapati bahawa HMS tidak terkhilaf dalam menolak tuntutan Plaintif bagi kerja-kerja di Felda Ayer Hitam. Sehubungan dengan itu, Rayuan No. 12 adalah ditolak.
60
Berdasarkan pertimbangan-pertimbangan di atas, saya memutuskan seperti berikut –
a
Rayuan No. 11 (JA-12BNCC-11-08/2025) adalah ditolak. Keputusan HMS yang membenarkan tuntutan Plaintif sebanyak RM711,922.76 bagi kerja-kerja di Felda Pasir Raja adalah dikekalkan;
b
Rayuan No. 12 (JA-12BNCC-12-08/2025) adalah ditolak. Keputusan HMS yang menolak tuntutan Plaintif sebanyak RM270,404.19 bagi kerja-kerja di Felda Ayer Hitam adalah dikekalkan.
c
Kos bagi kedua-dua rayuan ditetapkan sebanyak RM8,000.00 setiap satu tertakluk kepada fi alokatur. Bertarikh : 3 April 2026 -tandatangan-Dr Noradura binti Hamzah Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sivil 2 Johor Bahru Peguamcara Plaintif : : Kalearasu a/l K. Veloo together with Eva Chang Chon Peng Tetuan S F Chan & Co. Peguamcara Defendan : : Shanker a/l Sivapragasam together with Angeline Yong Xiao Qi (Pupil-in-chambers)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.