Content
22/07/2022 12:01:29 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN SIVIL NO: B-02(NCvC)(W)-630-03/2021
B-02(NCvC)(W)-630-03/2021
Court of Appeal of Malaysia16 Feb 2022
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“alan berikut: 'Whether an agreement to provide services to influence the decision of a public decision maker to award a contract is a contract opposed to public policy as defined under s 24(e) of the Contracts Act 1950 ('the Act') and is therefore void?' [73] Berdasarkan fakta kes yang berbeza, HMT yang bijaksana terkh”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
22/07/2022 12:01:29 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN SIVIL NO: B-02(NCvC)(W)-630-03/2021
2
MUHAMMAD IMRAN BIN BAHARANUDDIN (yang berniaga atas nama dan gaya Teras Unggul Solution No. Pendaftaran : SA0426175-P) (NO. K/P : 841019-14-5557)
3
MD ZAIN BIN HANAFI (yang berniaga atas nama dan gaya Teras Unggul Solution No. Pendaftaran : SA0426175-P) (NO. K/P: 491010-02-5797) ... PERAYU-PERAYU DAN MAJULIA SDN BHD (NO. SYARIKAT : 138650-V) ... RESPONDEN [DALAM MAHKAMAH TINGGI DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA (BAHAGIAN SIVIL) WRIT SAMAN NO.: BA-22NCVC-237-06/2019
2
MUHAMMAD IMRAN BIN BAHARANUDDIN (yang berniaga atas nama dan gaya Teras Unggul Solution No. Pendaftaran : SA0426175-P) (NO. K/P : 841019-14-5557)
3
MD ZAIN BIN HANAFI (yang berniaga atas nama dan gaya Teras Unggul Solution No. Pendaftaran : SA0426175-P) (NO. K/P: 491010-02-5797) ... PLAINTIF-PLAINTIF DAN MAJULIA SDN BHD (NO. SYARIKAT:138650-V) ... DEFENDAN] KORUM NOR BEE BINTI ARIFFIN, HMR AZIZAH BINTI NAWAWI, HMR MOHD NAZLAN BIN MOHD GHAZALI, HMR ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Rayuan ini melibatkan isu pembayaran fi konsultasi bagi khidmat konsultasi yang dikatakan telah diberikan oleh perayu kepada responden berhubung dengan pembidaan responden dalam tender terhad bagi suatu projek pembinaan jalan di bawah kelolaan Jabatan Kerja Raya (JKR). Responden menafikan perayu berhak mendapatkan fi konsultasi yang dituntut kerana khidmat konsultasi tidak diberikan kerana responden sendiri mampu untuk menyediakan dokumen tender dan perjanjian tersebut melanggar polisi awam. Ini kerana konsultan yang dikatakan memberikan khidmat nasihat yang dipertikaikan itu, telah menggunakan pengaruhnya di JKR dalam urusan tender tersebut. Fakta Kes [2] Pihak-pihak dalam Penghakiman ini akan dirujuk sebagaimana rujukan kepada mereka di Mahkamah Tinggi. [3] Pada 25.5.2017, plaintiff pertama dan defendan menandatangani satu perjanjian (Perjanjian tersebut). Melalui Perjanjian tersebut, wakil defendan telah melantik plaintiff pertama sebagai konsultan untuk membantu defendan mendapatkan kontrak bagi pembinaan Jalan Jajaran Tengah (Central Spine Road-CRS) -
a
Seksyen 5 A: Raub Bypass; dan
b
Seksyen 5B: Kg.Orang Asli Sg. Chandan Ke Kg. Asap (Projek tersebut). [4] Projek tersebut merupakan projek JKR. Projek tersebut dibuka untuk tender terhad. [5] Berdasarkan Perjanjian tersebut, plaintiff pertama akan dibayar fi konsultan sebanyak 1% daripada nilai kontrak yang diperoleh defendan. Perjanjian tersebut juga memperuntukkkan bahawa defendan kena membayar plaintiff pertama 15% fi konsultasi tersebut dalam masa tiga puluh (30) hari dari tarikh penerimaan kontrak dan baki 85% hendaklah dibayar secara bulanan sebanyak RM59,056.10 dalam tempoh kontrak tersebut. [6] Defendan telah mengemukakan dokumen tender kepada JKR sebelum tender ditutup pada 2.5.2017. Pada 1.2.2018, JKR telah menawarkan kontrak bernilai RM270,967,359.82 untuk membina jalan tersebut kepada defendan. [7] Pada 8.3.3018, defendan bersetuju menerima tawaran kontrak tersebut. [8] Plaintif memplid bahawa berdasarkan Perjanjian tersebut dan persetujuan defendan untuk membayar fi konsultasi sebanyak 1% daripada nilai keseluruhan kontrak sebanyak RM270,967,359.82, maka defendan hendaklah membayar plaintiff sebanyak RM2,709,673.60 melalui kaedah yang berikut:
a
5% daripada RM2,709,673.60, iaitu RM406,451.00 dalam masa tiga puluh hari dari tarikh penerimaan kontrak iaitu 8.3.3018; dan
b
