Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: JA-12ANCvC-19-07/2025
JA-12ANCvC-19-07/2025
High Court of Malaysia5 Jan 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ang, jarang mengganggu dapatan fakta yang telah dibuat oleh hakim perbicaraan kecuali jika wujud salah arah yang nyata. Saya rujuk kes Mahkamah Rayuan, Lim Peng Hock & Anor v. Chuah Peng San & Anor [2021] CLJU 119 yang memutuskan – "It is trite law that an appellate court will not intervene unless the trial court is sh”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: JA-12ANCvC-19-07/2025
1
TAN HOCK SENG [NO. KP.: 471211-07-5047]
2
VICTOR TAN HAN FUNG [NO KP.: 770810-71-5157] … PERAYU-PERAYU DAN WONG LIAN SOON (NO. KP: 530910-01-5235) [Mendakwa sebagai Timbalan Pengerusi PERSATUAN PENDUDUK SENIBONG VILLA (No. Pendaftaran: PPM-018-01-19042016)] …… RESPONDEN (DALAM MAHKAMAH SESYEN DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO: JA-A52NCvC-36-01/2025 ANTARA WONG LIAN SOON (NO. K/P: 530910-01-5235) [Mendakwa sebagai Timbalan Pengerusi PERSATUAN PENDUDUK SENIBONG VILLA (No. Pendaftaran: PPM-018-01-19042016) …… PLAINTIF 06/02/2026 14:54:15 JA-12ANCvC-19-07/2025 Kand. 22
1
TAN HOCK SENG [NO.KP.: 471211-07-5047]
2
VICTOR TAN HAN FUNG [NO.KP.: 770810-71-5157]
3
VANESSA TAN YEE JUEEN [NO KP 831201-14-6020] …..…DEFENDAN-DEFENDAN) ALASAN PENGHAKIMAN (Lampiran 9)
1
Rayuan ini merupakan suatu rayuan interlokutori yang dibawa oleh Perayu-Perayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 20.6.2025 yang telah menolak Permohonan Defendan-Defendan di Lampiran 9, dengan kos dalam kausa, atas alasan bahawa permohonan tersebut adalah suatu penyalahgunaan proses Mahkamah dan tidak mempunyai asas undang-undang yang sah.
2
Permohonan di Lampiran 9 telah difailkan oleh Defendan-Defendan di Mahkamah Sesyen di bawah Aturan 92 kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (“KKM 2012”), dengan memohon antara lain suatu perintah supaya Plaintif membayar kepada Defendan-Defendan sejumlah RM391,971.90 dalam tempoh tujuh
7
hari, penggantungan prosiding tindakan ini [Writ Saman JA-A52NCvC- 36-01/2025], dan seterusnya penolakan tindakan Writ Saman ini sekiranya perintah pembayaran tersebut tidak dipatuhi.
3
Hakim Mahkamah Sesyen, selepas meneliti afidavit-afidavit sokongan dan jawapan, dokumen-dokumen yang dilampirkan, hujahan bertulis pihak-pihak serta autoriti yang dirujuk, telah mendapati bahawa permohonan tersebut tidak boleh dipertimbangkan sebagai suatu penggunaan sah kuasa ‘inherent’ Mahkamah. Sebaliknya, permohonan tersebut didapati sebagai satu percubaan untuk memintas proses litigasi biasa dan untuk mendapatkan relief yang pada hakikatnya bersifat ‘mandatory injunction’ sebelum bicara serta cubaan menguatkuasakan dapatan daripada prosiding lain yang berbeza.
4
Dalam rayuan ini, Perayu-Perayu pada asasnya berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila menolak Lampiran 9 dan bahawa Mahkamah Sesyen sepatutnya menggunakan kuasa ‘inherent’ di bawah Aturan 92 kaedah 4 KKM 2012 bagi mengelakkan ketidakadilan yang didakwa berpunca daripada satu prosiding terdahulu yang dikenali sebagai Guaman Sivil JA-A53-03-07/2017 (“Kes MS03”).