baki 85% hendaklah dibayar secara bulanan sebanyak RM59,056.10 dalam tempoh kontrak seperti yang diperuntukkan dalam Surat Penerimaan Tender. [9] Plaintif telah mengeluarkan invois-invois untuk menuntut bayaran fi konsultasi. Invois-invois tersebut telah diserahkan kepada defendan dan telah diakui terima oleh defendan tersebut (perenggan 10 pernyataan tuntutan). [10] Setakat April 2019, defendan hanya membayar wang berjumlah RM100,000.00 sahaja kepada plaintiff pertama melalui 5cek bertarikh 4.4.2018 sebanyak RM60,000.00 dan RM10,000.00 bagi cek-cek bartarikh 7.1.2019, 21.2.2019, 1.3.2019 dan 7.3.2019 (perenggan 12 pernyataan tuntutan). [11] Pada 14.5.2019, plaintiff telah mengemukakan notis tuntutan kepada defendan menuntut bayaran fi konsultasi yang tertunggak sebanyak RM1,015,124.20 setakat April 2019. Defendan tidak membuat apa-apa bayaran. [12] Plaintif membawa tindakan ini dengan menuntut jumlah yang tertunggak, faedah dan kos. [13] Kesemua naratif di atas tidak dipertikaikan oleh defendan dalam plidingnya. Walau bagaimanapun, defendan menafikan bertanggungan membayar. [14] Defendan mengakui membuat pembayaran RM100,000.00 kepada plaintiff tetapi dibuat atas salah tanggapan bahawa pembayaran harus dibuat memandangkan wujudnya Perjanjian tersebut. Kini defendan sedar bahawa Perjanjian tersebut tidak mengikat mereka. Prosiding Di Mahkamah Tinggi [15] Plaintif dan defendan masing-masing mengemukakan 2 orang saksi. [16] Bagi pihak plaintiff, SP1 ialah konsultan yang dilantik untuk memberikan khidmat konsultasi bagi pihak plaintiff. SP1 pernah bekerja dengan JKR selama 34 tahun. Beliau bersara pada tahun 2014. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Pengarah Cawangan Jalan di Ibu Pejabat JKR, Kuala Lumpur. Sebagai pengarah, beliau bertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penilian Tender projek-projek yang ditender oleh Cawangan Jalan, JKR. SP2 ialah pengurus plaintiff. Beliau yang menyediakan Perjanijan tersebut. [17] Bagi pihak defendan, SD1 ialah pengarah eksekutif defendan yang banyak berurusan dengan SP1 dalam penyediaan tender terhad tersebut. SD2 merupakan pengarah eksekutif dan pemegang saham defendan. [18] Pada akhir perbicaraan, Hakim Mahkamah Tinggi (HMT) yang bijkasana telah menolak tuntutan plaintiff. [19] Rekod Rayuan (RR) tidak menunjukkan ada pernyataan isu-isu untuk dibicarakan dikemukakan oleh pihak-pihak. Walau bagaimanapun, Alasan Penghakiman (AP) menunjukkan HMT yang bijaksana telah menyenaraikan isu-isu yang berikut untuk diputuskan:
a
sama ada wujud kontrak antara plaintiff dan defendan;
b
sama ada terdapat balasan yang diberikan oleh plaintiff; dan
c
Sekiranya wujud suatu kontak dan terdapat balasan yang diberikan, sama ada kontrak tersebut terbatal kerana bertentangan dengan polisi awam. [20] Berkaitan dengan isu (a), HMT yang bijaksana memutuskan Perjanjian tersebut mewujudkan suatu kontrak yang mengikat kedua-dua pihak. [21] Berkaitan dengan isu (b), pada mulanya, HMT yang bijaksana menyatakan terdapat balasan dalam Perjanjian tersebut sebagaimana petikan di perenggan 20, 21 dan 21 AP. Namun begitu, HMT kemudiannya mendapati plaintiff tidak boleh menuntut bayaran kerana tidak ada balasan. Yang Arif mendapati tidak ada khidmat konsultasi yang diberikan oleh SP1 bagi 2 senerio, iaitu sebelum Perjanjian tersebut pada 25.5.2017 (senerio pertama) dan selepas Perjanjian tersebut ditandatangani (senerio kedua). Kami akan menyentuh tentang perkara ini kemudian. [22] Berkaitan dengan isu (c), HMT menutuskan bahawa Perjanjian tersebut adalah terbatal kerana SP1 telah menggunakan pengalaman kerja, pengaruh dan kenalan beliau dalam JKR untuk membantu SD1 menyediakan dokumen tender. Objek kontrak adalah bertentangan dengan polisi awam, dan tidak sah di bawah seksyen 24 Akta Kontrak 1950 (Akta 136). Dengan itu, isu ada pembayaran yang dibuat oleh defendan kepada plaintiff tidak menjadikan kontrak yang tidak sah menjadi sah dan boleh dikuatkuasakan. Rayuan Ini [23] 12 alasan rayuan telah dikemukakan yang boleh dikumpulkan seperti berikut:
a
HMT yang bijaksana terkhilaf apabila memutuskan bahawa tidak ada khidmat konsultasi yang diberikan oleh plaintiff dan/atau SPI kepada defendan sebelum dan selepas Perjanjian tersebut ditandatangani dan tidak ada keperluan khidmat konsultasi pada tarikh Perjanjian tersebut dibuat kerana dokumen tender telahpun dikemukakan oleh defendan (alasan no.1,2,3,4,5);
b
HMT yang bijaksana terkhilaf apabila memutuskan bahawa Perjanjian tersebut melibatkan penggunaan pengaruh SP1 yang telah menjadikan objek kontrak tidak sah di bawah seksyen 24 Akta 136 (alasan no. 67,8,9,10 dan 11). Ini melibatkan isu ketaksahan (illegality). [24] Susulan itu, isu yang perlu diputuskan dalam rayuan ini adalah sama ada-
a
plaintiff telah memberikan khidmat konsultasi kepada defendan; dan
b
sama ada Perjanjian tersebut tidak sah kerana menyalahi undang-undang. [25] Selain itu, kami juga akan mengupas isu balasan yang dibangkitkan oleh HMT yang bijaksana. Kami berpandangan isu ini tidak diplid. Keputusan Mahkamah Ini [26] Kes ini melibatkan penilaian keterangan saksi-saksi dan penemuan fakta oleh HMT yang bijaksana. [27] Undang-undang adalah mantap bahawa mahkamah rayuan tidak boleh mengganggu penemuan fakta hakim perbicaraan melainkan dapat ditunjukkan bahawa keputusan yang dibuat ternyata salah (plainly wrong) ( lihat antara lain , kes Gan Yook Chin (P) & Anor v Lee Ing Chin @ Lee Teck Seng & Ors [2005] 2 MLJ 1; Ming Holdings (m) Sdn Bhd v Tuan Syed Azahari bin Noh Shahabudin & Anor [2010] 4 MLJ 577; UEM Group Berhad v Genisys Integrated Engineers Pte Ltd [2010] 9 CLJ 785; Dream Property Sdn Bhd v Atlas Housing Sdn Bhd [2015] 2 MLJ 441; [2015]2 CLJ 453). [28] Dalam konteks ini, dalam memberikan pertimbangan kepada rayuan ini, kami mengambil perhatian tentang peringatan Mahkamah Persekutuan dalam kes Ng Hooi Kui & Anor v Wendy Tan Lee Peng [2020] 12 MLJ 67- "As long as the trial judge's conclusion can be supported on a rational basis in view of the material evidence, the fact that the appellate court feels like it might have decided differently is irrelevant. In other words, a finding of fact that would not be repugnant to common sense ought not to be disturbed. The trial judge should be accorded a margin of appreciation when his treatment of the evidence is examined by the appellate court." [29] Pada masa yang sama, kami juga mengambil perhatian mengenai peranan mahkamah rayuan daripada satu sudut perspektif yang lain sebagaimana yang dihuraikan dalam petikan di bawah dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim v PP & Another Appeal [2004] 3 CLJ 737 di ms 752 "This Court speaking through another eminent Judge, Abdul Hamid Mohamad FCJ (as he then was) explained the role of appellate court as follows:- "Clearly, an appellate court does not and should not put a brake and not going any further the moment it sees that the trial judge says that that is his finding of fact. It should go further and examine the evidence and circumstances under which the finding was made to see whether, to borrow the words of HT Ong (CJ Malaya) in Herchun Singh's case (supra) there are substantial and compelling reasons for disagreeing with the finding. "Otherwise, no judgment would ever be reversed on question of fact and the provision of s. 87 CJA 1964 that an appeal may lie not only on a question of law but also a question of mixed fact and law would be meaningless." [30] Kami ingin sepintas lalu menyentuh tentang isu (a) dan (b) yang dikenal pasti oleh HMT yang bijaksana untuk dibicarakan. [31] Bagi isu di perenggan (a), walaupun HMT yang bijaksana membuat penemuan bahawa wujud Perjanjian tersebut tetapi beliau juga mendapati perlu untuk dikupas sama ada Perjanjian tersebut mengikat kedua-dua pihak. Kami berpandangan isu ini tidak perlu dijadikan satu isu untuk dibicarakan kerana tidak ada pertikaian antara pihak-pihak mengenai kewujudan Perjanjian tersebut dan bahawa Perjanjian tersebut mengikat kedua-dua pihak. Pliding kedua-dua pihak jelas menunjukkan hakikat itu. Di samping itu, dalam pernyataan "Fakta Yang Dipersetujui" di perenggan 1, Perjanjian tersebut dikatakan telah dibuat secara sukarela dan dengan persetujuan. [32] Mengenai isu di perenggan (b), isu balasan bagi Perjanjian tersebut bukan isu yang diplid. Lihat petikan perenggan 2 "Fakta Yang Dipersetujui" di bawah - "2. Berdasarkan Perjanjian tersebut, Defendan telah bersetuju untuk membayar Plaintif Pertama fi konsultasi sebanyak 1 % daripada jumlah keseluruhan nilai kontrak tersebut atas kerja-kerja konsultasi sekiranya urusan tender berjaya dan Kontrak diawardkan kepada Defendan melalui kaedah pembayaran seperti berikut:-
a
15% daripada RM2,709,673.60 iaitu RM406,451.00 dalam masa tiga puluh hari daripada Tarikh penerimaan Kontrak;
b