5
Responden pula menegaskan bahawa dapatan Hakim Mahkamah Sesyen adalah betul di sisi undang-undang, selari dengan prinsip mantap berhubung skop kuasa ‘inherent’ Mahkamah, serta bertepatan dengan prinsip kebolehterimaan penghakiman terdahulu di bawah Akta Keterangan 1950 (EA 1950). Responden berhujah bahawa
Lampiran
Lampiran 9 adalah suatu permohonan yang bersifat menekan, tidak ‘bona fide’, dan merupakan penyalahgunaan proses Mahkamah. 6. Oleh yang demikian, persoalan utama di hadapan Mahkamah ini ialah sama ada terdapat sebarang salah arah prinsip atau ketidakadilan nyata dalam keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang boleh mewajarkan campur tangan Mahkamah Tinggi dalam kapasiti rayuannya. 7. Pendekatan Mahkamah ini terhadap Rayuan Fakta & Undang-Undang, jarang mengganggu dapatan fakta yang telah dibuat oleh hakim perbicaraan kecuali jika wujud salah arah yang nyata. Saya rujuk kes Mahkamah Rayuan, Lim Peng Hock & Anor v. Chuah Peng San & Anor [2021] CLJU 119 yang memutuskan – "It is trite law that an appellate court will not intervene unless the trial court is shown to be plainly wrong in arriving at its conclusion and where there has been insufficient judicial appreciation of the evidence. The appellate court will intervene in a case where the trial court had so fundamentally misdirected itself." 8. Prinsip yang sama juga telah diiktiraf di dalam kes Mahkamah Rayuan Lee Ing Chin @ Lee Teck Seng v. Gan Yook Chin & Anor [2003] 2 CLJ 19 dan kes Goh Bak Ming v Yeoh Eng Kong & Other Appeals [2019] 1 CLJ 461. 9. Oleh itu berdasarkan kes otoriti di atas, Mahkamah ini tidak akan mengganggu dapatan fakta Hakim Mahkamah Sesyen kecuali dapatan tersebut ‘plainly wrong’, pihak yang merayu mempunyai beban untuk membuktikan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tersebut telah membuat dapatan dengan salah arah yang material. Mahkamah ini pada 5.1.2026 telah memutuskan untuk mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang diberikan pada 20.6.2025 dan menolak Rayuan Perayu dengan kos RM3000.00 dibayar oleh Perayu kepada Responden. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini, Perayu telah memfailkan Notis Rayuan bertarikh 27.1.2026 dan dikemukakan di sini Alasan Keputusan Mahkamah ini berkenaan Lampiran 9 tersebut. LATAR BELAKANG KES 10. Tindakan sivil ini dimulakan oleh Responden (Plaintif di Mahkamah Sesyen) terhadap Defendan-Defendan berhubung tuntutan caj penyelenggaraan tertunggak dan penalti lewat bayar berkaitan suatu pembangunan berpagar (‘Gated Development Services’) yang diuruskan oleh Plaintif. Tuntutan ini adalah suatu tuntutan kontraktual dan statutori yang berasingan serta berdiri sendiri. 11. Dalam perjalanan prosiding tersebut, Defendan-Defendan telah memfailkan Permohonan di Lampiran 9 di bawah Aturan 92 Kaedah 4 KKM 2012. Melalui permohonan ini, Defendan-Defendan tidak memfailkan sebarang tuntutan balas (‘counterclaim’) dalam tindakan utama, sebaliknya memohon perintah-perintah yang bersifat substantif dan muktamad terhadap Plaintif. 12. Asas utama Lampiran 9, sebagaimana dihuraikan dalam afidavit sokongan Defendan di Lampiran 10, adalah pergantungan kepada satu prosiding terdahulu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, iaitu Kes MS03. Dalam kes tersebut, Defendan-Defendan (sebagai Plaintif dalam MS03) telah memulakan tindakan terhadap Plaintif (sebagai Defendan dalam MS03) antara lain untuk mendapatkan injunksi bagi memastikan kenikmatan aman (‘quiet enjoyment’) terhadap hartanah mereka serta ganti rugi yang akan dinilai. 13. Dokumen-dokumen yang difailkan sebagai Jilid 2, yang dirujuk oleh Perayu-Perayu, merupakan dokumen-dokumen berkaitan Kes MS03, termasuk afidavit dan rekod prosiding terdahulu. Dokumen-dokumen ini dikemukakan bagi menyokong dakwaan bahawa dapatan atau perjalanan Kes MS03 seharusnya memberikan kesan langsung terhadap tindakan semasa. 14. Walau bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen mendapati bahawa tiada penghakiman atau perintah muktamad dalam Kes MS03 yang memberikan hak automatik kepada Defendan-Defendan untuk mendapatkan pembayaran wang atau penggantungan prosiding dalam tindakan semasa. Kes MS03 juga melibatkan isu dan relief yang berbeza sama sekali daripada tuntutan Plaintif dalam kes ini. 15. Hakim Mahkamah Sesyen seterusnya mendapati bahawa Defendan-Defendan, melalui Lampiran 9, pada hakikatnya cuba mendapatkan suatu bentuk ‘mandatory relief’ sebelum bicara, tanpa melalui mekanisme yang diperuntukkan oleh KKM 2012, dan tanpa membuktikan sebarang kekosongan prosedur yang membolehkan Mahkamah menggunakan kuasa inheren nya. 16. Dalam keadaan tersebut, Hakim Mahkamah Sesyen telah memutuskan bahawa Lampiran 9 adalah suatu penyalahgunaan proses Mahkamah, bahawa Aturan 92 kaedah 4 tidak boleh digunakan untuk memintas peruntukan prosedur yang jelas, dan bahawa Kes MS03 adalah tidak relevan serta tidak mengikat Mahkamah dalam tindakan ini. Permohonan tersebut telah ditolak dengan kos dalam kausa. HUJAHAN RINGKAS PIHAK-PIHAK (i) Hujahan Perayu 17. Perayu-Perayu berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah tersilap apabila menolak Permohonan di Lampiran 9 dan gagal menggunakan kuasa inheren Mahkamah di bawah Aturan 92 kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi mengelakkan ketidakadilan yang didakwa berpunca daripada prosiding terdahulu, iaitu Kes MS03. 18. Menurut Perayu-Perayu, Kes MS03 telah mendedahkan salah laku dan ketidakpatuhan oleh Responden yang, menurut mereka, sepatutnya menghalang Responden daripada meneruskan tuntutan caj penyelenggaraan dalam tindakan semasa. Perayu-Perayu berhujah bahawa adalah tidak adil dan menindas untuk membenarkan Responden meneruskan tindakan ini sedangkan isu-isu asas berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan telah dibangkitkan dalam Kes MS03. 19. Perayu-Perayu seterusnya menegaskan bahawa Mahkamah Sesyen mempunyai kuasa yang luas di bawah Aturan 92 kaedah 4 KKM 2012 untuk membuat apa-apa perintah yang perlu demi mencapai keadilan, termasuk perintah pembayaran wang, penggantungan prosiding dan penolakan tindakan, walaupun relief sedemikian tidak diperuntukkan secara khusus di bawah peraturan lain. 20. Perayu-Perayu juga berhujah bahawa permohonan di Lampiran 9 bukanlah suatu penyalahgunaan proses Mahkamah, sebaliknya merupakan suatu usaha ‘bona fide’ untuk mengelakkan percanggahan keputusan dan ketidakadilan substantif. Dalam menyokong hujahan ini, Perayu-Perayu merujuk kepada dokumen-dokumen dalam Jilid 2, iaitu dokumen-dokumen berkaitan Kes MS03, sebagai bukti bahawa Mahkamah perlu melihat kedua-dua prosiding secara keseluruhan dan holistik. 21. Ringkasnya, pendirian Perayu-Perayu adalah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah terlalu terikat kepada bentuk dan prosedur, dan gagal menggunakan kuasa inheren Mahkamah secara substantif untuk mencegah ketidakadilan, justeru keputusan tersebut wajar diketepikan dalam rayuan ini. (ii) Hujahan Responden 22. Responden berhujah bahawa Permohonan di Lampiran 9 adalah suatu penyalahgunaan proses Mahkamah yang nyata, dan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen adalah betul apabila menolaknya. Menurut Responden, Aturan 92 kaedah 4 KKM 2012 bukan suatu peruntukan bebas yang boleh digunakan untuk memintas atau mengatasi peraturan-peraturan prosedur yang jelas dan khusus dalam KKM 2012. 23. Responden menegaskan bahawa Perayu-Perayu, melalui Lampiran 9, pada hakikatnya cuba mendapatkan suatu ‘mandatory injunction’ sebelum bicara, serta cubaan untuk menguatkuasakan atau memindahkan kesan satu prosiding lain ke dalam kes ini, tanpa sebarang asas undang-undang yang sah. Responden berhujah bahawa jika Perayu-Perayu merasakan mereka mempunyai tuntutan terhadap Plaintif, mekanisme yang betul adalah melalui tuntutan balas atau tindakan berasingan, dan bukannya melalui permohonan di bawah kuasa inheren. 24. Responden seterusnya berhujah bahawa Kes MS03 adalah tidak relevan dan tidak mengikat Mahkamah dalam tindakan semasa. Menurut Responden, Kes MS03 melibatkan isu, fakta dan relief yang berbeza, dan tidak menghasilkan sebarang penghakiman ‘in rem’ atau perintah muktamad yang boleh memberi kesan langsung terhadap hak pihak-pihak dalam kes ini. Responden merujuk kepada prinsip kebolehterimaan penghakiman terdahulu di bawah seksyen 40 hingga 43 (EA 1950) 25. Berhubung penggunaan kuasa inheren, Responden menegaskan bahawa prinsip undang-undang adalah jelas bahawa kuasa tersebut hanya boleh digunakan sekiranya terdapat kelompangan prosedur (‘lacuna’) dan tidak boleh digunakan untuk bercanggah dengan atau memintas peruntukan bertulis yang sedia ada. Dalam menyokong pendirian ini, Responden merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi dalam Yomeishu Seizo Co Ltd & Ors v Sinma Medical Products (M) Sdn Bhd [1996] 2 MLJ 334. 