baki 85% hendaklah dibayar secara bulanan sebanyak RM59,056.10 dalam tempoh Kontrak sepert yang diperuntukkan dalam Surat Penerimaan Tender." [33] Jadi tidak timbul sama sekali isu tidak ada balasan. Defendan telahpun mengakui obligasinya untuk membayar plaintiff pertama fi konsultasi sebanyak 1% daripada nilai kontrak yang diawardkan kepadanya oleh JKR bernilai RM 2,709,673.60. Dan defendan telahpun membuat pembayaran berdasarkan invois-invois tersebut walaupun pun bukan mengikut amaun yang dituntut oleh plaintiff. Dalam pernyataan pembelaan, defendan mempertikaikan kesahihan Perjanjian tersebut bukan atas alasan ketiadaan balasan tetapi atas alasan bahawa (a) Perjanjian tersebut bertentangan dengan polisi awam dan (b) plaintiff tidak pernah memberikan khidmat konsultasi kerana defendan mampu dan berkebolehan menyediakan sendiri dokumen tender. [34] Isu balasan ditimbulkan semasa hujahan (sila lihat perenggan 9 AP). [35] Kami perlu menurunkan perenggan 21 AP tentang isu balasan ini - [21] Berdasarkan perjanjian yang ditandatangani Defendan telah berjanji untuk membayar fi konsultansi sebanyak 1% dari nilai kontrak. Terma ini menunjukkan dengan jelas balasan yang perlu diberikan oleh Plaintif terhadap janji Defendan untuk membayar fi konsultansi tersebut adalah memberikan khidmat konsultansi. Perjanjian tersebut sebenarnya tidak memperuntukkan dengan jelas apakah bentuk khidmat konsultansi yang perlu diberikan. Oleh itu apakah khidmat konsultansi yang telah diberikan adalah fakta yang perlu diputuskan berdasarkan keterangan yang dikemukakan. Apa yang penting perjanjian tersebut mempunyai balasan. Berasaskan penelitian dan pertimbangan tersebut saya dapati kontrak telah wujud di antara Plaintif Pertama dan Defendan berdasarkan perjanjian bertulis bertarikh 25.5.2017. Perjanjian tersebut tidak terbatal kerana ketiadaan balasan (consideration). [Penekanan ditambah] [36] Namun begitu, sebagaimana yang disebut terdahulu, HMT berikutnya memutuskan bahawa plaintiff telah gagal membuktikan bahawa mereka telah memberikan khidmat konsultasi sebagaimana yang dipersetujui dalam Perjanjian tersebut dalam 2 senerio yang disebut terdahulu. [37] Bagi senerio pertama, iaitu sebelum Perjanjian tersebut ditandatangani pada 25.5.2017-
a
HMT mendapati keterangan SP1 tidak jelas menunjukkan khidmat konsultasi yang diberikannya kepada defandan;
b
HMT berpandangan plaintiff gagal menunjukkan plaintiff telah memberikan khidmat nasihat kerana plaintiff bergantung kepada apa yang dilakukan oleh SP1. Pergantungan itu adalah tidak betul kerana -
a
SP1 bukan rakan kongsi plaintiff pertama;
b
SP1 tidak mewakili plaintiff semasa mula berhubung dengan SD1 sejak awal 2016;
c
sebelum pelantikannya pada 23.5.2017, iaitu 2 hari sebelum Perjanjian tersebut ditandatangani pada 25.5.2017, SP1 tidak mempunyai mandat untuk memberikan balasan kontrak bagi pihak plaintiff dan hanya boleh bertindak memberikan balasan terhadap Perjajian tersebut setelah diberikan kuasa dengan jelas oleh plaintiff;
d
pada masa SP1 dilantik sebagai konsultan oleh plaintiff pertama pada 23.5.2017, tidak ada lagi keperluan untuk defendan mendapatkan khidmat konsultasi daripada plaintiff kerana pada tarikh tersebut, defendan telahpun mengemukakan dokumen tender. Selain itu, HMT menerima keterangan saksi defendan bahawa ".. mereka sebenarnya memang biasa dan faham kehendak dan prosedur untuk menyediakan dokumen tender dan tidak memerlukan khidmat konsultasi SP1 untuk tujuan tersebut" (sila lihat perenggan 26 AP). [38] Bagi senerio kedua, iaitu selepas Perjanjian tersebut ditandatangani pada 25.5.2017, HMT membuat kesimpulan bahawa ".. tidak terdapat apa-apa khidmat konsultansi diberikan oleh Plaintif atau SP1 kepada Defendan berkaitan dengan projek tersebut setelah perjanjian ditandatangani. Oleh itu, jika ada balasan kepada perjanjian tersebut terhadap janji Defendan membayar fi konsultansi, balasan tersebut adalah berupa balasan lampau (past consideration)..." (lihat perenggan 24 AP). [39] Kami berpandangan HMT yang bijaksana telah terkhilaf dalam membangkitkan isu balasan yang bukannya menjadi perkara yang diplid. Penekanan yang diberikan oleh Yang Arif tentang isu balasan adalah tidak konsisten dengan pendirian defendan. Yang Arif tidak mengambil kira hakikat bahawa defendan tidak mepertikaikan fi konsultasi yang dituntut oleh plaintiff, sama ada dalam plidingnya mahupun melalui keterangan dokumentari. [40] Perlu ditekankan bahawa sepanjang masa yang material dan semasa membuat bayaran, defendan tidak pernah membangkitkan isu ketiadaan balasan oleh plaintiff dan peranan dan penglibatan SP1 sebagaimana dapatan fakta HMT yang bijaksana. [41] Undang-undang adalah mantap bahawa mahkamah adalah terikat untuk hanya memutuskan kes berdasarkan pliding (lihat antaranya, Janagi v Ong Boon Kiat [1971] 219MLJ196; Pacific Forest Industries Sdn Bhd & Anor v Lin Wen-Chih & Anor [2009] 6 MLJ 293; RHB Bank Bhd (substituting Kwong Yik Bank Bhd) v Kwan Chew Holdings Sdn Bhd [2010] 2 MLJ 188; Projek Lebuh Raya Utara-Selatan Sdn Bhd v Kim Seng Enterprise (Kedah) Sdn Bhd [2013] 5 MLJ 560). [42] Dalam Projek Lebuh Raya Utara-Selatan Sdn Bhd [2013] 5 MLJ 360, Mahkamah Rayuan memutuskan - [19] It is a correct statement of the law to state that where the case has been decided on an issue that is not raised in the pleadings, the judgment can be set aside forthwith." [43] Dalam konteks ini, kami perlu menekankan bahawa pertikaian defendan mengenai ketaksahan Perjanjian tersebut mestilah hanya terhad kepada isu ketaksahan (illegality), bukan isu balasan. [44] Dalam apa jua keadaan, senerio pertama dan senerio kedua tidak sepatutnya wujud. Keterangan menunjukkan Perjanjian tersebut yang dibuat selepas tender dikemukakan adalah atas persefahaman kedua-dua pihak, iaitu SP1 akan melaksanakan tanggungjawabnya terlebih dahulu memberikan khidmat konsultasi dan barulah kontrak ditandatangani. Maka Perjanjian tersebut ditandatangani pada 25.5.2017, beberapa minggu selepas tender ditutup pada 2.5.2017. Pelantikan SP1 yang hanya dibuat pada 22.5.2017 juga tidak pernah menjadi isu antara kedua-dua pihak. Pesanan ringkas di muka surat 40 Ikatan B1 menunjukkan persefahaman dan perkiraan yang wujud antara pihak-pihak. [45] Isu balasan tidak menjadi alasan rayuan plaintiff. Namun begitu, isu ini ialah isu perundangan dan juga fakta yang memerlukan pembetulan di peringkat rayuan. Sama Ada Plaintif Telah Memberikan Khidmat Konsultasi? [46] Kembali kepada isu untuk diputuskan dalam rayuan ini, isu sama ada plaintiff telah memberikan perkhidmatan konsultasi bukan semata-mata perkara fakta yang melibatkan keterangan saksi-saksi. Isu ini juga boleh diputuskan melalui pliding. [47] HMT yang bijaksana telahpun membuat dapatan mengenai wujudnya Perjanjian tersebut dan perihal sifatnya yang mengikat kedua dua pihak. [48] Dalam perenggan 7 pernyataan pembelaan, defendan tidak menafikan menerima invois-invois, tidak mempertikaikan amaun yang dituntut dalam invois-invois tersebut, iaitu jumlah fi konsultansi, dan membuat bayaran sebagaimana yang diplid oleh plaintiff dalam perenggan 9 hingga 12 pernyataan tuntutan. Ini pada pandangan kami adalah suatu pengakuan kehakiman (judicial admission) oleh defendan yang jelas tentang liabilitinya. [49] Pengakuan kehakiman dan kesannya telah dikupas oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Yam Kong Seng v Anor v Yee Weng Kai [2014] 4 MLJ 478. Salah satu persoalan undang-undang untuk diputuskan ialah-
a
whether an admission by a party in a pleading that he is ready and willing to repay a debt is a judicial admission of his liability in respect of such debt. Suriyadi FCJ memutuskan di ms 487 yang berikut: [15] To enable us to ascertain whether there was a judicial admission we need to refer to para 8 of the defence. It reads as follows: 8 ... Further Defendants 1 & 2 aver that the Defendants were ready and willing at all material time to settle the said amount within six months hut as there was no mutual agreement as to a fixed rate of interest or whether there was any interest at all, the date of breach was not fixed, and lack of a unequivocal written demand all of which put the whole outstanding sum for repayment in dispute ... [16] The above averment was in response to para 12 of the statement of claim wherein the appellants averred that the company and the respondent had confirmed in writing of the amount owing and payable to them. It is trite law that a judicial admission made in a pleading stands on a higher footing than evidentiary admission (Sarkar's Law of Evidence) with the respondent's admission therein be made the foundation of the rights of the parties (Satish Mohan Bilal v State of UP AIR 1986 All 126, at p 128; 1985 All CJ 507). Any failure on the part of the respondent to rebut the admission to avoid the legal consequences of his admission would entitle the appellants to enter judgment against him. [17] Having perused the defence in particular para 8, we find that there is clear judicial admission of the debt owed. The question that must follow would be whether the respondent was avoiding responsibility to pay up. In Jacob and Goldrein's Pleadings: Principles and Practice [1990] pp 133-134 in dealing