26. Responden juga berhujah bahawa permohonan di Lampiran 9 adalah bersifat menekan, tidak ‘bona fide’, dan akan memprejudiskan Responden sekiranya dibenarkan, kerana ia akan menangguhkan penyelesaian tuntutan yang sah tanpa asas undang-undang yang kukuh. 27. Oleh yang demikian, Responden memohon agar rayuan ini ditolak dan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen dikekalkan sepenuhnya. ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN 28. Berdasarkan rekod rayuan, alasan penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen, hujahan bertulis pihak-pihak serta dokumen-dokumen yang dirujuk, Mahkamah ini merumuskan bahawa isu-isu utama yang perlu diputuskan dalam rayuan ini adalah seperti berikut: Isu (i) Sama ada Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf di sisi undang-undang apabila memutuskan bahawa Permohonan Defendan-Defendan di Lampiran 9, yang difailkan di bawah Aturan 92 kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, merupakan suatu penyalahgunaan proses Mahkamah dan tidak boleh dipertimbangkan sebagai penggunaan sah kuasa ‘inherent’ Mahkamah. Isu (ii) Sama ada Aturan 92 kaedah 4 KKM 2012 boleh digunakan oleh Defendan-Defendan untuk mendapatkan relief yang pada hakikatnya bersifat ‘mandatory injunction’ sebelum bicara, termasuk perintah pembayaran wang, penggantungan prosiding dan penolakan tindakan, walaupun mekanisme sedemikian tidak diperuntukkan secara khusus dalam peraturan-peraturan prosedur lain. Isu (iii) Sama ada Kes MS03 (Guaman Sivil JA-A53-03-07/2017) adalah relevan, mengikat atau boleh dijadikan asas undang-undang untuk menyokong relief yang dimohon dalam Lampiran 9, khususnya dari sudut prinsip kebolehterimaan dan keberkaitan penghakiman terdahulu di bawah seksyen 40 hingga 43 (EA 1950). Isu (iv) Sama ada terdapat sebarang salah arah prinsip atau ketidakadilan nyata dalam keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Tinggi dalam kapasiti rayuannya terhadap keputusan menolak Lampiran 9. 29. Mahkamah ini akan menangani, menganalisa dan memberikan dapatan untuk isu-isu di atas secara berurutan, dengan merujuk kepada dapatan Hakim Mahkamah Sesyen, hujahan pihak-pihak dan autoriti yang telah dikemukakan, bagi menentukan sama ada rayuan ini mempunyai merit di sisi undang-undang. ANALISIS & DAPATAN MAHKAMAH Isu (i): Sama ada Permohonan di Lampiran 9 merupakan suatu penyalahgunaan proses Mahkamah dan tidak boleh dipertimbangkan sebagai penggunaan sah kuasa inheren. 30. Isu pertama menuntut Mahkamah ini menilai sama ada Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf di sisi undang-undang apabila memutuskan bahawa Permohonan Defendan-Defendan di Lampiran 9, yang difailkan di bawah Aturan 92 kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, merupakan suatu penyalahgunaan proses Mahkamah. Aturan 92 kaedah 4 KKM 2012 memperuntukkan seperti berikut: “Tiada apa-apa jua dalam Kaedah-Kaedah ini boleh mengehadkan atau menjejaskan kuasa inheren Mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang perlu bagi mencegah ketidakadilan atau penyalahgunaan proses Mahkamah.” 31. Walau bagaimanapun, Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk S. Nallakaruppan v Public Prosecutor [2004] 8 CLJ 238; [2004] 4 MLJ 625 (COA) telah menegaskan bahawa kuasa inheren Mahkamah adalah suatu kuasa luar biasa yang mesti digunakan secara berhati-hati dan bukan sebagai mekanisme untuk memintas prosedur undang-undang yang sedia ada. Mahkamah Persekutuan menegaskan bahawa penyalahgunaan proses Mahkamah wujud apabila proses kehakiman digunakan bagi tujuan yang tidak selari dengan fungsi sebenar sistem keadilan. 32. Prinsip ini diperkukuhkan lagi oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes R Rama Chandran v The Industrial Court of Malaysia & Anor [1997] 1 MLJ 145; [1997] 1 CLJ 147 (FC), di mana Mahkamah menegaskan bahawa Mahkamah tidak boleh membenarkan proses kehakiman digunakan secara tidak wajar sehingga mencemarkan ketertiban dan kepastian undang-undang. 33. Dalam kes ini, Hakim Mahkamah Sesyen telah mendapati bahawa Lampiran 9 pada hakikatnya bukan bertujuan untuk mencegah ketidakadilan, sebaliknya merupakan satu cubaan untuk mendapatkan kelebihan prosedur dan relief substantif melalui laluan yang tidak diperuntukkan oleh KKM 2012. Mahkamah ini mendapati dapatan tersebut adalah selaras dengan prinsip yang digariskan dalam kes Datuk S. Nallakaruppan (supra) dan kes R Rama Chandran (supra). 34. Oleh itu, Mahkamah ini memutuskan bahawa Permohonan di Lampiran 9 adalah suatu penyalahgunaan proses Mahkamah, dan Isu (i) diputuskan memihak kepada Responden. Isu (ii): Skop Aturan 92 kaedah 4 KKM 2012 dan larangan mendapatkan ‘mandatory injunction’ sebelum bicara 35. Isu kedua berkaitan rapat dengan Isu (i), iaitu sama ada Aturan 92 kaedah 4 KKM 2012 boleh digunakan untuk mendapatkan relief yang pada hakikatnya bersifat ‘mandatory injunction’ sebelum bicara, termasuk perintah pembayaran wang, penggantungan prosiding dan penolakan tindakan. 36. Prinsip undang-undang adalah jelas bahawa kuasa inheren Mahkamah hanya boleh digunakan apabila wujud suatu kelompangan prosedur (‘procedural lacuna’). Ia tidak boleh digunakan untuk mengatasi atau menggantikan mekanisme khusus yang telah diperuntukkan oleh undang-undang bertulis. 37. Dalam kes Datuk Seri S. Nallakaruppan v Public Prosecutor (supra), Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa kuasa inheren tidak boleh digunakan untuk menghasilkan keputusan substantif yang sepatutnya dicapai melalui proses perbicaraan biasa atau melalui mekanisme prosedur khusus yang telah diperuntukkan. 38. Hakim Mahkamah Sesyen telah mendapati bahawa KKM 2012 menyediakan saluran khusus bagi tuntutan wang, injunksi dan penolakan tindakan. “Saluran khusus” oleh Hakim Mahkamah Sesyen ialah mekanisma prosedur yang telah diperuntukkansecara nyata dan lengkap oleh KKM 2012 bagi setiap kategori relief yang dimohon. Bagi tuntutan wang, KKM 2012 mensyaratkan tuntutan tersebut dibawa melalui tindakan utama atau tuntutan balas, dan jika sesuai, melalui penghakiman terus mengikut peruntukan yang berkenaan. Bagi relif injunksi, khususnya yang bersifat memaksa, undang-undang menetapkan laluan khusus melalui permohonan injunksi interim atau ‘inter partes’ yang tertakluk kepada ujian ketat dan imbangan keadilan. Bagi penolakan tindakan, KKM 2012 telah menyediakan mekanisme khusus melalui peruntukan penyingkiran tindakan. 39. Dalam keadaan ini, Mahkamah bersetuju bahawa kesemua relif dihimpunkan oleh Defendan-Defendan dibawah Lampiran 9 bukan sahaja telah mempunyai laluan prosedur yang jelas dan berasingan, malah tidak menunjukkan sebarang kekosongan prosedur yang membolehkan kuasa inheren digunakan. Penggunaan Aturan 92 Kaedah 4 KKM 2012 sebagai jalan pintas untuk mencapai hasil substantif yang muktamad sebelum bicara adalah bertentangan dengan rangka kerja prosedur KKM 2012 dan dengan itu tidak boleh dibenarkan. 40. Mahkamah ini bersetuju sepenuhnya dengan dapatan tersebut. Penggunaan Aturan 92 kaedah 4 dalam keadaan ini akan merosakkan disiplin prosedur dan melanggar prinsip kehati-hatian yang digariskan oleh Mahkamah Persekutuan. Maka Isu (ii) diputuskan memihak kepada Responden. Isu (iii): Kedudukan Kes MS03 dan kebolehterimaan penghakiman terdahulu di bawah seksyen 40 hingga 43 Akta Keterangan 1950 41. Isu ketiga adalah sama ada Kes MS03 (Guaman Sivil JA-A53- 03-07/2017) boleh dijadikan asas undang-undang bagi menyokong relief yang dimohon dalam Lampiran 9, khususnya dalam konteks permohonan berlandaskan Aturan 92 kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. 42. Mahkamah ini mendapati bahawa pendekatan Hakim Mahkamah Sesyen dalam menilai isu ini adalah berlandaskan Seksyen 40 hingga 43 (EA 1950), dengan penekanan khusus kepada Seksyen 43, yang memperuntukkan bahawa penghakiman, perintah atau dekri selain yang jatuh di bawah seksyen 40, 41 dan 42 (EA 1950) adalah tidak relevan, kecuali sekiranya kewujudan penghakiman tersebut merupakan suatu fakta dalam isu atau relevan di bawah peruntukan lain Akta. 43. Sebagai asas, s.40 hingga s.43 (EA 1950) membentuk suatu skim khusus mengenai bila dan bagaimana sesuatu penghakiman/perintah/dekri terdahulu menjadi relevan dalam prosiding kemudian. Skim ini adalah bersifat terhad dan ia tidak mengiktiraf semua penghakiman terdahulu sebagai relevan secara automatik. sebaliknya, relevansi hanya wujud jika penghakiman itu jatuh dalam kategori yang diperuntukkan secara nyata oleh Akta, atau jika kewujudannya sendiri merupakan suatu fakta yang dipertikaikan. 