with confession and avoidance, the following is stated: Confession and Avoidance Meaning The term 'confession and avoidance' is the description of a plea in the defence which, while expressly or impliedly admitting or confessing or assuming the truth of the material facts alleged in the statement of claim, seeks at the same time to avoid or destroy the legal consequences of those facts. The plea is invoked by alleging fresh or additional facts to establish some legal justification or excuse, or some other ground for avoiding or escaping legal liability. The defendant, as it were, confesses the truth of what is alleged against him but proceed immediately to 'avoid' the effect of such allegations. [18] Having scrutinised the defence we find that the respondent has failed to avoid legal liability. With there being judicial admission by the respondent sufficient to hold him liable to the amount claimed the answer to the first question of law in this appeal must be answered in the positive." [50] Kami mengambil panduan daripada kes Yam Kong Seng, supra. [51] Walaupun mengaku liabilitinya, defendan pada masa yang sama cuba mengelakkan liabliti itu-
a
berkaitan dengan Perjanjian tersebut, dengan memplid tentang representasi plaintiff bahawa mereka mempunyai pengaruh dengan pihak berkuasa dan defendan membuat Perjanjian tersebut tanpa pengetahuan tentang Perjanjian tersebut tidak sah dari segi polisi awam, tentang plaintiff tidak memberikan apa-apa perkhidmatan konsultasi yang diberikan dan tentang defendan memperoleh projek tersebut atas kelayakannya sendiri dalam mengenengahkan perkara yang diplid dalam perenggan 5 dan 6; dan
b
berkaitan dengan invois-invois yang baginya dibuat pembayaran, dengan memplid salah tanggapan bahawa pembayaran harus dibuat dalam perenggan 7.1 hingga 7.5. [52] Defendan pada pandangan kami gagal mengelakkan liabiliti tersebut kerana pengakuan kehakimannya yang sangat jelas. [53] Invois-invois yang dikeluarkan oleh plaintiff bertarikh 26.3.2018, 14.5.2018, 25.6.2018, 12.10.2018, 9.1.2019, 8.2.2019, 4.3.2019 dan 17.4.2019. [54] Berasaskan invois-invois tersebut, defendan telah membuat 4 kali pembayaran. Pembayaran pertama dibuat 2 bulan selepas diaward kontrak oleh JKR dan berikutnya 4 pembayaran dalam satu tahun, iaitu pada 7.1.2019, 21.2.2019, 1.3.2019 dan 7.3.2019. [55] Perlu diperhatikan bahawa 4 pembayaran dibuat pada tarikh selepas tender ditutup pada 2.5.2017, dan selepas defendan diawardkan kontrak oleh JKR, dan dibayar tanpa bersyarat dan tanpa bantahan. [56] Persoalan penting adalah, mengapa perlu pihak-pihak menandatangani Perjanjian tersebut yang dibuat secara sukarela dan atas persejutuan bersama -
a
jika defendan tidak memerlukan khidmat konsultasi SP1 sedangkan mereka menyatakan telah 25 tahun berkecimpung dalam projek pembinaan dengan mempunyai juruukur bahan sendiri?
b
selepas tarikh pengemukakan dokumen tender ditutup dan jika defendan menyatakan mereka sendiri yang telah menyediakan dokumen tender;
c
jika tidak ada khidmat konsultasi yang diberikan oleh plaintiff dan/atau SP1, mengapakah Perjanjian tersebut memperuntukkan tentang pembayaran fi konsultasi kepada mereka dan dinyatakan secara khusus cara pembayarannya?
d
mengapa defendan membuat pembayaran yang diperuntukkan dalam Perjanjian tersebut jika mereka tidak mendapat khidmat konsultasi plaintiff dan/atau SP1? [57] Suatu kesimpulan yang tidak ditolak dalam naratif dan persoalan di atas adalah dengan pembayaran yang dibuat, defendan dengan nyata telah membuat suatu pengakuan kehakiman untuk membayar fi konsultasi di bawah Perjanjian tersebut atas khidmat konsultasi yang diberikan oleh plaintiff (Yam Kong Seng, supra). [58] Apabila terdapat pengakuan kehakiman oleh defendan mengenai fi konsultasi, maka tidak berbangkit isu balasan (sebagaimana yang dibangkitkan oleh HMT). Dapatan HMT bahawa tidak ada khidmat konsultasi yang diberikan juga adalah tidak konsisten dengan pliding defendan yang tidak mempertikaikan yang sama. [59] Walaupun sedemikian pandangan Mahkamah ini, kami tidak terhenti di sini sahaja. Kami masih meneliti keterangan saksi-saksi dengan dengan mengambil kira kelebihan hakim perbicaraan dalam membuat penemuan fakta. [60] Projek Seksyen 5B melibatkan kos pembinaan sebanyak RM2,709,673.60. Walaupun defendan menyatakan merekan mempunyai pengalaman dalam bidang pembinaan, telah beberapa kali diawardkan projek oleh JKR, mempunyai juruukur