44. S.40 (EA 1950) pula pada prinsipnya menyentuh keadaan dimana kewujudan suatu penghakiman/perintah/dekri terdahulu menjadi relevan kerana ia mewujudkan halangan undang-undang kepada prosiding semasa iaitu apabila pihak berhujah bahawa isu yang sama telahpun diputuskan secara muktamad (‘res judicata’/ ’issue estoppel’) atau prosiding semasa adalah terhalang kerana suatu keputusan terdahulu yang mengikat antara pihak-pihak yang sama atau privy. Dalam konteks ini beban adalah pada yang yang bergantung kepada penghakiman terdahulu untuk menunjukkan bahawa syarat-syarat halangan tersebut benar- benar wujud (contohnya identiti pihak, identiti isu dan kemuktamadan keputusan). 45. S.41 (EA 1950) memperuntukkan satu lagi kategori terhad iaitu penghakiman/perintah/dekri yang berkaitan dengan perkara awam tertentu boleh menjadi relevan. Tetapi relevansi di bawah s.42 (EA 1950) bukan bersifat menyeluruh kerana ia tertakluk kepada tujuan ia dirujuk. Ia lazimnya terpakai untuk menunjukkan bahawa suatu keputusan/perintah pernah dibuat atau wujud dalam suatu konteks yang berkaitan, bukannya untuk membuktikan kebenaran semua dapatan yang terkandung di dalamnya bagi kes yang berbeza. 46. Paling penting dalam konteks rayuan ini ialah s.43 EA 1950 yang berfungsi sebagai peruntukan ‘penutup’ kepada penghakiman/perintah/dekri selain yang jatuh dibawah s.41, s.41, atau s.42 (EA 1950) adalah tidak relevan. Proviso/pengecualian dibawah s.43 (EA 1950) adalah terhad iaitu penghakiman tersebut hanya menjadi relevan jika kewujudannya sendiri merupakan suatu fakta dalam isu atau jika ia menjadi relevan di bawah peruntukan lain Akta. Maka apabila suatu pihak cuba bersandar pada penghakiman terdahulu (seperti kes MS03) bukan sekadar untuk membuktikan kewujudannya, tetapi untuk menjadikan dapatan atau penilaian dalam penghakiman itu sebagai äsas substantif” bagi relif baharu (contohnya perintah pembayaran wang/’stay’/’striking out’ dalam kes lain), pendekatan itu lazimnya bercanggah dengan had yang ditetapkan oleh s.43 (EA 1850) ini. 47. Dalam kes ini Mahkamah mendapati pergantungan Defendan-Defendan kepada kes MS03 tidak ditunjukkan sebagai tergolong di bawah s.40 (EA 1950) (tiada asas jelas halangan ‘res judicata’/’issue estoppel’ untuk menutup tuntutan semasa) dan tidak dihujahkan sebagai penghakiman ‘in rem’ dibawah s.41 (EA 1950) atau termasuk dalam lingkungan s.42 (EA 1950). Oleh itu kes MS03 jatuh untuk dinilai dibawah s.43 (EA 1950), dengan kesan bahawa rujukan kepadanya jika pun dibenarkan hanya boleh kepada setakat membuktikan kewujudannya bukan untuk membuktikan kebenaran dapatan atau berhak untuk ‘memindahkan’ kesan substantifnya ke dalam prosiding ini. 48. Mahkamah ini menegaskan bahawa dibawah s.40 hingga s.43 (EA 1950), suatu penghakiman terdahulu yang dibenarkan dirujuk tidak semestinya membawa nilai probatif terhadap kebenaran dapatan fakta atau penilaian undang-undang yang terkandung di dalamnya. Akta Keterangan 1950 dengan jelas membezakan antara persoalan sama ada sesuatu penghakiman terdahulu boleh diterima sebagai keterangan (admissible) dan persoalan apa nilai pembuktian yang boleh diberikan kepadanya. Dalam konteks s.43 (EA 1950) khususnya, walaupun kewujudan suatu penghakiman terdahulu boleh diterima sebagai fakta, penerimaan tersebut tidak mengangkat dapatan atau alasan dalam penghakiman itu sebagai bukti muktamad atau konklusif bagi prosiding berasingan. 49. Justeru, apabila suatu pihak bergantung kepada penghakiman terdahulu bukan sekadar untuk menunjukkan bahawa suatu keputusan Mahkamah pernah wujud, tetapi untuk menegaskan bahawa dapatan fakta atau kesimpulan undang-undang dalam penghakiman itu hendaklah diterima pakai sebagai asas untuk mendapatakan relif substantif dalam prosiding lain, pihak tersebut sebenarnya cuba memberikan nilai probatif yang melampaui apa yang dibenarkan oleh Akta. Pendekatan sedemikian akan menjejaskan prinsip asas bahawa setiap tuntutan sivil hendaklah diputuskan berdasarkan keterangan yang dikemukakan dalam prosiding itu sendiri dan bukan melalui “pemindahan” dapatan daripada kes yang lain yang melibatkan isu, fakta dan relif yang berbeza. 