bahan sendiri yang boleh membuat anggaran kos projek dan kos Projek tersebut dibuat sendiri oleh defendan, namun begitu keterangan SP1 bahawa projek sebesar Seksyen 5B adalah di luar kemampuan defendan tanpa bimbangan dan panduan khusus, dan memerlukan input yang berbeza, adalah pada pandangan kami munasabah. SP1 menyatakan senarai projek yang dikemukakan oleh defendan sangat kecil saiznya dengan projek Seksyen 5B. Mereka tidak pernah diawardkan projek yang bernilai melebihi RM100 juta sedangkan projek Seksyen 5B menelan kos melebihi RM200, RM300 juta. SD1 mengakui bahawa mereka tidak pernah diaward projek pembinaan jalan raya sebesar Seksyen 5B. Jika sekalipun defendan dalam keterangannya menafikan penglibatan plaintiff dan/atau SP1 memberi mereka khidmat konsultasi, keterangan dokumentari menunjukkan sebaliknya. [61] Pesanan ringkas di muka surat 25-58 Ikatan B1 menunjukkan hubungan yang terjalin antara SP1 dengan SD1 dari bulan September 2016 sehingga Julai 2018. Pesanan ringkas tersebut menunjukkan SD1 telah meminta tunjuk ajar dan nasihat untuk membantu defendan membuat persediaan memasuki tender. SD1 beberapa kali mengucapkan penghargaan kerana memberikan tunjuk ajar dan khidmat nasihat. Mesej penghargaan SD1 terdapat di ms 37 dan 42. Di muka surat 40, terdapat pesanan ringkas bertarikh 26.5.2017 yang menunjukkan SD1 memaklumkan Perjanjian tersebut telah dibuat pada 25.5.2017 dan SD1 mengucapkan terima kasih kepada SP1 atas sokongan dan tunjuk ajarnya. [62] Pemeriksaan balas SP1 dan SP2 pada keseluruhannya bertumpu kepada isu SP1 dan plaintiff tidak memberikan khidmat kepakaran dan konsultasinya kepada defendan, dan pengaruh SP1 dalam urusan tender tersebut (yang akan kami sentuh kemudian). [63] Perlu diperhatikan SP1 tidak diperiksa balas tentang pesanan ringkas yang menunjukkan penghargaan yang diberikan oleh SD1 kepada SP1. Di sisi undang-undang, kegagalan memeriksa balas saksi atas isu yang penting akan terjumlah kepada penerimaan keterangan saksi itu (lihat Wong Swee Chin v Public Prosecutor [1980] 1 MLRA 125). Isu tentang rakaman penghargaan SD1 adalah penting dan atas kegagalan memeriksa balas, defendan dianggap telah menerima keterangan SP1 bahawa SD1 telah merakamkan penghargaan kepadanya atas khidmat konsultasi yang diberikan kepada defendan. Pengaruh SP1 [64] Beban adalah atas defendan untuk membuktikan pengaruh yang dikatakan melanggari polisi awam. Kami berpandangan isu pengaruh SP1 adalah suatu pemikiran semula. Keterangan SD1 menunjukkan bahawa mereka hanya menyedari tentang isu pengaruh yang bertentangan dengan polisi awam ini setelah menerima Writ Saman. Keterangan ini bercanggah dengan keterangan yang menunjukkan defendan mengetahui pada setiap masa yang material dari Mei 2016 lagi tentang latar belakang kerjaya SP1 dengan JKR, dan bukannya setelah defendan menerima Writ Saman. [65] Selain SP1 merupakan mantan Pengarah Cawangan Jalan JKR, adalah tidak jelas apakah pengaruh SP1 yang dimaksudkan oleh defendan, dan yang diterima oleh HMT yang bijaksana, yang mengakibatkan objek kontrak menyalahi undang-undang dan membawa kepada terbatalnya Perjanjian tersebut. [66] Keterangan pada pandangan kami, menunjukkan tidak adapengaruh yang digunakan oleh SP1 ke atas pegawai dan kenalannya di JKR. [67] SP1 boleh mempamerkan pengaruhnya pada sesi lawatan tapak dan sesi taklimat panggilan tender Seksyen 5B yang diadakan di Pejabat Tapak JKR di Lurah , Bentong pada 27.3.2017. Namun begitu, SP1 memilih untuk tidak hadir dan hanya meminta plaintiff kedua, iaitu anaknya hadir bersama SD1 dan SD2. Menurut SP1, selain plaintiff kedua yang menandatangani Perjanjian tersebut, SP1 juga ingin memberikan pendedahan kepada anaknya menimba pengetahuan dalam urusan tender. [68] SP1 dikatakan telah menggunakan pengaruhnya berdasarkan pesanan ringkas bertarikh 28.9.2016 (muka surat 27). Perkataan yang digunakan oleh SP1 - "I spoke to JKR officer in charge of ecer this afternoon. We have to wait after budget presentation in Parliament." SP1 memberikan penjelasan yang berikut semasa pemeriksaan semula: "Ini hanya melibatkan maklumat am Yang Arif tentang status bajet daripada EPU melibatkan projek Seksyen 5B. Hanya tentang status, tidak ada sebarang decision making inprocess, tidak ada sebarang problem solving matters dan sebagainya. Its only administrative information. Itu sahaja Yang Arif. Defendan pada pandangan kami tidak menunjukkan bahawa maklumat