50. Hujahan Responden dengan jelas menegaskan bahawa Kes MS03 tidak tergolong dalam mana-mana kategori yang diperuntukkan di bawah seksyen 40 hingga 42 (EA 1950). Kes tersebut bukan suatu penghakiman yang mewujudkan ‘res judicata’, bukan penghakiman ‘in rem’, dan bukan juga penghakiman yang relevan bagi menentukan status undang-undang pihak-pihak dalam prosiding ini. 51. Sekali lagi Mahkamah ini menegaskan, kes MS03 hanya boleh dinilai, jika pun ada, di bawah Seksyen 43 (EA 1950), dan kesannya adalah sangat terhad, iaitu semata-mata untuk membuktikan kewujudan penghakiman tersebut, dan bukan untuk membuktikan kebenaran dapatan fakta atau prinsip undang-undang yang diputuskan dalam kes tersebut. 52. Prinsip ini telah ditegaskan secara jelas oleh Mahkamah Rayuan dalam Datuk S. Nallakaruppan (supra), di mana Mahkamah memutuskan bahawa Seksyen 43 (EA 1950) adalah ‘in pari materia’ dengan peruntukan setara dalam undang-undang India, dan rasional di sebalik peruntukan tersebut adalah bahawa setiap kes hendaklah diputuskan berdasarkan buktinya sendiri, tanpa sebarang tanggapan bahawa penghakiman terdahulu adalah betul atau mengikat Mahkamah dalam kes lain. 53. Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk S. Nallakaruppan (supra) turut menegaskan bahawa penghakiman terdahulu tidak boleh digunakan untuk “mengimport” dapatan fakta atau penilaian undang-undang daripada satu prosiding ke prosiding yang lain, kecuali dalam keadaan yang secara nyata diperuntukkan oleh undang-undang. Prinsip ini bertujuan mengekalkan kebebasan Mahkamah untuk menilai setiap kes secara bebas dan berasaskan bukti yang dikemukakan di hadapannya. 54. Prinsip yang sama telah disahkan dan ditegaskan semula oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Stone Master Corporation Berhad v Dato’ Koh Mui Tee & Ors [2024] 2 MLRA 649. Dalam kes tersebut, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa walaupun suatu penghakiman terdahulu boleh diterima di bawah Seksyen 43 (EA 1950), penerimaan tersebut tidak membawa sebarang nilai probatif terhadap kebenaran dapatan dalam penghakiman tersebut, dan kesannya terhad kepada pembuktian bahawa suatu keputusan Mahkamah pernah wujud. 55. Hakim Mahkamah Sesyen, selaras dengan autoriti-autoriti ini, telah mendapati bahawa pergantungan Defendan-Defendan kepada Kes MS03 adalah suatu cubaan untuk menggunakan penghakiman terdahulu sebagai asas substantif bagi mendapatkan relief bersifat mandatori di bawah Lampiran 9. Pendekatan sedemikian adalah bertentangan dengan had yang ditetapkan oleh Seksyen 43 (EA 1950) dan tidak boleh diterima di sisi undang-undang. 56. Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan tersebut. Penggunaan Kes MS03 oleh Defendan-Defendan bukan sekadar untuk membuktikan kewujudan penghakiman itu, tetapi secara tersirat bertujuan untuk menjadikan dapatan dan penilaian dalam MS03 sebagai justifikasi undang-undang bagi relief yang dimohon. Ini adalah suatu penggunaan yang jelas melampaui skop Seksyen 43 dan dengan itu tidak boleh dibenarkan. 57. Tambahan pula, dalam konteks rayuan ini, Mahkamah ini mengingatkan bahawa prinsip sekatan campur tangan Mahkamah Tinggi dalam kapasiti rayuannya adalah mantap. Sepertimana yang ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes R Rama Chandran v The Industrial Court of Malaysia & Anor(supra), Mahkamah rayuan tidak seharusnya mencampuri dapatan Mahkamah bawahan kecuali terdapat salah arah prinsip yang jelas atau ketidakadilan nyata. 58. Dalam kes ini, Hakim Mahkamah Sesyen telah mengenal pasti peruntukan undang-undang yang betul, menggunakan prinsip yang tepat di bawah Seksyen 43 (EA 1950), dan membuat kesimpulan yang selaras dengan autoriti Mahkamah Rayuan. Tiada sebarang salah arah prinsip atau kegagalan mempertimbangkan faktor material yang boleh mewajarkan campur tangan Mahkamah ini. 59. Oleh yang demikian, Mahkamah ini memutuskan bahawa Kes MS03 adalah tidak relevan dan tidak boleh dijadikan asas undang-undang untuk menyokong relief yang dimohon di bawah Lampiran 9. Dapatan Hakim Mahkamah Sesyen berhubung isu ini adalah betul di sisi undang-undang dan hendaklah dikekalkan. Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen bahawa Kes MS03 tidak menghasilkan sebarang penghakiman ‘in rem’ atau dapatan muktamad yang mengikat pihak-pihak dalam kes ini. Oleh itu, pergantungan kepada Kes MS03 sebagai asas Lampiran 9 adalah tersalah arah di sisi undang-undang. 60. Justeru, Isu (iii) diputuskan memihak kepada Responden. Isu (iv): Sama ada terdapat salah arah prinsip atau ketidakadilan nyata yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Tinggi 61. Isu terakhir ialah sama ada keputusan Hakim Mahkamah Sesyen menunjukkan sebarang salah arah prinsip atau ketidakadilan nyata yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Tinggi. 62. Prinsip sekatan campur tangan Mahkamah Rayuan telah ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam R Rama Chandran v The Industrial Court of Malaysia & Anor (supra), bahawa Mahkamah Rayuan tidak seharusnya campur tangan melainkan terdapat kesilapan undang-undang yang nyata atau ketidakadilan yang serius. 63. Dalam kes ini, Mahkamah ini mendapati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah menggunakan prinsip undang-undang yang betul, mengambil kira faktor-faktor yang relevan dan memberikan alasan yang koheren serta munasabah. 64. Oleh itu, Mahkamah ini berpendapat bahawa tiada salah arah prinsip atau ketidakadilan nyata yang ditunjukkan. Isu (iv) diputuskan memihak kepada Responden. RUMUSAN KESELURUHAN 65. Secara keseluruhan, Mahkamah ini mendapati bahawa Permohonan Defendan-Defendan di Lampiran 9, yang difailkan di bawah Aturan 92 kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, adalah suatu penyalahgunaan proses Mahkamah. Permohonan tersebut tidak bertujuan mengisi mana-mana kekosongan prosedur, sebaliknya cuba memintas ruang lingkup prosedur yang telah diperuntukkan oleh KKM 2012 bagi mendapatkan relief yang pada hakikatnya bersifat mandatori dan muktamad sebelum bicara, termasuk perintah pembayaran wang, penggantungan prosiding dan penolakan tindakan. 66. Mahkamah ini mengesahkan prinsip bahawa kuasa inheren di bawah Aturan 92 kaedah 4 adalah kuasa luar biasa yang mesti digunakan secara berhati-hati dan tidak boleh dijadikan laluan alternatif untuk mencapai hasil substantif yang sepatutnya diperoleh melalui mekanisme prosedur khusus. Prinsip ini telah ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri S. Nallakaruppan v Public Prosecutor [2004] 8 CLJ 238; [2004] 4 MLJ 625 (FC) dan R Rama Chandran v The Industrial Court of Malaysia & Anor [1997] 1 MLJ 145; [1997] 1 CLJ 147 (FC). Dalam konteks ini, Mahkamah ini mendapati tiada salah arah prinsip atau ketidakadilan nyata dalam dapatan Hakim Mahkamah Sesyen yang menolak Lampiran 9. 67. Selanjutnya, pergantungan Defendan-Defendan kepada Kes MS03 (Guaman Sivil JA-A53-03-07/2017) adalah tersalah arah di sisi undang-undang. Di bawah seksyen 40 hingga 43 Akta Keterangan 1950, kebolehterimaan penghakiman terdahulu adalah terhad dan tidak meluas kepada prosiding berasingan yang melibatkan isu dan relief yang berbeza, melainkan jatuh dalam kategori ‘res judicata’ atau ‘judgment in rem’. Kes MS03 tidak menghasilkan sebarang kesan mengikat sedemikian dan tidak boleh dijadikan asas untuk relief dalam Lampiran 9. 68. Mengambil kira keseluruhan keadaan, Mahkamah ini berpuas hati bahawa keputusan Hakim Mahkamah Sesyen adalah selaras dengan prinsip undang-undang yang mantap, menjaga kepastian litigasi, dan tidak menjustifikasikan campur tangan Mahkamah Tinggi dalam kapasiti rayuannya. PERINTAH MAHKAMAH 69. Oleh yang demikian, rayuan Defendan-Defendan adalah ditolak. 70. Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 20.6.2025 yang menolak permohonan di Lampiran 9 di bawah Aturan 92 Kaedah 4 KKM 2012 adalah dengan ini dikekalkan sepenuhnya. 71. Kos RM3000.00 dibayar oleh Perayu kepada Responden BERTARIKH: 5 FEBRUARI 2026 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU Peguam Bagi Pihak Plaintif Pari Perumal bersama Jayaratnam Tetuan Jayaratnam & Partners Kuala Lumpur Peguam Bagi Pihak Defendan Kenny Lo Yia Yi Tetuan K S Pang & Co Johor Bahru
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.