di atas bukan bersifat administratif dan bukan maklumat am. [69] Satu lagi insiden adalah berkaitan dengan pesanan ringkas bertarikh 13.4.2017 (muka surat 35),. SP1 dikatakan telah menggunakan pengaruh DCNA Jurutera Nor Azman, iaitu salah seorang jurutera kanan yang terlibat dalam projek ECER, untuk mendapatkan maklumat tersebut. Mesej tersebut menyebut – "DCNA maklum saya bahawa Tarikh tutup tender kemungkinan akan dilanjutkan selama se minggu lagi" Kami mendapati tidak ada keterangan daripada defendan yang menunjukkan bahawa maklumat itu adalah sulit dan SP1 telah menggunakan pengaruh DNCA untuk mendapatkan maklumat tersebut. [70] Berkenaan dengan perjumpaan SD1 dengan Jurutera En Zulakmal (muka surat 41), soalan yang ditanya semasa pemeriksaan balas adalah dalam konteks kenapa bukan SP1 yang mengaturkan pertemuan itu dan nasihat yang salah yang diberikan oleh SP1 kepada SD1. Jadi tidak timbul isu penggunaan pengaruh. [71] Penilaian keterangan secara keseluruhannya menunjukkan defendan telah gagal menunjukkan bahawa projek Seksyen 5B yang diawardkan kepada mereka adalah ekoran daripada penggunaan pengaruh oleh SP1 ke atas pihak berkuasa yang berwibawa dalam mengawardkan projek tersebut. Sebaliknya, pendirian yang diambil oleh defendan bahawa projek Seksyen 5B diawardkan atas keupayaan mereka dengan sendirinya mematahkan segala pengataan tentang pengaruh yang dikatakan digunakan oleh SP1. [72] Fakta dalam kes Merong Mahawangsa Sdn Bhd & Anor v Dato Shazryl Eskay Abdullah [2015] 8 CLJ 212 boleh dibezakan dengan kes ini. Fakta dalam laporan nota kepala kes tersebut adalah seperti yang berikut: "Kerajaan Malaysia telah merancang suatu jambatan untuk menggantikan tambak Johor-Singapura ('projek jambatan'). Perayu-perayu telah meminta responden 'to render his services to procure and secure the award' bagi pelaksanaan projek itu daripada Kerajaan Malaysia, yang mana untuk perkhidmatan itu perayu-perayu telah bersetuju untuk membayar RM20 juta kepada responden. Ini dinyatakan dalam surat akujanji daripada perayu pertama kepada responder. Perayu-perayu telah gagal untuk membayar di bawah surat akujanji itu dan responden telah memulakan tindakan bagi menuntut RM20 juta itu, antara lain, atas alasan bahawa dia telah memberikan perkhidmatan kepada perayu-perayu dengan memperoleh tender dan mendapat projek jambatan itu daripada Kerajaan Malaysia. Perayu-perayu mendakwa bahawa perolehan projek jambatan itu yang berdasarkan hubungan rapat responden dengan Kerajaan Malaysia dan Dato' Seri Megat Junid adalah bertentangan dengan polisi awam dan bahawa surat akujanji tersebut menyalahi undang-undang dan tidak sah. Perayu-perayu juga memplid bahawa responden tidak mendapat apa-apa projek daripada Kerajaan Malaysia oleh kerana projek jambatan itu kemudiannya telah dibatalkan sepenuhnya oleh kerajaan. Perayu telah diberikan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan atas persoalan berikut: 'Whether an agreement to provide services to influence the decision of a public decision maker to award a contract is a contract opposed to public policy as defined under s 24(e) of the Contracts Act 1950 ('the Act') and is therefore void?' [73] Berdasarkan fakta kes yang berbeza, HMT yang bijaksana terkhilaf membuat pergantungan kepada kes ini dalam memutuskan bahawa Perjanjian tersebut melanggari polisi awam. Kesimpulan [74] Kami telah meneliti penemuan fakta yang dibuat oleh HMT yang bijaksana dan kami mendapati kami tidak dapat mempertahankan penemuan itu kerana penemuan yang dibuat adalah tidak konsisten dengan pliding dan keterangan yang dikemukakan. Dan ternyata salah. [75] Berdasarkan alasan di atas, kami membenarkan rayuan ini dengan kos dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi. Penghakiman dimasukkan untuk plaintiff sebagaimana yang dituntut dalam perenggan 15 pernyataan tuntutan. Kos ditetapkan sebanyak RM40,000.00 bagi rayuan ini dan di Mahkamah Tinggi. Bertarikh 20 Julai 2022 NOR BEE BINTI ARIFFIN Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya Peguam-Peguam Perayu-Perayu Nadirah Izyan binti Azaddin Tetuan Nadirah Azad & Salihin H-38-1a, Jalan Prima Saujana 2/D Taman Prima Saujana 43000 Kajang Selangor Responden Thalia Rohaina binti Abdul Latiff Ravi Nekoo Farah Roshdan Tetuan Rohaina & Co. Suite A1204a, A12th Floor Wisma Lim Foo Yong No.86, Jalan Raja Chulan 50200 Kuala Lumpur
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.